Hidup Dikelilingi Lautan

Apa yang aku nak tulis ni bukanlah kisah horror extreme, cuma sebuah misteri ringkas yang masih belum terlerai. Tapi sebelum sampai ke persoalan, aku akan selitkan sedikit kisah horror ringkas.

Sebelum tu, terima kasih pihak FS bagi aku peluang menulis di platform FS ni. Berikutan dengan kisah ‘Makcik Saga Aeroback’ aku yang mendapat sambutan positif.. dah tu admin siap buat video audio untuk cerita tu uishh tenkiu admin-admin semua.. Di sini aku nak menjawab beberapa persoalan. Siapa nak baca nanti pun boleh sebab kisah ni takde kaitan dengan kisah tersebut. Ada yang buat carian kat gugel pasal kejadian tu, ramai jumpa kereta iswara. Ya tuan puan, itulah keretanya. Aku tak tahu nama kereta tu apa, yang aku tahu kereta saga model lama tu ada dua, satu p******g panjang satu p******g pendek. Aku tanya kawan aku dia cakap saga aeroback. Minta maaf mencofusedkan korang semua. Dan ada sorang abang ni kata aku tipu sebab mustahil orang tak nampak pintu terbuka sendiri. dia camni bang.. makcik tu hadirnya nyata di depan kita semua tapi bila aku tengok balik kat cctv.. makcik tu invisible dalam cctv recording sebab tu nampak dalam cctv pintu terbuka sendiri.

Balik kepada cerita asal, aku baru nak mulakan intro. Minta maaf sekali lagi sebab kisah yang lepas intro aku terlalu panjang tapi kang kalau intro pendek korang marah pulak sebab kali ni pun panjang jugak hehe. Pada permulaan nafas aku sampai lah aku berumur 8 tahun, paru-paru aku hanya diisi dengan oksigen dari pulau yang dikelilingi lautan dan hutan.. fresh! Sebulan sekali je naik darat sebab abang kakak aku semua masuk asrama, kira nak pergi melawat diorang atau balik kampung. Mak bapak aku ditugaskan demi negara di sebuah pulau yang boleh dikatakan tak besar tak jugak kecik. Rupa aku pun dah macam orang pulau, hari-hari berjemur sampai hitam berkilat dengan rambut kerinting. Lepas pindah darat baru aku tahu yang sebenarnya aku ni cerah tu pun ambil masa lebih setahun untuk menormalkan balik melanin-melanin kulit aku.

Pulau ni dibahagikan beberapa buah kampung. Yang aku duduk tu kampung utama, ada airport, sekolah, klinik kesihatan, bank dan lain-lain kemudahan asas. Bapak aku dah level manajer masa ni, dapat la kuarters sebiji paling besar 3 bilik, 2 bilik air, luas ada padang depan belakang, diberi motor sebijik. Kat pulau tu pengangkutan utamanya motor dan jalan pun kecik, cuma ada 1-2 penduduk je yang ada kereta. Kereta lain yang wujud kat situ cumalah kereta polis dengan pajero bomba airport (afrs). Sekarang dah maju.. jalan pun dah besar dan diturap tar, penduduk dah ramai bawak masuk kereta ke sana. Korang kalau nak pergi bercuti kat sana aku recommend sangat sebab pantai putih, laut biru jernih, nak hiking atau jungle tracking ada bukit tinggi, air terjun ada banyak, hutan pun boleh tahan sebab boleh memburu dan setiap kampung ada keindahan laut serta pantai yang tersendiri. Port mancing jangan cakap lah.. mewah dengan seafood, cakap je kau nak apa. Ekosistem kaya, yu ada, dolphin ada, ikan pari besar 5-10 kaki yg bergerak banyak-banyak ada, cuma rezeki kau je dapat tengok ke tak. Biawak pun banyak, kat longkang belakang rumah aku selalu muncul. Ini semua nikmat dunia yang Allah bagi kita semua boleh rasa. Harga chalet memang kebanyakannya sangat berpatutan, ada yang bawah RM100 semalam.

Aku mulakan kisah horror tentang kaurters yang aku diami dulu. Kedudukannya betul-betul menghadap laut, boleh dengar setiap hempasan ombak ke pantai hanya dipisahkan dengan jalan batu kecil, pantai dan deretan pokok yang dah besar. Mungkin dah berpuluhan tahun usianya sampai ada tree house. Dulu-dulu arwah mak suka panjat bawak pinggan lepastu suap aku makan kat atas pokok. Rindu semua tu. Rumah ni rumah kayu berlohong. Kat bawah rumah bapak aku gantung beberapa hammock untuk bersantai-santai. Selain hammock, bawah rumah aku juga ada sebuah kubur. Kubur tu dah ada sebelum rumah tu dibina dan tak ada siapa yang alihkan. Aku pun tak paham sebenarnya punyalah luas tanah depan belakang rumah ni tapi dia buat jugak kat atas kubur.

Dikatakan kubur tersebut merupakan kubur seorang lanun yang meninggal semasa singgah di pulau tu dulu kala. Ditandakan dengan batu, lanun tersebut hanya dikuburkan tanpa kepala dan kepalanya diputuskan dengan sengaja daripada badan lalu ditanam di tempat lain somehow somewhere di pulau itu jugak. Ini kerana khabarnya kalau ditanam sekali dengan kepala nanti lanun tu hidup balik. Pulau tu banyak kubur-kubur lama, sebelah sekolah ada kubur lama dicover dengan pokok-pokok pisang. Horror. Kat tepi-tepi pantai, nanti kalau kau nampak ada batu macam dibuat tanda tu kubur la tu. Depan balai polis pun ada sebuah kubur yang tak ada orang nak alih. Dah macam mercu tanda balai polis tu pulak.

Salah satu kejadian ni berlaku semasa bapak aku pergi memburu ke hutan waktu malam. Aku yang masih seorang bayi dan mak aku je ada kat rumah. Mak aku tahu yang bapak akan balik esok harinya, atau awal pagi, atau lepas selesai memburu. Dijadikan cerita masa dah nak tengah malam, tiba-tiba mak aku dengar motor bapak masuk ke perkarangan rumah, bagi salam dan mak aku bukak pintu. Dia pelik sebab bapak balik terlalu awal dari kebiasaan dan tak bukak sendiri pintu sebab dia bawak kunci tapi mak lagi pelik bila mak bercakap dan bertanya kat bapak dijawab dengan angin lalu. Muka toye je, jawab tak senyum tak. Bapak masih berpakaian sama masa dia keluar tadi siap bertopi terus masuk ke bilik. Mak aku ikut je bapak aku. Kau nak tahu mambang tu buat apa? Dia pijak naik atas katil lepastu dia lompat-lompat. Kau bayangkan rupa orang dewasa lelaki yang dah 40-an melompat atas katil kayu tanpa diiringi satu haram pun ekspresi kat muka. Mak aku amik aku lepastu dia lari rumah jiran merentas padang sebab dia tahu tu bukan laki dia. Lantak kau la mambang nak lompat ke berguling. Esok paginya lepas matahari dah naik sikit baru bapak balik bawak hasil buruan.

Kejadian lain yang berlaku masa Pakcik Zain dan Makcik Misah aku baru kahwin nak honeymoon sambil melawat kami anak beranak. Disebabkan ada beberapa kuarters yang fully furnished tapi tak berpenghuni masih banyak, bapak tawarkan diorang menginap kat salah sebuah kuarters tu. Diorang sampai kat pulau waktu petang sempat lagi pergi jalan-jalan pantai ambil angin sebelum malam menjelma. Rancangan asal diorang nak siap-siap bersihkan diri, solat lepastu makan kat rumah aku. Tapi tak payah tunggu diorang bersiap, lepas maghrib je tiba-tiba diorang dah ada depan pintu rumah siap bawak beg dengan tudung Makcik Misah entah ke mana cakap nak tidur rumah aku.

Diorang cerita masa tengah ready nak mandi tiba-tiba pintu bilik dipulas-pulas dari luar dengan ganas padahal pintu tu tak kunci pun. Diorang berdua diam kejung sambil perhati tombol pintu risau ada pencuri ke apa. Ada lah dalam beberapa minit keadaan tu berlaku. Lepas pintu dah berhenti dipulas, Pakcik Zain bukak pintu seslow yang mungkin supaya tak keluarkan bunyi sebab dia tak ada apa-apa senjata untuk pertahankan diri. Bila dia yakin keadaan rumah clear, baru dia panggil Makcik Misah keluar bilik check lagi sekali rumah. Dari depan sampai belakang tak ada tanda orang masuk. Check jugak kat bilik air kot mana tahu orang masuk ikut tingkap kecik atas jamban tu, clear! Bilik air terletak kat dapur.. tengah khusyuk buat pengiraan kemungkinan orang masuk ikut situ tiba-tiba ada bunyi berkeriut. Ngeetttt ngeeeeet ngeettttt.. bunyi paip air plastik yang ketat nak bukak. Bila ditoleh kepala ke sinki dapur.. tu diaaaa pili air tu tengah terbukak sendiri perlahan-lahan lepastu keluar air dari kecik sampai lah ke paling deras. Bila kena kat sink bunyi yang paling kuat tu jadi makin kuat. Memang tak lah diorang nak tutup air tu, terus masuk bilik ambik beg, tak tutup lampu kipas, pintu pun tak kunci.. sambil lari sambil tarik tutup pintu sampai terhempas terus lari pergi rumah aku. Mereka balik ke darat selesai berhoneymoon dua malam.. tu diorang tak tahu tu bawah rumah aku ada kubur hahahahaha

Mambang kat rumah aku ni dia penakut dengan bapak.. pasif! masa bapak ada kat rumah dia takde pulak usik mengusik semakin lama menjadi rindu hati merindu asyik merindu tersentuh rasa ehh! Tapi kalau bapak takde kat rumah tak kira la siang ke malam.. dia punya perangai sampai mak dah malas nak layan. Rumah tu kan rumah kayu, kalau orang berjalan memang confirm dengar tapi mambang ni bukan setakat berjalan, dia berlari-lari kedepan kebelakang. Bila toleh takde pulak. Kadang-kadang berlari kat bumbung. Typical hantu melayu. Takde modal lain agaknya. Bunyi orang bernafas, orang bercakap, bunyi kat dapur macam orang tengah buat kerja, ketuk-keuk tingkap, main tutup bukak lampu, bunyi orang mandi, ada jugak dengar macam orang berjalan bawah rumah. Sebab rumah tu tanah dia pasir.. kau bayangkan bunyi pijak pasir macam mana. 10 tahun jugak mak bapak aku bertahan kat situ sebelum permohonan nak pindah ke darat diluluskan.

Sekarang kuarters tu hanya beberapa je berpenghuni yang lain semua tinggal kosong. Sebabkan tak nak membazir.. kuarters-kuarters yang kosong dijadikan homestay siap ada package island tour, island hopping, snorkelling, star watching dan banyak lagi termasuk lah kuarters lama aku. Sejak kitorang pindah keluar, katanya dua orang manajer je yang duduk situ bersilih ganti tapi tu pun tak lama. Manajer kemudiannya sanggup duduk rumah lain dari duduk situ. Jadi rumah tu sekarang dah jadi homestay. Siapa yang rasa-rasa pernah bercuti ke pulau tersebut, dapat homestay kayu warna coklat gelap, belakang ada runway kapal terbang, ketahuilah korang tidur atas kubur hehe

Aku nak menceritakan misteri utama kenapa aku menaip kisah kali ini. Masa ni umur aku 6 ke 7 tahun. Masjid kampung aku tu letaknya atas bukit sekali laluan untuk masuk hutan/jungle trekking ke kampung sebelah, masjid jamek utama di pulau tersebut. Kejadian ni berlaku sewaktu ada sambutan apa aku tak ingat tapi keadaan masjid sangat meriah dengan orang. Siap makan dalam dulang, ada ceramah lepas maghrib. Majlis bermula dengan solat maghrib berjemaah. Lepas solat aku bukak telekung nak pi main dengan kawan-kawan kat perkarangan masjid. Memang meriah sebab budak ramai. Yela sekolah satu je kat pulau tu, dalam sekolah jumpa dia bila kat luar sekolah pun jumpa dia. Aku memang ingat kejadian tu, ada budak yang berlari, ada yang baling selipar, ada yang duduk kat tangga masjid. Masa tu aku tengah main kejar-kejar dengan jiran aku.

Tiba-tiba ada sorang budak ni menjerit sambil tunjuk ke langit “Tengok atas tu!” segala pergerakan oleh kami kanak-kanak terbehenti dan kepala semua dongak ke atas. Ada satu titik putih yang kami yakin ianya bukan bukan bintang dan sangat dull warnanya. Lama kelamaan titik tu semakin besar dan membulat jadi macam kepulan awan yang jelas dan nyata. Awan tu membesar dengan pantas sehingga keluar bentuk dua tangan, kepala, mata dan mulut. Kaki dia takda. Sayup-sayup kat telinga dengar ceramah di corong speaker masjid yang satu apa aku tak tahu apa dia cakap sebab tak fokus langsung. Mata dengan mulut tu berlohong, mulut dia menyeringai. Tapi tak lama sekejap je dalam 2-3 minit. Lepastu dia semakin mengecil macam mana mula-mula dia datang tadi dan ghaib. Semua budak terdiam memandang sesama sendiri. Aku? Dah meraung menangis sebab takut. Takut yang gerun. Jiran aku bawak aku masuk masjid pi kat mak aku. M**i akal mak aku bila aku tak berhenti cakap “takut… takut.. takut..” sambil nangis. Bila dia tanya aku tak reti nak explain. Tak lama kemudian budak-budak kembali berhuha kat luar sampailah dipanggil makan.

Tak pernah lagi la dalam hidup aku berlaku kejadian macam tu sebelum atau selepas peristiwa tu. Benda tu pun aku masih tak boleh nak simpulkan apa bendanya, mambang ke alien ke sebab dia lain dari yang lain dari mambang-mambang yang aku pernah dengar kat dunia ni. Siapa yang berada di situ sama-sama dengan aku mesti dia akan ingat.

Lagi sekali aku bagi tahu sesiapa nak bercuti kat pulau tu aku sarankan sangat. Kot mana tahu dapat homestay atas kubur hehe. Ada Taman Laut.. dulu masuk free tapi sekarang dah kena bayar RM2 tak silap aku. Ikan-ikan kat situ mesra manusia boleh berenang dengan diorang. Depan Taman Laut ada muzium pun berbaloi nak masuk. Dulu-dulu ada lah penyu bertelur kat pulau tu cuma sekarang tak tahu ada lagi tak. Sebelah kanan taman laut tu kau akan nampak ada jalan naik mendaki ke bukit sikit. Dulu simen batu sekarang dah berturap. Jalan la sikit naik sebab nanti kau akan ke kampung Air Batang (hint ni), ada air terjun. Sangat worth dan nyaman lalu bawah pokok-pokok tu. sepanjang laluan tu dulu katanya ada lagenda misteri jugak aku tak ingat apa tapi ada kaitan dengan ayam hutan.

Sebelum memberi penutup bicara yang maha panjang ni, aku nak bagi hint lagi. Pulau ni dilagendakan dengan kisah naga. Sungguh dongeng bunyinya. Tapi korang tahu tak sebenarnya naga tu berkemungkinan wujud dan benar. Dia mungkin makhluk yang hidup di kawasan yang bertekanan tinggi iaitu di dasar sebab tu dia tak muncul kat permukaan. Macam makhluk di Mariana Trench yang pelik-pelik tu, korang tak akan jumpa di kawasan lautan biasa, diorang hanya boleh hidup dengan tekanan yang tinggi. Laut tu pun cuma 5% je kita baru teroka, luasnya ilmu dan kekuasaan Allah ni.. minta maaf panjang berjela, aku rasa banyak melalut je daripada cerita horror. Assalamualaikum!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]
Delilah

11 thoughts on “Hidup Dikelilingi Lautan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.