HIKASHI-TEROWONG TINGGALAN JEPUN

Aku Lana

Sedikit berkait dengan kisah Jangan Tegur. Kami masih berada di pekan tempat abang long, suami kak long pernah tinggal. Aktiviti ekonomi penduduk sini semestinya ke laut. Petang itu sebelum kembali ke bandar, abang long ajak kami berjalan-jalan di pekan. Pekan kecil tetapi masih ada kemudahan-kemudahan awam, terkenal sebagai pembekal seafood murah di Sabah.

Petang itu abang long ajak kami mendaki bukit tinggi di sebalik bangunan balai polis. Peluh renek diseka, Terhegeh-hegeh kak long mendaki dengan tubuh chubbynya sambil tercungap-cungap. Abang long ke hadapan sikit, staminanya agak kuat, mungkin sebab dia bekas askar .Aku selesa santai sambil menghirup udara segar bukit yang tiada di bandar. Pokok pines segar kiri kanan hidup subur di sini. Sungguh udaranya nyaman.
Akhirnya kami sampai di atas. Mengah kak long macam tak cukup nafas. Angin yang sepoi-sepoi sedikit berangin.

“Macam nak hujan ..” getus abang long. Awan langit mula berarak sedikit mendung. Di bawah bukit jelas kelihatan bangunan balai polis pekan. Cantik seolah berada di kawasan tanah tinggi dan tempat pelancongan. Di sebelah balai polis terletak bangunan kuarters staff jururawat.

“Cantik tempat ni abang long.” pujiku.

“Tempat ni dulu adalah kubu jepun semasa perang dunia dulu. Bangunan balai polis dan kuarters jururawat tu kesan peninggalan kubu mereka dulu.” menarik sejarah pekan ni.

“Psttt…Lana tau tak, kat sini ada terowong tinggal zaman jepun, orang sini ramai tak tahu. sebab ia disembunyikan. Takut budak-budak nakal kacau hasil tinggalan jepun.” abang long separuh berbisik. Aku yang memang minat sejarah dan kawasan tinggal ni memang agak teruja. Abang long pernah masuk terowong tu zaman kanak-kanak. Bukit tempat kami berdiri tepat tempat terowong itu berada.
Abang long kata panjang terowong itu meliputi luas pekan

.Ia dibina untuk askar-askar jepun bersembunyi dan lari semasa perang dunia dulu. Malah dalam terowong ada tertinggal harta-harta jepun, peralatan dan senjata-senjata, malah tengkorak askar jepun yang terkorban. Abang long kata, mereka askar jepun yang tidak dapat keluar dari terowong akhirnya bersemadi di situ

“Lana nak masuk tak terowong tu?” usul abang long mengenyit mata ke arah ku dan kak long.Aku teruja.

“Alah, janganlah..” bantah kak long, dia tahu mata batin kami berdua tak mampu menahan melihat sesuatu yang ghaib. Namun akhirnya dia mengalah. Kami mengikut langkah abang long menuruni bukit arah bangunan balai polis. Beberapa meter dari balai polis, langkah abang long terhenti. Dia memerhati sekitar mencari sesuatu. Akhirnya dia menguis-nguis rimbunan semak dengan cepat. Tangannya meraba-raba sesuatu di balik rimbunan semak liar. Akar rumput ditarik kasar. Tersembul satu dinding kecil di balik semak tadi.

“Dah jumpa. Are u ready guys?” Dia tersenyum lebar. Terimbau zaman kanak-kanaknya meneroka tempat ini. Dinding kecil itu sudah ditutupnya dulu, bagi menjaga khazanah di dalam terowong. Aku sama teruja, Cuma kak long saja tersenyum pahit. Hahaha, nasib kau la kak long dapat adik dan suami yang mistik macam kami.

Perlahan-lahan abang long membuka pintu papan yang hampir reput.Tersembul lubang gelap di hadapan kami bertiga. Abang long membaca doa sebelum masuk. Dengan lafaz Bismilah, kepadaNYA kami berlindung. Hujan renyai-renyai mula membasahi bukit. Assalammualaikum, seraya melangkah ke dalam, ibarat melangkah masuk ke dunia lain.
Suasana gelap tadi diterangi cahaya dari telepon bimbit kami. Di tangan abang long ada lampu suluh mini yang sentiasa dibawanya. Lorong terowong yang kecil membuat kami merangkak untuk masuk. keluhan bertubi-tubi keluar dari mulut kak long. Mana nak muat!.

Hampir 20 minit merangkak, lorong terowong mulai luas. Cukup-cukup untuk tinggi lelaki dewasa. Udara pengap di sekeliling terowong. Dengan cahaya lampu yang terbatas aku memerhati sekeliling. Abang long meraba-raba dinding terowong mencari sesuatu. Dari beg galas dia mengeluarkan pemetik api dan mencucuh sesuatu di dinding. Akhirnya ruang terowong terang dari cahaya pelita yang kukira pelita buluh yang digunakan oleh orang dulu-dulu.

“Masih boleh guna rupanya. “getus abang long. Kami memerhati sekeliling. Di satu sudut ada longgokan topi besi tentera jepun. Saat ini aku melopong kerana melihat artifak sebenar tinggalan perang dunia yang tersembunyi. Masih tersusun elok senjata benet di dinding-dinding terowong. Baju- baju seragam askar jepun berwarna hijau selerak di atas lantai. Sempat aku merakam untuk simpanan peribadi

Berjalan sedikit ke hadapan abang long menunding sesuatu di sebalik dinding.Bersusun tengkorak-tengkorak manusia yang masih tersarung baju seragam lusuh.Saat ini kak long memeluk abang long ketakutan.Mungkin mereka kehabisan bekalan makanan atau jatuh sakit dahulu sehingga berakhir begini.Mungkin juga mereka menunggu bantuan yang tak kunjung tiba.

Tiba-tiba telingaku menangkap bunyi asing disebalik dinding. Ternampak kelibat menyelinap dari ekor mataku. Langkahku mengikuti kelibat tadi meninggalkan kak long dan abang long. Firasat ku ada sesuatu disebalik dinding. Langkahku makin jauh mengikut lorong terowong lain. Mataku menangkap lagi kelibat yang bersembunyi di sebalik dinding. Kiri kanan terowong itu penuh artifak-artifak tinggalan jepun.
Pandanganku jatuh ke arah satu tubuh yang menggigil ketakutan. Baju seragam hijau tersarung lusuh di tubuhnya. Masih ada tentera jepun perang dunia yang masih hidup? Tidak mungkin,bagaimana boleh hidup sendirian di sini. Aku cuba pegang bahunya, gementar di dalam hati.

“iie”…tepisnya ketakutan. Dia memegang kedua-dua lutut rapat ke dada.

“Kamu sapa, kenapa ada di dalam ni. Jom keluar. Bahaya di sini.” kepalanya di angkat perlahan-lahan.

“Nani to ii mashi ta ka?” dia bercakap dalam bahasa jepun yang kurang aku faham.

“Wakari masu ka?” aku geleng kepala tanda tak faham. Betul-betul ka orang jepun atau budak-budak nakal yang menyelinap masuk ke sini, orang sini pun rata-rata dah macam muka orang jepun.

“errrhhr,,,,kamu mau b***h saya…tolong jangan..” rayunya dengan bahasa melayu lama yang tidak fasih. Dia tampak ketakutan.

“Tidak.. jom keluar, Sini bahaya tau.” ajakku.. Dia geleng kuat. Air matanya menitis.

“Saya Hikashi tidak mahu, di luar banyak m**i. Banyak tembak. Askar british bom kami. Semua kawan-kawan saya m**i.” katanya lagi dalam pelat melayu. Dia askar yang terselamat ka?

“Di luar takda perang dah, tiada bom..di luar sudah aman.” kataku melayan dia.

” Kamu tipu, askar british sudah serang negara kami. Kubu kami di sini sudah dibom. Kami di suruh masuk terowong, bantuan akan tiba.” Aku mengeleng kepala laju..

“Hikashi, perang sudah lama berakhir. Jepun dah maju sekarang. Sini adalah sabah yang dulu dipanggil Borneo. Sekarang kami adalah negara malaysia. Tanah melayu, sarawak dan sabah bergabung membentuk negara Malaysia.” jelasku. Dia melopong masih tak percaya.

“Malaysia?” aku mengangguk. Telepon bimbit aku buka untuk melayari internet. Dia melopong melihat benda di tanganku.

“Sekarang sudah melepasi tahun 2020. Semua negara sudah maju.” Pautan internet aku ajukan pandanya. Terpampang figura imej-imej negara Jepun dilayar telepon. Mulutnya ternganga.

“Jepun?” tanyanya, kolam matanya bergenang. Sensitif pulak askar jepun sorang ni, sedangkan mereka terkenal dengan keganasan.

Kami bercerita selanjutnya. Dia Hikashi askar medik Jepun. Mereka dikerah secara paksa semasa perang dunia dulu. Bukan semua rela hati untuk ikut bertempur,pemerintahan Jepun yang dahulunya kejam tidak boleh dilanggar walaupun penduduknya sendiri.
Hikashi yang berumur 19 tahun masa tu dikerah ke asia tenggara meninggalkan ibu dan adik perempuannya. Bergenang air matanya bercerita mengenai ibu dan adiknya.

Bersembunyi di sini di dalam terowong bersama rakan-rakannya tanpa menyedari kerajaan Jepun tidak akan pernah kembali menyelamatkan mereka. Hikashi pemuda Jepun yang tugasnya mengubati askar-askar yang sakit dan cedera. Apabila mereka diserang oleh British dia takut sangat.
Dia menangis apabila aku katakan bom nuklear telah mematikan beribu penduduk Jepun. Dia teriak berulang kali memanggil ibunya dan adiknya dalam bahasa Jepun. Aku berjanji mencari susun galurnya di kerajaan matahari terbit, cukup untuk ada upacara supaya dia aman.

Masa tu aku terdengar suara laungan kak long dan abang long bergema. Aku menyahut serta merta. Kelibat abang long dan kak long muncul di terowong tempat aku berdiri. Melihat aku kak long membebel tak henti-henti tanpa memperdulikan Hikashi di sisi. Abang long hanya diam memandang. Masa tu barulah aku pasti bahawa Hikashi sudah lama tiada, dia cuma roh yang masih tak percaya dia sudah meninggal. Roh yang masih yakin negaranya dulu akan kembali mengambil mereka dan akhirnya mereka terkorban tanpa kubur.

Kami meninggalkan Hikashi sambil aku berjanji akan mencari keturunannya. Setidaknya biar dia di sempurnakan dengan kepercayaan mereka sendiri. Kak Long melopong melihat aku bercakap sambil terangguk-angguk.

“Ada kat sini ke?” bisiknya perlahan sambil mengapai-gapai tangan di hadapan Hikashi. Aku tergelak seraya mengiakan.” hai..arigatou.” ujarnya. Kami semua tergelak. Takda kena mengena la kak long. Sebelum meninggalkan dia, abang long dan Hikashi saling tunjuk tabik tentera. Saling bertukar pengalaman dalam askar yang kami berdua tak faham langsung.

Setengah jam mencari jalan keluar, kami akhirnya jumpa hujung terowong. Dengan susah payah abang long menguak pintu yang ditutup rapi. Kami keluar dari terowong yang sempit, betul-betul di belakang bangunan pejabat pos. Di kiri kanan sepanjang terowong tadi kami melihat banyak khazanah-khazanah yang berharga. Betullah orang kata, tinggalan yamashita ada wujud di sini. Tapi bukan semudah itu untuk dimiliki kerana ia di jaga oleh jiwa-jiwa yang tak terlihat. Abang long akhirnya menutup rapat pintu keluar terowong, serapatnya cerita dan kenangan di dalam sana. Biar ia masih terjaga tanpa diganggu oleh sesiapa.

Malam itu kami bersembang sambil menghirup kopi pahit. Sepanjang peninggalanku, rupanya kak long dan abang long meneroka terowong berdua, mereka menjumpai longgokan alat-alat perang kuno zaman dahulu. Peralatan memasak dan barang-barang bernilai. Duit dan syiling lama. Dalam mata batin abang long juga ada roh-roh yang masih terperangkap cuma boleh memerhati mereka. Biar la ia terus bersemadi di dalam sana sampai bila-bila. Hikashi Himamoro semoga awak dah tenang dan bersemadi dengan aman.

iie=tidak
nani to ii mashi ta ka=apa yang awak cakap
wakari masu ka=adakah anda faham

sekian..
terima kasih membaca cerita Lana

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 33 Average: 4.8]
CINTA

1 thought on “HIKASHI-TEROWONG TINGGALAN JEPUN”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.