HILANGNYA ABANG TAM

Assalamualaikum semua. Terima kasih untuk feedback positif untuk kisah aku “Bahana Mulut Celupar’ hari tu. Sekadar tambahan, ada yang tertanya-tanya mana lokasi tersebut. Untuk orang pernah lalu jalan tu, masjid lama tu dah takde dah. Dah digantikan dengan masjid baru besar yang sangat-sangat cantik.

Rasanya masjid tu dah siap dah pun sekarang. Lagi, lokasi yang steering kereta aku ditarik tu juga lokasi sama kemalangan 5-6 tahun lepas yang mengorbankan tiga orang (kalau tak silap) rombongan silat atau gendang dari Jitra yang menyaksikan van dinaiki mereka terbalik. Di situ juga lah beberapa rakan aku tumbang akibat kemalangan tetapi hanya seorang sahaja yang meninggal. Punca, mungkin sebab selekoh tu gelap, dan apa yang ada di sebaliknya wallahualam.

Kisah seterusnya, pasal BUNIAN. Cerita kali ini memang sangat panjang, dan ambik masa yang agak lama. Digalakkan untuk baca sebelum tidur. Kalau boring boleh tidur terus. Awal-awal aku nak tekankan yang INI BUKANLAH CERITA SERAM TETAPI UNIK. Tetapi kali ini bukanlah pengalaman aku tetapi pengalaman sepupu aku sendiri. Aku gelarkan sepupu aku sebagai Abang Tam, anak kepada Mak Long aku. Ketika kejadian dalam tahun 2005, Abang Tam berumur dalam lingkungan 25 tahun. Kebetulan ada cuti Hari Malaysia kalau tak silap, kitorang dah lama plan nak pergi mandi Kolam Air Panas Ulu Legong, Baling.

Tiba hari yang dinantikan, dalam pukul 8 malam kami semua dalam 4 orang dah bersiap nak bertolak dari rumah, tiba-tiba Abang Tam cakap dia akan pergi lambat sikit sebab nak hantar kawan dia pergi airport. Abang Tam janji apa yang jadi, dia janji akan pergi jugak. Disebabkan Abang Tam ni seorang yang boleh dipercayai, kami pun gerak lah dahulu dan Abang Tam pula akan menyusul dalam sejam kemudian sorang-sorang.

Dua jam kemudian kami, kami pun tiba di Kolam Air Panas Ulu Legong, orang pun boleh tahan ramai. Selesai parking, bayar entrance fee terus kami mandi. Maklum lah, dah tiga tahun tak datang situ. Dah lebih sejam mandi, tiba-tiba baru aku teringat kat Abang Tam. Terus aku telefon Abang Tam. Telefon dijawab dan Abang Tam cakap dalam 20 minit lagi dia sampai dan terus telefon diletak. Malangnya aku lupa nak tanya lokasi Abang Tam ketika itu.

Malangnya, dah lebih sejam Abang Tam tak kunjung tiba. Sekali lagi aku telefon Abang Tam malangnya kali ni tidak dijawab. Masuk kali ketujuh dan seterusnya, terus telefon dimatikan. Kami pun dah mula risau. Dah pukul 3 pagi, kami buat keputusan untuk balik mana tahu akan jumpa Abang Tam di sepanjang jalan. Kalau ada kemalangan ke apa, minta dijauhkan. Kalau ada pun kami harap kami jumpa jugak Abang Tam. Sepanjang jalan pulang, kami tak jumpa langsung Abang Tam dan kereta Saga Aerobacknya tu sehinggalah sampai ke rumah pada jam 5 pagi. Telefon Abang Tam pun dah ‘di luar kawasan’. Kami yang kepenatan terus tidur sampai lah tengahari.

Bangun esoknya, Mak Long terus Tanya mana Abang Tam sebab Mak Long tahu kitorang pergi sekali. Kami pun bagitahu semuanya. Mak Long dah mula risau sebab Mak Long telefon pun tak dapat. ABANG TAM HILANG !! Maka, sekali lagi kami terpaksa pergi ke Kolam Air Panas untuk cari dan tinjau Abang Tam. Sampai di sekitar lokasi, mata kami ligat memandang kiri kanan mana tahu ada kelibat dan bayang Abang Tam. Dapat jumpa kereta dia pun dah bersyukur. Akhirnya, kami buat keputusan untuk pergi ke balai polis untuk periksa kalau-kalau semalam ada kemalangan melibatkan Abang Tam.

Namun hampa bila pegawai polis beritahu yang tiada kemalangan melibatkan kereta semalam. Yang ada cuma kemalangan motorsikal. Sampai lah ke malam, selepas selesai buat laporan polis, kami pun pulang ke rumah menantikan keajaiban Abang Tam ada di rumah. Sekali lagi kami dikecewakan kerana Abang Tam tidak muncul tiba.

Genap 36 jam kehilangan Abang Tam dan masih tiada berita lagi dari pihak polis dan rakan-rakan kami di sekitar kawasan tersebut yang kami dah maklumkan untuk minta pertolongan. Mak Long dan Pak Long aku pula berikhtiar jumpa Imam Hashim yang terkenal untuk cari barang-barang hilang. Imam Hashim jugak yang tolong aku cari motor aku yang hilang dulu yang akhirnya dijumpai barai dibuang dalam sungai. Menurut Imam Hashim, Abang Tam selamat cuma ‘DISEMBUNYIKAN’. Kami pun hairan apa maksud disembunyikan tu. Imam Hashim cuma cakap jangan risau, Abang Tam tetap akan pulang. Dia minta kami bersabar dan tunggu sahaja.

Setelah BEBERAPA HARI, kami dapat panggilan daripada pihak polis. Pihak polis minta pengesahan kereta Saga Aeroback KB* **90 ni milik ahli keluarga kami atau tidak. SAH! Itu kereta Abang Tam. Terus kami ke lokasi yang dimaklumkan oleh pihak polis. Tiba di lokasi, rupanya kereta Abang Tam ada dalam kebun kelapa sawit. Barang milik Abang Tam seperti baju mandi, baju persalinan, malah duit dalam dompet pun tidak terusik. Kereta masih elok, cuma berdebu dan kotor akibat terkena air hujan dan panas. Maka gerakan mencari Abang Tam pun dimulakan disertai Polis Unit K9, Bomba, JPAM, RELA dan orang kampung.

Sudah dua hari Abang Tam masih gagal ditemui. Akhirnya, sekali lagi kami minta bantuan Imam Hashim. Imam Hashim yang datang seperti sudah mengesan sesuatu bila meninjau dalam hutan kelapa sawit tersebut. Beliau minta semua yang ada di kawasan tersebut berkumpul sahaja di pusat kawalan di tepi jalan dan dia akan masuk berseorangan dalam hutan tersebut. Cuma bila dipanggil baru semua anggota boleh masuk.

Menjelang maghrib iaitu dalam dua jam selepas Imam Hashim masuk, tiba-tiba kami dengar jeritan Imam Hashim yang mengatakan “MASUK, MASUK, MASUK” sebanyak 7 kali. Terus kami berkejar ke lokasi Imam Hashim berteriak. Akhirnya, Abang Tam ditemui. Keadaan Abang Tam ketika itu cukup elok. Elok di sini bermaksud Abang Tam segak berkemeja putih, cuma berkain pelikat, rambut seperti baru d******g, bersih dan wangi.

Tapi Abang Tam masih dalam kebingungan tak bercakap sepatah pun. Ketika Abang Tam nak dibawa pulang masuk dalam kereta, Abang Tam pandang lama kat kawasan kebun kelapa sawit tersebut seolah-olah tak nak balik. Akhirnya kami pun berjaya membawa pulang Abang Tam.
Selepas tiga hari dan Abang Tam dah dipulihkan oleh Imam Hashim, barulah Abang Tam membuka mulut, dan menceritakan apa yang terjadi.

Menurut Abang Tam, dia pergi ke situ hanya 2 hari dan dia terjumpa dengan ‘keluarga baru’. Rupanya, 2 hari bagi Abang Tam itu sebenarnya TIGA MINGGU BAGI KAMI! Tiga minggu kami kehilangan Abang Tam!

Pengalaman keseluruhan yang diceritakan oleh Abang Tam, akan dikisahkan dalam episod seterusnya. Panjang sangat pun bosan juga kan? Drama Melayu pun boleh berepisod apatah lagi nukilan aku yang tak seberapa ni. Sebagai tambahan, kisah Abang Tam ni pernah disiarkan dalam Utusan Melayu dan majalah Mastika. Sekian, sampai jumpa lagi!
– ENCIK K –

::Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

ENCIK K

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 4.8]

7 thoughts on “HILANGNYA ABANG TAM”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.