Ikut Jalan Kampung

Petang itu, langit berwarna kelabu keperangan. Awan pekat menggantung rendah seolah-olah memendam sesuatu. Aku masih terkandas di lebuh raya, tersekat dalam kesesakan yang seakan tiada penghujung. Bunyi hon bersahut-sahutan. Enjin kereta di hadapan m**i, dan beberapa pemandu mula keluar dari kenderaan masing-masing. Aku tengok jam di dashboard. Hampir sejam aku tak bergerak.

Waze mencadangkan jalan alternatif, jalan kampung katanya. Lebih jimat masa, jauh dari kesesakan. Aku masih ragu-ragu, tapi rasa letih dan geram membuatkan aku akur. Aku pun keluar dari susur lebuhraya, masuk ke simpang kecil yang dikelilingi semak tebal dan tiada pencahayaan. Hanya papan tanda kayu yang sudah lusuh bertulis “Kg. Sungai Hitam” menyambut aku.

Jalan itu sunyi. Terlalu sunyi. Di kiri dan kanan hanya sawah padi yang luas, tidak kelihatan rumah mahupun manusia. Aku cuba tenangkan diri. “Biasalah kampung,” aku berkata dalam hati. Tapi makin aku memandu, makin aku rasa sesuatu yang tak kena. Kawasan sekeliling seperti berulang. Pokok besar di tepi jalan, pondok buruk beratap zink, dan sebuah batu nisan tua dengan kain kuning lusuh diikat padanya. Aku pasti aku sudah lalu tempat itu tadi.

Peluh mula mengalir di dahi. Aku cuba patah balik, tapi setiap kali aku memusing kereta, aku akan kembali ke laluan yang sama. Seolah-olah aku terperangkap dalam satu putaran yang tak berpenghujung. Aku berhenti di tepi jalan dan keluar untuk memeriksa kawasan sekeliling. Langit semakin gelap. Angin mula bertiup kencang, membawa bau tanah yang lembap dan sesuatu yang lebih menusuk, bau hanyir yang aku tidak dapat jelaskan.

Tiba-tiba aku terdengar suara budak ketawa kecil di sebalik semak. Aku pandang ke arah bunyi itu. Keluar seorang budak lelaki, berusia sekitar sepuluh tahun, memakai baju melayu lama dan songkok senget. Wajahnya bersih, tetapi matanya… kosong. Tidak ada anak mata. Hanya lubang hitam yang dalam dan menakutkan.

“Abang sesat ke?” tanyanya perlahan.

Aku tergamam, lidahku kelu. Budak itu kemudian menunjuk ke arah simpang kecil di hujung jalan. “Jangan ikut jalan yang abang lalu tadi. Itu jalan orang m**i. Orang luar tak boleh masuk.”

Aku memandang ke arah yang ditunjuk, kemudian kembali ke arah budak itu berdiri. Tapi dia sudah tiada. Hilang begitu saja. Aku cepat-cepat masuk ke dalam kereta, pintu kereta aku kunci dari dalam. Dalam keadaan panik, aku ikut sahaja laluan yang ditunjukkan tadi.

Beberapa minit kemudian, aku terlihat lampu jalan dan bunyi motosikal. Aku keluar dari kawasan itu dan masuk semula ke jalan utama. Terasa seperti beban berat di dada terangkat. Tapi perasaan tidak tenang masih belum hilang. Aku berhenti di warung tepi jalan untuk minum dan bertanyakan arah sebenar ke destinasi aku.

Pakcik tua yang jaga warung memandang aku lama sebelum bersuara. “Nak, kalau tadi kau lalu jalan Kg. Sungai Hitam… kau orang pertama yang keluar semula sejak jalan tu ditutup tahun 1996.”

Aku tergamam. “Tapi tadi saya nampak batu nisan dan ada budak tunjuk jalan keluar…”

Pakcik itu menunduk. “Budak? Ramai dah cerita nampak budak tu. Dulu dia m**i lemas dalam sawah, malam tujuh likur. Sejak tu ramai tersesat dalam kampung tu, tak keluar-keluar.”

Aku meneguk air sirap dengan tangan yang menggigil. Malam itu, aku menginap di pekan kecil berdekatan. Tidak sanggup meneruskan perjalanan walau tinggal sejam sahaja lagi untuk sampai ke rumah.

Sejak hari itu, setiap kali jalan sesak, aku lebih rela menunggu dalam kereta. Aku tak akan lagi ikut jalan pintas yang aku tak biasa. Bukan sebab takut sesat, tapi sebab aku tahu… bukan semua jalan itu untuk manusia hidup.

Jangan terlepas cerita terbaru.

Akan terus dihantar ke email anda.

We don’t spam! Read our privacy policy for more info.

2 thoughts on “Ikut Jalan Kampung”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.