Isya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat para pembaca FS. Terima kasih kepada admin Fiksyen Shasha kerana sudi menyiarkan kisah aku ni. Aku ingin menceritakan pengalaman seram aku ketika di asrama. Mula-mula sekali, aku nak mintak maaf kalau kisah yang aku akan ceritakan ni tak seronok, membosankan, ataupun tak seram. Maaf juga andai cara penulisan aku tak sebaik penulis yang lain. Untuk pengetahuan korang semua, nama-nama yang aku sebutkan nanti bukan nama sebenar. Nama sekolah, biarlah rahsia. Nanti kalau aku dedahkan, mahunya takdak sapa pulak nak hantar anak dorang dekat asrama sekolah aku tu.

Kisah ni terjadi waktu aku baru tingkatan 1. Budak-budak noob lagi waktu ni. Peraturan sekolah pun tak berani nak langgar lagi. Memandangkan aku anak sulung dalam keluarga, jadi abah aku latih aku membaca daripada kecil. Bila suka baca buku, banyak pengalaman baik pasal asrama aku baca. Tak dinafikan, aku memang berminat gila nak masuk asrama. Tapi aku terlupa yang asrama juga banyak kisah seram. Hari pendaftaran, aku bersungguh-sungguh meyakinkan abah dan mama yang aku boleh duduk asrama. Mama dan abah aku ni pun dulu memang duduk asrama waktu zaman sekolah jadi mereka tahu banyak tentang kisah seram dan pembulian. Tapi dah aku memang nak masuk sangat asrama, dorang ikutkan juga. Asrama sekolah aku ni, ada 3 tingkat. Aspuri(Asrama Puteri) berhadapan dengan sisi bangunan Aspura(Asrama Putera). Aspura pula berhadapan dengan padang sekolah. Belakang Aspuri, ladang kelapa sawit.

Awal tahun, semuanya baik. Aku duduk dekat dorm(bilik) yang paling ramai penghuni. Semuanya 16 orang. Kami semua tingkatan 1 jadi memang takdak pengalaman tentang asrama. Hari pertama masuk asrama lepas sembahyang maghrib berjemaah di surau Aspuri di tingkat 2, Ketua Aspuri waktu tu Kak Izzati buat perjumpaan Aspuri dekat surau untuk memperkenalkan adik-adik tingkatan 1 kepada penghuni asrama yang lain. Kak-kak senior tingkatan 5 malam tu dah pesan siap-siap dekat semua penghuni supaya jangan terlalu seronok. Dekat dengan waktu maghrib, semua kena ada dalam Aspuri dah. Tak boleh ada yang merewang atau berkeliaran di luar aspuri terutamanya di padang. Semua penghuni aspuri hanya mengangguk.

Nak dijadikan cerita, aku berkawan rapat dengan sorang budak perempuan ni nama dia Isya. Satu kelas dengan aku, tapi dorm lain-lain. Dia duduk dorm C manakala aku dorm I. Dalam dorm C, ada banyak tingkatan. Dari tingkatan 1 sampai tingkatan 5 ada. Kiranya, dorm ni penghuni dia campur tingkatan. Isya ni boleh nampak makhluk-makhluk yang kita tak dapat tengok dengan mata kasar. Tapi dia tak selalu nampak. Ada waktu-waktu tertentu ja. Walaupun kadang-kadang dia tak nampak, tapi dia dapat rasa kehadiran benda tu.

Ada la suatu hari tu, aku terlupa nak ambik satu benda. Aku tak ingat benda apa, tapi aku ajak dia teman aku masuk balik asrama. Dia pun okay ja. Sampai dekat dorm, aku nampak pintu dorm terbuka luas tapi takdak orang dalam dorm. Aku pun masuk dalam dorm aku. Dia tunggu dekat dengan tangga. Dorm aku tingkat paling atas, iaitu tingkat 3 dan berdepan dengan tangga. Kiranya kalau naik tangga sampai anak tangga paling atas, memang terus nampak pintu dorm aku. Dekat tangga tu pulak, ada pintu kayu yang macam tingkap rumah kayu zaman dulu-dulu nuh. Alah.. Yang boleh bukak tutup tu la. Eh, pintu apa yang tak boleh buka tutup? Okay,okay abaikan. Disebalik pintu tu, ada paip bomba. Pintu tu tertutup hari tu. Isya ni duduk dekat dengan pintu tu. Aku pun macam biasa, masuk dorm bagi salam dulu dan langkah masuk dengan kaki kanan. Dari kecik abah dan mama dah latih macam ni jadi dah terbiasa. Tengah seronok selongkar locker sendiri, aku rasa macam ada orang tengah jenguk daripada pintu dorm. Aku kalih belakang, nampak Isya ni tengah duduk dekat depan pintu dorm sambil perhatikan sekeliling dorm. Lepastu dia tengok aku, dia suruh cepat sikit. Dah jumpa barang yang aku nak ambik, terus aku ajak dia turun. Pintu dorm aku tutup balik. Dah keluar daripada kawasan asrama, nak pergi dewan sekolah sebab ada prep petang, Isya bukak mulut cerita.

Dia kata, waktu dia tunggu aku dekat pintu paip bomba tu, dia dengar macam ada orang tengah ketuk pintu tu dari dalam. Pintu tu tertutup. Takkan paip pulak yang ketuk pintu? Paip tu memang terikat kemas. Mana mungkin boleh terurai. Angin tiup? Mustahil! Sebab ada dinding yang halang. Pintu pun memang tertutup rapat. Isya ni memang dah terbiasa nampak dan lalui benda-benda pelik jadi dia pun cakap la,

” Diam laa… Aku tak kacau hang, hang jangan kacau aku.”

Dia cakap perlahan ja sebab tak mau aku dengar. Lepas dia cakap macam tu, pintu tu tak diketuk dah. Dia terus pergi duduk depan pintu bilik aku. Jeng jeng jeng… Cuba teka apa yang dia nampak? Dia nampak banyak gila ‘benda’ tu atas locker. Setiap locker ada ‘benda’ tu. Tak terkecuali, locker aku. Meremang gila, beb! Sebab tu dia suruh aku cepat.

Peristiwa kedua ni, berlaku dekat dengan waktu percubaan PT3. Minggu tu asrama tak balik jadi kami yang tingkatan 1 ni ber ‘hora-horey’ sebab khamis malam jumaat dan jumaat malam sabtu memang takdak prep petang dan prep malam. Petang tu, Ami dengan Ira iaitu kawan satu dorm dengan Isya ni masuk asrama lewat sebab mak ayah dorang melawat lewat sikit. Dorang lalu dekat padang sebab dekat padang memang ada pintu dan laluan nak masuk ke asrama. Berdasarkan cerita Ami, waktu tengah jalan dekat laluan menuju ke asrama, dia TERpusing tengok belakang(kawasan padang) dan nampak sorang budak perempuan dalam lingkungan 5-7 tahun sedang keluar daripada tanah. Macam anak orang India.

Ira memang tak sedar apa-apa sebab yang pusing belakang tu cuma Ami sorang. Ami terkejut, terus pusing tengok jalan. Dalam fikiran dia waktu tu, nak masuk ke dalam kawasan asrama secepat mungkin. Dekat ja dengan pintu asrama, dia pusing belakang balik dan nampak budak tu betul-betul ada belakang dia! Lepastu, dia dah tak sedar apa jadi. Menurut Ira, sebaik sahaja masuk ke dalam kawasan asrama, Ami terus berperangai pelik. Bercakap yang bukan-bukan. Contoh benda yang Ami cakap:

“Aku suka dengan Lisa sebab dia jenis pengotor. Tak jaga kebersihan, bersepah!”
“Aku suka Ati sebab dia suka gelak kuat-kuat. Seronok sangat lah!”

Berdasarkan cerita Isya pula, di dalam dorm mereka, Ami ketawa sendiri. Sebentar kemudian, dia akan menangis pula. Penghuni dorm C termasuk Isya hanya diam. Fikiran mereka buntu. Hendak dipanggil kak senior, maghrib sudah masuk waktu. Memandangkan Ami, Ira dan 2 orang kak senior tingkatan 3 ‘cuti’, jadi mereka berdua duduk di dalam dorm.

Waktu maghrib seperti kebiasaannya, penghuni aspuri akan solat berjemaah. Begitu juga dengan waktu isyak. Ruang masa lapang sementara menunggu masuknya waktu isyak aku isi dengan berkongsi cerita dengan rakan-rakan dorm aku di surau sebab kami malas untuk naik ke bilik memandangkan waktu isyak akan masuk tidak lama lagi manakala penghuni Aspuri yang lain kembali ke dorm mereka.

Sedang masing-masing mengeluh mengenangkan kerja sekolah yang bertimbun sedang menanti, kami dikejutkan dengan kehadiran Ami dan Ira di hadapan pintu surau yang terbuka luas. Kami hanya memandang tanpa ada seorang pun yang berani menegur mereka berdua setelah terlihat wajah Ami. Wajah manis yang dulunya sentiasa tersenyum ceria itu ketika ini sangat pucat lesi tanpa dihiasi senyuman. Mata Ami mencerlung memandang ke arah kami seorang demi seorang yang masih belum menanggalkan telekung. Semakin tajam pandangannya sebaik sahaja ternampak al-Quran dan Yassin di tangan kami. Serentak dengan itu, dia berkata kepada Ira,

“Jom, masuk dorm. Sini panas!”

Malam tu waktu turun supper (makan tengah malam), aku dengan Isya makan dalam DM (dewan makan). Memandangkan esoknya masih cuti, jadi tiada halangan untuk penghuni makan di atas kerusi batu yang disusun diluar bersama meja batu. Ketika selesai makan, aku dan Isya keluar lalu ternampak Ami sedang makan ditemani Ira dan beberapa orang kakak senior dorm mereka di kerusi batu. Isya berjalan pantas menuju ke arah mereka lalu meninggalkan aku di belakang untuk melihat keadaan Ami.

Sewaktu aku mula menghampiri mereka, aku nampak Isya terkaku betul-betul bersebelahan dengan meja batu tempat Ami makan. Ami bangun lalu menghampiri Isya. Dia menjeling sambil mendengus sebelum berlalu masuk ke DM bersama Ira dan kakak-kakak senior untuk meletakkan pinggannya. Aku lihat, Isya mula menangis teresak-esak. Aku pusing ke belakang, Ami berselisih dengan kawan sebilik aku iaitu Ina.

“Awat dengan hang ni, Ami?” Soal Ina.

Serentak dengan itu, Ami bertindak agresif. Hampir sahaja dia mencakar wajah Ina. Nasib Ira dan kakak senior sempat menahannya. Tergawang-gawang tanggannya ingin mencakar Ina. Ina menangis ketakutan. Dia dipujuk oleh kawan-kawan kami yang lain. Aku kembali teringatkan Isya. Sebaik sahaja aku pusing ke hadapan memandang Isya, dia masih menangis sambil menekup mukanya. Kawan-kawan kami turut ada yang datang memujuknya.

Aku ingin pergi memujuknya namun semangat aku tidak kuat. Aku dapat rasa macam ada sesuatu yang tidak kena. Terasa meremang semacam. Dengan rasa yang bersalah, aku kembali ke dorm. Pagi esoknya, aku pergi ke dorm Isya untuk mengajaknya sarapan. Aku mula menyoalnya berkenaan Ami. Dia hanya mendiamkan diri. Aku tidak memaksa.

Turun sahaja ke DM, Isya mula membuka cerita. Katanya, sewaktu dia menghampiri Ami, dia nampak Ami sedang makan dengan rakus. Seperti orang kelaparan. Siapa yang tidak pelik bila seseorang yang ayu dan sentiasa menjaga tingkah lakunya tiba-tiba sahaja bertukar perangai. Salah seorang kak senior membuka mulut bertanya kepada Ami,

“Ami, Ami makan apa tu?”

“Nasi.” Jawabnya sepatah.

Semua yang berada di situ memandang sesama sendiri. Nasi? Sejak bila nasi yang terhidang di hadapan mata Ami? Bukankah menu malam itu kuih jala? Selesai sahaja makan, Ami bangun lalu ternampak Isya. Dia menghampiri Isya lalu menjeling Isya. Ya, babak ini sudah aku ceritakan.

Tapi, kata Isya, dia tidak nampak langsung yang Ami menjelingnya. Yang dia nampak hanya satu. Seorang budak perempuan sedang memeluk belakang Ami! Tangan budak itu melilit di leher Ami. Matanya merah menyala. Kulitnya gelap seperti anak orang yang beragama Hindu. Rambutnya diikat dendan. Tangannya cuba mencakar Isya. Ami hanya memandang Isya. Bukan menjeling! Yang menjelingnya ialah budak itu. Menjeling dan hampir mencakarnya. Dia terkejut lalu terus menangis. Katanya lagi, Ira ada cerita dekat dia yang waktu orang tengah solat maghrib, Ami ada mengajak Ira,

“Ira, jom.”
“Pi mana?”
“Round aspuri.”
“Hang gila ka apa?! Lani waktu maghrib. Esok la kita round.”

Lepastu, dia diam. Habis ja orang solat maghrib, Ami ajak lagi. Jadi, Ira pun okay. Tapi sampai depan pintu surau, Ira perasan Ami seperti tak menyenangi kami yang berada di dalam surau. Kata Ami, surau terlalu berbahang. Surau Aspuri sememangnya penuh dengan al-Quran milik penghuni Aspuri. Sebabnya, setiap hari selepas solat maghrib, kami akan membaca surah-surah pilihan seperti Al-Mulk, Al-Waqiah, dan surah-surah lain. Manakala setiap hari khamis malam jumaat, kami akan membaca Yassin.

Cerita Isya lagi, semalam jugak warden suruh Ami call ibu dan ayahnya. Ketika panggilan bersambut, percakapan Ami dan ibunya sangat berlainan. Sopan-santunnya hilang entah ke mana.

“Hello, mai ambik aku. Tak syok kat sini! Semua orang halau aku!”

Ami diam. Mungkin mendengar balasan si ibu di hujung talian.

“Eh, aku kata mai ambik, mai ja la! Banyak tanya pulak orang tua ni!” Terus dia meletakkan panggilan.

Kasar? Ya, kata Ami, dia tidak dapat mengawal dirinya. Dia sedar sepenuhnya waktu itu namun tak dapat mengawal diri sendiri. Ada benda yang mengawalnya. Ketika azan maghrib, dia sudah sedar. Namun dirinya tidak dapat dikawal.

Selepas Ami pulang, semuanya kembali seperti biasa. Kata kak senior, ‘benda tu’ memang selalu mengganggu waktu dekat dengan peperiksaan penting. Namun di asrama kami, jarang-jarang sekali. Mungkin Ami terlalu lemah membuatkan ‘benda’ tersebut menumpang di badannya.

Hari Ahad, kami dikejutkan dengan kehadiran Ami di sekolah. Wajahnya? Masih pucat. Malah, semakin cengkung. Kami tertanya-tanya mengapa dia masih datang ke sekolah sedangkan telah diberikan cuti. Katanya, selepas berubat dia kembali baik. Namun, hijabnya telah terbuka. Di rumahnya, lagi banyak ‘benda’ yang dia nampak. Membuatkan dia semakin berserabut. Merata-rata! Memandangkan Ami tidak sekelas dengan aku, jadi aku sudah tidak tahu apa yang terjadi. Yang aku tahu, tidak lama selepas itu Ami pindah sekolah.

Jadi, sampai di sini sahajalah cerita aku. Maaf jika kisah aku ni membosankan. Jika banyak permintaan, aku akan coretkan lagi kisah berkenaan asrama yang pernah aku duduki. Kali ini, aku akan cerita pengalaman aku duduk satu dorm dengan orang yang kena HISTERIA pula. Yes, dalam otak korang mesti dapat bayang kan orang yang tengah histeria macam mana? Menjerit-jerit, meronta-ronta. Dia siap tunjuk dekat mana ‘benda’ tu ada. Dalam kisah tu jugak, ada kak senior yang boleh nampak ‘benda’ tu. Tapi aku akan cerita kalau ramai yang nak dengar lagi kisah aku. Jadi, izinkan aku mengundur diri terlebih dahulu. Assalamualaikum.

Asyi

Asyi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

17 thoughts on “Isya”

  1. seronok baca walaupun permulaan intro pnjang sikit hee.,tpi jalan cerita asyi menarik..pengalaman yg boleh dikatakn seram jgak la hahah,so teruskan berkongsi kay 😉

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.