Assalamualaikum..
Apa khabar semua pembaca setia FS? Harap semua sentiasa mengamalkan SOP yang betul. Sama-sama kita perangi Covid-19. Terima kasih pihak FS sekiranya kisah saya disiarkan.
******
AKU merupakan anak sulung daripada dua beradik. Aku, Zal, dan adikku, Fitri. Umur kami hanya beza setahun. Semasa aku berusia 11 tahun dan adikku 10 tahun, ada satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan sehingga sekarang.
Rumahku berdekatan dengan sungai. Sungai Padas namanya. Terletak di Beaufort, Sabah. Setiap kali musim banjir, rumah kami antara yang terkesan dengan fenomena alam itu. Tapi bukan itu yang ingin aku ceritakan.
Sepuluh tahun yang lalu. Aku ingat lagi, waktu tu senja. Hujan rintik-rintik dan langit kelam. Aku mengajak Fitri untuk bermain di belakang rumah.
Pada jam sekitar 6 petang, aku pulang ke rumah seorang diri. Ayah dan umi sudahpun menunggu di depan pintu dengan wajah yang risau.
“Along! Along pergi mana hah? Kenapa baru sekarang balik?” tanya umi padaku. Nada suaranya gementar.
Tapi aku hanya memandang mereka dengan wajah bingung. Kenapa mereka hanya risaukan aku. Bagaimana pula dengan Fitri? Di mana Fitri? Bukankah tadi dia bersamaku?
Ayah dan umi pun memapah aku masuk ke dalam rumah. Aku terkejut. Fitri sedang duduk di ruang tamu sambil menonton TV.
Sedar aku memandangnya, Fitri pun menoleh. Pandangannya kosong. Tidak seperti Fitri yang aku kenal.
“Along pergi mandi dulu. Pasni kita makan ok.” arah umi lembut.
Akupun masuk ke dalam bilik untuk mengambil tuala. Di situ, aku nampak ada bekas tapak kaki yang basah dan berlumpur. Dari mana datangnya?
“Along cepat mandi.” laung umi sekali lagi.
Cepat-cepat aku masuk ke bilik mandi dan membersihkan diri. Lima minit kemudian, aku pun menyiapkan diri dan menuju ke dapur.
Aku lihat umi sedang sibuk menyiapkan makan malam manakala ayah pula sedang membaca surat khabar. Fitri pula masih kekal di posisi sama dengan wajah difokuskan pada TV. Yang peliknya, itu adalah cerita kartun kegemaran Fitri. Tapi reaksinya kaku dan seperti tiada emosi.
Beberapa minit kemudian, kami pun duduk di meja makan. Di depanku, Fitri. Kananku, umi. Dan kiriku, ayah. Kami pun menjamu selera.
Sedang aku menyuap nasi ke mulut, mataku terbeliak melihat Fitri dengan mulut ternganga memandang ke arahku. Ada lendiran cecair keluar dari mulutnya. Anak matanya pula putih seputihnya dan wajahnya sepucat mayat.
“Along! Kenapa ni? Kenapa tengok adik macam tu?” sergah umi. Mungkin dia juga nampak reaksi mukaku yang berubah. Tapi apabila aku lihat semula ke arah Fitri, wajahnya sudah kembali normal.
“Ta..tadi…” aku takut-takut mahu berkata. Bimbang kalau apa yang aku lihat hanya imajinasi aku sahaja.
“Dah. Habiskan makanan tu.” arah ayah tegas. Aku hanya menundukkan kepala. Takkan ayah dan umi tak nampak?
Usai makan malam, Fitri pun masuk ke dalam bilik tidur. Kami berkongsi bilik. Tapi aku tidak berani untuk ikut. Bayangan tadi masih segar di minda.
“Umi…” aku memanggil umi yang sedang mengemas dapur.
“Ye sayang.” balas umi sambil tangannya tangkas mencuci pinggan.
“Tadi.. Along nampak muka adik pelik.” jelasku. Meminta agar umi mengerti.
“Pelik? Pelik macam mana tu?” Umi ketawa kecil.
“Along nampak muka adik jadi pucat. Mata dia pun warna putih. Umi, itu bukan adik!”
“Along! kenapa cakap macam tu dekat adik? Fitri tu kan adik Along. Tak baik cakap buruk pasal adik.”
“Betul umi. Along tak tipu. Along nampak tadi..”
“Along. Pergi masuk bilik. Ayah taknak dengar lagi Along merepek. Ayah dah banyak kali pesan jangan balik rumah waktu magrib.”
Ayah pula menyampuk. Kalau ayah dah cakap sekali, kena ikut. Itu peraturan ayah. Maka, aku pun menonong menuju ke bilik walaupun tidak puas hati. Padahal jantungku tika itu sudah berdetak laju.
KREKKK…
Pintu ku buka perlahan. Gelapnya. Kenapa Fitri tak pasang lampu? Kalau diikutkan, Fitri penakut orangnya. Kalau tidur pun mesti ada sumber cahaya.
Aku pandang ke arah katil, ada satu susuk tubuh sedang duduk berteluku di situ. Naik bulu romaku.
“Adik..” aku cuba memanggilnya. Namun tiada balasan.
Semakin aku hampiri semakin jelas dipendengaranku bunyi esakan. Aku lihat tubuh Fitri seperti terhenjut-henjut menahan tangis.
“Kenapa adik nangis?” tanyaku polos. Rasa takut serta merta hilang. Aku jadi kasihan pula padanya.
“Ayah…umi…” rintih Fitri tersekat-sekat.
Sebagai abang, aku rasa bertanggungjawab untuk menenangkan satu-satunya adikku. Aku duduk di tepinya dan aku peluk. Sedih hatiku melihat dia sebegitu. Tapi kenapa dia menangis?
PSREKKKK.. PSREKKK..
Bunyi seperti lumpur dipijak pula kedengaran. Dari mana datang bunyi tu? Aku toleh ke belakang, ada bayangan seseorang sedang keluar dari bilik. Umi?
Apabila aku pandang semula ke hadapan, rupanya aku sedang mendakap sekujur tubuh Fitri yang sudah kaku. Matanya terbeliak, anak matanya ke atas dan mulutnya terngaga. Tubuhnya terasa dingin sekali.
Tindakan refleks membuatkan aku terdorong kebelakang dan aku gagal mengimbangi tubuhku lalu terjatuh dari katil. Tubuh Fitri tadi kini terlentang di atas tilam sambil kepalanya tergantung di birai katil dan menghala ke arahku.
Terasa berat nafasku ketika itu. Tubuhku menggeletar dan dapat aku rasakan degupan jantungku yang tidak sekata.
“A…adik…” tersekat-sekat mulutku memanggil. Untuk apa? Di depanku saat ini tentu sekali bukan Fitri adikku. Tapi di mana Fitri yang sebenar?
Bayangkan berada di dalam bilik dengan sekujur mayat. Suasana hening sekali. Ditambah dengan samar-samar cahaya daripada bukaan pintu bilik. Aku tidak mampu berbuat apa-apa.
Walaupun begitu, mataku masih tidak lekang daripada memandang ke wajah Fitri. Aku amati anak matanya. Hampir putih seluruh mata. Sedang aku fokus disitu, tidak semena-mena, anak mata itu bergerak sedikit dan memandang tajam ke arahku.
Saat itu juga aku terasa seperti ada halilintar yang mengejutkan aku dan aku berteriak semahunya.
“Umi!!!! Umiiii!!!!” jeritku sambil menangis berlari lintang pukang.
Keluar saja dari bilik, aku ternampak kelibat tadi. Ia sedang berjalan perlahan menuju ke ruang tamu. Dari belakang macam umi. Tapi kenapa umi dalam keadaan basah lencun macam tu? Aku pandang ke bahagian kaki, penuh dengan kesan lumpur dan air.
“Umi….” panggilku perlahan. Namun tiada respon. Sesekali aku akan menoleh ke belakang kalau-kalau ‘benda’ itu tadi mengejarku. Tapi tidak.
Aku pun membontoti umi hingga ke pintu utama. Aku jadi tak sedap hati. Apabila pintu dibuka, aku nampak ayah sedang berdiri diluar. Wajah ayah pucat sangat. Bibirnya pula kebiruan. Anak matanya putih. Sama macam imej yang aku lihat di dalam bilik tadi.
Saat itu, ayah dan umi serentak memandang ke arahku. Aku tersentak. Menggeletar seluruh tubuhku. Tapi mengapa pandangan itu kelihatan sayu? Seketika kemudian, mereka berdua seiringan keluar daripada rumah.
Seperti dipukau, aku turut sama keluar dan aku lihat, mereka berdua seakan-akan menanti agar aku mengekori dari belakang. Setelah itu, mereka pun berjalan menuju ke arah sungai.
“Ayah! Umi! Tunggu Along!” teriakku. Entah mengapa, hatiku rasa tidak tenang.
Ayah dan umi hanya diam dan terus berjalan ke hadapan. Dalam kepekatan malam itu, hanya kedengaran bunyi-bunyi unggas dan cengkerik. Sesekali, ada terdengar bunyi seperti dedaunan kering dipijak. Tapi apabila aku toleh, tiada sesiapapun di situ.
Sampai saja di tebing sungai, ayah dan umi berhenti. Aku turut sama menghentikan langkah. Lama kami begitu.
“Ayah.. Umi.. jomlah balik. Along takut.” ujarku. Air mata sudah deras mengalir. Mengapa hatiku rasa sedih sangat?
Dengan perlahan, mereka berpaling ke arahku dan menampakkan senyuman yang meruntun jiwa. Seakan-akan ingin menitipkan sebuah kata perpisahan.
Aku hanya mampu berdiri di situ dengan tangisan sambil mereka masuk ke dalam sungai dan hilang begitu saja. Aku terduduk. Meraung aku di situ. Kejadian petang tadi tubir semula setelah akal warasku cuba untuk memproses realiti sebenar.
*****
DUA JAM LEPAS
Aku dan Fitri sedang bermain di tepi sungai di belakang rumah. Satu rutin yang sudah menjadi kebiasaan. Yang penting, jangan sesekali cuba untuk masuk ke dalam sungai. Bahaya. Itu amaran ayah.
Entah kenapa, petang itu aku memberanikan diri mengajak Fitri bermain air di tebing sungai. Pada mulanya Fitri menolak, tapi aku berjanji yang aku tidak akan memberitahu ayah.
Tanpa memikirkan bahaya yang bakal dihadapi, kami teruskan dengan rancangan itu dan menuju ke tebing.
Malang tidak berbau, Fitri tersadung dan terjatuh ke dalam sungai. Aku cuba untuk menggapai tangannya tetapi sudah terlambat.
Tanpa membuang masa, aku berlari dan menjerit memanggil umi. Umi yang kebetulan ada di depan pintu segera berlari ke arah sungai sambil menjerit.
“Abang!! Fitri bang!!! Fitriii!!!”
Melihat keadaan Fitri yang tergelam timbul membuatkan naluri seorang ibu tidak memikirkan akan keselamatan diri dan terus sahaja terjun ke dalam sungai. Namun arus sungai yang kuat menyukarkan umi untuk memaut badan Fitri.
Ayah yang baru sampai juga tanpa berfikir panjang melompat ke dalam sungai untuk menyelamatkan mereka. Aku hanya berdiri di situ menyaksikan kejadian yang terpapar di depan mata.
Walau sekuat mana aku menjerit, tiada siapa yang datang untuk menolong. Sedikit demi sedikit, tubuh ayah dan umi tenggelam ke dalam sungai. Ketiga-tiga mereka sudah hilang dibawa arus. Aku bungkam. Seperti menerima satu tamparan yang maha hebat.
Entah berapa lama aku melongo di situ, akhirnya aku berjalan pulang ke rumah seperti tiada apa yang berlaku.
Apabila aku sampai di depan pintu, tika itulah aku nampak ayah dan umi menyambut kepulanganku dengan wajah gusar. Aku bingung, tapi hatiku lega.
******
Keesokannya, aku ditemui oleh pakcik saudaraku sedang terbaring di tepi sungai. Apabila ditanya dimana ayah, umi dan adikku, aku hanya diam seribu bahasa. Kata Pak Azam, aku kelihatan seperti seseorang yang telah mengalami trauma yang teruk.
Seminggu kemudian, jasad ayah dan umiku ditemui di sungai berdekatan. M**i lemas. Itu hasil autopsi yang aku terima. Namun, mereka tidak menemui jasad adikku, Fitri.
Sehingga ke hari ini, aku sendiri tidak pasti samada Fitri masih hidup ataupun tidak. Rasa bersalah ini tidak mungkin dapat aku kikis sampai bila-bila. Pada malam penuh tragik itu, aku telah kehilangan bukan saja tiga nyawa, malah diriku sendiri.
TAMAT.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
ni citer betul ke rekaan ni?
aku rase pukul 6:00kalau kat sabah dh malam dah>>>>>>>>>
jeng jeng….
Allahu sedihnya…ni cerita benar ke,,klu benar x boleh bayangkan perasaan awk bila tau realitinya..
Sedihnya😥ðŸ˜ðŸ˜.
comel!
ðŸ˜
Stay strong kpd penulis💪
Cerita ncm ni aku sanggup tekan 10/10 50 kali. Hebat. Sedih pun ada. Pengajaran yg besar, hargai orang tersayang 😘
Allahuakbar.. cerita betul ke ni
dekat akhir cerita dia ada tulis (bukan meragut tiga nyawa,malah diriku sendiri).. beerti dia pun dah m**i .. 😱 tekejut den dibuatnya ..
Fiksyen ni.. Sbb xsilap aku penulis yg sama cerita pasal sekolah dia.. Smk tangok. Sekolah tu kat kelantan. Pastu ade 1 cerita time dia blajar kolej, di johor. Tetiba dlm cite ni, dok sabah.. So, mmg fiksyen. Tp cte yg best, sedih..