#Izul – Si Cerdik dan Si Lembam (Full Story)

Nota Penulis : Cerita ini bukanlah cerita seram seperti yang sudah dihantar oleh penulis sebelum ini. Sedikit kelainan diberikan. Bacalah dengan mata hati supaya kita tidak tergolong di dalam golongan orang-orang yang rugi.

==========================================

Si Cerdik dan Si Lembam adalah adik beradik kembar tetapi berlainan dari segi sikap dan kecerdasan akal. Mereka hanya dua beradik sahaja dan tidak punya adik beradik yang lain. Si Cerdik adalah abang yang lahir beberapa minit awal dari Si Lembam.

Abangnya Si Cerdik diberi nama Rafiq dan Si Lembam diberi nama Raqib. Indahkan nama mereka. Tapi, semakin mereka dewasa, nama indah yang diberi tidak diguna pakai oleh keluarga dan rakan-rakan. Semua lebih selesa memanggil pasangan kembar ini dengan nama Si Cerdik dan Si Lembam.

Semasa mereka masih bayi, seawal umur 10 bulan, Si Cerdik sudah pandai berjalan manakala Si Lembam, masih lagi meniarap. Merangkak pun tak pandai lagi. Menginjak ke umur 5 tahun, Si Cerdik sudah pandai membaca dan mengira. Si Lembam pula, jangankan membaca, buku pun pegang terbalik lagi.

Bermula dari kehidupan harian, pembelajaran dan pergaulan dengan rakan-rakan, Si Lembam selalu ketinggalan jauh dari abangnya Si Cerdik. Sebab itulah, ibu dan bapanya menggelarkan Raqib dengan nama Si Lembam dan abangnya Rafiq dengan gelaran Si Cerdik kerana kecerdasan akalnya yang melangkaui umur kanak-kanak sebayanya.

Si Lembam walaupun sudah berumur sembilan tahun, masih tidak pandai membaca dan tidak pandai bergaul dengan rakan-rakan kelasnya. Pihak sekolah telah menempatkan Si Lembam di dalam kelas khas bagi kanak-kanak yang perlu diberikan perhatian lebih dan cara pembelajaran yang berbeza sedikit berbanding kanak-kanak normal yang lain.

Walaupun Si Lembam lambat dari segala segi, tapi dia sangat pandai mengaji. Allah berikan kelebihan kepada Si Lembam untuk mudah mengenal ayat-ayat Allah. Disebabkan selalu dipinggirkan oleh kedua ibu bapa dan juga abangnya, Si Lembam selalu mengisi masanya dengan mengaji Al-Quran dan berzikir. Si Lembam juga rajin solat berjemaah di masjid yang tidak jauh dari rumahnya.

Balik dari masjid selepas Isyak, selalunya Si Lembam akan berkaki ayam kerana seliparnya sudah disorokkan oleh abangnya dan konco-konco abangnya sekali. Si Cerdik lebih suka melepak di depan masjid bersama dua tiga orang kawannya dan sebaik sahaja jemaah masjid selesai menunaikan solat, mereka akan menyorokkan selipar Si Lembam di dalam longkang. Pada awalnya, Si Lembam akan mencari seliparnya di merata-rata tempat; di sekeliling masjid, di depan rumah orang, di atas pokok, tetapi lama kelamaan Si Lembam biarkan sahaja. Sudah malas mahu mencari. Hari-hari seliparnya akan hilang dan bila dia sampai di rumah dengan berkaki ayam, ibunya pula akan menengking Si Lembam. Selalunya selipar Si Lembam akan ada di depan pintu rumah semula keesokan harinya.

“Woi Lembam! Ko nak balik kaki ayam lagi ke? Nanti Ibu rotan lagi kaki ko sampai berbirat. Padan muka! Hahahahaha,” seronok Si Cerdik gelakkan adiknya. Ditambah dengan gelak tawa dari rakan-rakan Si Cerdik.

“Kenapa Abang suka sangat sorokkan selipar Adik. Abang bagilah balik selipar Adik. Adik taknak Ibu rotan Adik lagi hari ni. Kesian Ibu selalu nangis sebab Adik,” Si Lembam yang sememangnya baik hati, tidak sedikit pun marah abangnya. Dia hanya merengek-rengek gaya seperti budak berumur enam tahun walaupun umurnya sudah pun mencecah sembilan tahun.

“Ko pergilah cari sendiri selipar ko. Lain kali jaga la betul-betul! Elok je aku tengok tiap-tiap pagi selipar ko kat depan rumah. Boleh je tu ko cari balik,” tak ada sekelumit pun rasa simpati dalam hati Si Cerdik. Dia tinggalkan adiknya di depan masjid dan mengayuh basikalnya pergi.

“Aik! Bukan Abang ke yang letak balik depan rumah hari-hari,” Si Lembam bermonolog seorang diri sambil berjalan kaki pulang ke rumah. Dia tidak mempunyai basikal seperti abangnya. Ayahnya hanya membelikan sebuah basikal kepada Si Cerdik kerana selalu mendapat tempat pertama di dalam kelas. Bukan sahaja di dalam kelas tetapi untuk keseluruhan darjah tiga, Si Cerdik sentiasa berada di ranking yang teratas. Tapi Si Lembam tidak pernah mengeluh apabila tidak dihadiahkan basikal seperti abangnya sebab dia sayangkan keluarganya lebih dari harta benda dunia walaupun layanan yang diterima tidak seperti Si Cerdik.

Seperti diduga, sampai sahaja di rumah, ibunya merotan kaki Si Lembam dan memaki hamun anaknya itu yang tidak habis-habis menyusahkan hidupnya.

“Kau ni Lembam! Tak boleh ke kau jaga elok-elok selipar kau tu. Dengan kaki kotor macam ni kau balik rumah. Ni sampai kaki kau berdarah ni kenapa?? Pergi basuh kaki tu dulu! Aku penat tahu tak jaga kau! Tak boleh ke kau ni ikut macam abang kau,” menangis Si Lembam di kaki ibunya. Berkali-kali dia meminta maaf. Tidak sekali pun dia mengadu pada ibunya semua yang berlaku adalah kerana Si Cerdik yang suka membuat onar.

“Ibu, Adik mintak maaf Ibu. Maafkan Adik. Adik janji tak buat lagi. Ibu jangan pukul Adik lagi ye. Sakit,” teresak-esak Si Lembam di kaki ibunya. Ayahnya yang sedang menonton televisyen, tidak sedikit pun hiraukan rayuan dan tangisan Si Lembam.

Si Lembam dengan kaki yang terhencut-hencut akibat dipukul tadi naik ke tingkat atas dan berbaring di atas katil lalu tertidur dengan airmata yang sudah kering di tepi mata dan pipinya. Tapak kakinya yang berdarah terpijak kaca sewaktu pulang tadi, dibiarkan kering sehingga keesokan harinya. Sejak dari hari itu, Si Lembam tidak lagi pergi ke masjid untuk solat berjemaah. Dia hanya solat di rumah sahaja dan setiap masa yang terluang dia akan gunakan untuk mengaji. Dia tidak mahu lagi lukakan hati ibu dan ayahnya. Padahal, kehilangan selipar Si Lembam bukanlah berpunca dari dirinya.

Sikap kedua ibu bapa Si Lembam, abangnya Si Cerdik dan juga orang-orang di sekelilingnya tidak pernah berubah. Sehinggalah umurnya menginjak ke 12 tahun, dia masih lagi menerima layanan yang sama dari ahli keluarganya.

Layanan Si Cerdik terhadapnya saban hari semakin teruk. Beg sekolahnya habis koyak digunting oleh abangnya. Tidak cukup dengan itu, buku-bukunya direndam di dalam baldi air dan baju sekolahnya dicelup dengan pewarna. Setiap hari ibu dan ayahnya akan memarahi Si Lembam kerana suka merosakkan barang-barang sendiri. Bukan setakat ditengking, habis berbirat belakang badan Si Lembam dipukul oleh kedua ibu dan ayahnya. Walhal, semua itu adalah perbuatan Si Cerdik. Kendatipun Si Cerdik ini bijak dari segi pembelajaran tapi sikapnya tidak ubah seperti orang yang cetek akal.

Walaupun habis barang-barang Si Lembam dirosakkan oleh Si Cerdik, Si Lembam perasan begnya dijahit semula, buku-bukunya telah dikeringkan kembali dan barang-barangnya yang bersepah telah dikemaskan semula keesokan harinya. Si Lembam pada mulanya berasa agak hairan. Gerangan siapakah yang baik hati mengemas kembali barang-barangnya. Namun, setelah beberapa tahun mengalami pengalaman yang hampir sama sebelum ini, Si Lembam tidak mahu ambil pusing.

Di suatu petang, sedang ibunya memasak di dapur, Si Lembam memeluk pinggang ibunya dari belakang. Ibunya yang terkejut, terus menepis tangan Si Lembam.

“Ibu, Adik tak pernah rasa Ibu peluk Adik. Bagilah Adik peluang peluk Ibu. Nanti bila Adik dah tak ada, Ibu mesti sunyi duduk rumah sorang-sorang,” Si Lembam tersenyum lebar sehingga menampakkan giginya yang tersusun cantik.

“Jangan nak mengada-ngadalah Lembam. Pergi duduk depan sana. Jangan kacau Ibu nak masak,” ditolaknya Si Lembam jauh ke luar dapur.

“Ibu, mulai dari hari ni, Ibu jangan panggil Adik lembam lagi. Panggillah Adik atau Raqib. Kan cantik nama yang Ibu dan Ayah bagi dekat Adik,” Si Lembam masih lagi tersengih-sengih melihat ibunya memasak dari luar pintu dapur.

Melihatkan ibunya yang tidak mengendahkan sedikit pun permintaannya, dia berlalu ke ruang tamu, sambung mengaji dan berzikir. Setiap kali Si Lembam mengaji, pasti akan ada ‘suara’ yang mengikutnya mengaji bersama. Disebabkan sudah kerap terdengar ‘suara’ tersebut, Si Lembam buat tidak endah sahaja.

Selesai mengaji, Si Lembam naik ke tingkat atas menuju ke biliknya. Si Lembam membersihkan diri dan menunaikan solat Zohor. Di atas tikar sejadah yang sudah lusuh kerana sudah bertahun tidak berganti baru, Si Lembam menadah tangan mendoakan kesejahteraan keluarganya. Kesihatan yang baik kepada ibu, ayah dan abangnya serta dikurniakan kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Mulia sungguh hati anak ini. Kemuliaan hatinya tidak dipandang oleh ahli keluarganya yang hanya memandang luaran anak-anaknya. Si Cerdik yang luarannya bijak dan berkebolehan serba serbi tetapi ditutupi dengan hati yang gelap. Berbeza jauh dengan Si Lembam.

Ahli keluarganya seolah-olah tidak mensyukuri anugerah yang dikurniakan oleh Allah itu. Mereka tidak boleh menerima kelemahan yang ada pada diri Si Lembam dan tidak pula nampak kelebihan Si Lembam yang tidak ada pada diri anak-anak kecil di masa kini yang lebih leka dengan keseronokan duniawi.

Si Lembam yang sentiasa dipinggirkan dan tidak diendahkan oleh ibu, ayah dan abangnya, akhirnya di’pulang’kan kembali kepada Pencipta Yang Esa. Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam keadaan yang sedang lena tidur. Sungguh mudah Si Lembam pergi menghadap Illahi. Wajahnya tenang seolah tidak punya masalah dan seperti orang yang bahagia sahaja semasa hayatnya.

Bibirnya yang sentiasa basah dengan ayat-ayat suci Allah kelihatan kemerahan dan tersenyum seperti masih lagi bernyawa.

Matanya yang sentiasa melihat perkara-perkara baik semasa hayatnya tertutup rapat tanpa sebarang beban.

Tangannya yang sentiasa memanjatkan doa yang indah-indah kepada keluarganya, tersangatlah lembut apabila dimandikan.

Pengurusan jenazah Si Lembam dipermudahkan oleh Allah S.W.T dan berjalan lancar tanpa satu pun cacat cela. Sepanjang jenazah Si Lembam dibawa ke liang lahad, awan mendung berarak di atas kepala seolah olah satu payung yang besar memayungi orang-orang yang menguruskan jenazahnya.

Ibu dan ayahnya yang berada di tanah perkuburan tidak sedikit pun menitiskan airmata dan kelihatan berduka di atas pemergian Si Lembam. Wajah mereka menzahirkan kelegaan kerana Si Lembam yang mereka anggap sebagai beban, kini sudah ‘pergi’ dan tidak akan kembali lagi.

Si Cerdik yang sememangnya tidak pernah sayangkan kembarnya itu galak bergelak ketawa bersama rakan-rakannya di luar pagar tanah perkuburan. Hari yang sepatutnya diluangkan dengan membaca surah Yasin untuk roh adiknya digunakan untuk bergembira bersama rakan-rakannya.

Setelah selesai semua urusan pengebumian, mereka bertiga menjalani kehidupan seperti biasa. Disangkakan dengan ketiadaan Si Lembam, hidup mereka akan lebih aman dan bahagia. Namun, sebaliknya yang berlaku.

Rumah mereka yang selama ini kelihatan ‘terang’ dan ber’cahaya’ kerana bacaan Al-Quran yang dialunkan oleh Si Lembam setiap hari, kini kelihatan suram dan kelam. Penghuninya sentiasa berada di dalam keadaan yang tidak tenang dan berasa rimas apabila tinggal di dalam rumah tersebut.

Seminggu selepas kematian Si Lembam, ibunya memasak di dapur seperti kebiasaan. Ketika memasak, ibunya selalu menjenguk ke ruang tamu tempat di mana Si Lembam selalu duduk bersila mengaji dan berzikir. Tiba-tiba dia berasa sebak.

Dahulunya dia tidak sedar, anak istimewa itu yang selalu menemaninya di rumah di kala suaminya sibuk bekerja manakala Si Cerdik pula sibuk bermain dengan rakan-rakannya di taman. Dahulunya juga dia tidak sedar, anak istimewa itu yang rajin berdiri di pintu dapur berceloteh tanpa henti dengannya walaupun dia tidak pernah melayan setiap cerita yang disampaikan Si Lembam.

Tanpa diduga, airmata si ibu ini mengalir. Tangannya menyeka laju airmata yang mengalir di pipi. Dia menyandarkan diri di kabinet dapur sambil memandang ke bawah.

Tiba-tiba dia rindukan celoteh Si Lembam.
Tiba-tiba dia rindukan alunan suara Si Lembam mengaji di ruang tamu.
Tiba-tiba dia rindukan Si Lembam yang sentiasa ringan tulang membantunya di dapur walupun dihalau keluar olehnya beberapa kali.

Setiap kali Si Lembam membawa pinggan nasi ke meja makan, pasti akan ada pinggan yang pecah. Sebab itu, dia selalu memarahi Si Lembam dan menyuruhnya duduk di luar dari menyusahkan dia. Tetapi baru kini dia sedar, anak istimewa itu rupanya penyeri hidupnya selama ini. Anak istimewa yang dianggap lembam dan bodoh itulah yang banyak membantunya di rumah.

Terduduk dia di dapur sambil menyeru nama Si Lembam. Dia teringat kembali bait-bait perkataan yang disampaikan Si Lembam tiga minggu lepas.

“Ibu, Adik tak pernah rasa Ibu peluk Adik. Bagilah Adik peluang peluk Ibu. Nanti bila Adik dah tak ada, Ibu mesti sunyi duduk rumah sorang-sorang,”

Benarlah kata Si Lembam. Kesunyian itu sudah dirasai.

Ibu Si Lembam berlari naik ke tingkat atas menuju ke bilik Si Lembam lalu memeluk bantal tidur anaknya. Dilihatnya cadar dan sarung bantal Si Lembam yang sepatunya berwarna biru dan bercorak kartun Mickey Mouse tetapi sudah pudar warnanya dan rupa kartun juga sudah hilang. Baru dia sedar, sejak dia membelikan katil kepada Si Lembam semasa umurnya enam tahun, cadarnya tidak pernah bertukar ganti.

Dia juga tidak pernah sekalipun masuk ke bilik Si Lembam melihat barang-barang keperluan Si Lembam sama ada mencukupi atau pun tidak. Bantal kekabu Si Lembam juga sudah nipis seperti tidak punya apa-apa bantal di dalam sarung bantal tersebut. Anak istimewa ini tidak pernah merungut seperti abangnya Si Cerdik yang hampir setiap bulan bertukar cadar.

“Maafkan Ibu, Adik. Banyak dosa Ibu pada Adik. Ya Allah, Kau tempatkanlah anakku ini di kalangan hamba-hambaMu yang dikasihi dan terpuji. 12 tahun Kau pinjamkan anak istimewa ini kepada kami, tidak sedikit pun kami hargai anugerah yang Engkau berikan. Besar sungguh dosa aku pada Raqib. Anak Ibu rehatlah dengan tenang. Jumpa di syurga nanti sayang.”

Semahu-mahunya ibu Si Lembam menangis dan meratap kehilangan Si Lembam. Jikalau penyesalan ini menjengah awal dahulu lagi, pasti ibunya dapat memeluk Si Lembam sepuas-puasnya di hari pengebumian Si Lembam.

Sesungguhnya, semasa hayat Si Lembam, Allah hantarkan ‘seseorang’ untuk melindunginya. Seliparnya yang hilang, begnya yang koyak, baju sekolahnya yang basah, semuanya diperbetulkan dan diperbaiki semula oleh ‘seseorang’. Tidak dapat dilihat menggunakan mata kasar tidak bermakna ia tidak wujud.

Milikilah hati yang bersih dan sifat-sifat yang terpuji supaya kita sentiasa dilindungi oleh-Nya.

“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuh manusia, dan jika buruk daging itu maka akan buruklah seluruh tubuh manusia. Dan ketahuilah bahawa daging itu adalah HATI”.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Jadilah seperti Raqib yang mempunyai hati yang bersih, tiada celanya. Janganlah jadi seperti Rafiq yang memiliki hati yang gelap, pekat hitam warnanya.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.4]

138 thoughts on “#Izul – Si Cerdik dan Si Lembam (Full Story)”

  1. huhu.. walaupun anak dapat 5e peluk cium say thanks sebab mana tahu dia yang jaga kita bila sakit nanti.. hmmmm sayu sedih hati aku baca cerita #izul kali ni… pesanan buat bakal mak ayah jangan la pilih kasih..
    #lapairmata
    #airmatakeluarsikit
    #izulmaindenganperasaankalini
    #ilovemaandayah

    Reply
  2. Salam..
    first time sy komen..selama ni SR
    sedih saya bace…
    teringat kt second daughter sy yg “OKU”
    org selalu pandang hina anak sy..
    Ya Allah Ya Tuhanku..kau tempatkan la anakku di syurga mu”
    Akhirat nanti..jgn lupa bawak mummy,daddy n kakak girl sekali ye…

    Reply
    • اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
      Setiap pemberian Tuhan ada hikmahnya.
      Allah itu Maha Adil walaupun pada kita mereka tidak sempurna sifatnya tetapi Allah kurniakan mereka pelbagai kelebihan/kebolehan yang tidak mampu dilakukan oleh kita.
      Terima kasih Kak Pijah 🙂

      Reply
  3. terkesan sgt dgn cerita ni…sbbnye baru smlm acik marah anak kecik acik sbb grumpy and cranky the whole day! Sampai mengadu kt husband acik…yg si abang tak pernah buat perangai cam gini…in fact pg before pegi keje acik dah rase bersalah sbb marah2 si cinonet tu smlm….pastu bace lak citer izul…terus rabak mate acik! #mommymanusiabiase

    Reply
    • Takper acik.Semua orang pernah melakukan kesilapan dalam dunia ni.Acik jangan sedih2 ye..Kalau acik ada masa,mainlah dengan anak kecik acik,mesti dia gembira!!😄 Semoga acik sentiasa beristiqomah dalam menjaga anak-anak acik!You can do it~Fii hifdzillah!😃

      Reply
    • Marah tu tanda sayang. 😀
      Saya masa kecik2 pun slalu kena marah jugak Acik. Hahaha
      Nakal saya ni and degil. Alhamdulillah dah besar ni tak degil macam dulu 🙂

      Reply
  4. Tgk nama izul jek dah tersenyum sampai telinga. Belum tgk muka izul lagi. Muahah. Terbaik ah. Sedih gler. Tisu pun dah abis sekotak

    Reply
  5. Sedihnya. Ya Allah ampunkan lah dosa2 ku Ya Allah. Alamak baru je tadi terpanggil org gedik. Aq minta maaf k. Gurau je tu.

    Reply
    • Mintak maaf dengan aku ke? 😀
      Jumpa kawan tu nanti boleh mintak maaf. Lagi pun gurau-gurau je kan. Harap2 nya member tu tak sentap.

      Reply
  6. sedih. abg sulung saya anak-anak istimewa jugak. autisme. marah tanpa sebab, kdg2 keluar makian (tak tau sape ajar die), mak kdg2 geram sbb bila mak suruh buat something mesti salah. kdg2 nk ulang smpi 5 kali. tapi die sangat baik. dulu die takkan makan selagi adik-adik tk makan. tpi sekarang die dah pandai. die tau adik2 die slalu makan lambat, kehkehkeh. so die malas dh nak tunggu. solat 5 waktu, bile terlepas 1 waktu mesti die gelisah dan rase nak marah. hari2 die akan berzikir dan bce alquran. lepas tu sume hadiah birthday atau souvenir yang saya bagi dari umur die kecik sampai skrg masih elok lagi die jge. sgt cermat. die memang sangat istimewa.

    Reply
  7. baca intro dah bergenang air mata apalagi dah sampai klimaks lagi la tengok author izul terus bukak sebab memang tau cerita ada kualiti .. boek ah

    Reply
  8. adat manusia mcm tu la masa dok ada buat mcm takdak ja bila dh kehilangan baqu laa kalut nk qeyau meratap,benda dh takdak nk menyesai pon tak guna…sapa2 yg masih ada mak ayah adik beradik hargai lah depa sementara depa masih dok ada,bkn selamanya depa ada ngn kita cukup masa depa akan blik pada pencipta kita….terima kasih kpd penulis sbb ingatkn pembaca betapa berharganya masa yg tuhan bg utk kita bersama dgn mak ayah adik beradik,kpd yg mak ayah adik beradik yg dh takdak tu jgn sedih kita masih bleh lg doakan depa walaupun mungkin masa depa dok ada kita tak hargai depa alhamdulillah aq masih ada mak.ayah dan adik beradik cuma aq haqap masa depa dipanggil blik aq dpt teqima kenyataan tu sbb taktau beqapa byk lg masa yg tersisa utk depa kt ataih bumi….tq penulis sbb mengingatkn pembaca betapa berharganya sesebuah keluarga tanpa depa takdak makna hidup kita

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.