#Izul – Tibanya Ajal

“Sedapnya bau. Kau masak apa ni Ajib?” terangkat-angkat hidung aku menghidu bau masakan Ajib. Bila Chef Ajib masuk dapur, kecur air liur semua orang dibuatnya.

“Kuey teow goreng jer ni ha. Tak ada apa yang istimewanya,” Ajib menjawab tapi dengan penuh semangat dia menggaul-gaul kuey teow dalam kuali.

Ajib memang rajin memasak kalau hari Sabtu dan Ahad. Aku, Pa’an dan Acai belikan bahan-bahan mentah sahaja. Ajib yang akan masakkan. Kalau hari bekerja Isnin sampai Jumaat jangan haraplah Ajib hendak masuk dapur, penat katanya.

“Syoknya hari ni sarapan dapat makan kuey teow Chef Ajib. Dah sebulan aku mengidam kuey teow kau. Buat pedas-pedas weh,” itu memang ayat biasa aku. Masak apa-apa kena pedas baru sedap.

“Yelah. Sekilo cili kering aku blend tadi untuk kau,” faham sangat dah Ajib dengan selera aku. Nasib badan lah Pa’an dengan Acai bila makan nanti. Pedas menganga! Tapi yang sekilo tu Ajib berseloroh cuma. Boleh m**i ternganga makan cili sekilo.

Selesai menggoreng, aku dan Ajib duduk di ruang tamu. Makan sambil menonton televisyen. Dapat berehat di rumahlah minggu ni sebab aku tak ada apa-apa plan. Cuma nak rehat je. Kerja yang tak berhenti memang memenatkan mental dan fizikal.

Aku baru sahaja hendak bangun menuju ke dapur selepas menghabiskan dua pinggan kuey teow goreng, telefon bimbitku berbunyi. Kedengaran suara Qayyum di hujung talian. Qayyum adalah sepupu aku sebelah arwah Abi (panggilan untuk arwah ayah aku). Ayah Qayyum, aku panggil Pak Ngah adalah adik arwah Abi yang nombor dua. Arwah Abi anak sulung, Pak Ngah nombor dua dan Pak Su adalah yang bongsu.

“Assalamualaikum Izul. Maaflah mengganggu kau,” kedengaran suara Qayyum yang sedikit kelam kabut. Qayyum sebaya dengan aku. Walaupun arwah Abi kahwin dulu baru Pak Ngah tapi arwah Abi dikurniakan anak hanya selepas dua tahun berkahwin dengan arwah Umi. Itu yang aku dan Qayyum sebaya, hanya beza bulan sahaja.

“Wa’alaikumussalam Qayyum. Tak ada mengganggu pun. Aku baru selesai sarapan. Kenapa ni Qayyum? Pak Ngah dan Mak Ngah sihat?” aku bertanyakan khabar kedua ibu bapanya.

“Hrmm..aku nak bagitahu ni. Abah sakit sekarang. Aku baru dapat panggilan dari Ibu bagitahu yang Abah tiba-tiba rebah dalam bilik air. Sekarang ada di hospital, bahagian kecemasan. Tapi aku rasa tak sedap hatilah. Ingat nak mintak tolong kau hantarkan aku balik kampung, kalau kau tak keberatan,” kedengaran jelas suara Qayyum yang memang tak tentu arah sekarang.

“Eh…Boleh, boleh! Kau dekat rumah sewa ke sekarang? Bagi aku masa 30 minit. Kejap lagi aku sampai,” aku terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Yang sakit sekarang ni bukan orang lain. Pak Ngah aku sendiri. Kami sekeluarga memang rapat. Walaupun jarang berjumpa tapi hubungan kekeluargaan kami masih erat.

“A’a Izul. Rumah sewa aku yang sama tu jugak. Aku tunggu sini. Terima kasih banyak-banyak,” berkali-kali Qayyum mengucapkan terima kasih. Selepas memberi salam, aku memutuskan talian dan bergegas masuk ke bilik tidur untuk mengemas baju-baju yang perlu dibawa.

Acai masih tidur lagi. Aku tak mahu mengganggu dia yang tengah nyenyak, hanya pesanan ringkas aku tinggalkan memaklumkan mengenai Pak Ngah. Aku akan bermalam di sana dan Ahad baru aku akan pulang.

Aku keluar ke ruang tamu dengan beg sandang belakang. Aku maklumkan pula pada Ajib yang masih leka menonton televisyen.

“Hati-hati weh. Sampai rumah Pak Ngah kau nanti message lah,” aku hanya menganggukkan kepala mendengar pesanan Ajib.

Tepat jam 9 pagi, aku sampai di rumah sewa Qayyum. Rumah aku dan rumah sewa Qayyum jaraknya hanya 15 minit sahaja. Dekat tapi itu lah, jarang sangat kami berjumpa. Masing-masing sibuk dengan kehidupan harian. Yang menghubungkankan kami hanyalah telefon bimbit; whatsapp dan facebook.

“Jangan risau Qayyum. InsyaAllah baik-baik sahaja semuanya. Kau kena kuat demi Pak Ngah dan Mak Ngah,” aku berikan sedikit kekuatan untuk Qayyum setelah dia masuk ke dalam kereta. Memang nampak jelas muka sembab Qayyum yang baru lepas menangis.

“Insya-Allah Izul. Aku harap-harap gitu lah,” kepala Qayyum hanya ditundukkan ke bawah.

Kami meneruskan perjalanan ke kampung Qayyum. Pak Ngah tidak tinggal di Kampung Sungai Papan seperti arwah Abi. Dia membina rumah di belah utara tanah air, di atas tanah milik Mak Ngah.

Sepanjang perjalanan, aku berasa sangat pelik. Pemanduan aku kali ini tidak seperti kebiasaan. Terasa seperti ada yang mengikut daripada belakang. Rasa tak selamat. Seperti ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Kuat rasa hati aku mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.

Kereta yang aku pandu menyusuri lebuhraya Utara Selatan dan dipandu dalam keadaan yang sangat berhati-hati. Kelajuan hanya 100km/j dan aku hanya memandu di lorong yang paling perlahan membiarkan kereta-kereta lain memotongku.

30 minit perjalanan, bunyi enjin lori tiba-tiba menyergah kami. Sebuah lori laju di belakang mengikut rapat, tergesa-gesa. Melalui cermin pandang belakang, aku cuba hendak pastikan pemandu lori tersebut tapi tidak jelas sebab lori itu agak tinggi. Aku lajukan lagi kereta memandu lebih kurang 120km/j tapi lori tersebut masih lagi mengikut rapat. Aku bergerak ke lorong tengah memberi laluan sebab pemandu lori ni memang tak nak langsung masuk ke lorong tengah untuk memotong.

Dia boleh pula beriringan sebelah kereta aku dan makin lama makin menghimpit. Aku mengelak memasuki lorong laju. Qayyum di sebelah mendongak ke atas hendak melihat pemandu lori yang tak ada adab ni.

“Allah! Izul laju. Bawak laju lagi! Lori ni tak ada pemandulah!” separa menjerit suara Qayyum sebab terlampau terkejut.

“Kau baca ayat Kursi jangan putus. Jangan takut, kita tenang je,” aku cuba tenangkan Qayyum.

Aku ligat berfikir. Kenapa waktu siang macam ni pun ada yang mengganggu? Aku yakin ini mesti dihantar oleh seseorang.
Tapi siapa? Niat si penghantar ni memang hendak m******h. Maka, ini bukanlah masalah yang ringan. Siapakah yang hatinya terlalu hitam sehingga sanggup m******h.

Perjalanan diteruskan sambil bibir aku tidak putus dengan ayat-ayat pelindung diri. Melihatkan lori tersebut mengekori rapat di lorong laju pula, aku beralih ke lorong yang paling perlahan di kiri sekali sehingga hampir tersasar ke bahu jalan.

Pelik. Baru aku perasan. Jalanraya seakan lengang. Tiada kenderaan lain melainkan kereta aku dan lori hantu ini sahaja. Sedaya upaya aku mengelak dari dihimpit dan diseret oleh lori yang berkali-kali ganda besarnya dari kereta aku.

Sedang dalam kekalutan p****g memotong, brek ditekan sehingga habis. Berdecit bunyi tayar kereta aku meninggalkan kesan hitam di sepanjang jalan itu. Lori tadi laju ke depan meninggalkan aku. Aku nampak seorang lelaki yang agak berusia mungkin dalam lingkungan 50an berada di atas bumbung lori berkenaan.

Sebelum lori itu berpatah balik, aku mengambil garam dan lada hitam dari beg sandang yang aku letakkan di kerusi belakang. Laju aku bacakan ayat mengusir jin dan aku campakkan ke atas jalan raya.

“Psssssttttt,” bunyi seperti minyak panas di dalam kuali yang dipercikkan air ke dalamnya. Hilang suasana sepi tadi digantikan dengan bunyi bingit hon kenderaan lain.

“Woi! Jalanlah. Tak ada akal ke berhenti tengah jalan macam ni??” terdengar herdikan dari pemandu kereta lain di lebuhraya Utara Selatan tersebut.

Kereta aku betul-betul berhenti di tengah jalan. Nyaris dilanggar oleh kenderaan lain.

Aku meneruskan pemanduan dan memberikan isyarat ke kiri untuk berhenti di hentian rehat dan rawat. Qayyum masih dalam keadaan terkejut.

“Iz… Izul… apa yang ja… jadi tadi se..se..se..benarnya?” tergagap-gagap Qayyum bertanya.

“Aku pasti ni perbuatan khianat! Kau ada tak bermusuh dengan sesiapa atau pun ada yang dengki dengan kau selama ni?” aku memandang Qayyum mengharapkan jawapan darinya.

“Hrm…musuh memang aku tak ada. Kau kenal aku kan Izul. Aku ni bukannya jenis yang suka ambil tahu hal orang lain. Aku banyak buat hal aku sendiri je. Aku tak pastilah kalau ada yang dengki,” kedua-dua tangan Qayyum ditekupkan ke muka. Masih cuba untuk memahami situasi sebentar tadi.

“Kalau bukan dengan kau, mungkin dengan Pak Ngah atau Mak Ngah. Kau tahu tak?” aku mencuba nasib lagi bagi mencari punca.

“Maaflah Izul. Aku tak pasti pasal tu. Aku kan duduk jauh di KL. Sampai kampung nanti aku akan tanya Ibu,” aku hanya menganggukkan kepala dengan jawapan Qayyum.

Aku dan Qayyum menunaikan solat Zuhur di hentian dan mengisi perut yang sudah mula berasa lapar. Hampir satu jam juga kami berehat di hentian.

Perjalanan diteruskan. Alhamdulillah, selain daripada bisikan-bisikan menyuruh kami berhenti dan berpatah balik, tiada sebarang gangguan selepas itu. Ada yang tidak suka kami pulang. Aku yakin semua ini ada kaitannya dengan sakit yang ditanggung oleh Pak Ngah ketika ini.

Lebih kurang satu jam selepas itu, kami tiba di hospital di mana Pak Ngah ditempatkan. Kami tidak terus ke kampung kerana Mak Ngah dan Alang (adik Qayyum), kedua-duanya masih berada di hospital. Jadi, tiada siapa di rumah.

Qayyum laju memeluk Mak Ngah apabila kami bertemu di luar Unit Rawatan Rapi (ICU). Aku yang melihat hampir menitiskan air mata. Berat dugaannya apabila orang yang kita sayang kini terlantar sakit.

Qayyum masuk dahulu ke dalam bilik Pak Ngah. Aku, Mak Ngah dan Alang hanya menunggu di luar. Hanya seorang pelawat dibenarkan masuk dan haruslah bergilir-gilir.

Aku tenung wajah sugul Mak Ngah. Mesti penat sebab dari pagi tadi Mak Ngah berada di hospital. Alang pun apa kurangnya. Setia menemani Mak Ngah. Di saat-saat begini, sokongan dari kaum keluarga sendiri sangat membantu dalam memberikan semangat dan kekuatan bagi mengharungi dugaan ini.

“Mak Ngah dah makan?” selepas bertanya khabar Mak Ngah dan Alang, aku ingin mengajak mereka makan dahulu di kafeteria hospital.

“Sudah Izul. Tadi Alang bungkuskan nasi untuk Mak Ngah. Terima kasih la Izul dari jauh kamu datang. Terima kasih juga sebab tumpangkan Qayyum balik. Maaflah menyusahkan kamu,” Mak Ngah melemparkan senyuman ke arah aku.

“Mak Ngah ni. Mana ada susahnya. Kita kan satu keluarga. Saya cuma ada keluarga Pak Ngah dan keluarga Pak Su sahajalah tempat saya menumpang kasih. Apalah sangat yang saya buat ni nak dibandingkan jasa Pak Ngah dan Mak Ngah terhadap saya,” aku ikhlas memuji Pak Ngah dan Mak Ngah. Merekalah yang banyak memberikan sokongan dan menjaga aku selepas kedua ibu bapaku pulang ke rahmatullah.

Sedang aku dan Mak Ngah berbual, Qayyum keluar dan memberi isyarat untuk aku masuk. Perlahan-lahan aku masuk untuk melihat keadaan Pak Ngah.

Tiba-tiba dada terasa sebak. Sedih melihatkan keadaan Pak Ngah yang penuh dengan wayar-wayar dan menggunakan alat bantuan pernafasan. Pak Ngah yang badannya dahulu sedikit berisi dapat ku lihat kini cengkung. Sudah lamakah Pak Ngah sakit? Mengikut kata Qayyum pagi tadi baru Pak Ngah dimasukkan ke hospital. Tapi keadaan Pak Ngah seperti sudah berbulan-bulan terlantar di hospital. Memang jelas tidak bermaya.

Aku melabuhkan p******g di atas kerusi di sebelah katil Pak Ngah. Surah Yasin aku bacakan. Semoga dapat mengurangkan kesakitan yang ditanggung. Aku panjatkan doa moga Pak Ngah diberikan kesihatan seperti sedia kala dan dapat dikurangkan segala dosa-dosanya.

Dalam keadaan bilik yang sunyi, hanya kedengaran bunyi monitor yang disambungkan pada badan Pak Ngah dan juga suaraku yang mengalunkan Surah Yasin.

Hampir separuh ayat aku bacakan, aku perasan dada Pak Ngah turun naik dengan kasar seperti mendengus. Graf di monitor yang tadinya stabil secara tiba-tiba sahaja jadi tidak menentu.

“Beep beep beep,” kuat kedengaran bunyi monitor tersebut. Mungkin amaran mengenai keadaan pesakit. Doktor dan jururawat bergegas ke katil Pak Ngah.

Aku yang terkejut masih lagi tidak berganjak dari kerusi. Susuk tubuh orang tua yang sama aku nampak di atas lori tadi kelihatan berdiri betul-betul di atas dada Pak Ngah.

Biadap! Aku meneruskan bacaan tanpa mempedulikan arahan doktor dan jururawat yang meminta aku keluar. Muka bengis jelas terpancar dari orang tua tadi. Sekuat mana pun jin dan iblis tetap tidak dapat mengalahkan kekuatan dari Allah Yang Esa.

Aku meneruskan bacaan dan ayat yang terakhir, aku tekankan bacaan tersebut dan memicit hujung kaki Pak Ngah, lalu aku hembuskan ke arah Pak Ngah.

Menjerit orang tua tersebut. Kelihatan nanah keluar dari tubuhnya lalu hilang. Bergegar-gegar katil Pak Ngah sehingga jururawat di situ berganjak ke belakang sedikit kerana terkejut.

Doktor memandang aku, hairan. Nadi Pak Ngah kembali seperti sedia kala. Bunyi bising dari monitor juga sudah tiada.

“Doktor, pesakit ni dah buka mata,” jururawat yang tadinya berada di belakang memegang bahu doktor kemas. Mungkin takut.

“Doktor, boleh bagi saya bercakap dengan Pak Ngah saya? Penting doktor,” doktor menganggukkan kepala tanda setuju.

“Pak Ngah, cam saya lagi tak Pak Ngah?” Pak Ngah hanya mengangguk lemah.

“Saya tahu Pak Ngah. Ada sesuatu yang tak kena. Buat masa sekarang, saya dah usir jin tersebut,” aku memegang erat tangan Pak Ngah.

Melihatkan Pak Ngah yang seperti hendak memberitahu sesuatu, aku dekatkan telinga ke arah bibir Pak Ngah.

“Mak Ngah akan ceritakan kepada kamu. Tolong Pak Ngah, Izul,” kelihatan air mata mengalir di tepi mata Pak Ngah.

Aku ditarik oleh doktor. Doktor menyuruh aku beredar kerana pesakit memerlukan rehat. Dengan perlahan aku melepaskan tangan Pak Ngah.

Aku berjanji. Aku takkan biarkan perkara yang berlaku kepada arwah Umi dan Abi berlaku lagi kepada Pak Ngah.

Aku beredar keluar, mencari Mak Ngah. Ya, Mak Ngah! Aku harus tahu keseluruhan cerita sebelum dapat aku tentukan hala tuju rawatan aku ke atas Pak Ngah.

Pak Ngah, kuatkan semangat. Izul tahu Pak Ngah kuat. Biarpun nyawaku bakal dipertaruhkan, aku tak akan berundur. Allahu Akbar! Part 2 Baca di sini

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Izul

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

72 thoughts on “#Izul – Tibanya Ajal”

  1. Allahu~ Seramnya~ Waktu siang boleh muncul jugak gangguan tu kan? Nasib baik la tak accident~ Cepatlah sambung ye #Izul~ Semoga Allah merahmati dan melindungi #Izul dan family selalu

    Reply
  2. da baca cite ni dr semalam..tp curious, kenapa ea tak bole tepek komen…nenek ingt kn tv kecik nenek ni rosak..huhu..btw, cite cu buat nenek tertanya2…ape seterusnya yg bakal yterjadi..kesian kat pak ngah …is is..org melayu dan sihir ni memang berpisah tiada..pelik nenek tgk…huh…

    Reply
  3. Penyakit orang Melayu.sebab dengki..duit.harta..xpuas hti.senang j.hantar sihir..lagi puas hati klau orang tu tseksa sebelum m**i.

    Ustaz akak pnh bgtahu dulu, orang yang sihir orang lain sebab dendam ni..tmbah2 bila orang yang dia buat tu meninggal mmg xkan cium bau syurga. Mintakla maaf kt waris pun..Kalau Allah xterima taubat tanggung j la azab kat sane esok..Allahu..panas neraka kot…panas api mancis pun dah xtahan..cmn nak hadap panas neraka esok…??

    Reply
    • Maybe sbb org melayu ni x berani guna cara kasar mcm kaum lain. Guna pistol tembak2 x pun tetak ngan parang. Nk plak upah pembunuh upahan ni mahal. Org melayu mna ada duit byk2. Modal setakat nk bomoh2 tu bole la. Paling teruk pun belanja d***h sendiri buat mkn setan belaan.

      Reply
    • Ulama mengatakan hasad boleh menjerumuskan pelakunya kepada kufur seperti mana ia menjerumuskan Iblis ke dalam dosa.
      Moga kita semua dijauhi dari sifat begini.

      Reply
  4. kalau akak yg kena follow lori siap pakej hon tu, maunya dah tersasar ke mana² ntah.. siang² hari pun benda tu kacau ye..ishhhh

    Reply
  5. Cepat smbung #izul… Cerita #izul mema terbaik… Tak pernah jemu menunggu.. Best part terselit ilmu n nasihat…
    #terussharestory
    #tetapknetunggumcmbiasa

    Reply
  6. Allahuakbar..next time kalau mkcik nmpk driver bawak kete or memotong mcm pelesit makcik husnuzon je la..mana tau kecemasan mcm izul.
    Pengajaran sungguh..xsabo nk tunggu smbgan.
    Ayat apa y izul baca sambil cmpk garam tu?

    Reply
    • Amalkan sahaja ayat-ayat Ruqyah. Insya-Allah berhasil tapi dalam waktu yang sama kena khusyuk dan fahamkan ayat-ayat yang dibaca. 🙂
      Makcik tunggu yer Part 2. On the way ~,~

      Reply
  7. Cerita mcm ini x layak untuk d rate.. Tabahlah.. Dunia yg serba modern ni sihi rmenyihir dah jd pilihan no 1.. Aku tunggu next setori..

    Kipidap writer

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.