#Izul – Tibanya Ajal (Part 2)

Aku melangkah lemah keluar dari bilik Pak Ngah. Pak Ngah yang sentiasa murah dengan senyuman, bergurau senda sahaja sepanjang masa kini terbaring lesu.

“Mak Ngah akan ceritakan kepada kamu. Tolong Pak Ngah, Izul,” terngiang-ngiang suara Pak Ngah di telingaku.

Aku mencari Mak Ngah setelah aku keluar dari Unit Rawatan Rapi. Kelihatan Mak Ngah, Alang dan Qayyum hanya diam membisu di atas bangku yang disediakan. Mungkin masing-masing masih penat dan terkejut dengan apa yang menimpa Pak Ngah.

“Doktor tak benarkan pelawat masuk buat masa sekarang. Mereka sedang melakukan pemeriksaan ke atas Pak Ngah,” suaraku memecah kesunyian antara mereka bertiga. Masing-masing sedang berfikir dan mengelamun jauh.

“Izul, kamu balik lah dulu dengan Qayyum. Kesian kamu sampai sini je kena duduk di hospital pulak,” Mak Ngah memandang aku dan Qayyum bergilir-gilir.

“Tak apalah Mak Ngah. Saya tak penat pun. Mak Ngah balik lah rehat. Biar saya dan Qayyum jaga Pak Ngah di hospital hari ni,” aku menawarkan diri.

“Betul tu Ibu. Alang, kau bawak la Ibu balik. Boleh mandi dan rehat. Esok pagi boleh datang semula,” Qayyum menepuk-nepuk bahu adiknya. Mereka dua beradik sahaja jadi mereka harus saling bergantung di saat-saat begini.

“Jom lah Ibu. Alang bawak Ibu balik. Ibu kena jaga kesihatan juga. Abah takkan suka tengok Ibu sakit bila Abah dah buka mata nanti,” Alang memujuk ibunya untuk pulang.

Aku tahu bukan senang nak tinggalkan orang yang kita sayang di hospital. Mesti akan ada rasa gelisah, risau dan tidak senang duduk kalau berada di rumah. Agak lama kami pujuk Mak Ngah dan akhirnya Mak Ngah bersetuju juga untuk pulang berehat. Aku tunda hasrat hati untuk bertanya Mak Ngah perihal Pak Ngah. Biarlah Mak Ngah tenangkan fikiran dahulu. Kejadian di dalam bilik Pak Ngah, aku diamkan sahaja. Tidak mahu menambahkan serabut di kepala mereka.

Jam pun sudah berganjak ke pukul 5 petang. Selepas Mak Ngah dan Alang balik, aku dan Qayum terus ke surau hospital, menunaikan solat Asar. Lama kami di surau. Aku meluangkan masa dengan mengaji dan melengkapkan diri dengan ayat-ayat pelindung diri.

Firasat aku kuat mengatakan jin tersebut akan muncul lagi. Jika aku tidak berhati-hati, Pak Ngah mungkin dalam bahaya. Keadaan sebentar tadi bukti bahawa jin ini tidak akan berundur selagi Pak Ngah masih hidup.

Selepas Isyak, aku dan Qayyum menuju ke bilik Pak Ngah. Disebabkan hanya seorang sahaja yang boleh masuk untuk melawat, maka Qayyum masuk untuk melihat keadaan Pak Ngah. Aku hanya menunggu di luar.

Unit Rawatan Rapi yang jauh daripada wad-wad pesakit biasa membuatkan kawasan itu sunyi apabila malam. Aku yang menunggu di bangku di luar unit, hanya terdengar sekali sekala pintu wad dibuka dan ditutup. Itu sahaja. Itu pun sayup-sayup sahaja kedengaran.

Sedang aku membaca Surah Yasin di luar, kedengaran sangat bising di luar tingkap tempat aku duduk. Di luar hanya terdapat taman dan laluan pejalan kaki. Laluan pejalan kaki ini pun jarang digunakan sebab bukanlah laluan utama ke tempat parkir atau pun ke kafeteria.

Aku masih meneruskan bacaan dan…

“Panggggggg!!” cermin tingkap di belakang aku pecah berderai. Seperti ada yang membaling dengan objek yang keras sehingga pecah cermin tersebut. Aku terkejut dan bangun menjauhi sedikit bangku yang penuh dengan kaca.

Terasa pedih di belakang leher.

Dua orang pengawal keselamatan datang meninjau apa yang berlaku. Terpinga-pinga jugalah mereka sebab katanya, cermin di dalam hospital ni dah bertahun lamanya sejak dibina tidak pernah pecah kerana mempunyai banyak lapisan. Malah, bukannya ada angin kencang yang melanda sehingga boleh pecah berderai.

Aku dibawa berjumpa jururawat untuk diletakkan ubat di bahagian belakang leher. Hanya luka-luka kecil sahaja. Dada aku tiba-tiba berdebar. Bukannya sebab aku jatuh hati pada jururawat yang sedang merawat aku ni tapi aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Aku menoleh ke arah pintu masuk wad. Seorang perempuan dengan badan berlipat dua ke belakang sedang merangkak ke arah aku. Ya Allah! Dugaan apa pula kali ni. Garam dan lada hitam ada di dalam beg. Beg pula tertinggal di atas bangku di luar wad.

Ingatkan masuk sekejap sahaja berjumpa jururawat. Tidak ku sangka berjumpa pula dengan jelmaan perempuan berlipat dua dengan tangan dan kaki di satu arah yang sama ke arah belakang.

“Bismillahirrahmanirrahim…..” aku mula membaca ayat-ayat yang selalu aku gunakan untuk merawat. Tidak berhenti aku membaca dan ditambah dengan keyakinan terhadap kuasa Allah S.W.T.

Hantu perempuan tadi berhenti di tengah-tengah bilik. Marah lagaknya sebab tidak dapat menghampiri aku. Jururawat masih leka dengan kerjanya menyapu ubat di belakang leherku. Dia tidak sedikit pun sedar akan kewujudan hantu perempuan ini kerana dia berdiri membelakangkan pintu wad.

“Hrrm..Cik, maaf ye. Saya rasa dah cukuplah tu sapu ubat. Boleh tak Cik ke belakang sikit,” terkejut juga jururawat tersebut dengan permintaan aku.

Aku duduk bersila di atas lantai lalu aku sambung bacaan aku tadi. Hantu tadi masih di situ tidak berganjak. Badannya yang berlipat kini dipusingkan ke depan. Tangannya yang penuh dengan darah dan nanah memang cukup memualkan.

“Kau siapa? Apa tujuan kau mengganggu aku?” aku memulakan bicara dengan hantu ini. Wajahnya memang tak manis langsung. Mata sebelah kanan tiada, mulut menitik-nitik dengan darah. Bau memang cukup kuat tersebar di seluruh bilik. Aku sudah biasa dengan keadaan begini tapi bau yang makin kuat cukup menyesakkan hidung.

Mengilai. Soalan aku tidak mahu jawab, mengilai pulak dia.

“Kau la punya kerja tadi pecahkan cermin kan? Nak bunuh aku ke? Sebelum aku hantar kau balik pada tuan kau, baik ko jawab soalan-soalan aku” aku menggertak hantu tak sedar diri ni.

“Tuan aku suruh aku halau kau balik. Jangan nak menyibuk. Kau degil, kau akan mati!” bergema suara hantu perempuan ni. Yakin betul dia ajal aku di tangan dia.

“Allahu la Ilaha illa Huwa……..” aku mulakan bacaan dengan ayat Kursi dan disambung dengan ayat-ayat Ruqyah. Tangan aku telah bersedia untuk menyerang.

Aku bangun dan dengan pantas aku letakkan tangan di atas kepalanya sambil menekankan ayat terakhir bacaan aku. Kedengaran nyaring suara dia menjerit. Semakin mengganas hantu ini, semakin kuat aku menekan kepalanya. Bau darah dan nanah yang teramat busuk itu, tidak sedikit pun aku hiraukan.

Pintu wad terbuka dan tertutup tidak henti, lampu berkelip-kelip dan kerusi serta meja di dalam wad bergerak-gerak dengan sendirinya.

“Kau manusia bodoh! Kau akan terima balasannya!” nyaring sekali amaran diberikan.

Setelah beberapa minit, suara tersebut akhirnya hilang. Hantu itu pulang kembali ke neraka jahanam, ke tempat asalnya.

Jururawat tadi kelihatan terduduk di satu sudut dinding bilik rawatan. Masih takut dan terkejut.

“Cik, sekarang dah selamat dah. Boleh bangun tak ni?” aku menegur jururawat tersebut.

“Saya tak pernah tengok depan mata sendiri kejadian macam ni. Allah. Kepala lutut saya menggigil lagi,” jururawat tersebut bangun dan duduk di atas kerusi.

“Syukurlah Cik tak apa-apa. Saya pernah jumpa orang yang pertama kali nampak hantu, pengsan terus. Cik ni kira kuat juga lah. Tak pengsan dan mampu menyaksikan kejadian tadi sampai habis,” tersenyum nipis jururawat tersebut mendengar dirinya dipuji.

Aku baru hendak meminta diri, tiba-tiba Qayyum datang dengan muka yang cemas.

“Izul! Merata aku cari kau. Cepat weh ikut aku jumpa Abah. Abah meracau tak berhenti,” Qayyum menarik tangan aku keluar dan berlari kami menuju ke bilik Pak Ngah. Dalam larian aku menuju ke bilik Pak Ngah, aku sempat mengambil beg galas aku yang berada di bangku depan ICU.

Nasib baik jururawat yang mengawasi Unit Rawatan Rapi waktu itu tidak terlalu cerewet. Kami berdua dibenarkan masuk sekali.

Tiba di katil Pak Ngah, aku lihat doktor yang bertugas sudah mati kutu. Tidak tahu hendak buat apa lagi. Ubat penenang sudah diberikan. Namun, keadaan Pak Ngah masih sama. Menjerit-jerit dan memaki hamun semua orang yang cuba menghampirinya. Ini jelas bukan Pak Ngah. Pak Ngah yang aku kenal tidak akan mengeluarkan walau satu perkataan yang tidak elok pun. Pak Ngah sangat menjaga tutur kata.

Aku masih ingat lagi pesan Pak Ngah. “Kita harus menjaga tutur kata apabila berbicara. Setiap tutur kata yang keluar dari mulut kita itu adalah cermin dari diri kita sendiri. Baik tutur katanya, maka baiklah diri kita. Begitulah sebaliknya.”

Aku cuba mendekati Pak Ngah.

“Kau jangan berani datang dekat dia! Aku akan bunuh pak cik kau!” suara Pak Ngah bertukar garau, tegas amarannya.

Sikit pun aku tidak gentar. Aku masih meneruskan langkah.

“Allah itu Maha Besar! Tiada yang lebih berkuasa melainkan Dia. Kau keluar sekarang, sebelum aku hantar kau pulang ke tempat asal!” aku memandang tepat ke mata Pak Ngah yang kini dirasuk.

Aku kuatkan iman. Kalau diikutkan hati, akan ku bunuh penghantar jin-jin ini semua. Dari petang tadi aku sampai sehinggalah sekarang, tidak pernah putus asa dia menghantar jin-jin peliharaannya menyeksa Pak Ngah.

“Hahahahahahahaha!! Aku akan terus seksa Pak Ngah kau ni. Biar dia terlantar di sini sampai mati!” jasad Pak Ngah di hempas-hempas di atas katil. Tercabut wayar-wayar yang dilekatkan di dada Pak Ngah.

Seksanya Pak Ngah. Aku tidak mampu untuk melihat. Qayyum apatah lagi.

“Berambus kau! Kau jangan kacau keluarga aku! Aku akan bunuh kau! Aku akan bunuh kau!” Qayyum menjerit-jerit bagai orang yang sudah hilang kewarasan akalnya.

“Qayyum, sabar. Kuatkan iman kau. Kau kena yakin dengan kuasa Allah. Jangan terperdaya dengan tipu daya jin dan syaitan,” aku serahkan Surah Yasin yang aku ambil dari dalam beg kepada Qayyum.

Aku mengeluarkan garam dan lada hitam dari dalam beg sandang. Seperti biasa, aku duduk bersila di atas lantai.

Bacaan dimulakan…….

“Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” Surah Ali ‘Imran, Ayat 177.

Aku meletakkan tangan kanan di atas kepala Pak Ngah. Tanganku di tepis dengan kuat. Aku meminta doktor, jururawat dan pengawal keselamatan yang ada di situ untuk memegang Pak Ngah. Tujuh orang memegang Pak Ngah di bahagian kiri dan kanan. Qayyum meneruskan bacaan Yasin.

Aku meneruskan lagi rawatan. Tangan kanan ku di letakkan di atas kepala Pak Ngah dan aku bacakan ayat-ayat Ruqyah.

Menggigil-gigil badan Pak Ngah dan menjerit-jerit minta di hentikan rawatan. Tidak sedikit pun aku hiraukan.

Garam yang aku bawa tadi aku masukkan ke dalam segelas air. Aku suakan gelas tersebut ke bibir Pak Ngah.

Diludahnya tangan aku. Aku curahkan sedikit air di tapak tangan kananku lalu aku sapukan di seluruh wajah Pak Ngah. Menggelupur seluruh badan Pak Ngah di atas katil.
Aku berikan lagi segelas air kepada Pak Ngah untuk diminum. Seteguk air berjaya ditelan.

“Aku keluar sekarang! Cukup, cukup!” merayu-rayu jin tersebut.

“Sampaikan pada tuan kau. Aku akan cari dia sampai ke lubang cacing sekali pun,” aku mengambil lada hitam dan tekankan di ibu jari kaki Pak Ngah. Air tadi aku ambil dan aku sapukan di seluruh tangan kanan dan kiri Pak Ngah.

Badan Pak Ngah sekali lagi menggelupur dengan kaki terangkat-angkat ke atas. Aku memberikan isyarat kepada semua orang untuk melepaskan pegangan kaki dan tangan Pak Ngah. Selang beberapa saat, badan Pak Ngah kembali tenang dan tidak bergerak. Doktor terus menyambungkan semula wayar-wayar yang tercabut tadi. Pak Ngah tidak boleh dibawa pulang. Jin ini telah menyerang saraf dan bahagian badan Pak Ngah supaya menjadi lemah. Sebab itu, bantuan doktor juga diperlukan bagi memantau tahap sebenar kesihatan dan organ dalaman Pak Ngah.

Masing-masing masih lagi dalam keadaan sukar untuk menerima kejadian sebentar tadi.
Doktor melakukan pemeriksaan ke atas Pak Ngah, memeriksa denyutan nadi dan memastikan Pak Ngah berada di dalam keadaan stabil. Doktor, jururawat dan pengawal keselamatan berlalu pergi meninggalkan aku dan Qayyum. Sebelum berlalu, doktor menepuk bahuku dan meminta aku berjumpa dengannya jika aku memerlukan sebarang bantuan.

Aku terduduk di situ sambil memegang bahu kanan ku. Pedih. Tangan aku yang ditepis oleh Pak Ngah semasa rawatan tadi, kini meninggalkan kesan. Besar lebam di bahuku. Aku sapukan air yang telah aku tawarkan tadi di bahu kananku. Mengetap bibir aku menahan pedih.

Ya Allah.
Aku yang baru terkena sedikit tempias ini pun terasa perit, inikan pula Pak Ngah yang telah diserang berkali-kali. Aku khuatir Pak Ngah tidak mampu bertahan lama. Air mata aku tumpah di situ. Aku tahu aku harus kuat. Lama aku tunduk memandang lantai. Beristighfar dan berdoa semoga Pak Ngah terus tabah dalam menghadapi dugaan yang menimpa ini.

“Abah, bangunlah Abah. Abah jangan cepat mengalah. Along rindu Abah,” Qayyum bagaikan anak kecil di sisi Pak Ngah yang terbaring lesu.

Aku bangun dan memegang kejap tangan Pak Ngah.

“Pak Ngah, i’tiqad yer Pak Ngah. Izul akan bantu Pak Ngah semampu Izul tapi kesembuhan itu hanya dari Allah S.W.T.” aku tunduk mencium tangan Pak Ngah yang aku sudah anggap seperti ayah sendiri. Air mata merembes keluar dengan laju. Aku takut sebenarnya. Takut perkara yang sama berlaku pada arwah Umi dan Abi berlaku kepada Pak Ngah. Kerana dendam manusia yang berpaksikan syaitan dan iblis sebagai tuhan, menyebabkan orang lain merana.

“Izul, apa yang perlu kita buat sekarang? Aku takut tengok keadaan Abah. Abah takkan mampu bertahan lagi kalau berterusan macam ni Izul,” ku pandang wajah Qayyum. Lama.

“Petang tadi, Pak Ngah suruh aku berjumpa dengan Mak Ngah untuk mengetahui cerita yang sebenar. Tapi aku tak sanggup nak tanya Mak Ngah tadi. Mak Ngah pun bukan lah kuat untuk bercerita sebab kepenatan. Sebab tu aku putuskan nak tanya Mak Ngah esok pagi,” tanpa berselindung, aku ceritakan pada Qayyum termasuk dengan kejadian Pak Ngah petang tadi yang dirasuk.

“Kenapa baru sekarang kau bagitahu aku. Maksudnya petang tadi, Abah dah sedarkan diri?” Qayyum masih memandang Pak Ngah walaupun soalan itu ditujukan kepada aku.

“Aku mintak maaf Qayyum. Aku bukan nak rahsiakan daripada kau. Tadi bukan masa yang sesuai untuk aku ceritakan pada kau, Mak Ngah dan Alang. Semua tengah penat. Mak Ngah mungkin akan pengsan kalau dia tahu. Lagi pun, Pak Ngah sedar sekejap je. Lepas dia bagitahu suruh berjumpa dengan Mak Ngah, Pak Ngah terus tak sedarkan diri.” aku harap Qayyum faham dengan situasi aku.

“Aku tak salahkan kau. Maaflah Izul kalau aku ni terlebih emosi pulak. Kau dah banyak tolong aku dan keluarga aku. Aku memang terhutang budi dengan kau,” suara Qayyum dikendurkan sedikit.

“Ishh..apa ni. Aku lagi banyak menumpang kasih dengan keluarga kau. Dah la. Jom kita tunaikan solat sunat dua rakaat. Dalam apa jua keadaan sekali pun, kita harus yakin dan tidak putus berdoa pada Allah S.W.T. Allah itu Maha Adil, Qayyum,” aku memalingkan muka ke arah beg galas ku. Sebelum pergi, aku harus pagarkan dahulu seluruh bilik Pak Ngah. Moga tiada lagi hal-hal yang buruk terjadi pada Pak Ngah malam ini.

Aku berlalu keluar sambil dituruti oleh Qayyum. Masing-masing mengesat sisa air mata.

“Ya Allah Ya Rabb yang Mengetahui semua isi hatiku, permudahkanlah hambaMu untuk membahagiakan orang-orang yang aku sayangi. Hanya padaMu tempat aku berserah dan memohon pertolongan. Amin, Amin, Amin Ya Rabbal A’lamin.”

Moga Allah panjangkan umurku.

===========================

Next : #Izul – Tibanya Ajal (Part 3, Akhir)

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Izul
rate (5 / 2)

Sila tinggalkan komen yang berkaitan dengan cerita :)

66 Comments on "#Izul – Tibanya Ajal (Part 2)"

avatar
Syer

Kesian kat pakngah…
Dah la wayar banyak cucuk kat badan dia, pstu jin tu pulak dah lemahkan saraf dia…
Sebak…

Semoga Allah lindungi kluarga izul dari khianat manusia n jin laknatullah…

Izul

Selalunya bila perkara mcm ni terjadi kat sape2 pun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Ahli keluarga kena sentiasa bg sokongan.
Penting tu..

Singkong & keju

9/10 (aku nak bg 10/10 tp sbb aku mungkin tengah marah tu pasal aku tolak 1 point) apa2pun setori izul mmg osem.. Aku tunggu sambungan yg seterusnya..

**semoga manusia2 yg kotor hatinya sempat berpaling semula ke jalan yg benar.. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian sudah tidak berguna lagi..

Kak Yulie

Aiikkk…
Tgh mrh effect pemarkahan ekk…???
Apsal marah2 ni…???

Izul

Hahahaha
Singkong dah hilang marah nnt, boleh rate balik ?
Hujung2 minggu ni kena hepi2 slalu…

Singkong & keju

Skrng aku rate balik la.. 10/10 hahaha

Singkong & keju

Da lupa pasal apa marah smlm.. Haha mmg effect kak

Kak Yulie

Xperlah…
Sesekali emo ape salahnye…

Syifa'

Dari part satu ak baca dah meremang. Sampai la part dua ni. Meremang juga. Dan tibaΒ² rasa sebak. Dan tibaΒ² termenangis. Eh!

Cerita ni sedih. Mungkin sbb gaya penulisan pun menarik. Wktu hantu datang kacau tu, Tiba2 aku rasa boleh buat filem pulak. Macam menarik! Hee

wirda

izul,

good job.

miss flower

Ya Allah, sedih baca keadaan pakngah dalam cerita ni. Sebak sangat. Teringat masa aku yang dalam keadaan pakngah macam tu. Huhu… takpe juga kalau aku yang tanggung sakit, masih boleh hadap peritnya tapi bila parents menangis tengok aku sakit macam tu, ya Allah… sedihnya hanya Allah yang tahu. Izul, bila nak post part 3 ni? Tak sabar nak bacaaaa

embun pagi

good job izul. tak sabar tggu part last nanti πŸ™‚

Hanizah Mohd Don

lmbtnya tunggu sambungan story nih….

Tyra Azman
rate :
     

Aku minat gila baca cite kao bro. Cepat cepat lah part 3 weh. Lame benoo dah teman nunggu ni ??

Ejim
rate :
     

bilakah part 3 nak menjelma?????????????????????

shipot shedot

keluar buku terus la izul..sng ckt..
x yah aku nk tunggu cite sambung2..hahaha

VviP

Hmmm…mcm cerita #kucingkelabu

wpDiscuz