JAGA MAK.

JAGA MAK.
DUA tahun sudah. Dengan tak semena-mena mak aku di serang strok. Jadi, aku terpaksalah ambil cuti tanpa gaji selama dua minggu.
Beberapa hari awalan, aku berada di hospital masih tiada apa-apa lagi perkara pelik yang berlaku pada diri aku. Semuanya berada dalam keadaan okay sahajalah.

Pada waktu itu, aku mahu ke kantin untuk beli barang makan. Selama aku lalu dekat laluan sepi belakang wad mak aku di tempatkan, tak pernah pula aku nampak ada satu pakcik tua ni.

Aku cubalah pergi dekat, mana tahu dia mahu sebarang pertolongan.

“Pak cik…”

Aku tidak jadi mahu memanggilnya apabila aku nampak keadaan dia pada waktu itu sangat berlainan sekali. Aku perhati tubuh tua serta kurus itu dari bawah membawa ke atas.

Kedua belah betisnya penuh dengan luka pekung. Baunya tak usahlah di tanya, pun begitu aku tidak lah menutup mulut. Masa ini tiada covid lagi.

Di sebabkan pak cik tua berbangsa cina ini tidak berbaju hanya sekadar seluar tiga suku , jadi aku nampaklah bahagian dadanya yang tinggal rangka.

Mula-mula dia diam sahaja, tak tahulah kenapa secara tiba-tiba dia sesak nafas. Aku memang cuak gila waktu itu dengan tak ada orang lalu-lalang lagi. Jika tidak, ada orang yang lalu. Yang ada cuma angin saja.

Aku cepat-cepat bangun dari sebelahnya. Tanpa mahu berlengah, terus berlari untuk mencari abang jaga. Nasiblah waktu itu, abang jaga masih lagi ada di tepi kaunter pertanyaan.

Aku termengah-mengah.
“Abang, tolong bang ada orang sesak nafas kat laluan belakang, pak cik cina bang. Cepat bang!”
Abang jaga itu apa lagi, dia pun terus angkat walkie-talkie dan bercakap sesuatu. Kemudian dia ikut aku berlari.

Aku dari lapar terus sebu perut apabila sampai saja kat kawasan laluan belakang.

“Hah, mana nya? Mana pak cik tu, tak akan dah nyawa-nyawa ikan boleh bangun pula? Betul ke apa yang kamu nampak ni? Kamu jangan macam-macam dik.. tuu…” ujar abang jaga terus memuncungkan mulutnya ke arah bilik mayat.

“Ya Allah bang! Betul tadi saya…”
“Dah tu dik, abang rasa baik kamu balik ke wad tengok mak kamu tu. Tak apa, abang faham. Bukan kamu je yang kena dik kat sini,” terang abang jaga itu sebelum berpusing belakang.

“Tapi bang? Aik, cepat betul abang jaga lari?” Aku menyoal setelah mendongak. Tahu-tahu abang jaga yang aku panggil dah jauh berlari. Angin sekali lagi berhembus buat aku terus rasa nak terkencing.

“Hailah perut tolong bertahan sampai aku masuk wad semula,” pinta aku. Mata aku meliar sampai ke pintu bertulis bilik forensik aku telan air liur kemudian aku pandang semula bangku. Kosong.

Aku apa lagi…

Macam-macam doa aku baca. Termasuklah doa makan. Huhuhu.
Malam yang sama, ada pesakit baru masuk dan ambil katil kosong betul-betul belakang aku duduk je.
Seorang opah, aha betullah opah. Kalau makcik baya-baya mak aku.
Dada opah tu sama juga macam penampakan dua hari lepas yang aku nampak masa lalu kat laluan belakang wad. Leper je. Macam papan. Memang tua sangat aku tengok keadaan opah tu, dia di pakaikan penutup oksigen.

Dengar cara dia bernafas pun agak creepy. Anak perempuan dia jaga. Sebenarnya mereka minta wad First class tapi tak ada kosong tu yang masuk second class.

Nak di jadikan cerita, masa itu aku memang dah bangun ke tandas wad. Mak aku pun terjaga. Malam tu mak aku tak buka mulut.
Esoknya…

“Semalam ada tak kamu dengar apa-apa kakak?” soal mak.
“Takde pulak. Kenapa mak?” soal aku makin mendekat.
Aku juga sempat melihat mata mak mengerling katil belakang aku. Katil yang ada mak cik kurus melengkung itu.

Sekurus aku, kurus lagi mak cik itu. Opah sepatutnya aku panggil. Aku cuit jari mak dan kening aku angkat, isyarat kenapa.

“Sebenarnya masa kita tidur tu…” ujar mak. Aku pula makin resah serta tidak sabar mahu mendengarnya. Mak tarik nafas, alhamdulillah mak dah tak perlu pakai penutup mulut oksigen dah.

“Mak, tak berapa boleh nak tidur sangat…”

“Kenapa mak?”

“Dalam mak pejam mata tu, kaki mak ni rasa di senerih rambut yang kasar serta panjang,” ujar mak dari pandang atas terus pandang muka aku. Aku nganga dan mata sedikit terjegil.

“Yang mak lagi pelik tu kan? Rambut tu bagaikan mengelilingi katil mak lah, akak…” ujar mak.
Angin petang masuk dari jendela berbalkoni membuatkan aku lagi seram-sejuk.

“Rambut? Keliling katil?”
“Ya, akak. Mak tak berani nak bukak mata. Sebelum perkara itu, tu…”ujar mak seraya memuncungkan mulutnya ke arah katil belakang aku.
Sekejap itu juga aku kalih muka pandang belakang.
Niat aku mahu tahu sama ada opah sebelah aku ni dah tidur atau tidak sebelum mak meneruskan penceritaan.

Dalam aku ralit aku memandang, muka opah itu terus berpusing ke arah aku. Aku dengan pantas kalihkan muka dan pandang mak aku semula.

Mak panggil aku supaya mendekat. Lalu dia berbisik. Aku makin menjegilkan mata.

“Kakak takut mak…”

“Kakak rasa nak balik,” sambung aku lagi. Opah itu bercakap dengan suaminya namun mak tak nampak ada sesiapa pun di tepi katilnya.
Jadi opah itu bersembang dengan siapa?
“Habis kamu nak tinggal mak seorang?” soal mak jauh hati. Aku serba-salah. Aku rasa bersalah pula. Tapi, aku takut nak tidur malam karang.

“Tak, tak akak ada mak…”

Aku pegang tangan mak untuk menenangkan perasaannya. Dalam kepala aku, aku seakan tahu apakah benda yang mengelilingi katil tadi, sebab aku pernah nampak.

Penanggal.

Pun begitu, nasiblah pada malamnya tiada apa-apa yang berlaku. Namun, masa mak aku tidur opah sebelah belakang bangku aku duduk tu ada memanggil aku.

Dalam ralit menyembang. Secara tiba-tiba opah tu pegang tangan aku kuat. Aku dah mula cuak, aku cuba tarik juga. Mata opah tu agak liar juga pandang keliling waktu itu.

Opah tu kata nak bagi aku sesuatu. Dia cuba pegang bahu aku masa itu namun aku sempat mengelak. Sebab aku masih lagi teringat pesanan perawat Islam yang pernah merawat aku masa kedai tempat kerja lama aku tu kena sihir.

“Ada pelbagai cara orang nak turunkan pusaka mereka pada kita, sama ada satu keturunan atau pun tidak…”

Nasib waktu itu doktor datang dan aku cepat-cepat pusingkan bangku menghadap katil emak aku semula. Opah itu sedang diperiksa.

Pukul tiga pagi aku terbangun nak terkucil. Macam biasa pergi seorang diri. Sampai di tepi meja jururawat, ada yang menyembang tetapi jarak agak jauh dari tandas ada juga yang tersengguk-sengguk, kantuk menyerang.

Lepas aku buang hajat. Aku buka pili air sambil menunduk. Mungkin tuhan nak duga aku lagi kut.
Kali ni, aku nampak ada benda serba putih sedang elok duduk mendepani tong sampah kuning yang berisi pad perempuan. Aku nampak dari dalam cermin.

Aku memang ada dengar bunyi menghirup sesuatu. Aku nak keluar aku takut, tapi lagi lama dalam tandas lagilah tak elok. Aku pejamkan mata. Nak baca ayat-ayat suci dalam tandas.

Aku hanya mampu berkata sebegini dalam hati.

‘Tolong jangan kacau aku, aku tak kacau kau pun…’
Aku cuba bukakan kelopak mataku seperlahan yang mungkin. Kosong, aku terus buka langkah seribu.

Nasib esoknya mak aku discaj.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

RATIH LAKSHMI

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 66 Average: 4.3]

1 thought on “JAGA MAK.”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.