Jiran Sebelah Rumah

Kisah yang aku nak cerita ni berlaku sekitar awal tahun 2013 macam tu. Aku harap tajuk cerita aku dah boleh buat korang rasa nak bertegur sapa dengan jiran sebelah rumah lepas ni. Keluarga aku mempunyai sebuah rumah dan kemudiannya abah split rumah tersebut menjadi dua. Satu untuk kami satu keluarga tinggal dan satu lagi abah buat sewa untuk sesiapa yang memerlukan (oleh sebab waktu tu adik beradik masih belum ada yang berkahwin).

Awal tahun 2012 macam tu, rumah sewa abah ada orang nak sewa. Satu keluarga. Yang suami merupakan orang Singapura, yang isteri pula daripada Indonesia. Diorang sewa sebab nak jadikan rumah tu sebagai rumah persinggahan kalau berada di Johor. Si penyewa tu aku bahasakan sebagai Kak Teri. Orangnya tinggi lampai dan permurah dengan senyuman. Walaupun baru sebulan dua menginap, jiran sekeliling dah mula merasa senang disebabkan oleh keramahan Kak Teri ni.

Kak Teri ada dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Tapi jarang-jarang ada sebab dua-dua ni waktu tu bersekolah dekat Singapura sana. Masih belum pindah sepenuhnya di Johor. Oleh sebab status Kak Teri waktu tu hanya sebagai pelancong, dia perlu kembali ke Indonesia dan kemudiannya masuk balik ke Malaysia untuk renew pasport. Jadi setiap tiga bulan Kak Teri akan ke Singapura ataupun ke Indonesia untuk beberapa hari dan kemudiannya balik ke Johor. Kak Teri ni yang macam aku cerita tadi, dia ni seorang yang peramah, baik hati dan suka tolong jiran tetangga.

Bayangkan waktu tu baru tiga bulan duduk kat rumah sewa, dia dah boleh adapt dengan atmosfera baru. Kak Teri ni pun terkenal dengan skill memasak beliau yang cukup hebat, kalau setakat bakso tu ha pejam mata je dia boleh buat. Sedap pulak tu! Selain daripada tu juga, dia ada ilmu mengurut, lagi-lagi untuk wanita yang baru lepas bersalin. Dia memang ada kebolehan tu, kebolehan yang diwarisi dari satu generasi ke generasi. Kiranya dia dapat ilmu mengurut tu daripada mak dia lah dekat Indonesia sana.

Kami satu keluarga pun sangat senang dengan Kak Teri dan keluarga dia. Tak ada masalah antara kami berdua. Kak Teri ni pun pandai jaga kucing. Stray cat tu dia bela sampai jadi sihat, berbulu lebat & gemok! Nampak tak Kak Teri ni pandai macam-macam perkara, sebab tu orang sekeliling senang dengan kehadiran beliau dekat kampung kami ni.

Kisah seram antara kami sekeluarga dengan Kak Teri selaku jiran ni bermula sewaktu dia pulang ke Indonesia / Singapura untuk renew pasport dia di Malaysia ni. Aku orang pertama yang berhadapan dengan situasi tersebut. Oleh sebab hubungan kami dengan Kak Teri ni dah rapat, Kak Teri minta tolong untuk kami hidupkan lampu di dalam rumahnya ketika waktu malam dan menutup apabila siang menjelma. Jadi orang yang bertanggungjawab untuk tugasan tersebut mestilah aku, anak bongsu dalam keluarga. Sehari selepas Kak Teri balik ke Indonesia, aku terlupa untuk buka lampu sebelum Maghrib tiba, akibatnya lepas solat Maghrib baru aku nak pergi hidupkan lampu kat rumah sebelah tu.

Pada mulanya aku tak fikir apa pun, buka pintu dan hidupkan lampu macam biasa. Tapi waktu tu memang dah gelap. Aku perlu masuk ke dalam untuk hidupkan lampu di luar rumah dan juga di ruang tamu. Sejurus lepas aku buka pintu, pandangan aku tertatap dengan sekujur tubuh, berwarna putih dari hujung rambut sampai ke lantai. Susuk tersebut berdiri berhampiran pintu dapur, dan aku melihat secara terus. “Oh God….” terdetik ayat tu dalam hati aku. Punya kecut hati waktu tu Tuhan je yang tahu.

Aku tak fikir apa dah, aku masuk dalam terus buka lampu luar dengan lampu ruang tamu. Pandangan aku tetap ke arah lantai, tak berani nak angkat kepala walau sesaat! Dalam hati aku dah fikir nak keluar dari rumah tu secepat yang mungkin. Keluar je dari rumah Kak Teri, aku berlari masuk dalam rumah. Peluh jantan langsung tak keluar, punya lah takut waktu tu! Malam tu berlalu tidak seperti biasa, aku membisu sampai lah ke pagi. Masa sarapan tu baru aku cerita dengan abah. Tahu apa abah respon? “Haa padan muka, abah kan dah pesan buka lampu tu sebelum Maghrib”. Ceh! Ingatkan nak support kita ke apa.

Pengalaman aku dengan rumah Kak Teri ni bukan setakat tu je. Lepas daripada kisah aku menatap sekujur tubuh berwarna putih tu, aku dah jadi pendiam dengan Kak Teri. Meremang bulu roma bila teringat kisah tu balik. Selang beberapa bulan lepas tu, Kak Teri macam biasa akan ke Singapura, tak pun ke Indonesia untuk renew pasport dia, biasa dia pergi waktu hujung minggu dan pulang pada minggu hadapannya. Kali ni, dia minta tolong untuk hidupkan lampu macam biasa dan juga jagakan kucing dia (2 ekor). Dia dah rebus ikan siap siap dan letak dalam peti sejuk. Nasi pun dah masak siap-siap untuk kami beri kepada kucingnya.

Malam pertama aku dengan kakak aku pergi, kami hidupkan lampu macam biasa lepas tu ke arah dapur. Untuk pengetahuan korang, ruang makan dan dapur dipisahkan dengan satu pintu. Kucing Kak Teri dia letak kat ruang dapur & berkunci. Kat ruang dapur tu ada toilet sekali, senang untuk kucing dia buang air ke apa. Malam tu aku tolong kupas isi ikan dan gaul beserta dengan nasi. Usai bagi kucing tu makan, kami letak balik bekas berisi ikan tu ke dalam peti sejuk semula dan kami letak kucing di ruang dapur dan kunci pintu ke arah ruang dapur tu. Semuanya ok je waktu tu.

Pagi tu dalam lingkungan 10 pagi, kami sekali lagi ke rumah Kak Teri nak bagi makan tengah hari pulak. Masuk je dalam, tutup lampu luar & ruang tamu dan terus ke arah ruang makan. Cuba teka apa berlaku? Bekas ikan yang Kak Teri dah letak sejumlah ikan rebus untuk kucing dia tu yang kami dah simpan dalam peti sejuk malam sebelumnya dah ada kat atas meja makan!

Bukan tu je, isi ikan pun dah tak ada! Yang tinggal hanya tulang ikan je dan yang paling hairan, tulang-tulang tu tersusun rapi dalam bekas tersebut. Ha siapa boleh merungkai misteri ni? Aku dengan akak tercengang, saling berpandangan dengan muka terkejut yang amat sangat. Aku buka pintu dapur, tengok elok je kucing dua ekor tu tengah baring. Nampak aku terus meow-ing, lapar barangkali. Persoalan yang timbul waktu tu:

1) Macam mana bekas ikan rebus tu boleh berada di atas meja makan, bukan di dalam peti sejuk?;

2) Ok katakanlah aku terlupa nak simpan bekas tu ke dalam peti sejuk, siapa yang makan isi ikan tu sampai tinggal tulang je? Tinggal tulang tanpa sebarang isi yang tinggal. Hanya tulang! Macam manusia makan ikan sampai habis, ha macam tu lah. ;

3) Katakanlah kucing yang makan, eh kejap kucing tu berada di ruang dapur. Dua-dua kucing tu tak ada ruang yang boleh mencelah masuk ke ruang makan.

4) Isi ikan dah tak ada dan tulang bersusun rapi di dalam bekas, seolah-olah ada ‘benda’ yang makan dengan sangat kemas dan teratur. Kucing buat macam tu? Mustahil.

Malam kedua, kami bagi kucing tu makan nasi bergaul dengan ikan bilis yang kami siapkan dari rumah, sebab ikan yang Kak Teri sediakan tu dah habis dimamah oleh entiti yang kami tak ketahui. Perkara pelik berlaku lagi selepas tu, buka je pintu depan, kucing dah tercanguk depan mata. Eh?! Macam mana kucing tu boleh terlepas dari ruang dapur yang berkunci?! Sumpah, memang aku letak kucing tu di ruang dapur dan aku kunci pintu dapur tu.

Mustahil dan mustahil kucing tu boleh berada depan mata aku sejurus lepas buka pintu, sangat mustahil. Dalam tempoh dua hari je lepas Kak Teri balik Indonesia, macam-macam perkara pelik berlaku. Lepas cerita dengan abah, abah sarankan kami lebih berjaga-jaga. Banyakkan baca doa pendinding dan kalau boleh settlekan semua sebelum waktu Maghrib.

Perkara tu kami simpan, tidak ditanya secara langsung kepada Kak Teri lepas dia dah balik. Kami diam dan berwaspada je. Tak hairanlah masa aku main bola kat padang, kawan-kawan sekampung yang jenis kutu embun ada cerita yang diorang ada nampak lembaga tengah bertenggek dekat paip luar rumah Kak Teri. Diorang ingat ada orang lepak ke apa, tapi lembaga tu bukan bersusuk tubuhkan seorang manusia. Aku tak terkejut, tapi buat-buat macam tak tahu.

Jauh di sudut hati, aku percaya yang Kak Teri ni ada ‘something’. Lepas daripada kejadian-kejadian aneh tu, kami sekeluarga lebih berhati-hati, meskipun Kak Teri tu baik sifatnya. Walaupun apa yang aku nampak dan aku alami tu bukan bertujuan untuk menganggu kami sekeluarga, tapi abah nasihat agar tetap berjaga-jaga. Selalu baca ayat Kursi dan surah tiga Qul. Hasil daripada kajian dan pemerhatian ringkas, dapat aku simpulkan bahawa Kak Teri ni ada sesuatu yang sentiasa berada di samping dia sekeluarga.

Ada seorang pak Jawa yang tolong abah buat longkang, dia pernah cerita yang hampir 90% orang Indonesia yang datang ke Malaysia ada sesuatu yang mereka bawa bersama. Sama ada ilmu, belaan atau sebagainya. Jadi aku yakin yang ilmu mengurut Kak Teri itu hadir bersama belaan yang menjaga beliau sekeluarga. Aku boleh katakan Kak Teri ni seorang jiran yang baik. Sebab apa? Sebab lepas kejadian aku nampak dan alami perkara pelik tu, kami sekeluarga tidak diganggu, aman je hidup.

Mungkin apa yang aku nampak & alami tu sekadar ‘ingin berkenalan’ sahaja. Kisah tu kami simpan sekeluarga, sampai lah Kak Teri berpindah ke rumah kedai & buka kedai makan dan rumah tu abang sulung aku duduk sebab dia dah berkahwin. Kak Teri merupakan seorang jiran yang baik, anak dan suami dia pun baik, mesra dan tak kekok bila bergaul dengan jiran tetangga. Cuma, apa yang beliau ada atau ‘bela’ tu masih menjadi satu persoalan yang tidak dapat aku rungkai secara keseluruhannya. Misteri yang tidak menggangu, tapi hanya sekadar menampakkan dan mungkin juga ingin bertegur sapa dengan kami sekeluarga. Sekian.

Z

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 4.5]

10 thoughts on “Jiran Sebelah Rumah”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.