Kebun Opah

Assalamualaikum kepada semua pembaca fiksyen shasha. Terima kasih kepada admin kerana sudi menyiarkan kisah ini. Aku Ziera. Ini merupakan kali pertama aku menulis cerita. Selama ini aku hanya seorang pembaca setia cerita-cerita yang disiarkan. Hari ni aku terdetik untuk menulis sebuah cerita…

Aku berasal dari Sarawak. Masih tinggal dengan orang tuaku memandangkan aku baru saja menamatkan pengajianku disebuah universiti di Selangor. Nak dijadikan satu cerita, setiap hujung minggu kami sekeluarga akan balik ke kampung untuk berjumpa opah. Memandangkan rumah kami hanya mengambil masa setengah jam untuk sampai ke rumah opah. Hampir setiap minggu kami sekeluarga beserta keluarga belah mak aku yang lain akan berkumpul di rumah opah…

Dulu opah aku tinggal dengan atuk aku. Tapi selepas atuk meninggal dunia tiga tahun yang lalu (al-fatihah), opah tinggal seorang. Banyak kali juga kami pujuk opah untuk tinggal dengan kami, tapi opah tetap menolak. Katanya sayang nak tinggalkan kebun-kebun tak dijaga. Namun, syukurlah mak su tidak tinggal jauh dari opah. Jarak rumah mak su dengan rumah opah mungkin hanya lima minit berjalan kaki. Maka mak su lah yang tiap hari akan jenguk opah.

Baiklah, kita sambung kisah balik ke kampung. Kami sekeluarga berangkat dari rumah selepas subuh. Setengah jam kemudian kami sampai dirumah opah. Selang beberapa jam kelihatan saudara-mara ku yang lain sampai di halaman rumah opah. Mak Long sekeluarga, Mak Ngah sekeluarga dan Pak Lang sekeluarga, semua menginap di rumah opah. Kecuali keluarga Mak Ti tinggal di rumah Mak su memandangkan keluarga Mak Ti besar. Mak Ti ada tujuh orang anak dan nama Mak Ti diambil sempena nama anak sulungnya, Siti.

Pada petang tu, aku dan sepupu-sepupuku yang remaja ni duduk berbual di sebuah pondok belakang rumah opah. Kami merancang ingin pergi mencari buah dan sayur di kebun opah. Opah aku ada kebun buah dan kebun sayur yang dah lama opah dan arwah atuk aku usahakan. Ada macam-macam jenis buah, durian, langsat, rambutan, manggis dan banyak lagi. Begitu juga dengan sayur, ada sayur ubi, cangkuk (pucuk manis), sawi. Ada juga sayur dan buah yang aku tak pasti nama dia.

Seperti yang dijanjikan kami pun pergi ke kebun opah. Aku, Lissa, Adi, Fifi, Phea dengan Zarul. Kami berenam memang rapat sedari kecil sebab usia kami tidak jauh beza. Sampai je di kebun opah, wajah Phea terus berubah. Sejak dari kecil lagi Phea memang ada keistimewaan untuk merasai dan melihat kehadiran ‘benda’ tu tapi tidak secara nyata. Aku dah mula rasa cuak.
“Phea, kau okay tak ni?” bisik aku pada Phea. Phea hanya senyum dan mengangguk memberikan tanda dia okay. Tapi aku tahu ada yang tak kena. Aku makin rasa tak sedap hati bila kami mula melangkah ke kawasan pokok durian opah. Wajah Phea serta merta bertukar pucat dan berpeluh.

“Wei korang, jom balik. Aku rasa tak sedap hati ni. Tengoklah keadaan Phea ni.” Kataku dengan harapan mereka sedar perubahan Phea.
Zarul menoleh ke arah aku dan Phea lalu bertanya,”kenapa Phea? nampak benda ke?” sambil senyum seolah-olah menyindir. “Alaa phea, relax lah. Kau ni gelabah sangat. Aku kan ada. Takkan punya ‘dia’ berani kacau. Hahahaha.” Ketawa Adi dan Zarul bersahutan selepas mendengar ayat yang keluar dari mulut Adi. Dorang ni memang macam ni. Suka cakap besar. Aku, Lissa dengan Fifi dah tarik muka masam. Ikut kan hati nak je aku cili-cilikan mulut mereka.

“Iera, aku nak balik. Benda tu dah marah.” Bisik Phea pada aku. Bulu tengkuk aku dah mula meremang. Kemudian aku pun bawa Lissa dengan Fifi balik sekali. Hati kami dah sakit sangat dengar apa yang Zarul dengan Adi katakan tadi. Kami berempat pun pulang meninggalkan mereka berdua yang masih tersenyum dan ketawa. “Wei, nanti aku bawakan untuk korang berempat barang dua ekor eh. hahaha.” Mereka sempat menjerit kepada kami. Kami balik dengan hati panas namun kami tak lupa untuk baca ayat-ayat pendinding yang kami tahu dengan harapan ‘benda’ tu tak ganggu kami.

Alhamdulillah kami selamat sampai di halaman belakang rumah opah. Masa tu kami nampak dengan jelas wajah marah opah yang sedang berdiri di pintu dapur. Selama kitorang kenal opah, tak pernah lagi opah tunjukkan muka marah sampai macam tu sekali. Kami hanya mampu tundukkan pandangan. Tak berani nak tenung muka opah.
Aku ingat lagi sampai rumah opah petang tu dalam pukul lima dekat-dekat nak pukul enam. Sampai je dirumah kami tak banyak cakap. Mak-mak kitorang pelik bila tengok kitoranag senyap sebab biasanya memang jarang tak riuh bila bekumpul. Tiba-tiba opah aku bersuara dari belakang.”Kamu semua jumpa ‘dia’ kan tadi? Kenapa kacau ‘dia’? Mana Zarul dengan Adi?” Kami berempat hanya mampu berpandangan antara satu sama lain bila dengar soalan dari opah. Tidak mampu mengeluarkan sebarang perkataan.

Bila nak dekat masuk waktu Maghrib, kami mula risaukan Zarul dengan Adi yang masih belum pulang dari kebun. Opah menyuruh ayah memanggil Tok imam yang tinggal tak jauh dari rumah opah. Sampai saja tok imam, opah terus cerita apa yang berlaku. Tok imam dengan opah pergi ke halaman belakang rumah diikuti dengan ayah dan Pak su. Kami berempat hanya memerhati dari dalam rumah. Aku tak dengar dengan jelas apa yang Tok imam baca sebab Tok imam menghadap ke arah kebun. Cuma aku nampak Tok imam mengangkat tangan dan berkata “Pulangkan mereka. Mereka tidak berniat untuk mengganggu kau. Jangan kau cuba mengganggu mereka. Pergi kau dari sini.” Kemudian semua senyap seketika. Bunyi seekor unggas pun tidak kedengaran.

Tak lama kemudian aku lihat ada pergerakan dari dalam kebun, syukur alhamdulillah Zarul dan Adi berjaya pulang. Wajah mereka kelihatan pucat dan berpeluh. Sebelum masuk ke rumah, Tok imam menyuruh Zarul dan Adi mandi diluar dahulu dan minum air yang telah dibacakan ayat al-quran.

Malam tu kami berempat tidur awal. Allhamdulillah aku, Phea, Lissa dan Fifi tidak diganggu. Namun lain kisahnya bagi Zarul dengan Adi. Mereka lebih banyak berdiam setelah pulang dari kebun. Keesokkannya, Zarul dan Adi kena demam. Tapi Tok imam kata itu hanya demam biasa. Mungkin masih terkejut dengan apa yang jadi. Alhamdulillah hari esoknya mereka beransur sembuh dan kami pun pakat-pakat tanya nak tahu apa yang jadi masa dekat kebun. Dengan kekuatan yang ada, perlahan mereka berdua mula menceritakan apa yang berlaku selepas kami berempat pergi.

(Zarul dan Adi di kebun)
“Rul, kau rasa betul ke apa yang Phea bagitahu tu? kau dengarkan apa dia bisik dekat Iera tadi. ‘Benda’ tu dah marah” Adi dah mula rasa seram sejuk sebenarnya sebab masa dorang ketawa dia ada terdengar sesuatu dibelakangnya. Bunyi seperti orang berjalan dalam semak.
“Eh,bukan kau ke yang banyak bunyi tadi beria cakap kau ada. Kalau kau nak balik, baliklah. Tapi jangan masam muka pulak bila kena sindir. Hahaha” Zarul ni memang jenis yang suka cakap besar dan menyindir tapi hati dia baik. Cuma kadang-kadang tak fikir dulu sebelum bercakap.

Lepas mereka berjalan-jalan mencari buah, mereka mengambil keputusan untuk pulang memandangkan cuaca tiba-tiba gelap macam nak hujan. Ketika nak melangkah keluar dari kawasan pokok durian, mereka dengar seperti ada orang memijak ranting. Bukan sorang tau, bunyi macam lebih dari seorang. Masa tu mereka dah rasa seram sejuk. Langkah kaki ibarat terkunci. Tiada perkataan yang mampu dibicarakan. Hanya mampu memandang antara satu sama lain. Mereka cuba membaca surah-surah yang diketahui dalam hati sambil berdoa ‘benda’ tu tidak mengganggu.

Setelah kaki boleh melangkah, perlahan-perlahan mereka cuba meninggalkan tempat tersebut tapi apa yang terjadi. Mereka berjalan ditempat yang sama. Yang baiknya ‘benda’ tu dah tak ikut tapi mereka tak boleh keluar dari kawasan tu. Setelah penat berjalan mereka duduk dibawah pokok rambutan. Mereka cuba tenangkan diri, baca surah-surah al-quran, berdoa semoga menemui jalan balik. Ketika itulah mereka dengar suara Tok imam menjerit. Tiba-tiba, “PULANG! Sebelum aku ubah fikiran.” Akibat terlalu terkejut, tak terasa Adi melompat atas Zarul. Ketika mereka menoleh ke belakang, kelihatan seorang nenek tua bertongkat, rambut putih panjang jejak ke tanah, wajah tidak kelihatan kerana ditutupi rambut. Zarul dan Adi seolah-olah menjadi beku. Kaku.

“PULANG!!” Jerit nenek tua itu. Seperti tersedar dari mimpi, mereka bingkas bangun dan berlari sekuat hati. Masa berlari tu mereka sempat menoleh ke arah nenek tua tu dan korang tau tak dorang nampak apa? Dorang nampak nenek tu terbang ke atas pokok durian. Kami yang dengar cerita masa tu pun meremang bulu. Inikan pula yang mengalami.
Malam tu mereka tak boleh tidur lena. Mereka dengar bunyi orang berjalan keliling rumah seperti memijak ranting sedangkan takde satu pokok pun berdekatan rumah opah. Patutlah esoknya sampai demam kawan tu.

Opah yang mendengar kisah kami hanya berpesan kalau masuk mana-mana kawasan yang asing, tambah lagi hutan. Jaga percakapan dan tingkah laku. Dalam dunia ni bukan kita sorang je. Ada makhluk lain yang tak boleh kita nampak. Kami hanya mengangguk tanda faham. Sejak kejadian tu, kami berenam dah tak pergi kebun opah. Hahaha. Dan sampai sekarang kehadiran nenek tua tu masih menjadi persoalan. Adakah ‘dia’ penjaga kebun opah atau hanya singgah tanpa sengaja.

Sampai sini saja cerita aku kali ni. Maaf ya kalau ada kurang atau tersalah penggunaan fakta dan kata-kata. In syaa Allah kalau ada sambutan aku akan ceritakan kisah yang lain.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Aziera

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 9 Average: 4.9]

2 thoughts on “Kebun Opah”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.