KEJADIAN SERAM DI SMKA TANGOK Kisah 2

Assalamualaikum. Terima kasih pihak FS sudi siarkan kisah pertama aku mengenai SMKA Tangok.

Kali ini, aku ingin bercerita mengenai misteri kehilangan Kamal (bukan nama sebenar), budak satu dorm dengan suami aku (Nas) kat asrama Tangok. Kejadian ni berlaku semasa Nas berada di tingkatan satu atau dua. Mungkin sekitar 2002. Selamat membaca…

*****
Hi. Aku Nas. Kamal merupakan seorang pengawas di sekolah aku dan dia rapat dengan para warden. Aku dengan dia kira kamceng jugalah. Selalu gak aku berborak dengan dia. Orangnya baik dan menjadi rebutan pelajar perempuan kerana wajahnya yang tampan (aku bukan gay😂).

Akhirnya, tiba cuti sekolah yang ditunggu-tunggu dan ramai pelajar yang pulang ke rumah masing-masing. Namun, ada segelintir pelajar, termasuk aku dan Kamal, yang mempunyai jawatan dalam Kelab Sekolah terpaksa tinggal di asrama untuk aktiviti kokum.

Jadi cuba korang bayangkan, asrama yang kebiasaannya riuh dan dipenuhi ribuan pelajar, kini yang tinggal hanya ada dalam 20 hingga 25 orang sahaja. Sunyi dan sepi! Nak pergi tandas malam-malam pun terpaksa batalkan niat.

Satu malam tu, aku perasan yang Kamal tidak balik semula ke dorm. Jam pun dah nak dekat pukul 10.00 malam. Tapi mungkin sebab waktu tu cuti sekolah, banyak katil yang kosong. Jadi aku fikir, mungkin dia bermalam di dorm kawan dia yang lain. Aku pun sambung la tidur macam biasa.

Keesokannya, tengah kitorang sibuk buat aktiviti, kawan sekelab dengan Kamal tiba-tiba datang dengan wajah risau.

“Weh Nas, Kamal mana? Dari pagi tadi dia tak datang buat aktiviti.” tanya Fakrul.

“Kamal? Bukan dia tidur kat dorm korang ke semalam? Dia tak balik bilik pun malam tadi. Jadi aku pun tak tahu dia pi mana.”

“Biar betul weh? Kitorang dah cari kat kantin, kat lab, tak jumpa pun dia. Dia pi mana hah?”

Zaman tu, telefon nokia yang orang guna untuk lempar kat anjing bukannya boleh bawa sesuka hati. Lebih-lebih lagi budak asrama. Kitorang memang dilarang membawa telefon bimbit.

Maka, melambatkan lagi proses kami untuk menjejaki Kamal. Bila kami cari di dalam bilik, kami tak nampak pun batang hidung Kamal.

Tapi yang peliknya, barang peribadinya semua masih terletak kemas di atas meja. Malah, pakaiannya masih tergantung tidak diusik di dalam almari. Tiada langsung tanda-tanda dia keluar.

Kemudian kami ke pondok pengawal. Mereka ada menyimpan rekod sesiapa yang keluar masuk ke dalam kawasan sekolah. Tapi malangnya, tiada langsung rekod mengenai Kamal.

Kami rujuk pula kepada warden, iaitu cikgu Helmi. Cikgu Helmi ni rapat dengan Kamal. Tapi dia sendiri tidak tahu keberadaan Kamal. Kamal macam “vanished” macam tu je.

Oleh itu, bermulalah pencarian menjejaki Kamal di dalam kawasan sekolah. Semua warden dan pengawal turut sama membantu. Habis satu pelusuk sekolah kitorang cari. Tapi bayang Kamal pun tak nampak.

Disebabkan risau, cikgu Helmi pun menghubungi keluarga Kamal untuk bertanyakan sama ada Kamal ada pulang ke rumah. Namun, hampa. Keluarga Kamal juga tidak tahu Kamal di mana. Nak buat repot polis pun tak dapat. Sebab kena tunggu 24jam untuk melaporkan kehilangan.

Keluarga dia pun minta pihak sekolah untuk teruskan usaha mencari. Mungkin Kamal keluar melepak dengan kawan-kawannya. Yela, dia pun dah tingkatan tiga. Kira dah besar panjang la budak tu. Tapi kalau Kamal masih tidak dijumpai selepas 24 jam, mereka akan buat laporan polis.

Warden pun kata kami tak perlu risau, biar warden dan pengawal sahaja yang lakukan pencarian.

Memandangkan hanya ada 3 atau 4 orang pengawal, agak memakan masa untuk meronda seluruh kawasan sekolah. Sekolah kitorang ni dah la luas. Mungkin seharian baru siap rondaan.

Sehinggalah pada malam kedua, ada seorang pengawal ni, nama dia Pak Zal. Kalau korang ada baca kisah pertama aku sebelum ni, mesti korang ingat lagi kat dia.

Masa tu, dia tengah periksa bahagian dewan sekolah. Depan, belakang, luar dan dalam dewan dia siasat. Untuk pengetahuan korang, kat dewan tu ada dua bilik stor. Satu kat belakang dewan dan satu lagi kat bilik bawah tanah.

Tapi stor kat bawah tanah ni memang dah lama. Rasanya dari zaman sekolah tu dibina, stor tu dah ada. Dalam stor tu disimpan barang-barang pentas, kerusi, dan meja yang lama.

Lampu kat stor tu pun dah rosak. Memang gelap segelapnya. Kalau nak masuk pun kena pakai lampu suluh. Sebelum ni memang kitorang dah cek kat tingkat bawah tanah tu. Entah kenapa Pak Zal buat pemeriksaan kedua.

Pak Zal kata, dia macam ternampak bayangan seseorang berjalan laju menuju pintu stor. Dia pun ikut la. Sampai kat pintu, keadaan kat dalam sangat gelap. Memang tak nampak apa-apa langsung.

Pak Zal pun keluarkan lampu suluh. Perlahan-lahan dia masuk ke dalam. Banyak timbunan barang-barang pentas yang lama dengan habuk yang menebal. Sarang labah-labah pun dah macam penempatan haram.

Tengah dia menyuluh, dia perasan ada satu susuk tubuh sedang tidur di satu sudut. Nampak lena sangat. “Ni jin ke manusia ni?” saja Pak Zal ingin menenangkan hati.

Semakin dia mendekat semakin dia yakin yang didepannya ini manusia. Dia pun cuba kejutkan.

“Dik. Bangun. Buat apa tidur kat sini ni?” tegur Pak Zal sambil menggoyangkan badan pelajar tersebut.

Tapi pelajar tu langsung tak bangun-bangun. Pelik. Takkan tidur m**i? Pak Zal pun ambil botol air yang di bawa dan dibacakan surah. Lepas tu, dia renjis sedikit air tu kat muka pelajar yang tengah tidur tu.

Tidak semena-mena, pelajar tu pun terjaga.

“Buat apa kat sini?” tanya Pak Zal.

Pelajar tu pula terkebil-kebil dalam kemamaian. Dia menggosok-gosokkan matanya sambil memandang Pak Zal dengan wajah yang keliru.

“Nama siapa?” tanya Pak Zal lagi.

“Mmm.. Kamal..”

“Tingkatan berapa?”

“Tiga.”

“Oh jadi kamulah Kamal? Kamu tahu tak, kamu dah hilang dua hari?”

“Hah? Hilang? Tapi saya baru je bangun tidur.” Kamal turut berasa pelik.

“Takpe, kita keluar dulu dari sini. Ramai yang risaukan kamu.”

Pak Zal pun memapah Kamal keluar dari situ. Tapi dari ekor mata Pak Zal, dia rasa macam ada sesuatu yang sedang memerhatikan mereka. Bila dia suluh ke tempat Kamal baring tadi, ada satu susuk tubuh sedang duduk mencangkung sambil senyum menyeringai memandang Pak Zal.

” Astaghfirullah..” Pak Zal beristighfar di dalam hati. Tanpa menghiraukan lembaga itu, cepat-cepat mereka keluar.

Setelah beberapa hari, aku ada bertanya pada Kamal mengenai kejadian itu. Tapi Kamal sendiri tidak ingat apa yang berlaku dan dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh ada di bilik bawah tanah tu.

Kamal kata, balik sahaja dari kelas, dia terus tidur kat dorm dan tidak sangka sudah dua hari dia hilang. Aku ada tanya gak samada dia ada masalah “sleepwalking” sebelum ni. Tapi tiada. Kalaupun betul “sleepwalking”, macam mana boleh sampai masuk bilik bawah tanah tu. Dalam tu gelap, siap boleh parking elok tidur kat situ.

Aku rasa mungkin sepanjang perjalanan dia balik ke dorm, dia ada tersepak sesuatu atau ter”tegur” sesuatu ke. Sebab tu kot dia diganggu. Allahualam..

Apa pun, sejak kejadian tu, kitorang selalu tidur lewat sikit dan perhatikan Kamal yang sudah tidur. Takut kalau-kalau kejadian sama berulang 😅. Tapi Alhamdulillah, semuanya dah kembali seperti biasa.

Oklah, itu sahaja untuk kali ni. Maaf kisah kali ni kurang seram. InsyaAllah jumpa lagi di lain kisah.

-Jenja-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jenja

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

5 thoughts on “KEJADIAN SERAM DI SMKA TANGOK Kisah 2”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.