KELAS MAWAR DAN JELMAAN ANJING.
MASA ini aku masih lagi berada, di sekolah rendah. Sekolah rendah aku ni dekat dengan tadika dan belakang pula ada sungai kecil yang bersambung dengan Sungai Kinta.
Sekolah rendah aku ni kecil saja dan agak lama. Sebelum aku masuk, memang dah hebah ada kes kematian dalam sekolah. Kes buli pelajar. Dah dipukulnya, lalu dikurung pula dalam kelas paling belakang. Kelas yang sudah lama tidak di gunakan lagi. Aku pun tak berapa jelas sangatlah kisahnya macam mana. So, aku cuma bagitahu takat apa yang aku tahu jelah.
Nak dijadikan cerita time ni, aku dengan kawan aku, kami berdua diminta oleh cikgu pj untuk ambil bola dan gelung rotan dalam stor berdekatan kelas hujung tu, kelas tu bernama Kelas Mawar. Time ni, aku darjah tiga, sekolah petang kalau tak silaplah. So, kami berdua pun masuklah ke dalam stor ambil bola dan gelung rotan. Masa ambil, tak ada apa-apa lagi yang berlaku.
Kami pun bersukanlah macam biasa masa mata pelajaran Pendidikan Jasmani tu. Main punya main. Bergelak ketawa sampai tak sedar, waktu sekolah dah nak tamat. Masa ni, Pendidikan Jasmani subjek last lah untuk hari itu. Cikgu pun suruhlah aku dan kawan yang aku namakan Teeja (bukan nama sbnar) simpan balik bola dan juga gelung rotan. Kawan aku ni, spesis mulut celupar sikitlah. Suka ketawa kuat-kuat walau aku pernahlah cakap jangan ‘hingka’ sangat. Ni dialek Perak ya.
Tapi Teeja ni jenis yang tak makan ‘saman polis trafik’. Kami pun bila dah buka mangga pintu tu, masuklah ke dalam stor. Pun si Teeja ni boleh buka cerita pasal kisah seram yang pernah hebah sebelum kami bersekolah. Aku sebenarnya, taknak dengar sebab aku tahu hari makin nak ke senja. Aku dah lah balik nanti kena tunggu bapak. Kadang bapak lambat ambilnya.
Zaman-zaman ni, mata aku pun jenis… hmm… nak cakap ke tak? Karang ingat riak pulak tapi tak…
Tu yang aku tak suka dengar kisah hantu sangat. Baca kisah hantu mahupun tengok cerita hantu. Entah kenapa, dah remaja purba ni tersuka pulak…
Lepas tu aku ni kalau dah sekali dengar, teringat dan terbayang hampir nak ke seminggulah. Buat mak aku bising je asyik nak berteman ke dapur atau bilik air.
“Weh, kau nak tahu tak dulukan… sekolah ni ada kes murid m**i. Mak aku cakap, budak tu kena buli. Dahlah kena buli kemudian kurung pulak. Yang mak aku heran takkan pak guard tak dengar, semalaman
.. mak akulah cakap, budak yang teruk kena belasah tu dikurung pembuli…”
“Budak laki ke perempuan?” Aku pun spontan bertanya dengan mata aku pula terarah pada luar pintu yang terbuka. Langit pula makin gelap. Orang kata, bunga senjalah kami ni tak keluar-keluar lagi dari dalam stor dek ralit bersembang.
“Entah, mak aku kata perempuan. Aku lupalah weh!” Teeja menjawab sambil tergaru-garu kepala.
Aku pun terangguk-angguk. Hah… macam tulah gaya aku yang aku ingat.
Mata aku tetap memandang ke arah yang sama iaitu tepi pokok rendang. Pokok tu, memang dah lama adanya dekat tepi padang tu. Aku pun tak pastilah sama ada apa yang aku nampak ni benda yang Teeja cerita ataupun tidak. Aku pun tanya lagi pada Teeja.
“Budak tu kena belasahkan?”
“Aha lah. Itu yang mak aku cerita. Tapi kalau kau nak tahu lebih lanjut aku takde idea…” Kata Teeja.
“Yang kau dari tadi asyik tanya aku tapi mata pandang keluar dah kenapa? Jangan kata nampak pulak?” Teeja menyindir.
“Kitakan budak-budak. Orang kata, budak-budak kan senang nampak…”
“Weh, jangan memainlah weh, tak lucu!” Teeja mula bersuara membentak. Teeja pun jenguk sama ke arah pintu yang terlapang.
“Aku tak nampak apa pun lah. Jomlah. Aku rasa yang lain dah balik ni. Cikgu tertunggu-tunggu pulak kunci.”
Aku dan Teeja apalagi memang dengan pantas bergerak keluar. Kunci pintu dalam keadaan terketar-ketar bila tiba-tiba, angin menderu-deru. Langit semakin senja. Masa aku dengan Teeja berlari ke arah padang semula,masa itu aku cuba berpaling belakang lagi dan aku tetap nampak susuk tubuh yang sama berfigurakan bayangan kanak-kanak perempuan berbaju sekolah dengan tudung penuh dengan d***h.
Itulah kali pertama dan terakhir aku nampak.
Lepas kejadian itu, esoknya kami berdua demam. Teeja pergi cerita pula apa yang aku nampak pada mak dia, mak dia komplen sekolah. Tapi elok juga, sekurang-kurangnya ada ustaz datang tolong ‘tengok-tengokkan’ apa yang patut diusir, diusir.
Ini kisah kedua, nak percaya atau tak terpulang pada budi bicara masing-masing. Saya berkongsi apa yang saya masih ingat sahaja.
Tahun berganti tahun, akhirnya saya dah masuk darjah enam. Tahun ni masih Upsr lagi era 90an. Cikgu mahu mengadakan kem UPSR untuk murid-murid darjah enam. Perkongsian kali ini, memang aku saja yang nampak dan tak bercerita pada sesiapa pun. Sebabnya aku khuatir mungkin apa yang aku nampak itu hanyalah sekadar permainan sukma aku saja.
Okay, nak di jadikan cerita ia berlaku malam kem yang terakhir. Masa ni, aku terbangun. Aku sakit perut. Jenuh aku kejutkan kawan ajak teman tapi kawan kiri dan kanan aku semua tidur m**i. Nak kejutkan cikgu pula aku segan jadi apakan daya perutku kian memulas-mulas. Angin monoksida pun dah banyak aku lepaskan. Aku bangun dan capai lampu suluh. Aku terpaksalah cekalkan hati ke tandas tingkat bawah sebab tingkat yang kami tidur dalam kelas ni, tak ada tandas.
Aku keluar saja dari dalam kelas. Gelap luar melatari pemandanganku. Angin bukanlah sepoi-sepoi bahasa agak rakus juga tiupannya. Dengan lafaz bismillah, aku menyusun atur langkah ku di laluan koridor yang sekadar di temani remang cahaya rembulan mengambang.
Sesekali telingaku di hadiahkan salakan sayu dan sayup sang anjing dari hutan belakang sekolah ku ini.
Aku sambil menyuluh bawah iaitu lantai dan juga hadapan aku yang bakal membawa aku ke tangga. Aku suluh-suluh juga hutan belakang sekolah aku ni. Blok grup aku tidur kiranya terkebelakang sedikit dari grup murid-murid lelaki. Semasa aku suluh-suluh, tiba-tiba mata aku ternampak sesuatu. Memandangkan sebelah bawah tu dataran mini perpustakaan untuk bahagian luar sekolah. Jadinya ada lampu. Agak teranglah di situ.
Kemudian sesuatu yang aku nampak itu pula hadirnya dari arah hutan. Belakang pagar berkawat duri. Aku nampak seekor anjing. Seekor saja tanpa kumpulannya. Aku andaikan mungkin anjing dari kawasan lain atau hutan itu juga.
Aku berhenti dari melangkah. Malah suluhan aku makin di fokuskan pada anjing tersebut. Pada mulanya anjing itu tidak perasan suluhan aku. Aku pun tidaklah mengambil endah. Namun aku tetap juga nak suluh kerana figuranya agak besar dari anjing biasa.
Tiba-tiba anjing yang terjelir-jelir lidahnya itu pun mendongak. Aku pandang dia. Dia pandang aku.
“Merah sungguh mata,” tegurku dengan selamba. Dengan tangan pula masih lagi menyuluh ke arah anjing yang berada di belakang pagar jejaring.
Ia menyeringai garang. Perut pula kian memulas-mulas. Anjing bermata merah itu pula seakan-akan ingin menerkam ke arah aku. Walau jarak aku dengan pagar boleh dikatakan masih jauh lagi namun ketakutan sudah mula menyelubungi diriku.
“Ya Allah! Kalaulah anjing tu boleh melompat dan melepasi pagar tu macamana? Dahlah tandas bawah ni sahaja…aduh!!!” Aku sudah mulai berkira-kira. Rasa nak tahan membuang ada juga walau senak dan kembung merengsakan jasadku.
Aku cuba suluh dan tengok lagi. Dan memang ia, anjing bermata merah itu semakin galak melompat-melompat untuk melepasi atas pagar berkawat itu. Seringainya benar-benar menakutkan ku. Aku rasa, aku perlu juga ke tandas bawah. Aku menarik nafas buat seketika sambil memejamkan mata, mulutku terkumat-kamit. Nasiblah aku boleh ingat segala apa pesan ustazah sekiranya terpaksa berhadapan dengan keadaan genting sebegini mahupun yang menakutkan.
Jadi surah-surah itulah yang mulutku lafazkan. Setelah membaca Al Fatihah serta tiga Qul, aku menyakinkan diriku sendiri dengan berkata benda itu sudah hilang. Entah mengapa, naluri aku pada masa itu rasa tersangat yakin anjing itu nak menguji diriku saja. Aku langsung membuka mata, suluhan masih lagi tepat terhala ke lokasi yang sama. Aku mengucap syukur dalam dada. Anjing itu sudah tiada di sebalik pagar berjejaring itu. Aku pun terus membuka langkah ke arah tangga.
Tapi benda ni aku pendam seorang diri saja…
Ini baru aku mahu bercerita…
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI