KENA SAKAT DI LAPANG SASAR

“Hummm…” Keluh si Azmil. Malam itu dirasakan panas sekali. Sekali sekala dia mengembuskan asap rokoknya ke udara. Suasana di berek pelatih RELA mulai mereda. Ramai pelatih mula melabuhkan badan setelah penat dilanyak dalam latihan kawad pada sebelah pagi dan musketari dan latihan menembak pada petang tadi. Ada yang masih mengilatkan boot, dan ada yang masih menggosok uniform, sebagai persiapan untuk perhimpunan dan latihan pada esok hari.

Bahar tercatuk disebelah Azmil, sambil bersandar di guard rail koridor berek. Azmil menjeling sambil terus menerus menghembuskan asap rokok seludupnya ke udara.

“ Kau tau Mil, cikgu Hussein (cikgu merupakan panggilan Jurulatih dalam RELA), malam tadi buat rondaan, dia terserempak ‘benda’ kat kawasan ampaian belakang berek Relawati, mula-mula dia ingatkan ada Relawati yang nak sidai kain, lepas tu, benda terus terbang mengilai masuk ke hutan belakang berek.”

Azmil mulai tertarik dengan cerita Bahar, meskipun berlainan negeri dan platun, suasana kursus asas yang padat dan menyeksakan itu menyebabkan masing-masing pandai membawa diri, mencari kawan dan berkenalan dengan semua orang, sekaligus membentuk semangat berpasukan. Sekiranya masing-masing membuat hal sendiri, maka kursus selama 2 minggu ini dirasakan sungguh memberi tekanan dan amat membosankan.

“Apa ke bendanya? Situ kan kawasan larangan?”

Bahar tersenyum, anak muda berasal dari Jelebu itu meletup-letupkan jarinya satu persatu.

“Kau jangan buat tak faham je, sini kan ke bekas kawasan hutan simpan, macam-macam boleh berlaku. Ada pelatih kursus lepas, salah ‘pagar’ kawasan tak ingat jalan balik. Ada Relawati yang hysteria, mengilai macam pontianak, siap nak terbang dari tingkat dua. Nasib baik kawan-kawan dia sempat tangkap”

Azmil mencebikkan bibirnya. Padanya, itu adalah kesilapan individu, mungkin keadaan tidak bersih, tidak berzikir dan seumpamanya. Azmil sememangnya berasa yakin dan bersedia untuk mengharungi perkara-perkara seumpama itu. “Baca Ayat Kursi…settle” bisik hatinya.

“Pagi tadi, Farok Mamak terjumpa kelibat pocong dekat motorpool bas dekat surau, mencicit dia lari balik, tu yang azan subuh tak ada orang nak azan,….” Bahar menyeka peluh yang berjurai turun dari dahinya; suasana malam yang sememangnya agak panas ditambah lagi tiada angina yang bertiup.

“Tu yang kita kena jemur berjemaah sambil julang shotgun kan?” sampuk Azmil balik. Dia memang geram dengan si Farok Mamak, anak tauke kedai rojak Muar, harap badan je besar tapi kawad berterabur, ada je kesilapannya yang menyebabkan 1 platun dihukum. Cuma kelebihannya dia mampu mengalunkan azan dengan merdu dan atas sebab itu, dia diarahkan bersama Zulfitri sebagai Imam dan Bilal sepanjang kursus asas RELA ini berlangsung. Satu kelebihan untuk si Imam dan Bilal, mereka tidak perlu berkawad dalam 1 barisan untuk pergi ke surau.

Bahar terus bercerita yang mana Cikgu Yahya, ketua Jurulatih merangkap Jurulatih senjata ada menceritakan agar menjaga adab dan tatatertib apabila berada di Pusat Latihan RELA ini. Bukan setakat bertabik dan bertuan apabila bertemu dengan pegawai, akan tetapi dalam bahasa mudahnya, mulut jangan cabul dan jangan sombong dan bongkak bila berada disini.

Pusat Latihan itu dibina pada 1999 diatas tapak yang diambil alih dari kawasan hutan simpan. Banyak cerita-cerita yang pelik dan menyeramkan berlaku semasa pembinaan pusat latihan ini dan ketika latihan-latihan dijalankan. Ada kisah pekerja-pekerja kontrak yang diganggu Pontianak sehingga tidak berani untuk keluar dari rumah ‘kotai’, jentera dan mesin simen hidup sendiri, meskipun kuncinya sudah disimpan di pejabat ‘site’. Itu belum lagi gangguan yang dialami oleh kakitangan Pusat Latihan tersebut. Ada Jurulatih yang dialih tempat tidurnya; dari surau ke padang kawad berhampiran. Ada motosikal Jurulatih yang diparking di hadapan berek; beralih ke motorpool bas padahal motosikal sudah berkunci rapi. Lebih menyeramkan, Leftenan Kadri pernah diganggu langsuir ketika menyiapkan kerja di bangunan pentadbiran; langsuir itu muncul tiba-tiba di hadapan tingkap ketika Leftenan Kadri membuka kacanya untuk menghisap rokok; dia tergamam dan bertentang mata dengan makhluk yang menyeramkan itu sebelum dijumpai pengsan keesokan harinya oleh rakan setugas.

“Dahlah Bahar, baik kita siap cepat, pukul 12 nanti kita kena buat tugas rondaan, baik kita siap dulu, dan pukul 2350 kita dah kena ada depan amra (bilik senjata)”

Jam 11.50 malam. Azmil dan Bahar dalam keadaan full uniform tercegat di hadapan amra. Sarjan Amin penjaga bilik senjata hanya memerhati dari depan kaunter. Sekali sekala kelihatan dia tersenyum menatap skrin handphonenya. Mungkin tengah SMS mak janda kut. Bisik hati Azmil. Kadangkala terdengar Sarjan Amin tergelak kecil. Macam kelakar betul SMS yang diterimanya itu.

Kelihatan kelibat Muthu dan Azizan muncul dari celah bangunan pentadbiran. Muthu tersenyum lebar melihat Azmil dan Bahar menanti-nanti untuk mengambil tugasan mereka pada malam itu. Kepenatannya menjalankan rondaan terubat sudah. Leftenan Rahim yang menyelia tugasan rondaan kawasan yang melibatkan pelatih tiba dengan Yamaha Sport merahnya; mungkin kekenyangan setelah menjamu selera di pekan sana. Sarjan Amin yang tersengih-sengih menghadap handphonenya bangun bingkas terus bertabik. Lagu dendangan kumpulan Fotograf: Luka Seribu Rindu berkumandang dari radio kecil di kaunter bilik senjata, yang menjadi penghibur dan peneman anggota yang bertugas mengawal tempat tersebut.

“Selamat malam tuan!” suara garau lelaki akhir 30an itu memecah kesunyian malam.
Leftenan Rahim terus memberi taklimat mengenai rondaan malam itu. Seorang anggota dibekalkan sepucuk shotgun dengan 8 butir peluru dan seorang anggota lagi hanya dibekalkan cotar, torchlight serta watchclock untuk clocking di check point rondaan. Rondaan meliputi kawasan berek pelatih dan Jurulatih, bangunan kuliah, stor logistic, cook house dan membawa ke kawasan lapang sasar sejauh 1 km dari blok bangunan Pusat Latihan.

“Dei, baik-baik ronda, nanti jumpa cik ponnnn dekat lapang sasar sanaaa….” Sakat Muthu sambil menyerahkan shotgun bersama bandolier peluru kepada Azmil. Azizan tertawa kecil.

“Aney, mulut baik-baik sikit ye…..aadi lu punya muka baru tahu…you punya mulut ada insuran ka?” Azmil mula berasa panas dengan lelaki India berusia 50an itu. Muthu tergelak terkekeh-kekeh. Azmil berasa lelaki India itu seolah-olah memperkecilkannya.(Nota: aadi dalam Bahasa Tamil ialah pukul)
“I gurau saja…jangan serius you punya muka” Muthu memujuk Azmil. Azmil berasa semakin bengang dengan lelaki India itu.
“Itu small matter, you ingat I takut ka? I jumpa terus I ajak kahwin” Azmil semakin berani, dalam hatinya penuh yakin tiada apa yang berlaku pada malam tersebut. Setakat dikacau, apalah sangat, shotgun ada ditangan.

Malam semakin dingin dan sunyi. Azmil dan Bahar berjalan menyusuri koridor bangunan pentadbiran dengan bertemankan bunyi cengkerik mengiringi kesunyian malam. Sekali sekala kesunyian itu dipecahkan dengan bunyi kenderaan yang lalu di hadapan Pusat Latihan itu. Azmil memulakan perbualan setelah Bahar clocking di bangunan pentadbiran tersebut.

Musketeri senjata dan latihan menembak shotgun pada petang semalam sememangnya pengalaman baru dan berharga bagi mereka berdua. Shotgun adalah senjata utama RELA meskipun RELA menggunakan M16A1, ianya terhad di dalam latihan dan pertandingan UKMR (Ujian Kemahiran Menembak RELA) yang dijalankan samada diperingkat mukim, daerah, negeri dan kebangsaan, disamping sebagai senjata kawalan kawad dan kawalan kehormatan. Macam-macam gelagat yang mereka lihat dari kalangan pelatih kursus tersebut. Ada pelatih yang berbadan besar yang terduduk apabila menembak shotgun, ada yang berbekas muka terkena shotgun shell yang melantun keluar apabila shotgun dipatahkan untuk reload; Munirah dan Gayathri antara yang menjadi mangsa; berbekas muka Munirah terkena buntut shotgun shell yang panas itu.

“Habislaaa muka akuuuuu…”Azmil mengajuk cakap Munirah. Bahar tertawa melihatkan ajukan Azmil; sememangnya Munirah antara Relawati menarik dan manja dikalangan peserta wanita kursus tersebut; ramai yang cuba mengenen Munirah, tetapi Munirah melayan dengan baik semua pelatih tanpa membezakan status dan jantina.

Rondaan mereka berlanjutan ke kawasan lapang sasar; lapang sasar Pusat Latihan itu terletak jauh menghala ke hutan dan untuk ke sana mereka terpaksa menempuh kawasan hutan yang menjadi tempat latihan ikhtiar hidup dan IMP (Ilmu Medan Perang- yang diperkenalkan secara asas sahaja) anggota-anggota kursus latihan lanjut RELA. Jalan menghala ke lapang sasar itu hanya diterangi dengan 3 tiang lampu yang jaraknya agak jauh; 1 di pintu pagar, 1 ditengah laluan dan 1 lagi di bangunan lapang sasar. Bangunan Lapang Sasar adalah check point terakhir rondaan sebelum kembali ke bangunan amra untuk tamat tugasan dan serah senjata. Bau hutan yang menyegarkan menyambut mereka di pintu masuk lapang sasar tersebut.
Lepas tu boleh tidurrrr….bisik hati kecil Azmil. Shotgun Stevens buatan Amerika Syarikat digalasnya setelah tangannya lenguh mengelek senjata buatan tahun 1948 itu. 1 jam rondaan dirasakan terlalu lama. Embun jantan mulai gugur dikala dinihari menjelma. Suara unggas rimba bersahut-sahutan bersama kerikan cengkerik menjadi peneman kepada mereka.

“Sapa tu?” Bahar mencuit bahu Azmil, Azmil tercangak-cangak melihat arah yang dituding oleh Banar, berhampiran tiang lampu berhampiran bangunan lapang sasar. Dibawah cahaya lampu kelihatan susuk wanita beruniform hijau dan berberet kuning sedang bertinggung di atas batu divider parking kenderaan.

“Munirah tu……….” Dengan yakin Azmil berkata. “Mungkin duty patrol lain ni, Leftenan Rahim kan buat 2 group, lelaki dan perempuan”
“Aku rasa tak sedap hatilah” Bahar mulai menggeletar. Azmil meyakinkan Bahar bahawa lembaga yang bertinggung di atas batu itu Munirah, mungkin dia menunggu pasangan rondanya sedang ‘melepas hajat’ di dalam tandas bangunan lapang sasar. Siapa tahu. Sebenarnya Bahar tahu, duty bagi Relawati hanya terhad dikawasan berek Relawati sahaja dengan 2 anggota bertugas di bilik kawalan di tingkat bawah berek, bukan menjalankan rondaan seperti anggota lelaki.

“Kau ambil shotgun ni, aku buat clocking terus, kau tunggu sini” Azmil menyerahkan shotgun dan merenggut torch light dan watchlock dari Bahar. Hatinya terus berbunga-bunga, manalah tahu ini peluang untuk dia untuk meng’ayat’ Munirah; sebenarnya dia menaruh hati diam-diam kepada gadis comel yang berasal dari Jasin itu semenjak dari hari pertama kursus.

Belum sempat Bahar bersuara, Azmil terus berlari mendapatkan lembaga itu.

“Awak okey?” Azmil melihatkan ‘Munirah’ itu dalam keadaan tunduk merenung ke bumi. ‘Munirah’ diam tanpa reaksi, terpaku tidak bergerak. Hati Azmil mula tertanya-tanya, mana shotgun dia?

“Awak okey tak? Kalau awak pening saya ada bawak minyak angin ni” Azmil mula ‘jual minyak’, sedangkan ‘Munirah’ masih diam membisu dalam keadaan tunduk. Azmin semakin pelik, kerana ‘Munirah’ ini amat berlainan dari biasa; becok dan penuh manja, tapi yang ini diam seribu Bahasa.

“Tunggu Gayathri ke? Shotgun mana?”

Tidak semena-mena ‘Munirah’ mengangkat kepalanya; wajahnya yang pucat dengan rambut panjang mengerbang dan lembaga itu menyeringaikan giginya yang tajam. Azmil tergamam, baru dia perasan, biasanya Munirah sememangnya bertudung tapi kali ini tidak. Azmin menelan air liurnya dan ingin lari tetapi kakinya dirasakan terlalu berat untuk melangkah, ‘Munirah’ bangkit dan mula menghampiri dengan tangannya ingin mencekik leher Azmil. Uniform RELA yang tadi dilihat Azmil sekelip mata berubah menjadi kain putih yang kotor dan carik-carik beserta bau busuk seumpama bangkai yang menusuk hidung Azmil. Azmil menoleh kearah Bahar dan dilihatnya pemuda itu sudah mengatur langkah seribu bersama shotgunnya sambil menjerit ketakutan. Lidahnya menjadi kelu dan satu ayat suci Al-Quran pun tidak terkeluar dari mulutnya. Lembaga itu semakin hampir dan itu mula mengilai dengan nyaring dan tidak semena-mena pandangan Azmil gelap. Dia pengsan disitu juga.

“Bangun! Bangun kau” Azmin terasa mukanya disimbah air. Leftenan Rahim terpaku dihadapannya bersama Bahar, disiramnya muka Azmil dengan air dari water bottle yang terselit dipinggangnya.

“Kau ni, tak ada tempat lain ke nak membuta?…….Nasib baik shotgun tak hilang, torchlight dengan watchlock tak bersepah…..kalau tak puas aku nak menjawab dengan Komandan. Lain kali ada benda pelik jangan tegur……Bahar dah ceritakan apa yang terjadi, balik amra buat serah tugas dan senjata dan terus naik tidur.”

Azmil terus duduk terpisat-pisat mengesat matanya. Apa yang dilihatnya tadi seolah-olah mimpi ngeri baginya. Sepanjang jalan untuk balik ke amra dia dan Bahar menadah telinga mendengar bebelan Leftenan Rahim. Akan tetapi, kejadian pada dinihari itu menyebabkan pada sebelah paginya Azmil dan Bahar didenda ‘tawaf’ padang kawad sambil menjulang shotgun sebanyak 20 pusingan ketika pelatih-pelatih lain sedang seronok bersarapan.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]
Khadim Sufi Ba'Alawi

3 thoughts on “KENA SAKAT DI LAPANG SASAR”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.