Assalamualaikum warga FS.
Belum terlambat untuk aku ucapkan Salam Maulidur Rasul buat seluruh umat Islam terutamanya pembaca FS semuanya.
Secara peribadinya, bulan Rabiulawal ini sangat dekat kepada diriku. Banyak perkara yang terjadi pada bulan ini beberapa belas tahun yang lalu. Sedikit sebanyak juga menutup dan membuka lembaran baru dan lama berkaitan mistik dan misteri dalam hidupku. Baik dari segi fizikal, mental mahupun spiritual diri ku. Kisah kali ini agak panjang dan tiada efek seramnya. Terpulanglah pada kalian untuk menilainya.
Aku berusia 16 tahun. Ketika itu aku berada di Tingkatan 4 di salah sebuah sekolah menengah agama berasrama di satu daerah dalam Malaysia. 5 tahun aku berkelana menjadi pelajar asrama dan tahun itu adalah tahun ke 4 aku duduk di asrama sepenuh masa. Pelbagai suka duka aku lalui. Aku pasti itu, sebab hanya mereka yang pernah duduk di asrama sahaja yang tahu bagaimana pengalaman itu.
Di kisah aku yang pertama, aku pernah kongsi bagaimana aku mula berhenti melihat penampakan. Betul betul sebelum aku masuk ke sekolah asrama. Lagi pun aku agak teruja duduk di asrama jadi pengalaman mistik yang selalu aku lalui zaman kanak kanak juga terus aku lupakan tanpa aku sedar. Sehingga tiba umur aku masuk 16 tahun. Aku mulai nampak penampakan yang kadang kadang aku sendiri tidak perasan itu adalah makhluk lain. Mimpi mimpi lama mula muncul kembali. Lagi pun aku baru kehilangan Atuk yang sangat aku sayang. Dan itu membuatkan aku mula menyendiri dan melayan perasaan di tepi sungai belakang rumah nenek. Mungkin ada benarnya semua itu memainkan peranan bagaimana tekanan dan stress mengundang penampakan dan penglibatan aku yang secara tidak langsung dengan perkara mistik ni.
Pada ketika itu aku mula melihat secara nyata lembaga yang tidak diundang. Aku masih ingat banyak kali aku terjaga dari tidur dan melihat seekor pocong berdiri tegak di hujung katil dan melihat sahaja aku tidur. Tapi banyak kali juga aku persetan kan sahaja penampakan itu. Dan beberapa kali juga aku ternampak nenek tua berjalan terbongkok bongkok di tepi hutan yang terletak di belakang blok asrama ku. Sebanyak kali itu juga aku abaikan atas alasan menyakinkan diri bahawa semua itu halusinasi semata-mata.
Dalam tahun yang sama juga, aku mula bermimpi macam macam. Mimpi mimpi berulang yang seumpama puzzle dan sangat membuntukan. Beberapa kali juga aku ditindih dan diberi peringatan dengan mendengar satu suara yang amat garau dan kuat yang aku sendiri tidak tahu dari mana munculnya. Selalunya, ayat peringatan itu berkaitan tingkah laku pelajar di asrama yang mesti sentiasa di jaga. Peringatan hidup m**i yang amat menakutkan. Tapi aku pun tidak tahu kenapa aku tidak pernah berkongsi dan bercerita kepada sesiapa semua yang aku lalui. Mungkin orang tidak akan percaya atau mungkin juga aku sudah biasa dengan semua itu. Tiada apa yang perlu diperbesarkan.
Aku juga sedari kecil sangat tajam intuisi atau gerak hati. Tapi sama seperti penampakan yang berhenti pada usia 12 tahun, gerak hati yang tajam itu juga terhenti pada usia itu. Dan tidak pernah aku sangka juga dalam tahun yang sama gerak hati aku semakin tajam. Malah kadang kadang menakutkan aku. Mendapat gambaran perkara buruk yang akan terjadi itu sentiasa berlaku. Dan aku masih ingat juga aku mendapat gambaran dan mimpi soalan soalan yang akan keluar untuk kertas SPM Biologi sehari sebelum aku duduk peperiksaan. Aku fikir ia berhenti di situ tapi sebenarnya ia bermula di situ.
Ketika itu aku agak tertekan. Cuba untuk lari dari kenyataan itu sebab sebenarnya melihat sesuatu yang kita tidak suka itu sangat menganggu rutin seharian dan juga pelajaran aku. Seboleh nya aku menafikan apa yang aku nampak dengar dan tergambarkan. Sungguh menyakitkan. Aku fikir ketika itu semua itu menyesakkan jiwa mungkin kerana usia masih mentah dan aku masih belum benar benar kenal dunia.
Hari berganti hari, muka muka pocong, pontianak, langsuir, jembalang laut jembalang tanah, nenek kebayan, lembaga hitam dan entah segala apa lagi jenis jembalang asyik muncul di hadapan mata. Itu dalam jaga. Dalam mimpi tidak kurang hebatnya. Semua mengambil kesempatan menganggu. Ditambah mimpi mimpi yang seakan petanda sesuatu akan terjadi dan kemudian harinya ia betul betul terjadi. Ketika itu aku rasakan seperti jiwaku umpama hilang ibarat disedut Dementor dari Azkaban. Huhuhuhu. Seperti seorang pengecut pun ada.
Sehingga masuk bulan Rabiualawal. Aku pun tidak pasti kenapa setiap hari dada aku berdebar kencang seperti menunggu sesuatu yang besar akan terjadi. Mungkin apa yang akan aku ceritakan kali ini tidak relevan dengan tema seram tapi sebenarnya ia berkait rapat dengan semua yang terjadi dan mengubah hidup aku selamanya. Dan sudah pasti aku ingin berkongsi nilai yang besar ini kepada semua.
Beberapa minggu itu sekolah dikejutkan dengan kes kecurian peralatan tulis pelajar. Bukan sedikit. Ramai yang mengadu bekas alat tulis hilang dan tidak dijumpai. Ramai yang bersangka sangka kejadian itu dilakukan oleh pelajar pelajar nakal yang suka mengusik pelajar lain dengan tahap ekstrem sebegitu. Tapi usikan itu sebenarnya membawa kepada kemarahan ramai pihak sehingga warden pun masuk campur dan menjalankan spotcheck besar besaran. Tapi tidak menemui hasil kerana langsung tiada kesan dan jejak si pencuri. Seperti biasa pelajar akan membuat bacaan surah Yaasin bila ada kes sebegini dengan harapan pencurinya tampil ke hadapan dan mengaku. Tapi harom la kan nak mengaku.
Sehinggalah satu hari ni. Semasa prep malam. Seorang junior mengetuk pintu kelas. “Ustaz Khaidir nak jumpa kat bawah.” Sambil memandangku.
Aku angguk dan terus mengangkat p******g keluar dari kelas untuk berjumpa Ustaz. Bukan lah perjumpaan mengejut tapi sememangnya aku menunggu Ustaz memanggil aku kerana ada sesuatu yang aku minta padanya sebelum itu. Aku berjalan perlahan di sepanjang koridor kerana tidak mahu berbuat bising memandangkan semua senyap khusyuk belajar. Sehinggalah aku tiba di tangga. Ruang tangga agak gelap kerana lampu yang dah lama tidak menyala dan aku pun tidak pasti kenapa tidak pernah diselenggara. Ketika aku turun dari tangga, kedengaran derapan kaki yang berlari tapi aku tidak sempat melihat siapa orangnya. Kepala aku sudah berfikir macam macam. Entah setan mana pulak aku akan terserempak kali ini.
Sebaik sahaja aku sampai di anak tangga terakhir anak mata aku tertancap pada sesuatu di sudut dinding tangga. Keadaan yang gelap memantulkan satu cahaya dari benda tersebut. Pantulan itu muncul dari satu corak yang menyerupai tanda cross (maaf andai ada sensitiviti di sini). Aku sedikit pelik dan merapati ke arah benda itu. Rupanya ia adalah satu bekas alat tulis yang diperbuat daripada kain berwarna hitam dan terdapat corak berwarna silver memanjang ditengah tengahnya yang mana menghasilkan pantulan sebegitu.
“Ingat ada hantu tadi.” Getus hatiku. Sempat juga aku tersengih.
Aku pelik. Sempat melihat sekeliling mungkin masih ternampak gerangan orang yang meletakkan bekas alat tulis itu di situ. Tapi kosong. Tiada sesiapa di situ. Bekas alat tulis adalah perkara yang sangat sensitif ketika itu kerana kes kecurian itu masih berlaku dan merupakan topik panas bulan itu. Jadi sangkaan aku sudah pasti itu adalah bekas alat tulis yang dicuri oleh si pencuri tapi tidak pasti pula apa relevan meletakkan bekas itu disitu. Tapi aku segera mengambil bekas alat tulis itu dan membuat keputusan untuk berjumpa ustaz dahulu sebelum menyerahkannya kepada pengawas dan warden akan penemuan ku itu.
Dalam perjalanan menuju ke arah ustaz, aku terserempak dengan seorang pengawas, seniorku sendiri. Tidak jauh dari tempat ustaz menunggu ku. Ustaz sekadar memerhati. Aku sekadar mengangkat tangan dan menganggukkan kepala tanda isyarat meminta maaf supaya ustaz menunggu sebentar. Aku berikan bekas alat tulis itu kepada pengawas dan menjelaskan apa yang terjadi. Pengawas katakan dia akan serahkan kepada warden dan menceritakan apa yang terjadi. Di saat itu aku berasa lega kerana berfikir mungkin kes itu akan berakhir tidak lama lagi.
Aku selesai mengambil barang yang ustaz berikan dan sempat berborak kecil berkenaan penemuan ku itu. Malam itu tiada pula jembalang yang tak diundang kelihatan di mata. Tapi malam itu aku mendapat tamparan yang sangat hebat. Selesai prep malam, seperti biasa aku akan balik naik ke bilik. Tapi sebaik sahaja aku masuk ke bilik kawan-kawanku kecoh mengatakan loker ku berselerak. Aku terkejut. Takkan kena rompak pulak. Aku lihat ke arah loker ku, anak mangga dipecah, baju baju dan barang barang lain habis berselerak. Belum sempat aku marah, datang pengawas tadi mengatakan loker aku di spotcheck dan aku dipanggil ke dalam bilik ketua pengawas.
“Ah sudah, apa pulak yang tak kena ni sampai kena panggil masuk bilik pengawas?” aku kebingungan.
Setibanya aku di bilik pengawas itu. Belum sempat aku menarik nafas. Aku terus dibentak bertalu-talu.
“Kenapa kau curi semua bekas alat tulis tu?”
“Mana kau letak semua yang kau curi!”
“Aku punya bekas alat tulis pun kau curi. Pulangkan balik!”
“Tak malu!”
“Pencuri!”
Aku terkebil kebil. Bingung dengan apa yang terjadi. Dalam masa sesingkat itu aku cuba hadam kenapa aku yang dituduh mencuri. Kenapa aku pula yang difitnah dan dimalukan sebegini rupa. Adakah kerana aku menyerahkan bekas alat tulis yang aku jumpa tadi?
“Kau mesti pura pura terjumpa bekas tu dan serahkan pada pengawas kononnya bukan kau yang mencuri. Tapi kau ingat kami akan percaya?!”
Aku tersentak. Jadi benarlah sangkaan ku. Aku disangka pencuri kerana aku menyerahkan bahan bukti kecurian. Tapi ini semua FITNAH. Aku cuba menjelaskan keadaan yang sebenar tapi tiada siapa mahu mendengar. Yang aku dengar mereka mengatakan aku lah pencuri yang licik itu.
Aku rasa malu. Rasa terhina. Sebab berita kononnya aku lah pencuri itu sekejap sahaja tersebar. Ketika itu rasa seperti langit ini menghempap ke muka. Aku mula menyesal kerana berjumpa ustaz dan menjumpai semua itu. Sungguh ketika itu penyesalan terbesar melanda diri. Kawan kawan mulai menjauh. Aku rasa disakiti. Ini antara bukti aku adalah orang baik yang tersakiti.
Esoknya aku berjumpa ustaz. Nampaknya berita berkenaan konon aku lah pencuri itu pun sudah sampai ke pengetahuan ustaz dan beberapa guru yang lain.
“Ustaz, bukan saya yang mencuri.” tidak dapat aku sembunyikan wajah sugul ku. Masakan tidak, penangan fitnah ini begitu hebat meragut banyak perkara dari aku dalam sekelip mata.
“Ustaz tahu. Sabarlah. Allah akan beri ganjaran buat hambaNya yang bersabar.”
Pendek sahaja ayat ustaz tapi cukup membuatku terduduk menyerah diri pada Allah. Lagi pun tiada apa yang mampu aku lakukan. Tiada siapa mempercayai aku. Aku banyak menghabiskan masa muhasabah diri. Mungkin banyak dosa dan khilaf aku sehingga di uji sebegini.
Sungguh jiwa aku sakit pilu sepanjang minggu itu. Benarlah dosa fitnah itu lebih besar dari dosa m******h. Tidak perlu aku d*****h, fitnah itu sendiri membunuhku. Ketenangan yang diragut itu terus membuatku lupa akan sejak difitnah aku tidak lagi melihat kelibat dan penampakan yang tidak enak dipandang itu. Lega tapi ujian dan dugaan lain pula yang datang.
Sehingga lah satu malam, aku bermimpi. Dalam mimpi ku, aku didatangi oleh sesusuk tubuh. Cukup aku katakan, pemandangan itu indah. Putih bersih. Cahaya yang menerangi sesusuk tubuh itu sangat terang tapi tidak menyakitkan mata. Jiwa aku jadi runtun. Sayu. Sebak. Sedih. Gembira. Indahnya sesusuk tubuh di hadapan mata aku tatkala ini.
“Assalamualaikum. Ana Muhammad. Rasulullah.”
“Waalaikumussalam Ya Rasulullah.”
Seterusnya tidak dapat aku detailkan apa yang disampaikan dan apa yang aku lihat di hadapan pandangan mata ketika itu. Tapi cukuplah aku katakan, pesannya agar aku bersabar dengan ujian dan fitnah yang ada dan mendatang. Sabar dan solat.
Wajahnya. Kehadirannya. Cukup indah. Sehingga aku menangis di dalam tidur dan bangun dengan air mata yang membasahi pipi. Benar tiada apa yang mampu aku ungkap dan bandingkan perasaan ketika itu dari segala isi alam di dunia ini. Allahu.
Aku bangun dari tidur. Sedikit kebingungan. Tapi aku rasakan jiwaku tenang. Sangat tenang. Seperti jiwa yang baru. Luka difitnah terasa sembuh. Ibarat bukan apa-apa. Tidak seperti hari hari sebelumnya, aku banyak menghabiskan masa menyendiri dan bersedih sambil mendengar bisik bisik kecaman dan jelingan kawan kawan yang lain, hari itu aku pun tidak tahu hati aku berasa nyaman. Muka sentiasa senyum. Teruja. Berdebar. Bagai jatuh cinta.
Hari itu juga aku dimaklumkan pencuri sebenar telah dikenal pasti tapi aku tidak berminat untuk mengambil tahu. Kawan kawan yang menjauhi mula datang dekat semula. Malah kawan baik aku sendiri pun tidak terkecuali. Walaupun tiada seorang pun yang meminta maaf, aku maafkan. Kerana fitnah, Allah kurniakan hadiah yang sangat indah yang tidak mungkin akan ku tukar ganti dengan segala harta di dunia ini. Kerana fitnah jua aku kenal siapa kawan dan siapa lawan. Kerana fitnah jua aku belajar apa itu sabar dan berserah diri pada Nya. Kerana fitnah ini juga aku mula faham apa yang aku lalui selama itu, setiap penampakan, setiap rasa setiap gerak hati yang Allah izinkan pada aku, semuanya dari Dia. Datang dengan asbab nya sendiri. Bukan lah misteri semata-mata. Iblis syaitan dan jin itu wujud. Mimpi itu banyak sebabnya. Allah yang meletakkan gerak hati pada tempatnya. Allah jua meletakkan sesuatu kejadian pada geraknya. Tiada satu pun yang bukan dalam genggaman dan penglihatannya.
Sejak mimpi itu, semakin jarang penampakan, mungkin juga asbab aku berdoa meminta Allah menapis apa yang tidak mampu aku lihat. Gerak hati ku masih seperti biasa tapi aku lebih berhati hati menggunakannya dan belajar erti redha akan setiap sesuatu yang berlaku atas kehendakNya. Sehingga ke hari ini, aku masih melihat sisi alam ghaib ini dengan pandangan yang lebih luas. Masih banyak yang perlu aku pelajari dan fahami. Tapi cukuplah satu yang paling besar aku belajar. Sabar, Syukur dan Redha.
Semua orang boleh bersabar, tapi tidak semua mampu bersyukur. Redha pada semua yang ada dan semua yang tiada.
…….
“Ustaz, maaf. Tadi saya terjumpa bekas alat tulis. Kan sekarang kes kecurian alat tulis. Saya bagi kat pengawas tu tadi. Tapi saya tak nampak pulak siapa yang letak bekas tu kat tangga.”
“Ye ke. Pencuri tu kena tangkap lah nanti. Haaa. Ni yang kamu minta.”
Ustaz menyerahkan sehelai kertas kepadaku. Tertulis satu ayat al-Quran dan maksud dalam bahasa rumi yang bertulis tangan menggunakan tinta pensel. Nampak kemas dan cantik tulisan nya. Mudah untuk aku baca kelak.
“Terima kasih Ustaz. Boleh amalkan selalu lah ye ustaz?”
“Amal je la bila bila nak. Tapi jangan lah kita menganggap apa yang kita baca ini semata-mata kita hendak bermimpi berjumpa baginda. Tapi cukup lah sekadar mengingatkan kita akan dirinya, supaya sentiasa dipenuhi rasa cinta akan nya, sentiasa merindui nya, berselawat kepada nya.”
“In Shaa Allah, ustaz.”
“Bila tiba masa nya Allah akan izinkan andai itu hadiah buat kamu.”
Aku berlalu pergi, melipat helaian kertas di tangan. Helaian kertas usang yang tertulis sepotong ayat doa untuk bermimpi berjumpa Rasulullah. Itu lah yang aku pinta pada ustaz sehari sebelum kejadian. Kertas itu aku simpan sehingga aku tamat pengajian di universiti dan aku tinggalkan di dalam loker tersebut. Moga menjadi manfaat buat dia yang menemuinya.
Berkenaan mimpi itu, aku tidak menceritakan pada sesiapa, waima Ustaz sekalipun. Bukan apa, aku sendiri sukar mempercayainya.
Malu rasa mengatakan cinta
Kepada nya Kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa
Mainan tidurkah? Kerana aku ini insan hina penuh dosa. Siapa aku untuk layak?
Tapi ustaz juga pernah memberitahuku.
Daripada Abu Hurairah RA katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bermimpi melihat aku sesungguhnya ia akan melihat aku di waktu jaga atau seolah-olah ia melihat aku semasa jaga, kerana syaitan tidak akan dapat menyerupaiku.”
(Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)
Tujuan aku berkongsi di sini juga sebenarnya agar dilorongkan urusan aku dalam mencari Ustaz Khaidir yang berasal dari Kelantan. Sudah lama aku cuba menjejakinya tapi belum rezeki dan jodoh. Moga Ustaz dan keluarga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan dunia dan akhirat di mana sahaja ustaz berada.
Terima kasih semua. Semoga kita semua tergolong dalam golongan umatnya yang akan bersama sama dengan baginda di syurga kelak.
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku tatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mata ku
Kerana pancaran ketenanganmu
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku kucup tangan mu
Moga mengalir keberkatan dalam hidupku
Untuk mengikut jejak langkah mu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah ku tatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu pada mu
Allahumma solli ala Muhammad Ya Rabbi solli alaihi wassalim.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
kenapa macam pening aje lepas bace
sedihnya..citer awak
semoga dipermudahkan segalanya utk awak
Sakitnya difitnah sbb saya pernah merasainya bertahun2.. Hanya sabar dan redha shj lah penawarnya. Smg dipermudahkan urusan awak menjejaki Ust. Khaidir
Sakit jugak aku kena fitnah nak rampas laki org…lepas tu suami isteri puaka tu sihir aku dan ank2…aku dan ank2 kena tumbuk cara ghaib…ank aku sampai muntah keluar d***h..ada suara kacau aku dan ank sulung..ank sulung aku diugut kena tumbuk kalau pergi sekolah..dihantar mcm2..dah 2 tahun dah..padahal aku tak kacau pun diorg laki bini…diorg laki bini nk buat aku 3 beranak sakit dan hidup huru hara..hanya Allah tahu perasaan aku..dekat 2 tahun kami diganggu Allahu…Nasib ustad merawat kami nasihat..sabar..jgn balas..ni semua saham akhirat…cukup masa diorg dpt kifarah
amalkan baca bismillah 7. amalkan selawat tafrijiyyah. sentiasa beristighfar. semoga Allah mudahkan urusan akak.
baru tadi tazkirah di office, ustaz cakap sentiasa lah berdoa if nak jumpa nabi muhamad dalam mimpi kita, sekiranya benar cerita awak ni, bertuahnya awak jadi insan yang terpilih..