Aku mengeluh panjang melihat timbunan kayu di satu sudut di luar kawasan rumahku. Kayu tersebut berasal daripada dinding-dinding dan tiang surau lama hadapan rumahku yang diruntuhkan untuk proses renovation. Surau yang baru dibina semula ini mempunyai dinding batu dan cermin gelap, ditambah juga dengan beberapa pendingin hawa untuk menyejukkan makmum dan iman di kala solat fardu.
Sewaktu pembinaan dan renovation surau tersebut, memang abang aku ambil beberapa batang kayu dan beruti daripada surau tersebut setelah mendapatkan kebenaran daripada kontraktor yang juga merupakan ahli jawatankuasa surau itu. Sudah tentu dia berikan memandangkan kadangkala, kayu-kayu yang sudah lama itu hanyalah dibuang sekiranya tiada sesiapa yang ingin mengambilnya.
Jadi, daripada biarkan sahaja kesemua kayu tersebut mereput terkena dek hujan dan panas, baiklah menggunakan kayu tersebut untuk membina pondok kecil atau tapak semaian pokok. Itulah hasrat utama abang aku sebenarnya.
Ala, tapi kau orang faham-fahamlah orang lelaki kan, kadangkala punya lah banyak projek yang difikirkan, tetapi semuanya bersifat hangat-hangat tahi ayam sahaja. Hujungnya, kayu-kayan tersebut terbengkalai dan naik dek semak samun serta pelbagai haiwan daripada sekecil-kecil lipan dan cicak sehinggalah tikus.
Masuk bulan keenam kayu tersebut di situ, aku makin runsing melihatkannya. Masakan tidak, aku memang tak suka kawasan rumah aku serabut macam tu. Dengan zink buruknya, plywood, dan beberapa batang beruti setinggi 2.5 meter. Dalam hati aku memang aku rasa aku perlu melakukan sesuatu kerana apabila tikus mula bersarang, sudah tentu haiwan pemangsa juga mengambil keputusan untuk masuk ke dalam rumah. Ada masuk ular tedung sekejap lagi, tak ke naya.
Beberapa hari selepas itu, dengan berpandukan video Youtube dan lakaran yang aku buat, maka tercetuslah idea untuk aku naikkan sebuah pondok yang beratap, sesuai dijadikan tapak semaian sayuran atau pokok-pokok yang lain.
Aku bawa wheel-barrow yang aku pinjam daripada jiran aku dan mulai mengemas daripada waktu petang sehinggalah waktu Maghrib. Malam kedua, aku ambil “angle-grinder” yang baru aku beli. Aku p****g-p****g kayu tersebut mengikut spesifikasi pondok yang aku ingin lakar. Bunyi mesin tu memang kuat dan pada masa itu, aku memulakan kerja tersebut seawal 7.30 pagi. Memang bisinglah, tapi baguslah, waktu sebegitu kan tak elok kalau tidur.
Setelah masuk ke hari yang ketiga, aku membawa kayu-kayu yang sudah pun d******g ke sebelah kiri rumah aku di mana itulah pelan asalnya. Satu- satu sendi kayu aku pasang menggunakan skru, Tapi, aku mana pernah ada pengalaman jadi tukang kayu. Semua aku rujuk di internet. Habis sahaja kerja, pasti aku akan terbongkang membuta.
Akan tetapi, pada malam ketiga itulah aku rasa lain macam. Maksud aku bukan macam malam-malam yang biasa. Aku pula tinggal berseorangan di rumah ketika itu. Mata aku memang terkulai layu, namun, aku tak boleh hilangkan rasa dan perasaan seolah-olah ada mata yang memerhatikan diri aku.
Jam 11.30 malam, telinga aku menangkap bunyi ketukan cermin tingkap di sisi aku. Aku tak berapa nak sedar lagi ketika itu, dan aku pun susah nak bezakan adalah itu mimpi atau hanyalah sekadar khayalan…
“Li….Li… aku lapar”
Aku bingkas bangkit daripada katil. Aku betul-betul terkejut kerana suara tersebut amat dekat dengan telinga aku. Aku cuba mendiamkan diri, memerhati sekeliling bilik tidur yang gelap dan cuma di sinari oleh lampu daripada rumah jiran ku. Setelah beberapa minit, aku mengambil nafas lega kerana pada tanggapan aku. Itu hanyalah mainan tidur sahaja.
Aku kembali meletakkan kepala di aku di atas bantal. Fikiran aku menerawang, namun badan aku terlalu letih. Aku tak sedar aku terlena semula.
Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan cermin tingkap memang kuat menyebabkan aku terus bangkit sekali lagi. Aku mendiamkan diri, perasaan aku, seolah-olah memang ada benda berdekatan dengan aku. Aku diam, masih keliru, bunyi yang aku dengar itu daripada mimpi atau memang realiti. Ada perasaan marah juga dalam diri aku kerana tidur aku terganggu pula dengan bunyi-bunyi sebegitu rupa.
Tok! Tok!
Aku terkejut lagi. Kali ini memang aku pasti, memang ada sesuatu atau seseorang mengetuk tingkap bilik aku. Tindakan aku ketika itu adalah dengan terus bangun dan memetik suis lampu di luar bilik aku dan membuka tingkap. Sehingga kini aku pelik bagaimana aku boleh jadi begitu berani, mungkin deruan adrenalin yang memenuhi d***h menyebabkan aku berkelakuan sebegitu tanpa sempat berfikir.
Aku perhatikan sahaja bahagian luar rumah aku, namun, tiada apa-apa yang aku nampak. Hanya deruan angin sepoi-sepoi bahasa yang masuk menerjah ke tingkap dan meraup muka aku. Setelah aku menarik nafas yang panjang dan cuba untuk jadi berani, aku menjerit dengan kuat,
“Siapa di sana? Hoi!!”, tetapi tidak berjawab. Jeritan aku itu adalah untuk menakutkan sesiapa yang berada di luar sana seperti pencuri, atau mungkin kucing liar. Tiada jawapan atau bunyi-bunyi yang lain selain daripada bunyi cengkerik serta gesekan di antara daun-daun pokok di sekeliling rumah aku yang terbuai-buai ditiup angin.
Sebelum ini, sejujurnya aku mengaku bahawa aku ni merupakan seseorang yang agak skeptikal dengan makhluk-makhluk halus ini. Memang sekiranya aku dapat pesakit yang meracau-racau ibarat terkena rasukan syaitan, aku terus berpendapat pesakit demikian sedang berhalusinasi, atau mungkin mengambil dadah terlarang yang menyebabkan dia berkelakuan sebegitu.
Tetapi malam tu lain dan memang aku dengar dengan telinga aku sendiri bunyi-bunyi gangguan tersebut. Selepas beristighfar beberapa kali, serta membaca ayat kursi, aku rasa tiada apa-apa pun. Mungkin aku berkhayal, dan ironinya, aku mulai skeptik dengan diri aku sendiri. Aku memetik suis lampu di luar bilik yang aku tidur, maklumlah aku ni memang spesis yang tak boleh tidur apabila lampu terpasang.
Tatkala lampu tersebut terpadam sahaja, aku terlihat dengan mata kepala aku sendiri bahawa terdapat bayangan di luar bilik. Ianya berbentuk macam satu lembaga, setinggi melebihi 3 meter dan berdiri betul-betul di luar tingkap bilik tidur aku. Memang aku nampak outline bayang-bayangnya yang menunjukkan panjang tangannya dan kakinya yang tidak simetri macam bentuk badan manusia.
Aku menjerit, “Hoi, siapa tu!” sambil menghidupkan semula suis lampu dan membuka pintu. Tiada apa-apa kelihatan, sama seperti tadi. Senyap sunyi sahaja. Aku cuak, namun aku masih lagi berada di dalam kawalan. Aku mula membaca ayat-ayat suci yang aku hafal. Aku baring semula dan membiarkan lampu bilik tidurku terpasang sahaja malam itu.
“Li, aku lapar, aku nak nasi. Ni lepas kau alih rumah aku, aku tak ada tempat nak tidur, aku tak ada tempat nak masak dan nak makan, aku lapar, bagi aku masuk”…
Itulah ayat terakhir dalam mimpi aku yang aku ingat sebelum aku dikejutkan oleh bunyi satu dengusan yang sungguh kuat di telinga aku macam bunyi anjing bernafas. Memang aku terjaga dan akhirnya aku membatalkan sahaja hasrat untuk tidur kembali.
Aku menghantar teks mesej kepada rakan sekolahku, Ustaz Aziz (Bukan nama sebenar) pada jam 4.30 pagi itu juga. Dia salah seorang ustaz yang bekerja di pejabat agama Muar. Aku inginkan nasihat, dan penjelasan namun, aku perlu tunggu jam 10 pagi esok.. Memang apa yang aku pelajari, daripada segi common sense, daripada segi logik dan saintifik, tak tercapai fikiran aku tentang perkara yang berlaku malam tu.
Ternyata perbuatan aku mengalihkan timbunan kayu-kayan di belakang rumah ku mengundang gangguan daripada makhluk halus. Masakan tidak, mengikut Ustaz Aziz, ada kemungkinan makhluk tersebut dah menetap di situ buat satu masa yang agak lama. Aku pula, sesuka hati mengalihkan “rumah”nya, dah dia memerlukan aku untuk dia hidup.
Ustaz Aziz mengajar aku kaedah untuk memagar rumah tersebut iaitu melaungkan azan sebanyak 7 kali, selawat dan baca ayat kursi 7 kali di setiap sudut rumahku dan selawat. Memang banyak, masakan tidak, rumah aku bukan berbentuk petak, dan ada 8 sudut kalau diikutkan. Tapi aku tak sanggup diganggu lagi, dan aku membuat perancangan nak buat terus setibanya aku di rumah nanti.
Namun, aku ni pemalas, dan suka menangguh. Balik daripada berjumpa ustaz, aku pergi ke kedai mamak pula, kemudian ke kedai runcit, dan jam 10.00 malam baru aku tiba di rumah. Aku meletakkan beg di atas kerusi, dan duduk sambil menskrol Facebook aku.
Ketika itu, aku tiba-tiba terasa telinga aku dihembus nafas yang kuat. Cukup kuat menyebabkan aku tersentak dan terus berdiri. Kali ini aku cepat-cepat buat apa yang ustaz Aziz sarankan. Azan, bacaan ayat Kursi dan lain-lain.
Sebenarnya, kewujudan makhluk ini sedikit sebanyak boleh memberi kesan fizikal terhadap manusia. Namun aku bersyukur. Benarlah apa yang ibu aku selalu kata, dulu, zaman arwah ayah hidup lagi, beliau sudah pun “memagar” rumahku. Itulah sebabnya gangguan demi gangguan selalunya berlaku di luar rumah, dan paling-paling pun, hembusan nafas daripada luar cukup untuk tiba di telinga ku malam itu.
Mungkin “pemagaran” rumah harus dilakukan dengan lebih kerap. Manakan tidak, kalaulah kata makhluk tu bertindak untuk masuk ke dalam rumah, memang sikit sahaja perkara yang boleh dilakukan untuk menghalaunya keluar. Ini merupakan kisah benar dan sahaja berlaku lebih kuran setahun yang lepas. Harap kalian dapat mempelajari sesuatu dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada aku. Inilah yang apa orang Melayu panggil “Ketegur” atau “Keteguran”
#truestory #GenArt #horrorEx #iHorrorex #ihorrorart #ketegur #keteguran..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Good sharing. rasanya brader ni pernah buat sharing tentang depresi dekat salah satu platform perkongsian artikel. Aku pernah baca tulisan tu, and suka baca cara penulisan bro dan perkongsian bro yang ringkas tapi padat. Ayat pun senang faham.
Teruskan menulis 🙂
like it and good job for writer.