Kisah Aku dan Nenek

Assalamualaikum kepada semua para pembaca Fiksyen Shasha yang sudi meluangkan masa untuk membaca coretan kisah hidup keluarga aku dan adik beradik aku yang seramai 7 orang hahaha. Aku anak nombor 6 yang pasrah serta redha ada adik beradik yang ramai dan pastinya lain lain perangai.

Aku bukan nak kata apalah memang mama aku rupa dia helok sampai ayah sikit lagi nak buat team bola sepak melalui anak anak dia. Tapi hasrat ayah tak tercapai bila adik perempuan bongsu aku pulak yang keluar sebagai anak yang ketujuh hahaha.

Family belah ayah aku ni complicated jugaklah asal usul dorang. Opah dan Atuk aku ni (ibu ayah bapak aku) dorang Chindian. Atuk aku berbangsa Tamil manakala Opah aku berbangsa Cina. Atuk aku ni dari zaman dia muda mudi dia dah minat betul dengan agama Islam.

Masa Atuk aku couple dengan Opah aku pun, Opah aku dah sedia maklum akan Atuk aku yang bila bila masa je dia akan memeluk agama Islam. Begitu jugak dengan Opah aku. Senang kata tiada paksaan lah masa dorang nak peluk islam. Fast forward selepas dua tahun mereka berdua peluk islam, mereka pun selamat diijab kabul kan. Masa Opah aku sendiri cerita benda ni kat aku dan abang abang aku, sungguh aku rasa terharu sangat sangat.

Atuk dan Opah betul betul mengamalkan sepenuhnya tentang agama islam. Aku cakap kat korang memang bertuah siapa yang dapat mak ayah mertua macam Atuk dan Opah aku ni. Dari anak anak membawa ke ipar duai semua cukup senang sekali dapat mertua macam dorang. Sifat beliau yang tak pilih kasih tu lah yang buat semua senang dengan mereka berdua. Alhamdulilah sehingga sekarang umur mereka masih panjang dan masih sihat walafiat.

Tapi lain pulak dengan Nenek aku belah mama hahaha. Nenek aku ni dia tegas dan garang dalam pada masa yang sama dia kelakar. Kau tahu tak kelakar garang macam mana? Dia garang membebel 24 jam tapi kita orang tak rasa terbeban pun dengan bebelan dia tu sebab Nenek aku tu dia kelakor orangnya hahaha. Arwah atuk aku telah pun pulang ke rahmatullah bertahun lamanya. Al Fatihah.

Maka tinggalah Nenek aku bersendirian di rumah kampungnya. Jenuh dah mama ajak dia tinggal kat KL langsung dia tak nak ikut. Kalau balik KL kejap tak betah dia nak duduk lama sikit. Berkeras dia nak balik cepat kalau mama sengaja buat buat lupa nak hantar dia balik kampung hahaha. Katanya kawan dia kat sana siapa nak bagi makan?

Aku pun si bijak pergi tanya Nenek aku.

“Kawan yang mana ni satu ni Nek? Nenek ada ke kawan?”

Selesai je aku mengajukan soalan tersebut satu cubitan yang agak memeritkan hinggap di perut aku. Oh mama yang berada di sebelah yang telah mencubit aku. Aku macam apa salah aku? Part mana yang aku salah tanya? Terkebil kebil sebentar aku yang ketika itu kecil dan tidak mengerti apa apa.

“Acu nak member dengan kawan Nenek? Balik kampung nanti Nenek kawan kan Acu dengan kawan kawan Nenek ye.”

Spontan dan selamba je Nenek aku cakap macam tu sambil geram diperhatikan oleh mama. Mama aku yang super garang tarik aku ke dalam bilik berdekatan sambil ceramah aku kaw kaw dan bagi aku peringatan yang maha dasyat untuk aku. Mama membebel kata aku banyak mulut lah apalah. Sempatlah dia pulas baik punya perut pakej dengan pulas telinga aku yang tak ada kena mengena langsung hahaha. Sikit lagi nak terputus telinga aku.

Aku punya degil tak puas hati pergi tanya mama aku apa salah aku? Aku tanya pasal kawan Nenek je pun takkanlah tak boleh langsung. Rupa rupanya kawan yang di maksudkan Nenek aku tu bukan biasa biasa punya kawan Nenek aku berkawan weh hahaha.

Puas lah mama cerita sampai A ke Z nak bagi aku faham punya pasal. Mama aku cakap sekali kau dah bertanya macam tu Nenek akan fikir kau berminat nak berkawan dengan kawan kawan dia yang bukan kaleng kaleng tu hahaha. Serta merta aku dilanda seram sejuk walaupun ketika itu cuaca panas terik kat luar tu. Tahulah aku ketika itu siapa sebenarnya “kawan kawan” Nenek.

Teringat pulak kisah aku balik kampung Nenek dahulu kala. Aku senyap je tak bagi tahu siapa pun pasal cerita ni sampai sekarang. Aku masih takut dipulas oleh mama kalau aku bagi tahu beliau pasal kes yang agak berat ni. Tapi kalau aku cerita masa kes tu sedang bersiaran langsung ketika itu, aku rasa ada anggota badan aku yang bakal hilang hahaha. Tak lama je mama aku cerita pasal kawan Nenek tu aku macam tak ada apa sangat pun bila jumpa Nenek.

Aku berlagak biasa macam tak takut langsung dengan apa yang mama cerita. Mama dah warning aku awal awal jangan nak babitkan diri dengan Nenek bila Nenek mula sembang pasal kawan kawan dia. Mama cakap lagi kalau Acu tak nak rasa 5 kali ganda sakit kena pulas Acu cubalah. Memang aku rasa lagi gerun kena pulas dengan mama dibandingkan cerita pasal kawan Tok hahaha.

Dah nama pun budak kan benda yang ditegah itulah yang aku nak cuba sambil pesan kat diri,

”Ala takpe sekali seumur hidup je.”

Sekali seumur hidup tu la yang hampir menghuru harakan hidup aku hahaha. Korang tahu apa aku buat? Aku dengan muka paling selamba pergi serah diri kat Nenek tanya pasal kawan kawan dia. Excited teruk Nenek aku bila aku tanya pasal kawan dia tu hahaha.

“Acu toksah cerita pada mama Nenek bawak Acu datang sini. Nanti mama Acu smackdown kita dua.”

Aku hanya menganguk faham dan ikut Nenek pergi ke suatu kawasan berdekatan dengan kebun Nenek. Dekat je weh tak sampai beberapa minit. Kat sana ada sebatang sungai yang tersangatlah cantik dan tak pernah aku jejak selama aku balik kampung Nenek. Aku terpegun dan dalam pada masa yang sama aku tak puas hati dengan Nenek kerana merahsiakan akan sungai ini dari pengetahuan aku.

Aku tak pasti abang abang aku tahu ke tak pasal sungai ni kalau dorang tahu memang dengan dorang sekali aku bakal berdendam hahaha. Lupa nak bagi tahu waktu yang Nenek ajak aku melawat sungai ni waktu senja pulak tu. Mama dan papa dan abang abang yang lain semuanya pergi rumah Mak su. Rumah Mak su aku tu dalam kawasan kampung Nenek aku tu jugak.

Aku ditinggalkan kerana aku tidur petang tu dan aku dapat tahu mama tak kejut aku sebab tak sampai hati nak kejutkan aku dari tidur hahaha. Yang aku pulak boleh nak balas dendam kat mama sebab tak kejutkan aku sekali bawak pergi rumah Mak su. Oleh kerana itu aku ingin membalas dendam kepada mama dengan mengajukan soalan yang mama larang sekeras kerasnya kepada Nenek.

Nakalnya aku weh masa kecik huhu dan aku masih rasa bersalah yang teramat sehingga kini. Mama bukan nak kongkong ke apa dia buat begitu sebab nak melindungi diri aku je. Nenek aku pun tak ada lah kejam sangat nak kawankan aku dengan member member dia tu. Dah aku yang beria tanya dia pasal member dia tu mana Nenek aku tak excited hahaha.

Okay berbalik kepada cerita Nenek angkut aku pergi sungai tu. Memang aku terkesima habislah dengan panorama sungai pada waktu senja tu. Aku masa tu masih tak tahu tujuan Nenek aku bawak aku ke situ untuk apa dan aku malas nak ambil tahu hahaha. Budak budak kan memang seronok lah dia kalau dapat main air.

“Acu mari sini datang dekat dengan Nenek.”

Mulut Nenek aku masa ni terkumat kamit sambil mata dia tak lepas pandang kiri kanan. Dalam hati aku apa benda orang tua ni sedang lakukan? Aku hanya positif sahaja dan hanya mengangap Nenek tengah baca doa halau nyamuk. Dengan asap bagai dah macam bakar sampah pulak kat situ.

“Acu Nenek nak pesan sikit ni kalau jumpa kawan Nenek tu jangan terkejut. Nanti dia….”

Belum sempat Nenek aku nak habiskan ayat dia tu aku terus tak dengar sepatah haram apa yang Nenek cuba nak sampaikan. Aku jadi pekak dan bisu dalam pada masa yang sama. Aku boleh tanya lagi Nenek aku apa yang dia cakap? Sebab aku langsung tak dengar apa apa. Tapi aku nampak mulut Nenek aku seakan akan sedang bercakap dengan aku. Masa aku cakap tu pun aku tak dengar langsung apa yang keluar dari mulut aku.

Sah lah yang aku kini dah jadi pekak dan bisu. Aku pun apa lagi terus meraung kat situ jugak hahaha. Panik lah orang tua tu dah kenapa dengan budak ni. Masa tu jugak lah Nenek aku dukung aku yang terlebih comel ni balik. Aku yang tengah asyik meraung berhenti sekejap menangis.

Mana taknya terkejut punya pasal Nenek aku dengan senangnya dukung aku macam bawak kotak. Peh laju beliau angkat aku. Tahu tahu je dah sampai rumah. Handal betul orang tua ni ye. Bapak aku pun mengah nak dukung aku. Senang cerita memang payahlah kau nak nampak bapak aku dukung aku hahaha.

Nenek aku ni kepala otak dia pun boleh tahan geliga jugak. Baik baik kita orang keluar ikut pintu depan, dia yang tengah panik dukung aku meluru masuk belakang rumah. Masa tu jugaklah kelibat kereta ayah baru balik dari rumah Mak su. Oh takut mama dan ayah nampak lah ni.

Nampak je mama dan ayah kat beranda rumah yang seolah tengah dok bercakap dengan aku, aku apa lagi makin kuatlah aku meraung sebab aku masih tak dengar apa apa. Yang mama aku pulak boleh siap dodoi aku bila dengar aku meraung kuat. Nenek aku pulak jangan cakaplah dia buat bodoh macam tak tahu apa apa weh hahaha.

Aku yang kecil ketika itu masih tak tahu nak bagi tahu mama dan papa apa yang tengah jadi kat aku. Mama dan ayah hanya mengangap aku menangis biasa sahaja. Bila mama tanya aku, aku hanya mampu menangis. Mama buat muka pelik. Lepastu mama panggil abang long Azfar iatu abang sulung aku.

Mama suruh Abang long tengok apa benda yang dah jadi dekat aku ni. Aku masih tak mampu untuk dengar apa apa. Aku dapat agak dari butir mulut percakapan mama, mama sangat risau akan aku. Mama dah mula risau dan sikit lagi nak menangis. Aku nampak mama menjerit memanggil abang abang aku yang lain.

Maka berkumpul lah kesemua abang abang aku untuk melihat adik dia yang dah jadi oku tanpa seorang pun sedar huhuhu. Aku sayang abang abang aku weh hahaha masa ni nampak betul dorang ambil berat pasal aku. Ada yang berlari pergi ambilkan segelas air masak, belai rambut aku, lap air mata aku, cuba pujuk aku dan ada yang dok ajak gurau senda dengan aku pun ada hahahaha tapi memang tak lah aku nak melayan gurauan mereka tu.

Aku masih begitu tak dengar apa apa yang mereka bualkan. Tak lama tu ayah kumpulkan mereka semua untuk solat isyak. Aku hanya terbaring layu kat pangkuan mama. Kesian mama masa ni. Tak betah dia nak tinggalkan aku sendirian. Ye la mesti lah dia pelik aku yang banyak cakap tetiber tak boleh nak cakap langsung. Akhirnya aku keletihan yang teramat sangat dek menangis tak henti henti dan akhirnya aku tertidur.

Ketika itulah aku bermimpi sesuatu yang agak pelik dan sehingga sekarang aku masih ingat bulat bulat mimpi tersebut. Mimpi tu membawa aku ke sungai yang aku pergi bersama dengan Nenek. Kat sana ada seorang Pak cik tua beruban penuh dengan jambang memenuhi mukanya. Pak cik tersebut berpakaian seakan batik tapi aku hanya dapat melihat beliau separuh badan sahaja. Keadaan ketika itu samar samar.

Tak jelas langsung tapi memang aku nampaklah gerangan seorang Pak cik tua dalam mimpi tersebut. dengan rambut panjang dilepaskan.. Di tangannya terdapat sedulang besar berisi barang yang aku tak pasti apa benda ada kat dulang tu.

Sempat dia berpesan kat aku jangan beritahu sesiapapun yakni Nenek, Mama dan Ayah pasal aku jadi bisu dan pekak ini. Katanya lagi ini hanya sementara. Dia hanya mahu menyelamatkan aku dan adik perempuan ku. Aik adik perempuan aku? Dan atas sebab itu lah dia terpaksa melakukan ini semua.

Setakat itu sahaja mimpi tersebut dan aku pun terjaga lalu mencari mama aku. Oh mama di sebelah aku rupanya huhu.

“Acu! Acu dengar tak mama cakap apa ni? Acu tolonglah nak. Kau je lah satu satunya anak lelaki montel aku Acu. Mama dah tak larat nak beranak lagi. Acu tolonglah mama Acu. Kesian kat mama Acu.”

Teresak esak mama menangis tapi dalam pada masa yang sama aku rasa kelakar bila mama cakap macam tu. Anak lelaki yang montel? Hmm. Aku nampak abang abang aku semua tak tidur lagi dan terus datang dekat dengan aku. Macam macam soalan aku terima dari dorang.

“Apa mama mengarut ni? Acu hidup lagi la.”

Spontan ayat tu keluar dari mulut aku sebelum kepala aku kena rembat dengan Angah. Mama aku terkebil kebil bila dengar suara aku. Dia tak sangka aku akan dapat dengar balik suara dia. Menangis lah mak aku sambil berpelukan dengan ayah aku. Tak lama tu sesi interview bermula. Along dan acik dok gomol perut aku yang angah pulak dok usap rambut, abang abang aku yang lain menanti penuh debaran untuk tahu apa yang jadi kat aku sebenarnya.

“Begini ceritanya. Ketika Acu.”,

Tak sempat aku nak sambung kisah aku jadi OKU tu tiba tiba abang aku yang no 4 dah tempeleng kepala aku. Dia marah sebab aku main main nak cerita. Padahal aku nak sedapkan jalan cerita je, tak pasal pasal kena tempeleng.

Mama aku balas balik tempeleng tersebut kepada abang aku no 4 tu. Aku puas dan aku sudah bersedia untuk kembali menyambung cerita. Tapi sempat d******g oleh Nenek aku yang superrrr kuat u. Dah lah superr kuat superr laju pulak tu.

“Acu meracau tadi. Tidur senja. Kat sini tidur senja mana elok. Hang tak bawa budak ni ikut sekali. Budak budak tidur waktu senja memang depa suka.”

Cubaan untuk menyalahkan ayah dan mama aku dalam kes berat aku ni. Aku pun macam oh yelah mungkin betul jugak tu cakap nenek. Tapi aku pelik lah kenapa nenek tak petik langsung pasal dia ada dok bawak aku pergi sungai tu.

Nenek aku tak petik langsung. Dia cakap hat tu je. Mungkin nenek aku pun takut kantoi dengan mama aku yang superr garang tu. Aku pun iya kan je lah sebab aku pun malas nak cerita sebenarnya. Nanti aku cerita tak semena mena aku pun kena tempeleng dengan mama sebab ikut Nenek pergi ke sungai.

“Pah takut bonda. Luruh jantung Pah ni anak Pah jadi OKU tiba tiba. Alhamdullilah lah semua yang baik baik je.”

Persoalannya apa jadi kalau aku cerita yang sebenar benarnya pada mama aku? Adakah aku masih akan dihambat oleh mama? Wallahualam.

“Along pernah pergi sungai cantik belakang rumah nenek tak?.”

Soalan aku bikin abang aku mengerut dahi petang tu. Tiba tiba terlintas soalan tu untuk aku tanyakan pada abang aku. Macam tak aci lah kalau abang aku tahu pasal sungai tu tapi dia tak pernah ajak aku sekali.

“Hang mengarut apa ni setan? Celah mana sungai hang? Situ kan kebun Nenek. Gila punya budak.”

Misteri sungguh kan? Ya memang misteri. Bila aku tanya Nenek aku pasal ni, dia tak nak layan aku dan cuba tukar topik pasal drama tamil mana dia nak layan hari ni. Tapi sebenarnya memang sungai tu tak wujud pun kat belakang kebun Nenek aku. Tapi aku musykil sama sekali bila Along cakap…

“Ada pun sungai 5 kilometer nak ke pekan hujung tu.”

Aku macam… Takkanlah Nenek aku super laju nak angkut aku pergi sungai jauh jauh tu. Sumpah aku tak boleh brain langsung. Sebab aku tak rasa jauh pun masa pergi sungai tu. Dekat gila pulak tu dengan kebun Nenek aku. Macam sebelah menyebelah je. Mustahil lah Nenek aku boleh angkut aku yang montel tu balik dengan kadar segera.

Masa tu aku noob makanya aku fikir ada sungai kat belakang kebun Nenek aku. Padahal sebenarnya tak ada pun. Sebab sekarang aku dah dewasa puas jugak aku cari balik hat mana sungai yang aku pernah lepak tak sampai berapa minit dengan Nenek aku tu. Entahlah aku boleh sewel seketika bila fikir pasal benda ni hahaha.

Lepastu kat suatu kawasan berhampiran dengan store usang milik arwah Atuk aku, kat situ popular dengan kawasan tapak askar Jepun. Hahaha kalau aku petik nama arwah atuk aku dan kat mana lokasi kampung aku mesti ramai yang tahu. Yang tahu tu diam diam je lah huhu.

Kisah askar Jepun ni paling popular kat kampung aku. Nenek aku famous weh sebab dia dok bagi askar Jepun makan setiap tengah malam Khamis. Bekas makan tu pulak semuanya bekas zaman Jepun dulu.

Nenek aku pernah dok buli askar askar tersebut dengan beri bekas baru, hah kau malam tu Nenek dan Pak cik aku tak tidur lena dibuatnya. Dok kawat pagi buta tanda protes kat Nenek aku. Katanya berang bagi makanan kat bekas lain. Tapi rutin tu seingat aku Nenek aku tak buat dah.

Ada masa aku akan share kat korang semua pasal askar Jepun ni. Oh ya banyak jugak kisah misteri lain yang jadi kat aku dan family aku masa zaman sekolah membawa ke zaman Univesiti. Dan jugak cerita pasal “kawan kawan” nenek aku yang ada kena mengena dengan adik perempuan aku. Musim musim kena kerja dari rumah ni aku ada lah jugak masa nak share kisah aku kat sini hahaha.

Apa pun jumpa lagi semua. Assalammualaikum.

#FazAhmad.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4]
Faz Ahmad

9 thoughts on “Kisah Aku dan Nenek”

  1. Apa kaitan mimpi kau tu dengan abang kau no.4 tu..dia ada ilmu ke?…apa kaitan adik perempuan kau dengan mimpi tu?..please cerita.aku nak tahuuuuuuuuuuuu 😂

    Reply
  2. hahaha gelak besar aku part kau jadi OKU temporary. lawak doh.
    sambung la lagi… nak tau sape sebnarnya kawan nenek u? misteri

    Reply
  3. i want to share my story,but this time i cant maybe tomorrow.
    Or the day after tomorrow? .I can share it to you tomorrow,inshaallah.
    if i had time to share it.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.