Kisah Jariah

Assalamualaikum warga FS. Semoga kalian berada di dalam keadaan yang baik-baik semuanya.


Kejadian berlaku pada pertengahan tahun 2007. Ini kisah teman sekampung aku, kawan sepermainan sejak tadika lagi. Namanya Jariah. Kisah Jariah bermula pada suatu maghrib. Maghrib itu, Jariah ditemui tidak sedarkan diri berdekatan dengan tempat pembuangan sampah yang berdekatan dengan rumahnya. Jariah segera dibawa ke hospital oleh keluarganya. Tiba di hospital, Jariah mula sedarkan diri tetapi sangat lemah. Jururawat yang bertugas melakukan prosedur biasa dan semuanya didapati dalam keadaan normal. Setelah lebih kurang sejam, Jariah dibenarkan kembali ke rumah.

Doktor pula menasihatkannya supaya hanya berehat. Mungkin kerana letih atau tertekan, kata doktor. Di rumah, Jariah memang berasa tidak berdaya. Bila ditanya apa yang telah berlaku, dia kata tidak ingat apa-apa pun. Keadaan Jariah berlanjutan sehingga beberapa hari. Hari ke lima, Jariah mula menunjukkan perangai yang pelik. Dia mula tidak tidur malam. Tidak dapat tidur katanya. Sentiasa berasa resah dan takut. Katanya, tidak tahu kenapa. Dirinya ketakutan tanpa tahu apa sebab atau punca.

Seminggu kemudian, kami sekampung kecoh. Keadaan Jariah semakin melarat. Dia kerasukan. Aku rasa itulah perkataan yang sesuai. Pada kebanyakan masa, Jariah bukan lagi dirinya terutamanya pada waktu malam. Pada malam hari, Jariah berubah menjadi seorang tua. Maksud aku, posisi badannya, suaranya dan tingkah lakunya. Badannya membongkok seperti orang yang amat tua. Berjalan ke sana sini di ruangan rumah dengan perlahan-lahan. Berhari berlalu, Jariah mula kerasukan pada waktu siang. Makan pakainya sudah tidak diperduli. Tepatnya, Jariah tidak mampu menelan makanan biasa. Dia mula memakan kekabu bantal. Berselera sungguh dia.

Pada waktu yang sama, Jariah mula berkelakuan seperti seekor ular. Ssyyyy…. ssyyy…. dia mendesir sambil menjelirkan lidah. Selain itu, dia juga bergerak seperti ular. Keadaan bertukar-tukar berselang seli. Jika tidak kerasukan seperti orang tua, dia akan berubah menjadi seekor ular. Ya Allah, aku memang berasa tidak keruan dan sedih melihat keadaan Jariah. Badannya yang berisi dulu, tidak sampai sebulan susut dengan drastik. Ke sana sini dia dibawa berubat, tidak juga berubah keadaannya.

Mulalah tersebar pelbagai andaian orang kampung. Ada yang kata, Jariah kesampukan ketika membuang sampah di waktu maghrib. Ada yang kata, dia merosakkan tempat tinggal orang halus tanpa sengaja. Malah ada yang menyebut-nyebut nama Batu Tarik. Aku juga pertama kali mendengar mengenai batu tarik. Ceritanya, batu tarik ini digunakan untuk menjahanamkan orang. Bila orang itu telah dituju sihir dengan batu tarik, maka pelbagai entiti akan tertarik untuk menginap di badan orang tersebut.

Aku tidak tahu kebenaran dan kesahihan batu tarik itu. Malah aku pun tidak tahu versi yang mana satu betul. Yang diketahui, Jariah memang menderita sepanjang sakit. Bukan saja dia berubah menjadi orang tua dan ular, dia juga berubah menjadi seorang lagi watak yang tidak dikenali, seorang wanita lain. Jika Jariah berubah menjadi wanita ini, tiap-tiap tengah malam dia akan keluar rumah. Berjalan keliling kampung. Bila ditanya, hendak ke mana jawabnya menjemput anak balik sekolah. Dan, Jariah juga kadang-kadang akan berubah watak menjadi anak kepada wanita ini.

Sepanjang Jariah kerasukan, dia memang tidak makan minum selain makan kekabu bantal. Bila dia sedar (dalam keadaan dirinya sendiri), dia juga tidak mampu untuk makan minum. Jariah menjadi terlalu lemah sehinggakan disuakan air pun dia tidak mampu menelan. Tetapi bila kerasukan, tenaganya pula luar biasa kuat. Aku pernah melawat Jariah di rumahnya. Ketika itu dia dalam keadaan dirinya yang sebenar. Jariah berbaring di ruang tamu, tidak berdaya. Mendayu-dayu Jariah menangis bila aku duduk berdekatan dengan dia.

“Ekin, kau tengok aku. Macam inilah aku Ekin.” Kata Jariah sambil menangis. “Aku sakit, Ekin. Ya Allah.. aku redha. Maafkan aku Ekin, kalau aku ada berbuat salah dengan kau sepanjang kita berkawan. Halalkan makan minum aku juga, Ekin. Kalau aku pergi, sedekah Al Fatihah dengan aku.”

Allah… waktu itu aku kelu. Air mata saja yang merembes keluar. Aku pegang tangannya yang kecut, aku pandang tubuhnya yang kurus. Ya Allah, sembuhkanlah Jariah seperti sedia kala. Tiba-tiba Jariah bangkit duduk dalam keadaan melunjur. Aku yang terkejut mengengsot ke belakang sedikit. Mata Jariah buntang sebelum memandang ke atas siling rumah. Kecoh ayah ibu dan saudara mara yang melawatnya. Badan Jariah menjadi keras kejung. Tanpa dilihat dengan mata kasar, badan Jariah terbanting ke dinding rumah oleh tangan ghaib. Tiada suara dan tanpa riak terlihat di wajah Jariah. Dia seolah-olah seperti patung yang tidak bernyawa. Selepas terbanting ke dinding, badannya terangkat dari lantai beberapa inci. Kedengaran masing-masing yang ada di dalam rumah melaungkan Allah hu Akhbar dan ada juga yang azan.

Keadaan berlaku dengan pantas. Dalam keadaan duduk melunjur dan terapung, badan Jariah berpusing dengan laju lalu terhempas di lantai rumah. Aku yang masih di situ, terbejat. Lidahku hanya mampu membaca ayat Kursi. Kelihatan pakcik Jariah mula membaca ayat Ruqyah dan bergerak ke arah Jariah. Jariah yang tidak bergerak selepas terhempas tadi mula melentok-lentokkan badannya. Kalau kalian pernah melihat cerita lama (kalau tidak silap aku, cerita hindi) di mana watak utama adalah watak perempuan ular yang melentok-lentok menari seperti ular dipuja, begitulah Jariah ketika itu. Dia yang tadinya lemah, sudah menjadi sangat bertenaga. Ayah Jariah segera menyarankan aku agar pulang kerana risau jika keadaan menjadi di luar kawalan dan mendatangkan bahaya kepada aku. Aku agak keberatan mulanya, tetapi makcik Jariah pula segera memimpin dan menemani aku kembali ke rumah.

Hampir 3 bulan Jariah sakit. Jariah dibawa keluarga ke negara jiran untuk berubat. Pagi itu aku berada di tempat kerja ketika mak menelefon membawa khabar Jariah telah meninggal dunia ketika berubat. Suasana agak hening di pejabat. Rakan-rakan pejabat juga tahu mengenai Jariah sementelah itu cuma pekan kecil. Sedihnya, ya Allah.. tetapi aku yakin dengan takdir Allah. Jenazah Jariah akan dibawa dengan khidmat ambulan negara jiran. Selalunya banyak prosedur akan dilalui, dan jenazah biasanya akan tiba lewat. Namun rezeki arwah, semua urusan berlaku dengan pantas dan tanpa halangan. Jenazah arwah tiba sebelum tengah hari. Aku pula memohon pelepasan dari ketua untuk balik dan bersama-sama menguruskan jenazah dan pengebumian arwah. Sehingga kini, masih tidak diketahui punca sakit misteri arwah. Semoga arwah diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Terima kasih.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 3]

9 thoughts on “Kisah Jariah”

  1. Allahuakbar…
    Kesiannye…
    Camnelah deritanye perasaan mak bapak tgk keadaan anak jd camtu…
    Plg sadis part die cume blh makan kekabu tu…
    Semoga Jariah dipelihara rohnya dan ditempatkan di kalangan org2 yg beriman…
    Aamiin…

    Reply
  2. Smoga arwah ditmptkn dlm golongan org2 yg biman…
    Kesian arwah menderita…
    Al fatihah jgk utk adk sy..lebih kurang same jln citernye…bthn2 btahan melawan penyakit misteri mcm nie…?

    Reply
  3. Allah.. kesiannya arwah.. moga dtmpatkan dkalangan org brimanšŸ˜¢inalilahiwanilahirojiun… alfatihah… syurga buatmu shabatšŸ˜¢

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.