Kisah Menyeramkan Ketika di Rumah Opah

Assalamualaikum FS..

Saya nak share kisah-kisah yang berlaku semasa saya masih bersekolah rendah dan sekolah menengah. Sekarang umur saya 25 tahun. Tapi cerita-cerita ni masih segar dalam ingatan saya. Yelah benda seram-seram ni sampai mati pun kita ingat huhu.

Cerita ni bercampur-campur tempat so saya nomborkan je senang pembaca nak baca. Kisah ni panjang sikit ye huhuhu.

1. Kisah ni berlaku di rumah opah saya. Saya ni duduk dengan opah dari kecil lagi sebab mak saya kerja kilang. Pakai shift. Takde siapa nak jaga saya so saya dihantar ke rumah opah.

Saya ada dengar orang cakap yang atuk saya ni ada saka. Tapi waktu tu saya masih bersekolah rendah. Mana la paham benda benda macam ni. Saya buat biasa je la. Saya tidur sorang sorang di bilik atas. Rumah opah saya dua tingkat tapi naik naik je terus sampai bilik saya. Kiranya atas tu khas untuk bilik saya je la.

Malam malam tidur 1 atau 2 pagi memang macam macam bunyi yang saya dengar. Sampai la saya sekolah menengah. Dengar orang baling pasir ke atas atap, dengar bunyi orang gores goreng dinding, mimpi nenek tua datang ‘melawat’ saya kat bilik tu, macam macam lagi. Kalau nenek tua muka baik suci takpe la, ni macam nenek kebayan serabai je. Rambut mengerbang tak ikat. Memang terkejut abes la saya.

Gangguan lain pulak macam malam tu saya duduk je la bilik saya yang kat atas tu sambil study. Dah larut malam la jugak. Opah tengah dengar radio kat dalam bilik bawah. Tiba tiba saya dengar bunyi pasir macam dibaling ke atas atap. Takpe rilek lagi. Lepas tu bunyi benda jatuh bergolek golek pulak atas atap zink tu. Banyak kali jugak. Perasaan saya mula mula ingatkan kucing, lepas tu macam lain macam je. Saya pun turun ke bawah dan pergi bilik opah.

Nak masuk pintu bilik tu saya cium bau yg teramat amat busuk. Bau macam bangkai reput yang sangat sangat busuk tapi tak tau apa. Tapi dekat pintu tu je. Dah masuk dalam takde bau apa apa pun. Saya patah balik ke pintu dan tercium bau busuk tu lagi. Saya tanya opah. Bau busuk apa ni. Bau kat sini je pulak tu. Kat katil takde bau pun? “Kat mana?”, opah tanya.

“Kat situ,” saya menunjuk ke arah pintu. Tiba tiba opah gelisah dan ajak saya keluar bilik. Kenapa opah? Opah kata diam, diam. Saya tanya lagi kenapa, diamlah opah kata. Kemudian opah pergi intai intai ke luar melalui tingkap.

Esoknya saya tanya opah lagi kenapa, opah cakap dia rasa kat situ macam ada ‘makhluk’ lain. Masa saya tunjuk tu tiba tiba bulu roma dia tegak dan rasa tak sedap hati. Opah kata benda kat luar dah masuk. Saya tak tanya la benda apa. Paham sendiri la kan.

Gangguan yang lebih extreme macam ada satu malam bila saya nak tidur, saya terasa seolah olah hujung jari tangan dan jari kaki saya dicuit cuit dan ditarik tarik. Lama lama saya faham. Ni dah main kasar dah ni. Saya cakap “jangan kacau aku”. Makin galak pulak dia tarik. Buka mata pandang tak ada apa pun. Tapi nampak hujung jari tangan bergerak gerak sendiri.

Ni bukan halusinasi atau mimpi. Sebab saya baca ayat Kursi lepas tu dan ulang ayat akhirnya 7 kali, ada sesuatu berlaku. Menggeletar la sambil baca tu. Tapi saya gagahkan juga baca.

Habis je baca, saya terdengar bunyi orang berlari kat bawah. Pastu bunyi bising bising orang nak buka pintu diselangi suara opah saya. Rupanya opah saya tanya atuk saya, “eh nak pergi mana ni malam malam ni” (atuk saya cuba nak keluar rumah dan opah saya tengah menghalang). Atuk saya jerit, “Aku nak keluar! Panas la panas! Panas!”

Saya terkejut. Atuk saya lari betul betul lepas saya baca ayat Kursi. Lepas tu opah pujuk atuk dan cakap tak payah la tak payah la. Tak lama kemudian atuk saya diam dan balik semula ke tempat tidur. Saya tak berani turun. Semua ni saya dengar dari bilik atas. Saya tak tahu macam mana atuk saya boleh bertenang balik lepas tu. Then saya pun mengantuk dan akhirnya tertidur sendiri.

2. Ada satu malam yang lain saya tengah lepak lepak atas toto sambil tengok tv. Waktu tu beberapa minit lagi nak dekat pukul 12 tengah malam. Opah saya cakap nak pergi buang hajat. Saya cakap okay je la.

Tandas rumah opah kat luar. Kira-kira 60 meter dari pintu belakang rumah. Biasalah waktu sesiapa pun pergi membuang pintu belakang rumah tu akan dibuka seluasnya. Saya dah mula rasa mengantuk dan mula hendak melelapkan mata. Tiba-tiba saya dengar suara opah saya panggil saya. Jelas macam opah betul-betul ada di muka pintu belakang tu.

Saya pun buka mata sebab nak tengok ke pintu tu. Tapi bila saya buka je mata, semuanya putih. Untuk pengetahuan semua, depan saya ada tv yang terpasang dan almari berwarna biru gelap yang besar. Tapi semua tu saya tak nampak. Putih je semua. Saya pelik kenapa putih je semua ni. Bukan kabur. Tapi putih betul macam kain putih. Suara tv tadi pun takde. Senyap dan putih je semua. Saya kelip mata beberapa kali masih lagi putih. Saya jadi takut. Ye lah takut macam macam la takut dah buta ke, takut saya sebenarnya dah mati ke, takut hantu pun ye juge 😁

Then entah macam mana tak lama lepas tu semua jadi normal balik. Lepas saya buka mata setelah beberapa kali kelip mata keadaan jadi macam biasa. Suara tv pun kedengaran balik. Saya pun pandang la ke pintu sebab teringat opah saya panggil tadi. Takde orang pun. Saya takde la anggap apa-apa. Mungkin opah panggil dari dalam tandas kot. Saya sambung tengok tv sementara tunggu opah masuk.

Bila opah masuk saya pun tanya la pasal tadi. “Opah ade panggil ida (bukan nama sebenar) ke?”
“Takde pun. Kenapa?”
“Aik tadi ida dengar opah panggil ida kuat sangat”
“Takde lah. Aku dalam jamban buat ape nak panggil kamu”

Okay fine opah. Sungguh stylo jawapan itu. Haha. Tapi siapa yang panggil saya tadi dan kenapa bila saya buka mata warna putih je semua?

Takpe la lepas tu saya pun bentang toto kat ruang tamu lagi satu. Bukan depan tv. Sebab yang depan tv tu ruang untuk paksu saya tidur nanti dia balik dari jumpa kawan dia. Kat ruang yang belah depan sikit. Biasala rumah kampung tambah ruang sana tambah ruang sini. Saya pun tidur la.

Tiba-tiba saya terjaga. Sebab apa entah. Tiba-tiba je terjaga. Habit saya kalau bangun dari tidur terus tengok jam. Okay pukul 3 pagi. Tiba-tiba saya dengar bunyi orang menangis. Saya pandang ke arah bunyi tu.

Bunyi tu rupa-rupanya dari paksu saya. Paksu saya tengah baring terlentang di tempat tidur dia. Tapi ada 1 makhluk berwarna hijau, badan macam wap gas angkat kepala dari kepala paksu saya. Makhluk tu renung tepat ke arah saya sambil senyum menyeringai menampakkan gigi taringnya. Sambil senyum sambil gelak mengilai.

Saya terkejut sampai tak boleh bergerak. Mata saya tetap pandang makhluk tu. Saya hampir hampir tak percaya dan ingat tu mimpi. Saya kelip kelip mata. Makhluk tu masih ada memandang saya dan masih mengilai. Rasa nak menjerit tapi tak boleh. Saya cuba gerakkan opah saya, tapi opah tak bangun. Sekadar hemm dan tidur balik. Adoi la opah. Saya dah takut makhluk bangun dan pergi kat saya. Sebab dia masih tenung saya.

Last sekali saya ambil selimut dan berselubung bawah selimut tu sambil baca ayat Kursi. Jangan la kau datang kat aku. Jangan la datang. Jangan la. Tu je yang saya fikirkan waktu tu. Sampai lah saya tertidur sendiri.

Esoknya saya bangun saya terus marah opah sebab kenapa tak bangun masa saya kejut semalam. Ye la saya dah takut sangat macam tu sampai tak boleh kawal perasaan. Then saya tanya paksu saya, “Semalam ada bangun tak pukul 3 pagi gelak gelak kat ida?”

“Eh takde pun”

“Semalam ida nampak ada benda keluar dari badan paksu dok sengih sengih pandang ida. Dah la gigi taring panjang.”

“Eh takde lah jangan nak memandai mandai”

Bila opah dengar opah cakap hemm benda kat pokok belakang tu la kot nak kacau kamu. Tu la sebelum tidur baca ayat Kursi.

Okay tu je pengalaman saya. Terima kasih sudi baca. 😊

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *