Kisah Rania

Assalamualaikum warga FS. Semoga kalian sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah. Aku ada satu kisah untuk dikongsikan untuk kalian. Maaf sekiranya penyampaian cerita agak kurang baik.
————————————————————————————————————————————————–
Rania ini aku kategorikan sebagai seorang yang menarik. Berkulit cerah kemerahan, hidung mancung, dan mempunyai lesung pipit. Ditambah pula dengan ahklak yang baik. Berbeza sikit dengan perangai aku. Tetapi dia tidak memilih kawan. Ini kisah gangguan yang dialami oleh Rania.

Gangguan pada Rania bermula pada tahun 1996, ketika dia berada di tingkatan dua. Sudah beberapa malam Rania sering terjaga pada jam tiga pagi. Terjaga kerana lolongan anjing tepat di luar tingkap biliknya. Pada mulanya Rania beranggapan itu perkara biasa kerana di kejiranan itu memang banyak anjing berkeliaran. Tetapi pada malam ke empat, Rania yang telah lena tidur berasa sesak di dada tiba-tiba. Dia tidak mampu bergerak. Dia seolah-olah berada di dalam dimensi lain yang menyerupai bilik tidurnya.

Memang Rania langsung tidak ada klu apa yang sedang terjadi. Dia masih boleh melihat sekeliling bilik tetapi tidak mampu untuk bergerak. Pintu biliknya kemudian terbanting seolah ditendang kuat dari luar. Serta merta kedengaran bahkan terasa angin menderu masuk ke biliknya. Bulu roma Rania juga serta merta berdiri. Dia ketakutan tetapi tidak mampu untuk lari kerana tidak dapat bergerak. Angin tadi berterusan berpusar dengan kuat di biliknya, dan kemudian mendapatkan Rania. Rania dapat merasakan badannya terapung dan terperangkap di dalam angin. Angin itu mengapung badannya dan semakin meninggi.

Pada waktu ini, dia perasan persekitaran di sekeliling bukan lagi di dalam biliknya melainkan ruangan kosong yang kelam semata. Secara mendadak pula angin tadi berhenti, masa seolah terhenti. Malangnya, Rania berasa semakin takut. Bukan saja kerana dia tidak mampu bergerak tetapi tubuhnya melayang jatuh dengan pantas. Jatuh, jatuh, jatuh… seolah tiada berpenghujung. Ketika itu, Rania berasa sangat gayat dan seram. Entah macam mana, Rania tersedar. Rupa-rupanya dia bermimpi. Seolah-olah macam dialami secara sedar, kata Rania pada dirinya sendiri. Kerana kelelahan, Rania menyambung tidur.

Rania tidak pernah bercerita kepada orang lain mengenai mimpinya itu. Cuma aku yang tahu. Tetapi ketika itu, aku pun sama jahilnya. Menganggap itu cuma mainan mimpi semata. Selepas itu, Rania sering mengadu kepada aku bahawa dia sering berasa sesak dan sempit di dada semasa tidur. Dia juga tidak mampu untuk bergerak. Aku pernah menyarankan kepadanya untuk memberitahu kepada keluarganya. Dia tidak mahu. Katanya, keluarga pasti mengambil ringan mengenai hal itu.

Selain itu, Rania juga sering bermimpi bahawa di seberang sungai (tempat tinggal Rania terletak berdekatan dengan sungai) ada satu perkampungan. Sedangkan kawasan itu semak belukar semata. Kata Rania, dia pun tidak tahu bagaimana dia berada di sana. Tetapi mimpinya itu sering berulang. Cuma bila ditanya, apa yang berlaku di dalam mimpi Rania menjawab ia samar-samar dan tidak ingat. Tetapi perasaan itu amat kuat.

Kemudiannya, Rania juga menerima kad-kad berbunga. Kalau tengok pada corak luaran, kad itu tentu romantis isinya. Namun ianya sebaliknya. Isi kad itu mencerca Rania. Tidak panjang isi kad itu – “Engkau umpama bau tahi.” Begitulah dia. Aku kurang pasti dengan perasaan Rania ketika itu. Seolah-olah tidak berperasaan pun ada. Tenang dan bersahaja. Malah disimpannya pula kad itu seolah kad itu diberi oleh si kekasih.

Gangguan dalam tidur sentiasa ada dan agak kerap. Sehinggalah Rania menjejak kaki ke tingkatan lima. “Aku dah biasa,” katanya. Aku pula yang berasa pelik. Aku tanyalah dengan Rania, apa yang dia buat sekiranya ditindih waktu tidur. Dia tidak takut ke?

“Takut juga. Tapi aku tak nak layan. Ada sekali tu, aku rilek sekejap, tak meronta. Aku dapat rasakan aku mengumpul tenaga dari bahagian ibu jari turun ke kaki. Aku tendang sekuat hati dan aku pun dapat bergerak.”

Aku tanya Rania lagi, dia tendang apa?

“Tendang angin saja pun.”

Kejadian menendang itu berlaku sebelum subuh, jadi Rania terus ke bilik mandi untuk mandi dan bersiap ke sekolah. Oh, aku lupa nak bagitahu. Dari mula kejadian ini, Rania belum lagi memeluk agama Islam. Jadi, memang dia tak amalkan ayat pendinding atau baca ayat-ayat suci al Quran ketika diganggu. Okay, sambung cerita.

Rania bersiap ke sekolah seperti hari-hari yang lain. Selesai bersiap, dalam jam sebelum enam pagi dia pun menunggu bas sekolah di depan rumah. Rania kehairanan juga, kenapa rakan sebelah rumah (keluarga Rania tinggal di berek kerajaan, dan keluarga Betty berjiran dengan mereka) tak muncul lagi. Selalunya Betty akan menunggu bas sekolah di depan rumah lebih awal dari dia. Sehinggalah bas sekolah datang, barulah kelihatan kelibat Betty itu pun agak lewat. Ketika sampai di sekolah, Rania sengaja bertanya kepada Betty kenapa tidak menunggu bersama tadi?

“Jam lima aku dah bangun. Dalam tengah nak bersiap itulah aku terdengar bunyi hentakan kaki dari hujung berek. Kuat dan kasar. Macam bunyi mengheret selipar pun ada. Bunyi hentakan tapak kaki itu berlanjutan ke depan pintu rumah korang. Kemudiannya, terdengar bunyi ketukan di pintu rumah korang. Kuat, bingit dan kasar. Macam nak bergaduh saja. Aku takutlah nak keluar rumah. Bila bas sekolah sampai, aku jenguk dari tingkap nampak engkau naik bas, macam tidak ada apa-apa saja. Aku pun keluar rumahlah.”

Kata Rania, dia juga tengah bersiap di waktu yang sama dengan Betty namun tidak mendengar apa-apa bunyi sekalipun. Jika kalian tahu struktur rumah berek kerajaan, tentu kalian faham. Bunyi bingit dan bising di awal pagi tidak mungkin tidak dapat didengari. Tetapi Rania tidak ingin memanjangkan cerita Betty.

Dalam jarak tahun yang dekat, Rania sakit. Sakit tapi macam tidak sakit. Aku nak terangkan pun tidak pandai sangat. Rania muntah-muntah. Muntahnya makanan yang dimakan sebelum. Dia kata, tidak sakit. Bila rasa nak muntah, dia terus muntah saja. Berbaldi-baldi. Macam tidak logik. Makan malam sekali muntahnya berlambak-lambak. Yang aku hairan juga, keluarganya ambil remeh saja hal ini. Muntah-muntah ini tidak berlanjutan. Ia sekali sekala sahaja. Sehinggalah ke peringkat, dia tidak dapat tidak muntah. Kalau tidak, kepalanya berat. Pandangannya berkunang dan berputar. Bila ke hospital, doktor bagi ubat angin. Rania tidak sakit, kata doktor. Rania memang melepek saja kalau sudah datang penyakit muntah ini.

Kisah Rania ditindih semasa tidur pula melarat sehinggalah dia melanjutkan pelajaran di sebuah universiti. Pada waktu ini, gangguan itu menjadi agak berat. Selain ditindih, Rania sering berada di dalam keadaan separa sedar tidak kira tidur malam atau tidur siang. Hendak dijadikan cerita, Rania tertidur petang di bilik asrama pada hujung minggu itu. Tiga orang rakan sebilik Rania pula belum kembali dari kampung. Terdengar bunyi orang membuka pintu biliknya. Rania hanya membuka mata seketika. Dia tahu rakan-rakan sebiliknya telah kembali ke asrama. Kedengaran riuh bilik dengan suara mereka bercerita. Rania yang mengantuk tidak mahu melayan lalu menyambung tidur. Cuma sesekali dia tersentak kerana bisingnya tiga orang rakannya itu mengemas barang sambil riuh bercerita. Tetapi, bila terjaga sepenuhnya dari tidur Rania dalam kehairanan. Kenapa sunyi pula bilik ini? Rania tidak banyak berfikir. Mungkin mereka keluar ke mana-mana pula.

Belum pun sempat Rania hendak bangkit dari katil, pintu bilik dibuka. Kelihatan salah seorang rakan sebiliknya masuk sambil menjinjing beg. Rania terdiam kerana dari gaya rakannya itu baru saja kembali ke bilik. Tidak lama kemudian, menyusul pula dua orang rakan sebiliknya. Masing-masing menjinjing beg malah membawa bekalan makanan dari rumah pula. Mungkin kerana mereka perasan wajah Rania yang pucat, lalu bertanya kenapa dengan dia.

“Tak ada apalah. Aku mengantuk.” Rania tidak mahu berkongsi dengan mereka apa yang telah dia alami.

Gangguan berbentuk menyerupai orang yang dikenali Rania mulai berlaku. Tidak mengira tempat. Tetapi cuma terjadi ketika dia tidur. Kata Rania, kadang-kadang dia dapat bezakan sama ada itu betul-betul mereka atau bukan. Kadang-kadang tipah tertipu juga, katanya.

Rania juga sering diganggu mimpi-mimpi yang menakutkan. Selalunya mimpi hantu dengan muka yang menyeramkan. Kadang-kadang keadaan menjadi terbalik di dalam mimpi. Rania pula yang menjadi hantu. Dia kata, dia dapat rasakan mukanya menyerigai dengan seram dan kejar balik hantu yang menganggunya. Okay, waktu itu aku pandang Rania dengan persoalan.. seriously? Aku nak gelak tetapi tahan saja. Mana tahu Rania betul-betul jadi hantu dan mengejar aku pula.

Tetapi, memang Rania mengalami mimpi-mimpi seram, selain daripada mimpi membuang air kecil di tandas yang kotor. Mimpi memasuki tandas kotor itu juga sering berulang. Dan Rania sering meracau. Jika dia meracau ketika tidur, dia tengah mimpi hantulah itu. Atau bermimpi dia yang menjadi hantu. Kejutkan saja Rania kalau dia dalam keadaan begitu. Dia akan segera tersedar.

Sebelum menamatkan pengajiannya, Rania memeluk Islam. Desas desus dari bekas rakan sekolah (ini aku nak tekankan, rakannya itu bukan satu universiti dengan Rania), menyebarkan cerita di kampung Rania bahawa dia mengandung anak luar nikah. Sebab itu dia memeluk agama Islam. Hitam sungguh hati engkau ya. Aku kenal bekas rakan sekolah (rakankah?) Rania itu. Rakannya itu pernah rapat dengan Rania. Orang kata, geng kamceng sekolah. Entah kenapa aku ceritakan hal ini. Tiada kaitan dengan kisah seram Rania. Baik, kita sambung kisah Rania.

Selesai pengajian sarjana muda, Rania menyambung lagi pelajaran di universiti yang berlainan. Kata Rania, paling kuat gangguan yang dia alami ialah ketika ini. Dia ditindih tetapi badan terasa terapung dari tilam. Lidah kelu sangat, katanya. Baca ayat kursi, bacaannya berterabur. Kemudiannya Rania cuma mampu menyebut nama Allah. Kasihan aku mendengarnya.

Di apartmen yang sama, Rania bercerita kepadaku. Seperti biasa dia bangun paling awal. Ketika hendak ke tandas, dia sudah berasa tidak sedap hati. Meremang bulu roma. Tetapi dia teruskan juga untuk mandi dan cuci pakaian. Akibat rajin sangat (kata Rania) dia disapa oleh sesuatu ketika hendak menjemur pakaian. Sedangkan hari masih lagi gelap.

“Boo….” Ada suara menerjah ke telinga kanan Rania. Bukan jerkahan pun. Tetapi lembut suaranya. Namun, oleh kerana Rania memang dah sedia rasa takut-takut terpelantinglah juga baldi dari genggamannya.

“Aku tak jadi jemur baju. Terus masuk bilik tidur. Aku diganggu sehingga habis pengajian di situ. Aku tak nak layan. Jadi aku bertahan tinggal di apartment tu.”

Hari terakhir di apartment universiti sebelum terbang kembali ke kampung. Ketika itu, semua rakan serumah sudah memulakan perjalanan kecuali Rania. Jadual penerbangan Rania adalah di awal pagi. Jadi, dia akan bertolak ke lapangan terbang pada waktu malam. Buat sekian kalinya, Rania solat di apartment itu. Rania solat di ruang tamu. Arah kiblat membelakangkan balkoni. Pintu balkoni adalah jenis sliding door. Ketika solat, bukan main kuat lagi pintu balkoni bergegar. Rania teruskan saja solat. Daripada mula sehingga selesai Rania solat, pintu balkoni itu tidak berhenti bergegar.

Aku hairan juga dengan Rania. Bila ditanya, tidak takut ke? Jawabnya takut. Tetapi aku lihat dia tenang semacam saja. Tapi yalah, aku tidak tahu paras mana gelora di dalam hatinya. Aku pernah tanya, dia tidak mahu pergi berubat ke?

“Aku ada rasa mahu pergi berubat juga. Tetapi setiap kali pun ada rasa berat hati juga.”
Kata Rania, semakin lama semakin kurang pula gangguan itu. Sekarang boleh dikatakan amat jarang. Ditindih semasa tidur hampir tidak berlaku lagi. Cuma sesekali, dia dapat merasakan bulu roma meremang ketika tidur. Aku ingin tahu dia buat macam mana halau gangguan itu.

“Aku tak buat apa pun. Teruskan hidup macam biasa. Cuma sesekali kalau ada rasa takut tu, sebelum tidur aku pasang surah al Baqarah sampai ke subuh.”

Setakat ini sahaja cerita aku mengenai kisah Rania. Sekadar satu perkongsian untuk kalian.

Terima kasih banyak-banyak.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

3 thoughts on “Kisah Rania”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.