Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih pada admin Fiksyen Shasha kerana sudi menyiarkan cerita aku ni. Buat para peminat kisah seram, maaf andainya cerita ini kurang menarik atau tahap keseramannya yang tidak seberapa.
Aku akan memperkenalkan diri aku terlebih dahulu. Nama aku Shikin. Aku mempunyai banyak kisah mistik yang terjadi pada diri aku sejak dari kecil lagi. So, banyaklah cerita aku nanti. Tapi, aku akan kongsikan satu persatu sekiranya karya aku ni disiarkan. Jadi, aku nak mulakan dengan kisah pertama aku.
Kisah ni terjadi masa aku di darjah 4. Aku bersekolah di SRK Puteri Pandan (1) yang terletak di Kuala Lumpur. Tahun 1995. So, korang boleh agaklah berapa umur aku sekarang kan. Hahaha. Tua dah. Sekolah tu pun dah banyak berubah susun atur bangunannya.
Aku ingat lagi waktu tu aku bersekolah di sesi petang. Kejadian ini berlaku masa matapelajaran Muzik. Kelas diadakan di dewan sekolah. Dewan sekolah ni tak besar pun. Cuma ada pentas, sebuah piano dan sebuah bilik yang menempatkan alatan muzik. Tapi, suasana tetap menyeramkan walaupun lampu dewan dibuka. Waktu matapelajaran tersebut, kami hanya berbual-bual sesama sendiri memandangkan cikgu muzik kami, Miss Tan tengah sibuk menanda kertas ujian. Tiba-tiba, kawan aku yang bernama Syahmi, ajak aku menemaninya ke tandas.
“Wei, Kin. Jom teman aku pergi tandas kejap.”
“Tak naklah. Dahlah hujan lebat ni. Takut aku.”
“Alah, jomlah. Aku dah tak tahan ni.” , katanya sambil terkepit-kepit depan aku.
Aku serba salah. Hujan lebat gila kat luar. Dengan guruh, kilat. Semua lengkap. Bayangkanlah bahagian dewan yang dekat dengan tingkap dan pintu habis dimasuki air dek kerana kuatnya angin.
“Yelah, yelah. Pergi minta pas kat Miss.”
Zaman dulu kalau nak pergi tandas mesti kena pakai pas. Ada tu siap tulis “PAS TANDAS”. Hahahahaha. Nak pakai pun malu.
“Miss, nak pas. Nak pergi tandas.”
“You mau pergi dengan sapa? Bawa sorang kawan ha. Jangan pergi sorang-sorang. Ini hujan banyak lebat. Hati-hati ya.”, kata Miss Tan dalam pelat Cinanya.
Lalu, keluarlah aku dengan Si Syahmi ni lepas dapat kebenaran. Tandas tu tak jauh pun daripada dewan. Hanya perlu belok ke kiri dalam beberapa meter je. Tapi, lencun jugalah pasal angin sangat kuat waktu tu. Tandas tu terletak di hujung koridor blok tersebut. Berhadapan dengan tandas adalah kantin sekolah. Tapi, tak ada sesiapa dah waktu tu pasal dah petang. Kantin dah tutup. Barangkali pekerja kantin pun dah pulang. Jadi, cuma ada aku dan Syahmi saja di kawasan tersebut.
“Cepatlah masuk. Aku tunggu kat luar.”
“Eh, janganlah. Tunggulah kat dalam. Aku takut sorang-sorang.”
“Hish, macam-macamlah kau ni. Nak kencing pun susah. Jomlah cepat.”, ujar aku sambil melangkah masuk ke dalam tandas.
Aku mengetik lampu tandas tetapi tidak menyala. Suasana dalam tandas agak gelap dan hanya mengharapkan cahaya matahari yang ada tak ada je disebabkan langit mendung. Aku bersandar di sinki paling hadapan. Dalam tandas ni ada lima kubikel. Sinki pulak ada enam buah dan cermin sepanjang sinki.
Syahmi masuk kubikel pertama. Aku tunggu dengan hati yang berdebar-debar. Yelah, mana tak berdebarnya. Dengan keadaan tandas yang gelap, hujan lebat kat luar, kilat berdentum-dentam. Tersentak-sentak tubuh aku dibuatnya.
“Syahmi, dah ke belum?”
“Kejap lah. Baru je masuk kan.”
Kikikiki. Memang betul pun dia baru masuk. Tapi aku nak cepat keluar dari situ. Rasa macam bila-bila masa je ada benda keluar dari kubikel hujung tu.
Tengah aku melayan perasaan seram sambil bersandar kat sinki tu, tiba-tiba….
BUUURRGHHHHH!!!!! AIR PAIP SINKI TERBUKA SENDIRI!!!
Aku time tu macam kaget. Tak boleh nak buat apa. Dan lagi nak menambahkan aku punya seram yang dah sampai tahap jantung gugur dalam perut tu, paip tu boleh terbuka satu persatu dari paip paling hujung sampai la ke paip sinki tempat aku bersandar tu. Kau rasa? Dah macam dalam filem seram Thailand tau tak. Kalau air yang keluar tu perlahan, tak apalah juga. Ini terus kuat macam pili bomba tu. Kuat dan laju seolah-olah macam dipulas habis terus. Masa tu aku tak tunggu Syahmi dah. Aku terus berlari menuju ke pintu tandas. Semasa aku sampai di depan pintu tandas, kedengaran suara kanak-kanak ketawa. Mungkin ‘dia’ mentertawakan aku sebab berjaya menakutkan aku. Aku berjalan selaju yang boleh dan masuk ke dewan semula. Terus aku duduk diam-diam di kalangan kawan-kawan aku yang lain.
“Wei, mana Syahmi?”, tanya salah seorang rakan aku.
“Ada dalam tandas lagi. Wei, korang. Aku ada benda nak bagitahu ni. Tadi kan, masa kat tandas,aku…”. Belum sempat aku menghabiskan ayatku, rakan ku berkata sambil menunjuk ke arah pintu dewan.
“Ha, tu Syahmi!”
Aku menoleh ke arah pintu dewan dan aku nampak Syahmi berdiri tegak di situ. Aku dengan rasa bersalah bangun dari dudukku dan berlari ke arah Syahmi. Tapi, belum sempat aku sampai kat tempat dia, tiba-tiba dia berlari meninggalkan dewan. Alamak, dia merajuk ke dengan aku sebab tinggalkan dia. Tapi, selamba dia je blah macam tu. Kan ke tengah ada kelas ni. Aku sampai kat depan pintu dewan, aku toleh ke kanan. Ke arah Syahmi berlari tadi. Tapi, yang ada hanya koridor kosong. Aik, takkan laju benar dia berlari. Tiba-tiba…
“Woi!” , satu suara menjerkahku dari arah kiri. Aku menoleh dan..
SYAHMI!!!
“Kenapa kau tinggalkan aku sorang-sorang wei?”
Aku macam tak percaya apa yang baru berlaku tadi. Aku mimpi ke apa ni? Syahmi depan aku. Habis tu, yang tadi siapa pulak? Takkan aku salah tengok. Rakan aku yang lain pun nampak. Dan rakanku jugalah yang tunjuk Syahmi kat pintu dewan tadi.
‘Wei, masa kau keluar tadi, paip-paip kat sinki tadi semua terbuka tak?” tanya aku pada Syahmi.
“Tak ada pun. Tutup je. Aku keluar tengok-tengok kau dah tak ada. Cepat-cepat aku lari. Takut aku tau tak. Kenapa kau tinggalkan aku?”
KRIIIINNGGGGG!! Loceng tanda tamat waktu persekolahan berbunyi. Soalan Syahmi aku tak jawab pun sampai ke sudah. Aku tak pernah menceritakan kisah ni pada sesiapa pun sehinggalah tamat persekolahan rendah di situ. Yelah, kalau aku cerita pun siapa yang nak percayakan.
Jadi, itulah kisah seram yang pertama pernah terjadi dalam hidup aku. Maaf sekiranya kurang menyeramkan pada korang. Tapi, masa aku taip cerita ni, masih lagi meremangkan bulu roma aku bila teringat. Ada banyak lagi kisah seram dalam koleksi hidup aku. Kebanyakannya semasa aku di sekolah asrama, di rumah lama aku dan kolej. Akan aku kongsikan nanti okey.
Keep on supporting FIKSYEN SHASHA.
syahmi tu llaki ke perempuan? ko teman budak laki gi tndas ke😂smpai ke dalam tndas
terdengar bunyi kanak-kanak ketawa…
masalahnya, kau pun kekanak jugak masa tu..adeh.. nak ajak main la tu