Kisah Seram Bapa

Kisah Seram Bapa
Hai Helen kembali lagi, terima kasih kerana sudi baca kisah Asrama 1995 dan kali aku kembali membawakan kisah-kisah mistik yang dialami oleh keluarga aku. Kali ini kisah yang aku bawakan adalah cerita yang dialami oleh bapa aku. Bapa aku sudah meninggal pada hujung tahun 2021 dan tercapai juga niat dia untuk hidup di tahun Wawasan 2020 yang diilhami oleh idolanya dari dahulu iaitu Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir.
Kalau bapa masih hidup dah berumur 87 tahun dah dia sekarang ni tapi bapa dah pergi pada tahun 2021.

Semasa menulis kisah-kisah ini bergenang airmata aku menulisnya kerana masih terngiang-ngiang suara serak bapa menceritakan satu-satu kisah hidupnya kepada kami. Aku sungguh merindui bapa, rindu pada ceritanya, rindu pada nasihat-nasihatnya dan rindu pada usikannya dan teramat rindu pada bapa.

Untuk itu pembaca sekalian hargailah mereka yang masih hidup sebab m**i itu tidak dapat dijangkakan bila masanya. Jangan berfikir yang tua akan m**i dahulu dari yang muda, ketahuilah m**i itu tidak mengira umur dan waktu. Jangan mereka dah pergi baru kita sesalkan dan berkata “kalaulah waktu itu…’ dah terlambat semuanya tu..

Sebelum itu aku meminta maaf kalau cerita panjang lebar, sebab disamping menyampaikan kisah seram untuk anda. Aku juga mahu mengenang kisah bapa aku ini agar aku tidak lupa pengorbanan mereka. Oklah tanpa membuang waktu, mari kita ikuti kisah mistik yang pernah dialaminya
Ini adalah nama-nama panggilan dalam Bahasa Kadazandusun yang saya guna dalam cerita kali ini.
Odu = Nenek (Ibu kepada bapa saya)
Inai = Auntie
Ama = Emak/ibu

Kisah 1
Ini adalah kisah dari bapa aku ya. Dan aku dalam cerita ini adalah bapa aku dan nama panggilannya di kampung ialah Eden.
Bapa aku ni ic jer lahir pada tahun 1938 tapi tahun sebenar lahir pun tak tahu yalah orang2 dulu mana ada pergi JPN atau nak report polis untuk kelahiran, waktu tu kata bapa mana ada daftar kelahiran kena buat cukup bagitau dengan ketua kampung saja yang ahli dalam rumah sudah bertambah itu aje..

Waktu ini rumah-rumah di kampung pada tahun 40an walaupun dinamakan sebagai kampung tetapi rumah biasanya dibina di atas tanah sendiri dan dikelilingi oleh hutan tebal. Sekeling rumah ditanami dengan pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan sedikit tanaman bunga, jadi rumah memang agak terasing sedikit dari pandangan dari jalan besar. Dahulu rumah pula jenis berdinding kayu dan sebahagian lantai berlantaikan dari buluh, beratap dari daun rumbia.

Biasalah kan kalau dah namanya dinding dan lantai dari buluh pasti ada beberapa lantai yang mempunyai celah tembus pandang – atau nama lainnya kalau tengok dari celah lubang tu terus boleh nampak tanah dari atas rumah. Rumah mempunyai kolong sebab rumah dibina menggunakan tiang yang tinggi untuk mengelakkan serangan haiwan buas dan juga untuk mencegah dari banjir.

Kejadian ni berlaku ketika aku berusia 8-10 tahun. Ada satu malam itu aku sedang meniarap untuk membaca buku dengan ditemani pelita, ketika sedang ralit membaca aku terasa seperti ada benda menyucuk di kaki dan badanku dan itu terasa seperti jolokkan dari ranting kayu dan ia agak tajam. Aku tidak mengendahkan cucukan itu kerana aku pikir itu adalah serpihan dari lantai buluh dibawah badan aku ini.

Tetapi cucukan kayu itu semakin kerap dan itu mulai menganggu aku yang sedang seronok membaca. Aku pun duduk di lantai dan mencari benda apa yang dari tadi menganggu aku. Sedang duduk aku merasa paha ku dijolok lagi jadinya aku pun duduk di atas kerusi dan memerhatikan lantai dengan niat menangkap ranting itu sambil memarahi orang yang berbuat nakal.

Sedang asyik menunggu untuk menangkap sang pelaku dan mata aku tidak lepas dari lantai tetapi apa yang muncul mengejutkan aku. Bukan ranting kayu yang muncul tetapi jari dengan kuku yang panjang berwarna kehitaman keluar dari celah lantai. Dan yang lagi menakutkan ada sepasang mata merah besar sedang menatapku dari bawah kolong. Matanya saja sudah sebesar pinggan makan dan dia kelihatan berkedip beberapa kali seperti mengatakan yang aku lihat itu adalah nyata.

Tersedar dari pandangan, aku segera menjerit sekuat hati memanggil mamaku dan berlari menuju biliknya. Suasana tenang terus digantikan suara tangisan adikku yang masih bayi dan juga suara makian dari mamaku kerana aku telah mengejutkan adikku yang baru saja tertidur. Sambil mendukung adikku, mama aku terus keluar dan mulai memarahiku.

“Kenapa juga kau teriak-teriak tengah malam ni Eden??, hah tengok adik kau sudah bangun gara-gara kau lah ni” marah mama lagi
“Ma..ada mata merah besar sana bawah kolong, tadi dia cucuk-cucuk badan Eden”aduku kepada mama ku
“Mana? Kasi tunjuk mama..kalau tiada habislah kau mama pukul”kata mamaku
Perlahan aku membawa mamaku menuju ke ruang tamu kerana rumah kami ini di bilik tidur berlantai dan berdindingkan papan dan ruang tamu dan dapur sahaja yang berlantaikan buluh. Tidak jauh pun kami melangkah sudah terlihat sepasang mata besar menatap kami seperti dia menunggu kami mendatanginya. Melihat mata itu, mama terus berlari menuju ke bilik Odu (Nenek) dan mengetuk pintu dengan cemas. Odu yang terbangun terpisat-pisat mengesat tahi mata bertanya “kenapa?”.
“Ina(mama), ada mata merah besar sana bawah kolong”bilang mamaku
“Hah, Eden cepat kau kasi bangun semua adik-adik kau berkumpul kamu sana bilik mama kau cepat” arah Odu kepadaku

Ku lihat Odu masuk balik ke biliknya mengambil sesuatu dan keluar balik menuju ke ruang tamu. Aku segera membangunkan adik-adikku dan meminta mereka pergi ke bilik mama, untuk cepat aku dukung saja untuk dipindahkan terus ke bilik mama. Ada satu adik lelaki aku yang bertubuh besar dan aku tidak mampu untuk mendukungnya, bila dibangunkan tidak mahu bangun jadinya aku pun pegang tangannya dan menyeretnya agak jauh juga untuk masuk ke bilik orang tua aku.

Esoknya dia mengadu pada mama yang badan dan tangannya sakit tapi hanya diendahkan oleh mamaku 😊, siapa suruh tidur m**i kalau bom meletup sebelah dia pun tidak akan sedar. Pernah terjadi rumah kami terkena banjir jadi kami satu keluarga pun sibuk memindahkan barang ke tempat tinggi, tahu apa budak ni buat?. Dia masih tidur dengan tilamnya yang sudah terapung kerana air banjir dan nasib baik dia masih dalam rumah kalau tak mungkin sudah dihanyutkan entah kemana tak tahulah apa jadi dengan adik aku ni.

kami adik beradik berempat sudah berada di dalam bilik mama aku dan tadi mama masuk menyerahkan adik bayi kepadaku untuk dijaga katanya dia mahu membantu Odu. Adikku yang kedua bernama Linda sudah terbangun dan menatapku dengan cemas apabila aku memberitahu ada hantu mata merah besar diluar. Manakala adik ketiga aku Alex masih lagi tertidur m**i tidak bergerak sedikitpun dan adik keempatku pula sedang asyik menyonyot botol susunya sambil matanya yang besar ralit memandang wajahku. Dalam sekejap rumah sudah dipenuhi dengan asap kemenyan dan aku mendengar jeritan dari Oduku yang cuba menghalau si mata merah.

Tiba-tiba adikku Linda menjerit dan bila aku berpaling melihatnya, dia menunjuk jari ke ruang udara di antara dinding dan atap. Dan di sana dua mata besar berkedip-kedip melihat kami dan tidak lama kemudian dia menghilang.

Malam itu menjadi malam yang panjang bagi keluarga kami, si mata merah tidak mahu hilang/pergi walaupun ritual pengusiran dilakukan beberapa kali oleh Odu. Dengan bingit salakan anjing yang ikut berlari mengejar si mata merah yang selalu berpindah-pindah untuk melihat kegiatan penghuni rumah menunggu kealpaan kami untuk masuk dan menganggu seisi rumah.

Hampir subuh barulah si mata merah menghilang dan setelah itu tidak pernah datang lagi menganggu kami sekeluarga. Kata Odu aku, itu adalah sejenis hantu yang jahat yang suka memakan penghuni rumah yang sedang tertidur dan nasib keluarga kami baik kerana masih ada yang belum tidur jadinya dia mengusik aku seperti di awal cerita. Dari cerita Odu, hantu itu bertubuh kurus dengan kepala yang besar dan punya kaki dan tangan yang panjang dan sebab itu dia boleh berpindah tempat dengan cepat.
Dan esoknya Alex (adik aku yang ketiga) bila diberitahu kejadian semalam, mengamuk kerana tidak dibangunkan untuk ikut serta melihat hantu itu. Jadilah aku sasaran kemerajukan dia sampai aku mengambil keputusan untuk mengikut bapa aku pergi ke kebun untuk menjauhi dia dan tingkah menyebalkannya.

Apa anda tahu mengapa kejadian ini berlaku? Itu kerana pada waktu paginya bapa aku ini dengan kawan-kawan dia yang memang agak nakal pergi mengerjakan seorang lelaki di kampung mereka yang terkenal kerana suka melatah. Jadi sengajalah mereka pergi menghendap lelaki itu dan menunggu di bawah kolong rumah dan apabila ada peluang mereka akan menjolok lelaki yang sedang duduk dilantai dan apalagi menjeritlah dia dengan latahan yang penuh carutan lucah memenuhi ruang sunyi di rumah itu. Bapa aku dengan geng dia terus lari sambil menekup mulut menahan tawa yang mahu terburai. Rasanya hantu tu tiru merekalah kot?

Kisah 2
Masih cerita mengenai bapa aku dan aku dalam cerita ini adalah bapa Helenlah siapa lagi..
Penduduk di kampung aku ini kebanyakkannya adalah petani termasuk juga keluarga aku. Ketika kami sudah mula pandai berjalan dan boleh bermain maka tugas di kebun pun sudah mula dikerjakan bersama dengan orang tua.

Rasanya cerita ini berlaku ketika aku berusia 10 tahun, usia yang dianggap oleh orang kampung sebagai sudah dewasa dan sudah boleh menggantikan orang tua mengurus kebun dan melakukan kerja-kerja berat. Jadi sebagai anak sulung aku diharapkan oleh orang tua aku untuk membantu mereka dan meringankan kerja mereka. Kebun kami ini menanam padi, sayur dan buah-buahan. Kawasan menanam padi agak luas jugalah cukup untuk menanam padi buat bekalan keluarga seramai 10 orang selama setahun. Waktu ni tanam padi setahun sekali.

Kawasan kebun kami dan rumah agak jauh jadi bila musim menanam padi biasanya kami tinggal di rumah yang ada di kebun kami. Sebuah pondok kecil yang dibina tinggi dinamakan Sulap akan dibina di beberapa tempat strategik untuk mengawasi seluruh tanaman padi. Sulap ni cuma berdinding separuh dengan lantai dan dinding terbuat dari buluh. Atapnya juga terbuat dari buluh dengan batang buluh disusun berselang seli. Fungsi sulap ni biasanya dibina untuk mengawasi ketika padi sudah hampir nak tumbuh biji-biji padi.

Dari sulap ini akan dipasang banyak tali yang diikat dengan kain/plastik yang akan berkibar dan di hujung tali akan diikat tin atau kepingan buluh untuk menakutkan burung. Penjaga di sulap yang akan menarik tali dan membunyikan tin bila burung datang. Sebab itu bila korang datang Sabah tengok di kawasan padi huma/bukit akan nampak meriahnya kawasan padi kami 😊

Kenapa aku ceritakan kisah mengenai sulap ini, itu kerana sulap ini akan menjadi tempat aku tinggal selama padi ditanam. Di sulap inilah aku akan tinggal untuk menjaga padi ini dan biasanya aku akan ditemani oleh salah seorang dari adik aku. Dan di sulap inilah menjadi saksi tempat suka duka aku membesar dengan dikelilingi oleh tanaman padi.
Hari itu, aku dan adik aku ditinggalkan menjaga kebun sebab keluarga kami akan menghadiri majlis kawin saudara kami.

Malam itu aku dan adik aku mula bersiap untuk tidur dengan ditemani harum semerbak bau padi huma yang sudah mula masak mengiringi udara sejuk telah melenakan kami dalam tidur yang damai.

Beberapa jam kemudian aku terbangun entah kenapa. Pantas aku bangun dan memerhatikan kawasan sekitar takut ada bahaya yang datang. Takut harimau, gajah atau kawanan b**i hutan datang mengacau yang boleh membahayakan kami berdua. Setelah memerhati seluruh kawasan tidak ada pula sebarang kelibat haiwan yang datang. Mujur malam ini bulan mengambang penuh jadi pandangan boleh melihat jauh.
Perlahan aku mengambil sisa air kopi yang sudah sejuk dan meneguknya untuk menghilangkan dahaga. Bunyi riang-riang dan cengkerik asyik berbunyi sementara itu tak jauh dari sana ada pesta cahaya dari kelip-kelip memberi simfoni alam dan membawa kedamaian dalam hati untuk pencinta alam sepertiku. Lama aku termenung menunggu kantuk yang sempat pergi.

Tapi kedamaian itu tidak berlangsung lama ketika tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu suara tempikan keras bergema memecah kesunyian malam. Setelah tempikan itu, suara sesuatu berdebum jatuh kedengaran. Sepertinya benda yang jatuh itu sangat besar dan berat. Suara serangga yang tadinya riuh berbunyi kini senyap. Senyapnya tiba-tiba yang seakan kau tutup radio terus dari suis elektrik. Senyapnya sampai membuatkan telinga berdengung.

Perlahan mataku meliar mencari siapa dan apa benda yang muncul di waktu hampir tengah malam ini. Tanganku segera memegang erat parang panjang untuk mempertahankan diri. Sementara itu mataku masih memindai seluruh kawasan mencari si penggangu malam itu.

Nun jauh di sana ada sekujur tubuh tinggi dan tegap berdiri. Tingginya saja sudah setinggi pokok kelapa. Seluruh badannya dililit dengan rantai besar. Lama dia berdiri di sana sebelum sekali lagi berteriak kuat. Perlahan dia mula menarik sebuah peti hitam yang juga dililiti dengan rantai. Setelah diamati dengan teliti rupanya peti itu adalah peti m**i yang kita panggil keranda. Terdengar suaranya membaca sesuatu yang tidak aku tahu bahasanya. Entahlah kalau didengar seperti dia sedang menangis dan meratib begitu.

Nampaknya keranda itu sangat berat dan kelihatan makhluk itu bersusah payah menariknya. Sambil dia menarik keranda itu sambil dia meratib. Akibat beratnya keranda itu satu persatu tubuh badannya mengelinding jatuh dan makhluk itu terpaksa berhenti, memunggutnya dan memasangnya balik ke tubuhnya. Kemudian dia bergerak lagi menarik keranda itu. Bunyi besi berlaga sesama sendiri kedengaran jelas di malam yang sunyi.

Sementara itu bau busuk, hapak bercampur masam mula terhidu di hidung ku ini.
Kini dia semakin hampir ke sulap tempat aku ini dan bau busuknya mula menyengat hidung. Perlahan aku menyelubungi diriku dengan selimut, menutup hidungku dengan kain yang tebal dan memeluk erat adikku ini. Bunyi benda di tarik, gemerincing bunyi rantai berlaga dan suaranya yang mendengus kasar terlihat sudah semakin dekat dengan pondok buruk ini. Hendak melarikan diri pun sudah tidak boleh lagipun adik aku ini gemuk nak pikul dia pun aku tidak mampu.

Aku yang dari tadi baring mengiring sambil menutupi diri dengan selimut kini memandang dari celah-celah lantai yang terbuat dari bambu. Kaki makhluk itu kini sudah terlihat dari lantai dan aku segera mengecilkan tubuh berusaha agar tidak disedari oleh makhluk itu. Masalah lagi bila adik aku ini tiba-tiba berdengkur, kuat lagi tu..
Makhluk itu ku lihat berhenti cuba mendengar suara aneh yang tiba-tiba kedengaran tetapi telinganya pula jatuh jadi dia pun teraba-raba mencari telinganya yang jatuh dan bila jumpa dia pun memasangnya ke kepalanya. Terkial-kial dia memasangnya. Sedang asyik memasang telinganya, bunyi plop yang kuat mengema dan sepasang matanya pula jatuh dan bergolek masuk ke bawah kolong sulap.

Tangannya dijulur sejauh yang boleh sambil mengapai matanya yang semakin bergerak-gerak kemana-mana. Seakan-akan cuba lari dari tangan yang cuba meraihnya. Sulap kami bergegar akibat makhluk itu yang terus menjulurkan tangan cuba mengambil matanya. Satu saja yang aku takutkan yang sulap kami ini akan roboh dan entah macam mana keadaan kami setelah itu.

Setelah dapat dia terdengar seperti mendengus dan mengucapkan ayat yang tidak akau fahami kepada bola matanya yang tadi terjatuh sepertinya dia memarahi mata itu. Setelah matanya terpasang dia pun meneruskan kegiatannya menarik keranda itu dengan diiringi bunyi gemerincing rantai besi yang bergesel.
Melihat makhluk itu sudah tidak kelihatan, aku pun memuntahkan cairan dari mulutku kerana sudah tidak tahan dengan bau busuk itu. Adikku terbangun kerana suara muntahanku yang agak kuat.

Hidungnya bergerak-gerak membau sesuatu diudara “Abang, kau ni kentut bau busuk” sambil ikut bersamaku muntah bersama. “Abang ni kentut bau taiklah” rungutnya. Memang bau busuk dari sekitar kawasan tidak pandai hilang walau sejam telah berlalu dari kepergian makhluk itu.

Melihat malam masih panjang aku membawanya pergi ke rumah kebun kami yang terletak di tepi kebun. Tidak tahan aku dengan bau busuk yang tidak pernah hilang dari sulap kami. Sampaikan bantal, selimut, tuala dan pakaian kami pun ikut berbau busuk.
Paginya aku dikejutkan dengan bebelan kemarahan dari mama aku. Melihat padi ranap membentang sehingga ke hujung kawasan berbentuk lurus kesan dari heretan keranda makhluk itu.

Tanpa berlengah aku menceritakan kejadian semalam kepada mama dan bapaku juga Oduku. Kata odu kami bernasib baik, biasanya hantu tu suka menangkap sesiapapun yang dia temui dan dimasukkan ke dalam keranda.
Bapa aku yang sedang memeriksa sulap membuat keputusan untuk membakar sahaja sulap itu dengan semua isi di dalamnya. Segala pakaian dan alat tidur semuanya berbau busuk. Di dinding dan tiang sulap ada terpalit cecair berwarna hitam berbau sangat busuk bila dibersihkan pun tidak mahu hilang. Jadi kata bapa bakar sahaja dan kita bina sulap di tempat lain.
Walaupun berlaku kejadian seram seperti itu tapi demi mencari sesuap rezeki aku dan keluarga tetap bertahan bertani dan tinggal di kawasan itu.

Kisah 3
Masih cerita mengenai sulap dan aku dalam cerita ini adalah bapa aku.
Kejadian ni aku tak ingat berlaku bila tapi masa kejadian ni ayah aku, 2 orang adik lelaki dan aku tidur di sulap di tengah-tengah ladang padi kami. Waktu tu rumah kecil kami di tepi kebun sebahagian rumah roboh dihempap pokok. Jadi sulap saja lah tempat untuk kami bermalam.

Setelah penat bekerja kami tidur awal malam itu tetapi aku terbangun kerana merasa sejuk. Dan bila diperiksa rupanya selimut yang aku kongsi bersama dengan adikku sudah ditariknya dan dimonopolinya sendiri. Aku pula jenis yang susah tidur dan senang terbangun jadi kali ini bila aku terbangun memang tak dapat tidurlah kali ni.

Jadi supaya tidak rasa bosan aku pun pergilah mengambil lebihan air kopi dan biskut kering juga kuih pisang goreng yang mama aku buat petang tadi. Rupanya pergerakan aku mengejutkan bapa aku dan dia pun terbangunlah dan bertanya kenapa aku tidak tidur tengah-tengah malam begini. Aku cuma beritahu yang aku terbangun dan rasa lapar. Mungkin sebab bapa aku pun dah terbangun jadi diapun ikut sama minum kopi sejuk dan makan biskut dengan pisang goreng.

Sedang asyik makan aku terlihat cahaya yang bergerak perlahan menuju ke sungai jadi aku pun cuit paha bapa aku sebab waktu tu dia membelakangkan cahaya tadi sambil menunjukkan belakangnya. Perlahan bapa aku menoleh dan dia terus meletak jari di bibir memberi isyarat supaya tidak bersuara. Segera bapa aku menarikku untuk turun ke lantai dan melihat dari celah dinding.

Rupanya cahaya itu bukan satu tetapi ada banyak lagi dibelakangnya. Cahaya itu seperti api jamung dia bergerak naik turun seperti ada seseorang yang membawanya berjalan bersama. Api itu bergerak menuju ke sungai besar yang tak berapa jauh dari kebun kami. Setelah semakin dekat baru nampak pemegang jamung itu. Itu adalah manusia berpakaian putih, lelaki perempuan dalam pelbagai usia berarak sambil memegang jamung.

Kenapa aku katakan manusia sebab dari perawakan memang kelihatan seperti orang tetapi mereka mempunyai badan yang telus cahaya dan mata yang terlihat berwarna putih tanpa anak mata. Aku nampak sebab malam tu bulan dia terang lain macam.
Perlahan mereka bergerak ke sungai dan menyeberanginya dengan berjalan di atas air. Cahaya obor bergerak lurus menuju ke seberang sungai. Dari jauh aku melihat ribuan ikan melompat mengiringi rombongan itu. Perlahan rombongan itu menyeberangi sungai itu hinggalah orang terakhir memijakkan kaki ke tanah pinggir sungai.

Mereka perlahan hilang ditelan oleh rimbunnya hutan. Tetapi setelah itu terdengar suara riuh seperti ada kenduri yang sedang dilakukan. Bunyi kompang dan nyanyian terdengar sampai di sulap kami. Bau harum lauk pauk yang dimasak ikut terhidu olehku membuat aku yang lapar menjadi semakin lapar.
Kata bapa itu adalah bunian dan terdapat dua kampung bunian di sekitar kawasan kami. Dan setelah itu aku pun tidak pernah lagi melihat kelibat mereka. Sepertinya mereka telah menutup diri dari pandangan manusia. Rasanya mereka tahu yang mereka sudah dilihat oleh dua manusia tetapi kerana kami tidak berniat jahat jadi kami dibiarkan sahaja

Kisah 4
Kisah ini terjadi dalam hujung tahun 1940an. Cerita ini diceritakan oleh bapa aku sendiri dan kisah ini agak sedih menurutku.
Biasanya pada tahun 1940an ini rumah penduduk kampung ni terletak agak berjauhan di antara sama lain kerana rumah didirikan di atas tanah sendiri. Agak berjauhan tetapi masih boleh nampak bumbung jiran kalau tak nampak tu terlindung oleh pepohonan laa…
Ada seorang perempuan ni (kita namakan sebagai Nauri) dia ni telah ditinggal m**i oleh suaminya dan beberapa bulan kemudian barulah dia mengetahui yang dia ini sudah mengandung. Suaminya ni m**i mengejut, bila bangun pagi baru Nauri perasan suaminya ini sudah meninggal. Nauri ni seorang anak yatim piatu dan hanya punya seorang kakak yang tinggal jauh dan berbeza daerah.

Rumah bapa aku dan rumah Nauri ni dekat saja kalau nak panggil dari jendela memang boleh sampai dan dengar punya.
Jadi hari tu Oduperasan yang dia tidak nampak batang tubuh Nauri dalam sehari dua ni jadi dia pun panggil-panggillah nama Nauri ni dari jendela tapi tiada sahutan sama sekali dari rumah jiran. Dia pun heretlah aku dan juga seorang lagi cucu perempuannya (Linda) pergi ke rumah Nauri. Sampai depan rumah Odu ketuk pintu sambil panggil lagi nama Nauri tapi tetap tidak ada sahutan pun dari dalam yang kedengaran hanyalah suara tangisan bayi, jadi aku disuruhnya untuk menendang pintu agar terbuka.

Kami semua segera masuk dan melihat tubuh Nauri sedang terbaring di ruang tamu, waktu itu keadaannya sedang mengiring dan membelakangi Odu dan bapa. Odu pun datang dan segera memanggil namanya lagi dan terus mengoyang bahu Nauri sebab sangkaan Odu Nauri ni mungkin sedang tidur. Setelah digerakkan badan Nauri terus terlentang dan badannya sudah sejuk, bapa aku segera di suruh memanggil ketua kampung manakala adik aku si Linda di suruh pulang untuk mengambil botol susu kerana Odu tahu anak Nauri sudah kelaparan.

Anak Nauri ni namanya Laura ketika itu sudah berusia 8-12 bulan dan sudah boleh merangkak dan waktu itu Odu lihat Laura sedang berbaring dan bermain dengan tangan dan kakinya sambil mengoceh tidak jelas. Odu segera mengangkat Laura dan membawanya ke dapur untuk dibersihkan kerana waktu itu lampinnya sudah penuh dengan kencing dan najis sampaikan badannya pun ikut berlumuran dengan najis. Bila cucunya Linda datang terus Odu suahkan botol susu ke mulut Laura dan dengan rakusnya dia menghisap botol itu entah sudah berapa lama dia kelaparan. Segera Odu meminta auntie Linda untuk menjaga bayi itu dan Odu terus masuk ke bilik mencari kain batik untuk menutupi tubuh Nauri.

Tidak lama kemudian aku datang dengan ketua kampung dan beberapa penduduk kampung yang segera bergegas membuat keranda. Zaman dulu orang-orang kampung akan buat sendiri keranda dengan mengunakan apa saja kayu yang ada. Beza dengan zaman sekarang si keluarga akan pergi ke kedai dan pilih keranda mengikut budget yang ada.

Untuk jamuan makan pula biasanya penduduk kampung akan membawa sedikit barangan makanan dari rumah sendiri untuk disumbangkan bersama dan kemudiannya bergotong royong untuk menyediakan juadah untuk dimakan bersama.
Sewaktu sedang sibuk bayi Laura agak tidak terjaga dan dia hanya dijaga oleh adik aku Linda yang juga diminta untuk sesekali membantu. Bayi Laura ini di letakkan di atas tilam untuk berbaring dan tidur. Sementara itu jiran-jiran yang datang sedang mengemas rumah, memasak untuk jamuan dan banyak lagi kerja yang harus dilakukan. Sedang mereka asyik bekerja si bayi Laura ini yang tadinya tidur berbaring di tilam merangkak laju ke arah ibunya yang terbaring di tikar. Pantas jarinya menyelak baju dan terus menyonyot puting susu ibunya, kelihatan rakus dia menghisap mungkin sudah kelaparan agaknya.

Bayi Laura terus diangkat dari tubuh ibunya ketika itu mulutnya masih menyonyot dan apabila ditarik dia pun terus mengigit puting ibunya dan beberapa orang segera membantu untuk melepaskan mulut Laura dari badan ibunya. Jari kecil Laura segera mengenggam seerat mungkin baju ibunya dan tidak mahu melepaskannya dan dia pun menangis sekuat hatinya sambil memanggil mamanya dan badannya meronta-ronta hendakkan ibunya.

Walaupun disua botol susu di depan mulutnya tetap sahaja dia menolaknya kerana yang dimahukannya adalah susu dari ibunya. Badan Laura terus meronta dan tangannya cuba menggapai ibunya dan setelah dapat dipeluknya sekuat mungkin leher ibunya manakala jeritan dan panggilan “mama, ma ma’ yang sangat pilu dari baby Laura menyebabkan serentak tangisan bergema di ruang tamu itu, beberapa wanita terlihat mengesat air mata melihat adegan sedih di depan mata mereka.

Para lelaki yang mendengar tangisan itu segera naik mencari tahu dan apabila diceritakan hal bayi Laura segera wajah mereka berubah mendung. Kata bapaku hari itulah airmata jantannya berderai melihat kisah sedih yang sempat dilihatnya ketika itu, waktu itu dia memang berada di ruang tamu menolong apa-apa yang disuruh seperti memotong bawang atau memarut kelapa.

Keesokan harinya adalah hari penguburan Nauri kerana dia adalah anak yatim piatu tidak ada sanak saudara yang dapat dihubungi dan kakaknya pula tinggal sangat jauh dari kampung bapa aku. (Nauri dan suaminya ni bukan penduduk asal kampung bapa aku, bapa aku pun tidak tahu kampung asal mereka). Jadi ketua kampung merasa tak perlu lagi menunggu keluarga datang maka hari penguburan dilakukan secepat mungkin.

Pada tahun 1940an ini agama masih lagi belum kuat dan masyarakat masih lagi mengamalkan adat nenek moyang. Apa yang aku lihat hari tu mayat Nauri di dalam mulutnya diletakkan duit syiling, jari-jarinya ditusuk dengan jarum dan ketiaknya diletakkan 2 biji batu bulat. Aku diberitahu tujuannya supaya Nauri ini nanti tidak menjadi hantu pontianak dan menganggu penduduk kampung. Pengebumian berjalan lancar cuma awan mendung mengiringi kami menuju ke tanah perkuburan.

Mengikut adat kampung rumah harus ditunggui selama 100 hari kerana rumah tidak boleh dibiarkan kosong begitu sahaja lagipun masih ada kenduri 7 hari, kenduri 40 hari dan juga kenduri 100 hari yang harus dilakukan nanti. Hanya keluarga aku sahaja yang rapat dengan Nauri jadi Odu mengambil keputusan untuk tinggal sementara di rumah Nauri ini. Jadinya aku pun dipaksa untuk ikut menemaninya dengan ada dua lagi sepupu aku yang ikut tidur di rumah Nauri.

Petang itu aku dan dua sepupu terpaksa balik ke rumah untuk mengambil baju, tikar, selimut dan bantal sebab kata Odu tidak baik memakai barangan si m**i. Untuk makanan nanti bapa aku yang akan menghantarkannya kepada kami dan ada juga kadang-kadang kami sendiri berlari ke rumah untuk makan dan membawa bekal untuk Odu yang masih setia menunggui rumah Nauri sambil menjaga bayi Laura yang kelihatan agak kurus mungkin merindukan ibunya jadi Odu pun menyelimutinya dengan baju yang belum dicuci milik Nauri untuk mengubati kerinduan Laura.

Beberapa hari kemudian berlangsung seperti biasa tetapi pada hari kedua kami mendapati di ruang tamu, tangga dan bilik Laura ada beberapa tompokan tanah liat dan kelihatan jelas tapak kaki seseorang berjalan masuk dan nampaknya tapak kaki itu mengitari seluruh rumah seperti dapur, ruang tamu dan bilik tidur dan yang paling banyak di sekitar buaian baby Laura. Melihat hal itu aku hanya terdiam apabila melihat mata Odu yang menjegilkan mata kepadaku supaya tidak bertanya apa-apa kepadanya kerana takut 2 sepupuku itu ketakutan.

Tengah malam aku terbangun kerana ingin membuang air kecil, jadinya aku pun terpaksa membawa pelita menuju tandas yang berada di belakang rumah. Mahu membangunkan dua sepupuku itu sangat payah kerana mereka jenis yang tidur m**i biar digerak dan digoncang sekuat manapun pasti tidak akan bangun sama macam adik aku Alex.

Ketika selesai membuang air aku pun perlahan melangkah ke ruang tamu tempat kami semua tidur bersama bayi Laura. Langkahku terhenti apabila melihat susuk tubuh yang sangat ku kenal membuka pintu utama dan kemudiannya menutupnya. Wajah dan tubuhnya seakan dia masih hidup dan tidak pucat seperti mayat lainnya cuma kainnya sahaja yang penuh dengan lumpur. Perlahan ku lihat Nauri berjalan menuju ke biliknya dan tidak lama kemudian keluar dan menuju ke dapur dan setelah itu dia pun masuk ke semua bilik yang ada di rumahnya dan yang terakhir dia menuju ke bayi Laura.

Lama Nauri berdiri di samping buaian bayi Laura, mungkin merasakan sesuatu Laura terbangun dan apabila melihat ibunya ada di depannya dia segera mengeluarkan suara merengek dan tangannya terjulur cuba meraih ibunya. Perlahan Nauri mengambil anaknya dan digendongnya anaknya dan sambil beruraian airmata dia mencium ke seluruh wajah dan badan anaknya, tangan dan kaki Laura pun turut sama diciumnya. Lama dikucupnya dahi Laura, entah apa yang dibisiknya ke telinga Laura.

Setelah dilihat anaknya sudah tertidur kembali dia pun meletakkan Laura ke dalam buaian. Perlahan langkah kaki Nauri menuju ke arahku yang masih berdiri kaku di ambang pintu melihat semua yang dilakukannya.“Inai, jangan bimbang keluarga kami akan menjaga Laura dengan cukup baik. Kami akan menyayangi dia seperti keluarga sendiri.” Entah mengapa ayat itu terpacul keluar dari mulut aku, mungkin melihat kasihnya Nauri kepada anaknya Laura menimbulkan suatu rasa ingin melindungi.
(Inai = Auntie)
“Tolong jaga dia untukku, bila dia sudah besar katakan kepadanya yang mama minta maaf kerana terpaksa meninggalkannya dan bagitahu dia yang mama sangat menyayangi dia” kata Nauri perlahan dan melangkah melihat anaknya lagi. Lama dia merenung anaknya sambil mengesat airmatanya yang tidak pernah berhenti. Tangannya membelai pipi dan seluruh tubuh Laura dielusnya dengan lembut dan penuh kasih.
Entah bila aku sudah duduk bersila menyandar di dinding, mataku ralit memandang pergerakan tubuh Nauri yang masih setia duduk di tepi buaian Laura. Perlahan tangannya menghayun buaian sambil menyanyikan lagu ninabobo, merdu suaranya mengalun di malam yang semakin menuju ke pagi ini.

Ketika kokok ayam jantan berbunyi, Nauri berdiri dan tanpa berpaling melihatku dia berkata “Tolong jaga rumah ini dan kebun kami keluargamu boleh mengambil hasilnya untuk menampung hidup Laura. Rumah ini dan tanah milik keluarga kami berikan kepada Laura nanti bila dia sudah besar. Sampaikan juga rasa terima kasihku kepada orang tuamu dan juga Odumu itu, hanya keluarga kamu yang memperlakukan kami seperti keluarga sendiri. Terima kasih banyak-banyak hanya Tuhan yang dapat membalasnya.”
“Kalau kakak aku datang, sampaikan pada dia yang Laura aku amanahkan kepada keluargamu dan jika dia meminta geran tanah atau rumah ini katakan pada dia itu semua hak Laura bukan miliknya. Geran tanah dan rumah ini ada aku letakkan di dalam laci pertama di tepi katil dalam bilikku, serahkan kepada bapamu dan dia tahu apa yang perlu dilakukan” Sebelum pergi sempat lagi Nauri berpesan terakhir kali sebelum menembus pintu dan hilang dari pandangan.

Perlahan kakiku mengorak langkah ke bilik Nauri, aku segera membuka laci almari pertama dan aku menemukan sebuah fail hitam dan bila aku buka ada beberapa geran tanah yang sudah ditukar kepada nama Laura. Mungkin Nauri merasakan hayatnya tidak panjang jadi dia menukar semua hartanya suami isteri kepada Laura seawal mungkin.

Ketika mengangkat fail itu dua surat terjatuh bersama dengan sekeping gambar berwarna hitam putih, itu adalah gambar Nauri, suaminya dan Laura yang masih lagi berusia dalam 3 bulan. Surat itu satunya untuk bapa aku dan satu lagi untuk Laura.
Terdengar suara bapa aku memanggilku dari halaman rumah dan aku pun keluar dari bilik Nauri dan memanggil bapa aku masuk ke rumah. Odu aku pun sudah bangun dari tadi jadi aku pun membawa mereka duduk di beranda rumah. Satu persatu surat, gambar dan fail berisikan geran aku letak di atas meja kecil, tangan bapa terus terulur mengambil surat yang ditujukan kepada dia dan mama aku.

Perlahan mata bapa membaca satu persatu ayat yang ditulis didalamnya kemudian bapa membacakan surat itu kepada Odu. Odu hanya menganggukan kepala mengerti akan isi surat itu kebanyakan isi surat itu mengenai Laura. Kejadian aku bertemu dan kata-kata Nauri aku ceritakan kepada bapa dan Odu, bapa hanya terdiam manakala Odu kadangkala bertanya sesuatu untuk kepastian.

Rupa-rupanya Odu pun sudah terbangun ketika Nauri datang dan dia hanya berdiam kerana tidak mahu menggangu Nauri yang datang menjenguk anaknya. Dia hanya berbaring dan membuka mata untuk melihat apa yang dilakukan oleh Nauri jadi semua yang dikatakan oleh Nauri kepadaku juga didengarnya.

“Baiklah kita harus jaga amanah si m**i kepada kita, kita harus jaga rumah ini dan semua tanah mendiang adalah milik Laura kita akan jaga dan berikan kepada Laura apabila dia besar nanti. Sekarang kita sarapan dahulu nanti kita akan ke kubur Nauri untuk bersihkan kuburan” kata bapa lagi.

Setelah sarapan, kami pulang sebentar ke rumah kami untuk bapa menyimpan semua surat dan fail berisikan geran itu. Langkah terus kami hayunkan menuju ke kuburan kampung kami untuk menjenguk dan membersihkan kuburan Nauri. Sesampainya kami di sana kami terkejut menemukan kuburan Nauri berlubang di bahagian kepala sehingga kerandanya pun boleh dilihat. Tidak mahu memanjangkan perkara bapa terus menimbus kuburan Nauri dan setelah selesai membersihkan kawasan kubur Nauri kami pun kembali ke rumah.

Laura menjadi anak angkat keluarga kami dan menjadi anak bungsu, kehadirannya membawa ceria seluruh keluargaku. Rumah Nauri akan selalu dibersihkan setiap minggu dan kebun buah dan kebun getah juga dijaga dengan baik. Sekarang Laura sudah pun berusia dalam 78 tahun dan menetap di rumah lamanya bersama suami dan anak-anaknya.

Auntie Laura iaitu kakaknya Nauri memang ada datang ke rumah kami untuk mengambil Laura tetapi di tentang habis-habisan oleh bapa ku yang telah menerima amanat dari Nauri. Auntie Laura juga meminta geran tanah dan rumah tetapi ditolak oleh bapa aku yang mengatakan itu adalah hak Laura.
~~~~~
Aku pernah tanya bapa aku, adakah dia rasa takut dengan Nauri yang datang tengahmalam itu. Tetapi kata bapa aku dia lupa yang Nauri sudah m**i lagipun tubuh dan wajah dia kelihatan seperti nauri yang masih hidup dan tidak ada busuk bau mayat sama sekali. Kata bapa aku lagi Nauri sayang sangat dengan anaknya Laura, sampaikan sudah m**i pun dia datang untuk memastikan anaknya tetap ada yang jaga dan disayangi.

Sebab itu bapa aku pun sangat sayang dengan kami, kalau anak-anaknya sakit dialah yang paling risau akan kami. Sanggup dia berjaga sampai pagi untuk memastikan anaknya segera sembuh dengan terus mengelap badan kami dengan air agar panasnya cepat turun. Ketika sedang sakit biasanya kita kurang selera makan tetapi bapa aku itu selalu tanya apa yang kami mahu makan jadi bila kami menyebut nama makanan itu dia pasti akan mencarinya sampai dapat.

Ada satu kenangan yang selalu aku ingat pasal bapa aku ni. Suatu hari itu aku demam, jadi dialah yang menjaga aku dan bapa aku pun tanyalah aku mahu makan apa. Setelah berfikir sejenak akupun bagitau yang aku mau makan kuih bingka ubi. Kebetulan hari tu bapa aku perlu pergi ke bandar untuk satu urusan penting jadi bapa aku pun mengiakan pesanan aku tu. Kereta kami sedang rosak jadi bapa aku pun naiklah bas untuk ke sana.

Petang itu bapa aku balik dan terus dia peluk aku dan menangis katanya kuih bingka aku dimakan oleh seorang penumpang bas. Bapa aku cuma sedar kuih itu dimakan ketika sudah hampir habis. Jadi bapa aku pun marah lah orang tu sepanjang jalan. Bapa aku cakap “anak aku sakit sekarang dan dia teringin mahu makan kuih itu. Kau makan kuih yang bukan milik kau, tidak minta izin dan tidak tinggalkan sedikitpun untuk anak aku”.
Waktu tu aku rasa akulah anak yang paling disayangi oleh bapa aku dan ketika ingat balik kejadian ini hati aku pun jadi berbunga-bunga.

Sayang sekali waktu bapa aku sakit dan meninggal aku tiada di sisi dia kerana sedang belajar di Kedah. Cuma sempat jengguk dia sebentar di kamar mayat dan terus balik ke Kedah sebab esoknya exam. Aku naik flight pergi dan balik hari yang sama sebab aku tetap mahu tengok dia terakhir kali. Sebab tu pembaca sekalian sayangi keluargamu kerana m**i itu tidak ada tarikh, tidak ada petanda dan berlaku bila-bila masa.
Mesti korang tanya mama aku mana? Dia ada cuma dalam kisah ini aku lebih tumpukan pada bapa aku. Kisah untuk mama aku ada di cerita berikutnya.

Kisah 5
Kisah ni berlaku ketika aku berusia dalam 10-11 tahun begitu berlaku dalam tahun 1948/1949. Aku dalam cerita ini masih bapa Helen ya.
Pada hari tu berlaku kematian seorang lelaki dalam usia pertengahan begitu. Sebab si m**i adalah saudara dekat dengan ayah aku jadi keluarga kami harus datang untuk melawat dan membantu apa yang dapat dibantu.

Segera aku dan bapa aku bergerak menuju ke rumah mendiang sambil membawa sedikit barangan dapur untuk disumbangkan kepada keluarga mendiang itu. Barangan dapur tu bertujuan agar keluarga mendiang dapat gunakan untuk kenduri arwah nantinya. Memang kebiasaan adat kampung kami begitu iaitu sedaya upaya membantu sesama sendiri.

Sampai sahaja kami ke perkarangan rumah mendiang aku lihat sudah ramai yang datang. Dan tidak lama ketua kampung pun datang dan membahagikan tugas kepada semua yang datang. Ada yang dimintanya untuk membuat keranda, pergi menggali kubur dan untuk para pemuda diminta untuk menangkap semua haiwan dan mengurungnya dalam sangkar.

Aku yang kebagian tugas pun turut senang kerana dapat melakukan itu dengan geng aku sendiri. Segera suara hiruk pikuk kedengaran dihalaman rumah dengan kegiatan menangkap anjing, kucing, ayam, itik dan semua haiwan ditangkap dan dikurung dalam sangkar. Dalam rumah dan diatas atap pun semua kucing juga ikut ditangkap sama.
Sementara kami menangkap haiwan, mereka yang ada di atas rumah mula mengelliling si m**i dengan dua lapisan iaitu satu lapisan dalam menghadap si m**i dan satu lapisan luar lagi menghadap keluar untuk memastikan tiada haiwan yang dapat melangkahi si m**i.

Memang kampung kami ini setiap ada kematian maka segala haiwan akan ditangkap dan diletak jauh dari rumah si m**i kerana takut ada binatang yang melangkah badan si m**i dan mayat itu akan segera bangun.

Setelah memastikan semua haiwan telah berjaya ditangkap kami segera kembali dan membantu apa yang boleh dibantu dengan kudrat seorang budak. Aku diminta untuk menghantar satu dulang kirai daun yang telah digulung dan daun sirih yang telah dilengkapi dengan kapur, gambir, buah pinang yang telah dibelah dan tembakau.
(Kirai tu rokok daun. Tembakau akan dimasukkan ke dalam daun nipah yang telah dikeringkan yang kemudiannya digulung bersama).

Aku pun dengan berhati-hati membawa dulang itu naik ke atas rumah dan terus menghampiri bapa si m**i untuk menyerahkan dulang tersebut. Nantinya bapa si m**i akan menghulurkan kirai itu ke semua lelaki yang hadir dan daun sirih kepada wanita sebagai tanda terima kasih. Setelah itu aku pun menghampiri si m**i untuk memberikan penghormatan terakhir. Waktu itu aku hanya pandang sekejap wajah mendiang dan kemudian membongkok sedikit dan kemudiannya perlahan bergerak mundur untuk pergi dari sana.

Seketika dalam gerak perlahan aku melihat seekor kucing berbulu hitam melompat dari sudut almari menuju ke tingkap untuk melarikan diri dari keramaian tempat itu. Masalahnya dari sudut almari menuju ke tingkap harus melalui tubuh si m**i sebelum dia dapat keluar dari sana. Jadi kucing itu bergerak cepat dari tempat persembunyiannya kemudian melompati tubuh si m**i dan satu loncatan lagi menuju tingkap dan hilang entah kemana.

Suasana yang tadinya agak riuh kini berubah menjadi sangat sunyi dan tidak lama kemudian hinggar binggar dengan orang ramai melarikan diri. Aku yang berada paling hampir dengan si m**i kini kaku tidak dapat bergerak dan mengigil ketakutan kerana perubahan suasana di tempat itu. Beberapa orang Bobohizan (bomoh wanita) sudah mula mempersiapkan diri dan peralatan untuk menghadapi keadaan yang tidak terduga itu.

Gerakan perlahan dari kain yang menyelimuti mendiang mula bergerak dan tiba-tiba tubuh si m**i terus bangun dan berdiri. Matanya terbuntang luas berwarna kemerahan dengan taring yang mula muncul dari giginya dan kukunya pula makin memanjang. Matanya mula memandang sekitar untuk mencari celah untuk melarikan diri. Tubuhnya sudah mula melompat-lompat untuk lari keluar dari tempat itu.

(Biasanya manusia kalau mahu bangun dari katil akan duduk dahulu baru berdiri tapi mayat itu terus berdiri kaku. Kenapa melompat macam pocong/hantu cina – Jiang Shi? Kan dia dah m**i, kakinya dah keras kejung nak melangkah macam mana?)
Dalam gigilan yang semakin hebat aku merasa ditarik oleh seseorang dan kini berada dekat dengan dinding dan dipeluk erat oleh bapa aku. Aku melihat beberapa Bobohizan dan orang-orang tua termasuk nenek aku mula mengelilingi si m**i dan membacakan mantera beramai-ramai.

“Suruh siapa saja bawa to’olu. Bawa cepat” kata seorang Bobohizan Dima kepada ketua kampung yang terus turun dan mencarinya disekeliling rumah mendiang. Tidak lama kemudian ketua kampung membawa tiga antan lesung padi dan terus memberikannya kepada Bobohizan tadi.

(to’olu itu adalah antan/alu/penumbuk lesung padi dan biasanya setiap isi rumah di kampung kami mempunyai lesung padi sendiri untuk menumbuk padi menjadikannya beras)
Sang Bobohizan Dima terus membacakan mantera dan menyemburkan air dari mulutnya ke tiga antan tadi dan setelah itu dua antan tadi diserahkan kepada dua bobohizan lain. Melihat si m**i sudah mula mengganas dengan menyerang orang yang masih ada di atas rumah. Si Bobohizan Dima terus mempercepatkan bacaan mantera dan mengelilingi kawasan tempat si m**i dengan antan tadi diseret meninggalkan kesan putih heretan di lantai kayu.

Si m**i mula meronta-ronta dan cuba mengeluarkan dirinya dari kepungan. Satu orang sempat ditangkapnya dan segera dicekik. Melihat hal itu Bobohizan Dima terus memukul si m**i dengan to’olu dengan diikuti pukulan dari dua bobohizan lain. Setelah pukulan pertama si m**i terus melepaskan orang yang ditangkapnya dan cuba melompat keluar dari atap tapi mujur kakinya sempat ditangkap oleh seorang bobohizan. Pukulan terus dilakukan sampai mayat tadi terbaring kaku dan roh jahat yang merasukinya melarikan diri.

(Sebenarnya kata bapa aku pukulan yang dilakukan tidaklah kuat cukup hanya untuk melemahkannya dan menghilangkan roh jahat tadi.)
Apabila badan si m**i telah terbujur kaku di lantai salah seorang Bobohizan tadi memeriksa tubuh si m**i dengan membuka matanya dan giginya memastikan mata dan giginya telah kembali seperti asal. Dan tubuh mendiang diletak kembali ke tikar tadi dengan satu antan diletakkan di atas tubuhnya dan dua lagi di kiri dan kanan.
Pengebumian berjalan lancar dan keluarga si m**i diminta untuk berjaga di kuburan selama seminggu untuk mengelakkan roh jahat tadi datang untuk mengambil badan si m**i. Kata nenek aku apabila roh jahat tadi merasuki tubuh orang m**i biasanya si m**i tadi akan lari ke hutan dan bila-bila masa saja dia akan datang balik dan membantai habis satu kampung dan kampung berhampiran.

Mengapa mengunakan antan untuk melawan roh jahat ini?. Masyarakat Kadazandusun percaya padi yang ditanam mempunyai semangat padi yang dinamakan Bambarayon yang merupakan semangat terkuat. Oleh itu semua alat yang berkaitan padi juga mempunyai semangat padi ini jadi untuk melawan roh jahat guna saja benda yang mempunyai semangat padi.

Ini adalah kisah yang terjadi pada tahun 1940-50an ketika agama Islam dan Kristian belum dianuti secukupnya jadi banyak yang masih mengamalkan adat nenek moyang. Bobohizan yang dulunya merupakan orang terpenting dalam kehidupan setempat kini tugasnya mula memudar dan hanya dapat dilihat ketika Pesta Kaamatan sahaja. Sekarang agama dan dunia moden sudah mula mengambil alih adat lama yang dulunya dipegang erat.

Kisah 6
Kisah-kisah berikutnya adalah cerita dari bapa aku. Senang jer nak buat bapa aku ni bercerita, bapa aku ni dia suka sangat suruh anak-anak dia untuk mengurut badan dia dan juga mencabut uban dia, gatal sangat katanya uban dia tu. Adik beradik aku yang lain tak berapa suka sebab rambut bapa aku ni pendek sangat tak sampai pun satu inci lepastu licin sebab dia suka letak minyak rambut, jadinya aku lah yang selalu jadi tukang cabut uban. Sambil cabut uban tu aku mintalah bapa aku bercerita. Biasanya ada syarat dia kalau nak dengar cerita dia, mesti cabut 100helai. Bila rambut yang aku cabut tu terputus mesti dia marah aku, tambah gatal kepala bapa katanya. Syarat tambahan dia cabut uban tak boleh putus, aku setuju jer sebab bila bapa aku dah tidur aku pun apalagi cabut larilah 😊

Bapa aku ni lahir pada tahun 1938, lahir 3 tahun sebelum perang dunia ke 2 (1941) dan telah melalui banyak zaman pemerintahan iaitu British, Jepun, Komunis dan Malaya yang akhirnya ditukar ke Malaysia. Banyak kisah-kisah zaman perang yang dialaminya dikongsikan bersama anak-anaknya. Bapa aku ni cuma standard 6 je tapi bila dia tengok subjek matematik tingkatan 5 katanya ini dia belajar masa darjah 5 je.. baca dan tulis Jawi pun dia pandai katanya diajar masa dia sekolah dulu dan sampai sekarang dia masih ingat.

Bapa aku ni kira kahwin lambat dalam umurnya 26 tahun baru berkahwin sebab waktu tu dia kena menyara ibu dan adik-adiknya yang seramai 6 orang. Tahun 60an biasanya orang menikah pada usia belasan dan kawin pada usia 20 tahun keatas dikira kawin lambat. Bapa aku ni anak sulung jadinya dia merasa bertanggungjawab kepada keluarganya apalagi waktu tu hidup mereka agak miskin waktu itu jadi dia merasa dia patut keluar untuk bekerja dan menyara keluarga. Keluarga mereka waktu itu hanya mengandalkan kebun, hutan dan sungai untuk mencari makanan.

Bapa aku ni selepas je darjah enam dia terus keluar dari kampung untuk bekerja sebagai pembantu mekanik di sebuah bengkel dan sewaktu bekerja tu lah dia belajar tentang enjin lori dan jentera berat dan beberapa tahun kemudian dia dapat kerja sebagai mekanik di sebuah syarikat British yang terlibat dalam pembinaan jalanraya. Lama juga bapa kerja dengan company tu dan lepas syarikat tu tutup bapa terus balik kampung dan membuka kedai runcit. Katanya dah penat bergelumang dengan minyak dan spanar. Duit gaji bapa aku waktu tu memang lumayan gaji dibayar guna Dollar ya..uang pampasan pun banyak bapa aku dapat sebab bapa aku ni kira orang lama juga dalam company tu lebih 20 tahun juga dia kerja dengan company tu.

Sewaktu kerja dengan orang British nilah bapa aku mula menabung untuk membeli lori dan ketika boss bapa tahu dia sendiri yang menambah duit untuk mencukupkan harga lori itu dan diberikannya sebuah kereta company yang belum lama dipakai oleh syarikat.
Lori ni bapa beli semasa berkerja dengan company British tu dan belum lagi membuka kedai runcit sebab baginya dengan lori itu dia boleh menjana pendapatan dengan mengangkut barangan yang ditempah dan perlahan-lahan menyimpan duit untuk membuka kedai runcit, dan dengan duit pendapatan lori inilah bapa aku meminang mama aku  . Setelah keluar dari company tu bapa aku terus membangun kedai runcitnya dan setelah itu barangan perlu dibeli dan disimpan sebelum dijual.

Waktu tu kedai runcit yang dibuka oleh bapa aku ni menjadi tumpuan penduduk kampung dan sekitarnya. Sekarang kedai tu dah tak ada sebab bapa dan mama aku dah tak larat nak buka kedai dan tidak ada seorang pun dari enam anaknya yang mahu jadi tauke kedai. Semuanya dah kerja merata tempat. Lagipun kampung kami dah maju dah banyak kedai-kedai yang dibuka di sekitar kampung kami. Kamipun tidak mahu ibubapa kami berkerja keras dan menyuruh mereka berehat sahaja di rumah dan sesekali turun ke kebun untuk mengeluarkan peluh. Ketika mereka masih muda mereka dah membanting tulang untuk kami dan sekarang kami pula yang menyara mereka.

Untuk menambah stok barangan kedai bapa selalu keluar membeli barangan di Kota Kinabalu (KK), tahun 50an sehingga 70an ketika ini jalan raya melalui hutan tebal dan jalan dari kampung kami masih lagi jalan tanah merah dan kadang-kadang berhari-hari bapa terpaksa bermalam di dalam lori akibat jalan rosak or tayar terbenam dalam lumpur ataupun lorinya rosak. Semasa perjalanan inilah bapa selalunya mengalami pengalaman berjumpa dengan makhluk halus. Hutan waktu ni hutan asli yang belum terusik dengan pembangunan dan belum digantikan dengan hutan kelapa sawit..

Aku dalam cerita ini adalah bapa aku dan kejadian berlaku dalam tahun 1960-1980an kata bapaku musim dia handsome boy dan zaman dia bergaya seluar dan baju bunga-bunga gitu.

Cerita ini sebenarnya adalah beberapa kisah yang berlaku sepanjang perjalanan dia menaiki lori jadi untuk memudahkan saya rangkumkan menjadi satu cerita dalam seminggu. Actually cerita ni bukanlah terjadi dalam satu minggu tu, aku sengaja jadikannya dalam kisah 1 minggu sebab bapa aku ni punya banyak cerita seram dan aku ambil mana yang paling seram bagi aku dan jadikan kisah dalam 1 minggu ni.

Hari Pertama
Kejadian dalam kisah ini berlaku dalam tahun 60an – 80an ya. Kejadian seram yang dialami oleh bapa aku ketika membawa lori ini biasanya berlaku ketika dia berseorangan membawa lori.
Hari tu aku sekali lagi memandu lori ke Kota Kinabalu (KK) untuk menambah stok barangan kedai. Aku terpaksa pergi berseorangan pada hari itu kerana pembantu ku cuti sakit tetapi aku tetap berkeras untuk ke KK kerana stok barang telah tahap kritikal iaitu sangat sedikit, pelanggan pun dah ramai yang mengeluh barang habis. Akibat panas terik jalan merah yang ku lalui agak kering dan senang dilalui. Selalunya aku mengambil masa 4 – 5 hari untuk sampai ke KK dan 3 hari lagi untuk mengisi barangan kedai ke atas loriku manakala balik pula boleh menjangkau sehingga ke 6 – 8 hari kerana lori berat. Dalam hatiku terselit juga perasaan takut kerana aku membawa duit yang agak banyak sepanjang hari untuk membayar harga barang. Bapa aku waktu tu bayar barang guna cash, dulu cheque dan debit online belum ada yer.

Ketika menutup barangan dengan terpal aku terpandang sekawan gagak didepanku, burung gagak itu berkaok nyaring dan entah kenapa aku rasakan seolah-olah gagak-gagak itu merenung tajam kepadaku. Apabila selesai sahaja semua urusan aku segera berangkat pulang, lori telah berat kerana sarat dengan muatan namun dalam perjalanan balik hatiku berdebar-debar kerana aku tahu pasti ada sesuatu yang menantikan aku. Sambil membayangkan isteri tercinta dan anak-anakku yang tersayang aku menguatkan hati untuk menempuh perjalanan panjang ini.

Setelah melalui kampung M aku akan melalui hutan tebal dan setelah itu dalam 6-7 hari akan sampai ke rumah. Ketika melalui hutan tebal itulah enjin lori terhenti secara tiba-tiba, aku cuba menghidupkan enjin beberapa kali tetapi tetap gagal. Ketika hendak turun aku terdengar bunyi ranting patah dan bunyi daun bergeser. Dalam hati aku cuma fikirkan ada kawanan gajah di sekitar kawasan. Aku segera masuk ke dalam lori dan mengunci pintu dan terus menaikkan kaca tingkap dan menyambar senapang patah dan kotak peluru. (bapa Helen ni ada lesen senjata ye perlu untuk protection semasa dalam perjalanan dan senjatanya pun dia dapat semasa zaman British begitu) Dalam hati aku terus berharap yang itu adalah haiwan dan bukannya kawanan perompak.

Bunyi bergeser itu ku dengar semakin dekat dan aku terus memerhatikan dengan penuh rasa cemas di sekeliling ku, dalam hati aku berdoa agar itu adalah haiwan seperti gajah dan bukannya kawanan perompak kerana perompak ini selalunya kejam dan akan terus m******h mangsanya. Tiba-tiba aku tersedar yang waktu itu cukup sunyi kerana kebiasaannya hutan ini riuh dengan bunyi haiwan dan unggas sehinggakan bunyi daun dan ranting bergeser langsung tak kedengaran ketika ini. Sebab terlalu sunyi tulah telinga aku rasa sampai berdengung.

Di sebelah kiri jalan aku terlihat rumput terkuak dan aku terpempan apabila kelibat kepala haiwan menjengguk keluar. Lama baru aku tersedar yang itu adalah kepala ular tetapi ular ini sangatlah besar, badannya saja lebih besar dari tong drum minyak ia lebih seperti pokok kayu dengan 5 sepemeluk. Cuba korang bayangkan berapa besar kepalanya kalau badannya saja sebesar lima sepemeluk??(kalau ikut gambaran yang diberi oleh bapa aku ular ini bukan ular anakonda seperti yang aku fikirkan lagipun Borneo mana ada ular anakonda)

Dalam keadaan terpaku aku melihat ular itu menyusur ke seberang, di pertengahan jalan ia mengangkat kepala mendekati cermin lori dan memandangku tajam, ku lihat kepalanya mempunyai tanduk tetapi kecil seakan tanduk anak lembu dan lidahnya yang berwarna merah dan bercabang terjelir di hadapanku sambil berbunyi mendesir dan agak lama juga ular tu merenungku dan matanya berkedip dua kali sebelum berpaling dan meneruskan perjalanannya. Waktu itu aku menjadi beku, kaku kerana ketakutan dalam hati aku hanya terfikir m**i saja ketika itu.

Selepas ular itu berlalu hatiku berulang kali menyebut ‘‘ular tu berkedip” berkumandang. Mataku tetap terpaku ke badan ular itu dan kulihat badan ular itu tidak seperti ular biasa yang berkulit licin dan berkilau tetapi ular didepan ku ini berwarna hitam kehijauan, kulitnya ada yang tumbuh lumut dan ada yang beberapa pokok kecil tumbuh di badannya – maksudnya ada tanah yang melekat di tubuh ular itu menyebabkan beberapa rumput dan pokok kecil tumbuh diatasnya .

(Untuk pengetahuan mata ular tidak akan berkedip seperti manusia dan binatang lainnya, kerana ular tidak mepunyai kelopak mata. ular hanya ada selaput putih pada mata sebagai pelindung yang akan menutup dan membersihkan mata ular)
Agak lama juga baru kulihat ekornya melintas di depanku. Peluh dingin ku lap dengan tangan. Perlahan-lahan kesedaran muncul di benakku yang itu bukan ular biasa sebab ular biasa matanya takkan berkedip. Dan baru aku teringat kata aki aku(datuk bapa – kira moyang akulah) yang pernah menceritakan ular sawa ni untuk menjadi naga, ular tu harus bertapa selama beribu-ribu tahun. Tetapi ada juga yang berkata ular tu jelmaan jin aka penunggu hutan.

Setelah setengah jam menenangkan diri dari menggeletar dan berpeluh sejuk aku cuba menghidupkan enjin lori dan enjin terus hidup dalam satu putaran kunci. Aku bawa lori ketika itu agak laju kerana timbul perasaan takut manalah tahu ular tu balik semula, aku dengan lori ku sekali boleh di ngapnya (ditelan) sekali.
~~~~~~~~
Pergerakan badan dan tangan bapa aku semasa mengayakan ngap dengan sebutannya ketika itu sungguh mengelikan hati aku. Benar kata orang kenangan acap kali menerbitkan rasa rindu yang sangat kuat yang tidak dapat dipujuk oleh orang sekitar. Orang kata Time heals all wounds tapi bila kenangan dengan orang yang kita sayang tetap tidak boleh memadamkan ingatan tentang mereka.
Hari kedua

Perjalanan di waktu siang agak berjalan lancar, panas terik menyebabkan jalan kering dan tidak menyebabkan aku kesulitan melaluinya.
Apabila malam hampir menjelma aku menghentikan lori, meletakkan tanda segitiga di belakang dan depan lori dan mula memasak untuk makan malam. Makananku cukup ringkas sekadar untuk mengisi perut kosong sahaja iaitu nasi putih dan satu makanan tin sardin pedas. Aku naik ke dalam lori untuk tidur dan kebiasaanya aku hanya tidur-tidur ayam sahaja untuk mengawasi tiada yang datang mencuri baranganku. Ketika hampir menjelang tengah malam tiba-tiba loriku dibaling dengan tanah dari arah kiri hutan.

Pada mulanya aku fikirkan budak nakal ingin mengacau tapi bila difikirkan balik ini kan hutan tebal dan tidak ada rumah/perkampungan berhampiran dengan tempat aku sekarang ni.

Aku segera menghidupkan enjin lori untuk bersedia pergi dari tempat itu setelah itu aku segera memasang lampu suluhku dan kuhalakan ke sebelah kiri hutan dan perlahan-lahan ku gerakkan lampu itu menyinari kawasan hutan tetapi tidak apa-apa yang kulihat hanyalah rimbunan hutan tebal di depanku. Ketika kumatikan lampu ku lihat di sebalik batang pokok beberapa pasang mata berwarna merah memerhatikanku.Aku mula menekan tuas minyak dan clutch untuk menggerakkan lori tetapi lori seakan tidak mahu berganjak dari situ. Biarpun ku tekan tuas minyak hingga mencecah lantai tetapi lori tetap tidak bergerak seinci pun. Peluh dingin mulai merembes keluar dari tubuhku aku hanya terfikirkan akan m**i sahaja ketika itu perlahan ku kembalikan gear ke keadaan normal.

Di luar pula ku dengar bunyi seakan bersahut-sahutan seakan memanggil yang lain kini ku dengar semakin ramai dan telah berada dikiri dan kananku dan suara itu ku dengar seperti jauh walhal aku tahu mereka telah dekat dengan loriku. Senapang terus ku pegang erat manakala parang panjang ku letakkan di atas kerusi penumpang supaya senang diambil apabila perlu dan sekilas pandanganku jatuh ke arah gambar keluargaku yang ku letak di penghadang silau di atasku.

Perlahan muncul keberanianku untuk mempertahankan diri dan aku cuba menggapai di bawah tempat dudukku untuk mengambil peluru tambahan, walaupun kutahu peluru tidak akan berguna ketika ini tapi bagiku melawan lagi bagus daripada menyerah untuk m**i. Entah mengapa tiba-tiba mataku jatuh kepada baldi berisi daging kijang yang aku tembak lewat petang yang terletak di tempat letak kaki penumpang.

Aku terus membuka kotak dan menyambar daging itu dan terus membuka pintu lori dan melempar sekuat-kuatnya ke arah kiri dan kanan hutan manakala baldi yang telah berbau d***h pun aku lemparkan ke hutan dan setelah itu aku terus masuk ke dalam lori.Suara bersahutan yang tadinya riuh berbunyi kini bertukar menjadi bunyi seakan berdengus kuat seperti sedang berebutkan sesuatu. Dalam keadaan terketar- ketar aku menukar gear dan menekan minyak untuk cuba keluar dari tempat itu dan cuba mengerakkan lori selaju yang boleh untuk segera keluar dari situ.

Dalam hati aku menyumpah kebodohan ku dan kerana telah alpa menginggat pesanan dari ayah ku agar tidak membawa daging mentah berdarah malam-malam begini sepatutnya aku harus segera memanggang/menyalai daging itu untuk menghilangkan bau d***h, tetapi kerana hari telah agak gelap menjadikan aku malas untuk mencari kayu api untuk memasak daging kijang tersebut dan hanya memasang niat untuk memanggangnya selepas hari siang berikutnya.

Kata bapa aku sebelum kahwin penguat hatinya adalah ibu bapa dan adik-adiknya tetapi setelah berpasangan dan mempunyai anak perasaan melindungi dan mempertahankan anak-anaknya menjadi penguat hatinya yang paling teguh dan tidak goyah. Bapa aku rela mengorbankan dirinya demi kebahagiaan anak dan isterinya. Sebab itu dia rela berpergian jauh berhari-hari semata-mata mencari rezeki untuk keluarga. Aww so sweet ya

Hari ketiga
Pada pagi hari ketiga ini, lori mula meragam enjin seperti tersendat-sendat ketika berjalan. Nasib aku dalam keadaan baik aku sekarang berada di kawasan perkampungan. Tidak mahu enjin lori semakin rosak aku pun menghentikan lori di tepi jalan, meletakkan segitiga dan terus menjengah ke bonet lori melihat apa yang patut diperbaiki. (Nasib baik juga bapa aku ni seorang mekanik jadi dia tahu apa yang perlu diperbuatnya untuk kes kecemasan seperti ini. memang dalam setiap perjalanan dia akan membawa tools yang lengkap dan beberapa spare parts yang selalu kena ganti dan yang dia rasa perlu.) Sebelum membaiki enjin aku meminta kebenaran dari ketua kampung untuk berada di kawasan kampung tersebut.

Seharian dihabiskan dengan memeriksa enjin dan memperbaikinya dan malam itu aku bermalam di kawasan kampung setelah penat seharian bekerja seorang diri. Aku memutuskan untuk pergi dari kampung itu seawal pagi kerana hari sudah larut petang dan bila malam bahaya selalu mengintai dimana-mana. Malam itu suasana sunyi yang mencekam dan juga udara dingin membuat aku yang terbaring di atas tempat duduk penumpang memeluk erat selimut dengan kelopak mata masih terbuntang luas. Entah mengapa mataku tidak mahu lelap biasanya malam seperti beginilah aku lelap sedap tertidur bergulung dalam selimut.

Perlahan aku mencapai senapang patah dan parang panjang dan segera kuselipkan kedalam selimutku, jendela lori segera ku naikkan dan mengunci pintu untuk tidur. Entah mengapa firasatku mengatakan akan terjadi sesuatu kepadaku malam ini. Hampir tengah malam aku terjaga bila mendengar suara seperti Uok uok uok bergema di udara. Aku segera mengemaskan genggaman pada senapang dan meraba parang panjang yang telah terikat rapi di pinggangku.

Mendengar suara burung itu terus mengamit kenangan sewaktu aku kecil dahulu. Waktu itu umurku dalam lingkungan 4-5 tahun begitu. Ketika itu sudah hampir tengah malam tetapi aku masih lagi ralat memandang pintu menunggu mama aku yang bertandang ke rumah saudara untuk membantu dan menghadiri majlis perkahwinan. Di rumah hanya ada aku, bapa aku dan Odu aku, 3 lagi adik beradik aku diheret mengikuti mama aku. Aku pula ditinggalkan kerana ketika itu sedang sakit dan bapakulah yang menjaga aku. Seharian berbaring tidur menyebabkan aku malam itu tak boleh tidur lagipun memang niat aku untuk menunggu mama aku yang aku tahu akan membawa makanan enak dari majlis kahwin.

Tiba-tiba aku terdengar satu suara Uok uok uok di kejauhan, suara itu kedengaran sangat merdu dan menarik hati sang peminat burung seperti aku. Bunyi burung itu kedengaran seperti sayup-sayup tapi suaranya indah kedengaran di telinga aku. Tanpa kusedari aku ikut meniru dan membunyikan bunyi burung itu Uok Uok tapi bapaku segera menekup mulutku dengan tangannya dan agak gelisah. Segera bapa memanggil odu (ibu kepada bapa aku) untuk turut bersama kami dan mencari cara agar burung itu segera pergi.
Kelihatan burung besar berwarna hitam bermata merah mula berdatangan ke dalam rumah, dari satu ekor hingga menjadi banyak dan semuanya memandang aku sambil berbunyi Uok uok uok dengan nyaring. Aku yang telah ketakutan hanya mampu memeluk bapa aku sekuat hati. Entah apa yang dilakukan oleh Odu, tadinya dia memotong sedikit rambutku dan tidak lama kemudiannya bau asap mula terhidu di seluruh rumah dan odu mula melibas rotan songsang di tangannya ke burung hitam itu sambil bersuara suh suh suh dalam setengah jam rumah sudah kembali tenang tanpa kelibat burung hitam.

Odu aku pun menceritakan tadi itu adalah burung puok, sejenis burung yang sangat jahat dan mempunyai penjaga. Burung ini suka berbunyi pada waktu malam dan bila ada yang menyahut suara mereka maka mereka akan mendatangi, menyerang dan memakan orang itu dan kononnya mereka memakan bermula dari lubang rectum, memakan organ dalam dan yang terakhir baru isi daging.

Walaupun pintu dan jendela tertutup rapi tetapi mereka tetap boleh masuk dari lubang sekecil apapun, kononnya bila kita menyahut suara mereka seakan mengundang mereka untuk datang. Sambil mengelus kepala ku dia berkata “sebab itu, bila malam kalau ada suara yang kau tidak pernah dengar diam-diam sajalah ya tak payah nak sahut”
Puok dalam bahasa Kadazandusun ini bermaksud burung hantu, burung hantu ni lain dari burung hantu yang biasa ni (Owl bird) ini adalah burung yang dipelihara oleh sejenis jin yang memakan daging manusia. Dan burung puok ini dulunya pernah menjadi cerita Urban legend orang-orang tua dikalangan masyarakat KadazanDusun. Mereka yang lahir pada tahun 90an kebawah pasti tahu cerita ini. Sekarang ni dah tak pernah dengar cerita Puok ni mungkin hutan habitatnya dah musnah kena tebang untuk dijadikan estet ladang kelapa sawit kot jadi mereka pun terpaksa lari jauh masuk ke hutan dalam.

Berbalik ke cerita bapa aku yang berada di dalam lori ketika ini, dia hanya berbaring di tempat duduk sambil memegang parang dan senapang. Dari kaca tingkap lori dia melihat banyak burung hitam sedang hinggap di atas bonet dan berbunyi dengan merdunya. Agak lama mereka bertenggek di atas bonet dan tiba-tiba terdengar suara garau lelaki dari udara dan burung itupun terbang entah kemana.

Kata bapa aku suara lelaki itu terdengar seperti orang yang sangat tua dan suaranya garau dan agak bergema dan itu adalah penjaga burung hantu tersebut. Mungkin mereka tak dapat sahutan untuk masuk ke dalam lori menyebabkan mereka pergi begitu sahaja. Konon katanya burung ini boleh menyusup masuk walaupun lubangnya hanya sebesar lubang jarum.

Esok paginya bapa aku menemui ketua kampung dan memberikan beberapa rokok, biskut, kopi dan makanan tin sebagai tanda terima kasih. Jangan tanya kenapa tidak memberi gula, beras atau tepung di tahun 70an ini gula, beras dan tepung semuanya dalam guni yang berisi 50kg atau 100kg dan mustahil membukanya di atas lori yang sarat dengan muatan.

Hari keempat
Seawal pagi setelah dari rumah ketua kampung aku sudah membawa lori membelah hutan dan mengharungi jalanraya agar cepat sampai ke rumah. Dalam suasana pagi yang berkabus sejuk membuatkanku segar di sepanjang perjalanan.

Sedang dalam pemanduan, aku terlihat seorang lelaki tua dan anaknya sedang berjalan menghala searah denganku. Dan bila di lihatnya aku dia terus melambaikan tangan meminta aku untuk menumpanginya. Dalam hati aku berbelah bagi untuk memberi tumpangan kerana aku takut mereka adalah orang jahat dan aku waktu itu hanya bersendirian tapi melihat seorang lelaki tua bongkok membuat hatiku kasihan. Jadi aku pun memperlahankan laju lori dan berniat untuk menumpangkan mereka bila telah pastikan mereka tidak membawa senjata tajam. Dan aku akan menghentikan lori beberapa meter dari mereka setelah tahu yang mereka tidak ada niat jahat.

Bila sampai sahaja lori di hadapan mereka, lori terus berhenti secara mengejut dan enjin terus m**i. Untuk ingatan semua, lori yang penuh dengan muatan tidak boleh berhenti secara tiba-tiba kerana takut muatan menolak ke arah depan yang akan membahayakan si pemandu. Dan mustahil sebuah kereta akan berhenti pegun di satu titik ketika sedang dalam pemanduan kalau gunakan brek mengejut sekalipun kereta tetap akan terseret beberapa meter sebelum berhenti.

Aku pun terus membuka pintu penumpang dan menghulur tangan untuk menarik anaknya terlebih dahulu sebelum menarik orang tua itu. Sepanjang perjalanan sunyi walaupun aku cuba menarik perhatian orang tua tersebut untuk berbual. Apa yang ku lihat dari orang tua itu, dia berambut panjang dan berjanggut berwarna putih keseluruhannya dan memakai sigar iaitu penutup kepala untuk orang lelaki kadazan dusun dan juga berpakaian hitam tradisi.

Agak jauh juga perjalanan dan tiba-tiba orang tua itu berkata “anak, nanti berhenti dekat pokok besar itu” sambil menunjuk ke satu arah.
Aku pun menurunkan kelajuan dan menukar ke gear satu dan berhenti tepat di bawah pokok besar dan turun dari lori menuju ke pintu penumpang untuk membantu mereka turun dari lori yang agak tinggi itu. Setelah turun orang tua itu mahu memberikan aku 1 akar kayu yang katanya bagus untuk orang yang suka jalan jauh. Perlahan aku menolaknya dengan baik dan aku mengatakan yang aku pun searah dengan mereka jadi bukan satu hal yang besar untuk menerima hadiah dari mereka.

Melihat mereka telah pun pergi, aku pun terus naik ke lori dan memandunya pergi. Ketika ingin mengambil air aku melihat akar kayu yang ingin diberikan orang tua itu terletak cantik di atas kerusi penumpang. Dan untuk tidak mengecilkan hati orang tua itu, aku pun menyelitkan akar kayu itu ke cermin pandang belakang.

Setelah bertanya kepada ramai orang tua tetapi seorang pun tidak tahu apa nama akar itu dan kegunaannya. Kadang-kadang akar itu mengeluarkan bau yang wangi dan tidak reput walaupun sudah berusia lebih dari 50 tahun setelah menerimanya dari orang tua tersebut.

Ada beberapa orang yang ingin meminjam akar tersebut untuk mengetahui kegunaannya tapi bila waktu malam akar itu akan kembali ke tangan aku. Aku cuba berikan kepada anak-anakku tetapi akar itu tetap kembali kepadaku. Mungkin bila aku m**i aku akan dikuburkan bersama akar itu kerana dia tidak mahu berpisah denganku.
Aku pernah kembali ke pokok besar tempat turunnya orang tua itu dengan anaknya tetapi tidak ada jejak perkampungan di tempat itu dan sampai kini tidak ada seorang pun yang tahu identiti mereka.
~~~~~~
Dan ya setelah bapa aku meninggal kayu itu pun hilang entah kemana, bapa aku setelah tua sudah tidak membawa lori jadi kayu itu selalu dia selit di dalam dompetnya tetapi bila bapa meninggal kami semua mencari ke mana-mana tetap tidak dapat ditemui kayu itu mungkin dia ikut menemani bapa aku kot.

Aku pun pernah tengok, pegang dan hidu kayu itu dan bau wangi kayu itu memang sangat wangi mengalahkan bau minyak wangi. Aku selalu berniat mengambil gambar kayu itu tetapi bila sudah dekat dengan bapa aku semua niat mengambil gambar hilang entah ke mana.

Hari kelima
Biasa zaman dulu ni kan kadang-kadang ada pokok besar yang dahannya melintang hingga ke seberang jalan, kalau zaman ni mesti pokok tu ditebang takut runtuh menghempap kereta, rumah atau pun orang ataupun takut dahan tu menghalang jalan lori atau treler yang berbadan tinggi.

Setelah aku berehat dari malam yang panjang, aku meneruskan pemanduan seperti biasa dan hari ini agak cerah tidak seperti kelmarin yang berkabut mungkin kerana hujan yang kadang-kadang turun. Sedang asyik memandu dari kejauhan aku melihat sebatang pokok yang besar yang mungkin telah berusia ratusan tahun. Ada satu dahannya besar yang melintang hingga ke seberang jalan dan di dahan itu duduk seseorang berbaju putih sedang asyik menghayunkan kaki sambil bernyanyi. Aku mendengar suara bernyanyi itu sebab aku sedang membuka tingkap.

Aku tahu itu bukan manusia, mana mungkin ada perkampungan manusia di tengah-tengah hutan tebal ini. Dan mana mungkin seorang ayah atau ibu melepaskan anaknya dan itu perempuan anak dara sunti lagi bermain seorang diri jauh-jauh tanpa pengawasan mereka. Siang terik begini pun nak juga dia keluar dah tak larat dia nak tunggu malam mau juga keluar menunggu orang nak menyakat. Tapi minta maaflah sudah salah orang dia nak kacau ni.

Bila lori sudah semakin dekat dengan dahan itu, makhluk itu merayap di sepanjang dahan dan terus melompat ke bonet dan menyeringai ke arah aku. Kelihatan giginya yang hitam runcing jelas di mataku. Baunya yang meloyakan menerpa hidungku membuat aku ingin muntah. Mau saja aku brek mengejut agar dia tergolek jatuh lepastu langgar ja dia tapi mustahil pula ku lakukan inikan lori kalau aku guna kereta sudah aku buat dari tadi.

Makhluk itu yang ku ketahui adalah pontianak (cik pon) ku lihat ingin masuk ke dalam lori tetapi tidak berjaya, beberapa kali ku lihat dia seakan-akan tertahan dari masuk. Melihat aku yang tidak melayannya dia pun segera terbang ke arah bonet dan duduk di sana sambil bernyanyi sesuatu yang tidak ku ketahui liriknya sambil menghayun kedua-dua kakinya dan sambil itu sesekali dia akan melirikku dan menyeringai. Agak lama juga dia duduk berjuntai di bonet dan sepanjang dia duduk disana dan selama itulah aku terhidu bau busuk yang menyengat hidung walaupun tingkap telah ku tutup dan lubang udara ku tutup dengan kertas dan hidungku telah ku tutup dengan tuala.

Tidak tahan kerana bau busuk yang meloyakan tekak aku memberhentikan lori dan segera turun menghampiri cik pon itu dan aku terus membaling sekuat tenaga sabun mandi ke arahnya. “Puuuukkkk” bunyi kuat sabun menghentam kepalanya.
“Hoii Pontianak busuk bangkai pergi mandi sana, punyalah bau busuk kau ini buat orang mau muntah kau tahu tidak. Pergi mandi sekarang” jeritku sambil menunjuk mukanya
“Kau mau aku yang mandikan kau ya, sini kau.. turunnn…aku cakap turun, turuunn sekarang juga’ jeritku lagi sambil menghampirinya
Mendengar jeritanku terus terdengar suara tangisan mendayu dari pontianak itu dan bila aku sudah agak dekat dengannya dia segera terbang ke arah pokok tinggi tidak jauh dari lori aku berada. Aku segera memungut sabun yang ada di atas tanah dan segera membalingnya lagi ke arah pontianak itu dan bunyi samar puuukkk menandakan sekali lagi kepalanya benjol kerana kerasnya sabun mandi.
“aku sunyi, bolehkah kalau kita berka….”
Belum sempat cik pon itu bercakap ayah aku terus menyergahnya “ siapa yang mahu berkawan dengan kau, sudahlah badan bau busuk macam bangkai, rambut penuh kutu, kuku panjang penuh tahi, muka penuh daki, baju pun tak pernah cuci.” Mungkin kerana hinaan ku membuat dia sakit hati suara tangisan cik pon itu menjadi semakin kuat.
“Sekali lagi aku nampak kau kacau aku, siaplah kau. Hah sabun tu jangan lupa ambil, pergi mandi bersih-bersih dan sikat rambut kau yang penuh kutu itu, jangan lupa cuci juga baju kau tu” sekali lagi aku mengutuknya keras.

“Mengacau saja kerja kau, tengok orang senang pun tidak boleh” gerutuku lagi dan terus menaiki lori dan memutar kunci untuk menghidupkan enjin dan segera bertolak pergi dari sana. Sementara itu tangisan dari sang pontianak masih kedengaran lagi, mungkin sakit kerana kepalanya benjol terkena dua kali sabun tadi dan juga sakit hati kerana dibody shaming.
~~~~~~
Entahlah kisah ini benar atau tidak, tapi itulah yang bapa aku ceritakan jadi terpulang kepada pembaca untuk mempercayainya atau tidak itu dari hak individu masing-masing. Ataupun anggap saja cerita ini sebagai cerita lucu sebagai selingan untuk hari ini.
Kata bapa aku bunyi pontianak kalau dia bersuara bukan macam yang sering orang lain ceritakan iaitu hi hi hi (haiss korang imagine sendiri lah, macam yang dalam movie tu) tapi sebenarnya bunyi dia jeritan melengking heik heeiikk heeiiik lebih kurang macam bunyi musang. (maaf aku tak pandai nak taip jelaskan macam mana bunyi dia kalau korang nak tahu bunyi dia cuba korang tanya makcik youtube bunyi musang macam mana)
Masih aku ingat apa yang dikatakan bapa aku “kalau terdengar suara pontianak menangis mendayu di atas pokok, itu bukan maksud dia nak takutkan kita..dia cuma sedih sebab tidak tau cara nak turun balik.. tu sebab kalau dia nak naik dia main terbang saja dan kalau mahu turun dia main lompat ja dan bila kau dengar dia ketawa itu sebab dia pun ketawakan kawan dia yang juga tidak pandai turun pokok”

Cerita pasal sabun mandi ni aku akan selalu teringat satu kenangan ketika kami masih kecil-kecil dulu, dia sangat pantang bila melihat kami dalam keadaan kotor dia pasti akan tangkap kami dan menyeret kami masuk ke dalam bilik air. Dia akan mandikan kami dan sental kami dengan kain dan sabun dari atas ke bawah, bila dia sental kami terasa macam kain yang dia guna tu berus dawai, rasa kulit kami pun nak tersiat sekali bila dia sental nak bersihkan. (dulu-dulu mana ada span mandi, kena guna tuala/kain kecil 😊)
Masalahnya lagi bila dia nampak seorang dari kami kotor semua kami sekali akan dia mandikan sama tak ada chance kau nak lari sebab abang-abang aku yang dah dimandikan ni akan ikut sama nak tangkap kami sampai dapat dan heret bagi bapa aku mandikan sama, kata mereka supaya sama rata sama-sama disayangi dan merasa dimandikan oleh bapa dan sama-sama rasa sakit.

Lepastu sambil menyental dia pasti akan mengomel kami, ini yang selalu dia cakap “hah ni daki belakang telinga kau ni, tebal sangat sampai boleh tanam jagung lain kali kalau bapa mau tanam jagung, tanam belakang telinga kau sajalah”, “ini lutut ke kayu ni hitam benar macam arang”, “ini kuku orang ke kuku pontianak ini, panjang hitam penuh tanah lagi, kau mau tunggu bapa tolong potongkan?”. Bila dia tanya macam ni lebih baik kami berdiam diri saja kalau dijawab maka lagi bertambah panjang bebelan dia dan lebih lama kau dalam bilik air.

Keluar dari bilik mandi memang kami adik beradik akan jadi sangat bersih dan kulit jadi merah-merah. Masuk sekolah rendah dia memang dah tak mandikan kami yang perempuan tapi dia akan selalu tengok kami mandi bersih atau tidak, selalu dia akan cek belakang telinga, leher, siku dan lutut. Kalau dia tak puas hati dengan kebersihan kami memang dia akan suruh kami mandi balik sampai dia puas hati.

Untuk abang dan adik yang lelaki memang dia akan mandikan sekali sampailah dah nak masuk darjah 5 baru dia berhenti. Yalah dulu kan kami selalu mandi kalau tak guna air dari tangki besi guna air dari tong drum jadi bapa dengan anak lelakinya selalu mandi bersama. Kena lagi abang-abang dan adik lelaki aku tu lasak selalu keluar bermain dengan kawan dan bila balik memang kotorlah jadi mendapatlah mereka. Bila balik kuku dan lutut mereka mesti akan hitam kerana bermain congkak tanah – yang ini kena guna tumit kaki untuk buat lubang, main getah, kad, guli dan macam-macam lagi.

Hari Keenam
Setelah pemanduan sepanjang hari aku memilih untuk berehat di atas sebuah bukit yang agak tinggi dan setelah meletakkan tanda segitiga tidak jauh dari lori aku pun bersiap sedia untuk makan malam dengan nasi sisa tengahari tadi dan satu tin makanan aku buka sebagai lauk. Malam sudah mencecah ke jam 10 malam tetapi mataku masih belum mahu melelapkan mata. Sudah beberapa hari ini aku tidur sekadar tidur-tidur ayam untuk menjaga barangan di atas lori. Malam ini aku masih lagi bermalam di tengah-tengah hutan, aku berhenti di tepi jalan di atas sebuah bukit. Tahun 70an ni tidak banyak yang mempunyai kereta jadi masih aman duduk di atas bukit tanpa ada risiko kemalangan.
Bukit yang aku diami ketika ini memang agak tinggi dan boleh melihat kawasan yang agak luas dan malam itu pula bulan penuh sedang bersinar terang.

Sedang nyaman duduk sambil mengamati keadaan sekeliling aku melihat nun jauh disana ada sepohon kayu yang sangat tinggi, lebih tinggi dari pohon-pohon di sekitarnya dan dia menjulang sangat tinggi. Melihat bentuknya yang aneh dengan sepasang kaki yang tinggi dan badan yang kurus memastikan yang itu adalah hantu tinggi atau biasa kami sebut sebagai Tompulalangoi yang bermaksud orang tinggi.

Untuk tidak mencari masalah aku segera turun ke ruang kaki dan berselubung selimut di sana takut dilihat oleh benda itu. Terdengar suara dentuman langkah dan gemuruh suara pohon-pohon bergeser dipijak sesuatu. Suara deheman dan batuk seorang lelaki yang sangat tua kedengaran bergema di udara. Suara kuat raungan harimau turut membelah keheningan malam.

Mengingat pesanan dari ibuku aku segera memotong sedikit rambutku dan membakarnya sampai habis. Konon cerita pada waktu dahulu seorang lelaki masuk ke hutan untuk memburu kerana isterinya mengidam mahu memakan daging rusa dan si suami ini tidak balik-balik sampai berbulan lamanya. Tidak lama kemudian isteri dia bermimpi yang suaminya kerana terjadi satu kesalahan dia sudah bukan manusia lagi dan meminta anak cucunya untuk membakar rambut kalau bertemu dengan dia jadi dia pun akan tahu yang itu adalah sanak keluarga dia.

Dari sudut mata aku melihat sepasang kaki melintasi lori dan diikuti dengan dua ekor harimau putih besar di belakangnya. Bengis ku lihat muka harimau itu sambil sesekali ku dengar raungan kuat kedua-duanya mengaum.
Entah kenapa terpacul dari mulutku “aku anak cucumu cuma ingin tumpang bermalam, tiada niat apa-apa” yang kemudiannya suara deheman kuat terdengar menyahutiku dan kemudiannya sunyi begitu sahaja. Lama baru terdengar suara cengkerik dan unggas malam kedengaran memecah kesunyian malam.

Hari Ketujuh
Hari berikutnya berjalan dengan lancar, walaupun jalan sedikit lecak kerana hujan turun pada malam harinya tetapi lori masih boleh melaluinya dengan baik. Pemanduan kulakukan dengan berhati-hati kerana jalan basah dan licin, jadi untuk itu aku harus memandu dengan perlahan.

Sedang asyik memandu aku terlihat satu rombongan yang sedang berjalan. Melihat keanehan rombongan itu aku memutuskan untuk berhenti di bahu jalan untuk membolehkan rombongan itu lewat. Aku yakin yang itu bukannya manusia kerana melihat tubuh mereka yang agak transparent ketika disinari cahaya matahari.

Beberapa askar jepun ku lihat memegang erat bendera yang sesekali mereka kibarkan sambil sesekali jeritan perang di suarakannya. Ku lihat tawanan dari askar British dan juga penduduk tempatan yang diikat bersama berjalan dengan langkah tertatih-tatih. Ada askar jepun yang berbaris sama di kiri dan kanan turut sama berkawal dengan senapang berbayonet mereka. Jeritan dalam bahasa Jepun sesekali mereka suarakan apabila beberapa tawanan kelihatan sukar berjalan. Tawanan yang melawan mereka terus menikam dengan pisau yang berada di muncung senapang tanpa belas kasihan dan mayatnya cuma dibuang ke tepi hutan seperti membuang bangkai haiwan saja.
Dalam kesedihan aku melihat satu persatu tawanan yang sedang berjalan dengan menyeret kaki mereka sambil mengangkat barangan yang terlihat berat. Ku lihat satu persatu wajah mereka manalah tahu ada yang ku kenal tetapi hampa tiada seorang pun yang ku kenal.

Tanpa ku sedari ada seorang askar Jepun berada tepat di hadapanku. Dan bila mata ku berkalih memandangnya segera jeritan memecahkan gegendang telinga disuarakan di hadapan wajahku. Tidak mahu memanjangkan cerita aku hanya berdiam diri dan memejamkan mata cuba untuk tidak peduli. Dalam diam aku mengelap wajahku yang terkena air liur askar tadi tapi aku sedari tidak ada jejak air di wajahku. Baru aku sedar bukannya aku yang dijeritnya sebelum itu tetapi ada seorang askar British yang mencuba melarikan diri di belakang badanku.

Perlahan suara derapan langkah mulai memudar dari pendengaran aku, ku lihat sosok terakhir seorang askar jepun berjalan melewati lori. Apa yang aku hairankan jalan raya ini bukanlah laluan death march yang dilakukan oleh askar jepun tetapi pemandangan yang ku lihat ini benar-benar membuatkanku sayu akan perjuangan para tawanan untuk kekal hidup dalam penderitaan yang mereka alami.

Tamat

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Helen

Jangan terlepas cerita terbaru.

Akan terus dihantar ke email anda.

We don’t spam! Read our privacy policy for more info.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.