Kuarters Lama

Kuarters Lama.

Ayahku seorang anggota polis yang bertugas di salah sebuah balai polis di selatan tanah air dan kami sekeluarga menetap di kuarters yang telah disediakan. Namun begitu, di blok kediaman kami setinggi empat tingkat itu, hanya terdapat dua keluarga yang menghuninya. Keluargaku di tingkat satu, dan keluarga Pakcik Sabri (bukan nama sebenar) di tingkat empat. Sudah menjadi lumrah dalam tugas sebagai anggota polis, kerja tidak menentu masa. Kebiasaannya ayah hanya pulang ke rumah setelah kami adik-beradik tidur, iaitu pada lewat malam menjelang pagi. Hanya emak yang setia menunggu beliau sehingga pulang ke rumah.

Sedikit tentang latar belakang keluargaku yang lain pula, emak merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Selain menguruskan kami dua beradik, iaitu aku dan adik perempuanku serta hal-hal lain berkaitan rumahtangga, emak menghabiskan masa terluangnya dengan menonton televisyen. Terutamanya ketika menunggu kepulangan ayah pada lewat malam. Kami faham, emak hanya mahu menghilangkan rasa sunyi dan mengantuk kerana berjaga untuk menyambut kepulangan suaminya yang tercinta. Adik perempuanku berusia 15 tahun manakala aku pula sedang menunggu tawaran untuk menyambung pengajianku ke peringkat yang lebih tinggi. Sementara menunggu, aku lebih selesa untuk duduk di rumah. Bukan malas untuk bekerja, tetapi sebagai anak lelaki dan anak sulung di dalam keluarga, aku bertanggungjawab untuk menjaga keluargaku memandangkan ayah selalu tiada di rumah kerana bertugas. Di samping itu, dapat juga aku membantu adikku yang akan menghadapi peperiksaan besar hujung tahun nanti.

Sejak ayah dijadualkan untuk bertugas pada waktu malam, aku perasan akan kelainan pada wajah dan tingkah laku emak. Emak seperti menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan kami. Hampir setiap pagi ketika mahu bersarapan, aku perasan wajah emak sedikit pucat dan lesu. Letih dan tidak cukup tidur adalah jawapan yang diberi setiap kali kami bertanya tentangnya. Setelah perkara ini berlarutan, aku dan adik mengambil keputusan untuk menyelidik apakah sebenarnya yang menjadi penyebab kepada perubahan emak. Aku dan adik bersetuju untuk melakukannya pada hujung minggu.

Ketika itu hari Jumaat dan ayah bertugas pada waku malam seperti kebiasaan. Aku dan adik sudah merancang untuk berjaga pada malam itu tanpa pengetahuan emak. Emak sangat marah jika kami tidur lewat kerana katanya akan mengganggu kesihatan dan pembelajaran kami. Tetapi pada kali ini kami benar-benar ingin mendapatkan jawapan kerana risaukan keadaan emak. Malam itu, aku duduk berborak dengan adik di biliknya sementara menunggu waktu berlalu. Emak menyangka kami telah pun masuk tidur seperti kebiasaannya. Sekejap-sekejap kami menjenguk ke arah ruang tamu tempat emak menonton televisyen dengan harapan memperoleh kepastian yang diinginkan. Emak mula mematikan semua lampu kecuali di dapur. Aku melihat jam, tepat pukul 1 pagi. Leka berborak dengan nada berbisik, tidak perasan waktu berlalu begitu cepat. Berborak dalam gelap, memang tak rasa. Aku menjenguk dari langsir pintu bilik adik ke ruang tamu. Kelihatan emak sedang menyandar di sofa menghadap televisyen. “Eh, emak ni tengok cerita hantu pulak, dalam gelap pulak tu!”, bisikku kepada adik. Adik bingkas bangun dan segera menjenguk juga. “Yelah bang, eei mak ni tak takut ke?! Dah la duduk sorang-sorang tu” adik sedikit geram. Aku dan adik membiarkan sahaja emak dan kembali duduk berborak. Sekali sekala aku mencuit adik untuk memperlahankan suaranya takut-takut emak terdengar.

Tiba-tiba, aku melihat kelibat emak melintas lalu di depan bilik adik dari arah bilik air belakang. Aku dapat melihat kerana langsir pintu bilik adik sedikit jarang ditambah pula cahaya dari arah dapur. “Bang, bila pulak emak pergi bilik air ni? Tadi bukan kita jenguk emak ada kat ruang tamu ke tengah tengok tv?” tanya adik. “Itulah, abang pun pelik jugak ni. Ah, mungkin masa kita tengah leka borak emak ada lalu kot”, kataku cuba menyedapkan hati. “Ha tu emak ada tu dah duduk balik mengahdap tv, betullah tu kita yang tak perasan” tambahku lagi selepas menjenguk kembali di balik langsir. Malam itu terasa dingin sekali dengan angin bertiup agak kuat di luar sepertinya hujan akan turun. Kedengaran jelas bunyi daun-daun kering berterbangan. Bunyi pintu dan tingkap menghempas terbuka dan tertutup dek tiupan angin memecahkan kesunyian dan menambahkan suasana yang agak seram pada malam itu.

“BAMMMM!!!!” Tiba-tiba bunyi seperti pintu dihempas dengan kuat datang dari arah pintu belakang di dapur. Aku menjenguk, kelihatan emak berlari anak menuju ke dapur. Tetapi aku seperti terperasan sesuatu pada emak. Ya, aku pasti emak sedang memegang anak patung perempuan yang telah lusuh. “Adik, mari sini kejap!”, aku memanggil adik yang sedang duduk di atas katil. “Kenapa bang?”, adik sedikit terkejut. “Cuba adik tengok apa ada kat tangan mak tu?”, sambil aku menunding ke arah emak di dapur. “Eh, macam mana anak patung Alisya tu boleh ada dengan mak? Bukan ke ayah dah dermakan dulu?” soal adikku. Alisya (bukan nama sebenar) ialah adik bongsu kami yang telah meninggal dunia dua tahun lalu pada usianya mencecah tiga tahun kerana demam panas. Agak jauh perbezaan umur Alisya dengan adik dan kerana itu kami memanggilnya ‘Adik’ kerana tidak menyangka akan punyai adik yang lain. Namun, siapa yang menyangka rezeki yang Allah tentukan. Terlalu lama masa diambil untuk emak pulih seperti sediakala. Sehinggakan ayah terpaksa mendermakan kesemua barang arwah Alisya kerana emak akan meraung setiap kali memandang barang-barang tersebut. Ini termasuklah anak patung perempuan lusuh yang dipegang emak tadi, yang merupakan barang kesayangan arwah. “Dik, abang rasa ada yang tak kena lah. Adik telefon ayah suruh balik sekarang, cakap ada kecemasan”, pintaku kepada adik.

Emak berjalan kembali menuju ke ruang tamu. Anak patung itu kini dipeluknya. Aku dan adik mula berasa takut emak akan jadi seperti sebelum ini. “Bang, jomlah kita pergi kat mak. Jom kita tanya mana mak dapat patung tu. Adik takutlah”. Aku melihat adik seperti mahu menangis. Dipegang lenganku begitu kuat, aku tahu adik terlalu takut. “Nanti dulu, kita tunggu ayah balik. Kita tengok dulu apa lagi yang mak buat’, arahku. “Tapi telefon ayah masuk peti simpanan suara masa adik telefon tadi. Ayah mungkin tengah kendalikan kes”, tambah adik. Aku kebingungan sebentar. Ah, kenapa boleh jadi macam ni. Aku teringat akan keluarga Pakcik Sabri yang tinggal di tingkat empat. Anaknya Ana (bukan nama sebenar), sebaya adikku, malahan rakan sekelas di sekolah. “Adik cuba call Ana, minta ayahnya datang sebentar kat rumah kita”, aku cuba mencari jalan. “Ana bagitahu adik tadi kat sekolah harini dia sekeluarga pergi rumah makciknya kat Muar lah bang. Tapi takpa, adik bagitahu je, mana tahu mereka dah balik ke”, adik membalas.

Suasana kuarters usang pada malam itu seperti sangat menyeramkan. Hujan renyai mulai turun. Aku dan adik duduk memandang lantai menunggu dengan penuh harapan agar ada yang datang ke rumah kami. Sambil-sambil itu, kami mengawasi perilaku dan keadaan emak, walau di dalam ketakutan.

“Lagu tiga kupang..saku penuh padi..datang seekor burung masuk dalam kuali..”

Aku dan adik berpandangan. Nyanyian yang agak perlahan tetapi jelas, datang dari arah ruang tamu. Aku menjenguk, memang sah! Emak sedang menyanyi sambil menyikat rambut anak patung tadi di depan televisyen. Kali ini adik menggoncang lenganku lebih kuat sambil menggigil. Aku juga ketakutan sebenarnya, tetapi demi adik dan emak, terpaksa juga memberanikan diri. Perlakuan emak itu sangat menakutkan kami. Selang seli nyanyiannya, emak tertawa kecil seperti ada yang menggelikan hatinya. Tiba-tiba..

“Kreeekkkk. Kreeekkkkk”

Serentak aku dan adik memandang ke tingkap. Bunyi itu berhenti, tidak kedengaran lagi. “Abang, adik takutttttt”, kata adik sambil menggigil. Bunyinya seakan-akan sesuatu yang tajam menggesel kayu tingkap bilik adik. Aku memberanikan diri dan menjenguk ke arah luar tingkap. Tiada apa-apa. Hujan masih lagi renyai dan angin masih bertiup. “Bunyi angin je tu”, kataku dengan niat mententeramkan adik. Aku dan adik duduk di atas katil cuba untuk bertenang. “Adik, pasang alunan ayat-ayat Quran dalam telefon bimbit adik tu”, aku menyuruh. “Telefon abang mana?”. “Abang tertinggal kat bilik abang la. Lagipun bateri dah habis, abang lupa nak caj.” Adik menurut sahaja kataku.

“Sreetttt sroootttt sreeiiittt”

Bunyi pembesar suara telefon adik, sepertinya bunyi lagu yang rosak. Ayat-ayat suci langsung tidak kedengaran dan telefonnya itu terus terpadam dan tidak boleh dihidupkan semula. Aku mula berpeluh walaupun dalam kedinginan hujan di tengah malam itu. Bukan kepanasan, tetapi ketakutan. Aku menyuruh adik membaca surah-surah yang dihafalnya di dalam hati untuk menenangkan diri. Dalam keadaan seperti ini, bertenang itu perlu supaya dapat berfikir dengan lebih baik. Kelibat emak muncul lagi melintas di depan bilik adik. Tetapi kali ini emak berpatah balik dan berdiri tercegat di sebalik langsir pintu bilik. Gayanya seakan sedang mengamati sama ada terdapat sebarang aktiviti di dalam bilik adik. Aku memberi isyarat supaya adik diam dan tidak bergerak-gerak, takut-takut emak perasan yang aku berada di dalam bilik adik dan kami masih belum tidur lagi. Aku yang berada di atas katil adik beralih perlahan-lahan ke pinggir katil, ke arah sudut yang lebih gelap dan membatukan diri. Emak berlalu menuju ke bilik air belakang. Aku mengambil kesempatan itu untuk cuba keluar dari rumah kami dan mendapatkan bantuan dari blok kediaman di sebelah. Aku menarik tangan adik dan kami keluar daripada bilik dengan berhati-hati. Satu persatu langkah kami atur, sesekali menoleh ke arah bilik air belakang, takut-takut emak keluar dan terlihat kami. “Nak pergi mana tu?”. Berderau d***h aku tatkala mendengar suara emak di ruang tamu itu. Aku dan adik lantas menoleh tetapi tiada sesiapa di sana. Hanya televisyen yang terpasang tanpa ada yang menontonya. “Abang dengar tak?”, adik mencuit aku. “Ye, dengar. Suara emak. Tapi kan mak kan pergi bilik air belakang tadi. Mana datang pulak suara ni?”.
Tidak tahu apa yang terjadi pada malam itu, malang sungguh bagi kami apabila pintu depan berkunci dan bermangga. Kuncinya pula entah kemana. Kebiasannya memang ada di gantung di dinding tepi pintu. Mungkin ada pada emak, kami berangapan. Tiba-tiba kami terdengar lagi nyanyian lagu yang sama seperti tadi. Kali ini bukan suara emak, tetapi suara kanak-kanak perempuan! Ada sedikit pelat tetapi butirannya jelas. Kami tercari-cari dari arah mana datangnya suara nyanyian tersebut. Sekejap-sekejap nyanyian itu hilang seolah-olah sedang mempermainkan kami. “Adik, abang rasa abang tahu dari mana datang suara budak perempuan tu”, secara mendadak keberanianku muncul. Adik hanya diam membisu sambil air mata mengalir deras di pipinya. Lenganku dipaut kuat seperti tidak ingin melepaskan.

Aku membongkok perlahan-lahan sehingga berada dalam posisi seperti merangkak. Ya, suara itu datangnya dari belakang sofa tempat emak duduk menonton televisyen. Aku menjenguk kebelakang.

“PAAKK”

Badanku ditepuk adik. “Bang, adik rasa mak dah nak keluar lah tu”, kata adik. Matanya tidak terlepas dari memandang ke arah bilik air belakang dari tadi. “Adik, takda apa belakang sofa ni”, terangku bingkas bangun. Kami besetuju untuk kembali ke bilik adik, duduk di situ sehingga ayah pulang atau Pakcik Sabri datang. Itulah harapan terakhir kami. Mataku tiba-tiba menangkap sesuatu di atas sofa. Anak patung perempuan lusuh yang dipegang emak tadi berada di situ. “Aik, tadi takda pun benda alah ni, ke aku yang tak perasan?” aku terdetik di dalam hati. Aku tidak memberitahu adik kerana tidak mahu menambahkan lagi ketakutannya. Aku mengambil patung tersebut dan cepat-cepat memasukkanya ke bawah baju. Kami berjalan semula menuju ke bilik sebelum emak menyedari aktiviti kami.

“Abang rasa apa sebenarnya yang jadi ni?” adik cuba mendapatkan sedikit kepastian dariku. Aku tidak dapat nak menjawab. Tapi tekaan aku, ini semua ada kaitan dengan kuarters lama yang kami diami ini. Banyak unit rumah yang terbiar kosong. Mungkin ‘benda-benda’ tersebut telah menghuninya.

part 2: https://fiksyenshasha.com/kuarters-lama-bahagian-2/

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

armyy

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 10 Average: 4.2]

25 thoughts on “Kuarters Lama”

  1. Maaf tuan-tuan dan puan-puan, saya tak sempat taip habis semalam. Banyak kerja di office. Saya dah sambung sampai habis. Ada bahagian 2. Maaf

    Reply
  2. Bro setori kau pun boleh tahan hebat..aku baru selesai baca yang ini. utk karya pertama kau dah mcm penulis pro juga ni.. aku ikut saspen dalam setori kau..

    Reply
    • huhu cerita ni aku pernah publish dalam forum kisah seram masa zaman aktif kat beetalk dulu. cuma aku edit sikit untuk penambahbaikan. thanks bro, aku cuba-cuba je.

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.