Kuarters Lama (Bahagian 2)

Kuarters Lama (sambungan)

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi. Ahh, kenapa ayah masih belum pulang. Pakcik Sabri juga kenapa tidak sampai-sampai lagi. Aku dan adik semakin buntu. Semakin lama semakin banyak kejadian yang sangat menakutkan kami terjadi. Kami hanya mampu berdoa agar segalanya kembali normal dan baik-baik sahaja.

“Abang……..adik…… mak tahu korang belum tidur lagi…. hehehehe”, tiba-tiba terdengar suara emak dari luar bilik. Saat kami memandang, kelibat emak sudah pun berada di depan bilik adik, tetapi masih di belakang langsir. Dari samar-samar cahaya aku melihat wajah emak seperti sedang menyeringai.

“Emak! Kenapa emak macamni!” raung adik sambil menangis. “Emak buat adik takuttttt” sambungnya lagi dalam esakan. “Shhhh, jangan bising-bising..kan Alisya tengah tidur tu…nanti dia terjaga pulak”, emak berkata-kata lagi. “Emak! Alisya dah lama takda mak, apa yang mak merepek ni!”, kataku kepada emak.

“Tidakkkkkkkkkkkkkkk!!!” Emak menjerit seperti kerasukan. Suaranya serak-serak sedikit. “Jangan kau cakap macamtu lagi!!!”, kali ini emak menyelak langsir bilik dan mara sedikit ke arah kami. Barulah kami dapat melihat wajah emak dengan jelas dalam kesamaran cahaya itu. Mata hitamnya ke atas, hanya mata putihnya yang kelihatan. Kepalanya pula sekejap ditelengkan ke kiri, sekejap pula ke kanan.

‘Abang….meh bagi balik kat mak patung tu..nanti Alisya bangun nak main..bagi balik meh..” lembut emak berkata kepadaku seperti memujuk. “Macam mana pulak emak boleh tahu aku yang ambil patung tu?”, bisikku di dalam hati. “Kat mana abang amik patung tu?”, adik menyoal. “Atas sofa kat ruang tamu tadi”, aku menjawab. “Mak…tolonglah jangan macamni..abang dengan adik sedih tengok mak..kami langsung dah tak kenal mak..”, kataku sedikit sebak. “Aku cakap bagi balik patung tu!!!” emak mengherdik lantas bergerak laju menuju ke arahku. Anak patung perempuan lusuh itu dirampas dariku dan kini ditangannya. Emak tertawa sambil membelai rambut anak patung tersebut dan berlalu keluar dari bilik menuju ke ruang tamu semula.

“Tok tok tok” “Tok tok tok” bunyi pintu depan diketuk. “Emaknya! Abang! Adik!” kedengaran suara ayah dari luar. “Buka pintu ni. Siapa yang mangga pintu depan ni, ayah takda kunci” kata ayah lagi. “Ayah!!!!!!” Tiba-tiba adik menjerit dan berlari ke bilik emak. Adik sempat menyelongkar laci dan terjumpa anak kunci mangga tersebut. Kami sempat menjengah ke ruang tamu. “Eh mana pulak emak ni!” Aku dan adik berpandangan sebelum membuka pintu. Ahh, terasa lega betul tatkala melihat wajah ayah di depan pintu. Adik terus meluru kepada ayah dan memeluknya. Adik menangis semahunya dalam dakapan ayah. “Eh, kenapa ni adik? Abang? Mana mak?”, bertalu soalan ayah dalam mendapatkan kepastian. “Ayah, tadi….” belum sempat aku menghabiskan ayatku emak muncul dari dapur sambil memegang segelas air. Tetapi kali ini emak kelihatan normal sambil tersenyum menghulur air kepada ayah dan bersalam. Aku dan adik kebingungan. “Abang ni ha ayahnya, mengacau adik. Takut-takutkan adik dengan cerita hantu. Tu yang adik menangis. Ayah macam tak kenal adik tu, memang penakut sikit”.

“Apa hal kecemasan yang adik cakap tadi? Ayah tak perasan telefon ayah dah mati, nak balik baru sempat caj kejap. Lagipun ayah tengah sibuk teliti fail kes yang baru jadi siang tadi”, ayah bertanya sambil menerangkan situasinya. “Takda apa ayahnya, tadi angin kuat sangat, lepastu takda elektrik sekejap. Cari-cari lilin dalam laci dapur, tak jumpa pulak. Saya dah cakap dengan adik jangan kacau ayahnya, tapi adik ni kan penakut. Bila bergelap lagi menjadi-jadilah” kata emak, mereka-reka cerita. Ayah berlalu ke ruang tamu diikuti emak. Aku dan adik memandang emak dengan penuh geram. Sambil lalu melepasi kami berdua, emak sempat memberikan jelingan tajam tanda amarannya kepada kami.

“Kenapa abang dengan adik tak tidur lagi? Dah lewat ni. Biasanya waktu-waktu macamni dah lama lena dah korang”, tanya ayah. Aku baru nak membuka mulut untuk menjawab, sekali lagi emak terlebih dahulu menjawab pertanyaan ayah itu. “Saja je diorang ni nak temankan emaknya sementara menunggu ayah balik. Lagipun esok adik tak bersekolah, hari Sabtu. Abang pulak kan memang duduk rumah je” kata emak lagi. Aku menarik tangan adik dan menuju ke biliknya. “Adik perasan tak mak asyik potong je cakap kita bila ayah tanya? Mak dah yakinkan ayah takda apa-apa yang berlaku. Susah lah macamni” kataku. “Yelah bang, kenapa tiba-tiba mak boleh jadi macam biasa balik, elok je adik tengok tadi. Yang geramnya boleh pulak mak reka cerita!”.

“Apa yang awak cakap ni emaknya!” kedengaran suara ayah sedikit marah. “Anak kita Alisya dah dua tahun meninggal!”. Dengarnya seperti ayah dan emak sedang bertengkar. “Saya ingat awak dah pulih sepenuhnya, rupanya awak masih lagi macam ni, sudah-sudahlah tu emaknya”. Aku dan adik segera ke ruang tamu. “Ayah, itulah yang abang dan adik nak bagitahu ayah tadi tapi mak dah memotong cakap kami”, aku mula menjelaskan. Ketika itu emak mula mendengus menahan marah. Emak menyerabaikan rambutnya sehingga menutup muka. Nafasnya begitu kuat sehingga rambut yang menutupi mukanya terangkat-angkat sedikit.

“Korang semua penipu! Budak ni tak mati! Aku baru tidurkan dia tadi. Nampak ni dia tengah tidur!” kata emak sambil menggendong anak patung perempuan lusuh seperti bayi. Mana awak dapat patung tu emaknya?” soal ayah. “Bukan ke saya dah derma semua barang arwah dulu!”

“Hehehehehehe….” emak ketawa panjang. “Kau bodoh! Aku faham perasaan sedih dan sunyi yang perempuan ni alami, kau tak perlu tahu macam mana aku dapatkan patung ni!” kali ini suara emak berubah langsung. Tidak lembut seperti kebiasaan malahan sedikit garau dan nyaring. “Kau tak sepatutnya biarkan perempuan ini menanggung derita. Aku dah laluinya! “ kata emak lagi sambil mendengus-dengus. Kali ini kedua-dua tangan emak merengkot ke bahagian dada dan badannya mula membongkok sedikit. “Emaknya, bawa-bawalah beristighfar, ingat kat Allah. Kenapa awak boleh jadi sampai macam ni”, keluh ayah. Aku dan adik sayu melihat wajah ayah. Kami tahu ayah keletihan kerana baru selesai bertugas. Sayu lagi memandang emak dalam keadaan sebegitu rupa. Adik mula menangis kembali. Kali ini aku juga tidak dapat menahan air mataku dari jatuh ke pipi.

“Assalamualaikum!” Suara lelaki memberi salam itu datangnya dari luar. “Waalaikumsalam” ayah menjawab salam dan terus membuka pintu. “Ha, kau Sabri. Tepat pada masanya. Begini….”. “Dah, aku dah tahu. Adik ada bagitahu Ana tadi”, celah Pakcik Sabri. Aku tersenyum memandang adik sambil menunjukkan isyarat bagus. Ayah membawa Pakcik Sabri kepada emak. Mujurlah Pakcik Sabri seorang yang tahu serba sedikit tentang perkara sebegini. Nak kata hebat, belum pernah dengar lagi beliau mengubat orang.

“Kak Mah”, Pakcik Sabri memanggil emak. “Akak sedar tak apa yang akak buat sekarang ni?”. Emak berpaling muka ke arah Pakcik Sabri dan menjeling tajam, tanpa sebutir bicara. “Siapa suruh kau datang sini!” “Balikkk!!!”, emak mengherdik dan menghalau Pakcik Sabri. “Tidak, kau bukan Kak Mah, siapa kau sebenarnya!!!”, suara Pakcik Sabri agak kuat ketika ini. Emak ketawa lagi. Adakala ketawanya itu seperti bunyi suara mengilai. Emak berlari anak mengelilingi ruang tamu dengan tangannya didepakan. Gayanya seperti wanita yang keriangan. Kemudian berhenti, dan sambung ketawa lagi. Sah, memang ada sesuatu yang sedang menggangu emak. “Aku tanya sekali lagi siapa kau, kalau tak kau sakit nanti!” kali ini mulut Pakcik Sabri terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Quran.

“Jangaaaaaannnnn!! Arghhhhhhh sakitttlahhh bodohhhhhh!!” emak menjerit kesakitan. Aku memandang adik. Adik berpaling muka, tidak sanggup melihat emak dalam keadaan begitu.

4:00 pagi. Hujan semakin lebat dengan tiupan angin yang semakin kencang di luar. Sesekali kilat menyambar dan guruh berdentum memeranjatkan kami. “Aku tanya buat kali terakhir atau aku hantar kau balik, jawab pertanyaan aku ni, siapa kau dan dari mana kau datang!” kebolehan istimewa Pakcik Sabri mula terserlah. “Jangannnn! Jangan hantar aku balik. Tolooongglahhh!”, emak merayu. “Aku tinggal di rumah sebelah. Dulu aku juga seperti perempuan ni. Aku kematian anak, dan aku bertindak menamatkan hayatku kerana tidak mampu menanggung penderitaan ini”, sambungnya lagi, “Aku selalu memerhatikan perempuan ni, jiwanya kosong. Dia selalu duduk termenung bila keseorangan. Aku dapat selam isi hatinya, sebab tu aku nak berkongsi rasa dengan dia!”, jelasnya lagi yang merujuk kepada emak.

Kini tahulah kami apakah yang menggangu emak sehingga menjadi sebegini. Rupa-rupanya ada kejadian bunuh diri di blok kediaman kami lama dulu sebelum kami tinggal di sini. Dan kejadian itu berlaku di rumah sebelah! Ayah dan Pakcik Sabri memang mengetahuinya dari awal namun bertindak menyembunyikannya dari pengetahuan keluarga masing-masing. Mungkin tidak mahu menimbulkan rasa takut dan resah. Tetapi sejak kes itu, ini adalah kali pertama kejadian gangguan dan seumpamanya ini berlaku. Kami juga ada terfikir, mungkin dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, agak membebankan untuk menyewa di luar. Lebih baik gunakan kemudahan kuarters yang disediakan, banyak boleh jimat! Walaupun ianya adalah kuarters lama. Mungkin ini sebabnya kenapa tidak ramai orang yang mahu tinggal di blok kami.

“Sabri, kau tanya dia dah berapa lama dia tinggal kat sini? Tolong suruh dia keluar dan jangan kacau keluarga aku lagi”, ayah bersuara. “Kau nak tahu macam mana anak aku mati?”, makhluk yang menggangu emak itu mula mendedahkan kisahnya dan perlahan-lahan ia berubah menjadi sayu dan sedih.
Dalam esak tangis kecil, ia bercerita…

“Keluarga aku adalah antara penghuni awal blok ini sejak ia dibina. Suamiku kadang-kala langsung tidak pulang kerana bertugas di perbatasan. Mujur aku mempunyai seroang anak perempuan, satu-satunya anak yang kami ada sebagai penemanku. Namun pada suatu hari…” ia terhenti lantas menekup muka seperti menanggung kesedihan yang teramat. Beberapa ketika setelah agak tenang, ia menyambung.. “Ketika itu aku sedang memandikan anakku, aku terlupa akan nasi yang sedang ditanak di dapur untuk makan tengah hari. Lantas aku ke dapur dan membiarkan anakku bersendirian di dalam bilik air. Seketika kemudian aku kembali….” kali ini tangisannya mulai kuat. Aku tidak dapat menahan kesedihan dan rasa bersalah. Dia satu-satunya anak yang aku ada, dan dia mati disebabkan aku!” katanya lagi. “Setelah kejadian itu, suamiku semakin kurang mahu bercakap denganku, apatah lagi bermesra. Aku semakin tertekan dari hari ke hari dan dihantui rasa bersalah”. Aku tak sengaja…Apakah sanggup seorang ibu membunuh anak sendiri?!”, kali ini ia jatuh terduduk sambil meratap menangis. Kesedihan yang makhluk itu rasai juga dapat kami rasa. Tetapi ia bukan alasan untuk menggangu emak dan kami sekeluarga.

“Siapa nama kau?”, soal Pakcik Sabri.
“Rafidah…”, jawabnya.

“Rafidah, aku minta kau keluar dari badan wanita ni dan jangan kau ganggu keluarga ini dan sesiapapun lagi lepas ni. Boleh kau lakukan?” kali ini Pakcik Sabri berjalan mengelilingi emak yang masih dalam keadaan terduduk merenung lantai. Dengan serta-merta emak ketawa panjang. Bunyinya membuatkan kami berasa seram. Aku dan adik segera berdiri berhampiran ayah dan Pakcik Sabri. “Abang, ambilkan pakcik semangkuk air, garam kasar, biji lada hitam dan botol kosong”, pinta Pakcik Sabri kepadaku. Aku segera berlalu ke dapur. Mujurlah aku tahu di mana emak menyimpan barang-barang yang disebutkan tadi. Sekembalinya aku ke ruang tamu, emak sudah mula bertindak ganas. Rafidah yang merasuk sepertinya tidak mahu keluar dari jasad emak. Dengan keadaan di luar yang masih hujan lebat beserta kilat sabung menyabung dan angin bertiup kencang, suasana ketika itu tidak ubah seperti filem-filem seram yang ditayangkan di televisyen.

“Aku takkan keluar selagi perempuan ni tak mati!! Aku takkan biarkan dia menderita merindui anaknya seperti aku, lebih baik dia mati! Hehehehehe”, kata Rafidah yang merasuk. Nampaknya makhluk itu inginkan emak menerima nasib yang sama seperti dirinya juga. Berkesudahan dengan kematian. Kami menjadi cemas dan panik apabila emak mencekik lehernya sendiri dengan kuat. Ya, ianya adalah perbuatan Rafidah yang merasuk emak. “Cepat pegang tangan dia!” Pakcik Sabri mengarahkan aku dan ayah. “Jangan sampai terlepas, baringkan dia. Adik, cepat ambilkan pakcik kain batik”, Pakcik Sabri menyuruh. Adik berlari ke bilik emak dan seketika kemudian kembali dengan kain batik di tangan. Pakcik Sabri menutup tubuh emak dengan kain batik tersebut lalu diambil mangkuk berisi air tadi. Beliau membacakan sesuatu lantas merenjis air tersebut ke arah emak.

“Arghhhhhhhhhhhhhh! Sakitttttttttttt!!!”
“Jangannnnnnnnnnn!! Tolongggggg akuuuuuuuuu!”

Jeritan kesakitan itu bersahut-sahutan dengan tangisan adik yang kuat. Ya, kami sangat kasihankan emak. Sungguh kami tidak pernah menduga akan mengalami kejadian seperti ini. “Allahu Akbar!” “Allahu Akbar!” ayah menjerit bertakbir. “Mah, kuatkan semangat awak, lawan dia Mah, lawan!”. Emak meronta-ronta dalam pegangan aku dan ayah. Sungguh luar biasa kekuatannya sehingga terpaksa aku dan ayah memerah segala kudrat kami sehabisnya. Pakcik Sabri kemudiannya menyuruh adik menekan biji lada hitam dan garam kasar di ibu jari kaki emak.

“ARGHHHHHHHH” “ARGHHHHHHHHH”. Jeritan Rafidah yang berada di dalam badan emak semakin kuat. “Aku keluarrrr, aku keluarrrrr. Tolonggggg, sakittttttttt, arrghhhhh!!”

“Kau harus berjanji padaku tidak akan mengganggu wanita ini, keluarganya dan sesiapa lagi selepas ini! Kalau tidak, akan aku hantar kau kembali ke tempat yang sepatutnya kau berada!” ujar Pakcik Sabri. “Memang aku tinggal di sini sejak sekian lama, ke mana lagi harus aku pergi?” Tolong hantarku ke tempat di mana aku boleh bertemu dengan anakku”, rayu Rafidah kepada Pakcik Sabri. “Anakmu sudah berada di taman-taman Syurga!”, “Kau harus meredhakannya atau kau tidak akan tenang sehingga Kiamat!, sungguh, Allah Maha Berkuasa ke atas apa yang dikehendakiNya!” balas Pakcik Sabri.

“Baiklah…jangan sakiti aku lagi. Tolonglah”, Rafidah mulai lemah. Tubuh emak kelihatan longlai akibat rontaan yang kuat tadi. Pakcik Sabri menadah tangan membaca dan berdoa sesuatu lalu tangannya bergerak dari kepala emak turun ke kaki tanpa menyentuh, lalu disuakan ke botol kosong dan beliau menutupnya. Kami memerhatikan dengan penuh takjub, begitu hebat ilmu yang dikurniakan Allah kepada Pakcik Sabri. Badan emak sedikit terangkat semasa Pakcik Sabri melakukannya dan nafasnya mencungap panjang. Kami berasa bahawa Pakcik Sabri telah berjaya mengeluarkan Rafidah dari tubuh emak.

“Ayah..Abang..Adik..Eh, Sabri pun ada? Kenapa ramai-ramai kat sini? Apa yang dah jadi?”, tanya emak sedikit lesu dan kebingungan. Alhamdulillah! Emak telah kembali! Ayah, aku dan adik memeluk emak sambil menangis dan tak henti mengucap syukur. Pakcik Sabri juga memandang dengan penuh sebak. Suasasa begitu hiba dirasakan ketika itu. “Emaknya, cuba cerita kat ayahnya kenapa boleh jadi macam ni, awak tahu tak awak telah dirasuk?” ayah mula berkata-kata setelah sedikit tenang. “Ya Allah, ye ke ayahnya?” Hmm, maafkan saya ayahnya”, emak kelihatan sugul. “Setiap malam di kala sunyi, saya sering termenung merindukan arwah Alisya anak kita. Kadang kala saya menangis bersendirian. Saya membiarkan perasaan dan jiwa ni terbuai dengan kenangan dan peristiwa lama”, kata emak sedikit kesal.

“Awak harus meredhakan pemergian Alisya emaknya. InsyaAllah, kita akan bertemu kembali anak kita tu di Syurga nanti. Saya pasti Alisya menunggukan kita sekeluarga kat sana. Apa yang penting untuk kita lakukan adalah terus mengejar keredhaanNya. Jadi hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Saya juga minta maaf sebab selalu balik lewat dan biarkan kesunyian yang temani awak. InsyaAllah, saya akan berbincang dengan ketua untuk menukar jadual waktu kerja saya lepas ni”, terang ayah panjang lebar.
Malam yang terasa begitu panjang itu berakhir dengan semuanya kembali seperti biasa semula. Pakcik Sabri sempat membekalkan emak dengan air minuman yang telah dibacakan ayat-ayat suci Quran untuk memulihkan semangat. Kami sekeluarga berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah pada pagi tersebut. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala syukur padaMu ya Allah.

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

#armyy

13 comments

  1. Org kata, kalau anak kematian ibunya, sedih sekali shj. Tapi kalau ibu yg kematian anaknya, akan mati setiap hari. Itulah kasih ibu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *