KUBUR, VILLA DAN BANGLO

Hai. Namaku Anas. Mungkin kalian pernah baca kisahku mengenai KEJADIAN SERAM DI SMKA TANGOK. Kali ini aku ingin menceritakan pula pengalaman seramku semasa belajar si satu kolej swasta di Johor Bharu, iaitu sekitar tahun 2005.

Pada tahun tersebut, facebook, whatsapp dan seumpamanya belum lagi dicipta. Maka, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menghabiskan masa lapang. Sebagai pelajar, kebanyakan masa luang kami habiskan dengan membaca majalah atau duduk melepak.

Aku duduk menyewa di hostel yang disediakan oleh pihak kolej bersama pelajar yang lain. Pada satu malam, aku dan tiga lagi rakanku bercadang untuk melakukan aktiviti mengesan paranormal.

Kalau tak silap, tahun tu viral mengenai kumpulan penjejak paranormal, iaitu Seekers. Maka, kami pun turut tidak ketinggalan untuk mencuba sendiri aktiviti tersebut.

Kisah ini ada tiga bahagian, kerana ada tiga tempat yang kami tuju untuk aktiviti malam itu; (1) Kubur Mahmoodiah, (2) Villa Nabila, dan (3) Rumah lama British. Begini kisahnya..

KUBUR MAHMOODIAH

Salah seorang daripada rakanku mencadangkan agar kami pergi ke Kubur Mahmoodiah, kubur terbesar di Malaysia.

Dikatakan, perkuburan itu menempatkan bukan saja kubur orang biasa, tetapi juga makam-makam diraja yang berusia ratusan tahun. Bayangkan, dalam kawasan perkuburan itu, siap ada jalan raya yang boleh dilalui oleh kereta.

Dalam pukul 1 pagi, aku, Fahkrul, Azim, dan Rasyid bertolak dari rumah dengan menggunakan sebuah kereta. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 minit (tak pasti) untuk sampai ke tempat itu.

Sesampainya kami di Kubur Mahmoodiah, aku lihat kawasan sekitar sangat menyeramkan. Cuaca pun masa tu kelam dan sejuk. Nasib baiklah kami hanya duduk di dalam kereta.

Kami pun selusuri jalan sepanjang perkuburan itu. Cantik kubur-kubur kat situ. Mungkin sering dibersihkan. Tapi, masih bisa membuatkan tubuhku merinding.

Tengah kami ‘usha’ tempat tu, aku terpandang ada satu lubang lubur yang baru dikorek. Masa tu otak dah mula fikir yang bukan-bukan. Entah mainan mata atau kenyataan. Tapi kami semua nampak benda yang sama. Aku lihat di tepi lubang tu, ada peralatan menggali dan tompokan tanah baru. Tapi tukang galinya pula tiada.

“Mungkin pergi rehat agaknya.” aku sekadar menyedapkan hati. Tapi momen itu menyedarkan aku bahawa, m**i itu adalah pasti. Malam ni atau mungkin esok pagi, satu jenazah bakal dikebumikan disitu.

Setelah itu kami pun beredar ke kubur yang lain. Dalam lima minit kemudian, Rasyid tiba-tiba bersuara.

“Uish uish.. tengok kat situ. Macam bebola api la.”

Kami pun memanjangkan leher dan menjengah keluar tingkap untuk melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Rasyid. Memang betul nampak macam ada satu cahaya.

Fakhrul memberhentikan kereta di tepi jalan. “Jom pergi tengok nak tak?” cadang Fakhrul.

Kami dalam kereta saling berpandangan. Nak pergi ke tak? Kata nak jadi Seekers, masa ni lah peluang. Lagipun kami berempat. Takdelah takut sangat.

“Okay jom. Siapa bawa telefon tu buka torchlight.” aku pula mengarahkan. Memang kami tiada apa-apa persediaan untuk aktiviti malam ni. Tak terfikir pun nak bawa lampu suluh.

Maka kami pun dengan berhati-hati berjalan di kawasan perkuburan itu menuju ke tempat kami nampak cahaya itu tadi. Semakin dekat, semakin laju pula jantungku berdegup.

“Ni kalau nampak hantu, memang aku dulu yang lari.” akal nakalku memberi idea.

Beberapa meter daripada sumber cahaya tu, kami berhenti. Aku dah berpeluh. Ada satu susuk tubuh sedang duduk mencangkung di tepi satu kubur. Dah la kawasan tu gelap. Memang betul-betul membuatkan bulu roma meremang.

Apabila aku mendekat dan aku suluh ke situ, tidak semena-mena lembaga hitam tadi berdesup lari meninggalkan kami.

“Woi!” serentak kami menjerit kerana terperanjat.

Tapi dalam kekalutan tu, aku masih nampak ke mana lembaga tu berlari dan tiba-tiba boleh pula makhluk tak guna tu ‘start’ motor. Kitorang pun apa lagi, memang mengekek la ketawa.

“Apa kejadah weh..” kata Azim sambil memegang perutnya yang kejang kerana ketawa.

“Weh korang tengok ni. Siap ada tangkal ngan azimat apa tah. Dia bakar kertas ni mesti duk puja minta nombor. Kurang asam betul. Aku ingat hantulah tadi.” sambung Rasyid pula.

Memang kami tak sangka akan jumpa hantu spesis macam tu kat sini. Orang datang nak kesan paranormal, lain pula yang kami nampak. Hampa dengan apa yang kami temui, kami pun beredar dari Kubur Mahmoodiah tu dan pergi ke tempat lain.

VILLA NABILA

Beberapa minit selepas keluar dari kawasan Kubur Mahmoodiah, Aku cuba menghubungi rakanku yang lain untuk bertanyakan mengenai tempat-tempat seram yang ada di sekitar JB.

Ada yang mencadangkan agar kami ‘mencuba nasib’ di satu tempat paling angker di JB, iaitu Villa Nabila. Aku pun mencadangkan hal itu kepada yang lain. Mereka bersetuju.

Bermula dari sebuah kereta, kini ada dua buah kereta kerana rakanku yang lain ingin turut sama mencari entiti seram, menjadikan ahli kini seramai tujuh orang. Maka kami pun bertemu di tempat yang dijanjikan, iaitu Villa Nabila.

Tiba sahaja di situ, kami terserempak dengan satu lagi kumpulan pencari hantu yang terdiri daripada tiga orang. Tapi mereka bukanlah amatur seperti kami. Kumpulan tu mempunyai peralatan mengesan paranormal yang agak canggih seperti alat perakam, mikrofon dan sebagainya. Rupanya, mereka pun ingin melakukan pengesanan paranormal di Villa itu.

Sebenarnya, ada banyak versi mengenai Villa Nabila yang pernah aku dengar. Tapi menurut cerita salah seorang ahli Seeker tu, pemilik rumah tersebut adalah seorang Tan Sri. Beliau bankrup dalam perniagaan dan mengalami tekanan mental.

Kesan daripada itu, beliau telah m******h isteri serta dua orang anaknya. Salah seorangnya adalah Nabila. Caranya, mereka diikat sebelum dibakar hidup-hidup. Setelah itu, dia m******h dirinya sendiri.

Menurut lagenda, terdapat empat ujian yang harus dilalui untuk mereka yang ingin meneroka misteri di Villa Nabila. Ini kerana, villa itu ada empat tingkat.

TINGKAT SATU
Apabila masuk ke tingkat pertama, kita mungkin akan terdengar bunyi seperti seseorang bermain bola. Jika terdengar, jangan sesekali toleh kearah bunyi itu kerana kita akan nampak kelibat seorang budak lelaki dan ia akan bertanya, “abang… Nak bola..”

TINGKAT DUA
Jika lulus ujian pertama, kita bolehlah naik ke tingkat dua. Di tingkat ni pula, kita akan nampak ada sikat di atas tangga. Kalau ternampak sikat tu, kita akan terdengar suara perempuan seperti bersenandung. Lepas tu, akan nampak kelibat perempuan berambut panjang menutupi wajah. Dia akan cakap, “Tolong ambilkan sikat saya.”

TINGKAT TIGA
Di tingkat ini, seseorang mungkin akan nampak beberapa utas tali berserakan di atas lantai. Kalau bernasib baik, akan nampak ada seorang perempuan sedang duduk di atas kerusi sambil menundukkan kepala.

TINGKAT EMPAT
Ini adalah ujian terakhir. Orang kata, ‘LAST BOSS FIGHT’. Kerana tempat ni paling bahaya dekat villa ni. Di sinilah kononnya tinggal roh yang paling jahat. Jika sesiapa sampai di tingkat empat, akan nampak satu kawasan terbakar. Di dalam, ada satu lembaga lelaki sedang berdiri dan memegang pisau.

Kami yang dengar cerita brader tu pun rasa macam bersemangat nak alami sendiri. Entah betul ke tak, kami tak tahu. Tapi dah alang-alang sampai, tengok jela apa yang ada.

Geng seeker tadi pun keluarkan kamera dan peralatan mereka. Beriringan kami berjalan ke arah villa.

Di hadapan Villa, ada sebuah gerbang yang besar. Ianya sudah ditumbuhi dengan pokok menjalar dan lalang. Agak seram disitu.

Masuk lagi ke dalam, aku lihat ada satu kolam mandi yang sudah dipenuhi lumut dan kesan kotoran. Mungkin juga kesan takungan air hujan.

Dibelakang kolam itu pula, tersergam sebuah Villa yang besar dan indah. Sayangnya, ia memberikan satu perasaan yang menakutkan dan angker.

Aku tak boleh bayangkan duduk seorang diri di tempat ni. Memang betul-betul menguji mental. Keadaan di dalam vila pun sudah hampir rosak separuh.

Memandangkan kami semua ada dalam sepuluh orang, geng Seeker tadi mencadangkan agar kami berpecah kepada dua kumpulan. Barulah boleh ‘feel’, katanya.

Oleh itu, aku dan kumpulan aku akan naik dulu ke tingkat atas manakala kumpulan kedua akan memeriksa tingkat bawah dan kawasan sekitar.

Kami pun berjalan menaiki anak tangga untuk ke tingkat dua. Keadaan anak tangga nampak usang dengan pemegangnya pun dah patah. Oleh itu, kami perlu berhati-hati.

Di tingkat dua, tiada apa-apa yang mencurigakan, hanya ternampak barang-barang lama yang bersepah. Tingkat tiga juga tiada apa-apa yang menarik.

Kami pun sambung perjalanan ke tingkat empat. Seorang demi seorang naik. Di depanku ada seorang, dan dibelakangku ada tiga orang. Berkeriuk bunyi anak tangga dipijak.

Sampai di tingkat empat, baru sahaja aku hendak masuk ke dalam, lelaki di depanku tadi menjerit. Aku terkejut. Hampir-hampir aku terjatuh. Kami yang lain pun bergegas masuk ke dalam. Masing-masing dah cuak.

“Kenapa wei? Ko nampak apa?” tanyaku dengan debar di dada.

Tapi kami semua terdiam. Di depan kami ada satu lembaga berwarna hitam sedang berdiri sambil memandang kearah kami. Rambutnya lebat dan kusut masai. Bau kat situ pula busuk sangat!

Kemudian, dengan selamba mambang tu pun lalu di depan kami dan menuruni anak tangga.

“Kacau la. Nak tidur pun tak senang.” cebiknya sambil menggaru kepala.

Kami jadi kelu. Berpandangan kami sesama sendiri. Geli hati sebenarnya dengan reaksi masing-masing. M**i-m**i ingat mamat tu Roh Tan Sri yang m******h diri tu.

Rupa-rupanya, villa tu sudah dijadikan sarang gelandangan. Memang kental semangat mereka tinggal kat tempat seram macam ni.

Kitorang pun dah rasa ‘frust’ dengan kejadian malam tu. Lain dicari, lain pula yang jumpa.

“Aduh, macam mana ni geng? Dua kali dah kena. Hantunya takda juga.” komen Azim. Semua muka tak puas hati.

“Ok. Macam ni lah, kalau korang nak rasa tempat yang betul-betul seram, jom ikut kitorang. Ada satu tempat ni, memang betul-betul seram beb.” usul Kadir, salah seorang geng seekers tu.

Katanya lagi, rumah tu sudah lama ditinggalkan sejak dari zaman British lagi. Tidak ramai yang berani untuk masuk ke dalam rumah itu kerana tahap keseramannya sangat luar biasa.

RUMAH TINGGALAN BRITISH

Aku tak pasti apa nama tempat tu, tapi katanya rumah tu rumah tinggalan British yang lama. Sila google kalau korang nak tahu rumah British dulu-dulu macam mana.

Dalam jam 3 atau 4 pagi, kami pun sampai di tempat yang dimaksudkan. Kami memarkir kereta di tepi jalan raya kerana laluan untuk masuk ke kawasan rumah tersebut sudah ditutupi dengan semak samun.

Oleh itu, kami terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke rumah lama itu. Memandangkan kami memarkirkan kereta di kawasan jalan raya, maka dua atau tiga orang harus tinggal untuk menjaga kereta.

Beberapa minit kemudian, kami bertujuh pun bergerak masuk ke dalam kawasan semak samun. Manakala yang tiga lagi duduk di dalam kereta.

Agak susah untuk kami lalu dikawasan itu kerana rumput dan lalang dah separas lutut.

Akhirnya, kami tiba di hadapan pagar rumah batu dua tingkat itu. Memang serius menakutkan. Macam dalam filem seram Hollywood. Cantik, tapi usang. Hampir separuh rumah tu dilitupi tumbuhan menjalar.

Tapi kami masih belum dapat masuk ke dalam. Pagar itu tertutup rapat. Lepas tu, kami jumpa ada satu lubang berdekatan pagar tu untuk masuk ke dalam kawasan rumah.

Geng seekers pun mulakan rakaman. Mula-mula di ruang tamu, kemudian masuk ke bahagian dapur dan seterusnya. Keadaan di dalam rumah betul-betul sunyi. Bunyi cengkerik pun hampir tidak kedengaran.

Betullah, rumah ni memang lain macam seramnya. Untuk hilangkan rasa takut yang mula bersarang, kami pun bergurau sesama sendiri.

“Weh, takkkan kau takut kot?”

“Takut apanya. Hantu pun takda.”

“Tah tah pasni jumpa pula penagih dadah. Lawak do..”

Mengekek kami ketawa. Sekurang-kurangnya ‘mood’ seram tadi sudahpun kurang. Aku rasa semua tu mainan minda saja. Tengoklah tadi, yang disangka hantu, rupanya manusia.

Setelah puas melihat kawasan bawah, kami pun naik ke tingkat dua. Kami bergerak dari satu bilik ke satu bilik. Hanya lampu suluh dari telefon yang menemani.

Tak lama selepas tu, aku perasan kawan aku seorang ni tiba-tiba senyap. Tadi kat bawah bukan main lagi bergelak tawa dan bergurau. Aku dah rasa lain macam. Ke dia nampak sesuatu sampai muka dia pucat lain macam.

“Weh Fakhrul. Ko dah kenapa senyap?” tanyaku.

Yang lain pun perasan soalanku. Mereka pun datang mendekat untuk melihat keadaan Fakhrul.

“Iyalah. Kenapa ko tiba-tiba senyap? Lain macam je muka ko. Ko nampak ‘benda’ ke?” Azim pula menyampuk.

“Takdalah. Takda pape.” jawab Fakhrul perlahan.

“Alaa cakaplah. Ko nampak apa? Ko macam takut je ni.” giliran Rasyid bertanya.

“Betul. Takda pape. Aku ok.” bersungguh-sungguh Fahkrul menafikan. Padahal Fakhrul ni jenis yang banyak cakap.

“Alaa bodohlah, tadi bukan main ko ketawa. Sekarang tiba-tiba pucat pula. Memang ko nampak something kan?” desak Azim. Tapi Fahkrul hanya diam.

Aku tengok Fakhrul hanya berpeluk tubuh dan menundukkan kepala. Seperti cuba mengelak dari melihat sesuatu.

“Dah. Dah. Takpe nanti lepas habis ni, kita cerita kat luar. Nanti kita lepak lah kedai mamak ke apa.” Aku memberi cadangan.

Aku yakin, mesti Fakhrul ada ternampak ‘benda’ di tingkat dua tu. Kalau tak, takkanlah dia tiba-tiba berpelakuan sebegitu. Entah-entah kena sampuk. Haru beb.

Selepas hampir 40 minit di dalam rumah tu, kami pun bergerak kembali ke kereta. Semua sudah lari fokus kerana memikirkan perihal Fakhrul. Semua tertanya-tanya apa sebenarnya yang dia nampak.

Sampai di kereta, kami pun mengucapkan terima kasih kepada geng seeker tadi dan meminta diri. Seronok juga sebenarnya dapat pengalaman baru.

Seperti yang dijanjikan, aku dan kawan-kawanku pun lepak di kedai mamak berdekatan hostel. Waktu tu dah hampir subuh. Lama juga kami keluar. Aku pun mulakan perbualan.

“Okay. So sekarang ni kita dah kumpul ramai-ramai kat sini. Semua pun duk tertanya-tanya apa yang kau nampak tadi. Jadi dah boleh kot kau cerita apa yang kau nampak dalam rumah tu tadi.” tanyaku kepada Fakhrul.

Tapi Fakhrul hanya memberikan reaksi bingung. Dia hairan yang lain memandangnya seperti meminta penjelasan.

“Siapa? Aku ke?” tanya Fahkrul pelik.

“Yela gila. Kau lah. Apa yang kau nampak kat rumah tu tadi?” tanyaku sekali lagi. Boleh pula dia lupa.

“Bila masa aku masuk dalam rumah tu gila. Aku kan tunggu kat dalam kereta dengan Ayud dan Man.” jelas Fahkrul dengan dahi berkerut.

Kami yang lain terdiam. Bersilih ganti kami berpandangan.

“Kau biar betul wei? Ke kau nak prank kami ni?” Azim masih tak puas hati. Sengaja dia ketawa untuk melihat reaksi Fahkrul.

“Betullah weh. Ko tanya Ayud dengan Man ni.” Fakhrul masih lagi bertegas dengan jawapannya. Wajahnya serius.

“A ah lah. Kitorang bertiga tadi dalam kereta. Mana ada Fakhrul pergi dengan korang.” Ayud pula mengiakan.

Pelik. Kalau Fakhrul dalam kereta, siapa pula yang kami nampak dalam rumah tadi? Masalahnya, semua kat dalam rumah tu nampak dan dengar suara Fakhrul. Siap bergurau senda lagi. Kalau bukan dia, siapa?

Sejak dari haritu, memang kami dah tak berani lagi untuk buat aktiviti tersebut. Sampai sekarang kami masih tak tahu siapa yang kami nampak sebenarnya.

Atau mungkin ini yang dinamakan ‘Mandela Effect’. Satu fenomena di mana, satu kumpulan manusia memiliki ingatan yang salah mengenai sesuatu hal. Padahal benda tu tidak pernah pun terjadi seperti yang kami lihat atau dengar.

Entahlah, aku pun tak pasni mana satu yang betul. Kerana ingatan itu terasa benar-benar terjadi. Anda nilaikan sendiri.

Itu saja kisah aku untuk kali ini. Terima kasih pihak FS sekiranya kisah ini disiarkan. InsyaAllah kalau ada rezeki, aku akan kongsikan pengalaman aku yang lain. Sekian.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 3.8]
Jenja

5 thoughts on “KUBUR, VILLA DAN BANGLO”

  1. Biasenya mcm tu la, klu nak betul2 tengok biasenya kena seru atau kadang2 hanya org yg xnormal je atau hijab terbuka boleh nampak. apapun pengalaman yang bagus.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.