Assalamualaikum,
Lama juga sekadar menjadi pengikut dan baca kisah yang disiarkan, rasa terpanggil pula nak kongsi kisah masa di Sabah. Terima kasih admin FS jika sudi menyiarkan kisah ini.
Pengalaman ini berlaku masa aku baru masuk sebuah company oil & gas. Lepas tu barulah terjadinya kisah aku Sesat Di Sungai Besar tu. Seingat aku, hanya minggu kedua aku diperintahkan oleh boss untuk mengikut satu group ni ke Sabah. Bila difikirkan balik, kasihan aku yang jadi mangsa keadaan. Manalah aku tahu, masuknya aku ke dalam syarikat akan menjadi duri pada banyak hati.
Tiba masanya, berangkatlah aku dan seorang rakan setugas ke sana. Aku tak tahu, rupanya kehadiran aku ni menggugat dan menjadi “wake-up call” pada dia. Di airport, barulah aku berjumpa dengan group, ada 6 lelaki dan 2 perempuan dari syarikat minyak tersohor dan seorang kakak dari sebuah finance house. Sampai ke Sabah dah pukul 3, dijemput oleh driver van, aku panggil abang botak. Tak rehat pun, lepas makan kami terus bertolak ke Kudat .
Kami sampai di Kudat, hari pun dah malam. Perjalanan jadi lambat kerana sepanjang jalan nak ke Kudat, jalan sedang di baik pulih. Aku ingat lagi, kami sampai jam 8.30 malam. Kami akan bermalam di sebuah rumah panjang kaum Rungus di situ. Sampai saja, kami disajikan dengan tarian dan makanan. Aku tak begitu excited kerana rakan sekerja aku seperti mengelak saja bila aku nak bertanya.
Selepas selesai acara, kerana aku ni seperti tidak diperlukan (masing-masing sombong wehhh, maklumlah kerja syarikat besar), aku bertanya di mana tandas. Rupanya tandas nun di hujung rumah panjang. Aku tak banyak fikir, terus angkat kaki nak ke tandas untuk mandi kerana badan melekit sangat. Abang botak cakap dia nak ikut. Rumah panjang tu dibina khas untuk pelancong, dan pada masa tu, hanya kami saja yang menghuni. Keadaan agak suram kerana bahagian kami sahaja yang dipasang lampu.
Rumah panjang tu memang sangat cantik, dibina tanpa paku. Ada bilik-bilik dan dibina dengan ciri tradisional menggunakan buluh, rotan dan nibung dan atapnya atap rumbia. Cantik dan sekejap naik sekejap turun kerana dibina di lereng bukit. Semasa dalam perjalanan ke tandas, aku bersembang dengan abang botak. Abang botak tu dah biasa bawa pelancong ke situ. Jadi aku pun confident la yang abang botak dah biasa ke situ. Rupanya abang botak ni muka je macam gangster, tapi penakut.
Aku mandi sepuasnya dan airnya sangat sejuk. Abang botak lepas hajat dulu barulah dia mandi. Selepas mandi, aku pun cakap ngan abang botak aku pergi dulu. Jawapan yang aku dapat dari abang botak ialah “hmmmmm” dari dalam jamban. Dinding tandas semuanya dari zink termasuk pintunya. Pintunya agak ketat dan bila dibuka akan keluar bunyi gemerincing, besi berlaga dengan simen. Sampai saja aku di tangga rumah panjang, aku dengar seperti pintu tandas dibuka dan aku pun menoleh. Aku nampak abang botak perhati saja aku dari dalam tandas, hanya kepala saja aku nampak. Aku tak rasa apa-apa masa tu, terus cepat-cepat aku ke bilik kerana seram keadaan sangat sunyi dan suram.
Aku masuk ke bilik dan rakan sebilik aku ialah polis bantuan dari syarikat minyak tu juga. Biliknya luas dan selesa. Lantainya dibuat dari batang nibung dan tidak rapat-rapat, maksudnya kita boleh lihat tanah jika waktu siang. Kami tidur beralaskan tilam nipis dengan kelambu. Rakan sebilik aku juga tidak banyak cakap, dan masa aku masuk, dia sedang bercakap dengan isterinya di telefon. Kami sempat berbual, dan dia cakap, dia rasa lain macam. Aku agak mungkin kerana keletihan dan dia tak mandi.
Malam makin larut dan lampu pun kami dah tutup. Dalam setengah jam, kawan sebilik aku cakap dia dahaga dan minta sedikit air dari aku. Aku bangun dan berjalan ke dinding untuk buka lampu. Air mineral yang aku beli petang tadi aku letak di tepi dinding. Ambil dan aku berjalan ke kelambu, apa yang aku nampak langsung tidak masuk akal. Aku nampak muka abang botak di antara celah lantai batang nibung memandang aku dengan mata bundar oren seperti mata kucing disuluh. Sekilas saja, tapi cukup seram wajahnya. Memang jelas, rupa abang botak dengan mata buntang. Terlompat aku dan cepat-cepat ke tilam. Takkanlah abang botak nak mengusik malam-malam buta macam ni.
Kawan sebilik aku bertanya kenapa, aku cakap apa yang aku nampak. Dan hanya beberapa detik selepas tu, kami terhidu bau yang sangat hanyir. Bau hanyir tu makin lama makin kuat, meloyakan tekak. Kami berpandangan dan tak jadi minum. Rakan sebilik aku tak banyak cakap, terus dia buka ayat Kursi dari handphone, berulang-ulang. Lama-lama bau hanyir tu pun hilang. Malam tu kami tidur dengan lampu terpasang. Menjelang subuh barulah aku dapat tidur.
Esoknya abang botak datang seperti marah-marah pada aku, kenapa tinggalkan dia sendirian di bilik air. Dari dalam jamban, dia hanya dengar seperti air diceduk dan disiram ke badan. Keluar saja dia dari jamban, aku dah tak ada dan lampu bilik air pun dah dipadam. Tak jadi dia mandi dan dia mengaku, dia memang penakut orangnya. Aku ceritalah semuanya pada dia semasa kami menunggu perempuan-perempuan tu bersiap. Melopong dia dengar.
Kami meneruskan hari kedua ke Kundasang. Bermalam di Strawberry Garden. Rakan sekerja aku sanggup menukar bilik dengan abang botak. Tapi Alhamdulillah kami tidur lena malam tu. Esoknya, jadual menunjukkan kami akan ke Kinabalu Park. Dah nama pun taman kan, jadi aku hanya pakai jeans dan baju t nipis, yang lain aku tengok bawa semua termasuklah minyak panas dan makanan serta tongkat. Rakan sebilik aku tidak beritahu yang kami akan mendaki sehingga ke Laban Rata. Bayangkan aku mendaki dengan jeans dan baju nipis. Siapa pernah daki Kinabalu tahulah keadaannya. Hujan dan sangat-sangat sejuk. Sampai hati juga manusia ya, dan sepanjang pendakian aku tengok rakan sekerja aku asyik berwhatsapp. Apa lagi kalau tak mengumpat dan mengadu macam-macam pada boss. Aku ingat lagi, kerana kasihan, seorang pendaki pinjamkan aku jaketnya. Dan aku terpaksa bersejuk kerana pendaki itu akan ke puncak. Sampai Laban Rata, keadaan sangat sejuk dan aku sangat lapar. Yang lain, mereka sudah tahu aktiviti, makan dan minum bergelak ketawa tanpa pedulikan aku yang kesejukan. Manusia kan, sombong sangat di dunia ni.
Kerana tak tahan sejuk, aku beritahu mereka aku nak turun. Aku beritahu pada guide kami yang jelas kasihankan aku. Lepas dapat keizinan dari guide, aku pun turun. Rakan sekerja aku jangan carilah mukanya, agaknya sedang ketawakan aku. Jadi, aku turun sendirian. Aku tak tahu dari mana datangnya keberanian nak turun seorang diri. Hujan lebat mengiringi perjalanan aku, yang kebanyakannya sendirian semasa menurun. Tiada malim gunung, pendaki naik atau turun. Ya, aku seorang diri menuruni Kinabalu. Aku masa tu dah tak rasa hujung jari aku. Baju hujan nipis tidak membantu, membuat aku basah kuyup.
Kalau siapa yang pernah mendaki di bawah Laban Rata, ada satu trail tu jalannya lurus dengan semak belukar kiri kanan. Masa aku sampai di situ, aku dengar suara lelaki berdehem di belakang aku. Bila aku menoleh, tiada siapa di belakang. Tapi… di depan aku lebih kurang dalam jarak 10 meter, aku nampak seorang pendaki lengkap berbaju mendaki. Pakaiannya serba kelabu, dari topi, baju, beg sandang, seluar dan kasut. Orangnya tinggi dan…sangat pantas. Sekali imbas, pendaki itu seperti orang putih kerana kulitnya yang pucat dan dia juga sangat tinggi.
Aku cuba mengejar tetapi semakin aku pantas, dia dua kali pantas. Aku ni fit orangnya, dan cara dia menuruni cerun yang yang tak bertangga agak mustahil. Dia seperti melayang. Aku tak nampak mukanya kerana dia sentiasa seperti melindungi mukanya. Tapi masyaAllah, pantas betul dia, tak masuk akal. Aku masa tu tidak fikir apa, hanya nak turun kerana sejuk yang melampau. Hujan dan angin jangan cakaplah di Kinabalu.
Lama aku cuba mengejar si pendaki tu, dan sepanjang adegan kejar mengejar tu, hanya aku dan dia saja di trail. Tiada orang lain. Hujan turun makin lebat dan kaki aku semakin sakit kerana menurun lebih teruk dari mendaki. Aku tiada tongkat mendaki, hanya menggunakan kudrat. Makin lama, pendaki tu makin jauh dari aku sehingga dia hilang dari pandangan aku jalan bengkang-bengkok.
Setelah tu, baru aku jumpa dengan sepasang (kekasih mungkin), juga orang oil & gas. Aku bertanya, nampak tak pendaki tadi. Kehairanan mereka, mereka cakap, hanya mereka berdua sahaja turun kerana perempuan tu dah tak larat nak mendaki.
Sampai di bawah, abang botak sedia menunggu. Aku minta dia hantar aku balik ke hotel. Aku dah menggeletar kesejukan macam orang baru keluar dari peti ais. Rasa pening dan nak muntah semua ada. Sampai di hotel aku terus tidur sehingga malam. Di meja makan semasa makan malam, semua orang seolah menghindar dari aku. Lantaklah, kalau aku m**i atas gunung tu, bukan menjadi beban pada mereka pun, kan?
Balik ke pejabat, aku dimarah teruk oleh boss besar, dan katanya dia menyesal ambil aku bekerja. Aku mengadu pada CEO, aku tidak dapat sebarang maklumat dari rakan setugas. Aku terpaksa buka mulut kerana aku rasa aku jadi mangsa keadaan. Tuan CEO juga beritahu aku, boss rakan sekerja aku mengadu pada boss besar (abang iparnya) tentang “sikap pentingkan diri sendiri aku” menggunakan pemandu sesuka hati. Dan Allah itu Maha Adil. Aku makin lama di situ semakin tinggi pangkatku (dan menjadi iri pada banyak orang) dan aku jugalah yang memberhentikan rakan sekerja aku kerana masalah disiplin setelah aku dilantik menjadi pengurus sumber manusia. Karma is a bitch kata orang putih.
Itulah pengalaman yang memang tak boleh aku lupakan. Pesanan aku pada para pembaca, jangan buat orang, kerana Tuhan melihat dan akan membalasnya. Buruk perbuatan, buruklah balasannya.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Betul. Tuhan melihat. Karma is a bitch. 👍👍👍
okay kejam gila kot tak habaq nk panjat gunung. mmg patut kena fire.
Hurmm..mcm2 kn..dunia pekerjaan atau mana2…dlm zmn bljr pun ade perangai gini..harap pak engku sentiasa dilindungi oleh Allah….
aku pernah dua kali naik G kinabalu sampai pubncak…ehhhhh…kenapa aku rasa cerita ni macam cerita rekaan saja dan machiam tak logik?….takkanlah penulis tak tahu dia nak naik puncak waima sampai setakat Laban Rata….kalau orang nak daki G Kinabalu, dia tak boleh naik sebarangan tanpa perancangan…persediaan dan kekuatan mental dan fizikal kena mantap….aduiyai boss…..