Lawatan Sekolah – Genting Highlands

Cuti sekolah hampir tiba.

Pada hujung tahun, setiap kelas bingit dengan suara murid bercakap, bergelak ketawa, menjerit dan bermain. Cikgu Jun terpaksa menguatkan suaranya bagi menarik perhatian anak muridnya untuk membuat pengumuman “Murid, dengar sini. Cuti sekolah nanti, sekolah akan mengadakan lawatan ke Genting Highlands. Sesiapa yang nak ikut serta, serah borang ni kepada ibu ayah. Suruh ibu ayah isi dan tanda tangan bahagian kebenaran untuk murid ikut lawatan ni. Semua maklumat lawatan ada dalam tu”

Cikgu Jun, merangkap cikgu kelas darjah 5 Zeta, mula mengedarkan sekeping kertas kekuningan kepada semua murid.

Murid-murid sekolah rendah tahun 80an dan awal 90an pasti kenal kertas berwarna kekuningan ini. Klasik. Aku suka bau kertas ni. Selalu juga aku mengintai pakcik sekolah menggunakan sejenis mesin untuk mencetak dengan cara menggelek dakwat hitam ke atas kertas ini. Nama mesin itu tidaklah aku ketahui.

Lawatan ini terbuka untuk murid Darjah 4, 5 dan 6. Aku termangu melihat borang tersebut. Teringinnya nak ikut. “Bagi ke ayah aku ni kalau aku nak ikut? Boleh ajak adik buat teman.” Aku mula merangka ayat untuk memujuk ayahku dan meminta adikku sebagai teman. Aku darjah 5 dan adikku darjah 4. Kami beza setahun sahaja.

Kalau dah rezeki, memang tidak kemana. Rupa-rupanya, ayahku telah mengetahui mengenai lawatan sekolah ini daripada cikgu besar, yang juga kenalannya. Dua anak lelaki cikgu besar juga akan turut serta. “Bolehlah kakak pergi. Adik ikut sekali.” Aku tahu, ayah tidak harapkan aku berjalan seorang mengenangkan sikap aku yang ‘ada aku kisah’. Khuatir anak daranya bersikap bukan-bukan nanti.

Adik aku dilantik menjadi bodyguard aku sepanjang lawatan sekolah nanti.

Mula sahaja cuti sekolah, aku dan adikku menyiapkan keperluan untuk dibawa dan digunakan sepanjang lawatan nanti sambil dibantu oleh ibu. Boleh dikatakan, ini lawatan sekolah aku yang pertama kalinya. Walaupun membesar di kawasan bandar, aku lebih bersikap kekampungan. Maka, kain batik tidak sesekali aku lupakan. Aku masukkan sekali ke dalam beg. Apa yang dibungkus adikku, aku tidak ambil tahu.

Kami berkumpul di pekarangan sekolah selepas waktu sarapan pagi. Dapat aku lihat, hampir kesemua memegang baju sejuk. Pada waktu itu Genting Highlands tersangatlah sejuk sekiranya dibandingkan dengan sekarang.

Aku merasakan persiapan aku sudah terbaik. Namun, aku silap. Rakan baikku, Ira, lebih bersedia. Di dalam beg kecilnya, ibunya, yang merupakan seorang Pegawai Kesihatan, telah menyediakan beberapa plastik beg kecil yang diisi kertas surat khabar lama, dan pelbagai jenis ubat-ubatan. Ubat tahan muntah, ubat tahan sakit, ubat demam dan lain-lain yang mungkin berguna buat anaknya.

Semua murid semakin teruja apabila nampak bas daripada kejauhan. Perjalanan ke Genting Highlands tersangatlah jauh. Kami anggarkan perjalanan kami mungkin memakan masa lebih 7 jam. Mengambil kira masa untuk berhenti rehat, makan dan solat di pertengahan jalan. Ditambah pula dengan jalan yang berliku-liku bagai ular dipalu.

Kami tiba di kaki bukit di waktu senja.

Kau bayangkan seketika, sebuah bas dipenuhi kanak-kanak dan beberapa orang cikgu. Tingkap bas yang terbuka. Tiada air-conditioner. Suasana di luar yang semakin gelap gelita, sehinggakan tiada apa yang dapat dilihat diluar bas. Dan, aku membayangkan jariku akan hilang ditelan kegelapan malam sekiranya aku hulurkan jariku keluar tingkap yang terbuka itu. Hanya lampu bas yang menerangi jalan. Tiada juga kenderaan lain lalu lalang.

Ira semakin resah. Dia meminta aku mengeluarkan plastik-plastik berisi surat khabar tadi. “Untuk apa, Ira?” soalku. “Bagi je pada aku” “Uwekkkk”

Oh, itulah kegunaannya. Bijak ibu Ira. Rupanya, si Ira mabuk kalau menaiki sebarang kenderaan, ditambah pulak jalan bengkang-bengkok. Dia kelihatan lemah. Kemudian, dia menelan beberapa biji ubat mengikut arahan yang telah ditulis ibu Ira. “Tidurlah Ira” kataku. Ira lantas menyandarkan badan dan kepalanya ke dinding bas. Ira terus tertidur.

Keadaan Sunyi. Murid lain juga tertidur. Ada juga yang masih berjaga. Cikgu? Tidur juga barangkali.

Aku melemparkan pandanganku ke luar bas. Lagi sekali, gelap. Namun, hatiku berasa kurang senang. Seperti ada yang memerhati daripada kejauhan. Aku tidak suka perasaan ini. Disebabkan itu, aku terus memandang ke luar. “Benarkah ada yang memerhati?” bisik hatiku.

Kuning. Merah. Kuning. Kuning. Merah.

“Apa tu?” Kecil besar, kecil besar mataku memerhati. Kelihatan seperti sepasang mata. Ada merah dan ada kuning. Terang bercahaya. Semakin banyak.

Allah. Allah. Allah. Itu sahaja mampu aku ucap. “Mata harimau kot. Takkan mata kucing, ada ke kucing dalam hutan ni?” Fikir budak Darjah 5 ni. “Ah, lantaklah dia” Namun, aku tidak mengalihkan pandanganku. Aku terus merenung. Hanya kerana aku ingin tahu.

Tidak lama kemudian, kami tiba di sebuah sekolah. Nama sekolah aku lupa. Namun, aku ingat ada papan tanda menunjukkan Institut Aminuddin Baki ada berdekatan.

Rupa-rupanya, kami akan tidur di bilik-bilik darjah sekolah itu. Maklumlah, lawatan sekolah low budget. Sekolah itu, seingatku, empat tingkat. Murid perempuan di tingkat empat. Murid lelaki di tingkat tiga. Guru dan murid di bilik darjah berasingan. Di setiap tingkat, ada tandas di penghujung bangunan.

Aku lupa berapa orang murid di setiap bilik darjah. Tetapi, sedaya upaya kami sendiri menyusun meja dan kerusi menjadi katil. Semua meja penuh. Aku dan Ira setuju tidur di atas kerusi yang disambungkan menjadi katil. Ira terlalu letih. Elok sahaja kerusi disusun, Ira naik dan terus terlena. Tergelak kami melihat gelagat Ira. Kami setuju tidur dengan lampu terbuka. Takut punya pasal. Memandangkan mereka telah tertidur di dalam bas di sepanjang perjalanan, mereka tidak dapat terus melelapkan mata. Jadinya, kami bersembang dan bercerita sebentar. Aku kesejukan. Baju sejuk tidak cukup memanaskan tubuh besarku. Aku keluarkan kain batik yang dibawa daripada rumah untuk dijadikan selimut. Sebaik sahaja kami putuskan untuk berehat dan tidur, Ira tiba-tiba bangun. Tetapi, mata Ira tertutup rapat.

“Ira, kenapa ni?”

Aku di sebelah Ira. Aku cuba menyedarkan Ira. Aku tepuk-tepuk pehanya. “Ira, bangun”.

Ira, dengan mata yang terpejam, merebut kain batikku. “Ira, kenapa ni? Kain aku ni Ira” Ira tidak mempedulikan aku. Aku pelik melihat Ira. Bersungguh-sungguh cuba merampas kain batikku. “Ira!” jeritku dan aku mengalah. Ira berjaya mengambil kain batikku. Ira turun kerusi dan berdiri menyarungkan kain batikku. Matanya tetap tertutup rapat. Ira berjalan atau berlari anak di sekeliling bilik itu. Aku tidak pasti. Kain batikku melorot jatuh. Ira meraba-raba mencari kain batik itu. Kami memerhatikan sahaja Ira. Kami di antara dua, takut dan berasa lucu.

“Wei, apa Ira buat tu?” tanya seseorang yang baru tersedar daripada tidur.

“Ssshhhh”

Kami tersenyum, kami cuba menahan gelak dengan gelagat Ira, walau dalam hati terselit juga rasa gusar andai Ira berkelakuan aneh. Kami tidak tahu apa yang ingin Ira lakukan. Setelah beberapa ketika, Ira menjumpai kain batik itu. Walhal, kain batik itu hanya sejengkal jauh daripada Ira. Ira bangun dan menyerahkan kain batikku kepada Alin. Tidak pasti apa harus dilakukan, Alin mengucapkan terima kasih. “Kebetulan aku kesejukkan ni. Boleh aku buat selimut” kata Alin. Aku menjeling tajam kepada Alin. “Bak sini balik kain aku tu” kataku. Ira masih berpusing-pusing di tengah-tengah kelas. “Ira, tidurlah” jerit yang lain.

Aku bangun dan tarik Ira. Matanya masih terpejam rapat. Nasib baik dia tidak melawan kali ini. Dia hanya menurut dan terus tertidur lagi sekali. Alhamdulillah, nasib baik.

Disebabkan itu, kami tidur agak lewat, dan aku terbangun agak lewat keesokkan paginya. Aku hanya tersedar sekitar pukul 6 pagi. Aku tergesa-gesa membawa alatan mandi ke tandas di penghujung kelas. Aduhai, sudah penuh. Murid di bilik lain bangun lebih awal. (Andai ada pembaca yang membaca kisahku sebelum ini, Siapa Perempuan itu?, pasti mengetahui aku resah apabila tidak dapat segera mandi. Tabiat)

Aku menjenguk ke tingkat bawah.

“Patut ke aku terjah je tandas lelaki di bawah?”

“Ish, dibuatnya mereka bangun. Naya aku. Maunya aku dikelilingi lelaki nanti. Oh, seram”

Aku intai ke bawah lagi, tingkat dua. Gelap. Nampak seperti masih tiada sesiapa yang guna. Aku cuba memberitahu murid yang lain aku hendak ke bawah, tetapi, tiada siapa yang memandang ke arahku. “Ah, lantaklah. Nak terkencing sangat dah ni”

Laju aku menuruni anak tangga. “Ish, tiada langsung murid dan cikgu lelaki yang terjaga. Tak solat Subuh la mereka nanti. Ah, nantilah aku fikirkan.” Cepat-cepat aku melintasi tingkat tiga terus ke tingkat dua. Namun, aku tidak terus meluru keluar ke tingkat dua. Aku intai terlebih dahulu di sebalik dinding yang memisahkan ruang tangga dan balkoni. Mesti sentiasa berwaspada di mana sahaja berada.

“Eh, siapa yang berdiri di balkoni tingkat dua? Cikgu lelaki ke? Tetapi di tingkat tiga tadi masih bergelap dan semua pintu bilik darjah masih bertutup rapat. Tapi, ni nampak macam lelaki.”

Aku menyorok di sebalik dinding. Aku intai lagi sekali. Lembaga hitam itu masih di situ. Aku menyorok balik, dan intai lagi sekali. Lembaga hitam, atas ke bawah, masih di situ. Gayanya tidak ubah seperti manusia. Seolah-olah, tangannya diletakkan di atas pagar balkoni. Begitu sahaja kedudukannya. Tidak kelihatan membahayakan aku.

“Ah, lantak. Aku nak terkencing sangat dah ni. Bismillah” Lagi pula, ibu pernah cakap, manusia jahat lebih menakutkan berbanding hantu.

Namun, aku batalkan niat masuk tandas tingkat dua. Ha ha ha. Takut tetap ada. Aku terus ke tingkat paling bawah. Buka lampu. Masuk. Tak pandang dah kiri kanan. “Lega”

Aku bernasib baik apabila aku ingin keluar, aku terserempak dengan murid perempuan yang lain. “Eh, bila kau turun? Kami tak nampak pun. Apasal turun seorang, hah?! Tak ajak kami pun” tegur mereka. Marah pun iya juga.

“Entah, tak sempat nak fikir dah tadi. Weh, kamu semua turun ni, ada tak nampak sesiapa di tingkat dua?”

“Tak” serentak mereka menjawab. “Budak lelaki dengan cikgu lelaki, semua baru buka pintu masa kami turun tangga ke sini”

“Kenapa kau turun sini juga?” soalku.

“Aku nampak lampu tandas ni dah menyala. Aku ajak la yang lain sekali. Ramai dah kat atas tu. Lama tunggu” jawab Alin.

“Oooo tak apalah. Aku naik dulu”

Siapa yang aku nampak tadi ya?

Ish, meremang pulak bulu tengkuk aku.

Ah, biarkan ajelah dia.

Aku berlari-lari menaiki anak tangga menuju ke tingkat empat. Sempat aku intai sekejap di tingkat dua. “Dia dah tiada” kataku perlahan.

Ingat ya, lainkali berteman kemana-mana.

HA HA HA

Sekian.

Terima kasih Admin Fiksyen Shasha dan pembaca semua.

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 2]
WaniTua

3 thoughts on “Lawatan Sekolah – Genting Highlands”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.