Lelaki Sebalik Kabus Bab 4

Cerita ini cuma fiksyen, tiada kena mengena dengan yang hidup atau m**i.
BAB 4

Hujung minggu dihabiskan oleh Diana menyendiri di rumah peninggalan atuk. Donat dan Divya pula sudah pulang ke kampung halaman masing-masing. Maka tinggallah Diana di Green Highland.

Sejak pagi lagi gadis itu kelihatan kalut mencari sesuatu dari biliknya kemudian melarat ke bilik milik arwah atuk pula. Tetapi barang di cari masih belum jumpa. Dia perlukan bukti terhadap kebenaran kata-kata nenek. Misi utamanya disini bukan sahaja belajar tetapi mencari cerita sebenar atas kematian arwah kak long.
5 bulan lalu

Hari itu Diana mendapat berita tergempar. Dari tempat kerja dia terus bergegas pulang ke rumah lalu meluru naik ke bilik yang berada di tingkat dua. Air matanya mengalir laju. Rasa bimbang.

Diana tiba di sebuah bilik yang agak luas. Semua seisi keluarganya ada di dalam bilik. Mak cik Shima, dua orang adik tiri lelakinya dan ayah berada berhampiran nenek yang sedang tidur di atas katil. Mak Cik Rosma iaitu penjaga nenek setia di sisi.

“Kenapa dengan nenek?” Diana memandang Mak cik Rosma

“Nenek pengsan tadi masa tengah berkebun. Serangan jantung.” Mak cik Rosma menjawab sayu.
Diana diam, dia duduk di sisi nenek. Air matanya di kesat. Dia belum bersedia jika kehilangan nenek. Dari kecil nenek dan atuklah menjaga dia dan kak long. Andai nenek pergi dia tiada tempat mengadu. Tiada siapa yang akan sayangkan dia seperti nenek.

Diana setia menunggu. Dia berada di sisi nenek semalaman tanpa tidur. Ayah dan isterinya serta adik-adik sudah lama dibuai mimpi. Tangan dia di genggam nenek yang mula sedar. Senyuman manis dihadiahkan kepada cucu kesayangan.

“Sayang nenek, kenapa tak tidur lagi?”

“Angah nak jaga nenek.” Diana mendakap nenek erat. Kedengaran suaranya seperti sebak.

“Nenek dah tua Diana. Diana kena bersedia. Kena tahu jaga diri sendiri. Bila-bila sahaja nenek akan dijemput Allah. Diana kena terima. Setiap yang hidup akan m**i.” Lembut nenek memujuk.

“Diana tak ada sesiapa, hanya nenek sahaja Diana ada.” Air matanya mengalir.

“Diana dengar sini sayang. Sudah tiba masanya nenek cerita kepada kamu suatu rahsia yang kamu lupa.”

“Nenek.. rehat dulu nanti nenek cerita ya.”

“Tidak sekarang adalah masanya. Diana dengar sini.” Nenek memegang tangan Diana erat. Merenung ke dalam mata gadis itu. Dia bersungguh-sungguh.

Nenek diam merenung ke dalam mata cucunya. Mengambil kekuatan untuk bercerita. Biarlah andai difikir gila oleh cucunya. Namun dia mesti lakukannya. Cerita yang terkubur harus di gali semula demi hidup cucu kesayangan.

“Diana, kematian kaklong bukan satu kemalangan. Bukan sekadar tanah runtuh. Bagaimana dan siapa yang rancang? Dengan siapa kak long pernah berhubung itu kamu yang perlu cari tahu. Tujuh tahun selepas kaklong meninggal, ada sesuatu yang terjadi kepada kamu Diana. Carilah dia, dialah jawapan kamu. Dia pelindung kamu. Pasti dah lama dia menunggu Diana di Green Highland. Pulang kembali ke sana Diana. Cari jawapan. Masa nenek dah tak lama. Bila-bila nenek akan pergi tinggalkan kamu. Andai d***h dagingmu tak mampu menerimamu, ingatlah Diana. Kamu ada keluarga di sana. Balik semula ke Green Highland.”
Suara tua nenek perlahan-lahan berbicara.

Bunyi keriuk dahan pokok yang menggaru cermin bilik memecah segala memori yang Diana imbau. Nenek yang memaksanya pulang ke Green Highland. Sementara ayah pula bertegas mahu dia pulang semula ke Perak. Dia mesti cari jawapan. Namun fikirannya buntu. Tiada lansung petunjuk.

Siapa ‘dia’ yang dimaksudkan oleh nenek itu? Apabila Diana menyoal tentang gerangan orang yang nenek sebutkan itu, nenek cuma diam. Hanya sekali nenek berpesan. Segala jawapan ada di Green Highland. Diana perlu gali semua memori yang tertimbus.

Langit ungu tanda senja sudah mula bermaharajalela sebelum malam mengambil takhta. Begitulah kitaran waktu. Berseorangan di dalam rumah itu kadangkala naik seram juga. Rumah itu sedikit jauh dari kawasan perumahan orang. Andai sesuatu terjadi kepada dirinya. Tiada siapa yang akan tahu.

Diana mengisi perut dengan mee segera sahaja. Tiada selera mahu makan. Tubuhnya keletihan mencari barang dan bukti. Selepas mandi dan solat maghrib. Gadis itu merebahkan diri di atas katil sambil mengisi waktu dengan membaca novel milik arwah kak long.

Pintu di ketuk beberapa kali. Membuatkan Diana berlari anak ke arah pintu utama. Siapa pula yang datang? Diana melihat melalui tingkap sebelum membuka pintu. Kelihatan seorang wanita berambut seperti warna bulu jagung dengan memakai jaket kulit berwarna gelap, berdiri memeluk tubuh. Minah saleh itu kemudian memandang ke tingkap seolah tahu Diana sedang mengintainya. Kemudian dia tersenyum manis tepat merenung tajam mata Diana dari balik cermin kaca.

“Kau nak buka pintu atau mahu aku pecahkan pintu ini?” Wanita itu bersuara dalam bahasa tempatan tetapi sedikit slang mat salleh.

“Siapa awak? Apa awak mahu?” Diana mula rasa tidak sedap hati.

“Aku Didem. Aku datang nak ambil nyawa kau sayang.” Kata-kata Didem lembut bagai seorang ibu, dengan mata tajam bersama senyuman sinis.

“Kenapa? Aku tak ada masalah dengan kau. Kau musuh ayah aku ke?” Diana resah. Sempat mencapai senapang lama yang tergantung di tepi.

“Tak.. aku musuh kau. Sekarang jangan tanya banyak. Kau mahu buka atau mahu aku sendiri yang buka pintu ini?”

Suara Didem keras memberi arahan. Sebenarnya dia mampu pecahkan pintu itu sekelip mata tanpa mengarah Diana untuk buka tetapi dia lebih suka psiko mangsanya.

Didem menghilang di dalam gelap. Suasana sunyi seketika. Tiba-tiba cermin tingkap di bahagian dapur kedengaran pecah. Dari ruang tamu Diana nampak ada serpihan kaca menjengah ke luar dari pintu dapur. Kedengaran seseorang berjalan memijak kaca tingkap yang pecah.

“Oh! Diana…..” Nada sayu Didem membuatkan Diana rasa seram.

Diana mencapai kunci kereta milik Ora di atas meja kopi. Lalu berlari menuju ke arah pintu untuk keluar.

“Kau nak pergi mana? Aku belum habis nak main-main dengan kau.”

Didem muncul di hadapan pintu tiba-tiba sahaja bagaikan angin sambil ketawa mengekek. Kornea matanya yang berwarna biru mula bertukar jingga campur kemerahan dengan bahagian putih pula penuh urat berwarna biru gelap.

“Apa yang kau nak sebenarnya?”

Didem muncul di depan Diana begitu cepat. Seolah-olah dia punya kelajuan seperti angin lantas senapang lama zaman British di rampas dari tangan Diana lalu senapang itu di patahkan dua bahagian dengan mudah. Didem senyum dengan senyuman menyeramkan.

“Aku tak nak apa-apa.. aku Cuma nak satu sahaja. Nyawa kau.”
Tangan Didem menampar Diana. Kerusi kayu buatan atuk yang berada berhampiran dinding turut patah apabila di timpa tubuh Diana. Kepala Diana sedikit sakit kerana terhantuk. Tangan Diana mengalir d***h. Dia cuba bangun semula. Apabila Diana mendongak Didem sudah mencangkung di hadapannya.

“Ah…Ah..”

Jeritan Didem bergema di dalam rumah. Dia melihat ke arah perutnya yang di tusuk kayu. Didem menyeringai menampakkan kedua belah taringnya di antara gigi. Siapa sebenarnya Didem. Wanita gilakan d***h?

Sejurus selepas melihat Didem menggelupur di tusuk kayu, Diana terus berlari keluar ke arah kereta. Tangannya menggeletar cuba menghidupkan enjin. Jeritan sakit dan geram Didem yang bergema sudah hilang. Wanita itu sama ada sudah m**i atau pengsan kerana pendarahan.
Diana meredah kepekatan malam menuju ke kediaman pelajar UTA. Kiri dan kanan hanya hutan. 45 minit lagi dia akan sampai ke tanah rata. Tangannya masih belum berhenti menggeletar. Dia menyoal berkali-kali kepada dirinya. Adakah dia bermimpi? Dia masih tidak dapat percaya tangannya sudah membnh seseorang. Tapi seseorang atau hantu? Wanita itu bertaring tidak ubah macam langsuir atau Puntianak seperti yang pernah di dengari daripada cerita-cerita masyarakat Melayu.

Rintik-rintik hujan mula turun menimpa cermin kereta. Sekali lagi Diana mula ketakutan. Dia trauma membawa kereta ketika hujan pada waktu malam. Kejadian menimpanya ketika dulu mula terbayang. Arus air yang membawa tanah dan pokok-pokok menimbus keretanya. Dia memberhentikan kereta. Nafasnya tercungap-cungap lalu menyembam wajahnya di stereng kereta. Dia tak mampu meneruskan perjalanan.

Ketukan di cermin menyedarkan Diana. Di hadapan keretanya kini ada Didem sedang berdiri di tengah hujan sambil tersenyum dengan matanya yang merah d***h dan berurat biru, menampakkan taringnya yang tajam. Diana terkejut, terdiam di dalam kereta lalu mengunci kereta dari dalam. Diana menekan minyak lalu melanggar Didem yang berada di depan. Kedengaran jeritan wanita aneh itu.
Diana memandu selaju mungkin. Mengharap agar cepatlah dia tiba di kediaman pelajar UTA. Namun sekali lagi Didem menunggunya di hadapan tepian jalan. Cepatnya wanita itu mendahuluinya. Sejurus kemudian kedengaran ada benda berat jatuh menimpa bumbung kereta. Benda itu cuba menggoncang dan memukul bumbung kereta hingga kemik ke dalam. Tapi bunyi pukulan dan goncangan itu kemudian diam menyepi.

Belum sempat Diana menghela nafas lega. Sekali lagi Didem muncul di hadapan. Kali ini wanita gila itu berdiri di tengah jalan. Diana menekan pedal minyak, biar dia langgar Didem sehingga tidak berupaya lagi mengejarnya. Sebaik sahaja mendekati Didem, kereta itu tidak mampu bergerak. Didem menahan dengan kedua belah tangannya. Kereta kemudian terangkat dengan kekuatan Didem yang maha luar biasa daripada manusia normal. Didem bagaikan hilang akal, dia ketawa mengekek. Seronok melihat wajah Diana yang ketakutan. Seronok bila dia berupaya melempar rasa gerun ke dalam hati gadis itu. Dia benci dengan manusia yang cuba tunjuk berani. Kononnya hebat.

Ketakutan dan rasa panik membuatkan Diana nekad bingkas membuka pintu kereta, lalu berlari keluar masuk ke dalam hutan. Mimpi ngeri masih mengejarnya. Diana berlari makin lama makin jauh ke dalam. Bunyi air hujan menimpa daun-daun pokok kedengaran. Sayup-sayup terdengar suara wanita gila itu memanggilnya. Kegelapan hutan tidak dapat membantu Diana berlari kerana dia perlu berhati-hati. Sudah beberapa kali dia tersadung dengan akar pokok. Rasa lengannya pedih di cakar ranting kayu.

“Ah…”

Gadis itu terjatuh. Sekali lagi tapak tangannya yang sedia terluka makin pedih apabila tertusuk kayu. Sudah selamatkah dia? Atau Didem sedang memperhatikannya dari jauh hanya menunggu masa saja untuk meragut nyawanya. Dingin malam dengan tubuh di basahi hujan membuatnya menggeletar, bibirnya biru. Dia gagahi juga untuk bangun.
Tapi lehernya di pegang Didem yang muncul tanpa isyarat. Diana terbatuk-batuk, lehernya sakit. Nafas pula tercungap-cungap. Cekikan Didem mula longgar. Dari ekor mata ada seseorang cuba menghalang. Tangannya memegang kedua lengan Didem si wanita psiko. Kedengaran Didem mendengus marah. Pandangan tajam di lempar ke arah pemuda itu. Belum sempat Didem bertindak, pemuda itu terlebih dahulu menghadiahkan tumbukan. Wanita itu kemudiannya terpelanting menghilang.

Diana mengundur ke belakang. Masih takut. Wajah lelaki itu tidak jelas. Terlindung dalam gelap. Kekuatan lelaki itu luar biasa. Masakan dengan satu tumbukan Didem terpelanting jauh? Lelaki itu cuba mendekati tanpa kata. Kali ini adakah Diana sudah selamat atau masih dalam bahaya? Ibarat keluar mulut buaya masuk pula mulut harimau.

“Diana.. ikut saya. Mari.” Lelaki itu makin dekat. Suaranya lembut memujuk.

Diana yang masih ketakutan tidak dapat berfikir waras. Baginya apa sahaja yang mendekatinya kini adalah bahaya. Diana mengundur ke belakang. Mata lelaki itu yang bercahaya di dalam gelap makin menakutkan. Bunyi suara wanita ketawa yang kedengaran mula menyesak fikiran. Didem makin mendekati. Ketawa Didem yang sebenarnya sengaja cuba untuk psiko jiwa Diana supaya lebih takut dan trauma. Andai Diana lemah dia mudah mengalami histeria. Itulah perkara yang Didem gemar melihat mangsanya jadi tak keruan.

Jeritan Diana membelah hutan, berjaya mengelamkan suara Didem ketawa. Gadis itu terjatuh lalu terhantuk pokok. Pandangannya mula gelap. Diana tak mampu lagi melawan, tubuhnya pun sudah keletihan.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

3 thoughts on “Lelaki Sebalik Kabus Bab 4”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.