Assalamualaikum semua. Kali ini nak kongsi cerita tiga dalam satu. Seram lah juga sebab ni kan FS, tak kan nak share cerita doremon kan. Aku ada seorang abang saudara yang berbeza usia sekitar 4 tahun. Aku panggil dia Abang Lan. Kami selalu le meronda sekitar kawasan tempat tinggal kami di daerah Ipoh ni. Kawasan ni waktu awal penempatan ada sebuah lombong yang besar. Dulu itu lombong bijih timah. Tapi sebab dah lama sangat ditinggalkan, ia menakung air hingga menjadi seperti tasik yang besar.
LOMBONG HIJAU
Ada 3 kisah yang berkaitan dengan lombong ni.
Kisah 1:
Abang saudara aku ni adakalanya meronda tak ajak aku. Dia merayap dengan geng yang sekutu dengannya. Satu hari mereka dah melepasi sempadan lombong. Pada petang tu waktu dah nak hampir maghrib, baliklah ketiga-tiga anak muda ni. Elok dengar je bunyi kerantung.. tau kerantung? Ada tempat panggil kentung. Batang kayu berlubang tengah, digantung memanjang ke bawah, dipukul dengan kayu pemukul untuk bagitau waktu solat dah masuk atau untuk maklumkan berita kematian. Tapi yang ni bunyi kerantung waktu maghrib.
Sesampainya di kawaan rumah, Abang Lan tiba-tiba tergolek di depan rumah. Masa tu dua kawannya dah balik ke rumah masing-masing. Dekat-dekat situ juga. Emak dan bapa Abang Lan berkejar ke depan. Mulai saat itu Abang Lan terlantar tidak sedarkan diri. Dibawa ke hospital, doctor kata normal. Bapa Abang Lan bawa balik. Selama tak sedar tu, Abang Lan meracau dan menepis-nepis. Tangan Abang Lan ditumbuhi kudis-kudis berair, baunya busuk.
Hampir sebulan selepas tu, baru dapat tahu daripada dua kawan Abang Lan, petang kejadian tu mereka ke lombong. Dihujung lombong ada satu kuil hindu. Rupanya Abang Lan dah ambil limau yang tercacak di kuil. Dan mereka lemparkan ke dalam lombong. Budak muda, bukannya mereka tahu hal tu boleh mengundang musibah. Bapa Abang Lan akhirnya pergi jumpa tok sami kuil tu setelah dinasihatkan oleh kawannya. Tok sami tu hanya beri air untuk buat mandian Abang Lan. Bagai dikutil buang, terus Abang Lan sedar dan semua kudis-kudis di tangannya kering dan sembuh dalam masa dua tiga hari sahaja.
Kami bertanya pada Abang Lan, selama dia tak sedar tu, apa yang dia rasa. Katanya, balik je petang tu, tiba-tiba dia merasakan dia berada di sebuah pangkin buluh. Dibawah pangkin tu digenangi air yang berbuih-buih. Dia merasakan pangkin itu dibina dipermukaan lombong. Pelbagai jenis ular berenang-renang di bawah pangkin. Bila ada ular yang cuba naik ke atas pangkin, Abang Lan menepis dan cuba menjauhkan ular tu.
Abang Lan kata, bila air yang berbuih-buih tu terpercik ke tangannya, tangannya jadi perit dan melepuh. Abang Lan cuba menjerit tetapi ada besi serampang tiga yang mencakar-cakar lehernya. Oleh kerana keluarga Abang Lan menitik beratkan solat, emak Abang Lan sering berzikir dan membacakan surah Yassin, ular-ular tu tak berjaya mematuk Abang Lan. Abang Lan kata, dia dengar bacaan-bacaan tu tapi tak dapat menyebutnya. Mungkin kerana itu, air berbuih bercampur bisa ular tu hanya dapat memberikan kesan yang sedikit.
Setelah lama peristiwa itu berlaku, adakalanya Abang Lan masih lagi diganggu dengan mimpi dan igauan ngeri berkaitan ular. Kata tok sami kuil tu waktu mengubat Abang Lan, jika limau tu masih ada dalam kuil tu je, lebih mudah diubati. Tetapi limau nipis tu Abang Lan dah campakkan ke dalam lombong tu. Berentap agaknya penunggu lombong tu dengan penjaga kuil. Yang jadi mangsa si pembaling limau tu le.
Peringatan kepada kita semua, apa pun agama dan pegangan kita, hormati je agama dan tempat ibadat kaum lain. Jangan sesekali masuk tanpa kebenaran apatah lagi merosakkannya.
Kisah 2
Abang Lan selalu ajak aku ikut memancing. Satu hari, kami dan dua lagi kawannya bercadang nak memancing di lombong. Kami ambil port yang jauh dari orang. Kalau awal pagi, kawasan tu sibuk le sikit dengan geng-geng makcik-makcik basuh baju. Dulu bekalan air paip tak ada. Kalau untuk bekalan untuk masak, kami penduduk kawasan tu ambil dari sebuah masjid terletak lebih kurang dua kilometre dari kawasan tu. Berjemaah le geng pakcik-pakcik mengangkut air guna tong putih tu. Kalau ada motor, senang le. Kalau hanya ada basikal, jenuh juga le mengayuh. Ada juga yang guna tadahan air hujan je.
Untuk urusan mandi dan mencuci, kebanyakkan kami guna lombong tu. Kami mula memancing lebih kurang jam 5 petang. Ralit dan asyik melayan kail. Walaupun kail kami guna tu hanya buluh biasa, ikan menyambar umpan tak menang tangan nak melayan. Masa tu tak ada la dapat tongsan ke, rohu ke, lampam ke. Yang banyak tilapia.
Suasana semakin sepi. Langit dah mula nampak biasan merah jingga. Dah nak maghrib la tu. Aku kemas barang-barang nak bawa balik. Abang Lan suruh aku gerak balik dulu. Kalau dah gelap susah pula. Abang Lan nak tunggu lagi lima minit. Aku dan seorang kawan Abang Lan beredar dari situ, tinggal Abang Lan dan seorang lagi kawannya.
Tak sempat jauh, kedengaran bunyi Lalang dan belukar di rempuh. Aku ingat si kerbau pendek nak lalu, rupanya Abang Lan dan kawannya berlari mengejar kami. “Mana barang-barang?” Aku tanya Abang Lan. ”Dah, cepat lari, !!” Abang Lan dan kawannya dah mendahului kami. Aku pun apa lagi, ikut sama lari. Senja tu tiba-tiba ada pula acara merentas desa dengan hanya 4 peserta. Melepasi sahaja lombong, dan surau, kami ambil nafas di depan rumah. Nasib baik plastik yang isi hasil pancingan aku dah bawa dulu, kalau tak buang masa dan membazir je.
Abang Lan bercerita, waktu nak tarik pancing yang dah dimakan ikan, rasa sangat berat. Hati Abang Lan dah berbunga. Harap-harap dapat lah lampam besar pinggan. Tarik dan tarik lagi tapi tak ada pun henjutan balas dari ikan tu. Kawan Abang Lan cuit-cuit bahu Abang Lan. “Kenapa?” tanya Abang Lan. Tak ada jawapan, tangan je tunjuk ke dalam air. Batang pancing Abang Lan dah macam huruf U… melengkung cantik. Nampak bayang-bayang dalam air, hitam dan ada dua titik merah macam spotlight merah yang agak kelam. Ahhh…sudah. Apa lagi, campak terus batang pancing. Nasib le batang pancing buluh, kalau jenis shimano mau Abang Lan lumba tarik tali pula dengan benda tu.
Bila abah Abang Lan dengar cerita tu pada malam tu, kena la sedas. Dengan selamba bapa Abang Lan kata, “benda tu pun tau. Dah nak maghrib. Dia suruh kamu balik le tu..tak payah menebeng di tepi tebing lombong lagi.” Maka insaf la kami semua.. insaf waktu tu je. Seminggu lepas tu, aktiviti memancing berjalan lah semula macam biasa.
Kisah 3
Untuk makluman semua, kedalaman air lombong ditempat yang paling dalam iaitu di tengah-tengah ialah lebih kurang 3 kali ganda tinggi pokok kelapa. Lombong ni sewaktu masih beroperasi dulu dipanggil lombong dedah dimana kawasan akan dikorek dan jika ada takungan air akan dipam ke kawasan lain. Lama-kelamaan lombong ini menjadi sangat dalam. Jika kita berdiri ditepi tebing dibahagian hujung, tebing tu tinggi daripada permukaan air lombong, kita nampak air tu hijau je. Hijau gelap. Betul-betul ditangah lombong tu, nampak seperti berpusar je airnya. Tu sebab aku panggil Lombong Hijau.
Ada sumber maklumat mengatakan ada penyelam yang pernah menyelam dan cuba melihat kedalaman lombong ini. Di dasar lombong ini masih ada rangka besi pam dan peralatan melombong di zaman pemerintahan Inggeris dulu. Ada cerita mengatakan diawal-awal penutupan lombong itu, penyelam dari luar negara datang dan menyelidiki kesan tinggalan. Mereka terjumpa satu rangka manusia tergantung disebuah pondok yang kelihatannya seperti pondok pengawal selia. Itu mungkin hanya cerita lama yang tak dapat disahihkan.
Dalam satu bulan puasa dalam tahun 70-an, lombong ini memberikan aku kisah ketiga. Ada yang pernah berkata, dalam bulan puasa ni taka da setan tak ada hantu kan. Sebenarnya gangguan makhluk tak dapat dilihat ini tetap ada.
Tiga minggu berpuasa, selepas solat tarawikh di surau, kebanyakan penduduk yang rumahnya hampir dengan lombong mendengar satu bunyi seperti deruman guruh yang sayup dan panjang. Bunyi macam mengeruh-ngeruh, macam mengerang pun ada. Sayup-sayup dan seolah-olah dari satu tempat yang jauh dari perut bumi. Sebelum ini tak pernah dengar bunyi begitu. Keesokan harinya sekitar jam 5-6 petang, penduduk sekitar kawasan lombong gempar dengan suara tangisan seorang perempuan.
Pihak polis juga mula datang ke kawasan lombong. Rupa-rupanya ada budak lemas dan masih belum ditemui. Menurut cerita Abang Lan yang ikut sama menyelam ke dalam lombong itu, mangsa ke kawasan lombong dalam jam 9 pagi. Mangsa bermain bot mainan yang diletakkan bateri. Bukan bot kawalan jauh macam zaman now ya. Zaman tu, bot letak bateri ni kira sangat hebat. Kalau aku…huhhh…bot kertas je yang kami mampu main. Guna surat khabar lama.
Mangsa bermain bersama rakan-rakannya. Bot tu pula dikawal dengan kayu yang panjang je. Selalunya dimainkan didalam tong tadahan air. Tapi dah nak jadi sebab kan. Mangsa bermain dan terleka. Bot tu terlepas ke kawasan yang agak dalam. Sewaktu mangsa cuba mendapatkan bot mainan itu, tiba-tiba mangsa tenggelam. Rakan-rakannya yang panik, terus balik ke rumah dan mendiamkan diri. Takut kena marah mungkin. Hilang pagi, dah petang baru mereka maklumkan si mangsa hilang di lombong.
Emak mangsa cuba mendapatkan bantuan penduduk setempat. Polis yang dimaklumkan juga turut berusaha mencari mangsa. Lebih kurang satu jam lagi waktu berbuka puasa akan tiba. Ramai penduduk yang ikut sama membantu.
Juadah berbuka puasa disediakan oleh beberapa penduduk kampung. Waktu tu ada seorang pakcik berkata pada emak mangsa. Budak ni ada bantal yang biasa dia guna tak, tolong lah sesiapa ambilkan. Seorang saudara mangsa pulang ke rumah dan ambilkan bantal tu. Pakcik tu dengan tenang, melambungkan bantal tu tiga kali. Sambil menyebut nama mangsa berbinti ibunya. Dan bantal tu dicampakkan ke dalam lombong.
Bantal kekabu sepatutnya akan terapung dulu kan, hingga kekabu meresap air barulah nampak tenggelam kan. Tapi Abang Lan kata, elok cecah je bantal tu ke air, terus tenggelam. Pakcik tadi tenang je, ambil jala. Cantik je pakcik tu tebar jala dikawasan bantal tu tenggelam. Pakcik tu cakap pada ibu mangsa, bertenang ye. Pakcik tu tarik jala perlahan-lahan. Seiring dengan bunyi kerantung menandakan masuklah waktu maghrib dan waktu berbuka puasa, pakcik tu menaikkan jala yang kelihatan agak berat.
Mangsa dilihat macam sedang tidur berselimutkan jala. Yang membuatkan Abang Lan dan ramai penduduk yang lain menitiskan air mata, setelah polis memeriksa jenazah mangsa, perut mangsa tidak dimasuki air. Paru-paru juga bersih. Hanya lumpur dan selut merah memenuhi saluran hidung mangsa. Sambil emak mangsa memeluk jenazah, emak mangsa menangis sambil berkata, mangsa belum pernah tinggal puasa. Rupanya dia pergi ni masih tetap berpuasa.
Allahu… aku dan emak di rumah pun ikut menangis mendengar cerita Abang Lan. Selepas kejadian itu, kawasan yang menjadi tempat mangsa itu lemas telah dipacakkan kayu-kayu pemancang sebagai pagar agar penduduk tidak memasuki kawasan air lombong dibahagian itu.
Sekian dan terima kasih… Panjang umur berjumpa lagi…
Part akhir tu sedih 😭😭
btl tue minmin. .part last mmg sdeh tp mcm pena dgr dn bce ksh part 3 tue tp lupe suda. .huhu. .pape pn ianye mmg trbaek. .klu ad lg story cpt2 ar smbung. .he3. .
Cerita mcm ni la bgs. Ni x byk sgt cerita rekaan n tokok tmbh bbnu.
lama dah aku tak melawat site ni
bersepahnya iklan, lpas tu tak bagi baca kalau ada install adblock.
apa laaa in woi.
segala mak nenek iklan keluar , nak baca pun semak dah.
menarik… cerita la lagi
part last tu dah siar pada March 14, 2019…. guna tajuk “kenangan Setingarden”…. kaki ciplak…