Mak Cik Sofia

Hi Semua Pembaca Setia FS. Seperti anda semua, saya juga seorang pembaca setia FS, setiap pagi ketika sampai sahaja di office, saya terus membuka website ini. Saya telah banyak membaca kisah seram dari penulis lain. Saya tidak biasa menulis jadi saya harap pembaca tidak bosan dengan kisah saya ini. Pertama, saya memohon maaf jika kisah ini tidak seram tetapi tujuan saya hanya untuk berkongsi pengalaman saya bersama mak cik kesayangan saya.

Kisah ini saya alami di rumah saya sendiri. Maaf, saya lupa perkenalkan, nama saya Marina dan berasal dari Sarawak. Kisah ini berlaku pada tahun 2005 dan saya waktu itu berumur 15 tahun. Sebelum saya bermula, saya ingin menerangkan terlebih dahulu keadaan kami sekeluarga. Saya merupakan anak bongsu dari 5 orang adik beradik. Ibu saya seorang jururawat dan ayah saya seorang penjawat awam, tetapi malangnya ayah saya terkena penyakit strok pada tahun 1998 yang mengakibatkan beliau lumpuh separuh badan. Jadi tugas kami adik beradik adalah menjaga ayah saya yang tidak sihat di rumah. Ketika kejadian ini berlaku, abang-abang saya dan kakak saya tidak lagi tinggal bersama-sama ibu bapa saya, kerana telah pun ‘’out of town’’ bekerja di tempat lain dan melanjutkan pengajian di tempat lain. Jadi hanya saya seorang yang tinggal bersama-sama ibu dan ayah saya.

Ayah saya mempunyai ramai adik beradik, tetapi saya sangat rapat dengan adik bongsu ayah saya, Mak Cik Sofia. Rapatnya saya dengan Mak Cik Sofia saya, setiap kali dia datang ke Bandar dari kampung, dia akan singgah di rumah kami dan saya akan mengikutnya ke Bandar. Dia selalu membelikan saya baju, teddy bear, buku cerita, mainan-mainan sehinggakan anak-anak nya sendiri cemburu akan hubungan kami. Dia selalu dikatakan melebih-lebihkan saya dari anak-anaknya sendiri. Dia hanya akan menjawab, ‘’Kita bukannya selalu berjumpa’’. Begitulah dari saya kecil sehingga pada tahun 2005, Mak Cik Sofia disahkan menghidap kanser rahim tahap 3. Penyakitnya tidak lama di tahap 3, 2 minggu seterusnya kanser nya disahkan ada di tahap 4.

Mak Cik Sofia tidak lagi tinggal di kampung tetapi dia lebih banyak menghabiskan masa di ICU hospital yang tidak jauh dari rumah saya. Selama ingatan saya, setiap kali saya menjenguk mak cik Sofia di hospital, dia tidak pernah mengadu sakitnya dan hanya tersenyum melihat saya. Pada pemikiran saya waktu itu, mungkin mak cik kesayangan saya ini ada peluang untuk sembuh.
Sebulan kemudian, dia telah dihantar ke hospital Kuching. Sekitar 2 minggu sahaja di situ, ajal menjemputnya. Ayah saya seorang peribadi yang pendiam tidak dapat menahan kesedihan nya kerana tidak dapat berjumpa dengan adik kandungnya dan tidak akan dapat pergi ke pengebumian adiknya kerana keadaan ayah saya sendiri tidak mengizinkan (lumpuh).

Ibu saya bergegas dari hospital dan mengambil saya di sekolah kemudian kami tiba di rumah. Ibu saya berpesan, saya harus tinggal di rumah bersama ayah saya dan dia akan mewakili kami untuk ke Kuching menguruskan mayat Mak Cik Sofia untuk di bawa pulang ke kampung. Saya sangat kecewa dan sedih atas pemergian mak cik Sofia. Saya tidak dapat melihatnya pada kali terakhir tetapi saya harus bersama ayah saya di rumah. Pada malam tersebut, seingat saya hujan lebat dan saya telah tidur-tidur ayam di ruang tamu rumah, kerana kepenatan seharian menangisi pemergian mak cik Sofia.

Ayah saya sudah tidur di biliknya. TV masih bersiaran tetapi hati saya seperti m**i. Saya mula hilang fokus menonton. Tiba-tiba kilat dan Guntur sabung menyabung. Saya terus bangun dari sofa dan berjalan ke arah TV untuk menutup suis-suis dan pergi ke bilik ayah saya. Ceritanya bermula di sini, di dalam keadaan sedar dan tidak sedar, sebelum jari saya sampai untuk menutup semua suis, tiba-tiba ‘’blackout’’. Saya tergamam sebentar dan saya sedar saya berada di tengah-tengah ruang tamu rumah. Ketika itu, badan saya terasa kaku, tangan saya tidak boleh bergerak langsung. Kaki saya tidak berganjak dari tempat saya berdiri. Dan bau seakan-akan bau ubat-ubatan hospital menusuk rongga hidung, bau yang sangat familiar ketika saya melawat mak cik Sofia semasa dia di hospital.

Kaki dan badan saya masih lagi kaku berdiri di tengah ruang tamu rumah saya sendiri, diluar hanya hujan lebat dan Guntur diselang selikan dengan kilat. Di tengah kegelapan blackout lah saya melihat dari anak mata saya Mak Cik Sofia berdiri di samping saya. Ya Tuhan, seumur hidup saya, saya tidak pernah merasa begini. Saya dari perasaan sedih awalnya menjadi seram. Tidak lama kemudian, saya merasakan dingin di bahagian tengkuk saya, seperti ada tangan yang dingin dan menyentuh tengkuk dan bahu saya. Hati kecil saya ingin menjerit, tetapi saya tetap kaku. Bau ubatan hospital tetap kuat di rongga hidung saya.

‘’Mak Cik Sofia, tolonglah jangan ganggu saya!’’, Saya sudah menangis. Saya mengumpul kekuatan ketika itu, dalam keadaan yang separa sedar, kaku dan seram, saya berkata, ‘’Kita tidak lagi sama di dunia ini. Saya minta maaf tidak dapat datang ke Kuching untuk menjenguk kamu untuk kali terakhir’’. Ketika ini saya sudah menangis. Saya merasakan Mak Cik Sofia mengelilingi badan saya, rasa dingin, bau ubatan hospital, bau badan Mak Cik Sofia yang biasa saya hidu ketika dia masih hidup, semua terjadi pada waktu itu. Dia terasa terlalu dekat dengan saya.

Setelah beberapa ketika, dari ruangan bilik di dapur, saya mendengar ayah saya berteriak memanggil saya. Saya cuba mengenggam buku lima saya, cuba menghilangkan rasa kaku badan saya, mengumpul kudrat dan berlari sekuat hati menuju ke bilik ayah saya. Ayah saya berkata dia sudah hampir 30 minit memanggil saya ketika lampu mulai padam. Saya menutup pintu dan berkata saya tertidur di ruang tamu tadi. Sehingga ayah saya meningga dunia pada tahun 2010, saya tidak pernah menceritakan padanya apa yang berlaku pada malam tersebut.

Marina L.F.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

6 thoughts on “Mak Cik Sofia”

  1. cerita cmni ok. kalau cerita yg guna nama kolej universiti sbb nk student situ support cerita dia mmg aku bash kaw kaw.

    lagi satu cerita yg aku benci baca pasal dia berkawan jin, dajjal & syaitan apa semua yg mengarut entah apa2

    sincerely,
    bakal 9A+ spm 2k17

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.