Khamis, 9.30 malam.
Aku mengeluh seraya menggeliatkan tubuh, membetulkan urat-urat setelah hampir satu jam mengulangkaji pelajaran memandangkan lagi tiga hari akan bermulanya peperiksaan akhir semester. Aku menyandarkan tubuh seketika sebelum memeriksa notifikasi yang masuk pada telefon aku. Beberapa mesej Whatsapp group kelas sahaja, tiada personal chat. Maklumlah, aku bukannya popular seperti Alif, rakan sebilik aku. Setiap minggu pasti akan keluar bertemujanji dengan buah hati. Untunglah nasib badan dapat berpasangan. Aku pula masih ‘single but not available’ kerana terlalu naif mungkin.
Beberapa minit kemudian, Alif muncul.
“Eh, awal balik hari ni? Selalunya kalau keluar dating, tak sah kalau tak balik pukul 11 malam dan ke atas. Ada apa-apa jadi ke?” soalku sebaik sahaja Alif tiba.
“Mana ada aku keluar dating hari ni. Amira tak free malam ni.”
“Kenapa?”
“Hari ni kan malam jumaat. So, minggu ni turn bilik dia yang kena buat bacaan yaasin.”
“Bacaan yaasin?”
“Ya. Wajib.”
Aku berkerut dahi, cuba menghadam apa yang diperkatakan oleh Alif. Bacaan yaasin setiap malam jumaat? Mengikut giliran bilik? Wajib? Pelik. Alif yang ketika itu sedang menanggalkan jaket hoodie yang dipakainya sebelum disidaikan pada kerusi. Dia melabuhkan p******g pada hujung katil sambil menanggalkan stoking sebelum memulakan kembali perbualan.
“Kau sumpah tak tahu ke?” soal Alif dan soalannya itu aku jawab dengan gelengan kepala.
“Blok kolej perempuan mewajibkan bacaan yaasin setiap malam jumaat mengikut giliran bilik. So, malam ni giliran bilik Amira yang jadi host untuk bacaan yaasin tu. Tapi minggu lepas, giliran bilik sebelum Amira gagal laksanakan aktiviti bacaan yaasin tu, lepas tu ada sesuatu jadi.”
Aku memusingkan tubuh menghadap Alif, mula berminat untuk mendengarkan cerita akan apa yang berlaku dalam blok kolej perempuan minggu lepas. “Apa dia?”
“Kau ingat tak minggu lepas ada dua orang pelajar histeria dekat blok perempuan?”
Aku mengangguk laju. Ya, aku baru teringat yang minggu lepas kecoh satu kolej apabila dua pelajar perempuan dirasuk histeria. Salah seorang daripada pelajar itu berbicara dalam bahasa Jawa manakala seorang lagi hanya berteriak dan menangis. Seram sejuk pula bila memikirkan kejadian itu serta-merta membuatkan bulu roma aku merinding.
“Ceritanya macam ni, selain kes histeria tu, ada satu lagi kisah yang kecoh dekat blok kolej perempuan. Amira yang bagitahu aku. Kisahnya minggu lepas bacaan yaasin tak dilakukan sebab host bilik terlupa dan dia balik kampung. So, bacaan yaasin tu tak diadakan. Malam tu, Amira cerita dekat aku yang dia nak ke toilet pada masa itu dan kebetulan dia terserempak dengan makcik cleaner. Mula-mula dia rasa semacam sebab tak pernah ada cleaner yang bertugas pada malam hari. Lagi pelik, sebab katanya dia jugak tak pernah nampak ada muka makcik cleaner tu sebelum ini. Makcik tu pakai baju kurung kedah dan kain batik sahaja.
Kalau diperhatikan dari fizikal luaran, dia nampak macam lebih kurang umur dalam lingkunagn awal 50-an sebab Amira kata rambut makcik tu sendiri sudah beruban dan diikat sanggul. Makcik cleaner tu hanya menyapu lantai dan tidak pula dilihat ada sampah di kawasan itu. Agak pelik. Tapi Amira malas nak pikir panjang sebab masa tu dia sendiri nak ke toilet sebab nak mandi. Tambah pula minggu lepas dia memang tengah datang bulan. Tapi belum sempat dia nak masuk toilet, makcik cleaner tu tegur dia, ‘Dik… malam ni tak ada bacaan yaasin ke?’.”
Entah kenapa sebaik sahaja mendengarkan cerita daripada Alif itu membuatkan aku terasa seram dan tak sedap badan. Macam ada sesuatu.
Alif menyambung cerita.
“Lepas makcik tu tanya, Amira jawab dengan jujurlah yang malam tu bacaan yaasin tak diadakan kerana pelajar yang menginap di bilik yang sepatutnya diadakan bacaan yaasin itu balik kampung. Sebab itulah tak ada bacaan Yassin.
Makcik cleaner yang sudah sedikit bongkok itu mengangguk dan tersenyum. Lepas tu makcik cleaner tu cakap,..
‘Patutlah makcik boleh masuk.’
…Makcik cleaner makin tersengih dan menyeringai sehingga menampakkan barisan giginya yang sudah kehitaman sebelum dia ketawa kecil. Amira mula rasa ketakutan dan niatnya untuk mandi terus dibatalkan. Amira terus pulang ke bilik dan minta Zulaikha, roommate dia untuk temankan dia mandi.”
Jumaat, 10.13 malam.
Mengingatkan bahawa aku masih lagi belum menunaikan solat Isyak, aku sudah mulakan rasa kecut perut untuk ke toilet untuk mengambil air wuduk. Bimbang jika bertemu dengan makcik cleaner pakai baju kurung kedah, berkain batik, dan rambut beruban yang diikat sanggul.
“Kau nak ke mana?” soalku apabila melihatkan Alif seperti ingin keluar bilik.
“Nak ambil wuduk, solat isyak.” jawab Alif ringkas.
“Aku ikut samalah. Aku pun belum solat isyak lagi. Alang-alang boleh berjemaah terus.” Aku berdalih untuk menutup kebenaran bahawa aku sudahpun ketakutan dan seram untuk keluar bilik akibat kisah makcik cleaner itu tadi.
-Tamat-
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Seramnyaaa!!
??