Maksud Azan Kepada Dua Golongan

Biasanya sebelum azan Maghrib akan berkumandang, orang tua dulu-dulu akan bising memanggil anak-anak balik ke rumah. Bila dah masuk saja ke dalam rumah, pintu dan tingkap semua akan ditutup rapat atau dikunci sekali. Lepas tu, anak-anak disuruh mandi dan siap berwudhuk. Siap dipesan lagi, jangan lama-lama sangat dalam tandas tu. Lebih baik kalau siap mandi dan wudhuk sebelum azan lagi. Orang tua dulu-dulu kata sebab masa tu lah semua jin, setan dan makhluk halus ni akan keluar merayap.

Bila bergema saja laungan azan, golongan makhluk ni yang jahat akan takut kegelisahan. Siap dikata lagi mereka akan rasa panas terbakar lalu meluru-luru menyerbu ke tandas manusia. Segala najis dan kotoran yang tersisa dalam tandas itulah menjadi ubat penawar mereka. Manakala golongan makhluk halus yang baik pula akan bergegas menyahut seruan azan untuk solat di awal waktu. Kalau tak sempat ke surau atau masjid, menumpang solat di rumah manusia pun jadilah.

Masa kecil dulu aku pernah fikir ni semua cuma cara orang tua lama-lama dan ustaz ustazah sekolah untuk menakutkan budak-budak. Lagipun aku ingatkan rumah di bandar KL mana ada hantu. Kalau di hutan dan kubur agaknya adalah. Tapi selepas mengalami sendiri detik azan bersama dua golongan ni, aku percaya semuanya bukan tipu belaka. Itulah hakikat yang tertutup dari mata kasar kita.

Pengalaman aku ni terjadi semasa masih kecil berhingusan di zaman sekolah rendah. Sebab selepas kejadian aku pernah sampaikan cerita ni kepada ustazah Hazamah (sebagai tanda aku mengakui yang kata-kata ustazah tu bukan cerita karut semata). Pada malam tu, azan sedang berkumandang. Aku tak pasti sama ada ketika waktu Isyak atau Maghrib. Perut yang lapar membawa aku ke dapur untuk mengintai lauk di bawah tudung saji. Lepas beberapa langkah saja ke dalam ruang dapur aku dapat melihat pintu tandas di sebelah kanan dan pintu belakang rumah di sebelah kiri.

Pintu belakang terbuka luas untuk memberi ruang kepada angin lalu tetapi grilnya rapat dikunci. Jadi, ruang ampaian kain di luar belakang rumah nampak bergelap tanpa cahaya lampu. Lantai pintu belakang tu pula disekat oleh sekeping board papan yang setinggi lutut. Bendul papan tu diletak untuk mengelak cik siti dan cik currmut dari masuk ke dalam rumah.

Percayalah, cuma cik dua ekor yang kecil tu saja tak lut dek bendul papan tu. Samar susuk tubuh dalam gelap yang aku ternampak sekilas pandang ni siap angkat lutut kirinya tinggi-tinggi nak melangkah bendul tu. Tangannya pula kiri kanan siap memapah berpaut pada frame pintu. Seluruh badannya yang agak kurus tinggi nampak gelap kusam macam hangus terbakar dari hujung kepala sampai hujung kaki.

Mungkin sebab perut yang terlalu lapar, aku tak berapa mengendahkan sekilas pandangan tadi dan terus berpaling menyerbu tudung saji mama. Selepas puas mengintai lauk, badan aku berpusing semula dan kali ini sempat melihat semuanya dengan jelas. Persis gerakan slow motion filem The Matrix. Mataku yang masih naif ditunjukkan kelibat sebahagian betis, tumit dan buku lali kanan yang melangkah masuk ke dalam tandas. Kulitnya hitam gelap seperti hangus terbakar. Ada juga sebahagian kulit yang kemerahan seperti lepuhan melecur.

Aku terkejut lalu cepat mendapatkan mama yang sedang menonton TV di ruang tamu. “Mama tolong! Ada orang sakit masuk kat jamban kita. Kaki dia hitam terbakar.” Mama bingkas bangun dan segera ke tandas belakang yang bergelap. Walaupun setelah lampu tandas dihidupkan, ternyata tandas tu kosong tak ada sesiapa pun. Aku yang masih kecil pada masa tu, tak terfikir langsung apa-apa yang menakutkan. Tak logik ada orang yang boleh masuk melalui pintu belakang rumah yang terkunci grilnya. Tulusnya jiwa kanak-kanak aku pada masa tu siap panggil mama minta tolong tengokkan ‘orang’ yang terbakar tu huhuuu… Nasib baiklah ‘dia’ tak tonjolkan dirinya langsung selepas tu.

Bila dah lega mama tak payah menjadi doktor superhero menolong ‘orang’ tadi, aku yang kecil tu pun terus melupakan kejadian tadi. Boleh pula tu siap dibiarkan mama diri tercegat di depan pintu tandas. Adoi, bertuah betul huhh!!! Geram betul aku kat aku masa tu! Tapi dewasa ni, bila diingatkan balik, mungkin mama tak berapa terkejut dengan kejadian tu. Pada masa yang lain aku ingat pernah bertanya mama, “Siapa dua orang pakai telekung yang sembahyang kat laman rumah kita tu?”. Tingkap bilik mama dan papa betul-betul dapat nampak laman berumput sekangkang kera rumah teres kami. Aku masih ingat ternampak 2 kelibat berselubung kain putih cuma tercegat di situ. Masa tu langit nampak gelap, mungkin mendung atau dah senja. Aku pun tak ingat apa respon mama kepada soalan tu.

Huhuhuu…sempat lagi aku selit selingan cerita kelibat berselubung kain putih ni. Dari cerita aku di dapur tadi mesti pembaca dah dapat teka ‘mangsa kebakaran’ tu dari golongan yang mana. Gulp!!! Kelibat berselubung tu pula aku tak pasti sangat termasuk golongan mana huhuhu. Sambungan cerita bawah ni pula aku berharap adalah sapaan dari golongan yang sebaliknya lah. Kenapa aku kata berharap? Sebab kali ni aku tak nampak cuma dapat mendengar saja. Pengalaman kali ni berlaku beberapa bulan yang lepas. Dah tentu aku bukan lagi budak hingusan yang tak tahu apa-apa. Aku yang kini ialah seorang peminat cerita seram yang dah pun berkahwin lengkap dengan seorang anak yang comel aceceh…

Petang tu aku bergegas nak mandikan anak selepas siap masak dan hidangkan untuk makan malam. Jam menunjukkan dah pukul 6 lebih. Aku kelam kabut terkejar nak siap mandikan anak sebelum azan Maghrib. Anak aku ni kena dipujuk dan dilayan dulu kalau nak mandi. Kalau aku rush mandikan dia ikut cara Bujang Lapok cerita P. Ramlee alamatnya merajuklah nanti. Bila dah besar jadi mak orang ni, aku pula yang kurang senang kalau anak menangis atau masih mandi dalam tandas masa Maghrib. Tu laa akibatnya sebab masa kecil dulu selalu ketawakan cakap orang tua dulu-dulu.

Walaupun aku cuba tangkas mengejar masa, akhirnya azan Maghrib tetap berkumandang semasa anak aku masih dalam tab mandi. Kebetulan terdengar pula bunyi enjin kereta suamiku yang baru sampai ke rumah. Kemudian bunyi gril pintu dibuka dan derapan tapak kaki bergegar memanjat anak tangga ke bilik atas. Biasanya kalau pulang lewat ke rumah, suamiku akan bersihkan dirinya dulu sebelum mengagah anak kesayangannya. Dibesarkan di kampung, jadi tingkah encik suami ni agak banyak mengikut cara orang tua dulu-dulu. Berbeza betul dengan gaya aku si gadis bandar yang agak semberono.

Tiba-tiba aku terhidu bau wangi seperti sesuatu yang dibakar. Baunya agak familiar tapi aku tak dapat tangkap apa dia tu. Laungan azan sudah tiba ke penghujung kalimah. Aku sudah mula tak sedap hati dan cepat-cepat membilas buih sabun pada anak kecilku. “Bau jiran India belakang ni bakar colok dia kot,” bisik hati cuba memujuk. “Ye lah, lain agama pun, dia mesti nak sembahyang juga,” hatiku masih tetap positif. Kebetulan pada masa tu terdengar dari tingkat atas bunyi lutut encik suami berlabuh ke lantai untuk bersujud. Aku pun tak tahu kenapa suamiku selalu hentak lutut dengan kuat semasa solat. Sampai boleh dengar di tingkat bawah pula tu!

Sabun dan air tab mandi tadi aku biarkan dulu tak berkemas dalam tandas. Terus aku bawa anak keluar untuk dipakaikan baju di ruang tamu. Sedang aku sibuk terbongkok menyiapkan anak, tiba-tiba gril pintu sliding bergegar dengan kuat sangat!! “Terperanjat betul! Dah lah tengah rasa seram sejuk time Maghrib gini. Boleh pula si kucing-kucing mengada-ngada ni main terjah je panjat gril macam tu. Taulah tuan kesayangan dia dah balik. Sabarlah dulu. Huhh!! Nak tercabut jantung rasanya tau!” Hati yang tadi lembut memujuk terus bising mengomel. Mataku menjeling ke arah langsir pintu yang masih diam berselubung rapat menutup pandangan terus kepada kaca sliding dan grilnya.

Bebelan hatiku tersentap. Bunyi gril pintu bergegar tadi disambung pula dengan bunyi pintu sliding diseret terbuka! Aku tau lah kucingk-kucing ni suka main lumba terjah gril sampai nak roboh. Tapi cukup kuatkah si bulus aku tu nak tolak pintu sliding sampai terbuka terus?!!!

Serta merta semerbak bau asap menerpa rongga hidungku. Mataku bulat menatap kain langsir yang rancak bergerak-gerak dicapai sesuatu dari luar. Mulutku terlopong diam tak bersuara langsung. Badanku masih terbongkok dengan tangan yang terkaku memegang baju si kecilku. Anakku masih terbaring di depan aku pelik melihat perangai mamanya barangkali. Dadaku makin berdebar-debar. Nafasku tersekat di kerongkong. Aku panik sangat ni! Langsir yang bergerak-gerak tu terselak ke tepi dan muncullah raut suamiku yang tersengih lebar. Fuuhhh!!! Buat suspeennn je lebiiihhh… Mulut yang tadi terlopong mencebik masam. Suamiku masih tercegat dengan sengih dia lagi. Gerrraammm aku!!

“Abang ada bakar sampah ye baru tadi?”

“Ha ah,” jawabnya selamba sambil mengangguk. Sengih lebar dia masih tak lekang dari bibir. Tanpa rasa bersalah dia berpusing mengunci kembali gril dan pintu sliding.

Pasang surut rasa takut seram, gemuruh dan terperanjat geram membuatkan aku hanggiiinnnn satu badan tau!! Belum masuk lagi bab aku nak bagi ceramah short course yang garang kat dia pasal kesan membakar sampah ni kepada lapisan ozon bumi. Tapi tu semua aku lupakan saja dan terus pinta dia solat dulu sementara aku sambung sarungkan baju anak. Nanti giliran aku pula ke atas dan encik suami ambil shift temankan anak.

Lirik mataku mengekor kelibat encik suami menapak di tangga naik ke tingkat atas. Kali ni aku betul-betul menghayati bunyi pili air dibuka dan tutup. Pintu bilik dikuak terbuka dan juga hentakan lutut encik suami yang bersujud.

Kalau baru sekarang ni suami aku sempat naik ke atas bersolat Maghrib, bunyi siapa yang aku dengar semasa dalam tandas tadi? Huhuhuu…harapnya golongan yang turut akur dengan seruan ajaran Ilahi. Jenis sampah apa pula yang dibakar sampai bau wangi? Aku pasti bukan bau sampah daunan kering pokok serai atau pandan dari laman rumah kami. Mungkin juga tu semua cuma cara aku ditegur kerana masih di tandas bersama si kecil semasa azan Maghrib. Huhuhuu…kan dah terkena lagii… Tu lah, pesan orang tua dulu-dulu tak nak ingat.

Terima kasih kerana sudi baca cerita aku ni sampai ke penghujung. Andai turut dipaparkan di laman FS ni aku dah cukup bergembira dapat berkongsi pengalaman dengan semua pihak. Tak sangka dari cuma seorang pembaca, akhirnya aku turut jadi si penyumbang cerita.

Akhir kata, kalau mereka ni pun tahu bergegas nak menyahut seruan Allah, anda yang membaca ni nak ikut contoh golongan yang mana? Yang panas terbakar atau yang sejuk akur? Pilihan di tangan anda.

wxyz

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 5]

9 thoughts on “Maksud Azan Kepada Dua Golongan”

    • ala.. suka ati dia la nk pkai bahsa skema ke ape, klau ko x suke penggunaan ayat skema mcm ni sila berambus awal2 xyah baca.. mcm la cite ko dgn bahasa pasar zaman purbawala tu best sngt.. dasar manusia kolot..

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.