Manusia Atau Apa Di R&R Perasing Tu

Selamat malam warga pembaca FS. Malam ni aku nak share satu pengalaman. Masa cuti krismas (hari sabtu) haritu, aku mengikut keluarga mak saudaraku ke Terengganu. Kami datang ke sana untuk melawat atuk aku yang tinggal bersama mak saudaraku yang seorang lagi. Dipendekkan cerita, kami pulang ke Selangor melalui lebuhraya pantai timur (LPT) pada hari isnin. Kami masuk ke LPT dari jalan hulu Terengganu pada pukul 8 malam.

Setelah sejam perjalanan, aku rasa hendak ke tandas. Aku pun minta bapa saudaraku (pak teh) untuk singgah sebentar di R&R Perasing, Terengganu. R&R itu nampaknya kelihatan baru dibuka memandangkan kedai yang ada pun 2 3 buah sahaja. Kelihatan 4 5 keluarga sahaja yang berada di situ. Aku seorang sahaja segera keluar untuk ke tandas. Yang lain tunggu di kereta. Kedudukan tandas agak tersorok, tetapi cerah. Tandas di R&R ini sangat besar. Sebelah barat timur selatan utara dalam bangunan tandas itu (lelaki perempuan asing) sekurang-kurangnya ada 10 tandas untuk setiap bahagian. Di tengahnya ada 3 barisan singki yang setiap sinki mempunyai cermin. Dan setiap barisan mempunyai lebih kurang 5 singki.

Masa aku nak melangkah masuk, aku terdengar ada orang yang sedang menukar lampin anak sambil bercakap dengan anaknya dalam loghat Kelate. Aku rasa lega sikit, sekurang – kurangnya tak sunyi sangat. Sebelum masuk ke tandas yang paling dekat, aku perasan macam ada seorang gadis di sinki barisan kedua yang sedang berdiri menghadap cermin. Aku cuma nampak tudung bawal dan jubahnya yang berwarna hitam kosong. Aku tak perasan kasutnya sebab jubahnya labuh. Masa ini, aku tak terfikir apa – apa lagi memandangkan aku cuma ingat nak lepaskan hajat sahaja.

Bila aku sudah lega dari lepaskan hajat dan keluar dari tandas, aku berasa nak pandang lagi gadis itu sebab aku nak tengok apa yang dia lakukan sebab aku tak dengar bunyi apa pun (kecuali suara orang yang tukar lampin itu) dari awal aku masuk ke bangunan tandas itu. Aku hairan juga, takkan lama sangat pakai tudung bawal dia itu. Nak kata mekap pun, masa kat tandas tak dengar bunyi apa – apa (paling tidak pun bunyi menutup bekas alat mekap mesti dengar memandangkan tandas itu sangat sunyi).

Masa aku nak keluar dari bangunan tandas itu, aku pandang lagi gadis itu. Masih di tempat yang sama. Baru aku perasan sesuatu. Sel otakku baru berhubung. Dia dari mula pandang cermin. Dan masa aku hendak melangkah pun dia masih dalam keadaan sama; statik menghadap cermin. Aku telah menangkap sesuatu. Sebenarnya dia pandang ke mana? Di pantulan cermin itu, aku nampak dia seperti yang aku nampak dari belakang. Kalau dia menolah kepalanya sahaja ke sisi mestilah nampak bayangannya bentuk lain bukan? Atau lebih mudah di sini, aku tak nampak mukanya! Nak kata niqabis pun, paling tidak mestilah tudungnya lebih daripada bahu dan aku mesti nampak matanya. Aku cuma nampak macam tudung yang dipakai hanya melepasi bahu sikit sahaja (macam perempuan yang biasa pakai). Aku tak nampak pun tangannya!

Aku pun cepat – cepat keluar menuju ke kereta. Rupanya pak teh aku pun ke tandas selepas aku pergi ke tandas. Setelah kembali ke kereta, entah kenapa dia tanya, “betulkan kakak (aku) yang naik kereta ini, hehe”. Aku dah la tahan cuak, dia boleh pula tanya macam itu. Mungkin dia pun rasa tempat itu lain macam dan dia nak memastikan aku yang betul naik kereta dia.

Aku ligat berfikir ketika dalam perjalanan pulang. Manusia atau makhluk lain? Nak kata manusia, aku tak perasan kakinya. Yang lebih penting, aku tak nampak mukanya. Depan belakang aku nampak sama sahaja! Di cermin itu pun tak nampak mukanya; di belakangnya pun tak nampak mukanya! Makhluk lain? Takkan pandai pakai tudung. Tudung bawal pula. Pucci mungkin? Nak kata aku berkhayal pun, aku pandang banyak kali, dia masih statik. Nasib baik aku tak buat peramah.

Terserah kepada pembaca untuk menilai. Aku menggunakan bahasa baku supaya mudah difahami. Aku sebenarnya orang utara, selalunya aku ke pantai timur melalui Grik, jadi aku tidak tahu sangat jika ada cerita lain yang pelik di LPT.

Maaf atas kekurangan dengan penceritaan ini. Wasalam.

 

3 comments

  1. cerita-cerita seram & menakutkan mmg sering sangat kedengaran kat lpt 2 ini lebih lagi kat kawasan rehat n rawat perasing ini, bagi kami yg tinggal disini ianya mmg benar, selebihnya kita berserah pada Allah..

  2. sini mmg keras..nseb time lepak tgh mlm sbb baiki kete x kena gangguan tp ble mandi kat sini tgh2 mlm rase lah x sdp ati ( tandas ad tmpat tuk mandi ).. ad pak guard kt situ tp tu lah die dh pesan awal2…jd beringat lah n jage mulut..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *