#Maya: Jin Herisha

‘na may ganitong sumpa ay pumatay sa iyo’, Bahasa misteri yang acapkali aku dengar sebelum azan Maghrib dan Subuh berkumandang.

Bismillahirahmanirahim pembuka bicara, Asssalamualaikum WBT dan salam sejahtera kepada peminat setia Fiksyen Shasha, terutamanya yang mengikuti rentetan slot Maya. Maaf kerana slot Maya lambat update, mungkin terbitannya akan keluar sebulan sekali sahaja, tahun 2017 penulis agak sibuk sedikit. Terima kasih tidak terhingga di atas segala feedback yang diterima, semoga segala penceritaan yang aku sampaikan sebelum ini memberikan impak dan aura yang positif kepada para pembaca tercinta. Nurkilan aku hanyalah sekadar untuk berkongsi, segala yang baik atau buruk anda perlu nilainya dengan sendiri, percayalah bahawa situasi sebegini wujud di kalangan kita semua, cuma mungkin anda tidak diizinkan Allah untuk alaminya sendiri. Sesungguhnya, Allah menguji manusia mengikut kemampuan manusia itu sendiri. Siri Maya bersambung lagi, kali ini aku ingin memperkenalkan satu watak baru dalam kehidupan aku, iaitu Herisha.

Nama tidak seindah tuannya, bahkan bukan tergolong dalam spesies manusia. Adakah anda fasih mengenai Jin? Adakah anda percaya roh si mati yang tidak tenang akan bangkit menjadi hantu yang sering dimomok-momok kan oleh masyarakat melayu kita? Anda pernah merasakan kita diperhatikan, oleh orang yang pernah kita sayang dan telah pergi meninggalkan kita? Mungkin dalam coretan kali ini akan menjawab persoalan anda semua mengenai jin dan pengalaman yang aku lalui sendiri ‘bercakap dengan jin’. Percayalah bahawa arwah atau roh yang disangkakan datang kepada penghadir roh tersebut pada hakikatnya hanyalah cubaan jin atau syaitan yang cuba memainkan peranan untuk menyesatkan umat manusia. Kita sebagai umat islam haruslah percaya bahawa apabila seseorang manusia itu mati, maka rohnya akan berpindah ke alam kubur dan terputuslah seluruh hubungannya dengan dunia, kecuali tiga perkara, Rasulullah SAW bersabda:

‘Jika seseorang telah meninggal, maka putuslah semua amalannya kecuali tiga hal iaitu sekedah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya’ – HR Bukhari

4 September 2015:

Hari jumaat yang suram, telah pergi seorang hamba Allah yang aku sangat sayang menghadap ilahi, merupakan bekas seorang askar di waktu zaman komunis dahulu, merupakan ayah kepada sepuluh orang anak, iaitu atukku, Al-Fatihah. Sudah hampir sepuluh tahun beliau lumpuh, terkujur lemah baring di katil, seakan tiada semangat untuk terus hidup setelah pemergian nenek ku pada tahun 2000. Atuk merupakan seorang yang garang, dalam erti kata lain, tegas dalam membuat sesuatu keputusan, berbeza watak dengan nenekku, yang sangat lembut dan peramah, serta merupakan guru mengaji di kampungku. Akan tetapi, dalam tegas, ada sayangnya, setiap anak, cucu dan cicit sentiasa ceria dengan sikap atukku. Setiap yang hidup di dunia ini, pasti akan mati, ironinya itu yang terjadi kepada arwah nenekku yang telah menghembuskan nafas beliau yang terakhir di sisi atukku, yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

Sudah sampai waktunya atukku pula, ‘Yassinnn, walquran nil hakim, innakalaminalmusaliin, alaa sirotim mustaqiim…’, berkumandang bacaan Yassin dari sanak saudara serta jiran tertangga di sisi arwah atukku.

Datang seekor kucing bertompok, yang kami panggil gelarannya ‘Tompok’, baring di sisi jenazah, seakan meratapi kehilangan tuannya yang tercinta. Dalam berpuluh ekor kucing yang makcik aku bela di kampung, hanya seekor ini sahaja yang suka tidur dengan atuk, mungkin sedikit terkesan atas pemergian tuannya. Aku datang perlahan di sisi jenazah lalu aku cium dahinya, ‘Atuk, terima kasih atas segala yang atuk berikan kepada Rin’, tangisanku dalam hati. Bergilir-gilir saudara terdekat mengucup dahi atuk, sebelum dimasukkan ke dalam liang lahat.

Pada malam itu, kami menguruskan majlis tahlil arwah atukku, penyediaan makanan yang agak sedikit kelam kabut, akan tetapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dengan hasil pertolongan orang kampung. ‘Alamak apehal perut aku memulas nih, siang tadi jamah bihun je yang Mak Lang bagi je kot, masuk angina gamaknya’, monolog ku sendiri. Kampungku mempunyai dua buah tandas, dimana satu tandas di dalam rumah, dan satu lagi tandas di belakang rumah. Melihatkan keadaan yang agak sibuk di dapur, aku terus meluru ke belakang rumah untuk melepaskan hajat. Bilik air ini diasingkan iaitu jamban dan bilik mandi tetapi digabungkan bersebelahan. Sedang menikmati sesi pembuangan hajat, sambil melihat cicak berkejaran dan semut hitam mengusung makanan, ‘splashh, splasshh’, bunyi seakan ada orang membasuh kain di bilik mandi sebelah. ‘Siapa dekat sebelah tu, maaflah kalau ada bau sedikit, tengah memerut nih, hehe’, ujarku. Tiada jawapan, operasi memberus kainnya diteruskan.

‘Mungkin bunyi air kuat kot, tu yang dia tak dengar’, monolog ku sendiri. ‘Uhukk uhukk’, bunyi batuk seorang lelaki. Aku merasakan tidak sedap hati, sebab tidak pernah sanak saudaraku yang lelaki membasuh kain, kebiasaannya tugas orang perempuan apabila pulang ke kampung. Tiba-tiba bunyi seakan-akan ada orang menyeret cangkul, bersama-sama bunyi penyapu daun, ‘Apa yang riuh sangat kat luar nih, mesti ada benda nak menyakat, herisha ke?, monolog ku dalam hati. ‘Eh tak sempat nak bakar rokok tadi, tak tahan sangat gamaknya nak memerut, lantasku menyalakan rokok, dan keluar dari tandas. Bunyi riuh rendah tadi menjadi sunyi tiba-tiba. Aku bukak pintu bilik mandi perlahan-lahan, tiada sesiapa.

‘lolo na ay bumalik kung miss mo sa akin’, kedengaran halus ditelinga. Aku tersenyum. ‘Herisha engkau nak apa, engkau yang kacau aku berak tadi kan?’, bercakap aku sendirian. Sunyi. ‘Miawww..’, nyaring kelihatan kucing bergaduh dari jauh aku perhatikan. Tapak kampung aku ini dulu merupakan tapak tanah perkuburan islam, tahun 1980 an tanah perkuburan ini dipindahkan ke belakang masjid yang lebih kurang 100 meter dari kampung aku. Tetapi ada tiga kubur yang tidak dialihkan, dan masih ada di laman kampungku, dengar cerita merupakan kubur milik arwah moyang aku dulu, waallahualam. Kedudukan tandas dengan kubur dalam 30 meter sahaja. Dari jauh aku melihat sesuatu, kelihatan bayang-bayang hitam memegang cangkul, dan cuba mencangkul kubur tersebut.

Perlahan kaki aku melangkah ke arahnya, ‘Assalamualaikum’, ucapku. Dia masih meneruskan cangkulannya tanpa menghiraukan salam aku. ‘Wala akong gumalaw’, halus ditelingaku. Herisha? ‘Wala akong gumalaw!!’, suara itu semakin garau.

‘Rabbi Annii Massaniya as-Syaithoonu binusybin Wa Adaba, Rabbi A’udzu bika min Hamazaati-s-Syayaathiini, Wa A’udzu bika Rabbi an Yakhdurun. Wa khifzhon min kulli Syaithoonin Maarid’, aku membacanya dengan keras. Ini merupakan suatu doa untuk mohon perlindungan yang diajarkan oleh Ustaz Rani. Matanya merah, memandang aku, kedengarannya ia mendengus. ‘Baik engkau pergi dari ganggu anak cicit adam’, ujarku keras. Dia mulai kabur dan hilang. ‘Rinn, kau buat apa kat luar ni?’, cepat-cepat aku mencari suara itu, suara atuk!

Dari jauh, bersebelahan pokok pisang aku nampak susuk tubuh yang aku tidak asing lagi, allah atuk. Aku tarik nafas panjang, atuk dah pergi, ini semua kerja syaitan. ‘Buat apa kau kemari menggangu aku? Pergilah sebelum aku buat kau lebih tersiksa’, ujarku. ‘Rin dah tak sayang atuk ke?’, suaranya menggamit kesunyian malam. Aku jadi kaku, lidah aku jadi kelu, aku mengalirkan air mata, sesungguhnya aku rindukan atukku. ‘Apa aku dah buat ni, ini semua tipu daya syaitan!’, monolog ku sendiri. Perlahan-lahan aku nampak dia berjalan ke arahku. ‘Kenapa nih, kenapa kaki aku lemah, ya allah tolonglah hambamu ini, Allahuakhbar!’, aku menjerit di dalam hati.

Dalam kesamaran malam, sedikit terang dengan cahaya bulan, ‘Atuk’ menghampiriku. ‘Ya allah, sebijik macam atukku’, monolog ku sendiri. Aku pejam mata rapat-rapat, aku cuba azan perlahan-lahan, ‘Allahukhbar, allahuakhbar..’, aku buka mata perlahan-lahan, kosong. Aku terus berlalu masuk ke dalam rumah, ‘Rin, bukan ke engkau tadi keluar pergi kedai ikut Pak Long, macamana engkau ada dekat sini’, ujar Mak Long. ‘Pandai-pandai je Mak Long ni, Rin ada je dekat jamban belakang tu, berak, masa bila pulak ikut Pak Longnya?’, balasku. Aku membiarkan Mak Long termanggu-manggu, aku pergi ke ruang tamu dan bersalaman dengan orang surau yang sudah mula mengundur diri. Tiba-tiba, ‘Arghhhhhh..’, suara orang menjerit dari arah dapur. ‘Eh, kenapa nih Mak Itam?’, ‘Tadi mak itam tengah basuh pinggan, nampak kelibat atuk dekat tingkap, tersenyum’, ujarnya. ‘Subhanaallah, dah makin parah ni, ni Herisha punya kerja ke?’, ujarku sendiri.

Aktiviti mengemas diteruskan, dan Mak Itam dah mulai bertenang. Bunyi kenderaan masuk ke dalam garaj, ‘Assalamualaikum’, suara orang bagi salam. Aku terpaku, itu seakan suara aku. Aku perhatikan pintu. ‘Kreetttt…’, Pak Long masuk, ‘Eh Rin, lajunya engkau masuk? Bukan tadi engkau dekat belakang aku ke?, muka Pak Long berubah. ‘Pak Long tak perasan kot, Rin masuk dulu lah tadi’, ujarku selamba. ‘Herisha dah buat hal’, ujarku dalam hati. Malam tersebut aku tidur bersama-sama sepupuku di ruang tamu disebabkan bilik dah penuh. ‘Psttt..pssttt’, bunyi orang berbisik.

Aku perhatikan seakan ada benda bergerak di satu sudut yang gelap. ‘Kenapa kau menyerupai aku? Kenapa kau kacau aku? Aku tak nak kawan dengan kau, jangan kacau aku lagi’, ujarku berbisik. ‘Gusto kong maging kaibigan sa iyo’, suara garau berbisik. ‘Aku nak berkawan dengan kau’, ujar benda itu. Makhluk ini sering bercakap dalam Bahasa yang aku sendiri tidak faham, tetapi kadang-kadang dia akan bercakap dalam Bahasa melayu juga.

‘Aku tak berkawan dengan Jin, engkau dan aku lain, kau ada dunia kau, aku ada dunia aku’, ujarku. Dia senyap. ‘Engkau Jin yang baik, aku sengaja tidak berjumpa ustaz untuk halau kau, tapi kau jangan paksa aku buat macam tu’, ujarku. ‘Alam ko kailangan mo ng tulong ko, aku tahu engkau perlukan pertolongan aku, bagitahu aku, aku akan segera laksanakannya’, ujar Herisha. ‘Aku hanya memohon pertolongan dari Allah, iaitu pencipta engkau dan aku, aku tak perlu orang ketiga untuk menolongku’, ujarku tegas. ‘Kenapa engkau perlukan guru untuk membantumu, kenapa engkau tidak langsung gunakan Allah sahaja untuk mengajarmu?’, pintas Herisha. ‘Aku mencari guru, yang sama alam dengan aku, aku perlukan pertolongan dari kaumku sendiri, aku tidak perlu pertolongan dari golongan engkau’, ujarku semakin keras. ‘kailangan mo ako sa ibang araw’, balas Herisha lalu kabur hilang dalam kegelapan.

Bahasa yang digunakan oleh Herisha adalah penggunaan Bahasa lama Filipina. Aku dapat tahu melalui seorang rakan yang belajar dalam pengajian Bahasa di Uitm. ‘Mungkin jin ni berasal dari sana Rin, kau tak nak berubat ke?, ujar Hilmi. ‘Aku nak berubat, tapi dalam masa yang sama, aku nak cuba cungkil sendiri, apa yang dia mahu, mungkin ada yang hantar dia’, ujarku. ‘Kalau betul lah pon dia baik, berdosa besar taw kalau kita berkawan dengan golongan mereka Rin’, balas Hilmi. ‘Kau jangan risau, aku tidak akan sekali-sekali minta bantuan dari dia, cuma aku seakan syak, Herisha ada kaitannya dengan Maya, aku harap kau rahsiakan hal ini ya Hilmi’, pintasku.

Perkenalan aku dengan Herisha bermula di Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu. Aku bersama lima orang rakan berpakat untuk merasai pengalaman meredah tujuh anak sungai bagi merasai nikmat mandi bersama ikan kelah yang berada di Sungai Chiling tersebut. Pada checkpoint yang ke lima, ‘Wei, nak lagi best tak?’, ujar Palai. ‘Kita cuba naik lagi tinggi dari rancangan asal kita, tapi kena panjat akar-akar kayu ni dulu’, ujarnya. Akar kayu tersebut dianggarkan ketinggiannya dalam 50 meter. Masing-masing bersetuju. Kami berjaya sampai ke puncak dan menikmati kedinginan air sungai tersebut sambil memberi ikan-ikan disitu makan dengan bekalan roti yang kami bawa.

Mungkin disebabkan kami pergi pada hari bekerja, tiada seorang pon pengunjung lain yang berada disitu, tetapi kami sudah diberi peringatan awal daripada penjaga Sungai Chiling supaya turun sebelum pukul 3 petang, khabarnya atas pukul 3 petang kejadian kepala air sering berlaku. ‘Eh ada apa tu, macam berkilau dalam air’, monolog ku dalam hati.

Terdapat cincin perak dicelahan batu di dalam sungai, aku mengambil dan membelek, lantas menyarungkan di jariku. ‘Wei, cantik tak cincin nih?’, jeritku. ‘Rin, buang buang, kau dah lah dalam hutan, jumpa barang-barang macamni, bahaya tahu tak?’, ujar Fikri. Walaupun sayang, tetapi aku buangkan juga cincin tu ke tempat asalnya. Kami bergerak pulang dalam pukul 3.30 petang. Hujan yang pada asalnya renyai menjadi semakin lebat, kami berteduh di bawah suatu pokok sambil merokok.

‘Wei, dah lewat nih, nanti kita nak lalu lagi 5 anak sungai dekat bawah nanti, aku takut kepala air datang je’, ujar Palai. ‘Kita redah jela, tawakal je, dah lewat dah nih’, ujarku. Dalam perjalanan turun ke bawah, tiba-tiba aku terpandang satu susuk tubuh sedang memeluk batang pokok. Aku terhenti. ‘Kenapa RIn?’, ujar kawan-kawanku. Aku menunjuk kearah makhluk tersebut, ‘Engkau orang tengok tu?’, ujarku. ‘Mana ada apa-apa Rin, kau jangan buat pasal dalam hutan nih, dah sambung jalan’, ujar Fikri.

Aku meneruskan perjalanan, tiba-tiba aku tersungkur. ‘Wei, tadi aku nampak macam ada tangan tarik kaki aku lah’, ujarku. ‘Aku duduk belakang kau, tak nampak apa-apa pon, kau biar betul’, ujar Paan. Aku jadi keliru. ‘Ish, betul ke perasaan aku je nih’, monolog aku sendiri. Baru nak teruskan perjalanan kami dikejutkan dengan bola api yang betul-betul di depan kami, berlari kami terjun ke dalam sungai. ‘Wei apa benda tu? Masing-masing dah mula panik, ‘Dah-dah sini semua, aku rasa macam tak sedap hati lah, kenapa checkpoint 4 ke checkpoint 3 jauh sangat wei?’, ujar Paan.

Kami membaca sepotong ayat kursi dan berdoa agar dipermudahkan segalanya. Kami meneruskan perjalanan dan terjumpa satu kumpulan perempuan dalam lima orang turut menuruni denai. ‘Wei korang mandi dekat mana? Tak jumpa pon dekat atas tadi?’, ujar Palai. Perempuan yang memakai tudung bewarna merah seraya berkata, ‘Kami mandi dekat bawah bang, mungkin abang naik atas lagi, tak berani nak naik tinggi-tingi’, ujarnya. ‘Fuh, aku ingat hantu tadi, nasib baik manusia’, ujarku. Masing-masing ketawa, ‘Jangan celupar sangat mulut tu ye bang, ni tempat kami’, ujar salah satu perempuan. Aku menelan air liur, ‘Apa maksud dia, ni tempat dia?’, monolog ku dalam hati.

Alhamdulillah kami berjaya turun dan sampai di Tapak kem. Kami terus bergegas menyalin pakaian dan berangkat pulang. ‘Korang ni kenapa degil sangat, masuk pukul 9 keluar pukul 6, kalau ada apa-apa jadi siapa yang susah, dah lah korang berenam je’, ujar pakcik yang menjaga kawasan tersebut. ‘Eh pakcik, tadi kami turun dengan satu group perempuan lah, tak kan pakcik tak nampak?’, ujar Palai. ‘Kamu tengok buku log masuk nih, mana ada nama siapa-siapa, korang je yang daftar, tadi aku nampak korang berenam je yang turun’, pintas pakcik tersebut. ‘Berenam? Pakcik cuba kira berapa orang dalam buku log tu?

Ni kan kami berlima je, mana datang sorang lagi?’, ujarku. ‘Nah, korang tengok, kan ada enam orang nih’, balasnya. Kami perhatikan buku log tersebut, ‘Eh, siapa Herisha nih?’, ujarku. ‘Mungkin ada pengunjung naik sorang-sorang kot pakcik?’, pintas Fikri. ‘Lah, aku nampak engkau orang naik berenam tadi, mana sorang lagi, yang perempuan tu?’, ujarnya. Terus meremang bulu roma masing-masing, bila masa ada perempuan dalam kumpulan kami. ‘Kalau betul lah korang tak menipu pakcik, balik nanti kamu pergi berubat, mungkin ada yang suka dengan salah sorang dari kamu kot’, ujar Pakcik tersebut. Kami beransur pulang dengan membawa seribu persoalan, masing-masing senyap di dalam kereta, ‘Siapakah Herisha?’.

Aku sampai di rumah sudah pukul 9.30 malam. Gelap, ‘Mungkin mak ayah pergi makan luar kot’, ujarku dalam hati. Aku mengambil tuala lantas mandi, orang tua-tua kata kalau masuk hutan balik elok mandi, takut ada yang mengikut’, ujarku dalam hati. Tukkk, tukkk, tukkk. Pintu bilik air aku diketuk. ‘Siapa??’, jeritku. Senyap. Aku meneruskan mandi, sreettt, bunyi cakaran di pintu. ‘Haih, ada yang nak kacau aku lah nih’, monolog ku sendiri. Aku tidak menghiraukannya. Panggg, panggg!! Bunyi ketukan pintu bilik air aku lebih kuat. ‘Hoii, kau nak apa haa?? Tak sudah nak kacau aku! Pergilah aku tak kacau kau pon’, aku jerit dari dalam bilik air. Bunyi mendengus di depan pintu. ‘Gusto kong maging kaibigan!’, suara serta bunyi bingit sekali bergema. ‘Makhluk apa kali ni?’, aku mulai takut. Walaupun banyak dugaan yang pernah aku hadapi dengan perkara mistik ni, tipulah kalau aku kata aku tak ada perasaan seram sedikit pon. ‘Engkau siapa? Engkau nak apa?’, balasku. Sunyi~

Aku terus menyalin pakaian, dan turun ke ruang tamu. Aku cuba lawan perasaan seram aku dengan memperkuatkan television, ‘Bukak TV Al-Hijrah lah, kot ada bacaan al-quran’, monolog ku sendiri. ‘Tappp! Blackout. Di satu sudut aku melihat bayang- bayang tinggi, ‘may mga kalakal ko sa iyo’, halus-halus aku dengar. Aku cuba kuatkan semangat, ‘Aku tak faham apa yang engkau nak?’, ujarku. ‘Aku nak berkawan dengan engkau’, ujarnya, membuatkan aku terkejut, aku capai handset, aku buka flashlight, lalu aku suluh. Hilang~

Jantungku tak henti-henti berdebar, tiba-tiba aku terbau bunga yang sangat harum. Dengan pantas aku telefon Ustaz Rani, ‘Ustaz tolong saya, ada jin nak berkawan dengan saya’, ujarku. ‘walang penghalamg’, suara kasar di talian telefonku. Aku tahu itu bukan ustaz, tetapi jin ini sudah memintas talian telefonku. Aku berdiri, ‘Allahuakhbar, allahuakhbar…’, aku azan. Kedengaran suara ketawa yang semakin lama semakin sayup, Tappp! Lampu ada. Aku terus capai kunci dan terus keluar pergi ke kedai mamak. Aku menelefon Palai dan mengajaknya lepak. ‘Wei aku rasa Herisha tu ikut aku balik, aku kena kacau teruk’, ujarku. ‘Ish, yeker,aku tak kena apa-apa pon, mungkin perasaan kau je kot?’, ujar Palai. ‘Betul, sumpah aku tak tipu!’ pintasku. ‘Kalaulah betul esok aku teman kau pergi berubat’, balasnya.

Pada keesokan harinya, aku berjumpa dengan Ustaz Rani bagi menyuarakan permasalan yang sedang aku hadapi. ‘Jin ni sebenarnya susah nak berdamping dengan manusia kecuali awak ada tarikannya, mungkin juga sebelum ni awak pernah dibuat orang, maka ada ruang untuk mereka mendampingi awak, atau awak ada tak terambil apa-apa barang yang bukan milik awak?’, ujar Ustaz. ‘Tiada ustaz, saya ada cuba sarung cincin yang saya jumpa, tapi saya dah letak balik ke tempat asalnya’, ujarku.

‘Saya scan badan awak tiada apa-apa pon saya jumpa, mungkin jin ni, nak berdamping sahaja, atau bahasa lebih mudah nak berkawan, tapi mesti ada sebabnya, awak kena berhati-hati, saya akan cari jalan bantu awak’, jelas Ustaz Rani. Ustaz Rani memberikan air penawar untuk aku minum dan disapukan ke seluruh muka jika dia datang menggangu lagi.

Setiap malam aku sering termimpi tentang seorang perempuan cantik bak bidadari, berdamping denganku beserta dengan tiga orang anak kecil bermain-main disekeliling aku. Aku sering tersedar dari tidur apabila munculnya watak ular tedung hitam yang besar mengejarku lalu aku jatuh dari gaung. ‘Apa petunjuk mimpi ini ya?, monolog ku sendiri. ‘Jumpa Ramli lah, minta pendapat dari dia, dia banyak pengalaman dalam perkara mistik macamni’, ujarku sendiri.

Ramli merupakan sahabat yang aku pernah ceritakan pada coretan aku sebelum ini yang berkisahkan Puaka Si Tua. Aku berjumpa Ramli pada malam tersebut di rumahnya. ‘Ada benda suka dengan kau ni Rin, aku dah cakap dah dulu, kali ni ada orang baru pulak suka dekat kau, hehe’, ujar Ramli. ‘Wei, kenapa aku? Aku tak pernah kacau diorang, aku jalani hari-hari aku macam manusia normal lain, tetapi kenapa aku jugak yang kena?’, ujarku. ‘Sebab badan kau ni mudah terdedah dengan anasir luar, sebab kau pernah kena rasuk dahulu, kau takut ke? Kan kau dah biasa nampak benda ni semua? Abaikan jelah bro’, ulas Ramli sambil ketawa kecil.’Ini bukan soal takut bro, tapi aku takut disebabkan hal macamni lah orang-orang dekat sekeliling aku turut terkena sama, aku dah umur 27 tahun, sampai sekarang tak lekat jodoh, mungkin ini kesannya’, balas ku geram.

‘Mungkin kau ada terlanggar anak dia ke masa kau masuk hutan tempoh hari?’, ujar Ramli. ‘Itu aku tak tahu, tapi aku memang tak kencing ke, cakap benda-benda kesat, malah curi apa-apa barang masa pergi sungai tu tempoh hari’, balasku. Tiba-tiba ada bunyi sesuatu dari arah dapur. ‘Wei Ramli, ada orang lain ke dalam rumah ni?’, ujarku. ‘Mana ada, aku sorang je tinggal dekat sini, kucing kot, si Tompok aku tu suka buat hal sekarang, mogok makanan tak cukup kot, hehe’, balas Ramli. Kkreekkekkk..! Bunyi macam cengkerik, tetapi panjang tiada berhenti.

Ikaw na masamang…! Masing-masing senyap membisu. ‘Siapa tu? Keluarlah kalau berani?’, ujar Ramli berani. Ikaw na masamang!! Kami melihat satu lembaga hitam melekat di siling, dengan mukanya bernanah, kepalanya pusing 360 darjah, dan terjuntai memandang kami. ‘Engkau nak apa? Aku tahu engkau boleh berbahasa melayu’, ujar Ramli. Tiba-tiba segala perkakas di dalam rumah Ramli bergegar kuat, perabot di depan kami beralih tempat, aku kaku berdiri, pertama kali hadapi perkara sedemikian.

‘Akuuu nakk kawann deengan diiaaa!’, suara keras daripada dia. ‘Engkau dengan dia berbeza alam, buat apa kau nak berkawan dengan dia? Engkau jin kafir ke islam? Cuba kau mengucap dua kalimah shahadah’, ujar Ramli berani. Herisha kafirr!! Dia membentak! Kelihatan nanahnya menitis-nitis ke lantai. ‘Pertama, aku tak nak engkau berkawan dengan dia sebab Allah tak izinkan kami berkawan dengan bangsamu, kedua, engkau jin kafir, diutuskan untuk menyesatkan umat manusia, ketiga, atas urusan atau utusan siapa menghantar engkau kemari untuk menakut-nakutkan kami, kami tidak takut dengan engkau wahai makhluk yang dilaknat Allah!’, ujar Ramli.

Aku tidak tahu kenapa mulutku seakan terkunci, aku jadi kerdil, aku jadi takut, kaki aku seakan dah dipasak ke lantai. ‘Aku bagi amaran terakhir, jika engkau masih berdegil, akan aku guna cara kasar’, balas Ramli geram. Ramli mulai selawat ke atas nabi, membaca surah al-fatihah sebagai pembuka dan membaca ayatul kursi, serta menguncinya dengan Surah Furqaan ayat 61 hingga 77. Arghhhhhh! Itigil! Terus lembaga itu lesap bagaikan asap.

‘Rin aku rasa jin ni kuat, tak mudah dikunci, dan mudah lari, dia tak masuk dalam badan kau, tapi dia nak kau jadikan dia sebagai makhluk suruhan, aku sendiri tak pasti dia bertuan atau tidak, kebiasaanya kalau jin bertuan, dia akan salahkan tuan dia menghantar dia, tapi dia tidak, aku tak tahu sama ada dia memang kuat atau memang ada sebab lain’, ujar Ramli panjang lebar. Itulah kebiasaanya sifat jin atau syaitan, jika dia dihantar oleh seseorang, bila kita merawat pesakit tersebut, perkara pertama dia akan kata tuan aku suruh, tuan aku dendam dengan pesakit, tetapi Herisha ini lain. Perkara malam ini membuatkan aku lebih bingung, tak tahu punca, sudahlah misteri Maya masih bersarang dalam kepala, ini pula ada watak baru dalam kamus hidup aku, iaitu Jin Herisha.

Setelah pulang dari kampung selepas menguruskan majlis tahlil untuk arwah atukku, aku perasan sesuatu, setiap kali Herisha muncul, aku jadi semakin lesu dan lemah. Suatu pagi, terdapat satu nota di atas meja aku, ‘Aku suka kau, jangan tinggalkan aku!’. Aku terkedu, siapa yang tulis? Untuk aku kah? Aku mengeronyokkan kertas tersebut dan buang, bingkas aku mandi. Seusai mandi nota yang sudah aku buang tadi ada balik di atas meja. ‘Hah, ni kerja Herisha la ni’, ujarku.

Aku terbalikkan kertas dan menulis sesuatu, ‘Kenapa engkau suka aku?’, ringkas. Aku terus mengambil kunci kereta, seusai masuk ke dalam kereta, ada sehelai kertas dia atas kerusi penumpang. ‘Sebab engkau panjang umur’. Aku merenung kata-katanya, lalu aku menulis sesuatu, ‘Siapa yang masih berdendam denganku’, lalu aku campakkan kertas tersebut di seat belakang. Aku terus memandu menghala ke tempat kerja, tiba-tiba seakan ada orang mencampakkan kertas dari belakang terus ke pangku aku, ‘Maya’. Aku terus berhenti di bahu jalan, pandang kerusi belakang, tiada siapa, ‘Mana kau tahu pasal Maya?’, monolog aku sendiri.

Aku conteng kertas itu, ‘Maya dah mati, cerita aku dengan Maya sudah selesai’. Aku menyambung perjalananku ke tempat kerja, lebih kurang pukul 6.45 pagi, tiba-tiba ada sesuatu menyentuh bahuku, kuku yang tajam, hitam, beserta bau yang busuk sekali, ‘Engkau kena terima aku jika kau nak selamat’, dia bisik di telingaku. Aku berpeluh, ‘Aku rela mati dari bersubahat dengan kau’, sejurus itu kereta aku seakan-akan ada sesuatu yang menarik ke arah bahu jalan, aku berhenti serta merta dan terus beristifar. Aku pandang belakang, benda itu sudah tiada. ‘Jin jahanam!

Aku dah agak ada kaitan dengan Maya, siapalah punya kerja agaknya’, ujar aku. Tengah hari hari tersebut bos aku datang dekat meja aku, ‘Rin, I need you to replace me go to Phillipines this Saturday, please represent me, I can’t go’, ujar bos aku. Berkejar aku buat tempahan Air-Ticket dan penginapan. Meeting aku bersama client berjalan di Quezon City, Manila. Di dalam boarding, perasaan aku jadi tak tenteram, serba tak keruan, tidak tahu apa puncanya. ‘Touch down’, aku selamat sampai di Manila dalam pukul 11 pagi waktu tempatan. Aku meluru pergi kearah seseorang yang memegang tanda nama aku di Airport. ‘Hye I’m Rin, nice to meet you’, ujarku. Dia membawa aku ke Imperial Hotel, ‘Meeting will start at 3.00pm, so I see you at lobby around 2.30pm okay?’, ujarnya. Okay!

Aku baring sebentar di katil, ‘Aku dah jauh dah dari Malaysia, minta-minta lah si Herisha tak ikut sama, hehe’, aku ketawa kecil. Alhamdulillah meeting berjalan dengan lancar, segala diskusi dipersetujui oleh dua belah pihak. ‘I think we no need to discuss further tomorrow, you can enjoy here, I will ask Ara be your tourist guide’, ujar Mr. Andrew. Aku kemain seronok lagi, dapat berjalan di sekitar Manila berbaki dua hari lagi. Ara seorang yang memiliki rupa paras yang cantik dan bekerja di bawah Mr. Andrew sebagai setiusahanya. ‘Let’s go, I bring you to Halal Restaurant at Manila!’, ujar Ara tersenyum.

Mungkin dia gembira juga, tak perlu masuk kerja, boleh bawa orang jalan-jalan. Kami makan di Arya Persian Restaurant, sedap, ia turut ada shawarma tetapi jauh lebih sedap berbanding yang ada di Malaysia. ‘Ara, I got one question, what is the different between Phillipines old language with a new one?’, ujarku kepada Ara. ‘Our modern language with old Tagalog language is mostly same, but they improve the kindship elements’, jelas Ara. Kiranya, Bahasa Tagalog ataupun Bahasa Filipina baru atau yang lama adalah lebih kurang sama, cuma mungkin ada pertambahan dari sudut tatabahasa dan penguat Bahasa sahaja katanya. ‘Ara can you explain a few of this words?’ ujarku.

Na may ganitong sumpa ay pumatay sa iyo = mantera ini akan membunuhmu
Gusto kong maging kaibigan sa iyo = aku ingin berkawan denganmu
Kailangan mo ako sa ibang araw = engkau akan memerlukanku
May mga kalakal ko sa iyo = engkau ada barang aku
Walang penghalamg = tiada halangan
Ikaw na masamang = engkau jahat

Berikut merupakan beberapa potong ayat yang sempat aku minta Ara untuk menterjemahkan, ayat-ayat ini sering aku dengar sampai aku hafal setiap bait yang Herisha kata. Dalam banyak-banyak perkataan yang diterjemahkan, aku tertarik dengan sesuatu, ‘jumpa aku di Taytay’. ‘Ara where is Taytay?’, ujar aku. ‘About 30km from here, but can I know why you ask me to translate those words?’, balas Ara. ‘Nothing Ara, I don’t know if you believe in ghost or not, but this words always haunted me’, ujarku. ‘Yes I believe in ghost, here we are scare of Aswang, Aswang is like a vampire for us, and also Philippines famous in voodoo, please avoid this and please please, don’t make enemy wih anybody’, balas Ara panjang lebar.

Mungkin juga Aswang yang dimaksudkan oleh Ara ialah Pontianak, mungkin setiap negara memiliki berlainan nama. ‘Ara, can you bring me to Taytay tomorrow morning?’, ujarku. ‘Sure! But what are you looking for at Taytay, there are nothing special there’, balas Ara. ‘It’s okay Ara, just look around’, aku tersenyum.

Malam tersebut aku tidak boleh tidur, aku buka facebook dan berinteraksi dengan Ustaz Rani. Ustaz Rani hanya menyuruh mengamalkan beberapa potong ayat sebagai pelindung diri. ‘Jangan risau Allah ada’, balasnya ringkas. Aku menulis sesuatu di kertas, ‘Engkau ada di Taytay?’, lalu aku biarkan di atas meja, lalu aku terus baring dan tidur. Eeeettt, bunyi kerusi ditarik, lalu aku buka mata sedikit. Kelihatan seorang perempuan cantik di atas kerusi, memakai pakaian seakan kebaya bewarna hijau, merenungku. ‘Kau siapa?’, ujarku. Dia tersenyum, ‘Herishaaa’.

Aku cuba kuatkan semangat, ‘Herisha, siapa yang hantar engkau untuk berkawan dengan aku?’, ujarku. ‘Mayaa’, dia tersenyum lagi, agak psycho. ‘Maya sudah mati, siapa lagi yang berdendam denganku?’, balasku. ‘Hutang darah dibayar darah’, Herisha berdiri. ‘Hahaahaahaa’, Herisha mengilai dan terus hilang. ‘Aku tidak tahu sama ada perlu atau tidak aku pergi ke Taytay, adakah dengan pemergian aku yang berani mati ni boleh menyelesaikan masalah? Tak pasal-pasal aku melibatkan Ara sekali, cukuplah dengan orang keliling aku yang mati disebabkan Maya’, monologku sendiri, lantas aku mengambil telefon, segera aku mesej Ara, ‘Ara, tomorrow we cancel go to Taytay, can you bring me to famous mall in Manila? ~

Short vacation aku terasa berlalu pantas, Ara banyak bawak aku pergi ke tempat-tempat bersejarah di Manilla dan sempat juga aku bercerita berkenaan cerita favorite Phillipines aku dulu, iaitu Pengako Sayo. Nama Ara pon sama seperti heroin di dalam filem tersebut. Aku selamat pulang ke Malaysia, dua hari juga bayangan Herisha tiada, aku jadi rindu, haha. Aku telefon Ustaz Rani, ‘Ustaz free tak hujung minggu ni, jom pergi keluarkan peluh panjat sungai chilling, alang-alang boleh cari punca kenapa Herisha kacau saya?’, ujarku.

‘Boleh, nanti ustaz bawak kawan ustaz sekali ya, bawak juga garam kasar dan cuba pergi Mantin cari daun bidara’, balas ustaz. Baik ustaz!. Hari yang ditunggu kunjung tiba, aku datang mengambil ustaz di Gombak dan terus menghala ke Kuala Kubu Bharu. Langit yang pada awalnya cerah, menjadi mendung, seakan tidak mengundang kedatangan kami ke Sungai Chiling. Kami sampai dalam kira-kira pukul 12.30 tengah hari, terdapat beberapa kereta pengunjung di bahagian kaki pintu masuk ke Sungai Chiling. ‘Assalamualaikum, maaf saya terpaksa tutup Sungai Chiling buat sementara waktu, sebab ada beberapa pengunjung lain masih terperangkap, di atas, disebabkan kepala air’, ujar penjaga Sungai tersebut.

Kemungkinan hujan lebat turun di puncak bukit yang membawa bersama kayu-kayu dan sampah ke kawasan rendah. Pertama kali melihat fenomena kepala air di depan mata, ‘Tadi waktu kami sampai, panas je, tiada tanda-tanda hujan, apatah lagi tiada simptom-simptom kepala air akan berlaku, waktu kami melintas anak sungai terakhir, kami dengar bunyi air berderu turun dari atas, Alhamdulillah semua kami selamat melintas’, ujar salah seorang pengunjung di situ. ‘Macam mana ni ustaz? Macam pelik pon ada’, ujarku.

‘Mungkin ada hikmah kot Rin, mungkin bukan masa yang sesuai, hutan ni tempat dia, macam-macam boleh berlaku, saya tak nak ambil risiko, sebab ramai orang disini’, ujar Ustaz Rani. Zzzuuppp! Kilat memanah pokok yang agak besar sepemeluk berhampiran dengan kami berdiri. Bergelimpangan semua orang lari menyelamatkan diri, kami berlindung di dalam pondok tiket. Hujan renyai kian semakin lebat, dengan bunyi dentuman guruh serta kilat yang memancar. Ustaz Rani azan di dalam pondok, seraya naik bulu romaku, seakan hujan semakin lebat mengikut kelantangan suara Ustaz Rani melaungkan azan. Selesai azan, keadaan semakin reda,

‘Tiada kuasa teragung melainkan kalimah Allah’, ujar Ustaz Rani. Ustaz mengambil garam dan ditaburnya sedikit di atas tanah, dan dibacanya sesuatu. Zzzzupppp, sekali lagi kilat memancar ke atas tanah berhampiran dengan ustaz. ‘Arghhhhhh, tolong akuu, aku sakittt’, suara garau memecah kesunyian hutan. Para pengunjung yang menyaksikan peristiwa tersebut terkesima kelu. Ustaz mengarahkan beberapa orangnya untuk menggali lubang yang dipanah kilat tersebut, keluarlah sebunjut kain putih lusuh.

Ustaz membukanya perlahan-lahan, ada beberapa helai rambut kering, bersama-sama keris kecil dan beberapa biji geliga. Ustaz membaca sesuatu, dan tiba-tiba barang tersebut terbakar, bersama-sama bau yang sangat busuk. ‘Ustaz apa yang dah jadi ni?’, ujarku. ‘Mungkin penghantar nak kenakan santau kepada seseorang, tetapi engkau yang melintas dekat sini waktu itu, itu sebabnya dia ikut kau’, ujar Ustaz. Aku sedikit tidak puas hati dengan jawapan itu, ‘Tak kan lah ustaz, habis macamana dia tahu pasal Maya? Ini kan kawasan laluan orang ramai, mesti sesiapa boleh terlangkah’, ujarku.

‘Itu saya kata ini semua kemungkinan, mungkin juga kau pernah bercerita pasal Maya, dan dia ambil kesempatan gunakan nama Maya untuk menakut-nakutkan engkau, mungkin juga dia nak kenakan penjaga tempat ni, sebab lokasi dia tanam ni betul-betul berdepan dengan pintu pondok tiket ni’, ujar Ustaz panjang lebar. ‘Tapi ustaz, dia tak pernah perdajal saya, cuma dia kata nak berkawan je’, balasku. ‘Bila engkau berkawan dengan dia, itu bermaksud engkau ikat janji dengan dia, bila engkau dah berjanji dengan dia, masa tu baru dia akan kenakan engkau, faham?’, ujar Ustaz. Aku tunduk, antara seakan tidak percaya, aku yakin Herisha masih ada, ini bukan penyelesaiannya.

Ustaz memandang kepada pakcik Akob, penjaga sungai Chilling, ‘Awak ada bermusuh dengan siapa-siapa tak? Baik awak pergi minta maaf, saya tak rasa dia akan berhenti cari cara kenakan awak’, ujar Ustaz. ‘Saya..sayaa, hurm, macam mana saya nak cakap ya, ya saya rasa saya ada bermushan dengan seseorang, saya berkahwin dengan anak dia, dia tak setuju, isteri kedua saya orang Phillippines’, ujar Pak Akob. Aku terkedu, ‘Phillipines? Mungkin betul, Herisha pon berbahasa Phillipines’, monolog ku sendiri.

Pergi berbincang dengan ayah mertua pakcik, tak ada benda yang tak boleh selesai, perkahwinan itu benda baik, harus diselesaikan dengan cara yang baik, nanti hidup pakcik juga yang tak tenteram, dengar nasihat saya’, ujar Ustaz. Masih terdapat beberapa pengunjung lain masih berada disitu, kelihatan dari jauh beberapa orang lelaki melintasi jambatan, Alhamdulillah, mereka yang sangkut di atas tadi dah selamat sampai’, ujar Ustaz. Tadi kami dekat atas, macam-macam kami nampak, dah lah nak lintas sungai tak boleh, ada banyak pocong pulak berdiri menghadap kami’, ujar salah seorang dari mangsa keadaan. Ustaz memberikan air penawar, ‘Nak pergi tempat macamni boleh, islam tak larang kita beriadah, tapi saya nak berpesan sedikit, pakaian tu, saya tahu kamu semua lelaki, kalau boleh tutuplah aurat, jangan lah berseluar pendek macam seluar ragbi, dengan tak berbaju, mana tahu ada anak bunian suka, tak ke naya?’, pesan Ustaz. Kami saling mengangukkan kepala. Seusai bersalaman kami beransur pulang.

Aku baring di katil, penat menjalani peristiwa misteri petang tadi, masih berfikir tentang Herisha. ‘Tak apalah, asalkan aku sudah kembali aman, berimanlah Herisha’, monologku sendiri. Beriman kepada yang ghaib adalah termasuk salah satu asas dari akidah islam. Jin juga diperintahkan oleh Allah untuk menerima syariat Islam sebagaimana yang diperintahkan kepada manusia. Dunia mereka seperti dunia kita, cuma turut mempunyai perbezaan dari sudut agama, iaitu sama ada yang islam ataupun yang kafir. Kita sebagai manusia jangan sesekali lalai dan leka dengan godaan dari mereka, apabila kita sudah tersilap langkah, agak susah untuk berpatah balik, apatah lagi hilang syafaat dari Allah SWT. Berdasarkan cerita slot Maya pada kali ini, Herisha cuba untuk menghasut aku supaya berkawan dengan dia, dan dia cuba manipulasikan minda aku untuk percaya dia, dan menggunakan kelemahan aku untuk diujinya.

Ingatlah setiap musibah yang berlaku, Allah sayang. Insyallah akan datang aku akan sambung lagi bibit-bibit misteri yang aku alami berkaitan dengan misteri Maya.

-Rin-

::Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

35 thoughts on “#Maya: Jin Herisha”

      • Rin, saya pun pernah ada gangguan.. tapi tak nampak.. boleh rasa je.. dah berubat tapi orang ubatkan tu tak tutup balik laluan.. Ustaz Rin boleh buatkan tak tutup laluan? Satu lagi, migraine sy teruk gila sebab benda tu dduk dalam kepala.. dah tak sanggup since sy student lg.. skrg jd mcm senang hilang ingatan…..

        Reply
  1. “na may ganitong sumpa ay pumatay sa iyo”
    Saya rasa ni mcm bahasa filipina.
    Da cuba google translate tdi:
    Maksud dia:
    “With this curse will kill you”

    Reply
  2. saya baru follow kisah Rin ni…boleh sesiapa bagi link utk cerita ke-3 tak?

    Cerita1: Aku Rindukan Maya
    Cerita2: Aku Seorang ‘Event Manager’
    Cerita3: -tak jumpa-
    Cerita4: #Maya: Misteri Diana
    Cerita5: #Maya: Puaka Si Tua
    Cerita6: #Maya: Jin Herisha

    terima kasih ye 🙂

    Reply
  3. aku mengikuti setiap cerita berkisar kan #maya.. mmg terbaik cerita ni.. aku suka sangat. kadang2 kite kene percaya benda2 mistik ni biar pun kita tak nampak. tapi hanya sekadar percaya benda itu wujud. admin nnanti post lg , okayy..semoga admin dan semua org dilindubgi oleh allah, banyakkan berdoa kepada allah. tq .

    Reply
  4. hi assalamualaikum smua. mcmna nak sort post by author? penat la cari satu satu..thanx. ni first stori yg aku baca so aku nak follow dari first..

    Reply
    • Waalaikumussalam…
      Akk pon x gheti nk sort tu…
      Tp leh refer komen kat atas yg die dh senaraikan semua citer bersiri MAYA ni…
      Jadinye kena google manually satu persatu…

      Reply
  5. Assalamualaikum…boleh bg link utk #maya niee..dari ceritaa 1 sampai 6…huhu…saye baru mula bace kisah2 seram di fiksyen shasha nie….terima ksih iyee….?????

    Reply
  6. salah satu story yg aku follow dr awal..fuhh mencabar betul. mcm caya tak caya ja..btw best, baca siap imagine..seram..haha

    Reply
  7. Rasanya Bahasa Tagalog (Filipino), tapi dalam dialek kampung, sebab bermula topic subjek dulu (kabalika ng anyo). Biasanya secara formal, subjek dikemudiankan.
    ‘na may ganitong sumpa ay pumatay sa iyo’ lebih kurang maksudnya ‘dengan sumpah ini, mati kamu’. Secara direct boleh diterjemah ‘[dengan] [begitu] [sumpah], [(…)] [mematikan] [kepada] [kamu]’ / ‘[na may] [ganito ng] [sumpa] [(ay)] [pumatay] [sa] [iyo]’.

    Reply
  8. Salam rin ~
    saya mahu tahu kesudahan herisha..ada sedikit persamaan dgn kes saya dan masih mencari jawapan untuk selesai dan akhiri ganguan sy..minta tolong ye..tq

    Reply
  9. Assalamualaikum…Best nya cerita ko rin .. lgi best dri cerita cintan cinton..dah lah cerita benar belaku.. thanks rin share cerita ni..
    Izinkan aku share ngn kawan aku… nak nak kampng ko nak sama ngn kampung sdre aku.. tkut pulk nk gi
    Hahaha

    Reply
  10. Ada sambungan lagi tak? Sangat terkesan dgn jalan cerita hidup kamu. Semoga Allah sentiasa melindungimu Rin 🙂

    Reply

Leave a Comment