Melur, Lily, Mawar dan Aku

Hai, I’m back. Aku Kuntum, ingat lagi tak? Kalau tak ingat, dulu aku pernah cerita pasal kem PLKN kat Perak. Sekarang aku nak share dengan korang beberapa kejadian pelik masa zaman aku belajar pulak. Aku belajar kat kolej kat KL. Sebelum tu aku nak bagitau, nama-nama yg ada ni semua bukan nama betul ya. Walaupun konsep sebenar adalah fiksyen atau senang kata cerita yg direka, tapi kisah yg aku pernah share dan bakal share ni sememangnya kisah benar.

Mula-mula masuk sem 1 aku kena duduk hostel. Aku nak explain dulu macam mana keadaan hostel aku supaya korang dapat bayangkan. Hostel ni jenis yg rumah kedai 3 tingkat. Dan hostel yg aku dapat ni bangunan baru. Walaupun rumah kedai, bagi aku selamat la sebab sebelum naik tangga yg kat bawah sekali tu kena swap card baru boleh masuk ikut pintu kaca tu. Lagipun tu kawasan bangunan baru, so tak berapa nak ramai org melainkan student yg baru masuk. Satu tingkat ada banyak-banyak bilik. Aku tak ingat ada berapa bilik tapi start je lepas naik tangga, bahagian kiri tempat sidai baju, bahagian kanan dah nampak pintu-pintu bilik. Toilet pulak bahagian hujung sekali. Tingkat bawah sekali kedai makan, tapi cuma bukak siang, malam tutup.

Satu bilik ada yg duduk 4 orang, dan ada yg kena duduk 8 orang. Alhamdulillah sangat-sangat aku dapat bilik yg 4 orang, takde la sesak. Kalau ramai-ramai rasa lemas sebab bilik kecik je. Tapi, bilik aku tingkat atas sekali dan hujung sekali yg dekat dengan toilet. Katil kat bilik aku jenis double decker, aku decide untuk ambik katil atas sebab dekat dengan kipas. Walaupun tingkap jenis sliding yg boleh bukak luas-luas, bilik tu still bahang.

Aku dapat roommate dari Sarawak, Kelantan dan Johor. Aku sorang je dari Selangor. Semua sebaya dan bidang pelajaran yg kami ambik pun sama. Alhamdulillah sangat, apa-apa hal boleh geng. Bawah katil aku Melur dari Sarawak, katil sebelah Melur Lily dari Kelantan dan atas Lily Mawar dari Johor. Katil aku ni pulak dekat dengan suis lampu dan pintu. Kadang tu kalau ada orang nak masuk bilik, aku just bukak je dari katil, malas nak turun katil. Diorang bertiga ni kira geng aku la, dan aku ni diminta tolong oleh parents diorang untuk tengok-tengokkan sebab yg tahu menahu pasal jalan kat KL ni aku sorang je, mana la tau diorang ada nak kemana ke.

Ok start cerita. Kisah pertama. Kami ni memang nakal, kalau takde kelas, kami memang suka melepak dalam bilik sambil-sambil tengok movie atau memekak. Kami jarang keluar tak kira la siang atau malam. Ada satu malam tu kami tengah sibuk memekak, karok bagai nak gila, bising sangat bilik kami. Tiba-tiba ada orang ketuk pintu dari luar, terus kami senyap. Masa tu memang masing-masing dah fikir mungkin student lain marah. Tapi bila bukak pintu, eh takde sesiapa pun. Mungkin jugak diorang saja nak main-main.

Kami sambung lagi memekak dan sekali lagi pintu bilik diketuk. Bila bukak masih takde sesiapa. Tengok kat koridor tu pun lengang je, tak nampak sesiapa pun lalu. Mungkin diorang duduk dalam bilik jee. Kejadian tu berulang lebih kurang 4, 5 kali jugak tapi tetap takde org kat luar bilik. Dari situ kami dah fikir bukan-bukan. Dan untuk kali yg terakhir kami nekad memang takkan bukak walau apa jadi melainkan ada orang yg bagi salam.

Kami kan nakal dan jenis tak serik, kami sambung melalak. Pintu bunyi sekali lagi. Bunyi yg berterusan dan makin kuat. Kalau kami tak bukak pintu tu, silap-silap roboh jugak nanti. Masa slow-slow nak pegang tombol tu, tetiba bunyi ketukan berhenti. Kami tak jadi bukak pintu dan biarkan. Tapi masing-masing dah senyap, terkejut. Eh, sekali lagi bunyi pintu diketuk tapi berserta salam, alhamdulillah. Bila bukak je pintu, muka student tu macam cemas, katanya ada budak kena rasuk kat tingkat bawah. Student tu mintak tolong bacakan yasin ramai-ramai. Patut la senyap jee kat tingkat ni. Asalnya kami nak pergi tengok student mana yg kena rasuk, tapi bila mengenangkan kejadian di bilik kami tadi, terus kami turun bawah dan keluar lepak mamak sampai laa ke pagi. Ni semua sebab takut punya pasal.

Seminggu sebelum midterm untuk sem 1, kami diberi cuti, study week laa kononnya. Ramai student yg balik kampung, tapi ada jugak yg masih stay kat hostel. Midterm je pun, bukan final. Tu pun tak semua ada, banyak yg keluar jugak. Melur, Lily dengan Mawar memang tak balik sebab jauh. Kami pun nak la release tension, ambik mood happy-happy sebelum exam tu, kami nak tengok midnight movie. Masa tu Melur, Lily dengan Mawar dah turun dulu tunggu kat bawah tapi aku naik balik sebab wallet tertinggal. Ikutkan malas nak ambik, boleh pinjam duit diorang dulu tapi ic aku apa semua ada dalam wallet, nanti apa-apa hal jadi dah susah. So nak tak nak aku naik la balik ke bilik.

Sunyi jugak kat koridor, maybe student lain pun overnight kot. Lepas ambik wallet aku nak keluar semula, tengok-tengok pintu bilik tertutup. Eh, siapa pulak yg tutup. Aku masuk tadi aku memang biar bukak je. Lepas tuu macam terkunci. Macam mana pintu boleh terkunci sedangkan aku kat dalam ni tengok elok je tombol tu, takde pun dikunci. Lagipun bilik tu kalau nak kunci, kena kunci dari dalam.

Aku pulas tombol pintu tu siap jerit-jerit lagi, “woiii, bukak la pintu ni. Jangan main-main la. Aku nak keluar ni”. Ketuk punya ketuk sambil jerit, tekak sakit, tangan pun lenguh. Masa tu memang tak terfikir nak call diorang. Tapi bila dah tersedar aku nak call diorang, boleh pulak masing-masing jadi voice mail. Aku sambung lagi pulas-pulas tombol tu, tetiba bantal peluk Mawar yg panjang tu jatuh dari katil. Mati-mati aku ingat pocong. Lepas tu kipas terpasang. Ya Allah, apa benda pulak ni. Air mata memang dah menitik. Teresak-esak sampai terduduk aku depan pintu tu.

Tetiba aku dengar suara Mawar dari luar suruh bukak pintu. Aku cakap la aku tak kunci pun pintu ni. Mawar suruh aku baca ayat kursi dengan jelas dan terang. Sambil-sambil tu tangan aku pulas tombol pintu. Alhamdulillah, lepas dua kali aku baca ayat kursi, pintu boleh bukak. Masa tu Mawar tanya macam mana boleh jadi macam tu, aku terus lari tarik tangan dia ajak turun cepat. Dah habis tengok wayang baru aku cerita apa jadi tadi. Start dari hari tu, kami banyak habiskan masa kat luar, dah jarang melepak dalam bilik. Kalau sorang mc demam ke apa ke tak datang kelas, lagi tiga orang pun sama tak datang. Seram nak tinggal dalam bilik sensorang. Macam mana sekali pun mesti nak ada berteman.

Cerita seterusnya pulak, lepas habis je sem 1, kami pindah ke rumah sewa yg lain. Ingatkan bila dah keluar dari hostel, takde la jadi apa-apa tapi rupanya kejadian di rumah sewa ni lagi pelik.
Kami masih dengan perangai nakal. Ada satu malam kami saja-saja nak main game spirit. Melur dari Sarawak tu boleh dikatakan pandai dalam game ni. Niat kami macam saja-saja, sebab kami tak pernah main game ni melainkan Melur. Masa nak start main lepas dah prepare barang-barang, ada je benda tak kena jadi. Tetiba lampu berkelip-kelip, nak hidupkan lilin asyik tak menyala je, bunyi benda jatuh dari siling atas, bunyi macam ada orang baling batu kat tingkap. Kami pun terus cuba hidupkan lilin sampai la menyala dan lampu semua ditutup. Melur pun mula la seru permainan ni, “mari sini datang ke mari, datang ke mari aku pujamu, mari bersahabat bersama kami, tunjukkan ya jika ingin bertemu”.

Dengar Melur seru macam tu pun dah buat aku rasa meremang, sejuk je rasa tengkuk ni. Mula-mula syiling tu tak bergerak, elok jee Mawar cakap “takde pun, entah-entah menipu”, terus syiling tu bergerak kat perkataan ya. Tiba-tiba Lily menangis. Masa tu bukan aku je rasa seram, Mawar dengan Melur pun bulu roma masing-masing dah tegak, dah rasa semacam. Terus Melur bukak lampu. Kami tengok Lily duduk bersila, goyang-goyangkan badan ke depan ke belakang sambal menangis. First sekali dalam kepala memang fikir Lily kena rasuk, kedua mungkin sebab dia terlalu takut. Aku dengan Mawar pun terus baca ayat kursi pada telinga Lily, tapi Lily marah terus bangun dan lari keluar rumah.

Kami bertiga keluar kejar Lily, dengan tak kunci pintu. Dah laa Lily keluar tak bawak hp, tak pakai selipar, terpaksa la kami call member yg lain mintak tolong carikan Lily. Lama jugak kami mencari. Dah masuk azan subuh baru jumpa Lily tengah menangis, menggigil-gigil kat stesyen bas yg dah lama orang tak guna, nampak usang jee, gelap pulak tu takde lampu. Kami bawak dia balik.

Kami semua dah tawakal dah, kalau rumah kami kena rompak hanya mampu redha jee. Masa nak naik tangga dah nak sampai rumah tu, kami nampak bayang-bayang macam orang berjalan dalam rumah. Eh, siapa pulak yg ada dalam rumah tu? Kami semua dah keluar tadi, lagipun depan rumah kami ni memang takde org duduk. Ada orang masuk rumah ke?

Kami pun bukak pintu slow-slow. Tapi bila bukak je pintu tu, terus rasa macam ada angin kuat yg tolak sampai tudung Mawar tercabut terbang. Haa bayangkan la macam mana punya kuat angin tu. Senyap jap kami semua. Tengok barang-barang spirit yg kami main tadi tu dah takde. Bila tanya sesama sendiri takde sesiapa pun yg kemas sebab masing-masing terus keluar kejar Lily tadi. Kami buat tak tau je dan tidur tak tidur laa berempat kat ruang tamu tu walaupun hari dah makin cerah.

Esok malam tu kami tengah tengok berita bertiga, Lily tidur. Tapi tiba-tiba dia bangun ambik beg dan terus pergi kat pintu. Kami tanya la nak pergi mana, Lily pun jawab, “aku nak balik tempat aku”. Kami kan nakal, terus ketawa dan cakap kat dia “ish dia ni, meh tidur balik. Mengarut jee nak balik Kelantan tu malam-malam macam ni. lagipun mana ada bas”. Lily pusing pandang muka kami bertiga satu-persatu lepas tu dia senyum dia cakap, “aku tak naik bas, aku terbang”. Dia berdiri je depan pintu rumah sambil senyum. Aku bangun pergi kat Lily bawak Lily tidur. Lily sambung tidur balik dgn beg dia tu, tapi yg peliknya dia tidur senyum. Aku, Melur dengan Mawar masing-masing pandang sesama sendiri. Bulu roma pun dah tegak.

Minggu yg seterusnya aku dengan Melur keluar. So yg tinggal cuma Lily dengan Mawar je kat rumah. Mawar asyik text bagitau yg Lily cakap sorang-sorang depan almari bilik dia. Aku dengan Melur terus balik, risau pulak tinggalkan Mawar dengan Lily berdua kat rumah tu. Masa kami sampai, tengok keadaan Lily tak terurus sangat. Dah la rambut dia panjang, pergi tarik-tarik pulak rambut tu, habis berserabai. Kelas pun dia banyak kali tak pergi. Kami cuma agak mungkin sebab main spirit tu. Mungkin laa.

Setiap malam bila kami nak tidur, mesti Lily akan datang kacau. Dan yg selalu jadi mangsa, Mawar sebab Mawar sebilik dengan Lily. Mawar selalu bagitau bila dia dah tidur, Lily akan kejut dia secara ganas, goyang-goyangkan badan Mawar sampai Mawar jatuh katil. Lepas tu tepuk-tepuk badan, tarik-tarik rambut. Bila Mawar tanya kenapa, jawapan Lily cuma, “takde apa, nak berkawan je” sambil senyum-senyum then dia sambung tidur.

Aku dengan Melur pulak tidur bilik satu lagi. Kami berdua tidur memang akan tutup pintu bilik dan kunci in case kalau jadi apa-apa, selamat la sikit. Selain kacau Mawar dalam bilik, Lily kacau kami berdua jugak cuma jarang. Dia suka ketuk pintu bilik kami kuat-kuat siap jerit “bukak! Bukak!” Bila kami bukak pintu pilik dan tanya kenapa, yg Lily buat dan jawab, pusing-pusing area katil, tepuk-tepuk bantal lepas tu cakap “takde apa, nak berkawan je”. Tengok Lily dah teruk, terpaksa call parents Lily bagitau keadaan dia.

Parents Lily pun sampai ambik dia bawak balik Kelantan untuk berubat kampung. Selama Lily kat kampung, dia text Mawar dan asyik cakap benda yg sama, “tolong aku. Ambikkan beg aku atas almari tu, keluarkan kain warna hitam”. Benda yg sama dan berulang-ulang. Text dia tu macam copy paste. Banyak kali jugak la kami bagitau dia takde, kosong je dalam beg dia. Dan setiap kali tu jugak la dia akan balas balik, “ada. Akak tu yg bagitau aku ada kain warna hitam dalam beg aku”.

Dari hari ke hari bila dapat text dari Lily, tu je ayat yg dia bagi. Sangat menyeramkan. Akak mana pulak laa yg bagitau dia tuu. Kami semua sebaya, jiran depan rumah pun takde sebab kami duduk rumah yg jenis setiap satu tingkat cuma ada dua buah rumah jee. Mana la datang akak yg dia cakap tu.

Pernah sekali Lily text Mawar, dia suruh cari jugak kain warna hitam dalam beg dia atas almari tu. Almari Lily pulak betul-betul depan cermin besar kat dalam bilik dia. Belum sempat Mawar nak reply text dia, Lily terus hantar lagi text macam ni, “tengok hp buat apa? Cari kain warna hitam cepat. Akak tu tengah tengok kat cermin tu”. Bila Mawar pandang je, terus pengsan sebab dia nampak ada perempuan rambut panjang kusut, muka tak nampak tapi berpakaian lusuh dekat cermin tu.

Lebih kurang dua bulan, baru Lily pulih sepenuhnya, alhamdulillah. Rupanya memang spirit yg kami main tu berdamping dengan Lily. Lily pulak jenis yg tak kuat, melekat la benda tu dekat dia. Untuk kesekian kalinya kami pindah lagi cari rumah sewa lain yg lebih selamat dan takde kejadian-kejadian pelik ni. Sejak dari tu, kami berempat memang tak buat benda bukan-bukan dan nakal-nakal dah. Umur pun makin meningkat.

Sekian dari aku, nanti aku share cerita lain pulak. Terima kasih semua.

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *