Mendengar, Merasa, Tidak Melihat

Hi!

Bila baca kisah-kisah yang di hantar oleh orang lain, buat aku tergerak untuk menghantar kisah aku jugak (^_^). Tidak lah seseram cerita orang lain, tapi bagi aku yang penakut ni, hurmppp…sedikit mengganggu hidup aku masa kecil / remaja dulu.

Kisah Pertama
Aku percaya sesetengah orang memang di kurniakan kebolehan melihat makhluk-makhluk halus ni. Aku ni jenis yang tak dapat melihat (elok lah, kalau tak, doploh ratus kali aku ni pengsan-sedar bila nampak benda-benda halus sebab aku ni lemah semangat) tapi aku dapat merasa dan mendengar.

Okay, kisah pertama terjadi masa cuti sekolah. Aku ni hantu chatting, masa tu tengah hot MiRC (untuk hadek2, sila google apakah MiRC, hakak ni seekor dinosour zaman internet). Siapa tahu MiRC ni, tahu lah betapa berhantunya chat ni. Berjaga pagi-pagi buta adalah normal sebab masa tu chat ni rancak. Berbalik ke kisah aku, tengah sedap-sedap aku chatting…tiba aku dengar bunyi petikan jari kat dapur rumah..halus aje bunyinya… Harap maklum, masa ni rumah aku bergelap, cuma cahaya monitor sahaja yang ada. Kedudukan aku adalah di ruang tamu kedua yang mana selepas ruang tamu kedua ada dinding yang memisahkan ruang tamu dan dapur. Susunan barang di dapur; paling hujung tempat masak, kemudian depan sikit peti ais pertama, kemudian meja makan, lepas tu peti ais kedua, kemudian rak buku dan selepas tu dinding pembahagi. Selepas dinding adalah tempat di mana aku berada pada masa tu, iaitu ruang tamu kedua. Oh ya, di dinding tu, ayah aku pecahkan sedikit supaya kami nampak dapur terus daripada ruang tamu.

Petikan jari bermula di tempat masak, aku terkejut dan terus berdiri nak tengok. Tapi opkos aku yang rabun pada masa tu dan tak pakai kaca mata memang tak nampak apa-apa. Aku duduk balik, sambung chat, elok aje mata aku beralih ke screen PC, petikan jari tu berbunyi lagi, kali ni di peti sejuk pertama. Tindakan refleks, aku bangun dan cuba tengok, masih tiada apa-apa. Petikan jari berbunyi lagi dan makin lama makin dekat dengan aku. Tiap kali itu jugalah aku buat yang sama, bangun dan cuba melihat, tapi gagal untuk nampak apa-apa. Akhir sekali dia berbunyi di peti ais kedua, masa ni jantung aku nak pecah dah tapi aku buat relaks. Aku berdiri, kali ni aku tenung lama dengan harapan dapat tengok apa yang dok berbunyi daripada tadi sebab dah berbunyi dekat sangat dengan aku. Lama aku berdiri, aku tenung, tapi masih gelap. Walaupun hati dah tak sedap, aku nak juga sambung chatting. Kejadian lepas ni yang buat aku menyesal tak tutup PC awal-awal dan masuk tido.

Aku duduk, tarik nafas dalam-dalam, alihkan mata ke screen PC. Elok aje jari aku menaip satu huruf, petikan jari tu kali ni berbunyi di sebelah telinga kiri aku—kuat. Terus aku melompat bangun daripada duduk aku, berlari ke depan dan menekan suis lampu. Sekejap sahaja rumah aku terang-benderang. Tau aku nampak apa?…………. Pon xde apa-apa. Mujur lah benda tu tak menjelmakan diri, kalau tak…aku rasa aku boleh pengsan sambil berbuih mulut.

Lepas tu aku terus end chatting, tutup PC, masuk tido dengan lampu bilik aku terbuka. Esoknya kena marah dengan mak sebab membazir elektrik.

Kisah kedua – di alami oleh kakak aku.
Terjadi pada masa cuti sekolah yang sama. Kami berempat adik beradik tidur di ruang tamu. Sengaja. Memang biasanya sebelum kami tidur, aku dan kaklong akan bersembang, sampai terlena sendiri. Di sebabkan adik aku tak boleh tidur dalam gelap, jadi kami pasang lampu tidur. Aku tidur betul di hujung, hampir dengan suis lampu tidur. Aku ni jenis suka menyakat, aku sengaja bukak tutup lampu tidur supaya adik aku merengek.

Kaklong pada mulanya tak cakap apa-apa, sampai tiba-tiba dia menaikkan suara “kakcik, bukak lampu tu!”…. Aku capai suis dan buka. Bila sahaja lampu di buka, tiba-tiba kami terdengar bunyi botol kosong jatuh di dapur. Aku terus terdiam dan masa itu kaklong memberitahu, setiap kali aku padam lampu tidur, dia dapat merasakan satu tangan sedang meraba badannya daripada belakang. Kaklong cuba abaikan. Tapi kemuncaknya bila tangan itu cuba meraba dada kaklong. Masa itulah kaklong menaikkan suara pada aku. Bayangkan, siapa nak meraba daripada belakang kaklong bila kaklong tidur paling hujung dan kaklong tidur menghadap kami; adik-adiknya.

Oh ya, kaklong juga pernah memberitahu, di antara tidur dan sedar, dia mendengar orang sedang mengaji di dalam biliknya. Tapi kaklong tidak pasti surah apa yang sedang di baca. Yang pasti, suara halus seorang wanita dan bukan suara mak kami.

Kisah ketiga – berlaku ketika aku di tingkatan 6, sekolah berasrama.
Aku ni sejenis manusia yang tak boleh belajar masa prep. Aku akan tidur. Nak lagi best, aku tertidur di dalam bilik prep. Bila aku terjaga, bilik prep dah kosong dan gelap sebab orang dah tutup lampu. Dalam keadaan tu, aku kuatkan hati, bangun berjalan ke dorm. Tak pandang kiri kanan. Dorm aku di tingkat bawah (Ground Floor)–sama aras dengan bilik prep. Dengan tangan tangan yang menggigil, aku buka pintu dorm. Sedang aku elok tutup pintu, aku dengar bunyi kerusi di bilik prep—seperti di alihkan. Terus aku cepat-cepat panjat katil dan selimut daripada kepada sampai kaki. Esoknya aku demam. Hishhh…

Lepas kejadian di bilik prep, aku buat keputusan study di meja batu luar dorm aku. Oh ya, kawasan asrama pada masa tu terang dek cahaya lampu daripada bilik prep, kaki lima dan cahaya lampu susur koridor. Orang lain dalam bilik prep, aku sorang aje kat luar—bajet berani lah. Sedang elok aku menelaah, hujung mata aku menangkap sesuatu di hujung dorm Aspura. Bukan makluk halus, tetapi cahaya lampu kalimantang yang berkedipan–seolah-olah lampu hampir rosak. Aku abaikan dan terus menelaah. Mungkin makhluk Allah tu marah dengan aku, dia dah bagi hint tapi aku buat tak tau. Tengah sedap-sedap buat nota, telinga kanan aku di hembus angin kuat yang datang sekali dengan bunyi kuat helaan / degusan nafas seorang lelaki—“haaaahhh, huuuhhhh!!”…

Terkejut, aku terus tinggalkan buku-buku dan alat tulis aku dan berlari masuk bilik prep. Pucat lesi muka aku. Padan muka.

Baiklah, setakat ini sahaja dulu. Maaf cerita agak panjang. Aku cuba ringkaskan sedaya boleh tapi masih panjang. huhuhu….

Kalau ada masa, aku cerita lagi ye. InsyaAllah. Alhamdulillah, setakat ni aku tiada lagi melihat makhluk Allah di dimensi lain tu. Tak nak jumpa pun. Jadi bagi yang terbuka hijabnya, moga kamu sentiasa di lindungi daripada sebarang musibah.

::Hantar kisah anda di fiksyenshasha.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *