Menjentik duit syiling

Assalamualaikum kepada semua peminat kisah hantu dari Sabah hingga ke Johor dari Perlis hinggalah ke Sarawak kerana meminati citra usikan makhluk tak berjinjang manakala, bagi mereka yang memang tidak meminati kisah hantu, bolehlah baca surat khabar akan topik jenayah buńuh-membuńuh kelaṙ-m******r leher hingga terputus kepala daripada badan, semestinya tahap keseramannya tentu lebih dahsyat melebihi terserempak hantu!

Demikianlah ayat mukadimah di atas yang memang sengaja tidak dibubuh sebarang nama syarikat surat khabar kerana wartawan yang digaji oleh tauke syarikat akhbar sememangnya sangatlah ghaìrah menulis laporan berita akan topik jenayah kerana semestinya jenayah yang manusia lakukan terlampaulah seram mengalahkan fiil hantu.

Selepas mukadimah, wajiblah empunya jari-jemari bertubi-tubi menekan keyboard button menulis kisah ini memperkenalkan diri; “Akunyer nama simple jer iaitu, Dafi!”

Kisah yang aku tulis ini wajiblah dibubuh penanda zaman semoga pembaca tidak keliru atau bingung dan, penanda zamannya ialah millennium atau, zaman millennium tahun 1999 menuju ke tahun 2000.

Pada tahun 2003, rasa dedar berdebar-debar aku melangkah masuk ke dewan peperiksaan menjawab kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan, kisah yang aku tulis ini tentulah tak ada kena-mengena untuk menjawab kertas soalan SPM kerana, kisah yang sedang dibaca oleh pembaca di saat ini adalah kisah selepas khatamnya peperiksaan SPM di zaman millennium; “Masa aku ambek SPM di zaman Doktor Mahathir ingin menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Pak Lah Ahmad Badawi, format keputusan SPM sudah pun diubah menjadi keputusan terbuka atau keputusan A, B, C, D, E menggantikan keputusan gred 1, gred 2 dan, gred 3.”

Selepas SPM, aku pulanglah ke pangkuan keluarga kerana sewaktu di bangku sekolah menengah menuju ke khatamnya zaman persekolahan (selepas ambil SPM) dalam maksud, sebelum khatam SPM, aku berkelana atau menghuni di sekolah tersedianya asrama.

Di asrama aku ada dua orang kawan baik atau sahabat kamceng dan nama mereka berdua ialah, Buyong dan Poji.

Selepas SPM, aku pulang ke pangkuan keluarga di Putrajaya manakala, Buyong di Bandar Mas dan, Poji pula di Mersing.

Walaupun sudah khatam SPM (selepas ambil SPM), aku tetap menghubungi mereka berdua, berbual melalui telefon bimbit Nokia 3310 kerana kehidupan mereka berdua (Buyong di Bandar Mas) manakala (Poji di Mersing) tentu lebih seronok berbanding aku yang duduk di Putrajaya; “Kat Putrajaya ni aku takde member woi! Sendu betul suasana kehidupan aku walaupun namanya gempak iaitu Putrajaya bin KL bin KLCC bin KLIA tetapi tetap sendu nan bangang!”

Disebabkan sendu maka, rajinlah aku merayau-rayau di Putrajaya dengan menunggang skuter; “Hmm… skuter yang aku tunggang ni bukan kategori pondan punya skuter. Skuter yang aku tunggang ni kategori garang nampak ganas kerana jenamanya ada perkataan jet!”

Petang itu di Jalan Kepayang (aku terpaksa ubah nama Persist menjadi Jalan Kepayang kerana tak mahu menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan) di waktu Maghrib lebih kurang 6:09 minit senja, aku berhenti sebentar menunggang skuter di tepi jalan kerana ingin menyelitkan sebatang rokok Dunhill di bibir dan, menyalakan bara di hujung rokok.

Sedang aku terkial-kial mengetik pemetik api ingin menyalakan bara rokok; “Crikk~ crikk~ crikk~ voob!” menyala saja bara rokok, sekonyongnya aku tertoleh, memandang tong sampah di tepi jalan.

Terkebil-kebil aku melihat di tepi tong sampah, ada satu objek yang sangat aku kenali bahkan, sudah lama aku mengidam-ngidamkannya.

Terkocoh-kocoh aku melompat turun dari skuter kerana ingin melihat lebih dekat bahkan, tak mahu mata tersilap melihat akan objek yang aku idam-idamkan!

Selepas melompat turun dari skuter, mendekati tong sampah, di tepi tong sampah, aku angkat objek yang tersandar di tepi tong sampah; “Wow Ibanez warna hitam! Ni yang aku cari-cari ni! Hahahaha!!”

Aku tersenyum menyeringai mengusap-usap Ibanez yang kini berada di genggaman tangan dalam keadaan batang tengkuknya (di tengah-tengah) patah dua manakala, tanjaknya terpisah dari batang tengkuknya, ada di tepi tong sampah.

Aku pegang punġġungnya dan dekatkan ke muka, terkebil-kebil mengira lubang tali gitar; “Satu, dua, tiga, empat…… lima, enam…… tujuh!” terus melompat-lompat aku riang ria gembira kegirangan terpontang-panting berpusing-pusing mengelilingi tong sampah sambil menyedut laju menghembus deru asap rokok kerana terlampau seronok dapat gitar percuma yang dibuang ini adalah gitar seven string; “Yeahhh! Seven string! Aku dapat seven string! Aku dapat seven string! Warghhhahahahaha!!”

Kerana kegembiraan melompat-lompat girang mengelilingi tong sampah sebanyak tujuh kali, sekonyongnya terduduk punġġung aku, tercungap-cungapnya nafas aku menindihkan bontọt di atas jalan tar kerana pancit termengah-mengah berpusing-pusing mengelilingi tong sampah sambil menjentik puntung rokok tup-tup-tup, terkebil-kebil aku melihat ada seorang lelaki berdiri di anjung rumahnya memandang ke arah aku.

Dalam keadaan terduduk di atas jalan tar, sekonyongnya aku mengangkat tangan ke arahnya yang tercongok berdiri di anjung rumah, lebih kurang 49 meter jaraknya daripada tong sampah, serta-merta aku menjerit: “Abang! Ni gitar abang kan! Abang dah buang gitar ni kan! Saya ambek ye!”

Lelaki yang berdiri di anjung rumahnya, tetap tercegat diam tercongok berdiri tanpa memberikan sebarang respons seperti mengangkat tangan atau melambai-lambai tangan sebagai tanda kabul atau, setuju atau, memberikan lambaian terakhir kepada gitarnya yang mendapat tuan baharu yakni daku atau, aku atau, haku; “Hahahaha!” (SFX: Ketawa kerana terlampau seronok).

Melihat lelaki yang berdiri di anjung rumahnya tidak memberikan respons, aku tersengih-sengih bingkas bangun dari jalan tar dan melambai-lambaikan tangan menjerit lagi sekali: “Abang! Saya bukan pencopet! Kalau gitar ni abang punya, saya ambek ye!”

Melihat lelaki di anjung rumahnya tetap tercongok berdiri, aku terus capai mengambil tanjak Ibanez yang sudah patah di bahagian batang tengkuknya di tepi tong sampah, terus terkocoh-kocoh aku melompat naik ke atas skuter menyalakan gegaran enjin; “Crikk-crikk-crikkk~ vroob~ vrooobb~ vroooobbb~~”

Perlahan-lahan aku menunggang skuter sambil tersengih-sengih sempat memandang lelaki yang masih berdiri di anjung rumahnya.

Destinasi seterusnya selepas mengutip Ibanez seven string bersaksikan seorang lelaki memerhatikan aku dari anjung rumahnya adalah, menuju ke rumah Abang Long.

Kenapa selepas kutip Ibanez, aku tidak terus balik ke rumah? Kenapa aku pergi ke rumah Abang Long?

Jawapannya, aku nak minta tolong pada Abang Long kerana Ibanez yang baru saja aku kutip ini ditimpa masalah kritikal iaitu batang tengkuknya patah dan, aku sangat yakin Doktor Gitar (Abang Long) boleh menyelamatkan gitar yang berada dalam keadaan kritikal walaupun patah riuk.

Sampai saja di depan rumah Abang Long, aku melompat turun dari skuter terus menjerit-jerit memberikan salam: “Assalamualaikum! Assalamualaikum!”

Terngangalah pintu dibuka oleh Zara berusia lima tahun (anak sulung Abang Long).

Dafi : Zara, ayah ada tak? Ayah!

Zara : Ayah ada, kat bilik gitar.

Terkocoh-kocoh aku melangkah masuk sambil membawa gitar Ibanez. Semasa melintasi ruang tamu, terdengar suara Kak Long sekonyongnya bertanya.

Kak Long : Ha! Kau datang sini bawak masuk gitar, berapa kau beli gitar kokak tu Chu!?

Dafi : Tak beli, kutip.

Kak Long : Kau kutip kat mana Chu?

Dafi : Kat tong sampah.

Kak Long : Kat tong sampah mana kau kutip gitar tu Uchu!?

Di dalam keluarga, aku ini anak bongsu justeru, dapatlah gelaran manja iaitu Uchu/Chu. Aku tidak jawab soalan Kak Long, terus menonong menuju ke bilik gitar ingin bertemu Doktor Gitar; “Sebenarnya bilik gitar yang Zara maksudkan ialah studio. Disebabkan hobi ayahnya suka memetik tali gitar maka, banyaklah gitar tersusun kat dalam studionya.”

Sampai saja di depan pintu studio, aku terus memulus tombol dan, menolak pintu hingga ternganga, terlihatlah Abang Long duduk menghadap equalizer, sedang rancak menggoreng tali gitar serta-merta berhenti menggentel tali gitar, melihat aku melangkah masuk.

Abg Long : Rockers mana Chu jual gitar patah rebung kat kau ni!?

Dafi : Hehehe… saya tak beli bang, saya kutip.

Tersengih-sengih aku meletakkan gitar di atas sofa.

Abg Long : Kau kutip kat mana Chu!?

Dafi : Saya kutip kat Jalan Kepayang.

Gitar yang bertenggek di pehanya, Abang Long baringkan (letak) di atas meja (sebelah equalizer) tanpa terlupa menekan suis gitar memadamkan speaker yang tersandar di dinding dan, bingkas bangun terus mendekati sofa memerhatikan gitar patah rebung.

Abg Long : Hmmm… Ibanez.

Dafi : Seven string bang!

Abg Long : Ye kē seven string?

Dafi : Ye! Seven string.

Serta-merta Abang Long mengangkat punġġung gitar patah rebung yang terlentang di atas sofa, terkebil-kebil mengira lubang tali; “Satu, dua, tiga, empat…”

Abg Long : Hmmm… seven string.

Dafi : Macam mana bang? Boleh tolong betulkan gitar ni.

Abg Long : Jap! Aku check gitar ni jap.

Abang Long memusingkan punġġung gitar dan, terkebil-kebil memerhatikan body belakang gitar.

Abg Long : Kau gi kat almari, tolong ambek toolbox bak sini.

Abang Long duduk di sofa sambil membelek-belek Ibanez, terkocoh-kocoh aku menerkam almari di penjuru studio, ingin mengeluarkan toolbox.

Capai saja toolbox, terus aku keluarkan dari almari, menjinjitnya menghadap Abang Long dan, meletakkan toolbox di atas sofa manakala, aku memilih duduk bersila di atas lantai menghadap Doktor Gitar bersemayam di atas kusyen sofa.

Terkebil-kebil aku memerhatikan Doktor Gitar membuka toolbox; “Trektruk~ trekktuk~ trekktuk~” mengeluarkan pemutar skru philip.

Aku melihat pemutar skur di tangan Doktor Gitar digoyang-goyangkan sedikit dan, pemutar skru diletakkan kembali ke dalam toolbox; “Trektuk~”

Abg Long : Hmmm… gitar patah rebung ni okay boleh diselamatkan.

Dafi : Wahhh! Dahsyat larr Abang Long, goyang-goyang sikit jer terus boleh tahu gitar ni boleh diselamatkan. Wow hebat!

Abg Long : Hehehe… biasalah, kalau dah sampai maqam wahdatul gambus, goyang-goyang sikit jer dah boleh tahu nak gantung kat dalam bilik atau humban kat lombong.

Dafi : Okay, saya tinggalkan gitar ni kat abang, nanti dah siap, abang call saya, saya datang ambek.

Abg Long : Okay cantik.

Aku terus bingkas bangun dari lantai, menghulurkan tangan bersalaman dengan Abang Long.

Selepas bersalaman, aku melangkah keluar dari studio dan, ingin pulang ke rumah. Melintas saja ruang tamu, terdengar suara Kak Long yang sedang bersantai menonton drama di TV.

Kak Long : Hoi! Kau datang rumah akak buat macam hotel, kau nak gi mana tu Chu!?

Dafi : Dah nak malam ni kak, nak balik rumahlah kak.

Kak Long : Ha~ okay, hati-hati bawak skuter tu. Kirim salam kat abi ngan umi.

Dafi : Okay.

Perjalanan dari rumah Kak Long, balik ke rumah abi dan umi tidak jauh pun, 15 minit saja sudah sampai.

Sampai saja skuter yang aku tunggang di halaman rumah (rumah abi dan umi), azan Maghrib pun berkumandang; “Allahu akbar~~ Allahu akbar~~”

Gedebak-gedebuk gedebuk-gedebak lepas Isyak, lebih kurang 9:47 minit malam, enjin pun bergegar; “Vroob~ vrooobb~ vroooobbb~~” perlahan-lahan throttle dipulas, skuter pun bergerak merayau-rayau menemani aku dengan iltizam menghilangkan rasa sendu kerana tiada member boleh menjadi DJ radio sama-sama rancak bercoloteh menyeringai ketawa.

Skuter yang aku tunggang sekarang ini tidaklah laju, hanya 45km/jam menuju ke satu destinasi yang tidaklah jauh berkilo-kilo meter kerana pada minggu lepas, di dalam telefon, selama 19 minit aku berbual dengan Buyong tup-tup-tup, muncul satu rancangan tidak bertauliah akan aku lakukan pada malam ini demi menghilangkan rasa sendu.

Langkah paling utama yang perlu aku lakukan untuk menjayakan rancangan tidak bertauliah pada malam ini ialah, skuter kena parkir sejauh 50 meter untuk mengelak daripada nombor plate dicatat di dalam buku laporan Pak Gad, kemungkinan tersenarai sebagai nombor plate panas (disyaki) ada pontesi menjadi kenderaan untuk melakukan jenayah.

Selepas parkir saja skuter sejauh 50 meter, aku pun lincah berjalan menuju ke Putrajaya International Convention Centre (PICC) ingin menjayakan rancangan tidak bertauliah secara seorang diri kerana syaratnya, wajiblah menggagahkan diri memberanikan diri walaupun dugaan yang akan menimpa, memang tidak dapat dijangka tetapi, keseronokannya tentu menjanjikan debaran berganda-ganda seperti melihat artis seksí berkemban di dalam TV acah-acah jadi Puteri Gunung Ledang mensyampu rambut di bibir Kolam Puteri.

Sampai saja di bangunan PICC, dengan lincah aku melompat masuk ke dalam bangunan seperti Sang Pungguk menyelinap ladang sawit di waktu malam.

Tanpa menghasilkan sebarang bunyi, aku dapat menceroboh ke dalam bangunan PICC dan, memang terbukti dari kajian zoologi sememangnya burung pungguk sangat hebat sayapnya mengibas-ngibas tanpa menghasilkan sebarang bunyi semasa Si Pungguk bebas mundar-mandir berterbangan bersaksikan kekasihnya, kamarun habibi (rembulan tercinta).

Masuk saja ke dalam bangunan PICC, aku terus keluarkan dari porch bag, satu lampu suluh dan satu cermin solek bertangkai gagang atau ada pemegang kepunyaan Kak Long yang aku diam-diam pinjam tanpa memberitahunya atau, dalam istilah yang mudah, aku copet atau curi tapi, lepas menjayakan rancangan tidak bertauliah ini, aku akan pulangkanlah!

Sesungguhnya cermin solek yang permukaan cerminnya bersaiz dua telapak tangan orang dewasa dan lampu suluh bersaiz mentimun Jepun adalah dua objek terpenting untuk menjayakan rancangan tidak bertauliah yang sedang aku lakukan sekarang ini, moga-moga betul-betul menjadi dengan cemerlang gemilangnya.

Selepas mengeluarkan dua objek tersebut, lampu suluh pun dinyalakan dan, aku mula berjalan dengan perasaan teruja tetapi berdebar mendebar-debarkan.

Untuk menghuraikan maksud perasaan teruja di dalam kisah yang aku tulis ini semestinya tidak perlulah ditelanʝangkan secara panjang lebar akan tetapi, maksud berdebar mendebar-debarkan ini wajiblah aku menulis perbualan di antara aku dengan Buyong pada minggu lepas, sebelum aku menceroboh PICC, ingin melakukan aktiviti tidak bertauliah sekarang ini.

“Trutt~ tut-tut~ trutt~ tut-tut~” speaker telefon bimbit Nokia yang melekap di cuping telinga aku, terdengar bunyi panggilan yang belum disambut oleh Buyong.

“Tekttik!” Buyong sambut panggilan.

Dafi : Yellowww~~ Yong!

Buyong : Yellow pipit kaw! Memang nak kena khatan lagi sekali kau ni, bagi salam pun dah tak pandai.

Dafi : Hahahahaha… assalamuaikum Yong.

Buyong : Waalaikummussalam.

Di awal perbualan di antara aku dengan Buyoug, topik perbualan panjang adalah berkenaan rancangan memilih tempat best nak buat reunion kita orang bertiga (aku, Buyong dan, Poji), perbualan ini tidak perlulah aku tulis panjang lebar.

Selepas menetapkan tarikh perancangan reunion, sebelum menamatkan panggilan telefon, aku boleh gatal mengada-ngada bertanya pasal hantu.

Dafi : Yong! Kau agak-agak kat tempat aku ni, kat Putrajaya ada hantu tak!?

Buyong : Hmm… kau ada anak buah tak!?

Dafi : Ada! Anak Kak Long aku.

Buyong : Kau pergi tanya anak Kak Long kau tu!

Dafi : Anak Kak Long aku tu suka tengok kartun, nanti dia cerita pasal hantu Scooby Doo pulak kat aku… kat tempat aku ni ada hantu tak Yong!?

Buyong : Hmmm… hantu ni ada larr kat merata tempat, cuma kita jer tak nampak.

Dafi : Okay, kau dengar dan fahamkan soalan aku ni betul-betul… macam mana aku nak tengok hantu kalau kau dah cakap, cuma kita jer tak nampak??

Berkepul-kepul aku menghembuskan asap rokok dan, sempat bibir aku menghembuskan asap rokok berbentuk huruf O, menantikan jawapan dari Buyong.

Buyong : Hmm… guna cermin!

Dafi : Guna cermin macam mana tu?

Buyong : Kau tengoklah kat cermin. Kalau ada rezeki, kau bolehlah nampak!

Dafi : Cermin kat rumah kē?

Buyong : Kalau kat rumah kau tu ada puaka bersemayam, tak sempat tengok cermin, kau dah boleh nampak dah puaka terjengul skodeng kau kat belakang langsir!

Dafi : Okay, sekarang ni kat rumah aku takde puaka, macam mana aku nak panggil makhluk puaka datang rumah?

Buyong : Hoi! Apa giler kau ni nak panggil makhluk puaka datang rumah!?

Dafi : Tadi kau cakap nak tengok hantu guna cermin! Aku nak letaklah empat cermin besor kat dinding bilik tidur aku, lepas tu cantiklah panggil dua-tiga ekor puaka datang rumah.

Buyong : Daripada kau buat macam tu, lebih baik kau tiru P·Ramlee baca mantera seru mambang kat kubur. Alarrmak Hantu Jepun bawak gang larr, banzai!

Dafi : Warghhhahahahaha! Okay, aku serius ni, macam mana cara paling senang nak tengok hantu guna cermin Yong!?

Buyong : Hmmmm… kau angkutlah cermin kat bilik air rumah kau tu, lepas tu kau pergilah kat tempat sunyi takde orang, nanti kau boleh nampaklah kat cermin.

Dafi : Kalau tempat sunyi takde orang tu tempat tu gelap, macam mana aku nak nampak?

Buyong : A’ah! Ye tak ye gak!

Buyong terdiam sebentar memikirkan sesuatu (fikir macam mana nak tengok hantu di tempat yang gelap melalui cermin?).

Sementara menunggu jawapan darinya, bertubi-tubi aku menghembus asap rokok berbentuk huruf O.

Buyong : Kau bawak torchlight!

Dafi : Hmmm… okay bawak torchlight.

Buyong : Tapi, masa tengok cermin, kau janganlah tala torchlight kat cermin, silau mata!

Dafi : Abis tu nak tala kat mana Yong!?

Buyong : Kau tala kat belakang kau.

Dafi : Tala kat belakang macam mana tu Yong!?

Aku menjentik puntung rokok dan, memasang telinga mendengar suara Buyong di speaker telefon.

Buyong : Macam ni! Tangan kanan kau pegang cermin, tangan kiri kau pegang torchlight, kau tala larr cahaya torchlight ke belakang kau kat atas bahu, mata kau steady tengok cermin. Yang penting cahaya torchlight tala kat belakang, mata kau tengok cermin!

Dafi : Okay-okay, faham-faham-faham!

Buyong : Masa kau tengok cermin, kau geraklah ke kiri ke kanan pusing perlahan-lahan 360 darjah. Konfem kau boleh nampak punyalah!

Dafi : Okay, kalau aku tak nampak, siap kau! Masa reunion, aku sesah bọntọt kau bertubi-tubi guna tolir.

Menggelekek Buyong ketawa: “Warghhhahahahaha!” kerana aku tetap ingat perkataan tolir (bahasa orang Jawa) yang Buyong pernah sebut di asrama.

Demikianlah perbualan di antara aku dengan Buyong melalui panggilan telefon dan, sekarang ini aku sedang menjelajah ruang legar PICC dengan perasaan teruja ingin melihat makhluk puaka bersemayam di PICC melalui cermin solek.

Sedang aku menjelajah (terkial-kial berjalan) tup-tup-tup terkebil-kebil aku ternampak satu cahaya lampu suluh sejauh 41 meter yang semestinya cahaya lampau suluh daripada Pak Gad; “Cis! Aku baru masuk takkanlah dah kantoi! Kat sini rasanya macam belum pasang CCTV, macam mana boleh kantoi?”

Menggelabah aku memadamkan cahaya lampu suluh di tangan dan, terpontang-panting meluru ke pintu tandas. Sampai saja di depan pintu tandas, sedaya upaya aku tidak mahu menghasilkan sebarang bunyi maka, perlahan-lahan aku menolak pintu tandas. Selepas melompat masuk ke dalam tandas, aku merapatkan badan, berdiri di sebalik pintu tandas yang tertutup rapat dengan memasang telinga.

Tidak sampai lima minit, terdengar jelas suara Pak Gad mengherdik lantang: “Woi penjenayah! Keluar kau! Aku tahu kau sembunyi! Tadi aku nampak lampu suluh kau!”

Di sebalik pintu tandas, berdebar-debar aku mendengar herdikan suara Pak Gad; “Ini kalau kantoi, konfem Doktor Mahathir geleng-geleng kepala baca sokabor, seorang remaja lepasan SPM ditangkap oleh Pak Gad malam tadi kerana menceroboh PICC dan, Ketua Polis Negara sempat memberikan pujian kepada ketangkasan Pak Gad itu, serta-merta dinaikkan pangkat ke jawatan polis bantuan mengawal keselamatan daripada pencerobohan agen-agen Yahụdỉ Zỉonỉs di KLIA.”

Sekarang ini di sebalik pintu tandas, rasa berdebar-debar memang berganda-ganda cuak terbayangkan kemungkinan kena tangkap oleh Pak Gad tentu lebih menggerunkan daripada aktiviti tidak bertauliah nak tengok hantu.

Tup-tup-tup terdengar satu jeritan yang sangat kuat menerjah pintu tandas (menembusi pintu tandas) dapat aku dengar dan, jeritan itu berbunyi begini: “Arggghhhhhhh!! Ontianak! Ontianak! Ontianak!”

Selepas jeritan yang kuat dari Pak Gad menembusi pintu tandas, terdengar pula bertalu-talu derapan tapak kasutnya berdesup laju mencecet-cecet berlari: “Dum-dum-dum! Dum-dum-dum! Dum-dum-dum!”

Terkocoh-kocoh aku membuka pintu tandas serta-merta menyamar menjadi itik, berjalan macam itik, terkedek-kedek aku keluar dari pintu tandas kerana ingin melihat, apakah yang sedang terjadi? Apakah yang sudah berlaku?

Terkebil-kebil aku melihat cahaya lampu suluh terhogeh-hogeh (bergoyong-goyong) diiringi dengan bunyi derapan tapak kasut Pak Gad berlari laju mencecet-cecet terjerit-jerit kononnya nampak Ontianak; “Huh! Kamus Dewan Bahasa & Pustaka tersalah cetak kē nama Pontianak?”

Bingkas aku bangun daripada menjadi itik, berkerut kening aku melihat Pak Gad laju betul ia berlari; “Lawak apa yang Pak Gad ni buat? Aku yang beria-ia nak tengok, dia pulak yang nampak, puihh!”

Melihat Pak Gad lintang-pukang berlari hingga cahaya lampu suluhnya hilang dari pandangan (menuju ke pos kawalan) terkocoh-kocoh aku mengeluarkan cermin solek dari porch bag dan, mula melakukan cerapan di depan pintu tandas.

Cerapan yang sedang aku lakukan, memang sama seperti ramuan yang disyarahkan oleh Buyong dalam perbualan di telefon. Tangan kanan memegang cermin solek, tangan kiri pula meneggekkan cahaya lampu suluh di atas bahu hingga tertala ke belakang, mata aku tepat memerhatikan cermin (memerhatikan pantulan cerapan di dalam cermin) dan, perlahan-lahan aku memusingkan badan ke kiri sambil terkebil-kebil memerhatikan cerapan yang sedang aku lakukan.

Dari 0° (° = darjah) hingga 90°, tidak terlihat sebarang objek puaka mencurigakan tercerap di dalam cermin.

Dari 90° hingga 135°, tersentak aku melihat di dalam cermin ada objek puaka tercerap di dalam cermin; “Uuihhh‼ Puaka dah usyar aku! Puaka dah usyar aku!” terkocoh-kocoh aku memadamkan lampu suluh kerana tidak menyangka makhluk puaka yang tercicir huruf P-nya dijerit-jerit oleh Pak Gad sebentar tadi sebagai Ontianak, memang sahih Pak Gad itu nampak!

Serta-merta jantung aku berdebar-debar kerana dapat mencerap objek yang beria-ia aku nak tengok sesungguhnya, makhluk puaka itu memang betul-betul wujud di sini (PICC).

Walaupun dapat tengok melalui cermin dalam waktu yang singkat, aku nampak matanya berkelip-kelip bersinar-sinar memandang tepat ke arah aku (dari belakang badan).

Bagi mereka yang sudah hebat menghafal 30 juzuk al-Quran, tup-tup-tup ternampak objek tak senonoh sebegini, tentu terus berdesup terkomat-kamit membaca surah al-Baqarah dari awal hingga akhir ayat.

Wajiblah aku berterus terang di sini sesungguhnya, aku memang tidak hebat menghafal 30 juzuk al-Quran, tup-tup-tup dapat pula mencerap objek tak senonoh sebegini di dalam cermin solek, tindakan yang aku lakukan, hanyalah diam mengeras kaku menyamar menjadi tiang gol!

Setakat ini surah yang aku hafal hanyalah surah-surah lazim seperti al-Fatihah, Watti niwat zaitun, Kul ya alkafirun dan, surah lazim yang agak panjang dapat aku hafal setakat ini hanyalah surah Watduha wailai liézasaja.

Seperti yang sudah aku tulis secara terang dan jelas di atas (hanya diam keras kaku jadi tiang gol) walaupun sudah tahu ada makhluk puaka sedang usyar (perhatikan) aku sesungguhnya, aku tidak bertadarus (tak baca pun) surah-surah lazim yang aku hafal.

Kenapa aku tidak baca surah lazim di dalam keadaan kritikal sebegini?

Jawapannya, aku tidak mahu makhluk puaka itu menghilang ghaib dari cerapan! Kalau keadaan ini berlaku maknanya, 100% kegagalan menimpa jiwa aku, 100% kekecewaan menindih sukma aku, 100% dukacita menghempap sanubari aku malah, lebih daripada itu tak dapatlah aku menulis kisah aktiviti gila mencari hantu untuk pedoman semua peminat kisah hantu di seluruh Malaysia.

Aku mengangkat kembali cermin solek menghadapkan ke muka dan, menekan suis lampu suluh, melakukan cerapan di sudut yang sama iaitu, di sudut 135°.

Tertala saja cahaya lampu suluh di sudut 135°; “Perghhh… puaka tu ada lagi! Puaka tu ada lagi! Tak lari kaw!”

Cepat-cepat aku mengalihkan sudut cerapan ke 145° kerana terperanjat melihat makhluk puaka itu tidak berganjak malah, tidak ghaib menghilang.

Lazimnya, fiil makhluk puaka mudah sangat menghilang ghaib sesudah mengetahui ada manusia dapat melihat sedikit jasadnya, dalam kes aku ini, aku hanya dapat melihat matanya saja berkelip-kelip usyar aku; “Cuma mata jer! Aku tak dapat tengok 100% jasadnya dari hujung rambut sampai jari kaki.”

Di sudut 145°, terkocoh-kocoh ibu jari aku memutarkan tombol lampu suluh mengecilkan capahan cahaya lampu menjadi lurus membulat dan, memusingkan badan beralih semula ke sudut 135°; “Hambek kaw! Berkelip-kelip mata makhluk puaka tu usyar aku!” jaraknya lebih kurang 19 meter dari belakang badan aku.

Mahu tak mahu (mahu cabut lari atau mahu berinteraksi dengannya) aku memilih memberanikan diri menguatkan semangat menggagahkan batin rohani, cuba menghantar mesej kepadanya dengan cara menggoyang-goyangkan cahaya lampu dalam maksud memberikan isyarat; “Dah-dah-dah! Jangan usyar belakang aku lama-lama, nanti aku terteḿbak angin kentọt, kau jugak meradang marah!”

Sesungguhnya mesej yang aku hantar memang 100% tidak memberikan kesan kerana di seluruh dunia setakat ini, menghantar mesej dengan bahasa isyarat menggoyang-goyangkan cahaya lampu, mampu menarik perhatian sotong di laut menerkam kemeriahan sumber cahaya, serta-merta aku rasa menyesal menggoyang-goyangkan cahaya lampu kerana khuatir kemungkinan makhluk puaka yang sedang usyar aku dari belakang, tidak melepaskan peluang menerkam kemontokan punġġung aku.

Walaupun rasa menyesal, aku tetap menguatkan semangat terus memerhatikan kelipan mata Si Puaka di dalam cermin tanpa aku berganjak walau seinci pun. Lazimnya semangat sebegini dalam simpulan bahasa dipanggil sebagai semangat waja tetapi, aku lebih suka dipanggil sebagai semangat tiang gol kerana tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan.

Kerana kedegilan menyukai semangat tiang gol maka, aku menggagahkan diri melangkah secara mengundur ke belakang dengan kekal memerhatikan cermin. Sesungguhnya, memilih berjalan secara mengundur ke belakang adalah pilihan yang sangat bijak kerana senang nak cabut lari memecutkan kaki kalau nampak Si Puaka itu secara mengejut tiba-tiba bergerak nak menerkam tetapi, dalam logik fikiran aku di saat ini, Si Puaka itu tentu akan ghaib menghilang setelah melihat keberanian aku mengorak langkah datang ke arahannya secara mengundur ke belakang.

Dari 19 meter berkurangan ke 15 meter, terkebil-kebil aku perhatikan cermin, Si Puaka itu masih ada, tidak ghaib menghilang bahkan, matanya kekal berkelip-kelip usyar aku.

Aku berhenti pada jarak 15 meter kerana teragak-agak hendak mengundurkan langkah seterusnya ke arahnya; “Giler kaw! 15 meter ni kalau Si Puaka tu seekor harimau, sekali lompat saja tengkuk aku dah ada kat dalam mulutnya!”

Walaupun teragak-agak, aku terpaksalah pinjam kata-kata semangat dari pedalaman kepulauan Borneo; “Agi idup agi ngelaban!” maka, ngelabanlah aku mengundurkan langkah dalam keadaan berdebar-debar dituruti bintik-bintik peluh di dahi mulai mentotol, tanda berdebar-debar cuak tapi acah-acah berani.

Dari 15 meter, aku mengundurkan langkah berkurangan ke 14 meter, 13 meter, berhenti sekejap telan air liur, mengundurkan lagi langkah berkurangan ke 12 meter, 11 meter, 10 meter dan, berhenti memerhatikan cermin, melihat Si Puaka yang tercerap di dalam cermin, sedikit pun tidak berganjak malah, degil tidak mahu ghaib menghilang, tetap kekal tegar Si Puaka itu usyar aku.

Pada jarak 10 meter, melihat di dalam cermin Si Puaka itu tegar usyar aku, serta-merta bintik-bintik peluh mentotol di dahi bertukar menjadi basah melencunkan pakaian (seluar dan baju) bermandi peluhnya aku walaupun tidak terkedek-kedek berjoging.

Dari semangat tiang gol, lepas itu pinjam sekejap kata-kata semangat dari pedalaman kepulauan Borneo dan, pada jarak 10 meter sekarang ini yang tinggal hanyalah telur di hujung tanduk!

Sesungguhnya kata-kata ini (telur di hujung tanduk) sangatlah menggerunkan kerana aku terbayangkan adegan dramatik telur kena tanduk; “Woi! Telur kena tepuk sikit jer dah menggelepar-menggelupur senak, kalau kena tanduk, diusung ke bilik mayatlah penamatnya!”

Dalam keadaan berdebar-debar sekarang ini sememangnya aku tidak ada pilihan kedua atau ketiga atau keempat kerana aku sekarang ini sudah betul-betul pasrah menjadi telur di hujung tanduk maka, terpaksalah aku mengambil risiko walaupun terbayangkan akan berlaku kemungkinan adegan dramatik telur pecah kena tanduk.

Tup-tup-tup aku memusingkan badan dengan menalakan cahaya lampu ke mata Si Puaka itu, terkocoh-kocoh aku meluru menerjahnya dari jarak 10 meter berdesup lincah; “Zup-zap-zup!” pantas berkurangan menjadi tiga meter.

Pada jarak tiga meter terkebil-kebil aku melihat bunga manggar berkelip-kelip; “Cis! Hampeh betul larr… aku sangka puaka tak berjinjang, rupa-rupanya bunga manggar, harkk-puihh!”

Dalam keadaan muka menyampah, aku merentap bunga manggar yang tergantung di tepi dinding sambil bertubi-tubi menghamburkan perkataan mencaŕut yang tidak boleh ditulis di sini, walaupun ironinya secara terang sangatlah jelas malah, sememangnya sahih perkataan mencaŕut memang qadim tercatat di dalam kamus Dewan Bahasa & Pustaka.

Jatuh saja bunga manggar di atas lantai (selepas merentapnya) tiba-tiba menderu dingin angin bertiup wangian berbau bunga melur; “Sebenarnya masa ni aku tak tahu pun macam mana bau bunga melur? Tapi masa reunion, barulah aku tahu leluhur asal wangian bunga melur so, dalam cerita ni aku terpaksa sorokkan perkataan melur atau bunga melur kerana cerita ni berlaku sebelum reunion.”

Terkebil-kebil aku menyuluh ke arah deruan dingin yang wangi; “Eh! Macam mana boleh ada angin? Kat atas siling PICC ni takde kipas pun!”

Terkocoh-kocoh aku terpusing-pusing (memusing-musingkan badan secara setempat) di ruang legar sambil terhogeh-hogeh cahaya lampu di talakan ke sekeliling sudut.

Kerana cahaya lampu masih dalam keadaan mengecil lurus membulat, tergesa-gesa aku memutarkan tombol lampu suluh, mencapahkan pancaran cahaya lampu di hujung lens lampu suluh.

Mencapah saja cahaya lampu, tup-tup-tup terdengar bunyi seretan ranting kayu mengelilingi aku secara 270°; “Srekkkk~~ rekkkk~~ rekkk~~ rekkk~~” sudut yang boleh aku lihat hanya 90° (360° − 270° = 90° sudut mencapahnya cahaya lampu), senang cerita, bunyi seretan ranting kayu yang aku dengar, bergerak dari kanan, berpusing ke belakang dan, berhenti di kiri.

Terkocoh-kocoh aku memusingkan badan, cahaya lampu pun mengikut sekali (sama-sama mengikut) dari kanan (45°) ke belakang (135°) dan, berhenti di kiri pada sudut 270°; “Uihhh! Kat dalam PICC ni ada kebun serai kē?”

Selepas bunyi seretan ranting kayu, tup-tup-tup terdengar bunyi suara perempuan ketawa perlahan-lahan; “Hehehehehe~~” dari belakang aku!

Terkocoh-kocoh aku memusingkan badan, cahaya lampu pun sama-sama mengikut, suara perempuan ketawa perlahan-lahan di belakang aku serta-merta senyap maka, cahaya lampu (lampu suluh di tangan) terhogeh-hogeh ke kiri ke kanan mencari-cari ketawa misteri (suara perempuan) yang tidak dapat aku lihat jasadnya.

Sedang cahaya lampu terhogeh-hogeh mencari ketawa misteri itu, terdengar lagi suaranya ketawa perlahan-lahan; “Hehehehehe~~” di belakang aku!

Perlahan-lahan aku mengangkat cermin solek sambil tangan kiri menenggekkan cahaya lampu di atas bahu.

Selepas cahaya lampu menenggek di atas bahu, perlahan-lahan aku memerhatikan cermin kerana rasa berdebar-debar sekarang ini memang lain macam, serta-merta terasa sejuk dari kaki naik ke ubun-ubun kepala kerana terlampau meremang dapat mendengar suara misteri perempuan ketawa di belakang badan; “Hehehehehe~~”

Terlihat saja cermin solek, membuntang bulat mata aku melihat satu jasad perempuan berdiri di belakang badan aku, rambutnya sangat panjang mencecah lantai, kulitnya putih pucat dan, matanya putih menyala bercahaya serta-merta perempuan itu diam daripada ketawa.

Terlihat saja jasadnya di dalam cermin, perempuan itu menjegilkan matanya serta-merta meningking: “Keluarrrrr!”

Terpontang-panting aku berlari dalam keadaan terlampau cuak menuju ke pintu yang aku ceroboh masuk.

Tanpa menoleh ke belakang aku terus berlari dan, berlari dan, berlari diiringi rasa macam nak menangis kerana terdengar meriah ilai tawanya mengejar aku dari belakang; “Hehehehehe~~ hehehehe~~ hehehehe~~”

Sampai saja di pintu, aku terus rempuh hingga ternganga pintu dan, melompat keluar terdengarlah satu suara dari arah kiri menjerit: “Hoi hańat! Jangan lari!!” serta-merta aku menoleh ke kiri ternampaklah dua cahaya lampu suluh Pak Gad: “Hoi! Jangan lari! Jangan lari hańat!”

Aku tidak mempedulikan jeritan Pak Gad, aku terus mengerah kudrat terpontang-panting mendesupkan pecutan kaki bukan kerana cuak dicekup oleh Pak Gad, sebenarnya aku lebih takut kepada ilai tawa yang mengejar aku dari belakang.

Semasa aku terpontang-panting pecut berlari, terdengar suara Pak Gad menjerit-jerit: “Warghhhhh‼ Ontianak! Ontianak! Lari! Lari-lari-lari!” aku tidak menoleh ke belakang kerana tahu, dua orang Pak Gad yang baru saja membuka langkah mereka mengejar aku, tup-tup-tup mereka berdua tentu terperanjat nampak seekor makhluk menghambat aku bersama keseraman ilai tawanya yang tidak kelakar dari dalam bangunan, mungkin Ontianak itu beralih menghambat Pak Gad. Aku terus berlari dan, berlari dan, terpontang-panting berlari menuju ke skuter yang aku parkir sejauh 50 meter.

Sampai saja di skuter, terus tertiarap aku menyandarkan dada di atas kusyen skuter dalam keadaan tercungap-cungap; “Huh-hah~ huh-hah~ huh-hah~” kerana jauh berlari tanpa henti.

Dalam keadaan masih tercungap-cungap, terkocoh-kocoh aku menyalakan gagaran enjin skuter ingin mencari tempat selamat dan, tempat selamat yang aku pilih ialah restoran 24 jam.

Sampai saja di restoran 24 jam, duduk saja di bangku, aku jadi bengong termangu-mangu hingga air yang aku order, aku mahukan air tempayan.

Abang yang mengambil pesanan (order) terkebil-kebil memerhatikan tangan aku menggeletar semasa menyalakan bara rokok, mungkin terlintas dalam fikirannya, aku sedang sedap layan kepala selepas ambil barang yang bukan-bukan.

Nasihat aku di sini kepada semua pembaca, kalau ternampak pelanggan di restoran pada waktu malam, duduk di bangku sesorang dalam keadaan menggeletar, janganlah syak wasangka mengesyaki pelanggan itu hisap barang yang bukan-bukan!

Lebih kurang 10 minit aku menghisap rokok dalam keadaan menggeletar kerana masih terbayang-bayangkan tragedi ngeri yang baru saja berlaku sebentar tadi.

Selepas hilang saja menggeletar, barulah aku mampu mengangkat cawan di atas meja, menghirup air Milo’o panas yang sudah pun suam; “Kalau aku angkat cawan masa menggeletar, konfem terlepas cawan tu kat tangan.”

Terhirup saja rasa pekat dan manis air Milo’o, barulah aku dapat dengar suasana soksek-soksek pelanggan berbual di restoran, bunyi bising TV di restoran, bunyi sutil bertalu-talu menghentak-hentak kuali di dapur restoran dan, bunyi kenderaan mundar-mandir di depan restoran. Semasa menggeletar (10 minit menggeletar) aku tidak dapat merasai suasana bising di restoran kecuali, terngiang-ngiang ilai tawanya di PICC yang menghambat aku dalam keadaan terpontang-panting berlari; “Masa abang restoran ambek order, berkali-kali aku mintak yang bukan-bukan, air tempayan larr, air kolah larr, air perigi larr, air kolam larr, air mustakmal pun aku mintak!”

Kalau kisah yang aku tulis ini dibaca oleh doktor pakar dalam bidang psikiatri, tentu doktor akan mengatakan, aku ini dibelenggu oleh trauma yang terlampau mengerikan hingga dalam keadaan sedar (mata celik, tangan dan kaki bergerak, boleh bertutur/bercakap) tetapi, tidak dapat merasai suasana sekeliling kecuali, terbayang-bayangkan trauma hingga menghasilkan kesan sampingan iaitu, menggeletar.

Nasib baiklah trauma yang membelenggu aku hanya 15 minit saja (10 minit menggeletar di restoran + 5 minit berdesup laju tunggang skuter menuju ke restoran) kalau lebih 60 minit dibelenggu trauma, mungkin aku tak mengarang/menulis kisah ini untuk tatapan pembaca kerana doktor akan memberikan suntikan dos penenang (dihinggapi penyakit gila).

Terkebil-kebil aku melihat skuter yang aku parkir berhampiran dengan meja kopi yang aku duduk, enjin skuter masih bergegar menyala, terkocoh-kocoh aku bingkas bangun memadamkan gegaran enjin yang menyala; “Perghhh… boleh tak sedar, 10 minit enjin tak dimatíkan!”

Selepas memadamkan gegaran enjin tanpa terlupa mengunci handle skuter, aku pun duduk di bangku menghadap secawan Milo’o di atas meja dan, terkebil-kebil melihat kemeriahan pelanggan rancak berbual-bual di restoran.

Tup-tup-tup melintas seorang kakak memakai baju kelawar warna putih (berlengan panjang) berjalan keluar dari restoran, serta-merta membuntang bulat mata aku terperanjat memerhatikannya berjalan dengan suaminya menuju ke kereta; “Perghhhhh… aku ingatkan puaka yang hambat aku tadi haẉau!”

Walaupun aku sudah melupakan trauma ngeri yang berlaku tetapi, tempias ingatan terhadap trauma yang masih tersimpan di dalam minda, tiba-tiba boleh meradang semula kerana terlihat adanya saki-baki persamaan (tanda-tanda) di antara trauma dengan keadaan sekeliling yang boleh mengheret semula ingatan terhadap trauma.

Perempuan misteri yang menengking suaranya menghalau aku keluar, pakaian yang tersarung di tubuhnya adalah baju kelawar warna putih (berlengan pendek), kerana itulah aku terperanajat melihat seorang kakak memakai baju kelawar warna putih, tiba-tiba keluar melintas dari restoran.

Aku menelan air liur yang terasa seperti tersekat di kerongkong kerana tidak menjangka keadaan sekeliling boleh mengheret semula ingatan terhadap trauma. Aku menyalakan rokok dan, bingkas bangun berjalan di hadapan restoran sambil memerhatikan semua pelanggan di restoran kerana hendak memastikan tidak ada saki-baki persamaan (tanda-tanda) terhadap tramua; “Okay line clear! Takde spektrum boleh buat aku galau.”

Aku duduk semula di bangku dengan menghembuskan nafas lega bersama sekali dengan hembusan asap rokok.

Selepas melihat line clear, barulah aku panggil abang yang ambil order tadi, memesan makanan yang sedap-sedap selepas penat tercungap-cungap mengerah kudrat terpontang-panting berlari dihambat oleh perempuan misteri berbaju kelawar.

Sesungguhnya, aku tidak mahu kategorikan perempuan misteri memakai baju kelawar sebagai Pontianak kerana aku tidak nampak ia terbang bebas melayang-layang. Kalau pembaca ingin kategori ia sebagai Pontianak; “Terpulang larr!” kerana Pak Gad awal-awal sudah kategorikan ia sebagai Ontianak.

Satu perkara yang aku perasan atau sedar perihal perempuan misteri itu ialah, selepas menderu angin dingin bertiup wangi, aku terdengar bunyi seperti ranting kayu menyeret di lantai dan, perempuan misteri itu rambutnya panjang mencecah lantai.

Dua-tiga pondan menari-nari.
Tidaklah sehebat tarian kuda kepang.
Dua-tiga malam termimpi-mimpi.
Janganlah perempuan misteri itu datang masuk meminang.

Janganlah ditanya kenapa tiba-tiba aku memetik kata nama pondan di dalam pantun? Sesungguhnya di dalam pantun tidak ada 100% pengharaman memetik kata nama pondan dan, pantun yang aku reka sememangnya tidak memenuhi syarat wajib kesenian berpantun dengan niat, sesudah saja berpantun, aku ingin mengheret pembaca ke cerita hantu yang kedua.

Selepas trauma kerana peristiwa kena tengking oleh perempuan misteri berbaju kelawar di PICC, tiga hari tiga malam aku kuarantin tidak keluar dari rumah dan, tiga hari tiga malam juga aku asyik bertubi-tubi mendengar lagu nasyid kumpulan Ŕaihan hingga abi dan umi merasa pelik melihat anak bongsunya yang berjiwa rock, tiba-tiba beralih mendengar lagu nasyid.

Masuk saja hari keempat, setelah mujarab merawati jiwa dengan bertubi-tubi mendengar lagu nasyid maka, trauma yang membelenggu sudah pun 100% dapat dipadamkan dari ingatan; “Alhamdulillah.”

Pada jam 11:33 minit malam, di malam keempat, seperti lazimnya dalam keadaan girang, aku meneruskan aktiviti yang sama iaitu ingin menghilangkan rasa sendu di Putrajaya maka, merayau-rayaulah aku menunggang skuter.

Sedang aku menunggang skuter, tiba-tiba aku terkenangkan lagu-lagu nasyid (Ŕaihan) yang tertubi-tubi aku dengar semasa tiga hari tiga malam kuarantin di rumah; “Hmm… bagus gak dengar lagu nasyid ni, sekurang-kurangnya boleh pulihkan semangat aku. Lagu-lagu rock takde kē sipi-sipi macam lagu nasyid?” terkebil-kebil aku menunggang skuter sambil memikirkan kot-kot lagu rock ada unsur memuji sucinya Tuhan Maha Esa hingga melimpah kasih sayangNYA mencipta bermacam-macam makhluk tidak terkecuali makhluk alam sebelah, walaupun di dalam lagu nasyid tiada pun syair pasal hantu.

Sedang aku terkebil-kebil memikirkan lagu rock yang ada unsur memuji sucinya Tuhan Maha Esa, tup-tup-tup secara spontan aku mulai menyanyi mukadimah lagu: “Dahaga~~ kasih padamu~~ tiadalah akhirnya~~”

Aku meneruskan nyanyian bait-bait rangkap seterusnya sambil menunggang skuter: “Dalam kepekatan malam~~ kaulah bintang~~ ku gapai jauh~~ untuk ku sentuh~~ namun bagiku hadirmu~~ seminit menjadi penawar~~”

Tunggang punya tunggang, sambil berkaraoke di atas skuter maka, sampailah di rangkap chorus lagu yang wajib dinyanyikan secara memekik maka, aku pun memekik: “Inginku bawamu~~ bersama hasratku~~ meniti suratan~~ agar kenal kebahagiaan~~”

Skuter yang aku tunggang sekarang ini mulai meredah (melintasi) Jambatan Putra dan, aku meneruskan pekikan: “Takdir kita kasih~~ Tuhan menentukan~~ serah keimanan~~ pasti bersinar kebahagiaan~~”

Sedang seronok memekik, serta-merta aku berhenti memekik (berhenti berkaraoke) kerana melihat ada susuk seorang perempuan berdiri di hujung jambatan.

Disebabkan lampu di Jambatan Putra terang-benderang maka, tidak perlulah aku merasa cuak, fikir yang bukan-bukan setelah melihat susuk yang berdiri di hujung jambatan memang seorang perempuan.

Semakin skuter yang aku tunggang menghampirinya, terlihatlah seorang anak dara yang cantik ayu wajahnya, memakai baju t-shirt Hello Kitty warna merah jambu, melambai-lambai tangannya inginkan aku memberhentikan tunggang skuter.

Berhenti saja skuter di sisinya, terus berubah air muka anak dara cantik ayu ini seperti seekor kucing meminta belas kasihan: “Abang boleh tolong saya tak bang?”

Dengar saja anak dara cantik ayu ini memanggil aku sebagai abang, serta-merta tersengih-sengih aku sambil mengubah nada suara seperti suara Buyong (suara Buyong macho ooo… macam suara Jamal Abdillah, serius!).

Dafi : Boleh-boleh-boleh! Cik adik nak abang tolong apa?

Sayu saja mukanya sambil tangannya menuding ke arah sportrim kereta, “Tayar kereta mak saya ni bocorlah bang.”

Dengar saja ayat: “Tayar kereta mak saya bocor…” serta-merta hilang terus suara macho aku kerana menyangka kereta BMW ini kepunyaannya dan, terus hilang juga panggilan cik adik untuknya.

Dafi : Mana yang bocor aẃak? Saya tengok okay jer.

“Tayar kat belah kiri sana aẃak!” sambil tangannya menuding bahagian trunk kereta bahagian kiri.

Dafi : Ooo… okay-okay, saya parking motor jap.

Aku melompat turun dan, menuntun skuter ke belakang kereta dan, parkir skuter berhampiran lampu belakang di kiri kereta.

Selepas menurunkan tongkat skuter, aku terus berjalan mendekati bahagian tayar yang bocor.

Dafi : Hmm… dalam trunk ada tayar spare kan!

“A’ah ada!” pendek saja jawapannya sambil menekan remote (kunci kereta) hingga trunk ternganga.

Setelah trunk ternganga maka, terkial-kial aku mengeluarkan tayar spare dan juga, perkakas untuk membuka sportrim kereta dari trunk.

Selepas meletakkan semua perkakas di tepi tayar kereta yang bocor, aku pun mula bersenam (mengerah kudrat) ingin menanggalkan sportrim kereta yang bocor.

Sedang aku tertonġġeng-tonġġeng menanggalkan sportrim kereta, tiba-tiba anak dara cantik ayu ini bertanya: “Aẃak! Nama aẃak siapa?”

Dafi : Panggil jer Dafi.

“Hmmm… nama saya, Eyka!” sambil mengukirkan senyuman yang manis, Eyka terkebil-kebil melihat aku sudah berpeluh tertonġġeng-tonġġeng menanggalkan sportrim.

Dafi : Eyka tunggulah kat dalam kereta, nanti dah siap, saya bagi tahu.

Eyka : Eh! Saya nak tengoklah aẃak bukak tayar. Saya tak pernah tengok.

Sebenarnya sejak dari Eyka menahan aku ingin meminta tolong, awal-awal firasat aku mengatakan anak dara cantik ayu ini tentu umurnya sebaya dengan aku dan, firasat aku sememangnya tidak salah kerana diperkuatkan lagi dengan fiilnya yang suka memerhati; “Kalau Eyka ni umurnya akak-akak, tentu macam-macam soalan akan ditanya macam perangai inspaktor polis. Arghhh… semak arr kepala kalau kena tanya macam-macam soalan.”

Aku meneruskan senaman membuka tayar kereta yang bocor, tanpa berbual mesra dengan Eyka kerana aku memang tidak pandai jual minyak (mengurat anak dara).

Setelah aku memasukkan tayar spare ke ruang rompong di sisi trunk kereta, aku ambil skru yang dilonggokkan di atas jalan tar dan, memutarkan skru hingga skru rapat di sprotrim. Dari satu skru ke satu skru aku ambil dan, putar menggunakan tangan merapatkan skru di sprotrim, tup-tup-tup skru tak cukup satu.

Dafi : Eh! Mana pulak pergi lagi satu skru ni?

Menggagau kepala aku memerhatikan jalan tar, mencari satu skru yang tiba-tiba hilang. Eyka yang berdiri berhampiran aku, sama-sama memerhatikan jalan tar, mencari skru.

Eyka : Kat bawah kereta kot ẃak!

Terkocoh-kocoh aku menonġġengkan punġġung hingga kepala (mata) aku dapat melihat bawah kereta, terperanjat aku melihat ada sepasang kaki tanpa selipar berdiri di tengah-tengah kereta bertentangan menghadap kereta!

Dari tertonġġeng, terkocoh-kocoh aku bingkas bangun ingin melihat siapakah gerangan sepasang kaki yang berdiri menghadap kereta di sebelah kanan kereta?

Eyka : Aẃak! Kenapa ẃak?

Dafi : Eyka, aẃak ada nampak tak…

Aku tidak habiskan kata-kata terus menonong berjalan ke sebelah kanan kereta ingin memastikan mata aku mustahil tersilap melihat.

Sampai saja di sebelah kanan kereta (di penjuru lampu belakang), tidak terlihat pun ada seseorang berdiri mahupun, bergurau menyorokkan badannya di sebalik atau di kanan tepi kereta.

Eyka : Aẃak nampak apa?

Dafi : Takde apalah Eyka‽ Tadi saya nampak macam ada kuncing.

Eyka : Kucing!

Dafi : A’ah kucing!

Aku berjalan semula ke arah Eyka yang berdiri berhampiran trunk (bahagian sprotrim kena tanggal) dan, ingin mengambil satu skru yang degil boleh bergolek masuk ke bawah kereta dan, skru yang degil itu tidak jauh pun bergolek, masih boleh diambil menggunakan tangan.

Aku mengukirkan senyum manis walaupun aku sedar, senyuman yang aku ukirkan kepada Eyka adalah senyuman menyembunyikan rasa cuak sebelum aku menonġġengkan punġġung ingin mengambil skru degil tersebut. Terlihat saja bawah kereta, dalam keadaan menonġġeng, membuntang mata aku melihat sepasang kaki yang sama, berdiri bertentangan menghadap kereta!

Terkocoh-kocoh aku ambil skru degil tersebut dan, semasa terkocoh-kocoh mengambil skru tersebut, sempat aku melihat sepasang kaki yang sama kakinya pucat ada beberapa tompokan lembam merah serta calar-balar, berdiri bertentangan menghadap kereta, sepasang kaki itu melangkah ke kanan menuju ke arah hood (bonet depan kereta).

Serta-merta aku menggelabah bingkas bangun ingin melihat ke arah hood kereta. Melihat aku menggelabah bingkas bangun memandang ke arah hood kereta BMW ibunya, bertalu-talu Eyka bertanya.

Eyka : Aẃak nampak apa? Aẃak cari apa? Kucing kē? Cuba bagi tahu saya betul-betul!

Dafi : Eh! Takde apalah Eyka‽ Saya nak siapkanlah pasang sportrim ni, lagi sikit jer.

Terkocoh-kocoh aku mencanġkung ingin menyelesaikan pertolongan ikhlas memasang tayar spare di kereta kepunyaan ibu Eyka. Tergesa-gesa tangan aku memutar skru yang degil pada nat yang terjojol di celah sprotrim dan, lincah aku ambil perkakas pemutar skru untuk merapatkan kesemua skru di sprotrim.

Sedang aku memutarkan perkakas pemutar skru, merapatkan kesemua skru di sportrim, terkebil-kebil aku melihat Eyka berjalan menuju ke arah hood kereta sambil memerhatikan suasana hening nan sunyi di Jambatan Putra, tanpa adanya dua-tiga ketul kenderaan mundar-mandir melintasi jambatan.

Eyka : Chik~ chik~ chik~ chik~ chik~

Terkebil-kebil aku melihat Eyka sepontan saja bertalu-talu membunyikan decitan memanggil kucing, serta-merta aku terus bersungut di dalam hati; “Adoiii… dia ni lurus bendul betul larr, boleh pulak selamba je panggil kuncing. Aku bukan nampak kucing larr Eyka!”

Setelah membunyikan decitan memanggil kucing dan, tiada pun seekor kucing gelandangan berdesup menerpanya, Eyka berjalan mendekati aku yang sudah pun merapatkan kesemua skru sportrim.

Eyka : Aẃak, kat jambatan ni kita berdua je, kucing takde taw. Cuba aẃak jujur kat saya bagi tahu apa yang aẃak nampak?

Perkakas permutar skru yang masih berada di tangan, terkocoh-kocoh daripada merapatkan skru, kini aku mengetatkan pula kesemua skru sportrim. Selepas yakin kesemua skru sprotrim sudah ketat, tergesa-gesa aku memutarkan jack menurunkan body kereta dan, tidak menjawab pun pertanyaannya.

Eyka : Aẃak, sebelum aẃak datang tolong. 15 minit taw saya berdiri kat luar kereta, saya tak nampak pun kuncing.

Lincah aku mengerah kudrat mengetatkan lagi kesemua skru di sportrim selepas menurunkan jack (menurunkan body kereta).

Eyka : Aẃak cuba jujur kat saya, apa yang aẃak nampak?

Dalam keadaan mencanġkung, terkebil-kebil aku memandang Eyka kerana memikirkan, kenapalah perkataan “jujur” dilafazkan sedangkan perkataan ini adalah perkataan mauṫ untuk pasangan yang sedang hangat bercinta tetapi, terkantoi main kayu tiga? (Aku dan Eyka bukan pasangan kekasih, belum bercinta saling mencintai lagi woi!)

Terkial-kial aku mengangkat sportrim tayar yang bocor dan, meletakkannya ke dalam trunk, sesudah selesai memasang tayar spare.

Dafi : Tadi masa saya nak ambek skru, saya nampak ada kaki kat belah sana.

Eyka : Kaki!

Selepas meletakkan sportrim (tayar spare) ke dalam trunk, aku ambil dan angkut semua perkakas yang sudah seleasi digunakan untuk membuka sportrim dan, letak ke dalam trunk.

Dafi : A’ah kaki! Dua kali saya nampak, tapi masa saya cari kat belah sana, takde.

Selepas sumbat kesemua item yang menyebabkan aku bermandi berpeluh seperti bersenam di malam hari ke dalam trunk, aku pun menutup trunk dan, terkebil-kebil melihat air muka Eyka sudah berubah cuak.

Eyka : Aẃak, kita berdua je taw kat sini. Kaki siapa yang aẃak nampak?

Dafi : Saya kalau boleh memang tak nak bagi tahu kat aẃak, sebab tu saya cakap nampak kucing je, tapi aẃak ni asyik memaksa je, terpaksalah saya bagi tahu jugak.

Eyka : Aẃak, kaki siapa tu?

Dafi : Saya tak tahu. Tapi saya memang nampak kaki, kaki tu ada lebam-lebam merah ada calar-balar.

Daripada air muka berubah cuak, Eyka sekarang ini menggeletar ketakutan.

Eyka : Aẃak, kaki tu nak ikut saya balik rumah kē?

Serta-merta berderau daṛah aku mendengar ayat yang sepatutnya tidak dilafazkan tetapi tanpa disengajakan, Eyka terlepas cakap: “…, kaki tu nak ikut saya balik kē?”

Dafi : Ishhh… mulut aẃak ni boleh tahan jugak.
Eyka : Aẃak macam mana ni? Saya takutlah.

Melihat keadaan Eyka yang menggeletar memang tidak boleh disorok ketakutannya selepas mengetahui, ada sepasang kaki misteri datang menyinggah mengusik kita orang berdua, sedangkan kita orang berdua bukanlah pasangan romantik bercinta seronok bermadu asmara malah, tidak buat pun perkara yang bukan-bukan di Jambatan Putra.

Dafi : Kat dalam kereta mak aẃak, ada air mineral tak?

Eyka : Ada-ada-ada! Kat seat belakang.

Dafi : Fuhh… nasib baik ada air mineral.

Melihat keadaannya yang menggeletar, memang sahlah aku yang kena ambil air mineral, terkocoh-kocoh aku mendekati pintu kereta, di saat yang sama Eyka mengekori rapat di sisi aku semasa aku membuka pintu kereta (seat belakang).

Tersenyum aku melihat sebotol air mineral sudah pun berada di tangan, belum dibuka tudungnya (belum diminum).

Eyka memerhatikan aku melafazkan kalimah bismillah dan, membuka tudung air mineral.

Selepas membuka tudung air mineral, aku mula membaca surah al-Fatihah sampai ke akhir ayat dan, perlahan-lahan meniup ke air.

Selepas membaca surah al-Fatihah, aku membaca pula surah tiga serangkai iaitu tiga Kul sampai ke akhir ayat dan, perlahan-lahan meniup ke air.

Selepas membaca surah tiga serangkai yakni tiga Kul, aku membaca pula ayatul Kursi dan, semasa membaca ayatul Kursi, berdebum-debum bunyi hentakan bertubi-tubi hingga menggegarkan kereta BMW kepunyaan ibu Eyka.

Memang terperanjat melihat kereta dihentak bertubi-tubi, terkocoh-kocoh aku dan Eyka berlari ke seberang jalan, menjauhi kereta kerana terkesima melihat kereta bergegar-gegar, memang sedang dihenyak bertubi-tubi oleh sesuatu dari alam sebelah.

Aku mengulang semula membaca ayatul Kursi kerana tergendala semasa terperanjat melihat kereta bertubi-tubi dihenyak. Semasa aku mengulang semula ayatul Kursi, terkebil-kebil aku melihat kereta terus-menerus bergegar dihenyak manakala, Eyka yang berdiri di sisi aku, anak dara ini menangis dengan memejamkan matanya kerana terlampau takut.

Menghampiri saja ayatul Kursi yang sedang aku baca menuju ke akhir ayat, semakin rancak kereta bergegar-gegar dihenyak-henyak oleh makhluk alam sebelah seperti sedang rancak menari-nari; “Kurang ajar betul puaka kat Jambatan Putra ni! Aku baca ayat Kursi, dia boleh seronok menari-nari haẃau!”

Selesai saja ayatul Kursi yang aku baca sampai ke akhir ayat, serta-merta hilang henyakkan Si Puaka Jambatan Putra bertubi-tubi melanyak kereta dan, sempat lagi Si Puaka itu melepaskan satu tandangan yang kuat hingga jatuh terlentang skuter aku; “Cis! Menyempat lagi kau lepaskan geram hayun sedas penerajang kat skuter aku ye!”

Selepas meniupkan bacaan ayatul Kursi di air mineral, aku mula melangkah mendekati kereta tetapi, langkah aku terhenti.

Dafi : Eyka, jom Eyka!

Perlahan-lahan Eyka membuka matanya yang sudah nampak membengkak merah kerana menangis, terkocoh-kocoh anak dara ini berjalan mendekati aku yang menantinya dan, kita orang berdua sama-sama berjalan mendekati kereta.

Terkebil-kebil kita orang berdua melihat banyak kesan tompokan hitam berbentuk telapak kaki merata-rata berbekas di atas kereta. Walaupun dihenyak bertubi-tubi hingga bergegar-geger kereta tetapi, langsung tiada lekukan kemik di atas kereta kecuali, hanya tompokan telapak kaki saja.

Dafi : Aẃak, kat dalam kereta ada kain buruk tak?

Eyka : Ada-ada-ada! Kat dalam trunk.

Terkocoh-kocoh Eyka mengeluarkan kunci dari poket seluarnya dan, menekan remote button, serta-merta trunk pun terbuka.

Aku meletakkan air mineral di atas bumbung kereta dan, Eyka ambil kain buruk di dalam trunk, terus terkocoh-kocoh aku membingkaskan skuter yang jatuh terlentang diterajang oleh Si Puaka; “Cis!”

Aku ambil kain buruk yang Eyka hulurkan dan, aku mula menggosok kain buruk ingin menghilangkan tompokan telapak kaki yang berbekas di body kereta.

Gosok punya gosok, terkebil-kebil aku melihat tompokan telapak kaki itu tidak mahu menghilang, dari menggosok aku menyenyeh kain buruk ingin menghilangkan banyaknya kesan tompokan tapak kaki; “Dah tenyeh, tak mahu jugak hilang kaw!”

Eyka : Aẃak, macam tak mahu hilang jer.

Dafi : Takpe-takpe, saya cuba lagi.

Aku sambung menyenyeh tup-tup-tup ditakdirkan hujan gerimis tiba-tiba jatuh merintik-rintik sedang aku tekun menyenyeh tompokan tapak kaki; “Alhamdulillah.” mudah saja tompokan tapak kaki itu menghilang kerana dibasahi gerimis mengundang maka, tidak perlulah aku menggunakan air mineral yang sudah ditiupkan bacaan ayat suci untuk menghilangkan tompokan tapak kaki Si Puaka yang bersemayam di Jambatan Putra.

Lebih kurang lima minit, aku menggosok kain buruk menghilangkan kesemua tompokan tapak kaki dengan dibantu oleh gerimis mengundang.

Dafi : Okay aẃak! Tapak kaki dah hilang, aẃak dah boleh balik dah.

Eyka : Aẃak, saya takutlah nak drive sorang-sorang.

Dafi : Kalau aẃak takut, nah ambek air ni! Air kuatkan semangat. Saya dah baca-baca dah.

Eyka : Aẃak, saya takutlah.

Melihat air muka Eyka berubah monyok macam sipi-sipi nak menjuraikan kesyahduan tangisan.

Dafi : Okaylah-okaylah, saya follow aẃak larr kat belakang sampai kat depan rumah aẃak. Uuu-uh dia ni mengada-ngada!

Eyka : Thanks aẃak.

Dafi : Rumah aẃak jauh tak?

Eyka : Dekat je kat Putrajaya ni.

Dafi : Hmm… nasib baik kat Putrajaya, kalau kat Balakong, boleh kematu bontọt saya nak balik sorang-sorang.

Eyka : Hehehe… skuter aẃak boleh bawak laju kan!

Dafi : Boleh! Tapi malam-malam, saya tak bawak laju.

Eyka : Kenapa?

Dafi : Sejuk!

Eyka : Oooo…

Kerana tidak mahu melihatnya merasa terlampau takut hingga menangis meraung-raung kena memandu kereta dalam keadaan cuak tanpa berteman, pada malam itu pasrah sajalah aku mengekori kereta BMW kepunyaan ibunya yang dipandu selaju 40km/jam oleh Eyka hingga sampai di depan rumahnya dan, melihat saja anak dara cantik ayu ini mencecet berlari masuk ke dalam rumahnya, barulah aku menunggang skuter balik ke rumah.

Seronoknya berkaraoke menunggang skuter.
Tiba-tiba ditahan oleh anak dara di tepi jalan.
Belum habis cerita seram menyentil komputer.
Kenangan istimewa nakal mencumbu khayalan.

Maaflah kerana aku memang tidak pandai berpantun dan, pantun yang aku bubuh ini sebenarnya melunaskan idea yang sangat bernas dari Buyong mengesyorkan kepada aku, bubuhlah sedikit pantun tup-tup-tup tajuk yang sepatutnya kena bubuh serta-merta ajaib ghaib menghilang; “Wow magic!”

“Ring~~ ring~~ ring~~ ring~~ ring!~~” telefon Nokia 3310 berdering di atas meja.

Aku capai telefon dan, melihat skrin telefon, tertera nama orang yang aku kenal iaitu, Abang Long.

Berkerut kening aku sambil “Tik!” menekan accept button menyambut panggilannya.

Dafi : Assalamualaikum Abang Long.

Abg Long : Waalaikummussalam. Chu!

Dafi : Ye!

Abg Long : Kau free tak Chu?

Dafi : Free.

Abg Long : Kalau free, kau datang rumah aku sekarang.

Dafi : Datang rumah Abang Long!

Abg Long : A’ah! Datang rumah aku sekarang!

Dafi : Kenapa?

Abg Long : Ambek gitar kau larr hangguk! Dah siap!

Dafi : Ooooooo… gitar dah siap hek. Hahahaha! Okay-okay saya datang sekarang.

Lincah aku capai kunci, terkocoh-kocoh keluar dari rumah, terus melompat naik atas skuter, nyalakan gegaran enjin dan, berdesup aku menunggang skuter pergi ke rumah Abang Long.

Jam 4:14 minit petang, meluru skuter yang aku tunggang masuk ke halaman rumah Abang Long yang lengang kerana keretanya tiada terparkir (Kak Long keluar bawa kereta), lincah aku melompat turun dari skuter terus mengucapkan salam.

Dafi : Assalamualaikum~~ assalamualaikum~~

Pintu pun ternganga, Abang Long pun keluar menyambut kedatangan aku yang lincah menunggang skuter macam pelesit kota.

Abg Long : Waalaikummussalam.

Di depan pintu rumah, Abang Long lincah melentukkan sedikit kepalanya memberikan isyarat: “Jom masuk ke dalam rumah!” tapi, isyarat yang diberikan sangatlah aku faham cenderung kepada maksud: “Jom follow Abang Long gi studio!”

Melangkah masuk saja ke dalam studio, membuntang bulat mata aku melihat gitar Ibanez yang patah rebung, elok molek terpacak berdiri di tengah-tengah studio.

Dafi : Wow Abang Long! Betul kē ni gitar yang saya kutip tu?

Abang Long menjongketkan sebelah kanan keningnya sambil tersengih-sengih perhatikan reaksi muka aku yang sangat teruja, membuntang bulat, melopong ternganga melihat gitar.

Abg Long : Ye arr gitar yang kau kutip kat Jalan Kepayang tu arr.

Dafi : Boleh saya pegang tak gitar ni Bang?

Abg Long : Eh! Kau mintak izin kat aku pulak, ni gitar kau larr hangguk!

Dafi : Huishhh… Bang, terbeliak saya susah betul nak caya, gitar ni gitar saya.

Abg Long : Ishh… kau ni, tengok gitar pun tebiat macam tengok anak dara bọgel je kat depan mata.

Dafi : Hahahahahahaha!!

Tersengih-sengih aku mengusap-usap tanjak gitar yang tersandar di atas pelandas, terus mengangkatnya dari pelandas dan, menyarungkan selempang ke bahu seperti menggendong bayi.

Dafi : Bang, boleh tak saya nak try dengar bunyi gentel gitar ni?

Abang Long capai rokok Dunhill di atas equalizer, keluarkan sebatang, menyalakannya dan, duduk di atas kerusi beroda lapan, asap rokok pun dihembus, serius matanya memandang muka aku yang kelihatan teruja asyik tersengih-sengih macam kerang rebus dirambu-rambu serai.

Abg Long : Aku rasa, lebih afdal kau bawak balik gitar ni, kau gentel puas-puas kat bilik tidur kau.

Dafi : Ehhh… kenapa alih-alih jadi kedekut Haji Bakhil pulak ni bang?

Abg Long : Bukan sebab kedekut bakhil Chu.

Dafi : Abis tu!?

Abg Long : Gitar yang kau kutip ni mengusik aku, kau tahu tak!?

Serta-merta hilang terus tersengih-sengih macam kerang rebus dirambu-rambu serai di wajah aku kerana sangat faham akan maksud “mengusik” yang Abang Long katakan.

Dafi : Serius arr gitar ni mengusik.

Abg Long : Serius! Gitar ni mengusik!

Dafi : Mengusik macam mana tu bang?

Aku mengundurkan kaki dan, terus duduk di bibir sofa tanpa bersandar kerana ingin tahu perincian maksud mengusik yang Abang Long katakan.

Abg Long : Kau datang sini bawak gitar tu waktu Maghrib kan!

Dafi : Ye bang.

Abg Long : Lepas kau tinggalkan gitar tu kat sini, kau balik rumah kan!

Dafi : Ye bang.

Abg Long : Malam! Pukul 12 gitar tu mengusik!

Dafi : Mengusik macam mana tu bang?

Abg Long : Gitar tu mengusik ceritanya macam ni……

Serta-merta suasana studio bergoyang-goyang memancarkan cahaya kuning seperti adanya satu generator mesin masa tiba-tiba menyala dan, kembali semula ke waktu malam, semasa gitar Ibanez seven string yang patah rebung ini berada di studio Abang Long.

Pada jam 12:12 minit malam, Abang Long duduk sesorang di ruang tamu menonton VCD ceramah dari syarahan Ustaz Ashaári Muhammad, imam yang memimpin jemaah Al-Arqam, sebelum aurad Muhammadiah diharamkan oleh mufti di seluruh Malaysia, meloncat-loncat mufti mendesak Doktor Mahathir gunakanlah kuasa undang-undang mengharamkan jemaah Al-Arqam pada tahun 1994. Walaupun Abang Long berjiwa rock tetapi, bab aqidah, syariat, fiqh dan, tasawuf mustahil diabaikan, mustahil terbengkalai.

Sedang khusyuk mendengar Ustaz Ashaári memberikan syarahan, tiba-tiba melompat terperanjat Abang Long di atas sofa kerana lengannya di sentuh oleh sesuatu.

Abg Long : Opocot!!!

Hampir bersilat Abang Long nak menghayunkan pukulan maṳt di ruang tamu kerana terperanjat.

Abg Long : Ya ALLAH, kenapa Zara tak tidur lagi ni?

Zara yang berdiri di tepi sofa, terkebil-kebil bersama kegebuan teddy bear dalam pelukannya dan, membiarkan ayahnya mengusap-usap rambutnya (Zara).

Zara : Aỳah, kat bilik gitar ada Pak Chu kē?

Abg Long : Pak Chu!

Zara : Zara dengar bunyi gitar, Zara bukak pintu tak boleh, Pak Chu kunci Ỳah.

Abg Long : Pak Chu kunci! Pak Chu kat rumah atuk larr Zara.

Zara : Bukan atuk! Pak Chu! Pak Chu kat bilik gitarlah Ỳah. Zara dengar.

Tersenyum Abang Long melihat anaknya tidak faham apabila ada dua nama bergabung dalam satu ayat, akan tetapi ayahnya betul-betul faham kata-kata anaknya yang menimbulkan satu misteri.

Abg Long : Dah-dah-dah jom gi tidur.

Terkocoh-kocoh Abang Long terus bingkas bangun dari sofa, memadamkan TV dan CD player. Zara pun terus dituntun masuk ke bilik kelamìn ayah ibunya dan, Zara tidak tidur berasingan di biliknya kerana Abang Long khuatir akan semangat anaknya ada potensi menjadi kacau-bilau diganggu oleh sesuatu yang misteri tiba-tiba bersamayam di studio.

Selepas angkat dan membaringkan Zara di atas katil di sebelah Kak Long (ibunya), Abang Long pun keluar dari bilik kelamìn, ingin pergi menyiasat hal misteri yang baru saja berlaku kepada anaknya.

Sampai saja di depan pintu studio, memang betul pintu studio rapat tertutup tetapi, terkebil-kebil Abang Long dapat dengar bunyi gitar elektrik dipetik secara tertib menghasilkan melodi seperti gesekan biola.

Disebabkan seluruh dinding hingga siling di dalam studio dilekatkan dengan lapikkan sponge yang dikemaskan dengan menyarungkan kain perca berwarna-warni maka, sebarang bunyi di dalam studio hanya boleh didengari jika berdiri dekat di depan pintu studio.

Lincah Abang Long terus memulas tombol pintu, terkocoh-kocoh menolak pintu hingga ternganga!

Serta-merta bunyi melodi seperti gesekan biola terus menghilang dalam keadaan terngiang-ngiang di dalam studio seperti bunyi saki-baki dengungan di dalam gua.

Terperanjat Abang Long melihat ada sesuatu berpusing-pusing di tengah-tengah studio kerana biasan cahaya LED di panel equalizer menyala kecuali, lampu di dalam studio saja tidak menyala.

Terkoch-kocoh Abang Long menekan suis menyalakan lampu di siling studio, ingin melihat apakah sesuatu yang sedang berpusing-pusing di tengah-tengah studio?

Menyala saja lampu di dalam studio, terlihatlah sesuatu yang berpusing-pusing itu hanyalah kerusi beroda.

Abg Long : Fuhhh… kerusi rupanya.

Lincah Abang Long mendekati kerusi beroda yang masih berpusing-pusing ingin menghentikannya daripada terpusing-pusing setempat di depan equalizer.

Di atas kerusi beroda, terlihatlah gitar Ibanez yang masih patah rebung, terlentang di atas kerusi.

Abg Long : Perghhhhh… rockers puaka mana pulaklah gentel gitar ni?

Melihat sendiri di depan mata, misteri gitar Ibanez patah rebung boleh menghasilkan melodi dalam keadaan tertib seperti tidak patah rebung, terkocoh-kocoh Abang Long angkat gitar tanpa terlupa tanjaknya sekali dan, sumbat ke dalam almari di penjuru studio, lincah memulas kunci hingga rapat terkunci pintu almari dan, mencampakkan kunci di atas sofa.

Seterusnya panel equalizer yang menyala dipadam dan, Abang Long terkocoh-kocoh keluar dari studio tanpa terlupa menekan suis memadamkan lampu di siling studio serta menutup pintu studio.

Abg Long : Adoiii… gitar puaka apalah yang Chu kutip ni?

Selepas memasung gitar Ibanez patah rebung berpuaka di dalam almari, Abang Long masuklah ke bilik tidur dan, tidurlah sekatil bersama Zara dan ibunya (Kak Long).

Disangka hanya gerimis merintik-rintik di malam hari, rupa-rupanya gempa bumi menggegarkan Abang Long yang sedang nyenyak tidur pada malam itu.

Sedang nyenyak tidur, Abang Long terkebil-kebil melihat seorang lelaki berpakaian serba hitam berada di dalam mimpi, rambutnya panjang menggerbang dalam keadaan kulit mukanya hancur sebelah hingga menampakkan daging-daging di mukanya terjuntai merah berdaṛah-daṛah.

Di bahagian kulit mukanya yang hancur sebelah, terlihatlah mata kirinya terjegil bulat tidak boleh dikedipkan kerana kelopak matanya tiada atau tertanggal semestinya tercicir tanpa diketahui puncanya dan, rambut di atas telinga kirinya yang lunyai terlihat toġel sebanyak empat jari kehilangan rambut.

Abang Long menamakan lelaki bermuka hancur sebelah yang datang dalam mimpinya sebagai, Rawkabela.

Walaupun muka Rawkabela memang nampak sangat menyeramkan, terlihat kedua-dua kakinya tidak tersarung kasut, senang cerita berkaki ayamlah Si Rawkabela datang dalam mimpi Abang Long.

Rawkabela yang datang dalam mimpi, terlihat berdiri jauh dari Abang Long sejauh 18 depa tangan orang dewasa.

Pada jarak 18 depa, terlihat Rawkabela menyeluk tangan kirinya ke poket seluar jeansnya mengeluarkan sesuatu, tiba-tiba keluar asap dari mulutnya dan, Rawkabela mula melangkah menuju ke arah Abang Long yang tercegat berdiri tanpa boleh berlari ke kiri atau, berlari ke kanan atau, berlari ke belakang kecuali, hanya tercegat berdiri saja melihat Rawkabela sedang berjalan menuju ke arahnya (Abang Long).

Semakin Rawkabela mendekati semakin tebal asap yang keluar dari mulutnya. Lebih kurang lima depa menuju ke Abang Long, serta-merta suasana di dalam mimpi berubah menjadi studio yang sama seperti studio di rumah Abang Long.

Tup-tup-tup Rawkabela berhenti melangkah pada jarak hanya tiga depa saja di depan Abang Long dan, terlihatlah berkepul-kepul asap yang keluar dari mulutnya ialah asap rokok dan, sebatang rokok terselit di celah-celah bibirnya (Rawkabela).

Sedang menghembus berkepul-kepul asap rokok yang baunya seperti pacai, Rawkabela mendekati sisi almari di dalam studio dan, lincah menghayunkan satu penerajang yang sangat deras dan kuat: “Berdebummmm!” serta-merta pintu almari terpelanting jatuh ke lantai.

Selepas menanggalkan pintu almari dengan cara biadab, Rawkabela menjelingkan matanya menyeringaikan senyumannya ke arah Abang Long dan, mengambil gitar Ibanez yang kelihatan elok sempurna tidak patah rebung.

Di depan almari, selempang pun disarungkan ke bahu seterusnya Rawkabela menggendong gitar dan, mendekati kerusi beroda, lincah kaki kanannya menghayunkan satu tendangan yang manja pada kerusi hingga kerusi bergerak dan, perlahan-lahan berhenti di depan Abang Long.

Rawkabela menghembus asap rokok berbau pacai sambil tangan kanannya menuding ke arah kerusi dan, fahamlah Si Rawkabela ini mahukan Abang Long menyemayamkan punġġung di kerusi maka, terkocoh-kocohlah Abang Long duduk di kerusi.

Selepas melihat Abang Long duduk di kerusi menghadap Rawkabela, jarinya mencepit puntung rokok yang masih menyala, mencabut rokok yang terselit di celah bibirnya dan, menjentik puntung rokok hingga menabrak equalizer, serta-merta panel equalizer menyala walaupun puntung rokok tidak menabrak suis equalizer.

Sesudah menyala saja equalizer, Rawkabela memegang rambut di belakang kepalanya mengalihkan segumpal rambutnya hingga menutup muka kirinya yang merah berdaṛah terjuntai daging berdaṛah-daṛah.

Selepes menutup mukanya kirinya yang menyeramkan, Rawkabela menyeluk tangan kanannya ke poket seluar dan, mengeluarkan satu genggaman penumbuk dari poket seluarnya lincah mengacukan genggaman penumbuknya ke arah Abang Long.

Berdebar-debar Abang Long melihat Rawkabela mengacukan genggaman penumbuk yang padu.

Rawkabela menjegilkan matanya dan, melepaskan tiga jarinya (jari kelengkeng, jari manis dan, jari hantu) daripada genggaman penumbuknya serta-merta jatuh berdenting-denting duit syiling ke lantai: “Ting-ting-ting-ting-ting!”

Terus lincah sekeping duit syiling yang terselit di celah-celah jari telunjuk dan ibu jarinya, Rawkabela menggeselkan kesemua tali gitar hingga bergema kuat bunyi chord D♯5 di dalam studio; “Grummmmmmm~~”

Berdesing telinga Abang Long kerana bunyi gemaaan yang kuat dari gitar sedangkan kabel terlihat, tidak terjolok pun di output speaker yang elok tersusun di tepi dinding.

Dari geselan pertama pada kesemua tali gitar, Rawkabela mula memetik tali gitar hingga menghasilkan melodi yang sungguh asyik dan mengkhayalkan hingga terlihat Si Rawkabela terhuyung-hayang di tengah-tengah studio seperti melayang-layang menari-nari mengikut irama petikan gitar yang dialunkan.

Mendengar bunyi petikan gitar yang dialunkan oleh Rawkabela hingga menjelma keasyikan bunyi dari chord yang kedengaran tertib tetapi, memiliki elemen keanehan pada bunyi irama gitar hingga Abang Long khayal dalam kekhusyukan mendengar melodi gitar penuh verstail, merangkumkan dua irama iaitu, gazal dari apresiasi seni budaya Arab dan keroncong dari apresiasi seni budaya alam Melayu.

Petik punya petik, gentel punya gentel, terhuyung-hayang seperti menari punya menari, Rawkabela memperlahankan kerancakan alunan tali gitar tup-tup-tup serta-merta berhenti memetik tali gitar dan, Abang Long pun terkebil-kebil perhatikan Si Rawkabela berjalan ke arah almari, melucut selempang dari bahunya dan, meletakkan kembali gitar ke dalam almari.

Sedang Rawkabela meletakan gitar ke dalam almari, terkebil-kebil Abang Long melihat pintu almari yang tadinya terpelanting hingga jatuh ke lantai kerana sisi almari diterajang, kini pintu almari elok saja ternganga di bingkai almari.

Rawkabela yang masih berdiri di depan almari selepas meletakkan kembali gitar ke dalam almari, serta-merta memegang pintu almari dan, tangan kanannya mula menulis sesuatu di sebalik pintu almari, terdengarlah bunyi gonyohan duit syiling menggarit pintu kayu almari.

Selepas menulis sesuatu di sebalik pintu almari, Rawkabela menghempas pintu almari; “Berdebummm!” hingga tertutup rapat dan, terus menonong berjalan menuju ke dinding tup-tup-tup berhenti di depan dinding studio dan, perlahan-lahan memusingkan badannya menghadap ke arah Abang Long yang masih terkebil-kebil bersemayam di kerusi. Rawkabela tersenyum menyeringai dan, menjentik duit syiling di jarinya hingga melambung tepat menuju ke dahi Abang Long tup-tup-tup lincah tangannya menangkap duit syiling yang melambung sebelum jatuh bertepek melekat di dahi.

Dapat saja menangkap duit syiling yang dijentik oleh Rawkabela, serta-merta Abang Long tersedar dari mimpi, berpeluh-peluh dahinya, terkebil-kebil matanya memandang siling di bilik tidur yang samar-samar dikelam oleh lampu tidur di penjuru dinding hingga dapat merasa di dalam genggaman tangannya ada sekeping objek bulat.

Abang Long terus bingkas bangun dari katil, menurunkan kedua-dua kakinya di tepi katil, dalam keadaan duduk di tepi katil, perlahan-lahan membuka genggaman tangannya.

Terperanjat Abang Long, di telapak tangan kanannya ada sekeping duit syiling emas 50 sen, serta-merta matanya memandang ke arah jam di dinding, tepat 4:04 minit pagi.

Demikianlah kisah gitar Ibanez patah rebung mengusik Abang Long dari alam nyata hingga menerobos ke alam mimpi dan, generator mesin masa pun terpadam, serta-merta kembali ke suasana aku duduk terkebil-kebil di sofa, khusyuk mendengar cerita yang Abang Long syarahkan.

Dafi : Bang! Rawkabela tulis apa kat pintu almari?

Abg Long : Kau pergilah tengok sendiri!

Terkocoh-kocoh aku bangun dari sofa, terus menerkam pintu almari dan, menarik pintu almari hingga ternganga, serta-merta aku pun ternganga melihat huruf yang tertulis di sebalik pintu almari adalah huruf jawi.

Dafi : Bang! Apa yang Rawkabela tulis ni bang?

Abg Long : Kau tak pandai baca kē huruf jawi?

Dafi : Tak!

Abg Long : Aku pun tak pandai baca. Hahahahahaha!

Aku menutup pintu almari dan, duduk semula ke sofa sambil terkebil-kebil merenung gitar Ibanez yang tersandar di sofa.

Dafi : Bang, saya rasa saya nak pulangkanlah gitar ni.

Abg Long : Eh! Takyah pulangkan. Gitar ni okay, dah tak mengusik dah.

Aku terus terkebil-kebil dan terkebil-kebil merenung gitar sambil memikirkan sesuatu.

Dafi : Bang, saya rasa saya pernah tengok Rawkabela larr.

Abg Long : Ha! Kau pernah tengok dia!

Dafi : A’ah!

Abg Long : Dia datang kat mimpi kau kē?

Dafi : Tak!

Abg Long : Dah tu kau pernah tengok dia kat mana?

Dafi : Kat Jalan Kepayang.

Abg Long : Masa kau kutip gitar ni kau nampak dia!!?

Dafi : A’ah!

Abg Long : Macam mana kau tahu tu dia?

Dafi : Masa saya kutip gitar ni, saya nampak ada sorang lelaki rambut panjang tutup belah kiri muka dia, terpacak berdiri kat depan rumah!

Terkebil-kebil Abang Long memandang mata aku yang terkelip-kelip macam LED remote TV yang sudah biol.

Abg Long : Perghhhh… betul larr tu! Dia larr tu! Muka belah kanan okay, belah kiri, adoiiiii… seram giler oooo…

Dafi : Saya siap angkat tangan kat dia, siap mintak izin kat dia, tapi dia buat donno jer, perhatikan saya dari jauh, bang.

Abg Long : Kau mintak izin kat dia!

Dafi : A’ah!

Abg Long : Patutlah dia mengusik aku.

Terkocoh-kocoh Abang Long mengangkat panel equalizer, mengambil sesuatu dan, terus dihulurkan di depan hidung aku.

Abg Long : Nah-nah-nah! Kau ambek duit syiling emas ni! Aku tak nak! Aku tak nak dia mengusik aku lagi.

Dafi : Eh! Dia bagi kat Abang kan! Abang simpan larr.

Abg Long : Aku tak nak! Aku tak nak. Kau simpan! Kau simpan.

Melihat Abang Long menggelabah cuak, aku hanya terkebil-kebil mengambil duit syiling yang diberikan dan, menyelitkan duit syiling tersebut di dalam poket selempang.

Tup-tup-tup terdengar suara Zara menjerit-jerit memanggil ayahnya.

Zara : Ayah! Ayah! Ayah! Tengok ni mama belikan teddy bear baru.

Abg Long : Wow… gemuknya teddy bear ni.

Zara : Yelah, teddy bear mestilah gemuk, mama kata senang nak peluk.

Abg Long : Boleh tak ayah peluk teddy bear ni?

Zara : Tak boleh! Teddy bear ni Zara punya, kalau ayah nak, ayah belilah sendiri.

Abg Long : Amboi!…

Dafi : Hehehehe…

Terpontang-panting Zara berlari keluar dari studio sambil ketawa dengan memeluk teddy bear barunya yang Kak Long belikan.

Terus aku capai dan angkut gitar, bangun dari sofa mengekori Abang Long yang ingin keluar dari studio.

Abg Long : Lampu Chu! Off.

Dafi : Oh! Lampu.

Lincah aku menekan suis memadamkan lampu siling di dalam studio dan, menutup pintu studio.

Dafi : Bang, berapa saya nak bayar kat abang betulkan gitar ni?

Abg Long : Takyah-takyah! Takyah bayar, kau tu Pak Chu, takkanlah aku nak berkira pulak ngan kau.

Dafi : Terima kasih bang.

Abg Long : Demi family, no hal Chu!

Sampai saja di ruang tamu, aku terus meminta izin (meminta diri) pada Kak Long yang baru saja balik dari shopping.

Kak Long : Ha! Eloklah tu dah abis SPM dapat benda-benda laghor dari Abang Long kau!

Abg Long : Ishh… takdelah laghor sangat, gitar jer pun, bukan mesin judi.

Kak Long : You ni tiba-tiba berani pulak sebut pasal judi, you diam-diam ada main judi kē?

Abg Long : Eh! Ke situ pulak you ni.

Tersengih-sengih aku melihat Kak Long membuntangkan matanya marahkan Abang Long.

Zara : Mama-mama! Judi tu apa?

Kak Long : Judi tu hobi syaitan!

Zara : Oooo… syaitan. Syaitan tu jahatkan mama!

Kak Long : Ye…! Syaitan memang jahat.

Aku menghulurkan tangan kepada Kak Long, bersalaman dan, mencium tangan Kak Long sebelum beransur pulang dengan membawa kisah misteri Ibanez seven string.

Sebelum aku menamatkan kisah ini yang nampaknya sudah pun tamat, sebenarnya belum tamat kerana selepas Abang Long menggantikan bahagian patah rebung pada gitar Ibanez, bahagian patah rebung diberikan secara percuma kepada kawan-kawan (staf) kaki nombor ekor di pejabatnya.

Dengar cerita dari Abang Long, staf-staf kaki nombor ekor di pejabatnya enjoi-gonjol menang first prize sesudah melakukan ritual meminta nombor ekor dari keramat kayu Ibanez patah rebung. Cerita ini ada pada Abang Long dan, aku serahkan 100% kepadanya semoga dikurniakan kerajinan menulis cerita pasal ini jika ditakdirkan kisah yang aku tulis ini dibaca oleh Abang Long, moga-moga tergeraklah hatinya rela hendak menulis cerita pasal keramat kayu Ibanez untuk peminat kisah seram; “Itupun syaratnya kalau kisah yang aku tulis ni dibaca! Kalau Abang Long tak baca, memang takkan terbitlah cerita pasal keramat kayu Ibanez.”

Okaylah, sampai di sini sajalah kudrat dan iradat ketekunan aku selesai menulis akan tiga kisah di dalam satu tajuk dengan diempang oleh bait-bait pantun yang tidak semenggah.

Semoga kisah ini (selesai ditulis pada 11 August 2024) dapat menggembirkan kehidupan mereka yang baru berjinak-jinak dikurniakan hobi seronok membaca. Kepada mereka yang sudah lebur-debur bersama kekhusyukan hobi seronok membaca, teruskanlah membaca tanpa rasa jemu kerana membaca adalah nyawa kehidupan menelusuri realiti pasti tercumbu akan fantasi; “Peace out!”

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 57 Average: 3]
Dafi

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.