Merawat Pasangan Suami Isteri

Baru-baru ini, aku dihubungi oleh seorang sahabat lama. Dia menyampaikan hajat seorang lelaki yang ingin aku datang ke rumahnya untuk membantu. Katanya, sudah bermacam-macam usaha dilakukan, namun keadaan isterinya tetap begitu…murung, letih, mudah marah dan kerap pengsan. Bila aku tanya lebih lanjut, dia hanya menjawab ringkas,

“Aku rasa, ini bukan sakit biasa.”

Aku diam. Dalam diam itu, aku faham maksudnya.

Nama lelaki itu Pak Majid. Umurnya lewat 40-an. Isterinya, Kak Azie, pula baru mencecah awal 30-an. Aku tak bertanya banyak masa di telefon. Tapi waktu aku sampai di rumah mereka malam Jumaat itu, aku tahu, ini bukan kali pertama rumah itu menjadi medan rawatan.

Aku disambut dengan wajah cemas. Waktu aku melangkah masuk ke ruang tamu rumahnya, Kak Azie duduk diam di hujung sofa, mata pandang lantai. Tangan dia menggenggam erat hujung kain batik. Nafasnya turun naik.

“Maaf ustaz, saya dah tak tahu nak buat apa…”
suara Pak Majid sedikit bergetar.

Aku angguk perlahan. Aku tak menjawab, terus duduk di hadapan mereka.

“Saya mohon dengan sangat, tolong bantu isteri saya. Dia bukan macam ni dulu. Baru lepas kahwin dua bulan dah mula jadi lain.”

Aku cuma memandang Kak Azie. Dalam hati aku baca ayat pelindung. Tenang. Tangan aku ambil air mineral yang aku bawa dari kereta tadi. Aku suruh Pak Majid dan Kak Azie duduk rapat.

“Kak Azie, pejam mata. Jangan buka sampai saya suruh.”

Dia patuh.

Aku mula bacakan ayat Ruqyah perlahan. Surah Al-Fatihah, Al-Baqarah ayat 1-5, 255, 284-286, dan sambung dengan Surah Al-Mukminun ayat 115 ke atas. Baru 5 minit berlalu, Kak Azie mula menggigil. Kakinya bergoyang laju. Tangannya tiba-tiba mencakar lengan sendiri.

“Tahan tangan dia,” arah aku kepada Pak Majid.

Belum sempat dia pegang, Kak Azie menjerit.

“Sakit! Jangan sentuh aku! SAKIT!”

Aku diam sekejap. Aku pandang wajah dia.

“Siapa dalam badan ni?” soalku.

Dia ketawa. Matanya terbuka merah. Suara dia berubah garau.

“Kau siapa nak tanya aku?!”

Aku dah biasa. Aku ulang bacaan. Kali ni aku tekan Surah Al-A’raf ayat 117-122. Aku ulang-ulang.

“Sakit! Berhenti! Aku panas!!”

“Kenapa kau ganggu dia?” aku tanya.

“Sebab dia ambik laki aku!”

Aku terdiam.

“Dia rampas! Dia rampas jantan aku!”

Aku lihat Pak Majid dah pucat. Peluh jantan mengalir di dahi. Tapi aku teruskan.

“Siapa kau? Nama!”

“Rini! Aku RINI!”


Aku faham. Ini bukan gangguan suka-suka. Ini dendam. Aku teruskan bacaan dan tanya lagi.

“Macam mana kau boleh masuk?”

“Aku hantar! Aku sendiri! Aku cari bomoh… bomoh di Kelantan!”

“Bomoh mana?”

“Tok Wari! Dia bagi aku minyak! Aku sapu kat baju dia! Aku tanam rambut dia!”

Waktu itu, Kak Azie mula menangis. Tapi aku tahu itu bukan dia.

Aku pejam mata. Aku minta Allah tunjukkan padaku tempat rambut dan minyak itu ditanam. Bayangan tanah merah muncul. Ada kain kuning terikat di perdu pokok pisang. Aku buka mata.

“Barang tu ditanam bawah pokok pisang belakang rumah lama Rini. Betul?”

Kak Azie menggigil. Suara garau itu menangis.

“Jangan… jangan cabut… aku akan hilang…”

“Kau dah tak ada hak. Dia isteri yang sah. Kau ganggu dia, kau derhaka pada Allah!”

Aku bangun. Aku ambil segenggam garam kasar dan letak di tapak tangan Kak Azie.

“Aku ikat kau, wahai si pelaku sihir. Rantai besi api. Ketat. Panas. Terbakar!”

Tiba-tiba Kak Azie menjerit. Suara dia bukan lagi manusia.


“Sakit! SAKITTTT! Lepaskan aku!”

“Cabut sihir! Cabut sendiri sekarang! Kau yang tanam, kau yang buang!”

Dia mula sebut nama-nama. Benda-benda ghaib. Aku ulang bacaan Surah Yunus ayat 81. Kak Azie meraung sambil ‘mencabut’ dari badan dia sendiri… rambut, jarum, minyak. Semua ghaib. Tapi aku nampak. Aku tahu.

“Semua letak depan aku. Sekarang.”

Dia patuh. Aku ‘ambil’ semua dan letakkan dalam mangkuk garam tadi.

“Wahai sihir dan segala hasad dengki. Aku pulangkan kepada pelaku dengan keizinan Allah.”


Kak Azie pengsan. Pak Majid terus duduk di sebelah. Aku diam. Bilik kembali sunyi. Lama juga sebelum dia sedar.

“Apa jadi ustaz?” soalnya.

“Tak ada apa. Akak tidur.”

Dia tersenyum kelat.

“Tapi rasa… ringan…”

Aku tahu itu petanda baik. Aku berpesan pada Pak Majid,

“Nanti ambil wuduk tiap kali lepas waktu solat. Rumah ni, pasang surah Al-Baqarah setiap malam. Satu minggu. Jangan tinggal.”

Dia angguk.


Tiga hari kemudian, Pak Majid hantar mesej.

“Ustaz, Azie makin ceria. Dah boleh ketawa. Dah mula masak.”

Aku tersenyum. Dalam hati aku panjatkan syukur.

Tapi aku belum balas mesej tu.

Kerana malam tadi aku mimpi… ada seorang perempuan bertudung hitam, berdiri di tepi tingkap rumah aku. Mukanya aku tak nampak. Tapi suara dia…

“Kau yang pisahkan aku… Aku takkan lupa…”

Doa & Salam.
Semoga kita semua dilindungi daripada gangguan sihir dan hasad manusia.

Jangan terlepas cerita terbaru.

Akan terus dihantar ke email anda.

We don’t spam! Read our privacy policy for more info.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.