Assalamualaikum semua,
Seperti manusia-manusia normal yang lain, saya juga pernah terdengar cerita seram yang sebenarnya dirasai secara “real
life” oleh ummi saya sendiri. Kisah ni diceritakan secara terperinci oleh mak saya sebaik sahaja kami melalui pengalaman mistik dalam perjalanan kami untuk pergi bercuti bersama keluarga ( Macam tak kena dengan tempat, tapi tak apa lah.).
Kisah ini terjadi sekitar tahun 2019 dalam perjalanan kami menuju ke kampung halaman yang terletak di Pahang dan juga di Kelantan. Memang kena betul lah hari kami balik kampung tu, jalan sesak teruk. Tak lah terlampau teruk macam masa balik raya tu cuma, untuk elakkan kebosanan melampau, abah mengambil keputusan untuk melalui jalan LAMA.
Sebenarnya, saya tak ada sebarang masalah nak lalu ikut jalan lama. Memang tak ada rasa seram ke takut ke ape cuma risau tak jumpa tandas sebab saya ni agak besiaq jugak😂😂😂 lagi-lagi kalau duduk dalam tempat sejuk. Makin menjadi-jadilah. Tapi tak palah, sebab nak dapatkan pengalaman tu, pergilah jugak. Tak membantah.
Kereta kami pun meluncur masuk ke susur keluar jalan raya. Masa tu dah lewat, nak dekat maghrib. Ok, serious saya dah start seram sejuk. Disebabkan seram sejuk tu, apa lagi dik, nak terkencing lah jawabnya😜
Kami pon punyalah gigih nak cari mana tandas, dah lah kawasan hutan. Nasib kami jumpa satu kedai makan, tak lah besar tapi orang kat situ semua ramah-tamah, siap tunjukkan tandas lagi. Kami pun dah alang-alang jumpa kedai makan, apa lagi. Bedal saja lah. Saya terus ikut seorang pakcik owner kedai ni sebab dia kata nak tunjukkan tandas. Selang beberapa langkah, saya ternampak tandas kat belakang kedai makan tu.
Kira selang 20 langkah dari kedai makan, lagipon gelap nak maghrib, niatnya nak mengajak adik tapi tak tahu kenapa niat tersebut terbantut. Maka, saya pon berjalan beberapa tapak ke hadapan SENDIRIAN. (Cam gila gak sebab berjalan ke tandas yang dikelilingi hutan pada waktu maghrib BERSEORANGAN-ye ke??)Saya dah tak peduli apa dah, asal dapat buang air je, dah bersyukur sangat.
Memang pada tahap kritikal punya tak tahan, elok je lagi dua tapak nak masuk tandas, ada sorang nenek ni lebih kurang 90-an lah kot, datang (cepat gila dia jalan), katanya nak tumpang masuk dulu, nak ambil cucu. Tanpa berfikir panjang saya pon bagi lah beliau masuk dulu. Ya lah apa pon kena dahulukan yang tua. Gengster nya nenek ni, dia pergi lock terus pintu tandas, (apa ingat orang nak ngintai dia ke😂. 5 minit tunggu, tak keluar-keluar. Memang saya dah kritikal sangat ni. Ketuk jugak pintu tandas, tapi tak menyahut. Saya pon tolak pintu tu, aik. Tak berkunci?? Bersih tandas nya, cantik, dari luar nampak macam tandas biasa, tapi dari dalam seakan-akan tandas istana pon ada. Saya pon malas nak pikir panjang, terus masuk. Alhamdulillah,lepas jugak.
Saya pon lepas dah settle ambil wudhu’ semua, keluar lah dari tandas tu, tiba-tiba terdetik. Aik, ikut mana nenek tadi keluar, sebab ada satu pintu je? Apa pasal nenek tu kata dia nak amik cucu dia, sedangkan waktu aku jenguk ke dalam tandas tadi memang tak ada orang? Dari mana nenek tu datang, sedangkan ini kawasan hutan? Yup, memang meremang. Dan masa tu jugak lah dengar suara wanita mengilai dan suara kanak-kanak gelak. Apa lagi, terus saya lari pecut 100 km/j menuju ke kedai dan bertanya kepada tuan kedai sekiranya saya boleh tumpang solat di sini.
Terus semua orang pandang. “Aik Sha, pergi mana? Tadi adik-adik cari jugak kamu kat tandas belakang tu, tengok-tengok kamu tak ada. Pergi main kat mana maghrib-maghrib ni?”,tanya ummi kepada ku. Terus aku tersentak, tapi untuk tidak menimbulkan kekecohan, lalu aku pon kata aku tengok-tengok kawasan sekeliling sementara menunggu pesanan sampai. Mujur ummiku kembali tenang. Tanpa memikirkan apa yang terjadi sebentar tadi, aku ke surau yang ditunjukkan oleh pakcik owner kedai, begitu juga ahli keluargaku yang lain.
Usai mengerjakan solat maghrib dan isyak, nasi goreng kampung yang ku pesan, ku habiskan. Selesai makan, adik keduaku mengajak aku untuk temankan dia ke tandas. Maka berjalanlah aku dengan berat hati ke tandas tersebut, tegak bulu roma tidak terkata, rupa luar tandas kelihatan sangat berbeza, sama seperti di tandas-tandas kedai makan yang biasa, bahagian dalamnya juga sama. Aku terus menyuruh adikku supaya bersegara kerana aku tidak mahu peristiwa yang sama berulang semula. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, kami teruskan perjalanan kami. Perjalanan kami baik-baik sahaja sehinggalah tayar kereta kami pecah akibat terlanggar lobang yang agak dalam.
Situasi ini berlaku pada kami jam 2:30 pagi. Tanpa panik, abahku cuba mencari bantuan daripada ahli qaryah terdekat. Selepas beberapa minit mencari, adikku yang bongsu ternampak kelibat penduduk kampung yang memakai baju melayu dan yang perempuannya bertelekung.
Aku yang perasan akan ketidak normalan perihal penduduk kampung tersebut terus menutup mulut adikku. Lalu aku membisikkan ketelinganya supaya dia berhenti menegur ”penduduk kampung” tersebut. Sungguh, jika nak diikut logik akal, kawasan yang mereka lalu itu , kawasan sungai yang dalam dan mengalir deras airnya. Masakan “mereka” meranduk sungai tanpa setitik pon air terkena pada pakaian mereka, kerana penduduk kampung tersebut kelihatan sangat kering, tak basah langsung.
Tambahan pula, kaki mereka seakan-akan terapung di atas sungai. Aku dan keluarga yang berasa tidak sedap hati terus memandang ke arah lain dan membaca ayat kursi dan tiga Qul. Nasib kami baik, setelah selesai bacaan, susuk penduduk kampung tadi tidak lagi kelihatan. Atas dasar keselamatan kami cuma tunggu sahaja bantuan di dalam kereta termasuk abah.
Beberapa jam kemudian, azan subuh berkumandang. Kelihatan sebuah kereta jenama proton datang dari arah belakang, terus bertanyakan keadaan kereta kami. Bersyukur, kerana dia sudi membantu. 20 minit kemudian, kami teruskan perjalanan seperti biasa. Kami ucapkan terima kasih kepadanya kerana membantu kami. Pesannya, “kalau boleh jangan lalu jalan ni masa lepas dari maghrib, bahaya. Kalau nak pon tunggu subuh.”Fahamlah kami bahawa peristiwa tadi benar-benar terjadi, memang bahaya.
Kami teruskan perjalanan mencari masjid terdekat untuk tunaikan solat subuh. Selesai sahaja solat kami teruskan perjalanan kami. Tak tahu atas motif apa, terdetik pula hatiku menceritakan kisah yang ku alami pada ahli keluargaku, jadi aku teruskan bercerita. Adik-beradikku semuanya terkejut beruk mendengar kisah yang aku ceritakan disebabkan keadaanku seolah-olah perjalanan ini baik-baik sahaja. Tipulah kalau aku cakap tak takut. Takut sebenarnya, hampir nak menggigil. Tapi disebabkan aku tak nak adik-adik aku terlampau taksub dan takut, aku diamkan sahaja. Yelah bagi aku, aku cerita ke tak ke, benda dah jadi, boleh buat apa lagi?
Entahlah, itu pendapat je, sentiasa boleh berubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Ummiku juga menceritakan perihal tempat kerjanya bagi meyakinkan Adik-beradikku bahawa terdapat juga makhluk lain yang kita perlu percaya, walau tiada di depan mata. “Keimanan kunci segala kekuatan. Ada sebabnya Allah rahsiakan sesetengah perkara dari kita, contohnya benda-benda ghaib yang tak boleh dilihat pancaindera kita. “Itulah kata-kata ummi yang aku masih ingat sampai sekarang di samping ceritanya. Nak tahu??? Ok jom saya ceritakan.
Ummi, seorang jururawat yang sangat berkaliber. Sangat-sangat komited dan senantiasa memberi komitmen 100% terhadap kerjayanya. Ummi dah biasa kerja shif malam. Katanya senang nak handle anak-anak waktu siang. Itu yang aku kagum dengan perjuangan ummi. Hmmm, habistu apa yang perlu diingat nya, semua macam biasa je. Nak tahu sangat, meh saya tribute satu malam, tatkala ummi bekerja shif malam seperti biasa, menjaga bayi dan menyambut bayi, ummi terdengar bunyi jeritan pesakit wanita tidak jauh dari tempat ummi berdiri.
Seperti biasa, ummi bergegas ke bilik tersebut walaupun usia ummi dah mencecah 40-an. Untuk pergi ke bilik tersebut pun satu hal, kena lalu koridor gelap pulak tu. Memang tu hospital swasta, tapi malam-malam tutup juga lampunya. Ummi kuatkan juga semangat walau rasa tak sedap hati. Surah Yassin di poket dipegang beberapa kali bagi mendapatkan kekuatan. Syukur, kawan sejawat ummi juga ikut bersama. Sempat lah dia mengatakan bahawa terdapat ‘Ali’ di kaunter sedangkan tidak ada sesiapa pun di situ. Memang bergurau tak kena tempat ,tak kena masa, tak kena akal.
Setibanya ummi dan kawan sejawatnya di bilik tersebut, alangkah terkejutnya mereka melihat makhluk yang sangat-sangat besar berwarna hitam dan berbulu lebat menghisap segala d***h bekalan yang disalurkan kepada pesakit tersebut. Terkejut yang amat ummi melihat keadaan tersebut. Memang tidak dapat dinafikan wajah pesakit tersebut sungguh-sungguh pucat. Apa lagi, ummi pun terus menghubungi ustaz yang acap kali datang ke hospital itu untuk mengendalikan bacaan yasin dan doa. Kebetulan pula ustaz tersebut boleh datang. Kemudian menghubungi rakan-rakan lelaki sejawatnya bagi mendapatkan sokongan dan bantuan. Ummi yang tak mampu berbuat apa, hanya menunggu di situ dan melihat. Setiap saat umpama malapetaka buatnya.
Beberapa saat selepas itu, dua orang jururawat lelaki muda pun tiba. Mereka juga terkejut dan tak mampu berbuat apa. Mulut mereka masing-masing berkumat-kamit membaca ayat pendinding supaya keselamatan mereka kekal terpelihara. Selepas lebih kurang 5 minit, ustaz pon tiba dan terus membaca ayat suci al-quran serta berdoa. Alhamdulillah, makhluk tersebut menghilang. Ummi seakan-akan tahu bahawa “Dia” masih ada cuma tak pasti di mana. Tidak lagi di bilik ini, tapi masih di tingkat ini. Ustaz mengatakan bahawa, “mungkin pelawat yang keluar masuk terbawa makhluk tersebut bersama. Jadi, perkara seperti ini memang kita tak boleh nak elak. Apa-apapun, kalau rasa tak sedap hati, minta pada-Nya (Allah)..baca yasin, ayat pendinding, ayat kursi dan baca dengan yakin dan faham maknanya”.
Setelah selesai, ummi dan sahabat-sahabatnya kembali menjalankan tugas. Ummi elok je tapi kawan sejawat ummi, terus pucat, seakan-akan tidak boleh bernafas.. katanya dia panas… Kawan ummi ni sejenis yang lemah semangat juga tapi mulut tak reti nak jaga.. suka main-main. Tak ada orang kat kerusi, dia kata ada , namanya fatimah lah aminah lah , zenab lah.. ikut suka hati dia je..nak bergurau tak kena tempat. Balik dari melihat kejadian tu terus dia terkena. Bayi-bayi yang ummi jaga terus menangis serentak. Nak suruh kawan tolong gak, tak boleh dia pucat lesu, nampak macam mayat hidup dah.. apa lagi, dalam keadaan tak terkawal tu, ummi terus bukak cd surah yasin… Ummi turut baca sama.. baru bayi berhenti nangis sikit demi sedikit… Kawan ummi juga beransur-unsur pulih.. ummi teruskan dengan bacaan yasin hingga ke subuh sambil menjaga dan menyiapka bayi, supaya malam tersebut, bayi-bayi ini tidak lagi diganggu.
Namun, kawannya terpaksa ke darussyifa untuk berubat kerana keadaannya masih tak stabil, masih pucat dan tidak bermaya. Ada lagi pengalaman-pengalaman ummi yang agak seram di hospital, yelah hospital tersebut dibina atas tapak kubur lama. Memang banyak pengalaman seram yang dilalui kebanyakan pekerja di situ. Apa-apapun kita kena tabah dan kuatkan semangat, jaga mulut dan jaga tingkah laku. Sekian terima kasih..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit