Mihar-Permulaan Kepada Pengakhiran

Aku dalam cerita ini adalah Ahmad bin Abdullah.

5.00 petang, 17 November, Tahun 2036 Masihi…

Cuaca begitu terik. Matahari bersinar terang hari ini. Aku bersandar di sebuah bangunan yang separa runtuh. Meraup wajah yang berdebu. Tekak terasa perit. Bibirku kering merekah. Perut mula terasa lapar. Bila kali terakhir aku makan pun aku tidak pasti. Aku hanya minum di lopak air yang keruh, sama seperti beberapa manusia yang lain.
Aku merenung pemandangan didepan aku. Insan-insan kelaparan sedang menguis pasir mencari sisa makanan. Ada yang terduduk menangis. Ada yang terbaring tanpa pergerakan. Air mata aku perlahan membasahi pipi. Hati berkecamuk memikirkan keluarga, memikirkan nasib umat manusia yang makin hari makin merunsing.

Sudah lebih dua tahun, sejak kejadian yang amat dasyat itu. Yang sebelumnya semua orang ingatkan kejadian itu hanya olok-olok dan mainan. Apabila diberi amaran, ramai yang tidak endah dan meneruskan kehidupan seperti biasa, termasuklah aku.

Dua tahun lalu, semuanya bukan seperti ini. Semuanya normal seperti biasa. Namun pada suatu hari Jumaat sebuah asteroid besar, yang diberi nama TC4, telah menghentam permukaan bumi. Batu angkasa yang besar itu menghentam bumi Geneve, Switzerland dan membunuh berpuluh juta manusia di sekitarnya.

Hentaman yang besar itu juga membencanakan seluruh dunia, kuasa hentaman yang kuat itu mewujudkan satu letusan gelombang elektromagnetik EMP yang mengakibatkan kesemua peralatan elektronik di seluruh dunia musnah dan rosak sama sekali. Gelombang EMP itu menyebabkan kapal terbang yang sedang terbang di langit terjatuh dengan serta merta, kereta yang sedang bergerak tidak dapat berfungsi, jam tangan digital menjadi rosak, komputer, telefon bimbit, system satelit, semuanya musnah.

Dunia menjadi lumpuh. Teknologi tidak lagi dapat membantu manusia. Jurang komunikasi menjadi semakin jauh. Rentetan peristiwa hentaman asteroid itu, dunia menjadi panik. Banyak peristiwa lain juga berlaku seperti kesan domino. Peperangan mula berlaku. Bumi kian musnah. Penjarah makanan dan barangan menjadi berleluasa. Manusia berhenti bekerja. Mula menjalani kehidupan nomad. Tiada lagi undang-undang. Tiada lagi kuasa veto. Masing-masing peduli akan hal diri sendiri sahaja.

Saat bekalan minyak mentah yang semakin berkurang. Kenderaan berenjin sudah tidak dapat beroperasi, bekalan senjata juga sudah tidak diteruskan produksi. Manusia telah kembali menggunakan kuda sebagai medium pengagkutan, manusia kembali kepada senjata konvensional, pedang, parang dan sebagainya.

Dua tahun lalu, aku yang bekerja di Madinah sebagai Project Engineer, di sebuah tapak bina bagi membina hotel untuk kegunaan para Jemaah Haji dan Umrah. Kehidupan aku seperti manusia biasa. Aku meninggalkan ibu, ayah dan ahli keluargaku yang berada jauh di Malaysia bagi mengejar impianku disini, mencari rezki yang Halal bagi menyara keluarga.

Namun pada hari ini, aku terkandas. Aku terkandas di tanah gersang. Sebuah padang pasir yang tak punya apa-apa. Tiada berita dari tanah semananjung Malaysia. Tidak tahu sama ada masih hidupkan mereka atau pun tidak. Aku pasti mereka juga berfikiran yang sama denganku. Risau akan keberadaan dan keselamatanku. Tiada jalan lagi bagiku untuk pulang ke tanah air tercinta. Aku tahu, aku dengar dari mulut orang ramai. Mustahil untuk berjalan kaki atau menunggang kuda dengan jarak yang sangat jauh. Siapa yang pernah mencuba, pasti akan mati di pertengahan jalan.

Setelah terhapusnya teknologi dan bekalan elektrik, loji-loji nuklear banyak yang meletup dan terabai, menyebabkan kawasan sekitarnya mengandungi tahap radiasi yang tinggi. Jika tersalah langkah, tersalah pilih tempat dan kawasan, pasti maut menanti. Disebabkan itu dan beberapa faktor yang lain menyebabkan perjalanan kaki ke tempat yang jauh adalah perkara yang sangat mustahil. Antara sebab yang lain adalah dimana apabila dunia kini sudah tiada undang-undang dan penguasa, pasti ada manusia yang melakukan sesuatu perkara yang diluar batas kemanusiaan seperti merompak, merogol dan membunuh.

Dan juga aku terdengar ada ura-ura mengatakan, sejak kejadian hentaman asteroid berlaku tempoh hari, ada suatu kaum aneh yang keluar dari perut bumi. Mereka digelar Gog dan Magog. Nasib aku agak baik, kerana makhluk itu belum menjejakkan kaki ke bumi para Anbiya yang sedang aku berlindung sekarang ini. Diceritakan, makhluk itu tak ubah perangainya seperti yakjuj dan makjuj yang diceritakan oleh hadis Baginda Rasulullah. Mereka membawa kerosakan kepada muka bumi.

Namun disebalik kota-kota besar hatta New York, Washington dan Paris yang sudah ranap dan musnah, cuma ada dua kota yang masih terpelihara iaitu Kota Madinah dan Kota Makkah. Dua kota ini masih utuh dijaga oleh para pembesar Arab Saudi. Aktiviti Umrah dan Haji masih diteruskan namun terhad bagi menjaga kesucian dan keselamatan kota Suci ini.

Disebalik keutuhan dan kekuatan kota suci Makkah, ada cerita tidak sedap didengar. Tiga putera raja Saudi sedang berperang, merebut takhta bapa mereka yang sedang gering. Peperangan saudara ini sedikit sebanyak melemahkan kekuatan Umat Islam yang saban hari diasak musuh dari pelbagai sudut. Keadaan menjadi agak tegang di Kota Mekah. Seseorang harus menghentikan persengketaan tiga putera raja ini sebelum keadaan menjadi lebih keruh. Umat Islam berperang sesama sendiri dan perbuatan ini amatlah ditegah Allah.

8.00 malam, 17 November, Tahun 2036 Masihi…

Selesai solat Maghrib berjemaah di sebuah surau yang kami bina dari pelepah kurma, aku dan seorang rakanku yang juga dari Malaysia bernama Karim, sedang bersiap-siap untuk keluar mencari makanan bagi mengisi perut orang-orang yang berada disekitar kami. Ada ibu mengandung, ada kanak-kanak dan ada juga orang tua. Jadi, lelaki yang muda seperti kami harus mengambil peranan keluar berhadapan dengan kegelapan malam di padang pasir dan celahan bangunan tinggal bagi menangkap burung atau binatang-binatang yang halal dimakan untuk mengisi perut mereka yang kelaparan. Kadang berjaya, kadang pulang dengan tangan kosong.

Aku dan Karim mengenakan pakaian yang tebal disebabkan perbezaan suhu yang ketara dari siang ke malam. Suhu pada waktu malam begitu sejuk sehingga mengigit tulang. Namun malam ini agak istimewa. Pertama kali aku melihat butiran salji halus mula turun di bumi Madinah sepanjang 5 tahun aku berada disini. Ini adalah kali yang pertama. Aku menjadi sedikit bingung.

Sedang dalam perjalanan untuk memburu, kami terdengar hiruk pikuk beberapa orang Arab dari celahan bangunan terbiar. Mereka memekik-mekik menhebahkan sesuatu.

“Mari ke Makkah!! Mari ke Makkah!! Mereka akan melantik seorang khalifah baharu!! Mereka akan melantik seorang Khaliah yang baharu!” – pekik beberapa lelaki Arab kepada orang sekeliling.

Aku menarik Karim ke celahan bangunan yang gelap. Risau takut diapa-apakan mereka. Mereka mungkin kumpulan yang mabuk atau sengaja mahu menarik perhatian mangsa sebelum merompak.

Aku: Karim, kau fikir apa yang dikatakan mereka itu benar?
Aku berbisik kepada Karim.
Karim: Kalau benarpun apa yang diorang cakap, apa yang kita boleh lakukan? Bukan sembarangan orang dibenarkan masuk ke Kota Mekah. Kawalannya ketat. Kita akan dilempar keluar begitu sahaja.
Aku: Gerak hati aku kata, kita kena pergi ke sana Karim. Kau tak nampak ke? Malam ni… Salji mula turun buat pertama kali disini. Aku rasa satu macam.

Karim: Kau yakin ke dengan keputusan kau ni Ahmad? Bukan senang hendak ke sana. Entah-entah 500 km jaraknya? Berapa lama masa kita nak sampai kesana? Kita bukan ada kenderaan, kuda, unta. Senjata pun kita tak ada.

Aku: Kita ada Allah. Kita harus yakin…Karim, kalau benar apa yang diperkatakan mereka, khalifah itu, khalifah itu adalah khalifah kita. Kita harus berbai’ah kepada dia walaupun terpaksa merangkak diatas salji. Betulkan?

Entah mengapa, hati aku berasa begitu yakin dengan kata-kata pemuda Arab yang kami dengar tadi bahwa ada Khalifah baru yang akan dilantik di Kota Makkah. Mendengar jawapan dari aku, Karim tidak membantah lagi. Dia bersetuju. Kami nekad mahu ke kota Makkah walaupun harus berjalan kaki, merempuh kesejukan malam dan panas matahari disiang hari. Berbekalkan sebatang tombak kayu, dan sebilah parang. Itu sahaja bekal kami untuk perjalanan yang jauh ke arah Utara Madinah menuju ke Kota Makkah.

Kami meredah malam yang gelap dan sejuk. Pipi menjadi sejuk membeku. Sendi-sendi jari sudah mengeras dan sukar untuk digerakkan. Kening dan rambut diliputi salji. Berbekalkan petunjuk dari bintang, dan cahaya dari sang rembulan, kami mengatur langkah.

Tiga jam perjalanan, kami tiba di sebuah perkampungan diwilayah Al-Hendeyah. Terdapat rumah-rumah tinggal lama dikawasan itu. Sekilas kelibat manusia pun tidak kelihatan. Sunyi. Hanya kedengaran bunyi angina menderu kuat. Perasaan menjadi sedikit gementar dan risau. Kesunyian menghimpit perasaan kami ketika itu.

Kami mengambil keputusan untuk berehat dan tidur disitu untuk semalaman. Aku dan Karim memilih tempat untuk melabuhkan badan serta berehat.
Sedang kami cuba untuk melelapkan mata, samar-samar dalam kesunyian malam, kami terdengar bunyi tapak kaki dari kejauhan. Aku menjadi gusar. Begitu juga Karim. Kami mengambil keputusan untuk bersembunyi di dalam salah sebuah rumah disitu itu.

Bunyi tapak kaki, dan pekikan orang ramai makin jelas. Yang pasti bunyi itu dari satu gerombolan manusia yang teramat ramai. Bisingnya mengalahkan keadaan di pasar pagi. Dari jauh kami terlihat, satu kumpulan manusia yang tak terkira bilangannya, mungkin ribuan, menghampiri kampung tinggal tempat kami berlindung ini.

Yang menjadi persoalan, mereka semua tidak berbaju dan hanya bercawat kulit dengan badan mereka ditutupi bulu yang tebal. Rambut mereka berwarna merah. Badan mereka kurus dengan muka yang bengis. Sememangnya kami tidak pernah berjumpa dengan makhluk sebegini. Mereka menjerit-jerit dalam Bahasa yang tidak dapat kami difahami. Mungkinkah merekea ini yang diceritakan sebagai Gog dan Magog?

Aku dan Karim mengintai dari celah rekahan bangunan. Jantung berdegup kencang. Kami hanya mampu berdoa agar tidak dikesan oleh mereka. Karim mula menangis ketakutan apabila terdengar beberapa orang dari makhluk aneh itu berjalan menghampiri tempat kami bersembunyi. Mereka seakan-akan memanggil-manggil yang lain untuk datang ke tempat persembunyian kami. Kami hampir pasti bahawa mereka sudah dapat menghidu kami yang sedang bersembunyi di dalam rumah itu.

“Allah…Allah..Allah…Allah..Allah..’’

Zikir dibaca agar Allah membantu hambaNya yang lemah ini. Aku berdoa agar ada pertolongan dari Allah.Aku dapat rasakan mereka berniat jahat. Mereka mahu menjarah kawasan ini.

Dengan tiba-tiba kami terdengar derapan tapak kaki kuda dan pekikan kuat beberapa orang dalam Bahasa Arab, seakan-akan menghalau makhluk-makhluk aneh itu semua. Kami mencuri lihat disebalik rekahan bangunan.

Satu pertempuran dasyat berlaku di situ malam itu. Pemuda-pemuda yang berjubah hitam dan membawa panji hitam sedang membantai makhluk-makhluk aneh itu dengan pedang mereka. Mereka melibas dan membunuh makhluk aneh itu tanpa ragu-ragu. Bunyi jeritan makhluk aneh itu membingitkan telinga. Mereka lari lintang pukang menyelamatkan diri dari menjadi mangsa libasan pedang pemuda-pemuda berkuda itu.

‘’Allahuakbar!!…..Allahuakbar!!!….”

Jeritan ini keluar dari mulut para pemuda berkuda yang ratusan orang jumlahnya melawan beribu orang makhluk aneh berambut merah. Pasti mereka adalah tentera yang berjuang di jalan Allah.

‘’Alhamdullillah..Segala puji bagi Allah..’’

Hanya itu sahaja perkataan yang mampu lidah aku dan Karim perkatakan diatas pertolongan dari Allah yang menyelamatkan kami dari makhluk itu.

Aku dan Karim berlari keluar dari rumah tinggal itu. Menuju ke arah pemuda-pemuda itu. Kelihatannya seperti mereka sedang memeriksa mayat-mayat makhluk aneh tiu yang bergelimpangan mati di atas padang pasir.

Seorang pemuda Arab yang berkuda datang menghampiri kami dan betutur dalam Bahasa Arab.

Abu Zamir: Assalamualaikumwarahmatullah.. Aku Abu Zamir..Siapa kalian berdua? Sejak bila kalian berada disini? Dan apakah tujuan kalian berada disini?

Aku: Aku Ahmad bin Abdullah dan ini sahabatku Karim Bin Ibrahim. Kami datang dari wilayah Tayba, Madinah menuju ke Kota Makkah.

Abu Zamir: Untuk urusan apa kalian mahu ke sana? Tahukan kawasan sini amat berbahaya. Tempat ini sudah mula diserang oleh makhluk ini. Lebih baik kamu berpatah balik.

Aku: Kami menerima perkhabaran bahawa ada Khalifah baharu yang akan dilantik di Kota Makkah. Kami mahu berbai’ah kepada khalifah yang baharu.

Abu Zamir: Jika begitu, kamu berdua boleh ikut kami, kebetulan kami juga dalam perjalanan kesana. Bahkan kami juga menerima perkhabaran yang sama seperti yang kalian dengar.

Aku: Kalian semua siapa dan berasal dari mana?

Abu Zamir: Kami pemuda dari Khurasan, 313 orang jumlahnya. Kami mendengar perkhabaran tentang khalifah Umat Islam yang baharu yang bakal diangkat dari kalangan penduduk Makkah. Jadi, kami juga mahu berbai’ah dan berjuang di jalan Allah.

Aku dan Karim dijemput untuk menunggang kuda bersama-sama dengan mereka ke Kota Mekkah. Mereka merupakan penunggang kuda dan tentera elit yang terlatih semenjak kejadian hentaman Asteroid berlaku. Sebelum itu, mereka juga mempunyai pekerjaan lain seperti orang lain, sebagai doktor, peguam, engineer dan sebagainya.

9.00 pagi. 20 November, Tahun 2036 Masihi…

Kami selamat tiba di perkarangan Kota Makkah di sekitar Al-Jumum. Disitu terdapat satu pintu gerbang untuk masuk ke perkarangan Kota Mekkah. Di situ juga masih terdapat bekalan elektrik, tidak seperti tempat lain di bumi tandus ini. Azan masih mampu disiarkan melalui corong pembesar suara.

Kami bergerak menghampiri pintu gerbang itu. Dengan sejumlah 313 pemuda berkuda bergerak menuju ke Kota Makkah. Pergerakkan kami tampak tidak disenangi tentera-tentera yang sedang berkawal di pintu gerbang itu. Walaupun kami mengenakan jubah dan serban yang sama seperti apa yang mereka kenakan. Mereka masih mencurigai identiti kami.

Seorang dari wakil tentera yang lengkap bersenjata api datang menghampiri kami dengan wajah yang kurang mesra.

‘’Apakah tujuan kalian kesini? Jika hendak melakukan kerosakan, aku nasihatkan supaya kamu berpatah balik”- tegas pengawal itu.

Abu Zamir: Kami datang sebagai seorang Muslim dengan niat yang baik. Dan ini tempat untuk umat Islam keseluruhannya. Benarkan kami masuk..

Abu Zamir masih berhemah dalam meminta kebenaran untuk memasuki kota yang dikawal ketat.

Pengawal: Kamu tidak dibenarkan masuk sehingga mendapat kelulusan pemerintah!!!

Pengawal itu sedikit kasar dan sudah bersedia dengan senapang yang digalasnya.

Abu Zamir: Kami tidak gentar, tiada siapa yang dapat menghalang kami melainkan Allah Azzawajjala!

Para pemuda berkuda dari Khurasan itu tidak gentar bahkan dengan beraninya mengeluarkan pedang masing-masing yang sebelumnya tersemat di pinggang.

Aku: Wahai semua pemuda Khurasan!!! Bersabarlah. Kita semua berkunjung ke rumah Allah. Jaga tingkah lakumu!!

Aku terpaksa bertegas dalam hal ini bagi mengelakkan ketegangan ini menjadi semakin parah. Bangsa Arab sememangnya terkenal dengan sifat pemarah dan ego yang tinggi.

Setelah mendengar jeritan keras dariku. Abu Zamir, sebagai pemimpin mereka, mengarahkan agar kesemua mereka untuk turun dari kuda dan menyimpan senjata. Abu Zamir sekali lagi berdialog secara perlahan dengan pegawai pintu gerbang. Sesekali Abu Zamir menghalakan jari telunjuknya kepada ku.
Aku tidak dapat mendengar apa perbualan antara Abu Zamir dengan pengawal itu. Tetapi selepas beberapa ketika, para pengawal memberi kebenaran untuk kami semua masuk ke Kota Makkah tetapi dengan syarat, segala senjata dan kuda haruslah disimpan diluar pintu gerbang.

Perasaan ketika itu hanya Allah sahaja tahu dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Gembira, teruja dan yang paling ketara, rasa selamat apabila berada di sebuah tempat yang dilindungi Allah. Sudah lebih dua tahun aku tidak berkunjung ke Masjid Al-Haram. Semenjak peristiwa itu. Dahulunya aku sering menunaikan Umrah dan berkunjung ke sini ketika bercuti dan hujung minggu.

Umat Islam masih penuh dan masih kuat beribadah disini walaupun dunia sedang musnah menuju kehancuran. Pemuda-pemuda memakai Ihram, wanita berpurdah cantik dan kemas, sudah lama tidak aku tatap suasana begini. Seolah memberi sinar baharu kepada peradaban dunia.

Namun, berbalik kepada tujuan asal kami kesini iaitu untuk menyaksikan sendiri seorang khalifah umat Islam yang baharu dan berbai’ah kepadanya. Kami mula bertanyakan kepada penduduk setempat.

Namun setiap jawapan yang kami dengar, pasti menghampakan. Kerana tiada sesiapa yang tahu tentang pentabalan khalifah yang baharu kerana perkara itu belum berlaku dan siapa calon yang akan diangkat pun masih tidak diketahui hujung pangkal.

Aku berasa hampa, sudah jauh perjalanan kami merempuh pelbagai cabaran. Namun mendengar perkhabaran yang sebegini menyebabkan aku berasa lelah.

Aku dan Karim mengambil keputusan untuk menunaikan tawaf Qudum. Begitu juga dengan pemuda-pemuda khurasan yang lain. Kami bersiap, mensucikan diri dan mengenakan ihram, lalu mula mengerjakan tawaf.

3.00 petang. 20 November. Tahun 2036..

Setiap pusingan tawaf yang aku lakukan, air mata mula menitis. Aku rindukan keluarga ku. Air mata aku menitis. Aku risaukan umat Islam di seluruh dunia yang kian ditindas. Air mata aku menitis. Aku risaukan nasib kami semua, penduduk dunia.
Selesai tawaf, aku mengambil ruang di antara rukun Hajar Aswad dan Makam Ibrahim untuk menunaikan solat sunat taubat dan solat istiqarah.

Aku memohon doa kepada Allah Azza Wa Jalla agar memelihara semua umat manusia dan menurunkan pemimpin dan khalifah kepada kami agar nasib Umat Islam dapat dibela.

Sujudku lama. Menghadap Kaabah yang suci. Perasaan sayu menyebabkan mataku tidak dapat membendung lagi air yang mula mengalir. Sujud aku terasa begitu ikhlas dengan keikhlasan seorang hamba kepada penciptanya.

Selesai sahaja aku memberikan salam yang pertama. Aku lihat ramai manusia yang terpinga-pinga melihatku. Aku jadi kaget. Apakah aku sudah membuat kesalahan?

Aku membetulkan ihram ku, kemudian bangun ingin mencari Karim yang aku sudah tidak kelihatan buat seberapa ketika. Namun tetap sama, orang-orang di sekeliling Kaabah tidak putus terus menerus memerhatikan aku. Aku kehairanan.

Dengan tiba-tiba aku ditangkap oleh dua orang pemuda. Mereka memegang lenganku. Aku meronta-ronta mahu melepaskan diri.

“Apakah salah aku? Apa salah aku???”- Soal aku ketakutan.

Namun dua orang pemuda sasa itu tidak mengendahkan pertanyaan aku. Mereka terus membawa aku ke rukun Hajarul Aswad. Mereka membawa aku berjumpa dengan seorang tua, berjubah putih dan berjanggut perang paras dada.

Orang tua: Bukankah engkau Muhammad bin Abdullah Al-Fatini Al-Hasani Al-Quraisyi? Pasti engkau yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W. Segera bentangkan tanganmu. Kami akan berbai’at kepadamu.

Seraya mendengar ucapan orang tua itu kepadaku. Jantung aku seakan mahu berhenti berdegup. Aku rasa seperti mahu pitam. Mata aku menjadi kabur dan kaki aku seperti tidak menjejak tanah. Nasib baik tangan aku masih dipapah oleh dua lelaki tadi. Persoalan gila apakah yang ditujukan kepadaku ini? Sesungguhnya aku tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin. Apatah lagi untuk menjadi soeorang yang disebut oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

Aku: Oh..saya bukan yang Tuan maksudkan. Saya Ahmad bin Abdullah, sebelum ini bekerja di Madinah. Saya orang biasa. Saya bukan orang yang kamu maksudkan. Tolonglah lepaskan saya.
Orang tua: Kami yakin dengan ciri-ciri kamu, kamu adalah imam Mahdi! Segera bentangkan tanganmu atau kamu akan menanggung dosa seluruh umat Islam kerana setiap hari darah mereka tertumpah! Kamu ingin darah ini terus mengalir???

Orang tua itu masih bertegas. Aku dipaksa untuk mengaku bahawa aku adalah imam Al-Mahdi, khalifah Umat Islam, pemimpin umat Islam sedunia. Aku tidak dapat menerima hal ini. Aku terus menafikannya.

Aku: Tidak tuan yang mulia. Aku bukan khalifahmu, aku bukan Al-Mahdi. Aku yakin aku siapa. Aku pendosa. Aku tidak layak untuk menjadi insan sebegitu. Aku hanyalah hambaNya yang hina.

Orang tua: Masih berdegilkan kamu wahai khalifahku! Terimalah bai’ah dari kami. Segera jalankan tugasmu. Sudah lama kami tunggu akan kehadiranmu.

Aku menjadi semakin bingung. Makin ramai orang yang hadir mengelilingi kami. Aku terlihat pantulan diriku di salah satu kaca yang bersinar. Terlihat ihram yang dipakaiku sedikit bercahaya. Mungkin sebab ini mereka menganggap aku sebagai Al-Mahdi. Aku terus menerus menafikan diriku sebagai Al-Mahdi. Kami berdebat sehingga ke larut malam.

Penafian demi penafian, mereka masih berdegil meminta aku untuk membuat pengakuan. Pengakuan apa? Aku yakin aku bukan orang yang dimaksudkan.

11.00 malam, 20 November. Tahun 2036…

Setelah berdebat selama beberapa jam. Aku menjadi lemah. Aku mengambil keputusan hanya untuk mengaku bahawa diri aku seperti apa yang mereka mahu dengar. Aku memicit kepala. Memeluk tubuh di hadapan ratusan orang yang mengelilingi aku. Terasa seperti satu beban sudah menghinggap di kepalaku. Sungguh berat. Kesungguhan mereka ingin berbai’ah kepadaku sebagai khalifah menyebabkan hati aku menjadi sedikit lembut. Aku mahu sahaja mengaku asalkan mereka semua berpuas hati dan meninggalkanku sendiri.

Aku: Baik, kalau begitu aku terima bai’at kalian.

Seraya berkata demikian, orang tua itu datang memelukku, air matanya menitis laju. Entah mengapa, air mataku juga menitis tanpa rela. Semua yang memerhatikan aku dari tadi datang memelukku, tanpa sebarang perkataan. Hanya air mata kami semua menitis.
Ya Allah. Apakah ini? Perasaan apakah ini? Seolah-olah beban umat Islam kian menghilang. Seolah-olah umat Islam akan bersatu. Tapi, betulkah aku? Adakah aku yang disebut-sebut selama ini? Aku masih ragu-ragu.

Berita tentang diriku mulai tersebar ke pelusuk kota. Ramai yang hadir ke Masjid Al-Haram malam itu hanya untuk menyatakan bai’ah kepadaku. Aku hanya mampu terduduk dan menitiskan air mata. Perasaan ini tidak pernah aku rasai bahkan mungkin sesiapa pun pernah lalui selama ini.

Penuh seluruh kawasan itu dengan manusia yang bepusu-pusu datang dari segenap pelusuk kota datang ingin berbai’at kepadaku.

“Allahuakbar!!..Allahuakbar!!… Alluhakbar!!

Laungan takbir memecah kesyunian kota.

Aku terduduk layu. Abu Zamir dan Karim memapahku dan membawaku untuk menunaikan solat Isya’. Aku menunaikan solat Isya’ dan mengimamkan ribuan makmum pada malam itu.

Selesai solat Isyak, aku lakukan solat sunat taubat sekali lagi. Kemudian aku tertidur. Tertidur didepan Kaabah yang suci. Di rumah Allah.

Malam itu, aku bermimpi aku didatangi satu cahaya. Cahaya berwarna putih itu terlalu terang dan berlalu menembusi badanku. Di dalam mimpi itu, aku merasai badan aku menjadi ringan. Aku diangkat ke langit biru. Melihat keadaan dunia.

Beban yang aku rasakan selama ini hilang kesemuanya. Perutku yang lapar terasa penuh. Luka dibadanku semua sembuh dan pulih seperti sediakala. Aku juga bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki muda bejubah hijau. Mukanya bercahaya. Tersenyum kepadaku.

6.00 pagi, 21 November. Tahun 2036…

Aku terjaga dari tidur. Aku berada di sebuah kamar di dalam Masjid Al-Haram. Orang tua itu, Abu Zamir, Karim dan beberapa pemuda yang lain ada disekeliling katilku. Mereka hanya memerhatikanku.

Aku pintas bangun. Aku dapat rasakan tenaga yang baru. Minda aku seperti disuntik dengan pelbagai ilmu yang belum pernah aku tahu selama ini. Ilmu ketenteraan, ilmu ekonomi, ilmu strategi perang, ilmu ugama, ilmu sosial dan politik bermain-main difikiran. Aku seakan-akan diberi kesedaran yang baru. Lantas aku bangun, menghadap dan berkata kepada mereka:

“Aku siap untuk menjalankan tugas dan amanah yang Allah Azza Wajjalla berikan kepadaku”.

-Tamat-

P/s: Cerita ini hanyalah rekaan penulis bersandarkan kepada beberapa Hadis Sahih. Segala penambahan cerita adalah atas tanggungjawab penulis. Penulis tidak berniat menyebarkan dakyah sesat atau mempermainkan agama. Baca dengan hati yang terbuka. Ianya semakin hampir.

Rujukan Hadis:

a. Diriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri Radhiyallahu anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
يَخْرُجُ فِيْ آخِرِ أُمَّتِـي الْمَهْدِيُّ؛ يُسْقِيْهِ اللهُ الْغَيْثَ، وَتُخْرِجُ اْلأَرْضُ نَبَاتَهَا، وَيُعْطِى الْمَالَ صِحَاحًا، وَتَكْثُرُ الْمَاشِيَةُ، وَتَعْظُمُ اْلأُمَّةُ، يَعِيْشُ سَبْعًا أَوْ ثَمَانِيًا (يَعْنِي: حِجَجًا).
“Pada akhir umatku akan keluar al-Mahdi. Allah menurunkan hujan kepadanya, bumi mengeluarkan tumbuhannya, harta akan dibagikan secara merata, binatang ternak melimpah dan umat menjadi mulia, dia akan hidup selama tujuh atau delapan (yakni, musim haji).”

b. Dan darinya (Abu Sa’id) Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
أُبَشِّرُكُمْ بِالْمَهْدِيِّ؛ يُبْعَثُ عَلَـى اخْتِلاَفٍ مِنَ النَّاسِ وَزَلاَزِلَ، فَيَمْلأُ اْلأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جُوْرًا وَظُلْمًا، يُرْضِـى عَنْهُ سَاكِنُ السَّمَاءِ وَسَاكِنُ اْلأَرْضِ، يَقْسِمُ الْمَالَ صِحَاحًا.
‘Aku berikan kabar gembira kepada kalian dengan al-Mahdi, yang diutus saat manusia berselisih dengan banyaknya keguncangan. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana telah dipenuhi dengan kelaliman dan kezhaliman sebelumnya. Penduduk langit dan penduduk bumi meridhainya, ia akan membagikan harta dengan cara shihaah (merata).’
Seseorang bertanya kepada beliau, ‘Apakah shihaah itu?’ Beliau menjawab, ‘Dengan merata di antara manusia.’”
Beliau bersabda:
وَيَمْلأُ اللهُ قُلُوْبَ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللّٰـهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غِنًـى، وَيَسَعُهُمْ عَدْلُهُ، حَتَّى يَأْمُرَ مُنَادِيًا، فَيُنَادِيْ، فَيَقُوْلُ: مَنْ لَهُ فِـي مَالٍ حَاجَةٌ؟ فَمَا يَقُوْمُ مِنَ النَّاسِ إِلاَّ رَجَلٌ، فَيَقُوْلُ: اِئْتِ السَّدَّانَ -يَعْنِي: الْخَازِنَ-، فَقُلْ لَهُ: إِنَّ الْمَهْدِيَّ يَأْمُرُكَ أَنْ تُعْطِيْنِيْ مَالاً. فَيَقُوْلُ لَهُ: اِحْثِ، حَتَّـى إِذَا حَجَرَهُ وَأَبْرَزَهُ؛ نَدِمَ، فَيَقُوْلُ: كُنْتُ أَجْشَعَ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ نَفْسًا، أَوْ عَجِزَ عَنِّي مَا وَسِعَهُمْ؟ قَالَ: فَيَرُدُّهُ، فَلاَ يُقْبَلُ مِنْهُ فَيُقَالُ لَهُ: إِنَّا لاَ نَاْخُذُ شَيْئًا أَعْطَيْنَاهُ، فَيَكُوْنُ كَذَلِكَ سَبْعَ سِنِيْنَ أو ثَمَانِ سِنِيْنَ أَوْتِسْعَ سِنِيْنَ، ثُمَّ لاَ خَيْرَ فِي الْعَيْشِ بَعْدَهُ أَوْ قَالَ: ثُمَّ لاَ خَيْرَ فِي الْحَيَاةِ بَعْدَهُ.
“Dan Allah memenuhi hati umat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan kekayaan (rasa puas), meliputi mereka dengan keadilannya, sehingga dia memerintah seorang penyeru, maka penyeru itu berkata, ‘Siapakah yang memerlukan harta?’ Lalu tidak seorang pun berdiri kecuali satu orang. Dia (al-Mahdi) berkata, ‘Temuilah penjaga (gudang harta) dan katakan kepadanya, ‘Sesungguhnya al-Mahdi memerintahkan mu untuk memberikan harta kepadaku.’ Kemudian dia (penjaga) berkata kepadanya, ‘Ambillah sedikit!’ Sehingga ketika dia telah menyimpan di pangkuannya dan menampak-kannya, dia menyesal dan berkata, ‘Aku adalah umat Muhammad yang jiwanya paling rakus, atau aku tidak mampu mencapai apa yang mereka capai?’” Beliau berkata, “Lalu dia mengembalikannya dan harta itu tidak diterima, maka para penjaga gudang harta berkata padanya, ‘Sesungguhnya kami tidak menerima apa-apa yang telah kami berikan.’ Demikian-lah yang akan terus terjadi selama tujuh tahun atau delapan tahun atau sembilan tahun, kemudian tidak ada lagi kehidupan yang baik setelah itu.” Atau beliau berkata, “Kemudian tidak ada lagi hidup yang baik se-telahnya.”
Hadits ini menunjukkan bahwa setelah kematian al-Mahdi akan muncul kejelekan dan berbagai fitnah besar.

c. Diriwayatkan dari ‘Ali Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
اَلْمَهْدِيُّ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ، يُصْلِحُهُ اللهُ فِيْ لَيْلَةٍ.
‘Al-Mahdi dari keturunan kami; Ahlul Bait, Allah akan memperbaikinya dalam satu malam.’”
Ibnu Katsir berkata, “Maknanya adalah memberikan taubat, memberikan taufik kepadanya, mengilhaminya, dan membimbingnya padahal sebelumnya tidak demikian.”

d. Diriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
اَلْمَهْدِيُّ مِنِّي، أَجْلَى الْجَبْهَةِ، أَقْنَى اْلأَنْفِ، يَمْلأُ اْلأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجُوْرًا، يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِيْنَ.
‘Al-Mahdi dari keturunanku, dahinya lebar, hidungnya mancung. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan, sebagaimana bumi telah dipenuhi dengan kezhaliman dan kelaliman sebelumnya. Dia akan berkuasa selama tujuh tahun.’”

e. Diriwayatkan dari Ummu Salamah Radhiyallahu anhuma, ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
اَلْمَهْدِيُّ مِنْ عِتْرَتِيْ، مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ.
‘Al-Mahdi berasal dari Ahlul Baitku, dari keturunan Fathimah.’”

f. Diriwayatkan dari Jabir Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
يَنْزِلُ عِيْسَى بْنُ مَرْيَمَ، فَيَقُوْلُ أَمِيْرُهُمْ اَلْمَهْدِيُّ: تَعَالَ صَلِّ بِنَا، فَيَقُوْلُ: لاَ؛ إِنَّ بَعْضَهُمْ أَمِيْرُ بَعْضٍ؛ تَكْرِمَةَ اللهِ هَذِهِ اْلأُمَّةَ.
‘‘Isa bin Maryam turun, lalu pemimpin mereka, al-Mahdi berkata, ‘Shalatlah mengimami kami!’ Dia berkata, ‘Tidak, sesungguhnya sebagian dari kalian adalah pemimpin bagi sebagian yang lainnya, sebagai suatu kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini.’”

g. Diriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
مِنَّا الَّذيْ يُصَلِّي عِيْسَى بْنُ مَرْيَمَ خَلْفَهُ.
‘Orang yang menjadi imam bagi ‘Isa bin Maryam di dalam shalatnya adalah dari golongan kami.’”

h. Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ber-sabda:
لاَ تَذْهَبُ أَوْ لاَ تَنْقَضِي الدُّنْيَا حَتَّى يُمْلِكَ الْعَرَبُ رَجَلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِيْ، يُوَاطِىءُ اِسْمُهُ اِسْمِيْ.
‘Dunia tidak akan hilang atau tidak akan lenyap hingga seseorang dari Ahlul Baitku menguasai bangsa Arab, namanya sama dengan namaku.”
Dalam satu riwayat:
يُوَاطِىءُ اِسْمُهُ اِسْمِيْ وَاسْمُ أَبِيْهِ اِسْمَ أَبِيْ.
“Namanya sama dengan namaku dan nama bapaknya sama dengan nama bapakku.”

 

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Mihar bin Ahmad

14 comments

  1. Tahniah penulis. Deep sangat deep.
    Teringat pula pada karya writer Muhammad Juri Bin Adil.
    Teliti, kemas dan penuh ilmu. Bukan sekadar cerita.

  2. Tanda2 kezahirannya imam mahdi di suatu musim haji, selepas 6org imam yg menaiki mimbar dan berdarah hidung untuk membaca khutbah, terdengar suara dari langit, berbai’ah lah (bai’ah=menyerah diri kamu dgn al mahdi, (imam yg ketujuh) kerana dia yg dijanjikan…

  3. owh…. jalan cerita yang menarik dan penuh makna.

    Walaupun saya kurang faham dengan bahasa aras tinggi ni, saya berjaya habiskan bacaan saya.

    Terima kasih, penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *