Mimpi misteri: Jawapan atau mainan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Nama aku wana, dan aku pernah menghantar sebuah kisah sebelum ini. Kalian boleh baca terlebih dahulu kisah aku yang bertajuk “Pendamping yang Tidak Diundang‘.

Kalini aku ingin berkongsi tentang kisah dimana aku berikhtiar untuk mencari jodoh aku. Hal ini terjadi sebelum aku pergi berubat. Biasalah, apabila umur kita sudah mencecah 20-an topik begini kerap kali akan timbul….

Nak dijadikan cerita, ibuku selalu bertanya samada aku sudah mempunyai calon atau belum. Masa itu aku sudah tahun ketiga di universiti. Aku tidak pernah bercinta dan kursus yang kuambil di universiti juga agak berat dan mencabar, jadi aku cuba untuk berikhtiar dengan cara lain…

Aku ikhlas berniat untuk memohon kepada Allah bagi mengetahui gerangan jodohku meskipun aku mungkin tidak mengenali orang itu. Aku tidak kisah. Aku melakukan solat istikharah, solat hajat dan membaca doa istikharah setiap kali selepas solat. Minda dan jiwa aku sangat tenang masa itu. Aku juga redha dan tawakkal dengan apa sahaja ketentuan Allah.

Pada suatu malam, aku mendapat sebuah mimpi yang pelik. Dalam mimpi tersebut, aku sedang berdiri seorang diri di perkarangan rumahku. Tidak lama kemudian, terdapat beberapa kereta kuda berwarna emas berbaris dalam satu barisan dan berarak di lorong rumahku. Dalam sebuah kereta kuda, terdapat seorang lelaki berpakaian serba emas dan kelihatan sedikit tua. Mukanya tampak tegas. Di dalam kereta kuda di belakangnya, terdapat seorang pemuda yang juga berpakaian yang sama. Dari segi pakaian mereka, sangat jelas bahawa mereka merupakan keluarga diraja. Siapa mereka berdua? Apa tujuan mereka ke sini?

Namun begitu, mereka seperti tidak menyedari kewujudanku. Baru sahaja aku ingin membuka pagar, tiba-tiba muncul satu cik ponti entah dari mana ingin menghalangku dari keluar dan berada dalam posisi seperti ingin menyerangku. Pakaiannya serba putih, rambutnya hitam dan panjang menggerbang, dia menyeringai ke arahku. Aku terpaksa berundur sehinggalah ke dalam rumah. Aku tiba-tiba terjaga sekitar pukul 3-4 pagi dek terkejut.

‘Jap, siapa diorang tu? Kenapa aku macam dihalang dari berjumpa dengan diorang?’ fikirku pelik…

Apabila difikirkan kembali, aku merasakan mimpi itu merepek dan sekadar mungkin mainan tidur sahaja. Aku telah melupakannya sehinggalah beberapa bulan yang seterusnya dimana aku menyambung kembali ikhtiarku.

Setelah beberapa hari, aku mendapat sebuah mimpi yang agak pelik. Sekali lagi, aku terjaga sekitar pukul 4 pagi dek rasa terkejut. Apabila difikirkan kembali, aku macam pernah bermimpi tentangnya. Tiba-tiba, aku teringat bahawa mimpi kali ini sebijik macam apa yang aku pernah mimpi beberapa bulan sebelum ini. Entah kenapa, aku syak bahawa kemunculan cik ponti yang menyerang aku itu ada kena-mengena dengan gangguan yang sedang aku alami ketika itu.

Untuk beberapa hari selepas itu, aku bermimpi berkenaan lelaki itu seperti dalam satu sequence of event, bermula dari awal perkenalan kami sehinggalah pertemuan antara keluarga kami. Dalam salah satu mimpi, keluargaku (aku, ibu dan bapaku) bertemu dengan keluarganya (lelaki itu, ibu dan ayahnya) di sebuah ruang makan yang mewah dan lagak ibu bapa kami berdua seperti sudah mesra dan rapat.

Aku lantas memutuskan untuk tidak meneruskan ikhtiarku kerana tidak pasti dengan apa yang sedang aku alami. Aku ada juga cuba mencari siapa gerangan lelaki itu serta keluarganya menggunakan enjin carian.

Setelah beberapa ketika, pencarianku membuahkan hasil. Benarlah sangkaanku tentang mereka. Aku sangat-sangat terkejut kerana wajah, lagak dan penampilan ibu dan bapanya dalam mimpi tersebut sebiji dengan yang aku jumpa di internet walaupun aku tidak pernah melihat atau mengenali mereka sebelum ini. Pelik. Sehingga kini, aku masih tidak dapat mencari orang yang arif untuk menafsir mimpiku.

Ada rakanku berkata apa yang aku buat ni tak valid dan aku sendiri pun tak pasti kerana jika tersalah tafsir, lain pula jadinya nanti.

Sesungguhnya Allah jua yang Maha Mengetahui. Wallahualam.

Terima kasih kerana membaca. Sekian dari saya, Wana.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.2]
Wana

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.