Assalamualaikum semua. Lama tak menulis kisah seram di Fiksyen Shasha. Kisah seram dah menjadi sebahagian besar dalam hidup aku. Dari kecil aku sudah terbiasa dengan kejadian-kejadian mistik. Tak kiralah secara nyata ataupun tidak.
Hari ni aku nak story tentang misteri bunga putih. Kisah ni berlaku kira-kira empat tahun lalu ketika aku masih menuntut di sebuah pusat pengajian di Selangor. Sepanjang aku belajar di situ, banyak kisah seram yang jadi tapi mungkin aku ceritakan lain kali.
Kisah bunga putih ini terjadi ketika jungle tracking di Pahang. Jungle tracking adalah sebahagian dari aktiviti kami pada hari kedua assignment trip. Jungle tracking memang best, terutamanya bila bersama kawan-kawan yang sekepala. Alhamdulillah tak ada yang bermulut celupar. Semua dah sedia maklum adab masuk hutan.
Hampir satu jam setengah menerokai hutan yang cantik dan damai, kami tiba di lokasi air terjun. Ada beberapa group belum sampai tapi Abang Raden yang mengetui group satu hingga tiga memberi kebenaran untuk mandi-manda. Apa lagi, masing-masing terus terjun. Abang Raden dan pembantunya hanya duduk di atas batu sambil mengawasi aktiviti kami.
“Iris, cantik tak?” Wafa, rakan sekelasku menunjukkan sekuntum bunga putih.
Aku yang baru saja naik ke tebing sekadar mengangguk. Aku tak perasan lagi bunga tu aneh dan pelik. Aku fikir bunga dari mana-mana pokok berdekatan. Sebab sepanjang berjalan tadi ada juga dua tiga orang yang mengutip daun kering bersaiz besar untuk dijadikan kipas.
“Kalau dah selesai, jom kita sambung perjalanan kita. Pastikan tiada barang tertinggal.” Abang Raden memberikan arahan.
Aku berada di group kedua. Kebetulan Wafa juga sama group dengan aku dan dia berjalan di hadapan aku. Masa itulah aku tersedar akan keanehan bunga yang dia pegang. Wafa nampak gembira menghidu bunga di tangannya.
Bunga berwarna putih kekuningan itu berbentuk seperti bunga lili tetapi bersaiz besar. Putihnya pula agak berlainan dengan warna bunga putih yang biasa kita lihat. Di setiap kelopak bunga itu terdapat bintik berwarna hitam. Disebabkan aku sangat dekat di belakang Wafa, aku turut dapat menghidu betapa wanginya bunga mekar itu.
“Mana kau kutip tu?” aku bertanya sambil berjalan penuh berhati-hati.
“Aku petik kat air terjun tadi.” selamba saja Wafa menjawab. Dia berterusan mencium bunga itu.
“Eh, kau ni. Bahaya tau petik sesuka hati.” aku berbisik, bimbang Abang Raden dengar.
“Kenapa pulak? Alam ni ciptaan Allah. Bukan hak milik siapa-siapa.” Wafa seperti tidak puas hati. Aku dengar dia mendengus marah.
Kami berdiam diri sehingga sampai di checkpoint terakhir. Berjam-jam sehingga lenguh kaki berjalan. Balik dari hiking tu, pihak penginapan dah sediakan makan minum. Menu tradisi orang Pahang. Tempoyak ikan patin dan pais. Punyalah sedap air tangan Kak Ina. Sampai hari ini aku terbayang.
Tengah sedap kami semua meratah pais, tiba-tiba seorang rakan meluru berlari ke meja kami. Nafasnya tercungap-cungap.
“Weh, aku nampak Wafa menari kat dalam bilik. Aku panggil pun dia buat tak dengar.” kata Aini yang duduk sebilik dengan Wafa.
Kami semua terkejut. Salah seorang dari kami bangun dan beritahu pensyarah. Aku, Aini dan Zahira terus ke bilik Wafa. Kami buat biasa saja sebab tak mahu kecoh-kecoh, nanti semua nak ikut. Dah jadi hal lain pula.
Bilik Wafa ni hujung sekali. Jadi, agak gelap sebab sebelah tu hutan pokok buluh. Aku tak tahulah pokok buluh yang ditanam atau pokok buluh asal situ sebab elok je merimbun sampai naik ke atap bilik Wafa. Scary pulak bila tengok. Kalau bukan hantu, mesti ular boleh menjalar sebab merimbun macam tu.
Sampai di depan bilik Wafa, Aini terus buka pintu tapi dikunci dari dalam. Aini keluarkan kunci dari poket hoodie dia dan buka pintu. Tapi bilik kosong. Lampu, penyaman udara, televisyen dan air di toilet semua terpasang. Wafa pula tiada.
“Dia pergi dewan makan kot.” Zahira meneka.
“Tak logiklah. Dia cuma ada satu jalan je untuk ke dewan makan. Tak berselisih dengan kita pun.” Aku membalas.
“Korang, dah jumpa Wafa ke?” tiba-tiba terdengar suara Zulia. Dia baru sampai bersama pensyarah dan suami Kak Ina. Suami Kak Ina ni pandai sikit bab merawat orang ni.
“Wafa tak ada dalam bilik.” Aini mengintai bawah katil, tetap tiada.
Tak sampai sepuluh saat, kami terdengar suara perempuan menyanyi. Bahasa apa pun kami tak tahu sebab tak jelas. Yang pasti suara itu datang dari arah hutan pokok buluh.
“Mesti Wafa.” kata Zulia sebelum semua bergegas pergi ke kawasan pokok buluh itu.
Punyalah susah nak menyelinap masuk ke lorong tepi bilik Wafa sebab batang pokok buluh dah bengkok. Suami Kak Ina sempat meminta maaf sebab tak sempat nak selenggara pokok buluh itu.
Rupanya di kawasan belakang agak bersih dan tiada rimbunan belukar atau pokok lain. Mata aku tertumpu pada seorang perempuan yang berbaju kebaya hijau pucuk pisang. Perempuan itu ialah Wafa. Dia masih menari dengan lenggok seperti penari professional.
Wafa berhenti menari dan menoleh ke arah kami. Matanya tajam merenung setiap orang. Tiba-tiba bibirnya tersenyum dan dia kembali menari. Baru aku perasan di tangannya ada bunga putih yang dia petik tadi. Sesekali dia mencium bunga itu dari kelopak hingga ke tangkai.
“Sir, bunga tu Wafa petik masa dekat air terjun tadi.” aku terpaksa memberitahu pensyarah sebab bimbang kalau Wafa dirasuk gara-gara bunga yang dia petik.
“Biar betul?” Pensyarah dan yang lain terkejut.
“Nak ambil boleh tapi ada caranya, ada adabnya. Jom kita tolong budak tu dulu.” kata suami Kak Ina. Dia dan pensyarah mendekati Wafa.
Kami yang perempuan ni tunggu di tepi saja sebab perempuan kan lemah sikit, hehehe. Aku lihat Wafa makin ke belakang. Air mukanya nampak bengis seperti tidak suka didekati.
“Kau jangan dekat. Aku b***h budak ni!” Wafa menengking.
“Kenapa kau ganggu dia? Keluar dari badan dia!” Suami Kak Ina membalas.
“Dia ambil barang kepunyaan puteri aku!” suara Wafa bertukar menjadi suara perempuan berdialek seperti Melayu Lama.
Aku tahu barang yang dimaksudkan adalah bunga putih itu. Sejujurnya aku tak nampak apa-apa bunga yang mekar di air terjun tadi. Mungkin kebetulan Wafa ternampak bunga dari alam sana, tu yang dia terus petik.
“Dia tak tahu barang itu kepunyaan kau. Jangan apa-apakan dia.” Suami Kak Ina masih berdialog dengan benda dalam badan Wafa. Tiba-tiba Wafa membuka silat.
Pensyarah cepat-cepat berjalan ke arah kami dan menyuruh kami berempat tunggu di depan bilik. Spoil sikit sebab tak dapat nak tengok sesi buang benda tu. Cuma terdengar suara perempuan menjerit dan suara suami Kak Ina. Sesekali terdengar suara pensyarah.
Hampir setengah jam, Wafa dibawa pulang ke bilik dalam keadaan longlai. Tepi bibirnya ada sedikit luka dan kedua belah pipinya ada kesan cakar. Suami Kak Ina kata Wafa bertindak agresif tadi. Tapi syukurlah benda tu setuju untuk keluar dan bawa bunga kepunyaan puterinya pergi.
“Saya minta maaf.” Wafa menangis.
“Tak mengapa. Jadikan pengajaran. Jangan sesekali kita bertindak melulu. Kalau suka apa-apa, boleh beritahu pada Abang Raden atau petugas lain.” kata suami Kak Ina.
Selesai semuanya, kami kembali ke dewan makan tapi Aini dan Zulia duduk menemani Wafa di bilik. Wafa masih lemah untuk berjalan. Sudahlah seharian hiking, lepas tu kena menari pula. Lagi la double penat tu.
Mula-mula ingat semuanya selesai. Rupanya ada lagi gangguan. Ketika kejadian, kami semua baru selesai perbincangan sesi malam. Dalam pukul sebelas malam, masing-masing dah boleh balik ke bilik untuk tidur. Jadi, kami berjalan beriringan sambil bercerita.
Tengah berjalan ke bilik masing-masing, semua rancak bercerita plan untuk esok. Ada yang nak beli buah tangan untuk budak bilik di kolej kediaman, ada yang nak bergambar puas-puas. Aku tengok Wafa je yang diam tak bersuara. Senyum pun tidak. Mungkin dia masih belum sihat sepenuhnya.
Bukk!!
Tiba-tiba Wafa terjelepok jatuh. Masing-masing terkejut. Wafa bukan jatuh pengsan. Tapi dia merangkak. Dia merangkak membentuk bulatan dengan kepala ke kiri dan ke kanan. Matanya meliar memandang sekeliling. Cara dia merangkak sama macam dalam cerita seram. Mula-mula perlahan kemudian laju.
“Yang lain masuk ke bilik masing-masing. Aini, Iris. Kamu berdua boleh tunggu.” fuh, mujur nama aku tersenarai. Dapatlah tengok sebab aku kepochi! Hehe. Yang lain balik bilik atas arahan pensyarah.
“Kenapa kau datang balik? Kenapa kau ganggu budak ni?” suami Kak Ina menyoal benda tu.
Wafa tidak menjawab. Dia cuma menyeringai sambil merenung wajah suami Kak Ina. Senyumannya cukup menyeramkan walaupun Wafa merupakan seorang gadis cantik dan manis.
Suami Kak Ina hilang sabar. Dia membuka penutup botol air mineral lalu dibaca ayat suci Al-Quran. Aku lihat Wafa menengking marah. Matanya terbeliak kemerahan.
“Keluarlah secara baik dan jangan pernah kembali atau aku akan bakar engkau!” ugut suami Kak Ina.
Wafa menjerit kepanasan sebaik sahaja air itu terkena tubuhnya. Suami Kak Ina meletakkan tangan di ubun-ubun Wafa lalu mulutnya terkumat-kamit membaca. Wafa meraung kesakitan.
“Dia tidak pulangkan barang aku!” akhirnya benda tu bersuara dengan dialek Melayu Lamanya.
“Barang apa? Aku sudah kembalikan bunga putih milik puteri engkau!” suami Kak Ina bertegas. Dia tidak mahu terpedaya dengan helah benda itu.
“Ada dua!” benda itu menengking. Nafasnya kasar.
Suami Kak Ina terkejut mendengar. Dia menyuruh aku dan Aini pulang ke bilik untuk memastikan ada atau tidak bunga yang dimaksudkan. Kalau ada, bermakna Wafa memang ambil lebih dari satu. Memang nak kena budak Wafa ni.
Aku membantu Aini mencari. Mula-mula aku ingat benda tu tipu dan sengaja datang untuk balas dendam. Tapi tiba-tiba saat Aini menarik zip luggage Wafa, terpampang bunga putih yang masih elok terletak di dalamnya. Automatik satu bilik berbau wangi.
“Kau tunggu dia sedar nanti. Aku nak ketuk kepala dia.” Aini mengomel geram sambil membawa bunga itu keluar.
Sejurus melihat kami datang bersama bunga itu, Wafa pantas mendengus. Pensyarah mengambil bunga itu lalu menyerahkannya kepada suami Kak Ina. Wafa cepat-cepat menyambar bunga itu. Dia menggenggam erat.
“Kau dah dapat semua hak milik kau. Pulanglah ke tempat kau semula.” suami Kak Ina bersuara tenang.
Tiba-tiba Wafa jatuh. Dia pengsan. Suami Kak Ina menyuruh aku dan Aini membawanya pulang ke bilik. Pensyarah dan suami Kak Ina ikut sekali hingga ke depan pintu. Mujurlah sekejap saja dia pengsan. Pengsan-pengsan ayam. Dapatlah dia dengar bebelan dari kami semua.
“Saya memang ada ambil dua kuntum tapi masa kejadian kat pokok buluh tu benda tu cuma ambil satu dan pergi. Saya ingat dia memang tak pedulikan yang lagi satu ni. Jadi, saya bercadang nak bawa balik…” Wafa menjelaskan dengan nada sedih.
Pensyarah menggeleng mendengar kata-kata Wafa. Suami Kak Ina hanya mengangguk. Riak wajahnya biasa. Tidak nampak marah walaupun kami dah buat hal kat tempat dia. Wafa berkali-kali ucap terima kasih dan kata maaf kepadanya.
“Saya harap tiada apa-apa lagi yang berlaku. Jangan ulang lagi kesilapan ni.” pesan suami Kak Ina sebelum dia meminta diri untuk pulang bersama pensyarah.
Aku tidur di bilik Aini dan Wafa malam itu. Mujur tiada gangguan lain sehingga kami bertolak balik keesokannya. Maaf kalau kisah ni tak seram tapi ambillah pengajaran supaya tidak terkena macam Wafa.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
Cerita yg best untuk di dengar dan dapatkn pengetahuan tentang apa yg patut dan tidak patut dilakukan tentang sesuatu yg kita tidak dapat melihat jelas dengan pandangan mata kasar…
Adeh wafaa.. Letih ada kawan perangai cm kamu ni.. Dh kene pon masih lagi bendul nak bawak balik.. Geram jadinya bila baca cerita ni..
padan muka la budak wafa ni
Memalukan nama wafa betul la wafa ni, aduh.
berhati2 lah kita bila masuk hutan