Misteri Rumah No. 4

Assalammualaikum..hai pembaca blog FS..saya tak ingat macam mana saya jumpa blog ni..heheh..lepas dah baca satu cerita, jadi macam syok pulak nak baca cerita yang lain-lain..then rasa macam nak share pulak story..so ini la ceritanya..tapi maaf kalau tak seram dan panjang sangat..

Cerita pertama :
Masa kecil saya tinggal dengan arwah tok saya, nenek, makcik dan pakcik saya. Masa tu kami tinggal di taman perumahan di Ipoh. Di luar rumah kami ada sebatang pokok mangga yang tinggi dan rimbun. Jadinya bila naik ke tingkat 2 rumah tersebut, memang boleh nampak terus pokok tu dari bilik pertama sebab tangga memang betul-betul depan pintu bilik pertama tu. Tapi tak adalah rasa seram sangat macam bilik tengah.

Bilik tengah tu suasananya macam malap je, mungkin disebabkan rimbunan daun-daun pokok mangga tu. Setiap kali lalu depan bilik tengah tu mesti rasa tak ‘best’. Tak tahulah kalau perasaan sendiri ke, apa kan. Kami semua jarang tidur kat bilik sebab kami suka tidur di tingkat bawah depan tv. Nak jadi cerita, ada suatu hari tu saya tak ingat sebab apa kami semua tidur kat bilik. Saya dan 2 orang makcik saya tidur di bilik tengah tu. Saya tidur di tengah-tengah. Sebelum atau tengah tidur tu saya tak rasa apa-apa pun.

Yang saya sedar bila saya dengar makcik dan arwah tok saya panggil-panggil nama saya. Masa saya sedar tu, saya dah ada di atas lantai dengan darah berlumuran dari dagu saya. Saya buka je mata, terus arwah tok saya dukung dan bawa saya ke klinik. Siangnya makcik saya cerita, dia terjaga dari tidur bila sedar saya tak ada atas katil. Dia cari saya tengok-tengok saya dah ada atas lantai.

Yang menjadi persoalannya sekarang, macam mana saya boleh jatuh dari katil sedangkan saya tidur tengah-tengah? Dan kedudukan saya jatuh dari katil. Masa tidur kami tidur bertiga secara menegak, tapi kedudukan saya masa atas lantai, melintang. Takkanlah saya tidur lasak sangat kan? Sampai sekarang menjadi misteri pada saya dan tak pasal-pasal dagu saya dapat parut. Huhu..

Cerita kedua :
Masa ni saya tak ingat saya darjah berapa. Yang saya tahu, waktu saya balik dari sekolah tu memang tak ada orang lain kat rumah sebab pakcik saya masa tu bersekolah sesi petang (sekolah menengah). Arwah tok, nenek dan makcik-makcik saya memang tak ada di rumah waktu tu sebab berniaga di kantin sekolah. Macam biasa, saya buka pintu nak masuk rumah tapi kali ni saya rasa tak sedap hati.

Dari pintu rumah tu saya boleh dengar macam ada orang tengah selak halaman majalah laju-laju lepas tu campak Untuk pengetahuan, kat tepi bilik yang depan tangga tu ada satu tandas dan kami letak mesin basuh kat situ. Sebelah mesin tu ada ruang sikit dan kami letak semua majalah-majalah lama kat situ.

Masa tu dalam kepala otak dah fikir siapa pula yang ada kat rumah ni? Banyak kali bunyi tu berulang. Saya nak tanya siapa takut, apatah lagi nak jenguk. Sudahnya saya buat keputusan, kunci pintu dan tunggu di luar rumah je. Bila arwah tok saya sampai dan tanya kenapa tak masuk, saya buat alasan tertinggal kunci. Hahaha..

Padahal takut yang sebenarnya. Bila dah masuk, bunyi tu dah tak ada lagi dan saya pun beranikan diri naik atas. Cuba teka apa? Tak ada sebarang majalah yang bersepah pun! Habis tu, mana datangnya bunyi macam halaman majalah tu diselak laju-laju dan dicampak??

Cerita tiga :
Suatu malam ni, saya tidur dengan makcik saya kat bilik hujung. Yang lain-lain semua tidur kat tingkat bawah. Kami tidur dalam bilik sebab kat tingkat bawah dah penuh. Kebetulan ada pakcik dan makcik yang lain datang dan mereka lebih selesa tidur di bawah sebab ada anak-anak. Nak jadi cerita, tiba-tiba saya sakit perut.

Saya bagitahu makcik saya yang saya nak turun pergi tandas dan dia pun ok kan aje dan sempat pesan jangan lama sangat. Saya pun turun bawah walaupun tingkat atas tu pun ada tandas. Tandas atas tu jarang digunakan sebab airnya perlahan jadi memang tandas tingkat bawah la yang jadi pilihan. Lepas saya tunaikan hajat, saya terus naik atas cepat-cepat tanpa tengok keadaan di ruang tamu. Saya sampai je depan bilik, tengok-tengok makcik saya tak ada.

Saya pelik. Masa saya nak patah balik ke tangga tu, lalu je kat bilik tengah tu terus bulu roma saya meremang. Saya cepat-cepat lari turun tangga. Masa saya sampai kat bawah, saya terkejut sebab sebenarnya kat ruang tamu tu tengah huru hara. Macam mana saya boleh tak nampak pun saya tak tahu dan mereka semua pun terlupa pasal saya.

Rupa-rupanya masa saya tengah memerut tu, makcik saya rasa tak sedap hati. Dia terbau macam bau colok atau kemenyan dibakar. Dia nak turunlah. Masa dia lalu kat bilik tengah tu, dia terasa macam ada lembaga hitam, besar dan berbulu kat depan pintu bilik tengah tu. Dia cepat-cepat lari tapi lembaga tu dapat tangkap makcik saya dan makcik saya meronta-ronta untuk lepaskan diri.

Dia tak sedar berapa banyak anak tangga yang dia lompat untuk sampai ke tingkat bawah. Dalam masa yang sama, nenek saya pun meracau-racau dalam tidur kat tingkat bawah. Masa tu memang keadaan kecoh dan yang peliknya saya boleh tak sedar pun kekecohan tu masa keluar dari bilik air, padahal kalau saya keluar je dari bilik air tu memang akan lalu kat hall dulu sebelum naik tangga.

Saya boleh terus je naik atas dan nasib baiklah saya cepat-cepat turun bawah. Kalau saya terus tunggu, tak tahulah apa yang akan jadi. Lepas kejadian tu, arwah tok saya terus ambil wuduk dan solat di tingkat atas dan terus tidur di bilik pertama tu. Kami yang lain-lain tidur di ruang tamu beramai-ramai.

Tak lama lepas tu, kami pun berpindah. Sebenarnya sampai sekarang pun setiap apa yang berlaku kat rumah tu masih menjadi misteri pada saya. Dengar cerita juga pokok mangga tu dah ditebang. Sebelum kami pindah, tuan rumah tu beria-ia suruh arwah tok beli rumah tu tapi arwah tok menolak sebab dia nak tinggal di kampung halaman. Mungkin tuan rumah pun tahu kot keadaan rumah tu sebab tu dia nak sangat arwah tok beli. Wallahualam..tq sebab sudi baca..

::Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *