#NA: Kesian Paktam

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat admin dan semua warga FS. Ni kali pertama saya kongsikan pengalaman saya sendiri dekat FS (tempat melepak time takda kerja). Pertama sekali saya nak minta maaf jika apa yg saya nak kongsikan ni tak seram mana sb niat utama saya bukan untuk menakutkan pembaca semua tapi sekadar untuk dijadikan pengajaran. Izinkan saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya NA. Wanita yg bakal melanjutkan usianya 25 tahun pada bulan 3 2017 ni. Saya mempunyai beberapa pengalaman yg bagi saya agak menguji keimanan la jugak. Dan ini salah satu dari pengalaman pelik bin ajaib buat saya dan keluarga. Lupa nak bagitau. Saya ni bukanlah jenis yg berani tapi saya lebih kepada BUAT BUAT BERANI. So harap korang buat buat faham la eh.

Kisah ni berlaku lebih kurang 17 tahun yg lepas. Masa tu umur saya 8 tahun (darjah 2). Ada bahagian dari kisah ni yg 70% dari memori ingatan saya yg boleh tahan kuat la jugak dan lagi 30% dari memori ingatan Ayah dan Mak. Dari kecik saya dah belajar untuk berdikari. Senang kata independent. Ayah dan Mak saya dua-dua kerja. Adik-beradik saya ada 4 orang. Along dan Angah belajar jauh. Alang masa tu darjah 6. Saya dengan Alang satu sekolah tapi berbeza sesi. Saya sesi petang, Alang sesi pagi. Keluarga saya masa tu menetap di rumah teres 2 tingkat. Jiran kami keluarga melayu ada 6 orang anak. Anak-anak dia semua jarak dekat-dekat. Umur lebih kurang sama dengan saya. Suami dia bekerja. Isteri dia full-time housewife. Disebabkan jiran saya tu sangat baik, jadi Ayah amanahkan jiran untuk “tengok-tengokkan” saya ketika Ayah dan Mak bekerja. Maksud “tengok-tengokkan” tu adalah saya tak dibenarkan pergi ke rumah jiran saya. Cukuplah sekadar saya bermain dengan anak-anaknya melalui pagar dawai hijau yg memisahkan rumah kami. Kenapa?? Mungkin sebab Ayah dan Mak tak mahu tambahkan kesusahan jiran saya untuk jaga saya. Yela mungkin risau saya akan sepahkan rumah jiran saya tu. Almaklumlah budak lasak hehe. Kebiasaannya saya akan tinggal seorang di rumah bermula pukul 7.30pagi sampai tengahari. Kemudian Ayah akan pulang ke rumah dan jemput saya untuk dihantar ke sekolah.

Cukup pengenalan buat diri saya. Kisah yg saya nak ceritakan adalah mengenai PAKCIK saya. Nama panggilan PAKTAM . Paktam ni adik kepada Mak saya. Masa tu umur Paktam awal 30an. Muda lagi. Handsome. Kerja bagus. Ada rumah dan kereta hasil titik peluhnya sendiri. Paktam dah berkahwin dan dikurniakan 2 orang anak (sepasang). Seorang lelaki dan seorang perempuan. Dua-dua umur lebih kurang saya dalam sekitar 7 ke 9 tahun. Jadi saya dan anak-anak Paktam sangat rapat masa tu. Lagi-lagi bila Paktam dan isterinya selalu jugak menghantar anak-anaknya di rumah kami kerana rumah kami tak begitu jauh. Dalam kawasan Negeri Sembilan jugak. Isteri Paktam boleh dikategorikan sebagai cantik la jugak. Senang cakap kehidupan Paktam serba serbi sempurna.

Sampailah satu malam, masa tu Abah baru balik kerja. Biasalah kerja seharian memang penat. Abah rehatkan diri dekat kerusi rotan yg terletak di ruang tamu sambal layan TV dengan saya, Mak dan Alang. Tiba-tiba, TOK TOK TOK!! Bunyi pintu rumah kami diketuk bertalu-talu. Masing-masing kaget. Berpandangan sesama sendiri. “Siapa pulak yg datang lewat malam macam ni??”, tanya Ayah. Masing-masing diam seribu kata kecuali saya yg hyper. Biasalah budak-budak baru 8 tahun mesti akan ada rasa happy bila ada orang datang rumah malam-malam. Sebabnya dapat tidur lambat. Bila dapat tidur lambat so boleh layan TV lama-lama. Gitu?? Haha. Ok, fokus balik dekat siapa yg datang tadi. TOK TOK TOK!! Pintu diketuk lagi. Ayah bangun lantas pergi ke tingkap sliding door dan terus mengintai siapa di luar. Tiba-tiba Ayah berjalan laju ke pintu dan terus membuka pintu. Elok pintu terbuka, kami terkejut kerana melihat Paktam di depan pintu sambil menangis teresak-esak. Saya yg tengah melompat seperti kera kena julap terus berdiri diam memandang Paktam. Kenapa Paktam menangis?? Apa yg buatkan Paktam datang lewat malam dan sedih sampai macam ni?? Mana isteri dan anak-anak Paktam?? Semua soalan-soalan tu bertalu-talu muncul dalam kotak fikiran kami.

“Tolong saya Abang. Tolong saya”, ujar Paktam sambil teresak-esak menahan tangis. Kelihatan Paktam masih dalam pakaian kerjanya. “Kenapa ni?? Bawak mengucap. Istighfar banyak-banyak. Bagitau Abang apa sebenarnya dah jadi??”, balas Ayah yg cuba meredakan tangisan Paktam. “Saya taktau nak cakap macam mana Abang. Saya tak sangka dia sanggup buat macam ni dekat saya. Kenapa dia sanggup buat macam ni dekat saya. Tolong saya Abang, Akak. Saya dah tak tahu nak buat apa”, Paktam cuba menahan tangis namun masih juga airmatanya tak henti jatuh berderai. “Bawa mengucap banyak-banyak. Apa dah jadi ni??”, kali ni Mak pulak bertanyakan soalan kepada Paktam. Namun Paktam masih sukar nak menjelaskan perkara yg sebenar. Akhirnya setelah Ayah dan Mak Berjaya menenangkan Paktam, Paktam pun mula menceritakan perkara yg sebenar. “Saya baru balik kerja. Saya penat. Letih. Balik-balik bila saya buka pintu saya tengok ada seorang lelaki dengan isteri saya dalam rumah.”, Allah! Patutlah Paktam sedih. Paktam kata lepas isterinya kantoi dengan perkara terkutuk tu, lelaki durjana tu terus keluar rumah. Mungkin blah terus la kot dah kantoi busuk macam tu. Paktam sempat bergaduh dengan isterinya. Lepas dah geram sangat Paktam terus masuk kereta dan drive menuju ke rumah kami dalam keadaan yg sangat marah, kecewa bercampur sedih.

Paktam cuba mengajak Ayah dan Mak untuk ikut dia pulang ke rumahnya bagi menyelesaikan masalah tersebut. Namun selepas melihat waktu agak lewat malam dan kondisi Paktam yg tak begitu stabil, jadi Ayah dan Mak terpaksa menolak ajakan Paktam tersebut. “Kau balik dulu cuba bawa berbincang baik-baik. Jangan ikutkan perasaan. Besok awal pagi Abang dan Akak datang rumah kau.”, ujar Ayah kepada Paktam. Paktam pun mengangguk lemah dan pulang dalam keadaan sedih.

Pada keesokan harinya, Ayah dan Mak pergi ke rumah Paktam seperti yg dijanjikan malam tadi. Perjalanan dari rumah kami ke rumah Paktam mengambil masa dalam 15 minit sahaja. Sepanjang perjalanan tersebut, Ayah dan Mak cuba berbincang bagaimana nak selesaikan hal rumahtangga Paktam. Pening memikirkan. Yelah, hal rumahtangga orang kot. Rasa bersalah nak masuk campur tapi disebabkan adik sendiri, Mak usaha jugak untuk bantu. Sampai sahaja di rumah Paktam, Ayah dan Mak tengok pintu rumah Paktam terbuka. Ayah dan Mak pun terus buka pagar dan berjalan ke pintu rumah Paktam. Sampai je di pintu rumah yg dah sedia terbuka tu, Ayah dan Mak terkejut. “Eh, Abang dgn Akak dah sampai. Jemput masuk dulu”, isteri Paktam memulakan bicara dengan menjemput Ayah dan Mak masuk.

Ayah dan Mak terkejut melihat Paktam dan isterinya elok duduk berduaan di sofa menghadap TV sambil tangan isterinya memeluk Paktam dari belakang. “Maaflah kalau Abang nak bertanya sikit. Apa sebenarnya yg dah jadi malam tadi?? Kamu berdua dah berbaik??”, tanya Ayah. “Alahhh, takda apa lah Abang. Dia ni cemburu lebih je. Yg datang malam tadi tu kawan biasa je. Ktorg bukan buat apa. Kami dah berbaik balik dah. Hehe”, balas isterinya sambil tersenyum-senyum macam kerang busuk. Mak berasa pelik melihat perwatakan adiknya yg kaku menunduk ke bawah dari tadi tanpa berkata sepatah pun. “Kau ok dah??”, tanya Mak kepada Paktam.

Paktam hanya diam membisu. “Dia ok je kak. Cuma penat sikit. Hehe”, isterinya balas pertanyaan Mak tadi sambil gelak kecil. Setelah mendapati Paktam dan isterinya dah berbaik, Ayah dan Mak pun meminta izin untuk pulang. Sempat juga Ayah dan Mak memberi sedikit pesanan kepada Paktam dan isterinya supaya jangan mengulangi perkara yg sama lagi.

Sepanjang perjalanan pulang, Ayah dan Mak berasa sedikit lega kerana Paktam dan isterinya dah berbaik semula. Tapi dalam lega mereka timbul rasa pelik. Takkan malam tadi nampak dengan mata kepala sendiri bini bawak masuk laki lain dalam rumah lepastu pagi ni dah berbaik kot?? Mak pulak terus pelik dengan perwatakan adiknya yg tak seperti biasa. Kelihatan seperti adiknya tadi sangat akur dengan apa saja yg isterinya katakan. Hati Mak mula rasa tak sedap.

Selang beberapa hari, kami dapat tahu bahawa Paktam dan isterinya dah bercerai. Lepas Paktam dah bercerai, kami dah tak jumpa lagi isterinya. Anak-anak Paktam masih lagi tinggal di rumah Paktam. Jadi sejak Paktam bercerai, kami selalu jugak la ke rumah Paktam. Saya seronok la sebab dapat bermain dgn anak-anak Paktam. Terutama anak perempuannya yg berumur 7 tahun. Setahun muda dari saya. Namun, selang beberapa bulan, anak-anaknya diambil oleh bekas isterinya dan dibawa duduk di Perak.

Makin hari gelagat Paktam makin pelik. Paktam dah mula tak solat, cakap sorang-sorang, rumah yg selama ni kemas rapi dah mula bersepah, barang keperluan dapur banyak yg dah rosak. Pekerjaan Paktam pula mula terganggu. Paktam dah mula tak fokus pada kerjayanya. Kami dapat tahu pun sebab Mak satu office dengan Paktam. Jadi apa-apa perkara pelik yang Paktam buat dekat office, staff-staff office akan bagitau Mak. Senang cerita Paktam dah jadi macam orang yg hilang akal. Pergi kerja naik kereta, balik kerja jalan kaki. Tinggalkan kereta dekat office. Petang-petang duduk termenung dekat kubur cina. Habis barang pelik-pelik macam patung yang dia jumpa dekat tepi-tepi jalan semua dia kutip and bawa balik rumah.

Termasuklah patung perempuan yang dekat kedai baju tu and patung cina kepala botak perut buncit. Pernah sekali kami pergi rumah Paktam, rumah Paktam penuh dengan barang terbuang yg Paktam kutip. Sampailah satu tahap, Paktam diminta untuk berhenti kerja. Allahu, besar ujian hidup buat Paktam.

Ayah dan Mak mula bawa Paktam berubat moden. Doktor kata Paktam sihat. Takda sakit apa-apa cuma mungkin sedikit tertekan sb rindukan anak-anak. Keadaan Paktam makin teruk. Paktam dibawa tinggal bersama kami. Saya yg pada mulanya suka bermain dengan Paktam terus jadi takut bila melihat perwatakan Paktam pada ketika tu. Seperti yg saya ceritakan pada awalnya, pada pukul 7.30pagi sampai tengahari saya akan ditinggalkan berseorangan di rumah dengan jiran yg hanya akan “tengok-tengokkan” saya kerana saya bersekolah pada sesi petang.

Sekarang saya akan ditinggalkan dengan Paktam yg sakit berduaan di rumah. Masa tu saya kecik lagi. Tak tahu apa. Jadi saya layankan semua yg Ayah dan Mak suruh. Ayah amanahkan saya untuk kunci pintu grill rumah setiap kali keluar dan masuk rumah. Jangan sesekali biarkan tk berkunci. Sebab apa?? Sebab taknak Paktam terlepas keluar dari rumah. Yes! Keadaan Paktam masa tu sangat kritikal. Macam orang kena rasuk. Saya turutkan semua pesanan Ayah sebab masa tu Ayah sangat garang. Tapi segarang-garang Ayah, tak pernah pulak kena pukul.

Pada suatu hari, lepas Ayah dan Mak dah pergi kerja, saya terus keluar dan kunci pintu grill rumah. Pintu grill je saya kunci tapi pintu kayu saya bukak luas jadi saya dapat nampak apa yg Paktam buat dekat dalam. Masa tu saya macam biasa bermain dengan anak jiran sebelah dengan dipisahkan oleh pagar dawai hijau. Yela, Ayah kan tak bagi pergi rumah jiran tu. Jadi saya akur. Masa seronok main masak-masak, main payung-payung dan segala permainan, tiba-tiba saya rasa nak terkencing. Saya pun bergegas ambil kunci dan terus ke pintu grill.

Belum sempat saya nak bukak pintu grill tu, tiba-tiba saya terkejut dengan apa yg saya nampak. Allah! Apa pulak yg Paktam buat bawah meja tuuuu. Saya nampak Paktam tengah merangkak-rangkak bawah meja antik. Meja antik tu besar. Kaki meja tu berselirat. Nama pun meja antik kan. Paktam pergi merangkak dan berselirat sama bawah meja tu macam ular. Saya yg tadi tak tahan nak terkencing terus patahkan niat dan pergi ke rumah jiran untuk tumpang kencing. Hehehe sorry Ayah terpaksa langgar arahan. Darurat. Lepas settle urusan saya, saya pun bergegas balik ke rumah balik. Saya cuba intai ke dalam rumah apa yg Paktam tengah buat tapi saya tak nampak pun bayang Paktam. “Mungkin Paktam dah naik atas kot”, ujar saya dalam hati.

Saya sambung bermain bersama jiran. Sedang kami leka bermain, BAMM!! Bunyi kuat seakan ada benda berat jatuh dari atas rumah. Tiba-tiba saya nampak kelibat Paktam sebelah saya. ZUPP!! Paktam lari keluar rumah. Alamakk! Macam mana ni?? Paktam dah lariii. Saya tak tahu macam mana Paktam boleh naik ke bilik Ayah dan terjun ke bawah melalui beranda. Panjang akal Paktam ni walaupun sakit. Tanpa berlengah saya terus ambil kunci dan buka pintu grill masuk ke dalam rumah untuk call Ayah. “Ayahh, balik cepat! Paktam dah lari!!”, ujarku dalam nada cemas. Selang beberapa jam, tiba-tiba Ayah sampai di rumah. Saya tergamam seketika apabila melihat Paktam ada di dalam kereta bersama Ayah. “Eh, macam mana Ayah jumpa Paktam??”, tanyaku pantas sejurus Ayah turun dari kereta. “Ayah jumpa Paktam dekat rumah dia”. Saya terkejut mendengar jawapan Ayah. Macam mana Paktam boleh berjalan kaki dengan berkaki ayam dalam cuaca yg panas boleh sampai ke rumahnya.

Bayangkan matahari dah tinggi then korang berkaki ayam atas jalan tar tu. Confirm tak sampai berapa saat kaki korang akan menggelupur kepanasan. Kami tahu Paktam berjalan kaki pun sebab masa Ayah cari Paktam, kawan Ayah call Ayah bagitau dia nampak Paktam berjalan kaki dengan berkaki ayam menghala balik ke rumah dia. Memang almost semua kawan-kawan sekerja Ayah dan Mak tahu tentang keadaan Paktam. Jadi bila ada antara kawan-kawan Ayah atau Mak yg nampak kelibat Paktam dekat mana-mana diorang akan cepat-cepat bagitau dekat Ayah dan Mak.

Teruk juga Ayah marah Paktam masa tu. Macam bapak marah anak. Ayah risaukan keselamatan Paktam. Masa tu Paktam melawan cakap Ayah. Paktam kata dia nak balik rumah dia. Ayah dan Mak takkan bagi Paktam balik ke rumah dia selagi dia belum betul-betul pulih. Kalau dia balik rumah dia pun siapa yg akan jaga makan pakai dia. Berubat moden tak jalan, jadi Ayah dan Mak bawa Paktam berubat kampung. Bermacam jenis ustaz dan bomoh Ayah dan Mak ikhtiar.

Sampaikan habis beribu-riban duit Ayah dan Mak bawa Paktam berubat. Masih tak baik. Ustaz dan bomoh yg kami jumpa hampir semua bagi jawapan yg sama. Katanya Paktam jadi macam tu gara-gara perbuatan bekas isterinya. Bekas isterinya hantar “sesuatu” dekat Paktam untuk buat Paktam jadi tidak waras supaya Paktam tak bongkarkan segala rahsia hitam dia dengan lelaki durjana tu. “Sesuatu” yg dihantar tu sangat kuat sebab dihantar menggunakan bomoh siam. Sebab tu agak sukar untuk ustaz dan bomoh biasa untuk ubatkan sakit Paktam. “Sesuatu” itu juga dihantar bagi membuatkan Paktam sentiasa gilakan isterinya walaupun sudah bercerai. Tergamakkan??

Walaupun sakit Paktam agak menakutkan, tapi Paktam tak pernah sekali pun berkasar dengan saya sepanjang saya menjaga Paktam. Paktam sangat penyayang. Paktam suka bergurau dengan saya, cakap merapu. Orang cakap merapu dengan budak-budak memang confirm akan dilayan la kan. Ayah dan Mak memang tak layan la sebab kadang-kadang Paktam cakap terlampau merapu. Sampaikan dia pernah cakap benda yg boleh mensyirikkan Allah. Haa mana Ayah tak marah. Namun kadang-kadang Paktam pernah menitikkan airmata di depan saya.

Pernah juga ketika di dalam kereta dimana saya mengikuti Ayah dan Mak balik dari berubatkan Paktam, Paktam menitikkan airmata ketika mendengar lagu Amy Mastura yg bermain di radio. “Paktam, kenapa Paktam menangis ni??”, tanyaku pada Paktam. Paktam memandang tepat ke mata saya lalu berkata, “Paktam rindu. Paktam rindu sangat dekat anak-anak Paktam. Paktam nak jumpa diorang.”, balas Paktam terhadap soalan saya tadi. Mungkin lagu tu ada kaitan dengan anak-anak Paktam. Mungkin mereka sukakan lagu tu. Sedih dengar keluhan hati Paktam. Rindu seorang Ayah pada anak tapi apakan daya anak-anak telah “diambil” oleh Ibunya.

Mungkin bekas isteri Paktam sengaja menghantar “sesuatu” dekat Paktam agar Paktam jadi kurang waras supaya dia dapat hak penjagaan anak-anaknya. Keperitan hidup Paktam tak habis setakat itu sahaja. Selang beberapa tahun, masa tu Paktam masih sakit tapi Abah dan Mak terpaksa bagi Paktam tinggal di rumahnya sendiri disebabkan Paktam dah banyak kali melompat dari beranda bilik Ayah dan Mak yg terletak di tingkat atas.

Disebabkan risau dengan perkara tersebut asyik berulang dan boleh mencederakan Paktam, jadi Ayah dan Mak benarkan Paktam tinggal di rumahnya sendiri. Masa tu umur saya dalam linkungan 11 ke 12 tahun. Dalam masa tu Paktam ada bagitau yg anak-anaknya kerap datang ke rumah dengan menaiki bas awam. Dalam sebulan ada la dalam sekali, dua diorang akan datang. Mula-mula Ayah dan Mak agak terkejut. Anak-anak dia umur lebih kurang saya. Beraninya diorang naik bas dari Perak sampai ke Negeri Sembilan tanpa orang tua.

Tiap kali Paktam jumpa anak-anaknya, terserlah perasaan yg sangat gembira di muka Paktam. Tapi lepas anak-anaknya pulang, mulalah tak keruan. Dalam tempoh tu, Ayah dan Mak tak henti cari ikhtiar bawa Paktam berubat. Sampai satu tahap, Ayah dan Mak perasan kereta Paktam dah takda. Paktam datang ke rumah kami dengan menaiki motosikal. “Eh, mana kereta?? Ni motor siapa??”, tanya Mak dekat Paktam. Paktam selamba menjawab, “Dah jual. Lepastu beli motor ni. Cukuplah buat jalan dekat-dekat”. Ayah dan Mak pelik. Kenapa sampai jual kereta pulak. Sedangkan Paktam sayang sangat dekat kereta tu. “Macam mana kerja?? Ok??”, tanya Mak dekat Paktam. “Ok je. Tauke tu baik”, ujar Paktam. Sepanjang Paktam sakit, Paktam bekerja di kedai telefon depan rumahnya. Cina tu bagi Paktam kerja sebab kesian tengok Paktam tak bekerja.

Kerja setakat topupkan nombor pelanggan, fotostat. Bayangkan daripada kerja dekat company besar dengan jawatan bagus akhirnya bekerja di kedai biasa dalam usia 30an. Besar ujian Paktam.

Penyakit Paktam on and off. Maksudnya kejap ok kejap tak ok. Kalau ok, Paktam boleh berfikir waras. Boleh solat, cakap macam orang sihat, tersenyum je. Tapi kalau datang sakitnya, jadilah kes-kes pelik. Contohnya, pergi kedai bawak motor, balik rumah jalan kaki. Motor dia tinggalkan dekat kedai. Then bila lalu tepi jalan and nampak benda-benda pelik dia kutip and bawa balik rumah buat collection. Pernah sekali Paktam keluar rumah dia dalam keadaan bogel. Terkejut cina sebelah rumah dia. Terus cina tu call Ayah bagitau Paktam buat free show satu taman. Allah, kesian bila difikirkan balik.

Lepas jual kereta, barang-barang rumah Paktam makin lama makin berkurangan. Contohnya sofa, TV semua dah tkda. Bila ditanya, Paktam kata dah jual. Ayah dan Mak makin pelik. Mana pergi duit simpanan Paktam yg banyak dulu?? Kenapa sampai semua benda nak jual?? Sampai satu tahap, Paktam bagitau dekat Mak mengenai niatnya nak tukar nama rumah dia ke nama anaknya. Mak terus tak sedap hati. Mak tanya kenapa tiba-tiba nak tukar nama?? Last-last Paktam bagitau selama ni anak-anaknya datang ke rumah minta duit dekat Paktam. Then sampai satu hari tu, anaknya balik and minta Paktam tukar nama rumah tu ke nama dia.

Bila Paktam tanya dekat anaknya kenapa nak tukar, anaknya kata sebab Ibu yg suruh. Masya-Allah, nak gugur jantung Mak dengar penjelasan Paktam. Rupanya selama ni bekas Isteri Paktam gunakan anak-anaknya sebagai medium atau orang tengah untuk kaut harta Paktam. Patutlah segala barang-barang rumah dan kereta Paktam sanggup jual. Dah kena bomoh. Mungkin Paktam sendiri tak sedar dengan semua tindakan dia tu. Rasanya kalau Paktam sihat, Paktam takkan semudah tu nak bagi semua hasil titik peluhnya sendiri dekat orang lain. Nak-nak pulak orang tu bekas isterinya sendiri yg pernah kantoi busuk depan matanya sendiri. Dalam rumahnya sendiri pulak tu. Dan bekas isterinya tu dah berkahwin lain. Mungkin dengan lelaki tu?? Wallahualam.

17 tahun. Yes, perkara tu dah berlalu 17 tahun namun sampai ke hari ni masih tiada penghujung. Tiada noktah. Sampai sekarang Paktam masih sakit. On and off. Secara normal semua orang akan ingat zaman masa kanak-kanak bermain nyorok-nyorok, kawin-kawin, dan sebagainya. Kalau orang tanya saya kenangan zaman kanak-kanak apa yg saya paling ingat. Inilah jawapannya. Kenangan menjaga pakcik yg sakit gara-gara dibuat oleh bekas isterinya sendiri. Isteri curang, hilang kasih sayang anak-anak, hilang kawan, hilang kerjaya, korban kereta demi anak-anak. Rumah?? Setahu kami Paktam tak tukar nama rumah tu. Tapi tak tahu la sekarang macam mana.

Last saya jumpa Paktam bulan 12 2016 masa majlis perkahwinan saya. Masa adik-beradik belah Mak datang ke pelamin untuk bergambar, saya terkejut melihat Paktam ada sekali. Tersenyum Paktam memandang saya. Tak tahu kenapa tiba-tiba hati saya rasa sayu sangat bila tengok wajah Paktam yg kurus cengkung. Bergenang airmata. Nampak dah berumur sangat walaupun masa tu Paktam baru berumur awal 50an. Itulah kali terakhir saya melihat Paktam. Anak-anak Paktam pun dah meningkat dewasa sekarang. Mungkin sekarang Paktam dijaga oleh anak-anaknya. Tapi anak-anaknya tinggal bersama Ibu dan Ayah tiri mereka. Jadi tak tahu la siapa yg menjaga Paktam. Kami dah jarang hubungi Paktam sebab nombor telefon Paktam sering kali bertukar. Pergi rumah Paktam tengok rumah takda orang.

Banyak kenangan pahit dan manis sepanjang jaga Paktam. Seperti saya bagitau pada awal cerita, kisah pengalaman saya ni tak seram. Sekadar ingin kongsi pengalaman untuk dijadikan pengajaran. Yg ada niat nak main bomoh hantar itu ini dekat orang, tolonglah hentikan. Jangan berdendam. Apa korang nak menjawab dekat Padang Masyar nanti lepas dah hantar benda-benda tak elok dekat orang lain?? Harap di zaman moden dengan peningkatan harga minyak dan barang yg makin cemerlang, gemilang dan terbilang sedikit sebanyak dapat membuka minda kita semua. Sama-sama kita doakan dimana saja Paktam berada, harap Paktam sentiasa dibawah lindungan-Nya dan sentiasa diberi kekuatan untuk ujian ini. Aamin.

#NA

::Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

NA

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

14 thoughts on “#NA: Kesian Paktam”

  1. Ya allah kesian paktam, awak cuba try buat Ruqyah ke atas pak tam. mana tahu pak tam boleh sihat. cuba ingat, allah tu maha membantu dan jangan lupa, allah takkan menduga seseorang melebihi keupayaan meraka.

    Reply
  2. ya allah beratnya ujian pak tam…smpai mcm tu sekali isteri dia sggup buat..nnt kan lah pembalasan dari allah..smg pak tam cpt sembuh…kata org penyakit ni allah nk bg kifarah pd seseorang tu..sbb allah nk beri yv lbh baik bila dia kembali ke rahmatullah.

    Reply
    • Sy rs slh seorang dri ahli kluarga kna jgk buat sesuatu…jgn ptus brubat..skali 2 brubat mmg xnmpk hsil..tp in shaa Allah ade jln pnyembuhannya

      Reply
  3. dl de sedara yg kena buat dgn isteri sndiri, lps bini dia dpt semua harta dia, bini dia tinggalkan dia. adik-beradik yg jaga dia. akhirnya dia sembuh tp lps beberapa bulan dia meninggal.

    Reply
  4. Sedinyaa… Menangis dah. Nape org snggup buat gitu . huuu. Moga boleh sembuh dngn izinnya. Bagusnya mak ayah awak tolong pergi berubatkan pak tam awak. Hanya pak tam awak je boleh rsa semua tu. Dlm keadaan sedar dan x sedar. Serious sedih sngt.

    Reply
  5. Mudah mudahan allah beri bantuan pada paktam , dan hidayah utk bekas isteri paktam. Ingat kita ada kehidupan akhirat selepas dunia ni , amal akan dihitung dan dibalas. Tiada soranf pun akan terlepas nanti. Syafakallah

    Reply
  6. aku time baca cerita ni always terfikir .. kalau dia tu kadang-kadang cakap benda yang mensyirikkan allah .. mesti kerja bekas wife dia kan ? .. and then kenapalaa bongok sangat bekas wife dia ajar anak² naik bas jauh-jauh 😩 apa² pun .. i hope your paktam selalu sihat dan mudah-mudahan allah bagi sekeluarga jalan untuk memulihkan semula paktam.. doakan baik-baik 😭

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.