#nana-MAAFKAN SURAYA

Assalamualaikum pada admin FS dan pembaca sekelian. Aku ingin menceritakan satu kisah dan kisah ini adalah berdasarkan kisah benar, 100 peratus benar. Kisah ini telah diceritakan oleh seorang sahabat kepada ku tentang kejadian yang pernah terjadi dikampungnya. Kiranya waktu itu keadaan telah menjadi sangat menakutkan dan mengganggu penduduk dikampung tersebut, sehingga ada yang masih trauma sehingga kini. Ia sememangnya tidak dihebohkan kerana ia boleh mengaibkan ahli keluarga yang terlibat, sebab itulah kesemua nama watak-watak didalam kisah ini telah diubah termasuklah nama kampung tersebut. Harap pembaca sudi membaca dan ambil iktibar di atas kejadian tersebut dan mari menyelusuri perjalanan kisah gadis yang bernama SURAYA……….

Suraya termenung di jendela, sambil melihat manik-manik hujan yang turun jatuh melimpah ke tanah, semakin lebat hujan yang turun membasah di setiap laman rumahnya. Malam itu dikampung Bertam Hilir, mulai ditangisi hujan lebat seolah-olah menangisi kepedihan yang terpendam dilubuk hati Suraya. Bak kata pepatah ‘hujan diluar boleh dilihat, hujan dihati tiada siapa yang mengerti’. Esok dia bakal bernikah dengan Faizal anak tok sidang dari kampung sebelah. Sudah lama Haji Sufian hendak bermenantukan Faizal, anak tok sidang, berjawatan tinggi dalam sektor kerajaan. Kerana itulah sedaya upaya Haji Sufian ingin menjodohkan Suraya untuk Faizal.

Tetapi Suraya sedang menyulam kasih bersama Azman, kekasih yang sudah lama dikenali semenjak dibangku sekolah lagi. Namun Azman bukan pilihan Haji Sufian untuk dijadikan menantu, sudah sehabis daya Suraya memujuk rayu kepada ayahnya untuk menerima Azman tetapi dibantah keras oleh Haji Sufian. Difikiran Suraya, ibunya seakan mendiamkan diri, langsung tiada bangkangan yang terkeluar dari bibirnya seolah-olah bersetuju dengan keputusan ayahnya. Tetapi Hajah Rahimah seboleh-bolehnya cuba untuk menyebelahi Suraya anak kesayangannya, tetapi dia terpaksa menerima keputusan suaminya. Iyalah, di sini suami,di sana anak. Diluah m**i suami, ditelan m**i anak.

Akhirnya Suraya terpaksa mengalah dan terpaksa menerima keputusan ayahnya dengan hati yang berat. Memandangkan dia benar-benar kecewa dengan Azman yang terus menyepi dan langsung tiada khabar berita setelah mengetahui dia telah dijodohkan dengan Faizal. Suhaila, adalah satu-satu adiknya, penguat semangat dan sentiasa bersamanya disaat dia memerlukan. Pada Suhaila jugalah tempat dia meluah rasa, namun Suhaila hanya dapat memberi bahunya sahaja untuk kakaknya bersandar, tidak berani juga Suhaila untuk membantah keputusan ayahnya.

………………………………………………………….

Hari yang dinanti pun tiba, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga semakin ramai memenuhi rumah Haji Sufian dan Hajah Rahimah, untuk melihat Suraya dan pasangannya bersatu sebagai suami isteri. Akhirnya, Suraya dan Faizal sah menjadi suami isteri, hanya sekali lafas sahaja mereka sah bergelar suami isteri. Tersenyum bangga Faizal dapat memperisterikan Suraya yang memang terkenal dengan kecantikannya dan ayu berhijab. Usai segala upacara pembatalan air sembahyang antara Suraya dan Faizal, dengan segera Suraya bangun dan terus menuju ke bilik. Namun para jemputan yang hadir langsung tidak menyedari raut wajah Suraya yang bermuram durja, sangkaan mereka kemungkinan Suraya malu kepada Faizal. Suraya hanya duduk termenung didalam bilik, penuh debar Suraya menanti di dalam bilik sambil menatap wajahnya dicermin, ada genangngan air mata mulai terlihat dikelopak matanya.

Dikotak fikirannya mengenangkan nasib diri berkahwin dengan lelaki yang langsung tidak dicintainya. Ayah dan ibunya langsung tidak cuba memahami gejolak dihatinya. Sebagai manusia biasa dia juga punya hati dan perasaan, dia juga punya hak untuk mengatakan tidak. Tetapi.., apakan daya nasi sudah menjadi bubur, dia sudah pun selamat bernikah dan sudah menjadi isteri orang. Tiba- tiba pintu bilik dibuka dari luar oleh seseorang. Faizal memandang Suraya sambil duduk disebelah Suraya. Dengan segera Suraya menyeka air mata yang bertakung dikelopak matanya, sehabis daya cuba untuk menahan air mata dari mengalir ke pipi dan seboleh-bolehnya Suraya tidak mahu dia menangis didepan Faizal. “Suraya menangis…?”, Faizal bertanya ringkas. “Eh, taklah, mana ada Su menangis…” Suraya cuba mengelak. “Tu, kat hujung mata tu masih basah lagi. Suraya tak suka ke kahwin dengan abang?”, Faizal bertanya lagi sambil menunjuk ke arah sisi mata Suraya yang masih berbaki kebasahan dengan air mata.

“Mana ada. Kalau ya pun Su menangis, sebab Su gembira, gembira sangat-sangat”, Suraya tersenyum kelat, cuba untuk sembunyikan perasaan laranya. Lalu Faizal merapati Suraya sambil mengenggam erat tangan Suraya lalu direnung wajah isteri yang baru dinikahinya. “Su, abang bahagia sangat, sebab Su sudi terima jadi isteri abang. Dan abang berjanji abang akan cuba sedaya upaya untuk membahagiakan Su”. Sepasang mata mula bertemu. Suraya memandang sayu. “InsyaAllah, bang, Su pun berjanji akan jadi isteri terbaik buat abang”, Suraya tersenyum manja. Lalu Faizal bingkas bangun mengajak isterinya keluar melayan tetamu yang datang. Tetapi segera Suraya mengelak untuk keluar berdua bersama Faizal. “Abang keluarlah dulu, lagipun Su nak ke rumah Fiza sekejap. Ada benda yang Su nak cakap kat dia”, Suraya memberi alasan. “Sekejap je ya…” Sambil Faizal mencuit hidung Suraya sambil berlalu keluar dari biliknya. Lalu Suraya pun keluar dari biliknya tanpa menukar pakaian nikahnya untuk menuju ke rumah jirannya yang berhadapan dengan rumahnya, juga merangkap sahabat baiknya, Fiza.

…………………………………………………..

Ketika di rumah Fiza, Suraya terus ke belakang rumah, sebolehnya Suraya tidak mahu terus ke depan rumah Fiza memandangkan ramai tetamu yang masih datang bertandang ker umahnya tambahan pula dia masih lagi memakai baju nikah. “Assalamualaikum”, Suraya memberi salam. Tidak lama kemudian muncul emak Fiza, Hajah Rohani dimuka pintu dapur. “Waalaikumsallam. Su rupanya, makcik ingatkan siapalah tadi. Ada apa Su..? Fiza takde dia keluar kedai kejap”, Terang Hajah Rohani. “Takpelah, lagipun Su bukan nak jumpa Fiza, ayah suruh Su pinjamkan racun rumput”, Suraya bersuara perlahan. Terbeliak mata Hajah Rohani dengan permintaan Suraya. ‘Biar betul budak ni’, Hajah Rohani bermonolog dalam hati. “Sekejap, makcik ambilkan”. Hajah Rohani berlalu masuk ke dalam untuk mengambil botol cecair racun rumput yang dipinta Suraya. Kemudian Hajah Rohani pun keluar dengan sebotol racun rumput yang tidak sampai separuh isi dalamnya.

“Kenapa dengan ayah Su tu, macam dah takde hari lain ke nak mintak racun, bukan ke sekarang ni ramai orang kat rumah Su. Kenduri kahwin pun tak habis lagi”, Hajah Rohani membebel. “Dah takde orang lain ke nak mintak pinjamkan racun? Kenapa disuruh Su,Su kan pengantin. Sepatutnya pengantin duduk diam-diam kat rumah, tak payah buat kerja”. Marah benar Hajah Rohani kepada ayah Suraya, yang tidak sepatutnya menyuruh Suraya keluar dari rumah, malah masih berpakaian nikah pula. Tetapi Hajah Rohani langsung tidak mengetahui akan muslihat Suraya, serta rancangan Suraya yang sebenarnya.

“Bukan macam tu makcik, Su memang nak datang sini ambilkan. Lagipun Su kan dah jadi isteri orang, tak lama lagi nak pergi jauh. Masa ni lah buat kali terakhir Su nak tolong ayah.” Itu antara dialog terakhir Suraya kepada Hajah Rohani sebelum dia ditemui m**i dibelakang rumah Cik Nor, yang tinggal bersebelahan dengan rumah Fiza dan Hajah Rohani . Dengan meminum cecair racun sehingga berbuih-buih mulutnya dan mengeluarkan d***h merah pekat. Itupun Cik Nor sendiri yang terjumpa Suraya dibelakang rumahnya kerana dia terdengar seperti suara batuk dan tersedak-sedak. Sampai sahaja dibelakang rumahnya, dia terlihat Suraya sudah terbaring terlentang sehingga terbuntang matanya dengan mulutnya dipenuhi dengan buih-buih racun bercampur dengan d***h.

……………………………………………………

Tiga hari selepas kematian Suraya, “Allahuakbar. Kenapa Su sanggup buat kita macam ni? Kenapa dia korbankan diri dia?”, Hajah Rahimah menekup mukanya, dia menangis semahu-mahunya di sebelah Haji Sufian. Manakala Haji Sufian hanya mendiamkan diri, tidak mampu mengungkap dengan kata-kata. Terasa benar dirinya bersalah. Rumahnya kini kosong, semuanya sudah pulang selepas kenduri tahlil malam terakhir dirumahnya tadi. Tiada lagi saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga. Sunyi. Suhaila sejak dari tadi hanya berkurung di dalam bilik. Menangisi nasibnya yang kehilangan kakak, satu-satunya kakak yang dia ada. Difikirannya siapa yang harus dipersalahkan? Suraya? Ayahnya? Suhaila benar-benar buntu, ingin sahaja dia menjerit. AARGHHH….!!
Tetapi siapa yang akan mendengar? SIAPA??

………………………………………………………..

Dan bermulah kisah seram di Kampung Bertam Hilir……

Kamarul baru sahaja habis kerja lebih masa disebuah kilang berhampiran di kampung Bertam Hilir, jadi malam itu dia tidak dapat hadir dikenduri tahlil malam terakhir dirumah Haji Sufian untuk arwah Suraya. Bekerja sebagai operator pengeluaran berapalah sangat gaji yang dia boleh dapat dengan berbekalkan sijil Spm sahaja. Tambahan pula dia sudah bertunang dan perlu mengumpul duit secukupnya untuk segala perancangan perkahwinannya. Malam itu Kamarul memecut motosikalnya kerana jalan pada malam itu sungguh lengang. “Baru pukul 10.00 malam dah lengang jalan?”, Kamarul bermonolog dalam hati.

Dengan penuh cermat Kamarul membawa motosikalnya di malam yang suram itu. Dihatinya mula terdetik, kenapa suasana malam itu tidak sama seperti di malam yang lain. Bukan tidak pernah dia berkerja lebih masa seperti malam sebelumnya, lebih lewat daripada malam itu pun pernah, tetapi….suasana malamnya sungguh suram kenderaan juga tidak banyak. “Ahh..! Sudah..!” Baru Kamarul perasan, rasanya sudah terasa lama dia menunggang motosikalnya, tetapi langsung dia tidak menemui simpang hendak masuk ke Kampung Bertam Hilir. Kamarul pasrah, dia redha apa yang bakal terjadi selepas ini. Kerana nalurinya kuat mengatakan seperti ada sesuatu yang bakal terjadi. Tetapi apakah ia?

Tidak lama kemudian baru dia terjumpa simpang ke Kampung Bertam Hilir. Masuk sahaja simpang dia perlu melalui hadapan sekolah rendah dan dihadapan sekolah rendah tersebut ada satu pokok ara tua yang sudah merimbun daunnya. Sampai sahaja dihadapan pokok ara itu terlihat Kamarul sosok seorang perempuan sedang menggendong bayi. Perempuan itu berdiri mengadap pokok itu dengan berpakaian kurung berwarna putih lusuh serta memakai selendang putih yang menutupi sebahagian rambutnya, jadi sudah tentulah Kamarul tidak dapat melihat wajah perempuan tersebut. Kamarul memberhentikan motosikalnya dihadapan perempuan itu. Apabila menghampiri perempuan itu, dihidungnya terhidu bau bunga cempaka. ‘Wanginya’, Kamarul bersuara didalam hati.

“Kak, kakak ni nak ke mana? Nak pergi rumah siapa malam-malam ni..? Akak bergaduh dengan suami ke..?”, Bertalu-talu soalan yang ditanya oleh Kamarul. Hanya kedengaran suara cengkerik sahaja, tiada jawapan dari perempuan itu. Senyap. Kamarul m**i akal nak bertanya lagi. Kemudian, “Awak boleh tolong saya?.” Baru kedengaran perempuan itu bersuara. “Tolong apa kak? Kalau saya boleh tolong, saya tolong yang termampu sahajalah, akak cakaplah nak saya tolong apa?”, Sedikit lega hati Kamarul, mahu juga perempuan itu bersuara. Tiba-tiba, “TOLONG RINGANKAN AZAB SAYA?”. Seraya perempuan itu bersuara sambil menoleh kepada Kamarul, alangkah terkejutnya Kamarul kerana perempuan yang dilihatnya itu memang cukup dikenalinya.

Ya, memang dia kenal perempuan itu, perempuan itu adalah, “SURAYA…….!!!!!!”. Menjerit Kamarul kerana terperanjat melihat jelmaan Suraya dihadapannya. Lemah longlai segala sendi dan lutut, hendak hidupkan enjin motosikal pun Kamarul tidak mampu kerana ketakutan. Lebih menakutkan apabila dia melihat wajah jelmaan Suraya yang elok bertukar sedikit demi sedikit menjadi buruk. Kedua bebola matanya mulai terkeluar sedikit demi sedikit dan dimulutnya mengeluarkan d***h dan nanah busuk yang banyak hingga memenuhi rongga hidung. Kemudian semakin lama semakin rapat pula jelmaan Suraya menghampirinya. Kesudahannya Kamarul pengsan disitu juga. Dia ditemui orang kampung pada waktu subuh ketika hendak pergi ke masjid berhampiran.

………………………………………………..

Cik Nor terkejut dari lenanya, perut terasa memulas- mulas. Hendak bangun terasa malas kerana matanya yang mengantuk tidak mengizinkan untuk pergi membuang hajat. Tetapi rontaan kesakitan didalam perut meminta untuk dikeluarkan saki baki makanan yang tidak diperlukan mengatasi segalanya. Sempat dia melihat jam di dinding. ‘Ah, sudah pukul 2 pagi’, getus hatinya. Suaminya disebelah sedang enak dibuai mimpi. Kerana tidak tahan hendak membuang hajat, dipaksakan juga untuk bangun. Lalu Cik Nor melangkah lemah menuju ketandas yang terletak dihujung dapur rumahnya. Sedang Cik Nor melepaskan hajat mutawasitahnya, dia terdengar rintihan dan tangisan dari belakang rumahnya. Betul-betul dibelakang tandas. Makin lama semakin kuat tangisan yang didengarinya. Sungguh mendayu-dayu tangisan tersebut.

Selepas membuang hajat dan membasuh apa yang patut, terus Cik Nor dengan beraninya keluar membuka pintu dapur rumahnya. Apabila dia melihat diluar, tiada apa yang kelihatan, sunyi, gelap gelita. ‘Takde apa pun..? Hmmm’, getus hatinya. Tetapi, sebaik sahaja Cik Nor berpaling ke kanan meninjau ke arah di mana dia terjumpa mayat Suraya, terperanjat Cik Nor melihat jelmaan Suraya didepan matanya sambil duduk dengan kedua-dua tangannya memegang leher seakan dalam kesakitan, kemudian terkeluar lidahnya bagai terjelir sehingga mencecah lantai. Lalu terdengar suara jelmaan Suraya tersekat-sekat memohon pertolongan. “TO..LONG, TO..TO…LONG…..SAYAAA…!” Terperanjat Cik Nor sehingga terkeluar suaranya dengan kuat melaungkan, “ALLAHUAKBAR……!!!!”, Cik Nor pengsan disitu juga. Disebabkan jeritannya yang kuat itulah membuat suaminya yang sedang lena diulit mimpi itu terus terjaga dan bangun meluru ke arah isterinya didapur.

…………………………………………………………

Nani berjalan sendirian pulang dari sekolah. Dia yang baru tingkatan dua dan bersekolah petang terlewat pulang dari sekolah kerana tertinggal bas. Kebiasaannya dia pulang bersama Maya, tetapi Maya tidak dapat hadir ke sekolah kerana mememani ibunya yang pengsan didapur rumahnya malam semalam kerana terkejut melihat jelmaan Suraya didepannya. Ya, ibu Maya adalah Cik Nor. Nani melihat jam ditangan, hampir ke angka 7 malam. ‘Dah lambat.’, Nani kegelisahan, semakin laju hayunan langkah kakinya. Saat ini bermacam-macam berada difikirannya, perogol bersiri, penculik dan yang paling terkini dikampungnya HANTU SURAYA..!!! Apabila memikirkan itu, semakin laju dia berjalan seakan-akan berlari anak. Tiba-tiba, telinganya menangkap satu bunyi, “HMMM!! HMMM!! HMMM!!!!”.

Terdengar seakan orang bisu sedang memanggil seseorang. Nani memberhentikan langkahnya sambil melihat sekeliling, siapakah gerangan yang sedang memanggilnya. Tiba-tiba Nani ternampak satu sosok tubuh seorang perempuan sedang duduk dibuaian kanak-kanak berhampiran di Prasekolah disekolah rendah itu. Perlahan sahaja buaian itu diayunnya. Nani cuba mengamati siapakah gerangannya. Kemudian perempuan itu mula berhenti menghayunkan buaian tersebut, namun jelas kelihatan dia sedang merenung kembali dengan renungan yang tajam kearah Nani dengan wajah yang pucat. Tersentak Nani apabila dipandang begitu, kemudian barulah segala urat saraf diotaknya dapat berhubung dengan jayanya dan barulah dia dapat berfikir dengan waras bahawa ‘perempuan’ yang berada beberapa langkah dihadapannya itu adalah, “SURAYA….!!!!!!” Mujur dia tidak pengsan disitu. Sempat dia berlari tanpa menoleh ke belakang sedikit pun. Lintang pukang Nani berlari tak cukup tanah.

………………………………………………………………

Suhaila masih tidak dapat melelapkan matanya, fikirannya berserabut memikirkan kata-kata orang kampung tentang arwah kakaknya. Pelbagai versi yang didengarinya tentang jelmaan arwah kakaknya. Kamarul nampak macam tu, Cik Nor nampak macam ni dan semalam si Nani anak makcik Mariah pula yang ternampak sewaktu pulang dari sekolah waktu senja. Tiga hari berturut-turut penampakan jelmaan kakaknya berlaku dan ini adalah malam ketujuh ketiadaan kakaknya. Suhaila masih lagi tertanya-tanya, adakah ini dinamakan m**i dalam kesesatan. Langit dan bumi tidak menerima jasad, maka roh simati bergentayangan. ‘Nauzubillah, minta dijauhkan’, Suhaila mengurut-ngurut dadanya.

Suhaila melirik ke jam dinding, sudah hampir pukul 1 pagi. Esok dia perlu bangun pagi, solat subuh dan ke sekolah. Tetapi susah benar malam ini matanya untuk dilelapkan, sedangkan maghrib tadi berlaku sebaliknya. Susah benar dia hendak membuka mata, mengantuk teramat sangat sewaktu dia sedang membaca surah yassin selepas solat maghrib bersama ayah dan ibunya. Dalam keadaan Suhaila mencari rentak matanya untuk tidur, tiba-tiba, dia terdengar bunyi suara seseorang menangis sayu didalam bilik kakaknya. Mendengar sahaja suara tangisan itu, serta merta bulu romanya mencanak naik. “Ya Allah, apa yang aku dengar ni?”.

Ketakutan sedang melandanya saat ini. Apa yang terdengar ditelinga kata-kata orang kampung tentang arwah kakaknya, sudah terhidang ditelinganya kini. Saat itu juga degupan jantungnya mengepam laju, peluh didahi sudah mula membasah, Suhaila benar-benar gelisah. Hendak keluar bilik takut jelmaan kakaknya muncul didepan pintu. Mahu tidak mahu terpaksalah dia membatukan diri didalam bilik, mengharapkan “kakaknya” tidak muncul didepannya nanti. Kemudian bunyi tangisan itu berhenti, tiba-tiba…. BUMMM!!!! Satu bunyi kuat seakan dinding biliknya ditendang seseorang dari dalam bilik kakaknya, memandangkan bilik mereka bersebelahan. “MAKK…!!!!” Terkejut Suhaila sehingga terlompat dari katil, lalu terus membuka pintu biliknya sambil memanggil ayah dan ibunya.

…………………………………………………….

Dimasjid Kampung Bertam Hilir, mesyuarat sedang diadakan didalam masjid selepas solat asar, ramai jemaah yang hadir untuk mendengar taklimat tentang kejadian yang berlaku ditempat mereka. Haji Sufian pasrah, dia menerima sahaja keputusan yang diambil oleh imam dan ahli jawatan kuasa masjid. Hanya riak bermuram durja sahaja yang terpamer diwajahnya, mujur ada Faizal yang bergelar menantunya yang tidak sampai 24 jam berkahwin dengan Suraya ada disisi menemaninya. Imam Hamzah datang menghampiri Haji Sufian. “Sufian, kami semua dah sepakat, kita akan pergi ke kubur Suraya malam ini untuk membaca surah yassin selama tujuh malam berturut-turut disamping kita buat solat hajat. Banyak-banyaklah bersabar, ampunkan dosa-dosanya dan berdoa pada Allah minta petunjuk dariNya”, Imam Hamzah bersuara lembut.

Maka, pada malam itu mereka mula pergi beramai-ramai ke kubur Suraya, apa yang dilihat amatlah memeranjatkan mereka! Kubur Suraya BERLUBANG..!!  Ada lubang ditengah-tengah kuburannya dan ditengah lubang tersebut mengeluarkan asap dan baunya teramatlah busuk. Sehingga memenuhi rongga hidung serta meloyakan tekak mereka. Mahu tidak mahu mereka tetap meneruskan rancangan yang sudah dipersetujui. Haji Sufian dan Faizal juga turut serta duduk dikubur Suraya membaca yassin selama tujuh malam berturut-turut secara bergilir-gilir. Alhamdullillah, sepanjang 7 malam mereka berada dikubur Suraya, namun tidak ada gangguan yang mereka terima.

Ketika di rumah, Hajah Rahimah dan Haji Sufian termenung jauh memikirkan arwah anaknya. Rupa-rupanya tekanan yang dihadapi oleh Suraya adalah dia telah hamil dan lelaki yang bertangggungjawab itu adalah Azman, kerana itulah Azman telah menghilangkan diri. Itu pun setelah diberitahu kisah sebenar oleh Fiza siang tadi. Tiba-tiba, Suhaila menjerit memanggil ayah dan ibunya. Suhaila menunjuk ke dalam bilik kakaknya setelah dia membuka pintu. Ini kerana sejak kematian Suraya m******h diri, pintu biliknya tidak pernah dibuka dan ibunya membiarkan pintu biliknya dikunci kerana tidak sanggup hendak melihat barang milik Suraya. Tetapi Suhaila cuba memberanikan diri membuka pintu bilik kakaknya, namun apa yang memeranjatkan,ada tulisan berdarah di cermin solek Suraya yang bertulis,
…………..MAAFKAN SURAYA…………..

  • TAMAT –

Penulis bukan pilihan,

#nana

Nana

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

5 thoughts on “#nana-MAAFKAN SURAYA”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.