Nenek Dah Lama Meninggal

Nama aku Afiq. Ni kisah benar. Pengalaman aku sendiri masa umur aku 17 tahun dulu. Aku duduk di KL tapi habis je SPM, mak aku hantar duduk kampung kat utara, teman nenek aku sebab nenek aku jatuh sakit. Lepas atuk meninggal, nenek aku duduk sorang je. Jiran-jiran nenek aku la yang selalu jenguk nenek dan update keadaan nenek kat mak ayah aku. Mak ayah aku ada pelawa nenek duduk rumah kami tapi nenek tak nak sebab tak nak tinggalkan rumah katanya. Nasib baik jiran nenek ada. Mak ayah aku bagi duit kat jiran aku untuk beli makanan dengan barang keperluan nenek. Rasa macam menyusahkan jiran pun ada jugak, tapi nak buat macam mana? Dah nenek tak nak duduk kat KL. Alhamdulillah, nenek dikurniakan jiran-jiran yang baik dan selalu ambil berat keadaan nenek.

Masa kitorang sampai rumah nenek, terkejut sungguh tengok keadaan nenek. Kurus kering sampai nampak tulang. Memang teruk sakit dia sampai terlantar je. Mak ayah aku ambil cuti seminggu untuk jaga nenek aku. Habis seminggu, mak ayah aku pun balik semula ke KL. Tinggallah aku berdua je dengan nenek. Malam tu nenek muntah-muntah. Kesian, sampai tak lalu nak makan. Lepas aku bagi minum air suam, nenek pun tidur. Tinggal aku sorang duduk kat ruang tamu tengok TV. Aku memang selesa tidur kat ruang tamu sebab dalam bilik satu lagi tu agak berbahang. Hampir pukul 3 pagi, aku tengok nenek keluar dari bilik menuju ke dapur.

Aku pun tanpa syak apa-apa, terus tanya, “Nenek nak minum lagi ke? Afiq ambilkan air”. Nenek aku cuma menoleh sekejap senyum kat aku pastu terus berlalu ke dapur. Tiba-tiba je bulu roma aku meremang. Baru aku ingat, nenek kan tak boleh berjalan. Apasal elok je dia berjalan ke dapur malam ni? Senyum pun semacam je. Aku ni bukan jenis berani macam orang lain, tengok benda yang mencurigakan macam tu terus pergi check. NO NO NO! Lelaki tak lelaki, ada aku kisah. Aku memang penakut. Tak pasal-pasal aku sakit jantung kang! Entah-entah ada benda yang sengaja nak mengusik aku. Dengan dahi berpeluh, aku terus tarik selimut. Puas jugak aku paksa mata untuk tidur. Ayat Kursi tak payah cakaplah, berapa puluh kali agaknya aku baca malam tu. Akhirnya aku terlelap.

Esoknya aku pergi kenduri kahwin jiran aku, selang 6 buah rumah dari rumah nenek. Aku dapat doorgift pulut kuning. Sampai je rumah, aku tinggalkan pulut kuning tu atas meja dan aku pun terus pergi ke tandas. Tak sampai 3 minit aku di tandas, keluar semula tengok tinggal kotak doorgift je atas meja. Mana pergi pulut kuning aku tadi? Aku lalu depan bilik nenek tengok nenek elok je tengah tidur. Aku dah tak sedap hati ni. Dahlah aku ni penakut ya amatttt. Aku syak ada something kat rumah nenek tu. Habis mandi, aku terus call ayah minta ayat untuk pagarkan ruang tamu rumah nenek. Biol jugak aku ni time tu. Ada ke patut ruang tamu je aku pagarkan. Mentang-mentanglah aku tidur kat ruang tamu.

Malam esoknya, lagi teruk aku kena. Elok je aku nak tidur, aku dengar bunyi air mencurah-curah kat sinki dapur. Aku ingat ada burung hinggap kat paip sinki dapur. Aku pun bangun dan terus ke dapur nak tutup balik paip tu. Tapi alangkah terkejutnya aku tengok nenek dalam keadaan mencangkung tengah meratah ayam mentah. Allahu Akbar! Menggigil tangan aku. Terdetik jugak dalam hati aku, entah entah ni hantu? Tapi bila aku jenguk bilik nenek, nenek tak ada. So betullah ni nenek. Aku pegang bahu nenek. Nenek pandang aku macam marah sebab aku ganggu dia makan. Aku tarik nenek, cuci tangan dan mulut dia. Risau jugak aku sebenarnya. Takut nenek gigit tangan aku! Yelah mana tahu kannnn……..

Aku baringkan nenek kat ruang tamu tempat aku tidur. Senang aku nak tengok-tengokkan nenek kalau jadi apa-apa tengah malam. Masa aku dukung nenek ke ruang tamu, tiba-tiba je nenek pengsan. Aku punya la gelabah, terus ke dapur ambilkan air renjis-renjis ke muka nenek. Tetap tak jalan. Aku dah tak tahu nak buat apa. Terus call mak ayah aku suruh balik malam tu jugak. Risaunya aku time tu, Tuhan je yang tahu. Tengah malam pulak tu dia pengsan. Time tu dah pukul 11 malam. Aku bacakan ayat Kursi di telinga nenek. Ayat Ruqyah dari laptop pun aku pasangkan.

Tiba-tiba blackout. Blackout je takpe weh. Ni tak. Blackout, pastu terdengar bunyi orang berlari atas bumbung rumah. Aku dengan paniknya terus tinggalkan nenek dan berlari ke rumah jiran sebelah nak mintak tolong. Risau kalau tak mintak tolong orang, kang dengan aku-aku pengsan situ. Mujurlah rumah jiran dekat je. Tak lama lepas tu jiran-jiran aku pun datang dalam 7-8 orang macam tu termasuklah seorang ustaz. Baru je dia nak menapak dalam rumah nenek aku, dia terus mengucap. Mula-mula tu aku tak pelik sangat. Lepas tu dia berundur ke belakang dan mendongak tengok atap rumah nenek aku. Aku terus tanya, “Ustaz, ada apa-apa ke?”. Ustaz cuma suruh aku masuk dalam rumah dan tengok nenek. Aku akur.

Nenek aku memang dah nazak betul. Lemah sungguh badannya. Matanya tertutup je macam orang tidur. Digerak-gerakkan pun tak buka mata. Tapi nadinya masih ada cuma terlalu lemah. Mak ayah aku pun dah on the way nak balik rumah nenek. Tepat pukul 12 malam, terdengar sayup-sayup ustaz tadi melaungkan azan dari luar rumah nenek. Beberapa orang lelaki ditugaskan untuk buka atap tengah rumah. Sejurus atap tengah dibuka, mata nenek terjegil pandang ke atas. Habis je azan dilaungkan, nenek terus duduk tapi matanya masih pandang ke satu arah je iaitu di depan je. Sikat di bawah katil diambil lalu disikat dan disanggul rambutnya yang mengurai. Aik aku dah mula berdebar, sejak bila ada sikat di situ? Nenek tersenyum sinis. Haishhh meremang bulu roma kitorang kat situ katekoooo!

Tak lama kemudian, ustaz masuk ke dalam rumah. Dipicitnya ibu jari kaki nenek yang terlunjur sambil membacakan beberapa ayat Quran. Nenek menjerit dan meronta. Rupanya ada sesuatu dalam badan nenek. Selepas agak lama berdialog dengan ‘nenek’ dan membuat tawar-menawar supaya sesuatu yang berada dalam badan nenek tu keluar, ustaz pun menunjukkan gaya seolah-olah ingin menyembelih nenek tapi menggunakan jari sahaja di leher nenek. Habis je proses ‘menyembelih’, nenek terus pengsan lagi sekali. Ustaz memeriksa nadi nenek, rupanya nenek bukan sekadar pengsan. Nenek dah meninggal. Ya Allah. Tak percaya rasanya. Tak lama lepas tu baru mak ayah aku datang. Proses pengkebumian nenek dilakukan keesokan harinya. Aku masih tertanya-tanya lagi masa tu. Kenapa dengan nenek sebenarnya?

Dalam perjalanan balik ke KL, mak aku tanya macam-macam pasal nenek. Ada tak benda pelik yang berlaku kat nenek. Aku pun cerita la pasal pulut kuning hilang tu dengan kejadian malam blackout dengan malam nenek ke dapur tu. Akhirnya mak aku buka cerita. Rupanya nenek aku dah meninggal lama, tu pun ustaz yang beritahu semalam. Tapi jasad dia seolah-olah masih bernyawa sebab ada saka yang duduk dalam badan dia. Aku tak tahu dari mana datangnya saka tu. Saka tu macam dah kawal jasad nenek aku. Malam yang aku dukung nenek keluar dari bilik dia tu, rupanya nenek pengsan sebab kitorang lalu kat tempat yang aku dah pagarkan dengan ayat suci Al-Quran. Ustaz kata saka nenek tak dapat lalu kawasan tu. Terkeluar air mata aku. Rupanya aku duduk dengan mayat nenek hampir 3 minggu. Lepas je aku tahu semua kebenaran ni, aku terus demam panas. Apa-apa je dosa nenek aku di masa lampau dia, moga Allah ampunkan nenek aku. Dan semoga nenek aku tenang di alam sana. Aamiin yarabbal alamin.

Afiq
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

6 comments

  1. Semoga Allah ampunkan segala dosa nenek kau. aminn.. sedih kan sebagai cucu, bila fikir benda tu jd kt nenek kita…

  2. kesian kau..semoga Allah ampunkan dosa2 nenek kau..kisah kau ni penah terjadi dikampung aku dalam 3 tahun lepas mcm tu..

  3. Penakut2 ko pun kira berani jugak la.. kalau aku dah buat2 tido berbuih mulut kat situ jugak kot.. dulu aku kalau teman opah kat kampung msti kena ajak sepupu aku yg dok dkt2 situ jugak teman.. xleh aku ‘sorang2’.. laki tak laki.. kahkah..

  4. Kenapa la ayat kau “takut nenek gigit tangan aku” ?? Aku tergelak kau tahu takkk 😂😂😂😂 pape pun tabahkan hati ya. Kau mmg cucu yg baik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.