#NIL – Erin/Elin – Permulaan

*DISCLAIMER 1: Ini bukan cerita sebenar. Kesemua watak adalah rekaan penulis semata-mata. sekiranya cerita benar yang anda cari, maaf, bukan disini.

DISCLAIMER 2: Cerita ini bersambung. Jika anda lebih minat kisah ‘one-shot’ dari bersiri, saya minta maaf.*

Nama aku Elin. Aku berumur 14 tahun. Masih bersekolah.
Untuk pengetahuan pembaca, aku dilahirkan dalam keluarga bercerai-berai. Bila Ma dan Abah berpisah, masing-masing mulakan hidup baru.

Tanpa aku.

Ma dan Abah berpisah dengan cara baik. Aku pun tak faham cara baik ini bagaimana, tapi aku selalu dengar, Tokma aku cakap macam tu. Ma dan Abah sama-sama berkahwin dengan pasangan mereka selepas berpisah. Manakala aku dan kakak aku, Erin, ditinggalkan dengan Tokma.

Sampai hati kan, Ma dan Abah buat macam ni pada aku dengan Erin. Erin dengan aku ni istimewa. Kami dilahirkan pada tahun sama, tapi kami bukan kembar. Hehe. Erin lahir pada awal bulan Januari. Aku lahir akhir bulan Disember. Tahun yang sama. Oleh sebab itu, aku tak pernah panggil Erin ‘kakak’. Buat apa? Erin dan aku sebaya.

Erin tak banyak cakap. Dia pendiam. Dia ni golongan ‘istimewa’, jadi dari kecil Ma dan Abah tak pernah hantar Erin sekolah. Dia duduk rumah sahaja. Dari kecil, Ma dan Abah tak pernah hiraukan Erin. Aku sahaja yang ajak dia makan. Mandi. Main sama-sama. Kasihan Erin. Keluar berjalan pun, Ma dan Abah tak pernah ajak. Padahal Erin tu tak adalah menjerit sana-sini. Dia diam sahaja. Kau faham-faham sahajalah golongan kanak-kanak istimewa ni bagaimana.

Mungkin Ma dan Abah nak jaga air muka.

Kau orang pasti ingat, bila aku ditinggalkan dengan Tokma, aku hidup susah. Tak! Tokma aku ni kaya. Dia dan arwah Baba dahulu menjual karpet. Kau mesti gelak bila baca ni. Tapi aku tak tipu.

Tokma datang dari keturunan baba dan nyonya. Dia memeluk Islam bila dia berkahwin dengan arwah Baba. Baba pula datang dari Arab. Dari menjinjing karpet di basikal, arwah Baba dapat buka kedai. Dari satu kedai, bercambah jadi dua. Lama-kelamaan, nama arwah Baba gah di seluruh Malaysia sebagai pemilik terkenal gedung beli-belah pakaian, alat jahitan dan karpet.

Rumah Tokma aku ni, setaraf dengan kekayaan dia, merupakan rumah agam. Aku minta maaf, aku bukan nak riak. Aku tak dapat rasa pun kemewahan ini. Nanti aku cerita kenapa. Buat masa sekarang, aku mahu ceritakan rumah Tokma dahulu. Nanti kau orang akan faham.

Rumah Tokma, gaya rekaan dia ala-ala kolonial. Rumah Tokma dibina dipuncak bukit; kalau kau berdiri di beranda tingkat tiga, kau akan nampak ladang teh sehijau mata memandang. Aku suka pemandangan ini. Hanya hijau dan biru; langit seakan bertemu dengan ladang teh.
Macam aku dan Erin.

Sepatutnya; dengan status aku dan Erin sebagai cucu Tokma, ditambah lagi Tokma tiada cucu lain – aku dilayan mesra. Penuh kasih sayang.

Tidak.

Tokma aku, adalah seorang wanita yang dingin. Tubuhnya tinggi lampai. Keningnya dicukur halus. Hidungnya kecil, mancung. Bibirnya nipis. Umurnya sudah menginjak 70-an, tetapi dia bagai baru mencecah umur 50. Badan Tokma masih beralun lembut. Kedutan di wajah Tokma sudah wujud, tetapi sekadar di hujung pelipat mata dan hujung bibir Tokma. Tokma memotong rambut lurus hitamnya di paras dagu, menambahkan awet muda Tokma. Tokma suka berkebaya labuh, kadang-kadang di hari hujan dia menyarungkan kebarung.

Tokma cuma memakai warna putih dan hitam. Tiada warna lain.

Sepanjang aku tinggal di rumah Tokma, aku tidak pernah dibelai seperti cucu lain. Benar, aku diberikan wang dan kebebasan, tapi aku tak boleh tinggalkan Erin. Dengan keadaan Erin yang takut dengan dunia luar, aku memujuk Tokma untuk aku bersekolah di rumah, ‘homeschooling’. Aku pun tak berapa gemar mahu ke dunia luar. Cukuplah Erin sebagai dunia aku. Setiap hari tutor persendirian aku akan datang mengajar aku dan Erin. Aku tak sukakan tutor aku, dia prejudis terhadap Erin. Erin cuma lambat belajar sedikit. Dia mana pernah ke sekolah, dia cuma tahu membaca dan mengira. Dia ada ajar Erin, tetapi Erin terlalu lambat pemahamannya. Mungkin dia sudah bosan, lalu Erin dilayan seperti tidak wujud. Aku pernah adukan hal ini kepada Tokma tetapi tidak dihirau. Kata Tokma, tutor yang baik sukar dicari sekarang.

Tokma saja mahu memberi alasan. Boleh sahaja kalau Tokma mahu mencari tutor yang sesuai dengan ‘keistimewaan’ Erin. Bukan Tokma tidak ada kemampuan dari segi material. Banyak sangat. Boleh sahaja dia upah doktor untuk diagnos sekali penyakit Erin, mungkin? aku ada baca-baca di laman sesawang. Aku syak Erin ni autisma. Dia asyik duduk dalam dunia sendiri sahaja, dan dia tidak menerima sesiapa dalam dunianya, kecuali aku. Aku cakap apa-apa dia senyum. Betul ni. Kecil-kecil dulu kalau aku gaduh dengan dia, aku pukul dia, dia ketawa je. Dia tak faham apa-apa.

Hari ini, aku nampak Erin duduk di beranda bilik kami. Bilik kami di tingkat tiga. Erin sedang bermain dengan anak patung aku masa aku kecil-kecil dahulu.

“Erin?” aku memanggil lembut. Erin mendongak, tersenyum. Dia menyuakan anak patung itu kepada aku, mengajak aku main bersama.

Aku duduk sekali, hinggalah aku ternampak sesuatu di betis Erin.

Lebam kebiruan, bengkak berkilat di betis kanan Erin.

Lantas aku melihat lebih dekat.
“Ini apa, Erin? Erin jatuh ke?” Aku bertanya terkejut. Erin memandang aku dengan wajah mulus, masih tersenyum.

“Erin. Bagitau Elin. Siapa buat Erin?” Aku memegang erat bahu Erin. Erin kelihatan resah, dia menghayun badan ke depan, ke belakang.

“Oma, Oma, Oma.” Dia berkata perlahan.

Aku tergamam.

Dasar perempuan tua bangsat!

Aku bingkas bangun. Erin melihat aku takut-takut, kemudian tersenyum. Menyuakan anak patung sekali lagi. Dia menarik-narik baju aku, meminta aku duduk.

“Erin tunggu sini. Nanti Elin datang.” Aku berkata, sedaya upaya menyembunyikan amarah aku.

Aku menerpa ke Tokma, di ruang tetamu. Dia sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang lelaki dan perempuan berpakaian kemas, memegang beberapa fail tebal. Hari ini Tokma menyarungkan baju kebaya renda putih, dan kain batik hitam putih dari Terengganu. “Tokma!” Jerit aku, marah. Kumpulan kecil lelaki dan perempuan itu terperanjat. Tokma memandang aku, mengeluh.

“Sebentar ya.” Ujarnya, bangun dengan penuh beradab. Wanita itu melenggang lembut ke arah aku, memegang bahu aku lembut. Aku menepis.

“Tokma, apa Tokma dah buat –“ sebelum sempat aku habis bercakap, Tokma memotong.
“Bukan disini, Elin. Mari.” Ujarnya, memegang bahuku kasar, mengheretku ke bilik berdekatan. Aku berusaha melonggarkan cengkaman Tokma yang kuat. Lelaki dan perempuan di dalam bilik itu berpandangan. Kami masuk ke sebuah bilik. Aku memandang Tokma garang.

“Apa yang Tokma buat pada Erin?!” aku menjerkah. Tokma mengeluh, mengurut dahi. “Tokma tak buat apa-apa pun. Kenapa pula kali ni?” tanya Tokma. Berpura-pura. Aku mengetap bibir. “Ada lebam besar di kaki Erin. Dia cakap Tokma buat!” Ujarku. Tokma mengangkat keningnya, memandangku dingin.

“Tokma tak buat apa-apa pun.” Ujarnya. Baru aku mahu membuka mulut, pintu bilik dibuka. Ketua pembantu rumah kami, Adam, menjenguk dari luar. Lelaki muda tinggi, tegap itu berpakaian seluar slack hitam dan t-shirt polo putih. Mungkin kerana dengan kehadiran tetamu, dia siap menyarungkan sarung tangan putih pada kedua belah tangan. Lelaki muda itu tersenyum, menunduk hormat.

“Puan Helen. Cik Elin.” Ujar Adam tersenyum manis. Kening lebat menghiasi wajahnya, berserta rahang berpetak ketara. “Maafkan saya, cik Elin. Tapi sekarang bukan masa sesuai. Kita ada tetamu.” Ujarnya lembut, tetapi tegas.

“Terima kasih, Adam. Betul tu Elin.” Ujar Tokma lagi. tersenyum angkuh kepadaku.
Aku memandang garang ke arah Adam. Adam memiringkan kepalanya kearahku, masih tersenyum. Aku menghentak kaki, lantas keluar dari bilik.

“Cik Elin!” Panggil Adam. Lelaki yang hampir mencapai umur tiga puluhan itu memanggil. Aku mencebik.

“Apa?” Jerkahku kasar sewaktu menaiki tangga.

“Jangan hentak kaki. Manners.” Ujarnya sopan. Aku rasa seperti mahu meletup. Lantas aku menaiki tangga ke tingkat tiga, di bilik kami berada. Adam merupakan graduan kursus Hotel Management. Aku tak tahu bagaimana dia boleh tercampak jadi ketua pembantu rumah di rumah agam ini. Dia annoying!

Aku menerpa masuk ke bilik aku dan Erin. Erin masih duduk di beranda, bermain anak patung milik aku dahulu. Rambut lembutnya mengurai separas siku. Aku mencapai pengikat rambut warna biru lembut milikku. “Mari, Erin.” Ujarku. Erin bangun. Masih tersenyum. Dia memakai skirt putih labuh dan blouse biru lembut. Perangai Erin berlainan denganku. Aku selesa dengan seluar jeans dan t shirt. Rambutku dipotong pendek.

“Kaki masih sakit, Erin? Nanti Elin bubuh ubat ya.” Ujarku lembut. Kami duduk di atas lantai. Aku menyikat rambut Erin, kemudian mengikatnya. Aku capai pin rambut, dan ku semat di anak rambut yang berjuraian di dahi Erin.

Erin menatap wajahnya di cermin. Dia tersenyum gembira. Erin berpaling, memandangku dengan wajah mulus.

Aku tersenyum. Namun senyumanku pudar.

Erin memiringkan kepala melihat riak wajah ku. Dia menghampiri, kelihatan hairan. Masih tersenyum lembut.

Keluhan aku lepaskan. Berat.

Aku capai tangan Erin. “Mari Erin. Kita keluar berjalan!” ujarku. Erin mengangguk. Kami berlari keluar. Menuruni tangga. Melintasi bilik tetamu. Sekilas pandang, Tokma memandang kami dengan wajah berkerut. Kami menuju ke pintu tersergam besar.

“Cik Elin!” Laung Adam. Aku berpaling ke arah Adam yang memandang kami penuh bimbang. Dia sedang menatang dulang berisi air teh. Teko putih bercorak bunga matahari berasap nipis.

Aku menolak pintu. Menarik Erin keluar. Berlari melalui kebun Tokma yang tersergam luas. Berlari ke pinggir bukit.

Kami berhenti, termengah-mengah. “Maaf, Erin. Kaki sakit tak?” Tanyaku bimbang. Erin yang menunduk dengan tangan di lutut menggeleng, menarik nafas. Dia tersenyum. Skirt putihnya berkibar lembut. Aku memandang sekeliling. Suasana petang itu redup. Burung berkicau riang.

“Mari. Kita tengok sungai.” Kataku kepada Erin. Erin tersenyum, mengangguk. Di pinggir bukit ini, ada satu anak sungai berserta air terjun kecil. Sungai itu cuma sedalam dada orang dewasa, tapi aku takkan lagi cuba-cuba berenang di sana. Pernah sekali aku cuba, kaki aku terluka. Dasar sungai itu berbatu tajam.

Kami menghampiri sungai. Bunyi deruan air menenangkan aku. Kami berdua duduk.

Erin mengutip batu sungai yang leper, mencari saiz pelbagai, dan menyusunnya. Aku memerhati Erin tenang. Sesekali skirtnya terkibar oleh angin, menampakkan lebam durjana di betis.

Berada di rumah Tokma menyesakkan aku. Ada ibubapa pun tak guna. Kadang-kadang, aku terfikir, patut aku mati sahaja.

Aku capai sebiji batu, aku lempar garang ke dalam sungai. Mataku terasa panas dengan air mata. Aku mahu menangis, tapi aku tak mahu Erin nampak. Pantas aku mengesat air mata.
Dari hujung mata, aku ternampak sesuatu di birai sungai sebelah sana. Sekilas aku nampak tanduk rusa. Aku biarkan, masih memerhati Erin.

Rusa itu menyeberangi sungai, seperti mahu menuju ke arah kami. Masih aku biarkan, aku pandang dari ekor mata. Erin sedang sibuk menyusun batu sungai leper. Aku turut menghulur beberapa biji batu sungai.

Waktu aku menghulurkan batu kearah Erin, aku tersedar sesuatu. Rusa itu sudah sampai ke tebing sungai dimana kami berada. Rusa itu kini beberapa meter dibelakang Erin.

Sekilas, rusa itu berkaki dua.

Aku tergamam. Aku perhati dari balik bahu Erin.

Kaki manusia. Pucat. Putih. Bagai disalut kapur. Urat biru dan ungu berselirat di kulitnya. Aku tidak berani memandang ke atas. ‘Rusa’ itu, tidak berpakaian.

Ia melangkah ke arah aku dan Erin. Tapak kakinya lansung tidak berbekas di tanah. Erin masih leka bermain dengan batu sungai.

Aku menelan air liur.

Hinggalah, ia berada betul-betul di belakang Erin. Jantungku berdegup pantas. Lantas, bau hanyir bagai bau ikan mati menyelubungi kawasan itu.

Kak. Kak. Kak. Bunyi batu disusun Erin.

‘Rusa’ itu, sedang bercakap sesuatu. Aku buat tidak tahu, dengan harapan ia akan pergi. Percakapannya bagai televisyen rosak, tenggelam timbul.

“… TOLONG.”

Bunyi rusa itu bercakap. Aku terpaku. Suaranya monotona, tiada nada.

“………. TOLONG KALAU MAHU.”

Aku tak tahu kenapa aku tak mampu bangun untuk lari.

“……ELIN.”

Aku bergerak ke hadapan sedikit. Entah kenapa. Mungkin kerana ‘rusa’ itu menyebut namaku.

Waktu itu, ‘rusa’ itu, tiba-tiba menunduk separas bahu Erin, menjengah mukanya pantas.

Wajahnya menyerupai seorang lelaki, botak, putih bagai kertas. Tiada sehelai rambut lansung pada badannya. Ia mengingatkan aku pada manusia albino, kecuali,

Matanya, tiada mata hitam, terbeliak memandangku. Dari kepalanya terpacak dua tanduk rusa.

-NOTA PENULIS-

Terima kasih pada pihak editor sekiranya cerita ini menepati piawaian kalian. Terima kasih juga kerana membaca hingga tamat.

Nama saya, Nil Kuhaku. Kisah ini merupakan rekaan semata-mata.
Kisah ini saya sasarkan tiga episod sahaja. Insya Allah.

Terima kasih kerana membaca! 🙂

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

NIL

Sila tinggalkan komen yang berkaitan dengan cerita :)

17 Comments on "#NIL – Erin/Elin – Permulaan"

avatar
Gongpal

Baik Mr Nil. Keep it up. teruskan berkarya fiksyen di sini, macam aku.hahaha

Peminat Tegar FS

please sambung dendam suri im so addiceted dgn story tu, tk sabar nak tahu klimaks n the end, kipidap writer..

Gongpal

weh jgn kacau post org lain weh.x baeeek.heheh
dah ada update tu siri no 4. pi baca kaih.
no 5 kalau rajin aku tulis harini. macam x rajin.hahaha

Peminat Tegar FS

#Gongpal cara reply komen mcm org utara aih, hahahaha..mak hg beranak hg tang mana? bkn nk kacau post org lain sbb cerita ney pon menarik hehehe ok 5 star utk story erin/elin ney.

Gongpal

orang kulim, beranak kat bukit mertajam. tapi nak suruh speaking kelantan pun apa ada hal.hahaha

Nurulmohdjasni

Laaa Ada ka hat no 4!!!! Tak jumpa pun

Peminat Tegar FS

weyy org kampung la kita hahahahhaa

NIL

Ya, terima kasih Encik Gongpal. Aha. ?

cikde

cikde ada kwn sama blajaq dulu org Labis Johor, depa 2 bradik dilahirkan thn yg sama Januari dan Disember… muka pun sama mcm kembar..mint pun sama mancing

Rumorsss

Welcome back NIL. Tak pernah mengecewakan. Kisah suria dgn salju still baca tak habis. Ada sambungan lagikah atau dah berakhir kisah tu?

NIL

kisah Pahlawan belum tamat lagi. haa. boleh baca di facebook saya, Nil Kuhaku.

bukan apa. kisah tu panjang sangat. hahahahaha. bagi ruang kat kisah one shot lain. xD

Cik Akira

Yeessss nti sy nk follow sbb cita pahlawan tu best sgt2..dan terima kasih sbb tulis cerita baru..terbaik la..

awan alias

#NIL nie sama ke ngan penulis pahlawan hari tue..??

NIL

ya saya 😀

awan alias

patut la gaya bahasa yg agak sama….sbb feel 2 sama je mse sy baca kisah pahlawan dulu…keep it up…post lagi cerita2 yg menarik….

Singkong & keju

8/10

lenyTity

Yessss..NIL dah kembali…???

wpDiscuz