#NIL: SANG PAHLAWAN – MEMORI

*Amaran – ini bukan kisah benar. Fiksyen semata. Sekiranya pengalaman sebenar yang anda cari, saya minta maaf, bukan disini.*

Part 1: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan/
Part 2: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-si-puteri-salju/
Part 3: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-suria/
Part 4: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-salju-dan-suria/

“Mati?” Ucap Suria terkejut.
Salju mengangguk, kakinya menguis-nguis tanah.
Suria menelan air liur. Dia memandang anak tupai kecil, masih merah. “Habis tu, itu lubang apa?” tanya Suria.

“Burung hantu.” Jawab Salju pendek.

Suria mulai faham. Aduh. Dia mengambil anak tupai itu dari tangan Salju, mendekatkan anak tupai itu pada badannya untuk menghangatkan si kecil itu. Perlahan, mata tupai itu terbuka. Terkedip-kedip memandang Suria.

Salju dapat rasakan, si kecil itu mulai tenat. Mungkin sekelumit kasih sayang yang ditunjukkan Suria itu membuatkan anak tupai itu bersemangat kembali, tetapi Salju bagai ternampak-nampak, betapa dehidrasi mula menyerang si tupai kecil tersebut.

“Dia takkan dapat bertahan.” Ujar Salju. Suria tersentak. Mereka berpandangan.

“Salju… tunggu sini sekejap. Boleh?” Ujar Suria. Salju mengangguk. “Saya pergi tak lama. Sekejap sahaja. Ya?” Ujar Suria.
Salju mengangguk-angguk. “Baik.” Jawab Salju. Suria mengetap bibir, merenung mata hijau cemerlang Salju. Ya, mata itu mengingatkan dia pada mata haiwan-haiwan yang dirawatnya. Bukan bengis, tetapi… mulus. Suci. Tidak tahu apa-apa, bagai anak kecil.
Dia mengangguk sedikit pada Salju, dan terus berlari ke arah pintu pagar. Dia sempat berpaling kembali ke arah Salju yang berdiri keseorangan, dengan tangan diikat, mulut ditutup, hanya menampakkan matanya sahaja. Sesekali rambut lurusnya beralun ditiup angin, merenung kepadanya.

Sekali lagi, terbit rasa simpati.

Untuk menyelamatkan si kecil itu, dia harus bertindak pantas. Sampainya dia di pintu pagar, dia cuba membuka.

Terkunci!

“Kekanda Hitam?” Ujar Suria. “Boleh bukakan pintu?” Dia menggoncang-goncang pintu. Diam, tiada jawapan. “Kekanda Hitam! Kekanda ada di luar?” Panggilnya lagi, sedikit kuat.
Diam. Dia mengetuk-ngetuk pintu, menggoncang pintu.

“Hulubalang!” laungnya. “Buka pintu!” laung Suria lagi.

“Maaf, kami cuma boleh bukanya pada waktu tengah hari.” Jawab satu suara diluar. Pasti Hulubalang. Suara Hitam, rakan abangnya tidak kedengaran. “Ada apa-apa berlakukah?” tanya suara itu lagi. Suria terpana. Dia memandang si kecil di tangannya, kemudian pada pintu, punca suara itu berbunyi.
“Tak… sebenarnya… saya terjumpa anak tupai. Dia kesejukan, ibunya sudah mati. Kalau kita tidak bertindak cepat, dia akan mati.” Ujar Suria, terdesak.

Diam.

“Itu bukan kecemasan. Maaf. Jika ada apa-apa, tiup wisel. Kami akan segera ke sana.” Jawab suara tersebut, tanpa ada perasaan. Suria mengetap bibir geram. Ah, hulubalang. Kalau itu arahannya, payah benar mahu berganjak!

Suria mengeluh. Dia meninjau-ninjau tempat. Mencari dahan pokok yang paling rapat ke puncak dinding tinggi, yang mengelilingi Taman Larangan tersebut.

Aha. Jumpa!

Mujurlah pokok itu masih muda, tidak selicin pokok rasaksa tadi. Dengan lincah, Suria melompat, bergayut dari dahan ke dahan – dan sampai ke dahan yang menganjur keluar dari pagar Taman Larangan tersebut. Dia meniti di atas dahan, dan memerhati ke bawah.

Tiada Hulubalang.

Dia terjun, mendarat dengan senyap. Dia terbongkok-bongkok memerhatikan Hulubalang dari jauh sedang berbual-bual, lantas dia melarikan diri.
…………………………………………………………………………………..

Salju perlahan mengangkat muka.

Bau Suria… sudah kian hilang. Pasti Suria sudah meninggalkan Taman Larangan ini.
Itu tidak normal; dia tidak sepatutnya membezakan manusia dengan bau. Tetapi begitulah. Sama seperti Permaisuri, baunya seperti bau bunga cempaka, lembut, manis, harum. Suria baunya, seperti rumput yang menghijau, seperti angin lembut yang muncul selepas hujan panas berhenti. Hangat, selesa, penuh tanda kehidupan.

Salju memandang tangannya yang pucat, yang dingin. Sewaktu dia memegang anak tupai tadi, dia umpama terpaku. Hangatnya. Panas. Waktu itu, dia bagaikan sangat dahaga, keinginan yang maha hebat, meluap-luap ke seluruh tubuhnya. Tubuhnya seakan dibakar, dia dahaga, terlalu dahaga. Tapi bukan air yang dicari; dia mahukan darah si kecil tersebut.
Namun begitu, dia tidak mahu. Dia tidak mampu melakukan perkara tersebut, walau dia tahu, sekali gigitan sahaja. Anak tupai itu takkan melawan. Dia mampu memecahkan rantai besi yang memasung tangannya. Dia mampu menarik penutup mulutnya.

Tapi dia tidak mahu. Biarlah dia terikat begini.

Dia juga mahu menyelamatkan anak tupai itu, mahu anak tupai itu mencicit riang, berlari mengejar sesama sendiri seperti tupai-tupai lain. Dia juga mahu begitu. Salju meramas-ramas tangannya. Hairan dengan dirinya.

Salju mendongak ke atas. Ke sarang burung hantu tersebut. Perempuan itu menapak ke depan, masih memandang ke atas.

Perlahan,kakinya terangkat beberapa inci dari tanah, dan badannya terapung. Gaun putih separas lututnya terbuai-buai ditiup angin. Dia terapung hingga ke paras sarang burung hantu tersebut, dan dia menjenguk.

Ibu burung hantu tiada. Yang ada adalah beberapa ekor anak burung hantu yang sedang tidur nyenyak. Salju terbau sesuatu; bau kematian. Bau busuk daging mereput, bau organ-organ membusuk, tulang-temulang yang mengering. Salju tersentak. Satu memori bagai mencakar-cakar benak otaknya.

Dia sedang memegang pedang. Seorang lelaki terjerit-jerit kearahnya. Salju tidak berapa pasti arahan yang diberikan lelaki itu, tetapi dia nampak mulut lelaki itu menyebut “Bunuh! Bunuh!”
Salju dalam memori itu memandang ke depan. Seekor anjing tua, mengerekot di hadapannya di dinding. Anjing berwarna coklat itu sudah tua benar, dia menggeletar memandang Salju dengan mata yang ketakutan, meminta belas ihsan. Sesekali dia mencakar-cakar dinding, ketakutan.
Salju di dalam memori – mengangkat pedang. Bersedia untuk menghayun. Anjing itu mendongak kearah Salju di dalam memori, matanya pilu, dia berbunyi-bunyi perlahan. Sayu bunyinya.
Pedang dilibas. Tiada lagi bunyi anjing. Yang ada cumalah percikan darah di merata-rata.

Secepat ia muncul, secepat itu memori itu menghilang, dan Salju bagai disentak-sentak rohnya, berpegang erat pada pokok rasaksa itu. Dia mula menangis, air matanya membasahi topeng mukanya.

Itukah dirinya yang dahulu? Dia menangis. Teresak-esak.

Ada sesuatu mematuk-matuk jari-jemarinya, mengejutkan Salju dari lamunannya. Salju menunduk, dan melihat salah seekor anak burung hantu itu, masih berbulu putih kesemuanya – terkedek-kedek ke depan, menghulurkan kepalanya, mematuk-matuk manja jari Salju. Anak-anak burung yang lain memandangnya penuh minat.

Dahaga itu datang lagi.

Salju membuang perasaan itu jauh-jauh.

Anak burung hantu itu berbunyi-bunyi manja. Tanpa banyak soal, Salju mencapai bangkai ibu tupai dan anak-anaknya yang berada di hujung sarang. Masih berdarah-darah. Kuku Salju memanjang, tajam, lebih tajam dari pedang. Merobek isi bangkai ibu tupai, mencarik-cariknya cebisan halus, memberi anak-anak burung itu makan. Tangan Salju berdarah-darah, tetapi dia tidak kisah.

Mereka makan dengan rakus, dan Salju berasa seronok kembali.
………………………….
Suria merangkul anak tupai itu ke dadanya. Dia berlari sepantas mungkin, menuju ke bangsal kuda.
“Eh, Suria!” tegur seorang rakan sekerjanya. Suria cuma melambai, dan berlari ke tempat jerami di simpan. Pintu bangsal simpanan jerami di buka.

Tepat tekaannya. Ibu kucing yang baru melahirkan beberapa hari lepas masih di sini. Ada empat ekor anaknya, seekor baru sahaja mati, tinggal tiga ekor. Kucing berekor pendek, bertompok kuning, hitam dan bertubuh kecil itu melingkar selesa bersama anak-anaknya yang berwarna putih bertompok hitam. Matanya terpejam. Sengaja pekerja tidak menghalau ibu kucing dan anak-anak kucing tersebut, kerana kucing bercorak calico itu banyak berjasa. Berpuluh ekor tikus yang membiak di bangsal menjadi habuan kucing betina itu.
Suria menutup bangsal, menghampiri ibu kucing. Mata ibu itu terbuka memandang Suria, tetapi dia tiada tanda mahu melarikan diri. Dia menggeliat, dan mengiau manja. Suria tersenyum.

Dia menghulurkan anak tupai itu kepada wajah ibu kucing. Si ibu menghidu-hidu anak tupai tersebut penuh minat. Perlahan, dia menjilat-jilat wajah anak tupai itu. Suria mengucapkan syukur. Lantas, dia meletakkan anak tupai itu bersama anak-anak kucing lain yang sibuk menyusu.

Ibu kucing menggeliat sedikit, memberi ruang kepada anak angkat berlainan spesiesnya. Anak tupai merangkak, mencapai-capai puting susu ibu kucing. Dia kemudiannya menghisap rakus, kelaparan.

Suria menghela nafas lega.
…………………………………………………

Salju perlahan turun kembali. Dia tersenyum-senyum di balik topeng mukanya. Seronok betul dia. Nanti Suria datang kembali, dia mahu ceritakan kepada Suria. Tangannya masih berdarah-darah. Nanti dia mahu cuci di tasik.

Salju ternampak sesuatu bersinar di balik rumput. Dia mendekati, mengamati objek tersebut. “Apa ini?” ujarnya, mengutip benda bersinar itu. Rantai dengan loket wisel. Bau Suria menyelubungi objek tersebut. “Ini milik Suria, barangkali.” Fikirnya. Dia membelek-belek wisel halus itu dengan penuh minat. Mengotori wisel tersebut dengan tangannya yang berdarah. Salju tersentak. Ini milik Suria, dan dia telah mengotorinya. Lantas dia mengelap-ngelap tangannya yang berdarah di baju putihnya, mengotori baju tersebut. Dilap wisel itu pada kain bajunya. Berkilat kembali. Salju berpuas hati, tersenyum. “Ini wisel, kan?” fikirnya.

Dia mendekatkan wisel itu pada sarung mulutnya. Sarung mulut sedikit diselak, lalu dia meniup wisel tersebut.

Bunyi nyaring wisel bagai bergema ke seluruh taman. Bunyinya nyaring, tetapi lembut. Sekata.

Salju merenung wisel di tangannya. Hebat betul, wisel sekecil ini boleh mengeluarkan bunyi yang begitu lantang.

Tiba-tiba, bunyi tapak kaki yang sebegitu ramai mendekat. Hulubalang dalam kiraan berbelas orang mendekatinya. Mereka tergamam melihat Salju, tangan dan bajunya berlumuran darah.

“Mana Suria?” Bentak seorang Hulubalang.

Salju mengenggam rantai tersebut, menggeleng-geleng kepala.

Hulubalang mulai resah. “Suria!” dia melaung.

“Suria!” Jerit Hulubalang yang lain. Tiada jawapan. “Cari sekeliling ini.” Ujar seorang hulubalang yang kelihatan lebih tua. Beberapa hulubalang lain akur, mula mencari sekeliling. Dia mulai ketakutan. Suria ada memohon untuk membuka pintu tadi. Pasal tupai,jadi dia buat tidak endah. Dia memandang Salju yang comot dengan darah, mengenggam wisel yang diberikan pada Suria.

Sekarang, apa sudah jadi?

Hulubalang itu mendekati Salju. Tombaknya dihunus. “Mana Suria?” Jerkahnya pada Salju. Salju menapak beberapa tapak ke belakang. Dia menggeleng-geleng kepala. Tangannya masih mengenggam wisel milik Suria. Hulubalang itu meragut rantai tersebut dari tangan Salju, dan perempuan muda itu tersentak. “Apa kau dah buat pada dia, hah?” Bentak Hulubalang itu. Salju menggeleng-geleng kepala. Salju nampak betapa degupan jantung Hulubalang itu kian melaju. Nafasnya turun naik.

Salju menapak ke belakang. Takut. Bukan takut akan Hulubalang, dia takut akan apa yang berlaku sekiranya dirinya hilang pertimbangan.

“Tak ada, tuan!” Laung seorang Hulubalang. Hulubalang di hadapan Salju mula pucat mukanya. Lantas, dia merenggut rambut Salju. Menariknya tanpa belas kasihan. “Jawab soalan aku, betina! Apa kau dah buat pada Suria? Di mana dia, hah?!” Jeritnya. Salju menutup mata sekuat hati, tangannya menggapai-gapai tangan Hulubalang yang mencekup rambutnya sebegitu kuat.Salju menggeleng kepala. Sungguh dia tidak tahu Suria ke mana.

Hulubalang itu kian berang.
“Kau tak mahu jawab, ya?” Bentaknya, menghumban Salju ke tanah. Beberapa helai rambut Salju putus. Belum sempat Salju bangun, satu sepakan singgah di belakangnya. Perempuan muda itu terjatuh kembali.

“Jawab!” Jerkah Hulubalang itu. Salju mendongak, memandang wajah menggila Hulubalang. Hulubalang yang lain kelihatan takut-takut mahu mencelah. “Aku kata jawab, jawablah!” satu sepakan lagi singgah di perut Salju. Satu lagi, di tengkuk. Satu lagi, di pinggang. Di kaki. Di kepalanya.

Salju mengerekot. Lututnya dirapatkan ke dadanya, dia menutup kepala dengan tangannya yang bergari. Lantas dia teringat anjing tua yang dibunuhnya di dalam memorinya.

Ah. Inilah hukuman.

Salju menutup mata serapat yang mungkin. Membiarkan sakit menjalar ke seluruh badannya. Membiarkan hentakan singgah bertubi-tubi. Secepat ia datang, secepat itu sakit itu menghilang. Dia berdesis, sakitnya tetap terasa. Dia teringat mata meminta belas anjing itu. Dia teringat sayunya bunyi anjing itu merayu agar diselamatkan nyawanya. Air matanya mengalir. Tetapi air matanya dingin. Tidak hangat seperti manusia lain.

“Maaf.” Ujarnya dalam linangan air mata, dalam hentakan menggila dari Hulubalang tersebut.

“Apa kau cakap?”

“Maaf. Maaf.” Salju berbisik.

Hulubalang lain tergamam. Hulubalang yang sedang hilang siuman memukul Salju itu bagai dirasuk, lantas dia menarik pedang dari sarungnya, dan sekuat hati, dia menikam Salju yang terbaring mengerekot, mengiring.

Darah merah pekat timbul, perlahan meresap ke gaun putihnya. Secepat ia muncul, secepat itu luka tikaman itu terkatup kembali.

“Maaf.” Bisik Salju. Membiarkan sahaja apa perlakuan Hulubalang itu. “Maafkan saya.” Dia menyambung.

“S… Salju?” Ujar satu suara.

Hulubalang tergamam. Suria berdiri berdekatan mereka, melopong melihat Salju. “Apa… apa yang telah berlaku?” tanya Suria, menghampiri.

“Suria?” Ujar Hulubalang yang masih menghunus pedang. “Kami ingatkan, kamu. Kamu…” dia tidak dapat menghabiskan ayat. Berpaling memandang Salju yang masih mengerekot di tanah. Berlumuran darah.

Suria lantas mendapatkan Salju. “Salju?” dia menggoncang tubuh Salju. “Dia bukan manusia, Suria.” Ujar Hulubalang yang memegang pedang. “Apa maksud kamu?” Bentak Suria. “Lihatlah!” Jerkah Hulubalang tersebut. “Aku baru sahaja menikamnya. Dan lukanya kembali sembuh!” Bentaknya lagi, mengacukan pedangnya pada luka Salju. Suria tergamam, melihat koyakan di baju Salju. Bajunya terkoyak, berlumuran darah, tetapi dia tiada luka.

“Apa kata Permaisuri kalau dia tahu kamu perlakukan dia sebegini?” Ujar Suria, masih memegang Salju yang menggeletar. “Sudahlah. Biar aku uruskan.” Suria cuba menenangkan keadaan. Apa sudah jadi? Baru sekejap dia meninggalkan Salju.

Hulubalang mendengus. Pedangnya disarung. “Jelik!” sumpahnya, lantas berlalu pergi. Dia melemparkan wisel milik Suria ke tanah.

Suria memerhatikan Hulubalang yang kian menjauh. “Salju?” Ucapnya. Menarik Salju bangun. Air mata masih membasahi pipinya. Suria mencapai wisel itu. “Apa ini, Salju? Apa yang telah berlaku?” Ujar Suria. Mereka duduk mengadap sesama sendiri, dengan Salju menunduk.
Salju menggeleng. “Cakaplah, Salju.” Ujar Suria.

Dia menggeleng lagi.

Suria mengetap bibir. Dicapainya ikatan di belakang kepala Salju. Perlahan dilerainya.

Penutup itu jatuh ke riba Salju.

Suria tergamam.
Bibir merah, bagaikan darah.

Dua taring halus – muncul di balik bibirnya.

Nosferatu?

Suria tergamam. Kisah-kisah yang didengarinya sewaktu kecil menampar-nampar benaknya. Makhluk ganas yang menghuni negara Mihstaz itu tiada belas kasihan, akan membunuh sesiapa sahaja. Kisah-kisah yang diceritakan hulubalang tadi turut timbul di di fikirannya. Dia menelan air liur, mengenggam wisel.

“Suria takut,kah?” tanya Salju.
Lelaki muda itu tersentak.

Salju mendongak, memandangnya. Rambutnya hitam, sehitam pelepah burung gagak. Matanya hijau cemerlang, bersinar bagai zamrud. Alisnya terbentuk indah, bulu matanya lentik. Bibirnya penuh, merah bagaikan darah.

Tetapi wajahnya… sangat pucat. Seputih salji.

“Suria takutkan Salju?” tanya Salju lagi. Air matanya menitis.

Suria menghela nafas.

“Tak.” Ujarnya bersahaja. “Saya tak pernah jumpa orang yang begitu bimbangkan anak tupai. Orang sebegitu tak mungkin menakutkan saya. ”
Sambungnya lagi. Suria tersenyum, kedutan di hujung matanya kian ketara.

Salju dapat rasakan jantung Suria mula sekata kembali.
Buat pertama kali, Salju turut tersenyum.
…………………………………………………………………………………………………..
Sang Raja negeri Mihstaz merenung cermin penuh minat. Pahlawannya, memiliki perasaan? Pahlawannya yang tiada belas ihsan, mampu memiliki rasa sayang?

Sang Raja tertawa. Lama kelamaan, tawanya semakin besar, semakin lantang. Dia menepuk-nepuk lengan kerusinya. Lucu sekali!

Baginda mengelap matanya yang berair. Tawanya masih tersisa. Perlahan, baginda bangun, masih tersengih-sengih. Menatap potret Ayahandanya.

Ayahandanya – adalah Raja sebelum ini. Raja itulah yang menjumpai Pahlawan, dan berniat mahu mengasuh anak kecil itu menjadi seorang Pahlawan.

Tetapi tidak lama.

Tidak sampai setahun kemudian, selepas Pahlawan dijumpai, dia yang sedang meningkat remaja ketika itu meracun Ayahandanya sendiri. Perampasan kuasa berlaku. Sudah 14 tahun dia memerintah kini. Di bawah pemerintahan kuku besinya, rakyat ketakutan.

Itulah yang sepatutnya. “Hormat. Ah. Persetankan itu, ayahanda.” Ujarnya terkekeh-kekeh. Dia mencapai segelas wain merah. Disimbah ke potret Raja terdahulu itu. “Ayahanda mesti dahaga, kan? Minumlah.” Ujarnya lagi. Tertawa bagai hilang siuman.

“Hormat, Ayahanda?” Dia melaung lantang. Tercungap-cungap.

“Sepanjang Ayahanda memerintah, ada kehormatankah yang Ayahanda peroleh?” Jeritnya lagi.

Raja itu tersengih-sengih. Mencapai botol arak. Meneguknya rakus. Ketakutan itu umpama api. Dan dialah yang menghidupkan api itu. Menyalakan api di sumbunya. Menjinak api yang menyala. Mengarahkan maraknya api itu kemana dia suka.

Wajah Raja baru itu – Raja Dragulya mirip Ayahandanya. Dengan badan tegap, berambut merah, berjambang dan bermisai merah. Matanya biru, dingin.

Raja Dragulya mencebik.
“Andrei.” Dia memanggil.
“ANDREI!” tiba-tiba Raja negeri Mihstaz itu melaung.

Kedengaran tapak kasut berat, menapak penuh serius kearah raja. Satu susuk tubuh tinggi, tegap melutut.

“Ya, tuanku.”

“Cuba kau lihat di cermin.” Ujar Raja Dragulya, separuh mabuk, menunjukkan kearah cermin dengan botol araknya. Andrei mengangkat muka.

Dia terpana.

Raja itu tertawa mengekeh. “Lucu sekali, kan?” Ujar Raja Dragulya, masih terkekeh-kekeh ketawa. Melangkah ke arah cermin. Lantas, botol araknya dilempar ke cermin ajaib itu. Bagai riak air dikacau, imej Salju duduk bersimpuh di hamparan rumput beriak perlahan, cermin itu lansung tidak terjejas. Botol kaca itu sebaliknya pecah berderai, bersekali dengan isi di dalamnya. Tumpah merata-rata.

“Cari dia,” ujar Raja, tangannya terketar-ketar ke arah cermin. “Cari dia, dan bawa dia balik ke sini. Beta sendiri mahu pancung kepala betina Nosferatu ini.” Si Raja meludah.

Andrei menunduk kembali. “Menjunjung perintah, tuanku.”

“Dah. Berambus!” Jerkah si Raja. Tanpa banyak soal, Andrei bangun. Meninggalkan Si Raja yang merepek-repek keseorangan.

Andrei melalui lorong istana yang gelap. Hari telah siang, tetapi kabus masih memenuhi alam sekeliling, menyebabkan hari masih gelap.Dia membelok di lorong berselirat istana. Dia berhenti seketika di tingkap, menghela nafas. Muka Andrei berkerut. Esmeralda masih hidup?

Pulangnya Esmeralda dari istana Nosferatu, kekecohan berlaku. Pahlawan terhebat Diraja Mihstaz – bertukar menjadi Nosferatu!

Esmeralda kemudiannya ditangkap, dilepaskan di sempadan negeri. Negeri jiran mereka, Negeri Aschere. Dengan waktu siang selama 12 jam, tanpa ada kabus seperti negeri mereka, Esmeralda pasti berubah menjadi debu-debu halus.

Tetapi Esmeralda terselamat. Dia hidup.

Ini bermaksud, pasti sewaktu serangan di istana Nosferatu terakhir, Esmeralda telah digigit oleh Ratu Nosferatu sendiri. Tetapi kenapa?

Andrei meraup muka. Sang Pahlawan tiada nama. Nama Esmeralda itu diberi oleh ayahnya – ayah si Andrei, yang terjumpa Esmeralda di dalam kotak kayu, berlumuran darah.

Sewaktu perampasan kuasa oleh Raja Dragulya, ayah si Andrei bersama beberapa orang pembesar dan sekumpulan tentera turut melawan. Setia mempertahankan Raja dan legasinya. Hasilnya, mereka ditangkap, dan disula di hadapan orang ramai. Anak-anak pembelot semuanya dirampas, perempuan dijadikan hamba, lelaki diserap masuk ke tentera. Anak-anak perempuan yang sudah baligh pula dijadikan gundik Raja Dragulya.

Mungkin disebabkan kisah hidupnya yang tragis itu, Andrei sukar sekali tersenyum. Wajahnya serius. Keningnya lebat, membuatkan wajahnya lebih garang. Ditambah pula dia menyimpan jambang nipis. Matanya mengikut mata ayahandanya – coklat cair. Namun jika diperhati, warna matanya lebih kepada warna jingga.

Dalam banyak-banyak anak-anak yang diserap masuk ke tentera, Pahlawan, atau Esmeralda yang paling menyerlah. Paling tangkas berlawan. Dia lincah. Bijak. Betul, sebagai perempuan, dia lebih kecil, kekuatannya tidak mampu dibandingkan dengan lelaki. Namun begitu, dia pantas. Dia bagai dilahirkan semata-mata untuk berlawan, untuk bertarung.
Andrei menyebak rambutnya ke belakang. Dia pernah rapat dengan Esmeralda sebelum perampasan kuasa berlaku. Selepas itu… Esmeralda bagai hilang kemanusiaannya dek kerana kegilaan Raja Dragulya.

Andrei menghela nafas.

Dia perlu pulang. Merangka perancangan untuk menyelamatkan Esmeralda. Esmeralda akan menjadi kunci bagi perjuangannya.

Raja Dragulya akan tumpas. Cukuplah pemerintahan kuku besi selama 14 tahun ini.
Dirinya – Andrei, dan juga Esmeralda, akan mengetuai perampasan kuasa ini!

-NOTA PENULIS-

1.
Sekali lagi terima kasih kerana sudi membaca kisah ini. Berbanyak terima kasih!

2.
Dragulya merupakan nama panggilan Vlad the Impaler. Boleh cari kisah dia di mana-mana enjin carian. Vlad the Impaler merupakan watak sebenar dalam sejarah, dan saya hanya mengutip namanya sebagai penyedap cerita. Ahaa. Siapa sangka Vlad the Impaler ini pernah berperang dengan Sultan Muhammad Al Fatih, si penakluk kota Baitul Maqdis sewaktu beliau berumur 21 tahun. 

3.
Nama Aschere itu merupakan nama lain bagi bintang paling terang di langit malam, bintang Sirius. Manakala Esmeralda itu maksudnya hijau zamrud. Andrei itu nama biasa orang Romania. Alang-alang nama Nosferatu saya kutip dari bahasa Romania kuno, baik saya cedok kesemua. Hehe.

4.
Akhir sekali, selamat membaca!

NIL

Sila tinggalkan komen yang berkaitan dengan cerita :)

7 Comments on "#NIL: SANG PAHLAWAN – MEMORI"

avatar
mey_mawar

Daebakk Nil, sies osemm
tahniah..
so, ala2 cinta 3 segi la ni kan?
Andrei – Salju/Esmeralda – Suria.

Sang Pahlawan = Salju = Ratu Nosferatu Baru = Esmeralda = Anjing Diraja,
* thumbs up * gud job Nil.

Bila nk isytihar keluaran novel? tazzabar ni haa

Kak Yulie

Tu diaaaa…
Hero baru sudah muncul…
Sorg hero dr zaman kekanak…
Sorg hero di zaman remaja…
Tapi akk vote utk Suria…
Sbb Andrei bakal jd buruan sbb menderhaka pd raja…
Mesti klu diorg bercinta, akn penuh konflik dan ranjau nanti…
Klu ngan Suria dok bygkan yg sweet sweet gituu…
Hehehehehehe…

karz

kenapa rasanya cerita ni macam amik dari novel ramlee awg murshid ek?

nora shofi

karz ceritakan novel yang masa satu karya RAM macam di ambil oleh penulis ?
saya peminat tegar RAM . Penulisan seperti sama ,tetapi bukan pada cerita.untuk pengetahuan awak penulis pun seperti saya peminat RAM.

nora shofi

karz ceritakan novel yang masa satu karya RAM macam di ambil oleh penulis ?
saya peminat tegar RAM . Penulisan seperti sama ,tetapi bukan pada cerita.untuk pengetahuan awak penulis pun seperti saya peminat RAM.

Hidayah

Klau nk buat novel nnti cpt2 bgitau sya erk.Berminat nk membeli

el

Deabak

wpDiscuz