#NIL: SANG PAHLAWAN – PERASAAN

*Amaran – ini bukan kisah benar. Fiksyen semata. Sekiranya pengalaman sebenar yang anda cari, saya minta maaf, bukan disini.*

Part 1: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan/
Part 2: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-si-puteri-salju/
Part 3: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-suria/
Part 4: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-salju-dan-suria/
Part 5: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-memori/
Part 6: http://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-ratu-nosferatu/

Negara Aschere. Rumah Ketua Hulubalang

Suria menjemput-jemput makanan di tangannya. Sekejap diuli. Sekejap diletak balik. “Suria, makan. Apa yang dimenungkan tu?” bebel Ayu. Mereke sekeluarga sedang bersila, menghadap juadah yang dimasak Ayu. Suria tersentak sedikit, lantas dia menyuap makanan ke mulut. Mengunyah-ngunyah pantas, kemudian kunyahannya terhenti. Kembung pipinya. Bayu dan Wahyu berpandangan sesama sendiri. Bani cuma memerhatikan adik bongsunya dengan minat. Ada sesuatu bermain di fikiran Suria.

Wahyu menghela nafas. Selepas makan dia akan bertanya Suria.

Negara Mihstaz, Rumah Andrei

Seekor burung merpati singgah di tingkap biliknya, mengetuk-ngetuk tingkap. Burung itu putih badannya, bertompok hitam.

Andrei melangkah ke arah tingkap, hanya berseluar. Rambutnya yang panjang separas bahu dibiarkan lepas. Burung merpati itu terjenguk-jenguk ke dalam biliknya penuh minat, berkukur-kukur seronok.

Burung itu dicekup lembut, dia tidak pula menggelumpur. Dibiarkan sahaja perlakuan Andrei. Di kakinya terikat satu nota. Andrei mencubit sedikit roti, diberikan kepada burung merpati jinak yang berkukur riang. Burung itu kemudiannya terbang, hilang dalam pekat malam.
Nota yang sebesar ibu jari kaki manusia dewasa itu tertulis ringkas;

“KUPAS MAS”

Ada gambar naga bersertanya. Lelaki bermata jingga itu menghalakan kertas itu pada api lilin, membakarnya marak. Dia memandang biasan wajahnya di cermin tingkap. Rahangnya yang terbentuk kasar kelihatan makin ditumbuhi jambang halus.
Kupas Mas, gambar naga. Ini satu anagram, satu teka-teki yang menukar sesuatu perkataan kepada perkataan lain. Contoh, LIPAS, boleh ditukarkan kepada SILAP. Kupas Mas, apabila di susun, diceraikan, berubah menjadi Pas Masuk. Gambar Naga itu tentu sekali merujuk kepada Raja Dragulya.

Andrei menyebak rambutnya ke belakang, menyarungkan baju. Dia harus menghadap Raja sekarang. Ini sudah tentu mengenai pas masuk ke Aschere.
Esme, tunggu aku.

Negeri Aschere, rumah Ketua Hulubalang

Suria menyandar duduk di anjung beranda, merenung bulan yang bersinar dalam gelap langit malam. Sesekali angin bertiup lembut, mengelus rambutnya. Wahyu yang duduk di pintu memerhati.

Wahyu berdehem-dehem, mengharapkan Suria perasan kehadirannya.
Anak muda itu cuma menyandar, memandang bulan. Kelihatan hanyut dalam lamunan.
Wahyu menggeleng kepala. “Suria.” Dia memanggil. “Suria!” Sedikit keras panggilannya. Suria tersentak. Membetulkan duduknya. “Ada apa, Ayahanda?” Tanyanya. “Boleh ayahanda duduk sekali dengan kamu?” Tanyanya. Suria cuma mengangguk. Wahyu bingkas duduk, bersila.
“Ayahanda ada dengar apa berlaku hari ini di Taman Larangan.” Ujar Wahyu, ringkas. Terus ke titik cerita. Suria mengeluh. “Itu salah Suria, Ayahanda. Bukan salah Salju.” Jawab Suria.
“Jadi kamu tahu sekarang, apa itu Salju?” Tanya Wahyu, keningnya dikerutkan.

Suria mengangguk.

“Dan, kamu masih mahu meneruskan kerja ini?” Tanyanya lagi.

Suria menggigit bibir, mengangguk.

“Boleh ayahanda tahu kenapa?”

Suria menunduk. “Dia berlainan, Ayahanda. Ya, dia bukan manusia. Tetapi dia lebih kemanusiaan dari manusia-manusia lain yang Suria jumpa.” Ujarnya, membelek-belek wisel di tangannya. Wahyu kehairanan.

“Maksud kamu?”

“Dia… lain. Itu sahaja.” Ujarnya. Kembali merenung bulan, ada awan berarak gelap, perlahan melindungi bulan. Wahyu terpinga-pinga.

Taman Larangan, Istana Aschere.

Salju merenung bulan, ada awan berarak kian menutupi, menyebabkan malam kian gelap. Ini malam pertamanya di luar; sebelum ini dia dikurung didalam sangkar, di penjara bawah tanah. Bulan dan bintang bertaburan di langit, indah.

Sinar dari bulan itu bercahaya lembut, melimpahi Taman Larangan. Angin bagai berbisik sesuatu kepadanya, sesuatu yang tidak difahami Salju. Bagai bahasa yang dituturkan pokok-pokok setua ratusan tahun di situ, membisikkan bahasa asing di telinga Salju. Bulan dan bintang umpama makhluk hidup, tiap sinarnya, tiap kelipannya bagaikan degupan jantung.
Salju menghela nafas.

“Nosferatu.” Bisik suara itu. “Nosferatu…” Suara itu berbisik.

Salju bagai dipukau. Melangkah ke arah suara tersebut. Ia memanggil lembut, penuh lemah gemalai.

Perempuan itu menapak, mengikuti suara tersebut, yang membimbingnya ke tasik. Ikan-ikan umpama ketakutan, duduk diam di dasar tasik. Tidak berani bergerak.
Dia melangkah, dengan bulan menyinari perjalanannya. Alam berbisik-bisik.
Bagai sang harimau yang tahu siapa dirinya sejak lahir, tanpa diajar oleh sesiapa, walau dikurung sejak lahir oleh manusia, begitu juga Nosferatu. Alam bagai mengajarnya, siapa dirinya, apa dirinya.

Salju tergamam. Tiba-tiba tersedar. Dirinya di birai tasik kini, kakinya sudah tercelup di dalam air tasik yang beriak perlahan.

Dia tidak tahu bagaimana dia tahu. Tetapi dia sedar siapa dirinya.

Dia adalah Nosferatu. Itu sahaja. Masa lalunya masih lagi samar.

Salju merenung bulan, teringat kepada lelaki muda yang selalu tersenyum, yang dijumpainya siang tadi.

Negeri Aschere. Beberapa hari kemudian.

Bayu membelek pas kebenaran bertulis dari lelaki muda tersebut. Dia hanya membawa seekor kuda bersama muatan kecil. Menutup wajahnya dengan jubah berhud.
“Kamu,” Bayu mengacukan hulu pedang. “Turunkan kain yang menutupi wajahmu.” Sambung Bayu lagi.

Lelaki itu kelihatan sedikit teragak-agak. Tangannya dicapai ke atas kepala, menarik perlahan kain hudnya.

Seorang lelaki muda, mungkin sebaya Bayu, menatapnya dengan mata jingga kecoklatan. Wajahnya pucat, bagai tidak pernah dipanah cahaya matahari. Tubuhnya tegap, namun wajahnya cengkung. Rambutnya yang panjang separas bahu diikat kemas.

“Apa urusan kamu?” Tanya Bayu.

“Saya menjual barang ukiran, tuan.” Lelaki itu menunduk. Hulubalang lain menjenguk, membuka kain yang menutupi muatan yang dibawa kuda tersebut.

Betul kata lelaki muda itu. Yang ada hanyalah barang-barang ukiran daripada kayu, dan peralatan yang diperlukan untuk mengukir. Bayu memicingkan mata. Merenung lelaki bermata jingga, yang merenungnya kembali. Berani.

“Siapa nama kamu?” Tanya Bayu.

“An… Arjuna.” Ucapnya, ringkas.

Bayu mengangguk. Mengarahkan Arjuna bergerak masuk.

Andrei memacu kudanya, mencebik. ‘Arjuna?’ Tiada nama lainkah. Dia berdengus sesekali. Sepatutnya bukan sesenang ini menceroboh masuk ke Aschere. Mihstaz dan Aschere sekarang sedang berperang dingin. Tiada hubungan diplomatik, tiada urusan eksport mahupun import antara kedua negara mereka. Andrei menggunakan pas masuk dari negara jiran mereka yang lain, yang pernah diserang Mihstaz.

Banyak yang takutkan Mihstaz. Banyak yang ngeri, dengan nama negara itu. Walau negara itu kecil – tentera mereka kuat.

Andrei tahu sahaja kenapa. Cermin sakti milik Raja Dragulya menjadi kunci. Apa sahaja, siapa sahaja, di mana sahaja dia berada, cermin itu mampu tunjukkan. Cuma cermin itu tidak bersuara, hanya menunjukkan imbasan seseorang, sama seperti cermin.
Waktu mereka berperang dengan Aschere, Raja Dragulya mengamuk. Mereka lansung tidak menulis atau mencatat butir strategi mereka, Permaisuri Bidasari hanya berbincang dengan para Hulubalang dan Panglima. Raja Dragulya, tentunya, bukan mahir sangat membaca gerak bibir.

Perjalanan ke ibu kota Aschere mengambil masa setengah hari. Andrei harus pantas.

Taman Larangan, Istana.

“Nampak? Ini namanya pokok semalu. Cubalah, sentuh daunnya.” Ujar Suria. Salju mencuit hujung daun itu dengan jari telunjuknya, melihat pokok yang menguncup sebaik disentuh itu penuh minat. “Kenapa dia begini?” Tanya Salju. Kedua anak muda itu meniarap, memerhati rumpun pokok semalu yang berbunga merah jambu. “Oh.” Ucap Suria, menongkat dagu. “Mungkin dia malu? Sebab itu namanya ‘semalu.’” Ujar Suria bersahaja. Salju turut menongkat dagu, kedua belah kakinya dihayun seronok. Perempuan muda itu menyarungkan gaun berwarna ungu lembut, labuh separas lutut. Tiap kali Suria datang, dia akan membuka topeng dan ikatan di tangannya.

Salju tertawa. “Pokok pun tahu malu.” Ujarnya. Suria tersengih-sengih. “Oh ya. Ada kejutan untuk Salju.” Ujarnya, tiba-tiba. Suria bingkas duduk. Salju mendongak, turut duduk. “Kejutan?” Salju memiringkan kepala. Suria mengangguk kepala dengan bibir bawah digigit, seronok. “Tutup mata. Jangan buka selagi Suria tak suruh.” Ujarnya. Salju mengerutkan dahi. Dipandangnya Suria yang kelihatan gembira itu dengan hairan. Dia memejamkan mata. “Macam ni?” tanyanya. “Tutup mata dengan tangan. Jangan tengok ya. Tak aci.” Kedengaran suara Suria.

Kedua tangan halusnya dilekapkan di muka.

“Begini?” Tanya Salju, suaranya berbalam dari balik tangannya. Suria bangun. “Ya. Salju tunggu sekejap, jangan buka!” Ujarnya, kedengaran tapak kakinya kian menjauh. Salju kehairanan, mahu mengintai.

“Ha, jangan tengok!” Sayup suara Suria. Salju sedikit terperanjat, ketawa kecil.
Bunyi Suria mengangkat sesuatu, dan meletakkannya lembut di hadapan Salju kedengaran. Salju terbau sesuatu yang dikenalinya, dan dia sedaya upaya cuba menyembunyikan kegembiraannya. “Boleh buka sekarang?” Ujarnya.

Suria tersenyum. “Bukalah.”

Pantas, Salju menurunkan tangan.

Dihadapannya ada sebuah kotak kayu sederhana besarnya. Di dalam, seekor ibu kucing berekor pendek, bercorak calico mengiau, agak resah kerana sarangnya dialih-alih. Dua ekor anaknya sedang menyusu, salah seekor pula sedang bergurau dengan saudara angkatnya, si tupai kecil.

Salju menekup mulutnya kegembiraan. “Tupai kecil!” Ujarnya. Suria tersenyum. “Kan? Sihat-sihat sahaja dia. Tengok, sudah gemuk.” Suria menunjuk ke arah tupai. Tupai itu berguling-guling riang dengan saudara angkatnya, yang mencuit-cuitnya mesra.
Salju menghulurkan tangan ke dalam kotak, namun menariknya kembali.

“Kenapa?” Tanya Suria.

Salju menggeleng, memandang ke dalam kotak, wajahnya jelas bimbang. Suria terdiam. Cuma memerhatikan perempuan bermata hijau cemerlang itu menguis-nguis rumput dengan jari telunjuknya.

Suria menghela nafas.

Dia mencapai tangan Salju, hangat tangannya membuatkan Salju sedikit tersentak. Diletakkan tangan Salju berdekatan ibu kucing.

“Dengan kucing, Salju perlu buat begini dahulu. Biar dia hidu bau Salju.” Ujarnya, lembut.
Salju cuma diam. Jarak dia dan Suria cuma dipisahkan oleh sebuah kotak kecil. Sesekali angin bertiup lembut, membawa bau Suria kepadanya. Dia seakan diselubungi diri Suria. Hanya Suria. Hanya wajahnya. Rambutnya yang beralun lembut. Bibirnya yang tak lokek dengan senyum. Mata coklatnya yang hangat.

Kali pertama, rasa bahang terbakar mahukan darah itu lenyap, bagai api yang kian terpadam.

Ibu itu menghidu-hidu tangan Salju yang disuakan Suria, dan lantas, kucing betina itu melagakan kepalanya lembut ke tangan Salju.

Salju tersenyum, merasakan lembut bulu binatang itu bergesel-gesel di tangannya. Dia mendongak, memandang Suria yang masih menunduk, tersenyum melihat ibu kucing.
Dia masih memegang erat tangan Salju.

“Hebat,kan?” Ujar Suria. “Walau mereka berbeza, mereka boleh saling menyayangi.” Sambung Suria lagi.

“Em.” Salju mengangguk. Tersipu-sipu dalam pegangan tangan Suria.

“Kenapa?” Tanya Suria hairan.

Salju menarik-narik sedikit tangannya.

“Oh! Maaf!” Suria terkejut, lantas meleraikan pegangan tangannya. Salju menunduk, menggosok-gosok tangannya yang masih berbekas hangat tangan Suria. Keadaan sunyi seketika, terasa kekok.

“Macam pokok semalu pula kita berdua, kan?” Ujar Suria terkekeh-kekeh. Cuba memecahkan rasa kekok. Salju tersenyum.

“Saya hantar dulu ibu kucing ini ke bangsal. Saya tak keluar, rakan saya ada menunggu di luar.” Ujarnya, bingkas bangun, mengangkat kotak kayu itu sekali. “Sekejap ya? Saya hantar ke pintu pagar sahaja.” Sambung Suria.

Salju yang duduk bersimpuh mengangguk. Merenung Suria yang kian menjauh, membawa kotak kayu dalam pegangan beliau.

Sekilas, Salju merasakan bahawa dia berada di dalam kotak itu. Bau busuk benda mereput menyelubunginya.

Seorang lelaki bermisai, berjanggut, bermata jingga kecoklatan sedang melihat kearahnya, tergamam. Dia menyarungkan perisai besi tentera.

“Kalian, ada yang terselamat disini!” Laung lelaki itu.
Perlahan, dia mengangkat Salju ke dalam dukungannya.

“Budak? Dia berlumuran darah! Dia cederakah?” Salju mendengar suara-suara.
“Tidak. Tidak mungkin. Darahnya sudah kering. Kalau dia tercedera dengan darah sebanyak ini, dia sudah lama mati.” Ujar lelaki tersebut. Salju terasa sangat letih waktu itu. Letih menunggu. Tidak kisahlah sesiapa, asal ada yang mengangkatnya, memeluknya erat.
Salju di dalam memori terasa mengantuk. Mahu tertidur.

“Kita bawa anak ini kepada Raja.” Salju mendengar suara-suara.

Memori itu tidak terhenti di situ; seorang wanita berambut panjang separas pinggang, bermata hijau sedang mendukungnya. Menyanyi-nyanyi lembut.
“La vie en rose…”

Perempuan itu menyanyi, lunak. Sebelum meletakkan Salju di dalam memori itu, lembut, ke katil.
Salju mengenggam rambut perempuan itu, sebelum perlahan dilepaskan.

Wanita yang memandangnya dengan penuh kasih sayang itu tertawa, mengelus pipinya lembut.

“Ibu.” Gumamnya.

Salju tersentak. Itukah ibunya?

Suria cuma memerhati. Salju banyak kali mengalami ‘episod’ di mana dia, umpama hilang, terawang-awang di dalam fikirannya sendiri. Memandang ke hadapan dengan pandangan kosong. Selalu selepas itu, Salju akan menyebut-nyebut nama orang yang tidak dikenali, biasanya nama itu dengan gaya nama Negara Mihstaz.

Pernah sekali, Salju menyebut nama Raja Dragulya.

Suria bukanlah arif sangat, tetapi selaku anak Ketua Hulubalang, dia sedia maklum itu merupakan nama pemerintah Negara Mihstaz.

Namun tiap kali ditanya, selepas ‘episod’ aneh itu, Salju menggeleng. Enggan bercerita.
Suria menghela nafas.

“Salju.” Ujarnya, merapati.

Salju tersentak. “Em?” Dia mendongak memandang Suria. Suria duduk di hadapannya, bersila. Suria berkira-kira dahulu, memikirkan bagaimana mahu memulakan ayat.
“Boleh Suria tanya?” Ujar Suria.

Perempuan itu memiringkan kepalanya. “Tanyalah.” Ujarnya.
“Salju tau ini negara apa? Yang kita duduki sekarang?” Tanya Suria.
Salju mengangguk. “Aschere.” Jawabnya ringkas.

“Negara Mihstaz pula?”
Salju diam. Menunduk.
“Kenapa, Salju?” Tanya Suria. Salju menggeleng. “Ceritalah.” Pujuk Suria. Salju mendongak, memandang wajah lembut Suria yang memandangnya bimbang. Perempuan itu menggigit bibir.

“Salju akan tiba-tiba teringat sesuatu, yang dimana, Salju ada di dalam memori itu.” Ujarnya. “Tetapi, Salju tidak tahu sepenuhnya. Macam… macam kita baca buku. Tapi, buku itu kita tak baca dari mula. Sekejap kita buka di tengah, sekejap di penghujung…” Cerita Salju, sambil membuat gaya membuka buku dengan kedua belah tangannya. Suria mengangguk, meminta Salju meneruskan.

“Tetapi, memori itu tidak seronok. Memori-memori itu buat Salju rasa…” perempuan itu memeluk badannya, menggosok-gosok lengannya sendiri.

“Kosong.” Ujarnya, seakan berbisik.

Suria terpana. Wajah Salju seakan ketakutan sebentar.

“Baiklah. Suria takkan tanya, kecuali Salju ceritakan. Ya?” Ujar Suria. Salju mengangguk, tersenyum.

-Pusat Bandar Aschere-

Andrei, atau nama samarannya kini, Arjuna meleraikan ikatan kudanya. Dipimpin ke telaga berdekatan.
Dengan lahap, kuda itu meneguk air. Andrei menepuk-nepuk leher kuda tersebut, meninjau pusat bandar yang riuh-rendah. Berlainan benar dengan Mihstaz.

Gerai-gerai memenuhi kiri kanan jalan tersebut, bunyi hiruk-pikuk penjual menjual barang-barang mereka bergema serata tempat. Surirumah membawa anak-anak, ada yang didukung, ada yang dipimpin. Mereka turut serta riuh, menawar harga sepatutnya dengan barang yang dibeli. Buah-buahan mengikut musim disusun elok, hasil perikanan mereka segar. Sesekali Andrei terbau masakan yang dimasak oleh gerai-gerai makan berdekatan.

Ada sedikit rasa iri hati dan sayu di hati Andrei. Di negaranya, kebanyakan makanan mereka dijeruk, dikeringkan. Jarang sekali mereka dapat menikmati buah-buahan sesegar ini. Malah kudanya turut mengintai-intai dari balik bekas airnya, memandang terliur ke arah barisan segar sayuran dan ubi-ubi.

Andrei terdengar bunyi sesuatu berterabur, jatuh. Lantas dia berpaling ke belakang, nalurinya segera mengarahkan tangannya memegang hulu pedang yang tersembunyi di balik hud labuh yang di pakainya.

Andrei tergamam. Kudanya menarik-narik sayur lobak di dalam bakul seorang wanita pertengahan umurnya, yang kelihatan terkejut. Dia terduduk jatuh di atas tanah. Barang-barang yang dibelinya berterabur merata-rata.

Lantas, anak muda itu mengutip barang-barang yang jatuh. Berdebu disalut tanah.
“Maaf, puan. Kuda saya lapar. Saya minta maaf.” Ujarnya berulang kali. Membantu perempuan itu bangun. Dia bertubuh gempal, rendah orangnya. Mukanya keibuan. “Tak apa nak, tak apa.” Ujarnya, tersenyum. “Habis barang puan rosak. Saya ganti. Ya?” Ujarnya, rasa bersalah menyelubungi hatinya. “Tak apa nak. Salah makcik juga. Makcik yang langgar kuda kamu.” Ujarnya malu-malu. Andrei mengangkat kening, mahu tersenyum.

“Tetapi, saya juga bersalah. Mari puan, saya gantikan kembali barang yang rosak.” Ujar Andrei. Dia tak mahu menarik perhatian pada hari pertamanya. Lain pula yang jadi. Kudanya mengunyah-ngunyah lobak seronok.

Buah-buah dan sayuran yang rosak, pecah diberi pada kudanya yang melahap rakus. Andrei mengambil bakul perempuan yang sudah separuh kosong tersebut. Ah, ini juga satu peluang untuk dia meninjau pusat bandar Aschere tanpa menimbulkan syak wasangka.
“Baik betul kamu. Apa nama kamu ya?” Tanya perempuan itu, menepuk-nepuk lengannya mesra. Andrei tersenyum. “Arjuna. Puan pula?”

“Nama makcik, Ayu. Tak perlu puan-puan, panggil makcik Ayu sahaja.” Ujar Ayu, mendongak memandang pemuda tegap yang sebaya anak sulungnya, Bayu.

1.
Dukacita dimaklumkan ini merupakan post terakhir saya di Fiksyen Shasha. Jangan bimbang, saya tetap akan menyambung kisah ini. Cuma saya akan menulis di page facebook saya, Nil Kuhaku.  Tak mahu add pun tak apa, saya publickan view Pahlawan. 😀 Saya akan tetap menghantar nukilan saya kepada page ini. Walau begitu, andai saya menghantar karya sekalipun, mungkin saya akan menghantar karya yang telah siap, atau one-shot (tidak bersiri). Sayangnya Pahlawan terlalu panjang kronologi ceritanya, mungkin berbelas, berpuluh episod. Saya kira, kurang sesuai di page ini, kerana banyak siri tidak sampai mencecah dua angka. Saya sahaja melebih-lebih, perasan direktor Bawang Putih Bawang Merah pula. Haha. Siri ini mungkin saya akan novelkan, insya Allah.

2.
Anagram! Anagram merupakan satu permainan perkataan yang menarik. Boleh dipraktikkan kepada bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris. Saya bagi contoh, ibu bapa/guru boleh memberikan satu perkataan panjang kepada anak-anak, contohnya, CAULIFLOWER. Dari perkataan ini, berapa banyak perkataan bahasa inggeris yang boleh dibentuk? I FLOWER CAUL? Ada banyak perkataan lain. Tetapi dengan syarat, semua huruf mestilah diguna, dan memiliki maksud di dalam bahasa yang digunakan. Tak perlu beli board games mahal-mahal, cukup sahaja kertas, pensel, pemadam, dan tentunya hadiah sedikit kepada yang paling banyak mampu menghasilkan perkataan. 

3.
Kisah kali ini pendek, selepas ahli keluarga saya sakit, saya pula dijangkiti. Ini pun menaip dalam mamai ubat batuk. Harap tiadalah typo yang terlalu jelas. Eheheh

4.
Akhir kata, terima kasih, dan selamat membaca!

NIL

Sila tinggalkan komen yang berkaitan dengan cerita :)

8 Comments on "#NIL: SANG PAHLAWAN – PERASAAN"

avatar
Cikebombom

Nil, saya ada add awak kat fb. Approve laa nahh. Btw cerita ni semua best! Boleh buat filem weyy! Sambung lagi nah. Best sangat

Twelve

Sekarang jugak nak gi add kat FB

Kak Yulie

Oooo camtu plaaakkkk…
Semoga urusan mengnovelkan Sang Pahlawan berjalan lancar…
Nanti announce tau, boleh kami pakat2 order…
Heheheheh…

ppslayer

wattpad?

ina

sy dh di fb ..jumpe di sana

ina

Sori..”sy dh add di fb” sbnrnye..typo..hehe..

Peminat nosferatu

saya dah add..mmg menarik penulisan awak tau….terbaik…teruskan menulis.tak sabar menunggu novel pahlawan…

ian

Alah nil…… Saya x daa fb ?

wpDiscuz